June 14th, 2014

Judi rosakkan jiwa, terdedah perbuatan syirik

Menjelang Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung, dibimbangi ejen-ejen judi bola kembali aktif membuat pertaruhan judi bola.

Mereka menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan demi menarik minat ramai orang. Dengan bermatlamatkan mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, ia menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai perkara yang ditegah syarak.

Dalam al-Quran jelas larangan berjudi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, arak, judi, pemujaan berhala dan menilik nasib dengan batang anak panah adalah semuanya kotor, keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah, ayat ke-90).

Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Ia sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad serta merosakkan perangai mahupun budi pekerti seseorang.

Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah babi.” (Riwayat Muslim).

Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada ia sedikit atau banyak dan kecil atau besar.

Judi diberi nama yang bermacam-macam seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dosa besar. Islam awal-awal lagi mengharamkan judi, tapi masih ada dalam kalangan orang Islam yang terbabit dalam kegiatan judi.
Ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, melakukan pemujaan di kubur lama, pokok besar serta sebagainya.


Allah SWT menerangkan judi adalah suatu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa. Ia perbuatan menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus.

Ia boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT. Dr Mohd Shukri Hanapi berkhidmat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang Berita Harian Agama 2014/06/14 - 00:17:13 AM

Iktibar Tanah Suci: Layanan istimewa warga tua, OKU

Mendapat tempat untuk mengerjakan haji atau umrah semuanya bergantung atas jemputan Allah. Ada orang duit sudah melimpah ruah tetapi masih belum berpeluang ke Tanah Suci. Ada juga orang duit tidak mencukupi, tetapi dapat menjejakkan kaki ke sana.

Adakala duit sudah ada, pasti ada saja halangan termasuk giliran yang panjang dan kesihatan tidak mengizinkan. Ada juga mereka yang kesihatan tidak mengizinkan tetapi masih tetap dijemput sebagai tetamu Allah.

Untuk ke Tanah Suci bukanlah seperti melancong ke negara lain yang sebaik mendaftar dan membayar pakejnya, kebarangkalian untuk meneruskan perjalanan adalah 100 peratus, melainkan ada halangan yang tidak dapat dielakkan.

Justeru, janganlah kita berputus asa, walaupun pada senarai giliran menunggu untuk mengerjakan ibadat Rukun Islam kelima itu mungkin memakan masa lagi 40 hingga 50 tahun, apa yang penting adalah sentiasa berdoa dijemput sebagai tetamu-Nya.

Bukan hanya berdoa, kita hendaklah yakin doa dimakbulkan. Dengan izin-Nya, pasti apa yang dimohon pasti dimakbulkan, seperti firman Allah yang bermaksud, “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombong diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina,” (Surah al-Mu’min, ayat 60).

Begitu juga golongan orang kurang upaya (OKU) atau mereka yang lemah fizikal akibat sakit seperti orang tua, pasti ramai yang menganggap sukar bagi mereka untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah kerana kedua-dua ibadat itu memang tidak dinafikan memerlukan kekuatan fizikal.

Untuk saie saja hampir tiga kilometer, ini tidak termasuk berjalan kaki untuk ke tempat melontar Jamrah di Mina yang lazimnya kedudukan khemah rakyat Malaysia sejauh kira-kira tiga kilometer sehala.

Begitu juga penginapan di Makkah yang jauh sehingga ada kala yang tidak bernasib baik sejauh satu kilometer kerana pembinaan pembesaran Masjidilharam serta pembinaan hotel baharu.

Realitinya, apabila berada di Tanah Suci kita dapat melihat jutaan jemaah bukan hanya terdiri daripada orang muda dan golongan pertengahan yang sihat fizikal tetapi warga tua yang uzur dan OKU. Lebih menakjubkan golongan ini dapat mengerjakan ibadat dengan sempurna dan dipermudahkan Allah.

Pengalaman mengerjakan ibadat haji dan umrah bersama suami yang OKU, benar-benar membuka mata betapa Allah benar-benar memberikan kemudahan serta kelebihan kepada tetamu istimewa ini.

Apa tidaknya, ketika saat jemaah lain terpaksa bersesak-sesak untuk mengerjakan tawaf di bahagian bawah, golongan OKU diberi kelebihan menggunakan mataf (kawasan dikhaskan bagi kerusi roda) yang dikawal ketat oleh pengawal Masjidilharam pada saat waktu puncak musim haji.

Bukan itu saja, ramai yang menawarkan bantuan untuk membantu menolak kerusi roda tatkala memanjat bukit Safa dan Marwah.

Kadang-kala apabila tawaf dalam masjid pula, walaupun dalam keadaan bersesak, pasti laluan di hadapan seolah-olah kosong dan mudah saja untuk menolak kerusi roda suami.

Pernah suatu hari, kami ditawarkan menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Madinah berbanding bas bersama jemaah lain. Disebabkan harga yang terlalu tinggi dan wang tidak mencukupi, penulis terpaksa menolak tawaran itu walaupun suami berkali-kali memberitahu beliau mahu menaiki kenderaan itu.

Nasib menyebelahi kami, sehari sebelum bertolak pihak pengurusan memberitahu ada hamba Allah menaja untuk membawa mereka yang sakit dan OKU menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Madinah yang hanya mengambil masa tiga jam berbanding lapan jam menaiki bas.

Di Madinah pula untuk memasuki kawasan Raudah umpama ke medan perang kerana terpaksa bersesak-sesak dengan ribuan jemaah tidak kira di tempat wanita mahupun lelaki.

Sekali lagi, laluan mudah bagi suami yang berkerusi roda apabila tidak perlu berbaris dan berebut kerana pengawal kawasan Raudah itu membenarkan saya dan sahabat yang menolak kerusinya bersolat di tepinya sedangkan jemaah lain terpaksa berbaris panjang untuk masuk ke kawasan itu.

Berita Harian Agama 2014/06/14 - 00:24:00 AM Mona Ahmad

Berzakat walaupun tidak layak

ADAKAH seseorang yang tidak mempunyai syarat wajib zakat yang sempurna atas dirinya, masih boleh mengeluarkan zakat? Apakah hukumnya jika dia masih mahu memberikan zakat, sedangkan dia tidak mampu? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:  Terima kasih kerana mengajukan persoalan ini. Mudah-mudahan jawapan yang disajikan ini mampu memberikan kejelasan kepada ramai orang Islam yang mungkin merasa kurang faham mengenai keadaan wajib zakat dan hukumnya jika diri mereka mengeluarkan zakat dalam keadaan diri masih di luar batas wajib zakat.

Baiklah, di dalam Islam telah ditetapkan bahawa apabila seseorang itu sudah mempunyai syarat wajib zakat yang cukup atas dirinya, maka pada saat itulah kewajipannya datang. Samalah halnya dengan kewajipan solat, puasa dan haji. Selagi tidak cukup sempurna syarat wajibnya, maka tidaklah berdosa jika tidak bersolat, berpuasa dan berhaji. Demikian jugalah zakat.

Kenapakah Islam meletakkan semua syarat wajib tersebut? Hal ini tidak lain, kerana Islam adalah agama samawi (langit) yang diturunkan oleh Allah SWT bukalah bersifat menekan manusia. Sebaliknya, Islam adalah agama yang sangat mudah untuk diamalkan. Walaupun kondisi hukum itu asalnya wajib malah fardu, tetapi jika seseorang itu tidak mempunyai ‘kelayakan’ yang cukup, maka tidak diberati ke atasnya malah tidak berdosa jika ditinggalkan.

Islam tidak sama dengan lain-lain anutan yang merupakan agama bikinan manusia. Bayangkan, dalam kepercayaan lain, untuk menunaikan ketaatan sudah pun memerlukan biaya yang sangat tinggi. Perlu menyediakan sembahan tertentu, perlukan perantaraan dan sebagainya. Ia memberatkan penganutnya, berbanding Islam yang sangat ringan dalam menunjukkan ketaatan kepada Allah SWT.

Adapun lima syarat asas zakat itu ialah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul dan ditambah tiga lagi syarat jika mahu menunaikan zakat perniagaan, iaitu memang barangan itu telah diniatkan untuk diniagakan, halal barangannya dan transaksinya juga patuh syariah. Hal ini telah pun dibicarakan dalam siri-siri Bicara Zakat yang lalu.

Dalam pada itu, suka dinyatakan bahawa di samping persyaratan harta itu melebihi nisab zakat, harta itu juga mestilah melebihi daripada keperluan diri dan keluarganya. Jika ia sudah melebihi keperluan, maka baharulah ia wajib dikeluarkan zakatnya.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepada kamu (Muhammad), apakah yang wajib mereka nafkahkan (zakatkan)? (Maka) katakanlah, apa yang berlebih daripada keperluan.

Adapun keperluan asasi di sini, hendaklah ia berdasarkan ketetapan syarak, bukannya atas kemahuan diri sendiri atau ketetapan sendiri. Misalnya, jika makanan, maka yang dikatakan asasi itu ialah makan dua kali sehari. Maka, jika makan sudah sampai 14 kali sehari, itu bukan lagi asasi namanya. Jika rumah, maka rumah itu mampu melindungi diri dan keluarganya daripada bahaya, maka jika sampai sebuah rumah banglo 14 bilik, itu bukan lagi keperluan namanya. Maka, keperluan itu dikira berdasarkan keperluan, yang jika ia tidak dipenuhi akan memudaratkan diri dan keluarga sendiri.

Fuqaha menjelaskan lagi, bahawa syarat berlebih daripada keperluan ini menunjukkan orang-orang Islam yang kedudukan harta mereka hanya cukup-cukup untuk keperluan diri sendiri dan orang-orang yang berada dalam lingkungan wajib nafkahnya (seperti anak, isteri dan ibu bapa), maka orang berkenaan hendaklah terlebih dahulu memastikan diri dan tanggungan nafkah wajibnya mendapat hak mereka daripada hartanya.

Maka, tidaklah orang berkenaan diperbolehkan mengeluarkan zakatnya, kerana jika dia melakukan sedemikian, ia akan menzalimi diri dan orang-orang yang secara hakiki menjadi kewajipannya untuk dinafkahi. Namun timbul persoalan lain, iaitu apa kala dia tetap mahu mengeluarkan zakatnya dalam kondisi diri dan tanggungannya juga masih belum terpenuhi keperluannya, maka apakah hukumnya?

Maka, di sini jika dengan zakat yang dikeluarkan itu menyebabkan tanggungnnya menderita (misalnya tidak dapat makanan yang cukup), maka hakikatnya dia sudah pun menzalimi diri dan orang-orang yang sewajarnya menerima santunannya. Dan jika kerana dia menunaikan zakat sehingga mereka dizalimi, maka apakah statusnya? Bukankah orang yang zalim itu berdosa?

Di dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Wahai hamba-hamba-Ku! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan, dan Aku jadikan ia haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim menzalimi. (riwayat Muslim)

Oleh itu, janganlah melakukan sesuatu yang menjadikan diri terjatuh ke dalam kezaliman kerana ia tidak berbaloi untuk ditanggung di akhirat. Apakah wajar dan tidak zalim namanya, kerana zakat yang dikeluarkan itu adalah untuk orang lain, sehingga orang yang tidak ada kaitan darah dengannya mendapat makanan yang cukup, walhal anak dan isteri malah ibu bapanya sendiri yang kelaparan. Bukankah itu namanya satu kezaliman? Utusan/Bicara_Agama/20140613

Tegakkan kebenaran

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-‘Asr: 3)


Sayyid Qutub berkata: “Ayat di atas dengan jelas menentukan jalan yang betul, iaitu seluruh manusia berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman, melakukan amalan yang soleh dan saling berpesan supaya menjunjung agama yang benar dan bersikap sabar. Inilah satu-satunya jalan dan tiada jalan lain, iaitu jalan beriman dan beramal soleh dan menegakkan masyarakat Islam yang bersatu padu menjaga agama yang benar dengan berbekalkan sifat sabar."

Antara dhawabit yang perlu wujud dalam ilmu perlaksanaan pencegahan jenayah syariah ialah:

Ketegasan dalam menegakkan kebenaran

Ini amat penting kerana tanpa ketegasan sudah pasti kebenaran tidak tertegak. Seperkara yang lebih penting sikap pemerintah hendaklah memberi kerjasama yang baik. Ini kerana, pemerintahan yang memelihara kitab Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW, sekali gus melaksanakan semua batasan yang telah digariskan di dalamnya serta beriltizam dengan hukum-hukumnya. Mereka mengimarahkan masjid-masjid bersama rakyat jelata. Bahkan pintu rumah sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran rakyatnya dan memuliakan mereka sebagai tetamu.

Mereka menghormati para ulama dan memuliakan ahli ilmu. Dengan berlapang dada, mereka bersedia mendengar nasihat dan tunjuk ajar, bahkan sedia menerima kritikan dan teguran. Pemerintahan pada masa itu merupakan pemimpin gerakan kebangkitan untuk mempertahankan kesucian dan kehormatan Islam. Prinsip jihad disematkan dalam setiap rakyatnya kerana mereka disirami dengan pesanan agung daripada Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a: “Tidak akan menimpa sesuatu kaum yang meninggalkan jihad kecuali Allah akan mengenakan azab secara menyeluruh." (riwayat al-Tabrani dalam al-Ausath no. 3839)

Hasilnya Islam diperhebatkan di seluruh pelosok dunia bagi memberi “erti hidup" kepada seluruh manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

Sabar ketika melaksanakan tugas

Sudah pasti dalam melaksanakan nahi mungkar terlalu banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, sehinggakan nyawa menjadi taruhannya. Justeru, kesabaran ulul azmi perlu dipupuk dengan mengingati kelebihan tuhan. Benarlah firman Allah SWT: Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah. (al-Nahl: 127)

Sayyid Qutub berkata: “Kemudian al-Quran menyampaikan pesanan kepada Rasulullah SAW dan pesanan ini juga merupakan pesanan bagi setiap pendakwah selepas beliau, iaitu janganlah beliau berdukacita apabila melihat orang ramai tidak mahu menerima hidayah, kerana yang menjadi tugasnya hanya menunaikan kewajipannya sedangkan persoalan hidayah dan kesesatan itu adalah di tangan Allah mengikut peraturan-Nya yang telah ditetapkan pada fitrah manusia, pada kesediaan-kesediaan dan bakat-bakat kebolehannya, pada arah-arah tujuannya dan perjuangannya menuju hidayah atau menuju kesesatan.

“Begitu juga, beliau jangan merasa bosan menghadapi tipu daya mereka kerana tugas beliau hanya berdakwah keran-Nya dan Allah akan memeliharanya daripada segala tipu daya dan tindakan jahat, Allah tidak akan membiarkan beliau menjadi mangsa kepada tipu daya para penentangnya, sedangkan beliau berdakwah dengan ikhlas dan tidak mengingini sesuatu faedah untuk kepentingan dirinya di sebalik dakwah itu.

“Beliau mungkin ditimpa penindasan yang menyakitinya untuk menguji kesabarannya dan mungkin lambat menerima kemenangan atau pertolongan Allah untuk menduga keyakinan dan kepercayaannya kepada Allah tetapi akibatnya tetap terjamin dan diketahui umum. DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan/Bicara_Agama/20140613

Rukun haji

ALHAMDULILLAH, dalam ruangan kali ini, penulis akan membincangkan isu rukun haji mengikut mazhab Syafi’e. Antara kitab yang menjadi rujukan utama penulis ialah, Al-Fiqh Al-Manhaji hasil karya guru-guru kami iaitu, Syeikh Mustafa Khin, Syeikh Mustafa Bugha dan Ali Syarbaji.



Telah dinyatakan bahawa rukun ialah bahagian-bahagian yang asas bagi sesuatu ibadah. Justeru, rukun haji merupakan amalan yang sekiranya ditinggalkan satu daripadanya, ibadah haji akan terbatal dan tidak boleh digantikan dengan sebarang kaffarah dan fidyah.

1 Ihram

Rukun ini berdasarkan hadis sahih, Nabi SAW bersabda: “Haji itu ialah Arafah. Sesiapa yang datang ke Arafah pada malam perhimpunan sebelum fajar terbit, bererti dia dapat ibadah haji tersebut." (riwayat al-Tirmizi (898), al-Nasaie, Ibnu Majah, Imam Ahmad, Ibnu khuzaimah, al-Baihaqi, al-Daraqutni, al-Thayalisi dan Imam Malik dalam al-Muwatta’)

Justeru, wukuf merupakan teras utama bagi seluruh amalan haji, seolah-olah ibadah haji itu semata-mata wukuf di Arafah. Arafah ialah nama sebuah bukit yang berbanjar, menghala ke Mina, kira-kira 25 kilometer ke tenggara Mekah.

2 Wukuf di Arafah

Syarat-syaratnya:

Pertama: Wukuf hendaklah dalam tempoh waktu Zuhur, hari yang ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar pada Hari Raya Korban. Ini bererti, seseorang yang wukuf di Arafah sebelum atau selepas tempoh tersebut, hajinya tidak sah.

Dalam hal ini, memadai berada di Arafah seketika dari tempoh wukuf tersebut sama ada siang ataupun malam. Namun, afdal menghimpunkan kedua-dua bahagian siang dan malamnya. Justeru, sesiapa yang meninggalkan Arafah sebelum terbenam matahari, dia sunat menyembelih binatang ternakan sebagai dam disebabkan berlainan daripada perbuatan Rasulullah SAW.

Kedua: Wukuf di tempat yang dikehendaki di Arafah. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW: Di sinilah aku berwukuf dan seluruh Arafah adalah tempat berwukuf. (riwayat Muslim (3011), Abu Daud, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

Oleh itu, tidak memadai wukuf di `Urnah, yang bertentangan dengan sempadan Arafah, ditandai dengan batu-batu besar. Lakukan lah solat Maghrib dan Isyak secara jamak ta'khir di Muzdalifah semasa perjalanan balik ke Mina kerana ia perbuatan baginda SAW.

3 Tawaf Ifadhah

Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Haj: 29. Begitu juga perbuatan Nabi SAW, sebagaimana yang tersebut dalam hadis Jabir r.a yang diriwayatkan oleh Muslim.

Syarat sah:

Pertama: Hendaklah mempunyai semua syarat, sebagaimana syarat sah sola. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Tawaf adalah sebagaimana solat kecuali Allah SWT membenarkan perbuatan berkata-kata ketika tawaf. Sesiapa bercakap, hendaklah bercakap dengan perkara yang baik-baik. (riwayat al-Tirmizi (975), Imam Ahmad, al-Nasaie dan al-Tabarani)

Kedua: Semasa tawaf, mana-mana bahagian badan, janganlah termasuk ke dalam sempadan Kaabah. Hendaklah tawaf di luar kawasan Hijr Ismail kerana ia juga termasuk kawasan Kaabah.

Ketiga: Dimulai dari Hajar Aswad dengan Kaabah berada di sebelah kiri badan. Sesiapa yang memulakan tawaf di belakang garisan Hajar Aswad ia belum dikira tawaf sehingga dia sampai ke garisan tersebut.

Keempat: Hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak tujuh kali.

4Sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah

Safa dan Marwah merupakan dua buah bukit yang berhampiran dengan Kaabah, manakala sa’ie di antara kedua-duanya bermaksud berjalan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya sebanyak tujuh kali, iaitu dari Safa ke Marwah dikira sekali dan dari Marwah ke Safa dikira sekali dan begitulah seterusnya.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW. "Baginda menghadap kiblat untuk bersa’ie, lantas Baginda bersabda: “Wahai manusia! Kerjakanlah sa’ie." (riwayat al-Daraqutni (2613) dan al-Baihaqi)

Begitu juga, hadis daripada Jabir r.a yang diriwayatkan oleh Muslim tentang cara ibadah haji Nabi SAW. Antara kandungannya: Kemudian, Baginda keluar daripada pintu menuju ke arah Safa. Apabila hampir sampai ke sana, Baginda pun membaca firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah. Baginda bersabda lagi: Aku mulai dengan sesuatu yang Allah memulakannya. Lalu Baginda naik ke atas bukit Safa, sehingga ternampak Kaabah. (riwayat Muslim (3009), Abu Daud, Ibn Majah, Ibnu Hibban, Abi Ya’la, al-Daraqutni, al-Baihaqi dan al-Darimi)

5 Bercukur

Pengertian bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan alat apa sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dan yang lainnya.

Perhatian: Mereka yang tidak mempunyai rambut sunat melalukan pisau cukur di atas kepalanya.

6Tertib

Sebahagian besar rukun ini mestilah dilakukan secara tertib, iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf dan sa’ie. Sementara bercukur boleh dilakukan selepas atau sebelum tawaf.

Persoalannya, adakah tertib rukun yang keenam ataupun syarat bagi cara melaksanakan rukun-rukun? Dalam hal ini, terdapat perbezaan pendapat dalam Mazhab Syafie. DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim)   Utusan/Bicara_Agama/20140613