June 13th, 2014

Khutbah Jumaat: Buat persediaan hadapi kematian

Segera melunaskan hutang, menulis wasiat dan mengembalikan harta amanah

Sesungguhnya mati itu adalah benar, kenikmatan dan seksa di alam kubur adalah benar, pertanyaan Munkar dan Nankir adalah benar.

Itulah ungkapan talkin yang sering kali dibacakan sebagai pengajaran kepada yang masih hidup. Namun, berapa ramai yang sedar hakikat kematian. Masihkah lagi kita sanggup menggadai iman dan pahala dengan perkara yang sia-sia.

Sememangnya kita melalui saat waktu malam dengan bersenda gurau bersama anak dan isteri, merasai nikmat kehidupan seolah-olah tiada penghujungnya dan merehatkan badan selepas penat mengharungi liku-liku kehidupan di siang hari.

Namun, janganlah kita lupa kepada satu malam yang pasti akan tiba. Itulah malam pertama di alam kubur yang belum pasti keadaannya. Orang soleh sering membayangkan malam pertama di alam kubur dan menangis memikirkan nasib mereka di sana.

Leka dunia, tak peduli kematian

Bagi yang masih leka dengan dunia, langsung tidak ambil peduli mengenai kematian, apatah lagi merenungi bagaimana nasibnya di sana nanti. Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 78 bermaksud:

“Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?”

Marilah kita mempersiapkan bekalan menghadapi alam kubur dengan melakukan amal soleh dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya ia akan menjadi penerang kegelapan dan pendamping di kala menghadapi malaikat Munkar dan Nakir yang bengis dan pemarah.

Bukan hanya dengan amal soleh, lakukan juga beberapa persediaan antaranya segerakan bertaubat, memperbanyakkan mengingati mati, meminta maaf sesama manusia dan memaafkan, melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memupuk cinta kepada akhirat melebihi dunia.

Justeru, didiklah hati yang terlalu memikirkan kesenangan hidup di dunia kerana akhirnya kita akan melupakan hakikat kematian bahkan membawa kepada penyakit takutkan kematian.

Perlu diingatkan, sebelum tiba saat dipisahkan roh daripada jasad, bersegeralah menyelesaikan hutang, menulis wasiat dan mengembalikan harta amanah.

Jika tidak mampu menyelesaikan hutang atau tidak sempat mengembalikan harta amanah, tinggalkan wasiat kepada waris di samping wasiat harta pusaka. Perkara inilah yang sering diabaikan sehingga menjadi kesusahan kepada ahli waris menyelesaikannya.

Alangkah ruginya jika kita termasuk dalam kalangan mereka yang leka tanpa berbuat bekalan menghadapi mati. Usahlah dibanggakan dengan kekayaan dunia kerana harta yang akan dibawa hanya kain kapan yang tidak berjahit.

Usahlah dibanggakan dengan rumah besar dan mewah kerana tempat tinggalnya nanti hanyalah sebuah lubang sempit dan gelap gelita.

Usahlah dibanggakan dengan kereta mewah dan mahal kerana kenderaan yang akan dinaiki ke kubur hanyalah sebuah keranda.

Justeru, ayuh kita meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam setiap perkara agar Allah juga memberikan keutamaan dan keistimewaan kepada kita apabila kita datang menghadap-Nya nanti.

Kubur boleh jadi taman Syurga atau lubang neraka

Ingatlah lubang kubur akan menjadi salah satu daripada taman Syurga atau salah satu daripada lubang neraka. Hanya amal ibadah, jariah, sedekah, ilmu yang bermanfaat dan setiap perbuatan baik di dunia yang dapat menentukan nasib kita ‘di sana’.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

* Bersedia untuk menghadapi kematian yang pasti akan tiba saatnya.

* Buat sebaik mungkin setiap amal ibadah wajib dan sunat, di samping memperbanyakkan amal soleh, jariah dan sebagainya sebagai bekalan menuju ke alam barzakh.

* Suburkan perasaan cinta kepada akhirat melebihi dunia supaya hilang rasa takut untuk mati.

Firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat ke-61 bermaksud: “Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).”

Sumber: Daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Berita Harian Agama 2014/06/13 - 00:19:41 AM

Ireland negara paling Islamik

London: Seorang ahli akademik Amerika Syarikat kelahiran Iran menganggap Ireland negara paling Islamik di dunia.

Dalam wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) baru-baru ini, Profesor Perdagangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti George Washington itu berkata, Denmark, Sweden dan United Kingdom menyusuli Ireland.

Menurut Hossein, kajian yang dilakukan bersama rakannya Dr Scheherazde S Rehman juga mendapati Israel berada di tangga ke-27 senarai negara yang melaksanakan nilai yang terdapat dalam al-Quran, berbanding negara yang ramai penduduk Islam.



HOSSEIN
Tidak ada satu pun negara yang mempunyai majoriti penganut Islam berada di 25 tempat teratas senarai itu dan tidak ada negara Arab termasuk dalam senarai 50 teratas.

Katanya, apabila ‘indeks keislaman’ mereka diguna pakai, hanya Malaysia (33) dan Kuwait (42) sebagai negara Islam tersenarai dalam 50 negara teratas.

Amerika Syarikat menduduki tangga ke-15, Belanda juga di tempat ke-15 dan Perancis, 17.

Saudi berada di kedudukan ke-91 dan Qatar, 111.

Dalam menjalankan kajian itu, kedua-dua penyelidik mengguna pakai kesempurnaan dalam Islam terhadap pencapaian ekonomi masyarakat, pentadbiran, hak asasi manusia dan politik serta hubungan antarabangsa sesebuah negara.

“Dalam indeks itu, pencapaian negara Islam amat buruk,” katanya sambil menuduh negara berkenaan mengguna agama sebagai alat untuk berkuasa.

Hossein berkata: “Kami perlu menegaskan bahawa kebanyakan negara yang mendakwa Islam dan digelar Islam tidak bersikap adil, rasuah dan tidak membangun. Mereka pada hakikatnya tidak ‘Islamik’ dalam semua perkara.

“Melihat kepada indeks Keislaman Ekonomi atau bagaimanapun hubungan rapat antara dasar dan pencapaian sesebuah negara menggambarkan ajaran ekonomi Islam - Ireland, Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapura, Finland, Norway dan Belgium menduduki tempat 10 teratas.

“Dalam ‘Indeks Keislaman Menyeluruh,’ ukuran yang meliputi undang-undang dan pentadbiran, hak asasi manusia dan politik, hubungan antarabangsa serta faktor ekonomi, senarai itu tidak banyak berubah dengan New Zealand, Luxembourg, Ireland, Iceland, Finland, Denmark, Kanada, United Kingdom, Australia dan Belanda berada di 10 tempat teratas.

Dan sekali lagi, hanya Malaysia (38) dan Kuwait (48) menduduki kelompok 50 teratas dalam kalangan negara Islam. - Agensi  
myMetro Global 2014/06/12

Indeks Keislaman dalam acuan Barat sesuatu yang menarik

MALAYSIA berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Keislaman berbanding negara-negara Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) lain berdasarkan kajian dijalankan oleh dua ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.

Kajian ini pada hemat penulis mengambil pendekatan etika yang kebetulan indikatornya sesuai dengan ajaran Islam. Indeks keIslaman mengambil dua bentuk.

Satu, bagaimana tamadun Islam yang berkembang atas asas akidah, syariah dan akhlak membentuk watak dan sistem yang Islami.

Satu lagi, bagaimana indikator yang dibina meneliti amalan yang berlaku dalam sistem seperti kebersihan, kepekaan sivik, ketepatan waktu, ikut peraturan, meraikan pelancong, kecintaan kepada ilmu, kegunaan sains dan teknologi dan seumpamanya yang memang dianjurkan oleh Islam.

Ini mengingatkan penulis dengan kenyataan tokoh pembaharuan Islam Sheikh Muhammad Abduh yang pernah membuat kunjungan ke Perancis. Sekembalinya dari Perancis ke Kaherah, Mesir beliau membuat kenyataan: " Sewaktu di Perancis, saya melihat Islam di sana walaupun saya tidak berjumpa dengan orang Islam. Di sini (Kaherah) saya berjumpa ramai orang Islam tetapi tidak bertemu dengan Islam".

Kenyataan tokoh pembaharuan itu menghubungkan persoalan etika yang berlaku sedangkan amal Islami merujuk tidak saja kepada sistem kepercayaan tetapi juga cara hidup. Islam tidak saja memiliki kekuatan rohaniah atau hati budi yang tinggi tetapi terpancar dalam amal yang menjadi contoh ikutan.

Orang Barat dan Timur terdidik dengan etika sama ada di Finland, Amerika Syarikat dan Jepun. Pengaruh agama seperti etika Kristian, fahaman Kongfucius membentuk nilai-nilai interaktif yang membentuk disiplin tinggi dan kesedaran sivik yang mendalam.

Kajian Prof. Hossein Askari dan rakannya Scheherazade S. Rehman, Pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington pada hemat penulis mempunyai indikator umum untuk mengukur bagaimana negara-negara di dunia mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.

Ia setanding dengan isu penarafan universiti-universiti dunia menggunakan kriteria Barat. Pendekatan mekanikal dan empiris dijadikan asas berasaskan berapa banyak kaji selidik terjadi, berapa banyak karya baru terhasil dan berapa banyak sumbangan di jurnal-jurnal antarabangsa berlaku.

Sedangkan maksud pendidikan itu sendiri terhubung dengan pembangunan insan holistik yang tidak saja baik faktor akal-fikirnya, hebat kekuatan hati budinya dan indah pada amal buatnya.

Indeks KeIslaman dalam erti kata yang sebenar ialah wujud binaan indikator yang terhubung dengan etika dan amalan seseorang Islam yang penuh adab dan disiplin.

Mengukur kepatuhan umat Islam dalam mengerjakan solat umpamanya menjadi suatu indikator. Darinya umat Islam dilihat menjadi orang yang patuh kepada peraturan, taat kepada ajaran agama, akur dengan perintah Allah dan tunduk dengan perkara-perkara baik dalam kehidupan.

Indikator terhadap amalan puasa (siyam) umpamanya mampu menjadikan umat Islam memiliki kesabaran yang tinggi, jiwa perjuangan yang hebat, rasa kemanusiaan yang tinggi dan kecintaan kepada amal yang bertambah.

Sekiranya ini tidak berlaku Islam hanya dirasai secara rohaniah dan tidak diterjemahkan dalam amaliah.

Jurang inilah yang banyak terjadi menyebabkan indikator rohaniah orang-orang Islam relatif tinggi dan indikator amaliah realatif rendah.

Malaysia yang berada di tangga ke-33 berbanding negara-negara OIC lain seperti Arab Saudi dan Qatar yang berada di tangga ke 93 dan 111 secara positifnya perlu memperbaikinya.

Indikator mengukur amalan dalam sistem yang berasaskan syariah umpamanya, apakah ia memberi indeks keadilan sosial dan kesejahteraan hidup dan mampu menyantuni kelompok miskin, mengatasi eksploitasi dan kebejatan sosial.

Sekiranya hal ini terjadi faktor syariah menjadi indikator penting meneliti gelagat masyarakat dan sistem dan sekiranya ia tidak terjadi ada jurang antara faktor rohaniah dan amaliah yang perlu diperkukuh dan diperteguh.



JENDELA TOK KI: Utusan/Rencana/20140613

Mencorakkan kejayaan wakaf pendidikan

POSITIFNYA, evolusi wakaf telah menjarakkan pemahaman tradisional dengan yang moden akibat ijtihad dan hikmah yang wujud dalam kecantikan agama Islam itu sendiri yang sebagai satu agama syumul atau sempurna memenuhi semua masyarakat pada mana-mana zaman.



Pada suatu fasa sebelum ini, wakaf dijumudkan hanya berkaitan tanah dan bangunan yang diberikan untuk kegunaan umum seperti pembinaan masjid, sekolah dan kubur.

Transformasi bidang pengajian tinggi sekitar 5 tahun lalu yang menuntut penggubalan Indeks Pencapaian Utama (KPI) ke atas institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia untuk menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung penuh kepada kerajaan telah dengan kreatif serta didasari pengetahuan yang berlandaskan tuntutan agama, wakaf yang sememangnya punyai segala sifat membawa dan terbukti memberi manfaat telah dikenalpasti dan berupaya berfungsi mengukuh dana universiti.

Terdapat beberapa IPT yang bermula dengan tempo yang agak perlahan sebagai perintis kaedah baru penjanaan kewangan universiti melalui wakaf pendidikan namun wujud juga universiti yang serius menjadikan usaha wakaf ini termaktub dalam perancangan strategiknya untuk sekurang-kurang 5 tahun ke hadapan.

Antara IPTA bertaraf penyelidikan yang komited terhadap wakaf pendidikan ini termasuklah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Rencana dan agenda wakaf pendidikan ini terus diberi tempat dengan penubuhan terkini sebuah Universiti bertaraf IPTS iaitu Universiti Islam Malaysia (UIM), satu-satunya IPT yang ditubuhkan di bawah naungan Majlis Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke 222 pada tahun 12 Oktober 2010.

Ia adalah kesinambungan Kolej Islam Malaya (KIM) yang ditubuhkan pada 1955 dan sebuah institut pengajian tinggi bertaraf universiti kerana pengiktirafan yang diberikan kepada kualiti akademik bagi program sijil atau diploma keluaran KIM adalah setaraf dengan ijazah pertama Universiti Pengajian Islam Ulung Dunia iaitu Universiti Al-Azhar, Mesir.

UIM boleh dikatakan mempelopori wakaf pendidikan negara berdasarkan usaha penubuhannya sudah bermula berpuluh tahun dahulu.

Sebaik ditubuhkan, pendapat muktabar terkini berkenaan fatwa penggunaan pendapatan wakaf yang boleh menjadi autoriti semasa berkenaan wakaf ialah penegasan sarjana dari Mesir sewaktu persidangan wakaf diraja anjuran UIM pada Jun 2012, di mana Dr. Ali Goma’ah mengesahkan fatwa oleh Akademi Feqah di Rabitah Alam Islami dalam persidangannya yang ke-10 di Mekah pada Oktober 1987 telah membuat keputusan harus mengeluarkan Œ daripada hasil pendapatan wakaf demi kepentingan umum, kecuali wakaf itu bersifat khas untuk terus diguna pakai.

Sarjana ini seterusnya mengaitkan wakaf sebagai punca yang boleh membawa keseimbangan dan keamanan kedudukan umat Islam dan pada masa sama ia juga melambangkan keseimbangan yang datang daripada kehendak individu yang berasaskan kesedaran kemasyarakatan tidak mengira agama dan bangsa.

Maka, dari sudut substance, UIM menguasai keilmuan tentang agenda wakaf pendidikan malah susur galur sejarah penubuhannya ada kaitan dengan hasil dari harta wakaf.

Transformasi pelaksanaan wakaf pendidikan sebagai satu ekosistem di IPT buat masa ini perlu didukung oleh dua perkara asas walaupun bersifat abstrak tetapi begitu relevan supaya IPT di negara kita benar-benar memanfaatkan kelebihan wakaf ini dalam bidang pendidikan.

Warga kepimpinan IPT perlu memiliki dan menguasai paduan intelektual dan kebijaksanaan dalam menerobos bidang wakaf untuk pendidikan.

Begitu banyak sekali takrif bijaksana yang digariskan dalam al-Quran antaranya ia dirujuk sebagai hikmah. Hikmah ini juga dijalinkan dengan sifat taqwa.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 269 contohnya, "Allah menganugerahkan hikmah (kefahaman yang dalam tentang al Quran dan sunnah) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahkan hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang berakal yang dapat mengambil pelajaran."

Kebijaksanaan kepimpinan di IPT yang menyokong keilmuan amat perlu untuk menolak impak sosial berkaitan wakaf pendidikan yang ada kalanya dilihat boleh membawa kepada kesan negatif. Malah, ilmu dan kebijaksanaan perlu seiring demi pembangunan harta wakaf melalui sistem pengurusan yang kemas dan teratur yang ditambah baik agar mendatangkan kesan yang positif kepada masyarakat sejagat.

Penggemblengan ilmu dan bijaksana berupaya mengupas persoalan tentang salah faham impak sosial mengenai wakaf bagi mengelak kekeliruan yang timbul akibat daripada penggunaan istilah wakaf yang masih sempit pemahamannya seperti yang terjumud tadi.

Pelaksanaan wakaf pendidikan akan terbantut malah boleh tersongsang tanpa ilmu dan kebijaksanaan kepimpinan warga IPT kerana ia turut melibatkan perubahan cara hidup masyarakat dalam mempengaruhi prestasi kehidupan mereka.

Malah, kerangka perundangan yang longgar dan keselerakan data wakaf negara boleh mengundang kepincangan aturan wakaf pendidikan maka hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Tidak mudah juga menguruskan wakaf tanpa garis panduan yang bersesuaian dengan kehendak pengajian tinggi negara.

Lantas, menyediakan peraturan dan perundangan untuk melaksanakan wakaf di IPT perlu lahir dari motivasi pemimpin warga IPT yang berilmu dan bijaksana.

Statut berkaitan wakaf pendidikan contohnya, yang disasarkan jika tanpa ilmu dan kebijaksanaan hanya akan menjadi sebuah kitab yang mengumpulkan peruntukan tanpa dapat dilaksanakan disebabkan kepincangan peruntukan yang diwujudkan dari minda tanpa ilmu atau mungkin juga berilmu tanpa kebijaksanaan.

Banyak sekali IPT tersohor luar negara yang berjaya dengan konsep wakaf. Arus dan keadaan di negara kita memerlukan cara kita mencorakkan kejayaan wakaf pendidikan. Maka, kepimpinan yang menguasai daya intelek dan juga bijaksana sebagai syarat asas kejayaan wakaf pendidikan IPT negara.

* Prof. Dr. Noor Inayah Yaakub ialah Profesor Utama Universiti Islam Malaysia. Utusan/Rencana/20140613

Dua peristiwa di hujung minggu

AKHIR minggu ini ada dua peristiwa cukup penting yang akan menyedut perhatian, tenaga dan fikiran dalam kalendar kehidupan kita.

Peristiwa pertama adalah umat Islam akan menghadapi malam Nisfu Syaaban.

Salah satu peristiwa yang diiktiraf sebagai malam yang istimewa di mana fadilatnya antara lain adalah Allah mengampuni orang yang meminta ampun dan mengasihi orang yang minta dikasihi.

Nisfu Syaaban turut disenariokan sebagai bulan untuk kita berlumba-lumba berbuat kebajikan sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan yang mulia. Peristiwa Nisfu Syaaban menuntut kita untuk memperbanyak zikir, berpuasa dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Satu persediaan baik secara mental mahupun spiritual sebelum memasuki ambang Ramadan.

Demikian juga Piala Dunia 2014 yang diadakan di Brazil dan bermula hari ini, sudah tentu menjadi peristiwa penting kedua di hujung minggu ini yang bahangnya sudah pun terasa merata-rata ke semua tempat di negara kita.

Ramai yang mempersiapkan hajatan sukan terbesar di dunia itu sebagai ritual empat tahun sekali yang patut dirai dan dipestakan. Sifat tabii manusia yang suka hiburan dan rekreasi untuk melepas lelah bekerja dan tekanan menjadikan Piala Dunia begitu dinanti-nantikan kehadirannya.

Bagi kaki bola, ada sesetengahnya yang menyambut dengan pendirian perlu sentiasa menyaksikan perlawanan bola secara live pada dini hari bagi merasai debaran perlawanan yang sesungguhnya meskipun apa jua kesan selepas menonton bola.

Misalnya bagi orang yang bekerja, jadual perlawanan pada pagi hari itu sudah pastinya membawa kesan yang besar terhadap etika dan produktiviti kerja.

Lain ceritalah bagi kaki bola yang tidak terikat bekerja mengikut waktu pejabat. Sudah tentu mereka tidak kisah dengan jadual perlawanan sehingga ritual empat tahunan itu tidak boleh terlepas sebarang satu perlawanan secara live.

Sebagai manusia yang sentiasa bersosial dan berinteraksi, Piala Dunia boleh menjadi forum untuk saling mengeratkan lagi perhubungan antara manusia tanpa mengira kaum dan agama.

Inilah segi positif daripada kekuatan bola sepak. Sukan ini menjadi wahana penyatuan dan memperkukuh keharmonian antara kaum dan agama yang kebelakangan ini agak merisaukan seperti kes Bible bahasa Melayu, isu penyalahgunaan kalimah Allah dan sebagainya.

Dalam bahasa lain, bola sepak Piala Dunia menjadi referendum bagi manusia sejagat untuk memperkukuh sifat kemanusiaan itu sendiri dengan menolak keganasan, melenyapkan permusuhan antara agama, mengikis habis sikap prejudis perkauman, membuang budaya politik memfitnah dan penyakit buruk manusia yang lain.

Pada masa sama, melahirkan sikap toleransi kepada sesama manusia, tasammuh kepada agama dan kepercayaan lain.

Sesungguhnya kedua peristiwa di hujung minggu ini merupakan manifestasi kepada keperluan hidup manusia yang paling hakiki di dunia ini. Ia menterjemahkan kombinasi dua keperluan asas manusia.

Nisfu Syaaban merupakan keperluan rohani berdimensi ukhrawi, manakala Piala Dunia menjadi wadah kepada manusia untuk melampiaskan keperluan jasadi yang berdimensi duniawi.

Bagi umat Islam, tentu saja keperluan dimensi duniawi dan ukhrawi ini perlu diseimbangkan selaras dengan ajaran Islam yang menghendaki manusia untuk tidak taksub dengan sebarang perkara.

Demam Piala Dunia boleh dirai dan dipestakan. Akan tetapi pada masa sama, ia perlu diseimbangkan dengan keperluan untuk memenuhi dimensi ukhrawi. Tengok bola boleh, solat malam dan zikir dilaksanakan. Kedua-duanya perlu berjalan seiring.

Pada kebiasaannya, terjaga di waktu malam hari adalah waktu yang paling sukar bagi kita untuk bangun, apatah lagi untuk melaksanakan solat tahajud.

Demikianlah tabiat jiwa itu cenderung mengikut hawa nafsu, bersifat malas dan suka mencari alasan. Akan halnya bila kita terjaga kerana hendak menyaksikan bola sepak Piala Dunia yang pada hari-hari ini telah menyibukkan masyarakat kita untuk menggunakan tenaga dan waktu kita untuk bola.

Lantaran itu, bagi memperoleh keperluan dan mendapatkan keberkatan duniawi dan ukhrawi, alangkah baiknya sekiranya peminat bola menyusun satu pendekatan yang boleh merangkumi kedua dimensi itu. Niat pertama terjaga malam hari adalah diniatkan untuk melakukan ibadah pada malam hari seperti melaksanakan solat tahajud. Baru kemudian menyaksikan perlawanan bola.

Hakikatnya, kita sebenarnya sudah biasa terjaga pada waktu malam hari. Akan tetapi malangnya kita terjaga dari tidur semata-mata untuk menyiapkan kerja pejabat yang tidak siap, menonton filem, berborak atau menyaksikan perlawanan bola sepak.

Dalam usaha kita untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, kita digalakkan untuk mengerjakan solat tahajud dan solat malam yang lain (qiamullail). Kita perlu mempunyai azam yang kuat untuk mengerjakan solat tahajud seperti mana azam kuat yang kita tanam untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Bagi memperoleh pahala terjaga malam hari, kita perlu kuatkan dengan niat untuk beribadah dulu.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: "Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." (al-Isra’: 79).

Kita harus menguatkan niat dengan kata-kata berikut: "Aku berniat untuk bangun jam 3 pagi nanti. Aku ingin menghadap Allah, mencari reda-Nya. Niatlah kerana Allah, jangan kerana yang lain."

Dengan mendirikan solat tahajud, kita dapat menzahirkan rasa cinta dan mendekatkan diri kepada Allah di suasana yang hening dan di saat orang lain sedang lena dibuai mimpi indah.

Dalam konteks Islam sendiri, bola sepak termasuk permainan yang di dalam al-Quran disebut dengan istilah ‘laib’. Perkataan ini sendiri bermaksud permainan. Dalam Islam, sukan termasuk perbuatan yang mubah hukumnya sepanjang tiada unsur yang mengharamkannya dalam permainan itu.

Kebolehan ini juga dibatasi selama tidak mengakibatkan tertinggalnya satu kewajipan sama ada yang menjadi pemainnya mahupun yang menjadi penyokongnya.

Dalam hal ini, bola sepak Piala Dunia yang kebanyakannya dipertandingkan pada dini hari, telah membuka kesempatan kepada orang Islam untuk menyempurnakan aktiviti hariannya dengan ibadah.

Sudah sepatutnya demam bola sepak Piala Dunia dijadikan momentum yang tepat untuk kita memulakan lembaran hidup kita dengan secara istiqamah mendirikan solat tahajud setiap malam. Kita boleh menjadikan peristiwa Piala Dunia sebagai titik tolak meningkatkan kualiti keperluan spiritual kita dengan mendirikan solat tajahud.

* Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan/Rencana/20140613

Jangan cemarkan keagungan agama Islam

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Persidangan Ke-187, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh, Perak semalam.

SEGALA puji milik Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187, merafakkan sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, di atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mempengerusikan Persidangan Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187 di Bangunan Kompleks Islam Negeri Perak di Ipoh, Perak, semalam. Turut serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (lima dari kiri).

Kali terakhir Almarhum bertitah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, dizahirkan semasa berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-117, bertarikh 20 Februari 1997. Antara peringatan Almarhum semasa menzahirkan titah tersebut, dapat dirumuskan kepada tujuh perkara:

Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah badan tertinggi yang diamanahkan sebagai pembuat dasar, penentu matlamat serta pengatur strategi dan keutamaan; oleh itu segala perbincangan dan keputusan Majlis mempunyai kesan besar dan langsung terhadap kedudukan serta kemajuan agama dan masyarakat Islam.

Kedua: Amanah dan tanggungjawab membangun dan memajukan masyarakat Islam perlu dipikul dengan penuh keikhlasan, kesungguhan, berstrategik dan kerelaan.

Ketiga: Kemajuan dan pencapaian ekonomi dan material tidak memberi makna sekiranya umat Islam lemah dari segi iman.

Keempat: Pentingnya pendidikan agama untuk melahirkan umat Islam yang maju, berdaya saing dan bertakwa.

Kelima: Umat Islam perlu bersatu, memiliki kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu, sanggup bekerja kuat dan memiliki disiplin yang tinggi.

Keenam: Perlunya diutamakan pembinaan sahsiah di kalangan umat Islam dengan memberikan perhatian kepada program membina keluarga dan rumah tangga bahagia.

Ketujuh: Pentingnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak memantapkan usaha memajukan tanah-tanah wakaf dan Baitulmal dan Majlis perlu berusaha untuk mendapatkan lebih banyak tanah yang strategik dan berpotensi supaya dapat dimajukan secara komersial. Walaupun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah mangkat, kata-kata yang telah dizahirkan oleh Almarhum 17 tahun lalu, hendaklah terus dijadikan kompas panduan untuk memandu arah haluan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Semoga roh Almarhum dilimpahkan segala ihsan daripada Allah SWT, ditempatkan bersama roh para Solihin.

Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah SWT, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum. Al-Fatihah.

Atas nama peribadi Beta sebagai anakanda kepada Almarhum serta bagi pihak Paduka Bonda Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun dan seluruh anggota keluarga Almarhum, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri Perak, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta pelbagai agensi, institusi, pertubuhan dan individu yang terlibat baik secara tertera dan secara terselindung, mengendalikan urusan pemakaman Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Beta amat tersentuh, menyaksikan begitu ramai kalangan rakyat jelata dari pelbagai lapisan, pegangan agama dan kaum yang datang berduyun-duyun; di kalangan mereka ada yang uzur, berusia tua, bertongkat, dipapah, berkerusi roda, berpakaian lusuh, berjalan kaki mendaki bukit - memanjat tangga istana, tetapi berhati cekal untuk menziarahi dan mendoakan kesejahteraan jenazah Almarhum.

Beta percaya, kebanyakan mereka, tidak pernah menemui Almarhum secara peribadi semasa hayat Almarhum, tetapi secara khusus, mereka mempamerkan semangat kasih setia rakyat kepada batang tubuh seorang raja pemerintah yang telah mangkat; dan secara simboliknya, mereka mempamerkan sifat kesetiaan, mendukung kelangsungan institusi pemerintahan berteraskan raja.

Dalam suasana hiba menghadapi kemangkatan ayahanda Beta, kehadiran rakyat biasa ini, telah menjadikan Balai Rong Seri Istana Iskandariah sebagai bilik darjah pengajian kepada Beta.

Pada ambang Beta dimasyhurkan sebagai seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan, pintu hati Beta dibukakan oleh Allah SWT kepada satu pendidikan yang amat berharga, untuk Beta dapat mengenali hati budi rakyat jelata secara dekat. Kehadiran mereka di Balai Rong Seri, telah menginsafkan Beta akan nilai kasih serta erti kesetiaan rakyat jelata kepada Raja mereka.

Kehadiran mereka telah meningkatkan kesedaran Beta bahawa tanggungjawab utama seorang raja pemerintah itu, adalah untuk memastikan menyempurnakan pemerintahan secara adil, mengambil berat akan hal ehwal rakyat, mempamerkan rasa kasih terhadap rakyat, membela nasib rakyat biasa yang majoriti. Bahawa raja pemerintah itu wajib memberikan setinggi-tinggi perhatian terhadap kehidupan rakyat biasa - rakyat jelata yang merupakan kumpulan majoriti penduduk dalam sesebuah negara.

Titah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 187 ini, merupakan titah sulung yang Beta zahirkan atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

Hubungan langsung Beta dengan Majlis bermula pada 1 Julai 1997, ketika Beta diperkenankan lantikan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak oleh Marhum Al-Maghfur-Lah.

Tanpa disedari, lantikan tersebut merupakan satu latihan yang disediakan oleh Almarhum ayahanda Beta, mempersiapkan diri didik Baginda, untuk pada kemudian hari nanti, mengambil tanggungjawab lebih besar sebagai Ketua Agama Islam di negeri Perak.

Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat berat; meletakkan Beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil di hari kebangkitan; dengan keinsafan dan kesedaran akan peringatan yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab bermaksud;

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" .

Pengalaman bersama ahli-ahli Majlis dan amanah untuk memimpin Majlis, telah memberi ruang memperdekat Beta dengan para ulama dan ilmuwan Islam, satu pendedahan dan pengalaman yang amat berharga.

Demikian perancangan dan wawasan seorang ayahanda kepada anakandanya, yang pada hari ini diamanahkan mewarisi takhta singgahsana seorang Raja Melayu, sekali gus dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Dengan penentuan Ilahi juga, pada pagi ini, titah sulung atas nama seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah berlangsung dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Titah yang dizahirkan pada pagi ini, merupakan titah terakhir Beta atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Beta pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak atas kapasiti seorang Yang Dipertua ketika berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-118 pada 28 Ogos 1997. Ketika menzahirkan titah, Beta telah menyentuh lima perkara utama;

Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak perlu bertindak secara strategik dan berhati-hati supaya tidak timbul kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik Majlis.

Kedua: Perlunya umat Islam memiliki disiplin dan daya ketahanan diri yang kuat terutama dalam mengharungi era globalisasi dan era teknologi maklumat.

Ketiga: Kebimbangan atas masalah gejala sosial yang kian gawat dan perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan kewarasan.

Keempat: Perlu ditingkatkan program-program keagamaan terutama program-program yang melibatkan golongan remaja.

Kelima: Perlunya institusi masjid dimakmurkan serta dihidupkan dengan pelbagai aktiviti, di samping memastikan kebersihan dan keindahan landskap di perkarangan dan kawasan masjid.

Perkara-perkara yang Beta zahirkan semasa pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis, masih relevan dan masih perlu diberikan perhatian. Sehingga persidangan ini, Beta telah mempengerusikan 70 kali Persidangan Majlis.

Beta menzahirkan penghargaan di atas bimbingan dan nasihat yang telah disampaikan kepada Beta oleh ahli-ahli Majlis demikian juga oleh para alim ulama untuk membolehkan Beta menyempurnakan amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan di bahu Beta.

Beta memohon untuk terus mendapat nasihat dan bimbingan daripada para alim ulama, memandu Beta untuk memenuhi amanah yang lebih besar sebagai Amirul Mukminin.

Mempertahankan kemurnian, kesucian serta keagungan syiar Islam adalah amanah serta tanggungjawab besar yang wajib disempurnakan sebaik mungkin dan tidak boleh dikompromikan.

Tanggungjawab tersebut hendaklah disempurnakan secara bijaksana lagi bestari, baik dalam bentuk kata-kata yang diungkapkan begitu juga melalui tindak tanduk yang dilakukan oleh umat Islam, lebih-lebih lagi oleh institusi yang diamanahkan dengan urusan hal ehwal Islam.

Umat Islam dan institusi yang berkaitan wajib memperlihatkan sebaik contoh teladan ketika memenuhi tanggung jawab yang telah diamanahkan dengan melaksanakannya secara amanah, jujur, adil lagi saksama. Umat Islam wajib mencerminkan minda berilmu dan berperibadi mulia.

Imej Islam perlu dicerminkan melalui gerak kerja yang berlandaskan unsur-unsur keinsanan serta sifat-sifat kemanusiaan, bersandarkan hikmah - bersandarkan timbang rasa. Keagungan agama Islam jangan sama sekali dicemarkan kerana adanya tindak tanduk bersifat impulsif lagi ofensif yang didorong naluri; sesungguhnya tindak tanduk sedemikian amat tidak bijaksana.

Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya. Hakikat ini wajib diterima dan amat perlu difahami. Islam bukan sahaja pegangan akidah beragama; Islam adalah addin, budaya dan tata cara adab kehidupan yang lebih menyeluruh. Islam amat mengutamakan keadilan - mementingkan keharmonian - menganjur perdamaian; dan sama sekali tidak membenarkan perlakuan berunsur penindasan.

Untuk itu umat Islam dan institusi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam perlu peka kepada sensitiviti penganut agama lain. Pada masa sama, orang bukan Islam pula wajib memahami serta menghormati sensitiviti umat Islam.

Mereka hendaklah sensitif akan perasaan umat Islam apabila mereka memilih untuk mengupas apatah lagi ketika mereka memilih untuk mengkritik secara terbuka perkara-perkara menyentuh hukum hakam Islam serta seruan Ilahi yang terkandung di dalam al-Quran, begitu juga panduan kehidupan yang terkandung di dalam Sunah Rasul.

Membina keharmonian adalah tanggungjawab kolektif semua warga. Oleh itu perbuatan tidak melanggar batasan dan tidak menyeberangi sempadan antara agama, wajib dihormati oleh setiap warga pada setiap masa.

Seorang Yang Dipertua baru akan dilantik untuk menggantikan Beta. Namun Beta akan terus memantau dan mengikuti secara dekat kegiatan-kegiatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Berikanlah sepenuh kerjasama kepada pengganti Beta.

Semoga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sentiasa mendapat rahmat serta petunjuk Ilahi dan terus mencipta kejayaan lebih gemilang lagi cemerlang. Utusan/Rencana/20140613

Teguhkan tembok keimananmu

SALAM dari Madinah Al-Munawarrah. Seorang wanita muda bercerita tentang keseronokan dan cabarannya bekerja di syarikat penerbangan antarabangsa.

Usianya sekitar 20-an. Katanya dengan wajah ceria: "Alhamdulillah. Seronok, tidak pernah terfikir diberikan peluang oleh Allah melihat negara orang."

Namun, cabaran hebat baginya adalah rakan-rakan sejawat. Tentu sekali tingkah laku dan perangai manusia ini pelbagai. Ada masanya menjadi lupa diri apabila berada di luar negeri.

Uniform syarikat penerbangannya membenarkan menutup aurat walaupun tidak sempurna, tiba-tiba mereka terpengaruh dengan cara berpakaian dan pergaulan bebas orang-orang di negara Barat apabila menjejakkan kaki di sana.

Ujarnya: "Saya bimbang lama-kelamaan terikut-ikut dengan pembawaan mereka. Cuma satu yang difikirkan setiap kali membuat keputusan iaitu Allah ada di mana-mana sahaja."



MASJID merupakan tempat terbaik bagi umat Islam untuk memantapkan keimanan.

Duhai wanita yang diberikan akal untuk berfikir... Subhanallah! Itulah keimanan. Ia menjadi pendinding atau benteng bagi orang yang takut kepada kemurkaan Allah. Mereka tahu Allah melihat, walau tiada orang lain melihatnya. Mereka takut dengan hukum Allah di akhirat walaupun mereka belum lagi melihatnya.

Seorang wanita 50-an pula menceritakan perasaan bersalahnya kepada saya ketika kami bersalaman usai solat Asar di Masjid Nabawi. Beliau bertugas di hospital pakar di Singapura dengan berulang-alik setiap hari di kediamannya di Johor Bahru.

Katanya: "Hati saya bersimpang-siur apabila ditugaskan merawat kaum lelaki. Namun, memikirkan mereka dalam kecemasan dan darurat lalu saya teruskan rawatan. Saya mohon keampunan Allah."

Tidak menutup aurat

Namun, ada perkara yang lebih besar daripada itu. Katanya, hatinya tidak tenang dengan uniform yang disediakan oleh pihak hospital. Uniform tersebut tidak menutup auratnya. Setiap kali mengenangkan perkara itu terasa bagaikan mahu berhenti atau mencari pekerjaan di tempat yang membenarkan beliau menutup auratnya.

Katanya lagi: "Balik umrah ini, saya nekad mahu bersara. Cukuplah dengan apa yang telah saya lalui selama ini."

Duhai wanita yang diberikan akal untuk berfikir... Subhanallah! Itulah keimanan. Ia datang dengan perasaan bersalah dan ketakutan dengan kemurkaan Allah. Lalu, kita memohon keampunan Allah dan berusaha sesungguh hati untuk tidak lagi mengulanginya. Percayalah kepada Allah. Insya-Allah, akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.


ALLAH mengurniakan kepada orang-orang yang beriman perasaan bersalah ketika melakukan
sesuatu yang tidak baik sekali gus menghindarkan diri daripada melakukannya. - Gambar hiasan

Hakikatnya, berapa ramai yang mulutnya kata begitu tetapi hatinya terasa berat untuk melepaskan apa yang ada di tangan. Mereka bimbang tidak akan memperoleh sebagaimana yang dimiliki ketika ini.

Duhai wanita yang diberikan Allah akal untuk berfikir... Bukankah rezeki itu milik Allah?

Jika benar kita beriman dan percaya kepada rezeki kurniaan Allah, apa yang ditakutkan? Sesungguhnya, setiap kejadian telah dijanjikan Allah rezekinya.

Fikirkanlah.. Haiwan, serangga, unggas malahan hidupan sebesar zarah tidak membawa atau memikul rezeki kurniaan Allah ke mana-mana. Burung yang terbang pada waktu pagi tidak tahu di mana ia akan memperoleh rezeki. Namun, pulang semula ke sarang dengan membawa habuan.

Manusia itu terlalu tamak haloba dengan harta benda kurniaan Allah. Mereka suka menghimpun kekayaan dan kalau boleh mahu Allah menambahnya lagi dan lagi. Sedangkan dia secara sedar mengetahui sumber rezeki itu dan keadaan tempat mencari rezeki itu tidak memenuhi syariat Islam. Hati mereka bergelodak dengan perasaan resah.

Sesungguhnya, Allah mengurniakan kepada orang-orang yang beriman perasaan unik rasa bersalah apabila mereka melakukan sesuatu. Ia pendinding diri. Jika itu berlaku sebaik mungkin jauhilah ia. Usah diteruskan dan fikirkan alternatif lain.

Syaitan pula akan terus berbisik-bisik menampakkan elok perlakuan itu pada pandangan mata. Wanita yang diberikan akal untuk berfikir seharusnya tahu membezakan pilihan antara yang baik dan buruk. Mereka mampu membezakan yang mana satukah mendapat keredaan atau kemurkaan Allah.

Di dalam surah al-Maidah, ayat 100 Allah berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Disebabkan itu, bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya."

Ujian keimanan

Duhai wanita yang diberikan akal untuk berfikir... Sesungguhnya kehidupan ini suatu ujian keimanan. Allah sentiasa menguji, apakah kita benar-benar beriman kepada-Nya atau seorang pendusta. Sedangkan orang-orang terdahulu juga diuji keimanannya. Ada yang gagal dan ada juga yang berjaya melepasinya.

Mulut kita berkata, kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman. Berapa ramai apabila dicabar agar berhenti atau meletakkan sahaja jawatan yang membuatkan mereka resah tetapi tidak sanggup melakukannya.

Bibir kita tidak putus-putus menyatakan uniform kerja, pekerjaan yang dilakukan, sumber pendapatan yang subhah dan pelbagai lagi yang meragukan kesucian rezeki, namun masih juga meneruskannya.

Duhai wanita yang diberikan akal untuk berfikir... Teguhkan tembok keimananmu agar sentiasa utuh dan tidak goyah. Kosmo Varia 13 Jun 2014

Perjuangan Ibnu Taimiyyah tegakkan Islam

SUNNATULLAH sebagai seorang pejuang Islam, ALLAH SWT akan memberikan ujian dan dugaan untuk menaikkan darjat setiap pejuang agar lebih dekat dengan-Nya. Ia juga turut dihadapi Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah.

Ibnu Taimiyyah dilahirkan di daerah Harran, Dimashq pada 661 Hijrah ketika dunia Islam menghadapi ujian daripada ALLAH ibarat ombak di lautan. Ketika itu tentera Monggol melakukan serangan terhadap dunia Islam sehingga menyebabkan golongan Muslimin berasa lemah, hina dan berpecah sesama mereka. Tambahan pula, pada zaman itu juga tersebar di dunia Muslimin, kekejaman kaum Tartar dan bangsa Eropah selain peperangan saudara sesama negara Islam sendiri.



Walaupun berada dalam penjara, Ibnu Taimiyyah dapat menghasilkan kitab. - Gambar hiasan


Seorang Muslim yang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana mengamalkan agama, pasti akan timbul jiwa pejuang yang ingin memperjuangkan agamanya dan mempertahankannya daripada serangan musuh. Begitu juga, Ibnu Taimiyyah yang membesar ketika dunia Islam dalam keadaan berpecah-belah dan saling berperang sesama mereka.

Bahkan pengaruh musuh luar cuba menghancurkan Islam menyebabkan beliau berfikir apakah punca utama penyebab kepada keadaan sedemikian.


Ujian dihadapi Ibnu Taimiyyah

Ibnu Taimiyyah menyedari masalah utama perpecahan tersebut adalah kejahilan dalam agama Islam itu sendiri serta jauhnya umat Islam daripada petunjuk Rasulullah SAW, ditambah lagi kemunculan pengaruh luar yang masuk dalam kalangan umat Islam ketika itu.

Oleh itu, Ibnu Taimiyyah bertekad menuntut ilmu syarie dan menyampaikan kepada umat Islam dengan jalan memahami, menghayati dan mempraktikkan serta mendakwahkan agama sebagai jalan penyelesaian masalah yang dihadapi ketika itu.

Imam Adz-Zahabi berkata: “Ketika zamannya, guru kami (Ibnu Taimiyyah) adalah orang yang paling menonjol dalam bidang ilmu pengetahuan, keberanian dan kecerdasan.

Beliau sangat mengambil berat dengan hal ehwal kaum Muslimin dan sering memberikan nasihat kepada umat Islam di samping menjalankan kerja dakwah kepada mereka (al-amru bil makruf wa annahyu ‘anil munkar ). ( Rujuk Dzail Thabaqat al-Hanabilah)

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara beberapa kali ketika menyampaikan ilmu dan melakukan kerja dakwah kepada umat Islam. Syeikh Bakr bin Abdullah Abu Zaid menyatakan dalam mukadimah beliau bagi kitab al-Jami’ li sirati

Syeikhil Islam Ibnu Taimiyyah khilal Sab’a Qurun setelah Ibnu Taimiyyah berumur 32 tahun, beliau dimasukkan ke dalam penjara sebanyak tujuh kali iaitu empat kali di Kaherah dan Iskandariyyah, Mesir dan tiga kali di Dimashq. Beliau keluar masuk penjara bermula daripada tahun 693 H sehinggalah beliau wafat dalam penjara di Dimashq. Penjara dan sebab Ibnu Taimiyyah dimasukkan dalamnya adalah:

1. Penjara pertama
Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara kali pertama dalam tempoh yang singkat di penjara Dimashq pada tahun 693 H, hal ini disebabkan fitnah dilakukan seorang Kristian yang mengaku Islam bahawa Ibnu Taimiyyah menghina Nabi Muhammad SAW.

2. Penjara kedua
Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara di Kaherah selama 2 tahun 6 bulan, bermula daripada Ramadan tahun 705 H hingga 707 H, hal ini disebabkan perjuangan Ibnu Taimiyyah dalam masalah berkaitan akidah iaitu masalah berkaitan al-‘Arsy, al-Kalam dan al-Nuzul.

3. Penjara ketiga
Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara di Mesir selama beberapa hari bermula pada tahun 707 H, hal ini disebabkan desakan daripada tokoh sufi di Kaherah terhadap Ibnu Taimiyyah kerana beliau melarang daripada al-Istighasah (meminta bantuan) dan al-Tawassul (menjadikan pengantara) daripada makhluk yang telah mati.

4. Penjara keempat
Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara buat kali keempat di penjara Mesir pada tahun 708 H selama dua bulan, sebab beliau dimasukkan ke dalam penjara adalah ketika beliau baru sahaja keluar daripada penjara buat kali ketiga, beliau melakukan perjalanan ke Dimashq tetapi sewaktu dalam perjalanan, beliau dihalang oleh seorang yang mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah Mesir pada masa itu iaitu Nasr al-Manbaji al-Haluli yang ingin memasukkan Ibnu Taimiyyah ke dalam penjara semula.

Apabila perkara ini dibawa kepada pengadilan, kebanyakan hakim daripada Mazhab Malik berselisih pandangan sama ada memasukkan Ibnu Taimiyyah ke dalam penjara ataupun tidak dan akhirnya Ibnu Taimiyyah dimasukkan semula ke dalam penjara disebabkan kehendaknya sendiri untuk kemaslahatan.

Sewaktu dalam penjara, masyarakat awam sentiasa menziarahi beliau untuk menuntut ilmu dan mengambil fatwa daripada beliau dalam permasalahan agama.

5. Penjara kelima
Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara al-Iskandariyyah pada tahun 709 H selama beberapa bulan. Hal ini juga disebabkan oleh orang yang sangat memusuhi Ibnu Taimiyyah iaitu Nasr al-Manbaji al-Haluli, ketika ini Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara berseorangan diri.

6. Penjara keenam
Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara buat kali keenam pada tahun 726 H selama 5 bulan 28 hari di penjara Dimasyq disebabkan permasalahan sumpah dalam at-Talaq. Disebabkan permasalahan ini, Ibnu Taimiyyah  menghasilkan kitab bertajuk Ar-Raddul kabir ‘ala man ‘iktarada ‘alaihi fi masalati al-hilf bi at-Talaq.

7. Penjara ketujuh
Ibnu Taimiyyah dimasukkan ke dalam penjara buat kali ketujuh juga di penjara Dimashq selama 2 tahun 3 bulan 14 hari sehingga malam tarikh wafat Ibnu Taimiyyah iaitu pada tahun 726 H disebabkan permasalahan al-Ziarah. Sewaktu berada di dalam penjara tersebut juga, Ibnu Taimiyyah menghasilkan kitab yang bertajuk ar-Raddu ‘ala al-ikhnai.

Selama dalam penjara-penjara tersebut, Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menulis banyak buku dan sering mengirimkan surat kepada rakan-rakan beliau yang berada di luar untuk bertanyakan keadaan umat Islam. Walaupun beliau berada di dalam penjara, beliau tidak pernah berkeluh kesah, gelisah, marah walaupun beliau dipenjarakan.

Beliau pernah berkata: “Penjara adalah tempat untuk aku menyendiri dalam beribadah kepada ALLAH, jika aku dibunuh, aku akan mati sebagai seorang syuhada’, dan jika aku diusir daripada negeriku, maka itu adalah waktu untuk aku melancong ke tempat orang lain”.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menambah lagi: “Seandainya aku diberikan emas sepenuh benteng penjara ini, nescaya ia tidak sama dan serupa dengan kesyukuranku atas nikmat yang ALLAH berikan kepadaku (pahala dan ganjaran yang besar yang ALLAH berikan disebabkan perjuangan beliau untuk Islam)”. Dikatakan juga  beliau telah berkata: “Disebabkan perbuatan mereka (memfitnah, menuduh dengan tuduhan dusta, menzalimi) terhadap diriku, ALLAH akan memberikan ganjaran yang sangat besar melebihi emas sepenuh benteng penjara ini”. (Rujuk Dzail Thabaqat al-Hanabilah)

Murid beliau, Ibnul Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata : “Demi ilmu ALLAH, aku tidak pernah melihat seorang pun yang hidupnya lebih tenang daripada Ibnu Taimiyyah, walaupun beliau berada di dalam penjara, dizalimi, difitnah dan sebagainya, namun beliau adalah orang yang sentiasa berada dalam keadaan tenang dan tenteram, kebahagiaan jiwa yang beliau rasai telah zahir pada wajahnya”. (Rujuk al-Wabil as-Sayyib)

Pastinya, ketenteraman hati, kekayaan jiwa yang diperoleh oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah disebabkan keteguhan beliau dengan al-Quran dan Sunnah serta keimanan yang teguh dengan qada’ dan qadar ALLAH.

ALLAH SWT berfirman: “Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah An-Nahl: 97)

Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir mentafsirkan ayat ini dengan berkata: “Ini adalah janji daripada ALLAH kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan amal kebaikan sama ada lelaki mahupun perempuan dengan penuh keimanan kepada ALLAH dan rasul-Nya dan memahami setiap amal yang diperintahkan ALLAH disyariatkannya.

Jika semua ini dipenuhi, ALLAH akan menganugerahkan kepada hamba tersebut kehidupan yang baik sama ada di dunia mahupun akhirat”. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Inilah asam garam kehidupan seorang pejuang yang menegakkan Islam ke serata alam. Walaupun kebanyakan masa beliau  dalam penjara kerana menegakkan kalimah-Nya, tetapi beliau hadapinya dengan hati yang lapang dan reda dengan ketentuan Pemilik seluruh alam ini.

Benarlah apa yang dikatakan Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: “Hakikat orang yang dipenjarakan adalah orang yang hatinya terpenjara daripada mengingati Rabbnya, sedangkan hakikat orang yang ditawan adalah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya sendiri”.

Semoga ALLAH memberikan kita semua taufik untuk memiliki jiwa yang besar seperti Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah.

BIN NUBA BIRO NASIHAT ILMUWAN MALAYSIA (ILMU) Sinar Harian Rencana 13 Jun 2014

Ibnu Taimiyyah musuh Syiah

SEMUA maklum akan kesesatan kelompok Syiah di sisi penilaian Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Tidak terbilang betapa ramainya golongan ulama ASWJ bangkit menentang mereka secara ilmiah terutamanya melalui pena yang tajam dan hikmah.

Ketajaman mereka melumpuhkan segala senjata kesesatan Syiah, sekali gus meletakkan mereka dalam status yang sangat dibenci, didengki dan dimusuhi Syiah.

Antara tokoh imam ASWJ yang masyhur memusuhi dan dimusuhi Syiah ialah Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullaah (w728H) yang mengarang kitab dan ensiklopedia yang tidak terhitung bilangannya. Tulisan beliau banyak sekali menambah kesesatan iktikad kumpulan sesat seperti Syiah, Qadariah dan Jahmiyyah.


Senjata padu

Sebahagian karya terunggul beliau yang menjadi senjata padu mematahkan benteng Syiah ialah Minhaaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fii Naqdhi Kalaami al-Syii’ah wa al-Qadariyyah (Metodologi Sunnah Nabawiyyah Dalam Membantah Perkataan Syiah dan Qadariyyah).



Berhati-hati dengan bahan bacaan yang disulami anasir negatif. - Gambar hiasan


Kitab yang disiapkan dalam sembilan jilid ini pada dasarnya dikarang beliau untuk membantah kitab yang berjudul Minhaaj al-Karaamah fii Ma’rifat al-Imaamah (Metodologi Karamah Dalam Mengetahui Perihal Imamah), ditulis seorang tokoh imam Syiah pada zaman beliau iaitu Ibnu Al-Muththahhar al-Hillii (w726H) diberi gelaran al-‘Allaamah oleh golongan pelampau Syiah.

Beliau menulis kitab ini juga dengan tujuan untuk menghantarnya kepada salah seorang penguasa Dinasti Ilkhan (dinasti Islam yang mengusai sebahagian besar Asia Barat dan India Timur) bernama Khudabandah yang pada asalnya seorang Sunni tetapi berpaling kepada Syiah disebabkan penyelewangan Ibnu Al-Muththahhar Al-Hillii.

Nukilan emas Syeikh al-Islam ini terus dimanfaatkan murid dan pengikutnya dengan penghasilkan pelbagai judul ringkasan merentasi zaman. Antara yang masyhur ialah ringkasan ditulis murid utama beliau iaitu al-Imam al-Hafizh al-Dzahabi (w748H) bertajuk Minhaaj al-I’tidaal fii Naqdhi Kalaam Ahl al-Rafdh wa al-I’tizaal (Metodologi Yang Benar Dalam Membantah Kalam Rafidhah dan Muktazilah).

Selain daripada al-Dzahabi, ringkasan juga ditulis oleh Syaikh Abdur Rahman bin Hasan bin Muhammad bin Abdil Wahhab, Syaikh Abdullah al-Ghunaiman dan Syaikh Muhammad Maalullaah. Namun, kitab ini juga tidak ketinggalan dibidas kembali oleh tokoh Syiah bernama Mahdi bin Salih al-Qazwaini.


Penyokong Syiah  'panas'

Kehebatan hujah Ibnu Taimiyyah melalui karya beliau telah membuatkan para imam Syiah serta penyokong taasub mereka kepanasan sehingga mereka bersungguh-sungguh berusaha menimbulkan pelbagai penulisan serta serangan balas untuk memfitnah Ibnu Taimiyyah.

Lihat sahaja kepada pelbagai tuduhan yang dilontarkan ke atas beliau oleh kelompok Syiah ini terutama fitnah besar, Ibnu Taimiyyah memperlekehkan Ali bin Abi Talib radhiyallaahu ‘anhu serta ahli keluarganya.

Sedangkan dengan jelas kita boleh selusuri pujian dan pengiktirafan Ibnu Taimiyyah terhadap Amirul Mukminin ini di dalam kitab beliau Minhaaj al-Sunnah serta Majmuu’ Fataawaa. Contohnya sepertimana yang dinukilkan daripada Minhaaj al-Sunnah (3/406), “Adalah Ali bin Abi Talib radhiyallaahu ‘anhu adalah Khalifah al-Rasyidin al-Mahdiyyin yang terakhir”. Begitu juga pujian beliau lagi: "Dan beliau sebaik-sebaik ahli bait dan sebaik-baik Bani Hasyim setelah Nabi SAW". (Majmuu’ Fataawaa, 4/496)

Tidak cukup dengan itu, Ibnu Taimiyyah juga dituduh sebagai kafir oleh Syiah dan ini boleh dilihat melalui tulisan-tulisan terutama di laman sesawang mereka antaranya al-kafi, net dan sebagainya. Beberapa tahun lepas seorang tokoh Syiah di Kuwait yang bernama Muhammad Baqir Al-Mahri yang mendakwa dirinya sebagai wakil kepada seluruh Maraji’ Syi’iyyah telah menyerang ketokohan Ibnu Taimiyyah dek kerana tidak berpuas hati dengan tulisan beliau yang jelas menerangkan kesesatan aqidah Syiah.

Beliau menuduh Ibnu Taimiyyah telah membawa manhaj takfir dan taasub serta menggesa agar pengikut Ibnu Taimiyyah meninggalkan negara itu.

Beginilah jelasnya permusuhan yang dilancarkan oleh Syiah baik dalam kalangan tokoh-tokoh mereka juga pentaksub-pentaksub. Permusuhan ini  membawa kesan yang sangat negatif sehingga ada juga dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang secara membuta tuli menelan fitnah ini dan menolak karya bermanfaat beliau yang selama ini banyak memberi khidmat kepada ummah.


Tidak gerun

Golongan pemfitnah ini seolah-olah tidak gerun dengan amaran ALLAH tentang dosa memfitnah dan mereka kisah dusta tentang seseorang. Haruslah diingatkan kepada seluruh masyarakat Islam secara am dan di Tanah Melayu secara khususnya agar berhati-hati dengan fitnah dibawa oleh kelompok Syiah yang kebanyakannya menyamar di belakang jubah ASWJ.

Syeikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah bukanlah tokoh ASWJ yang tunggal difitnah dan dicerca serta dikafirkan kelompok ini, bahkan tidak terbilang tokoh ASWJ yang lain menerima nasib yang sama.

Semoga ALLAH merahmati Syeikh Al-Islam atas jasanya yang mulia dan mengampuni segala silap dan salah beliau. Semoga kita semua terhindar daripada tertipu dengan kesamaran fitnah musuh-musuh Islam dan kekal diberi taufik dan hidayah ALLAH untuk kekal berdiri teguh di atas agama Islam bermanhajkan Aqidah ASWJ yang diambil daripada jalan Nabi SAW dan sahabatnya radhiyallaahu ‘anhum. DR FATHUL BARI MAT JAHYA 13 Jun 2014 Sinar Harian Rencana 13 Jun 2014