June 16th, 2014

Ramadan ibarat bonus tingkat ketakwaan

Persediaan bukan sekadar makanan, minuman, tetapi juga membabitkan perisian rohani

Sebaik-baik amalan bagi menambahkan tahap kemuliaan kita di sisi Allah SWT adalah melakukan ibadah dengan penuh tawaduk dan rendah diri. Maka sesiapa yang bertawaduk kerana Allah SWT, maka ia akan diangkat oleh Allah ke tahap yang lebih tinggi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan kemuliaan dan ketinggian, maka bagi Allah sahajalah segala kemuliaan dan ketinggian.” (Surah Fatir, ayat 10)


Imam Ibnu Taymiah berkata, ketika bertambahnya amalan seseorang, maka bertambahlah kemuliaannya serta darjatnya di sisi Allah SWT. Justeru, apabila hampirnya Ramadan, kita akan merasai bahang dan motivasi beribadah kerana Ramadan itu sendiri adalah bulan ibadah.

Ramadan bonus tingkat ketakwaan

Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan ibadah, maka Ramadan adalah bonus dan dana untuk meningkatkan ketakwaan. Mereka akan sentiasa mendapat anugerah serta pujian daripada Allah SWT.

Allah SWT telah memuji kekasihnya Ibrahim dengan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya dan suka beribadah.” (Surah Hud, ayat 75)

Amalan puasa Nabi Daud boleh dijadikan contoh kerana baginda banyak beribadah di samping berpuasa sehari dan berbuka sehari secara berselang seli. Baginda SAW amat menyukai amalan Nabi Daud serta menyarankan umatnya melakukan ibadah puasa.

Di samping beribadah dengan penuh khusyuk dan berharap, Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya kerana ibadah adalah penyambung talian hayat antara makhluk dan pencipta. Allah SWT kurniakan kepada Nabi Zakaria khabar gembira ketika sedang beribadah dengan anugerah anak soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya.” (Surah Ali-Imran, ayat 39)

Demikian juga Nabi Isa yang sentiasa menjadikan ibadah sebagai rutin harian dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah ia (beribadah).” (Surah Maryam, ayat 36)

Rasulullah pilih jadi Nabi, ahli ibadah

Baginda Muhammad SAW telah diberi pilihan oleh Allah SWT sama ada menjadi seorang Nabi dan berkuasa sebagai raja atau menjadi seorang Nabi yang banyak peluang beribadah. Maka Baginda SAW memilih seorang Nabi yang juga ahli ibadah.

Sabda Baginda SAW: “Aku lebih suka menjadi seorang Nabi yang abid (ahli ibadah) di mana aku berpuasa sehari lalu memuji Allah SWT dan berbuka sehari lalu bersyukur kepada-Nya.”

Allah SWT menyifatkan sahabat serta mereka yang beriman sebagai mereka yang banyak ibadahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu akan melihat mereka rukuk dan sujud kepada Allah SWT serta menuntut kelebihan dan keredaan-Nya. Terdapat tanda-tanda keimanan pada wajah mereka kerana terlalu banyak sujud kepada Allah SWT.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Alangkah indahnya jika sekalian ibadah yang dilakukan dapat disuburkan pada Ramadan mulia ini kerana Ramadan mendapat status bulan yang terbaik dalam setahun. Siang dan malamnya dipenuhi keberkatan amat luar biasa daripada malam lain.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya telah datang bulan Ramadan yang diwajibkan kamu berpuasa, pintu syurga dan langit terbuka luas untuk ahli ibadah, sesiapa yang leka akan terus leka, syaitan dibelenggu dan Allah SWT memperuntukkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” (Riwayat Muslim)

Ibnu Arabi berpendapat pintu syurga dibuka kerana menerima banyak harapan daripada hamba kepada penciptanya, amalan semakin bertambah, ikatan iman semakin kukuh dan tahap kesabaran menjadi benteng yang kuat.

Ditutup pintu neraka adalah simbolik kepada penghinaan terhadap syaitan serta berkurangnya statistik kemungkaran dan kemaksiatan. Ibnu Rejab berkata, segala amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh ganjaran sehingga tujuh ratus gandaan melainkan puasa yang menerima ganjaran daripada Allah SWT tanpa had tertentu.

Mereka yang beriman akan merasa gembira dengan kedatangan Ramadan dan mereka yang gelisah ketika menjelang Ramadan hendaklah memperbanyakkan istighfar serta memohon ampun kepada Allah SWT.

Bukan bertumpu persediaan makanan, minuman

Sebenarnya persediaan menyambut Ramadan bukanlah tertumpu kepada makanan dan minuman, malah ia adalah persediaan iman, kesabaran dan ketaatan. Hanya mereka yang benar-benar menghayati konsep puasa dapat menuai hasil lumayan pada Ramadan.

Ketika Nabi Musa bermunajat, baginda berkata: “Wahai Tuhanku, adakah di sana manusia yang lebih mulia dariku? Allah SWT menjawab: Wahai Musa, ada di kalangan hamba-Ku yang datang pada akhir zaman di mana mereka memuliakan bulan Ramadan dan aku amat hampir dengan mereka ketika itu. Wahai Musa, ketika kita berbicara, sebenarnya kita dipisahkan oleh 70,000 hijab atau pendinding, akan tetapi apabila mereka berpuasa, aku akan menyingkap semua hijab untuk mereka.”

Oleh itu, kita hendaklah berdoa supaya Allah SWT memberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan ini kerana kita tidak mengetahui bilakah akan berakhirnya hayat kita. Kita amat mengharapkan anugerah kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan ibadah secara maksimum di bulan mulia. Berita Harian Agama 2014/06/16 - 03:13:58 AM Zamanuddin Jusoh

Usah biar isu babi jejas silaturahim

Tindakan terburu-buru merugikan dakwah

Nampaknya perbahasan isu babi masih tidak habis. Minggu lalu saya mencadangkan dijauhi saja kedai ultra kiasu yang sengaja memasukkan najis babi bagi tujuan mengaut keuntungan dan merosakkan hati umat Islam.

Alasannya, kita ada pilihan kedai orang Islam yang terjamin halal. Cuba lihat pembuatan bihun di kilang ultra kiasu seperti yang tersebar dalam laman sosial baru-baru ini. Cap masjid lagi. Betapa jijik dan kotornya. Mereka hanya fikirkan untung. Justeru, belilah bihun orang Islam. Begitu juga produk lain, jika ada pilihan.


Apapun perlu diingat, babi itu tetap makhluk Allah, bukan jadian syaitan. Kita dilarang makan, tetapi sifat dan rupa babi sebagai makhluk Allah mesti dihormati. Jika tidak, kita mengeji kejadian Allah ini. Kufur jadinya.

Tidak mustahil babi akan mengadu kepada Allah, “Adakah aku dijadikan untuk dikeji dan dihina.” Ingat! Semua makhluk yang dijadikan Allah adalah untuk kita. Kita akan diuji dengan makhluk ini, tidak kira sama ada ia halal atau tidak.

Apatah lagi kita tinggal dalam masyarakat berbilang kaum. Untuk mendapatkan 100 peratus halal memang sukar. Duit yang kita pegang berlegar-legar di kedai babi, sampai kepada kita, kenapa kita tidak samak duit itu?

Apakah selepas ini kita perlu memandang kepada lalat dan berkata, pernahkah lalat ini hinggap di kedai babi. Jika pernah, maka kita akan buru dan bunuh lalat itu kerana takut terkena pada badan dan makanan kita.
Saya masih teringat ketika pergi ke sebuah pasar. Kedai babi dan kedai ayam berdekatan. Bagaimana pergaduhan berlaku hanya kerana lalat dari kedai babi terbang ke kedai ayam. Kita tidak boleh terima sama sekali jika terkena babi. Hatta, memandang babi pun tidak mahu. Hina sungguh babi.

Usah naif

Begitu juga dengan darah dan organ yang didermakan oleh bukan Islam. Adakah kita perlu menyamak benda itu sebelum dimasukkan ke dalam badan orang Islam. Adakah sampai ke peringkat menukarkan darah? Naif sungguh kita. Kenapa kita tidak menyamak udara yang dihembuskan oleh babi dan bersin babi? Adakah mampu untuk kita mengasingkan udara dan bersin yang keluarkan itu?

Sama juga dengan isu anjing. Apakah salah atau berdosa besar mereka yang memelihara anjing? Anjing wajib dibela, jika hanya anjing saja yang boleh membantu keselamatan negara, mengesan jejak orang jahat, pembunuh, perogol, penagih dadah dan sebagainya.

Zaman duhulu, orang Islam membela anjing bagi tujuan menjaga kebun, perburuan dan menunjuk arah (kompas). Artikel ini bukan bertujuan atau menggalakkan orang Islam memelihara anjing, tetapi jangan kerana anjing dan babi, putus tali silaturahim.

Malah, cendekiawan Islam, Hassan al-Basri mahu kita meniru 10 sifat anjing. Kenapa bukan binatang lain untuk kita tiru seperti kucing yang menjadi binatang kesayangan kita? Antara sifat mulia anjing; pertama, anjing tidurnya amat sedikit, banyak berjaga pada waktu malam. Kiasannya, kita perlu berjaga malam untuk sujud kepada Allah. Kedua, anjing tidak tidur di tempat tinggi atau lebih tinggi daripada tuannya, tetap tidur di tempat rendah, begitu sifat manusia yang tawaduk dan rendah diri.

Ketiga, anjing apabila disuruh, dia akan ikut kata tuannya. Begitu juga kita sebagai pelajar, ikutlah kata guru yang benar ajarannya. Keempat, anjing tidak merajuk jika dimarahi dan dipukul oleh tuannya, malah akan kembali semula. Begitulah juga kita yang ingin mencari ilmu. Jangan mudah merajuk atau terasa hati, bila dimarahi atau mungkin dipukul sedikit.

Kelima, bila anjing berlari ke depan, dia akan terus bergerak ke hadapan, tidak berpatah balik. Begitu juga dengan kita. Jangan mudah berputus asa dan majulah ke hadapan. Keenam, anjing sentiasa lapar tetapi jarang makan sampai kenyang. Begitu juga manusia, lapar akan sentiasa mengingatkan diri kepada Allah, puasa adalah iktibarnya.

Ketujuh, anjing tidak ada tempat tetap, sentiasa berpindah randah. Itulah sifat kita semua sebagai pendakwah yang sentiasa bergerak untuk menyebarkan syiar Islam.

Kelapan, bila anjing mati, tidak ada apa yang ditinggal atau diwarisi. Kiasannya, inilah sifat zuhud. Jangan terlalu tamak mengumpulkan harta sehingga melupakan orang lain. Kesembilan, jika tempatnya diambil orang lain atau diletakkan benda lain, anjing tidak berebut atau bergaduh atau berdendam, sebaliknya akan berpindah ke tempat lain. Inilah sifat hamba yang reda dengan bahagiannya.

Kesepuluh, jika diberi makan, anjing akan makan. Jika tidak, hanya memandang dari jauh. Inilah sifat manusia yang perlu ada, reda dengan bahagiannya. Justeru, perlukah kita memandang hina pada makhluk yang begitu mulia sifatnya ini?

Sebab itulah, tindakan kita perlu berhati-hati agar tidak merugikan dakwah. Saya masih teringat, ketika mula memeluk Islam, ada yang mencadangkan supaya apabila balik ke rumah ibu bapa saya, seluruh rumah dan peralatan perlu disamak.

Kita terlalu sensitif dengan DNA babi, tetapi kenapa dalam soal rasuah, judi, arak, zina, hiburan melampau dan sebagainya dipandang ringan. Ingat saudaraku! Babi ciptaan Allah. Suka atau tidak, kita perlu menerimanya dengan penuh hikmah. Cuma berhati-hatilah. Justeru, berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan.

Penulis ialah Profesor Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu.   Berita Harian Rencana 2014/06/16 - 00:24:24 AM Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Dugaan' buat tetamu Allah

BELUM reda perasaan umat Islam Indonesia yang terguris kerana kes rasuah dalam projek penerbitan kitab suci al-Quran dua bulan lalu, tercetus pula dakwaan rasuah dalam penyelenggaraan urusan haji.

Lebih mendukacitakan, suspek utama dalam kes rasuah melibatkan urusan kewajiban umat Islam itu ialah Menteri Agama Indonesia sendiri, Suryadharma Ali.

Aduh, apa lagi yang boleh disandarkan pada orang yang seharusnya memelihara dan meningkatkan syiar Islam, jika mereka sendiri juga alpa dan dibawa ke muka pengadilan kerana jenayah rasuah?

Itulah persoalan yang membelenggu kalangan umat Islam di Indonesia.

Benar, urusan haji tidak boleh dibuat main-main. Bahkan, seboleh-bolehnya setiap bakal jemaah yang ingin mengunjungi rumah Allah, perlu menjauhkan diri daripada mengeluh kerana setiap dugaan yang diterima diyakini ada hikmah yang menanti.

Dalam era masa kini, bukan mudah untuk seseorang umat Islam itu mendapat peluang mengerjakan haji, kerana setiap seorang daripada mereka harus menunggu giliran bagi mendapat peluang ke Tanah Suci.

Tempoh penantian pula bukan mengambil masa setahun dua, sebaliknya makan bertahun-tahun sehingga ada yang terpaksa menunggu 20 tahun!

Itu realitinya, bukan sahaja di Indonesia tetapi senario yang sama berlaku di Malaysia kerana kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk umat Islam mengerjakan Rukun Islam kelima itu sangat terbatas.

Kuota bagi Indonesia seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi pada setiap tahun ialah sebanyak 221,000 jemaah sahaja.



PENYELEWENGAN dan rasuah melibatkan Kementerian Agama Indonesia ternyata telah meluluhkan hati kebanyakan rakyatnya.


Sementara setiap tahun, lebih dua juta umat Islam akan berhimpun di Tanah Suci untuk melaksanakan ibadah yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah.

Justeru, apabila skandal rasuah penyelenggaraan haji didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia melibatkan pemimpin atasan, ia saling tidak ubah seperti meletakkan garam ke atas luka umat Islam.

Ini bukan sesuatu yang mahu di dengar oleh bakal jemaah atau mereka yang membuat simpanan dalam dana haji bagi membolehkan hasrat mengunjungi rumah Allah tercapai.

Lalu, apabila penyelewangan dalam ‘perniagaan haji’ yang disifatkan sebagai perniagaan berskala tinggi berlaku, ia seharusnya mencetuskan keresahan dan kebimbangan.

Dibongkar

Urusan penyelenggaraan urusan umat Islam untuk ke Mekah melibatkan pelaburan yang cukup besar.

Individu yang membuat simpanan dalam dana haji pula tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menerima bunga atas simpanan kerana ia menyimpang daripada tuntutan.

Sebaliknya, seluruh kepercayaan diberikan kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan pemergian mereka menunaikan haji atau umrah.

Kerana itu, apabila skandal rasuah penyelenggaraan haji di negara yang mempunyai umat Islam paling ramai di dunia dibongkar, ia mengundang pelbagai spekulasi.

Yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana manipulasi bermula daripada urusan memberi keizinan kepada bakal jemaah berkunjung ke Mekah sehinggalah pengelolaan dana yang nilainya cukup besar.

Kecurigaan terhadap urusan penyelenggaraan haji mula dihidu pada tahun 2012 dan KPK mengambil masa hampir setahun untuk membuat penyelidikan yang cukup rapi kerana bimbang jika tersalah dakwaan, ia bakal membawa kesan yang lebih buruk.

Suryadharma tidak bernasib baik apabila dituduh menyalahgunakan kuasa yang ada padanya dengan membawa ahli keluarga, kerabat terdekat serta teman-teman seramai lebih 30 orang mengerjakan haji menggunakan sisa kuota yang masih ada pada musim haji 2012-2013.

Tidak hanya mengangkut ahli rombongannya, sebaliknya, Suryadharma juga didakwa terlibat salah guna kuasa dalam urusan penyelenggaraan tempat tinggal atau kediaman jemaah haji Indonesia di Mekah dan Madinah.

Berdasarkan rekod yang dikeluarkan pihak berkuasa, sebanyak 200,222 bilik penginapan disewa oleh Kementerian Agama sepanjang musim haji tahun berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, hanya 194,311 bilik sahaja yang terpakai sedangkan baki bilik itu tidak digunakan tetapi sudah dibiaya oleh kerajaan.

Tambah meluluhkan hati umat Islam juga ialah berlaku penyelewangan dalam dana jemaah haji sehingga akaun bank atas nama Suryadharma turut dikaitkan menerima sejumlah wang yang dipercayai wang simpanan jemaah.

Berdasarkan laporan yang didedahkan, selain Menteri Agama, terdapat sembilan orang pegawai tertinggi di Kementerian Agama juga memiliki kuasa untuk mengeluarkan wang dari simpanan haji itu.

Pengeluaran wang dari dana haji itu pula berputar dan mengalir untuk keperluan-keperluan yang bukan untuk kegunaan penyelenggaraan haji.

Kepada Suryadharma dan pegawai-pegawai lain di Kementerian Agama, jemaah meletakkan harapan agar kebajikan dan urusan perjalanan tetamu Allah itu dilindungi dengan sebaik-baiknya.

Bukannya memanfaatkan peluang dan potensi yang ada di depan mata untuk kepentingan diri sendiri semata-mata.

Sehingga kini, Suryadharma baru disebut sebagai suspek dan siasatan ke atas beliau belum dilakukan oleh KPK.

Begitupun, mujurlah beliau sudah mengundurkan diri sebagai Menteri Kabinet kerana setidak-tidaknya beliau mahu memikul tanggungjawab sepenuhnya.

Kasihan sekali tetamu-tetamu Allah yang tidak bersalah. Mereka hanya menjadi mangsa pihak yang mementingkan diri sendiri.
Utusan/Bicara_Agama/20140615  SAHARUDIN MUSTHAFA

Dengar pendapat orang berilmu, jangan beremosi

Isu DNA babi yang masih diperkatakan di negara ini banyak menyerlahkan kepelbagaian pendapat, idea, dan suara hati masyarakat. Masing-masing mempunyai hujah dan pandangan tersendiri.

Keprihatinan dan sikap mengambil tahu masyarakat Islam terhadap tahap halal sesuatu produk makanan dan kegunaan harian haruslah dipuji. Ia benar-benar mencetuskan polemik hangat di ruangan media mahu pun menjadi bualan mulut masyarakat.

Sensitiviti terhadap isu ini menunjukkan bahawa umat Islam peka dengan setiap apa yang disuapkan ke mulut. Namun, sebagai orang awam, isu ini seharusnya diserahkan kepada pihak berautoriti dalam industri halal negara.

Bukan itu sahaja, malah usahlah mudah meletakkan hukum sekiranya tiada ilmu dan kepakaran mengenainya lebih-lebih lagi tentang agama.

Dalam isu ini, terdapat sebilangan masyarakat yang cuba untuk menafsir dan memberikan hukum berasaskan pendapat emosi sendiri.

Tahap keprihatinan amatlah baik namun tahap keberagamaan tidak harus diletakkan selari dengan emosi yang membuak-buak sehingga tidak jelas panduan agama yang telah digariskan.

Urusan agama biarlah diserahkan kepada ahli atau pakarnya. Beragama tanpa akal akan didominasi oleh hujah yang emosional tanpa rasional. Biarpun kita amat prihatin terhadap halal atau haram sesuatu makanan tetapi tidak meletakkan kita terburu-buru dalam membuat keputusan dan tidak menerima pandangan yang diberikan oleh alim ulama.

Benar, semuanya adalah pilihan kita sama ada memilih mengambilnya mahupun menjauhinya. Namun, mengemukakan cadangan ekstrem seperti menyamak mulut dan menukar darah bagi yang telah termakan benda yang haram adalah cukup menyusahkan dan tidak masuk akal.

Sedangkan, Islam itu mudah tetapi bukan bermakna perlu mengambil mudah dalam semua perkara. Malah Rasulullah SAW pernah bersabda; "Sesungguhnya Allah melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatu (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka".

Isu yang masih membugar dalam negara kita ini telah mewujudkan perbezaan pendapat dalam kalangan mereka yang ahli, namun ia adalah suatu perkembangan yang sihat sekiranya dilihat dari sudut positif. Perbezaan hujah dan pendapat mengikut ilmu dan kefahaman ulama, masing-masing dapat mewujudkan masyarakat yang prihatin membaca, peka, dan berfikir.

Namun, apabila berhadapan dengan isu yang melibatkan perbezaan pendapat ini, sikap terpuji yang perlu dimiliki oleh setiap daripada kita ialah tidak mudah membuat andaian dan mencerca para ulama yang berbeza pandangan dengan kita.

Barangkali disebabkan tidak biasa berdepan dengan permasalahan khilaf, mencaci dan mengeji dijadikan pakaian bagi yang tidak bersetuju dengan satu-satu pendapat. Walaubagaimanapun pun, perbincangan fiqh sepatutnya dilihat dalam konteks yang luas dan bukannya terikat kepada sesuatu pendapat sahaja.

Keterbukaan fiqh islami khususnya dalam perkara yang menjadi fitnah dan ancaman pada akhir zaman ini perlu dipandang daripada sudut yang positif. Tidak perlu untuk mencerca pandangan yang berbeza kerana sudah pasti ulama juga mempunyai ilmu berdasarkan kefahaman masing-masing.

Jika disoroti sejarah, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah menyuarakan; "Aku tidak suka kalau sahabat-sahabat Nabi SAW tidak berselisih pendapat. Kerana jika hanya terdapat satu pendapat sahaja, nescaya manusia berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka adalah imam-imam yang diikuti. Kalau seseorang dapat mengambil pendapat seseorang dari kalangan mereka, maka akan wujudlah keluasan."

Perselisihan dan perbezaan pendapat dalam Islam adalah suatu yang amat diraikan dan merupakan rahmat kepada semua manusia. Daripadanya akan terbitlah perbahasan-perbahasan ilmu dan keluasannya sekiranya ditangani dan dihadapi dengan berlapang dada.

Namun, tidak dinafikan ada juga segelintir masyarakat yang mengambil sikap berhati-hati dalam membuat penilaian. Golongan ini tidak meletakkan emosi sebagai akar perbincangan sesuatu masalah.

Sebaliknya, mengambil inisiatif mengkaji dengan lebih terperinci dan bertanyakan kepada pihak yang lebih arif tentang keabsahan sesuatu perkara. Sikap sebegini patut dipuji dan ia harus disemai menjadi tabiat yang baik apabila berhadapan dengan kekalutan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Mereka yang gagal menanggapi dan menangani isu DNA babi ini dengan sewajarnya, akan mengusutkan lagi keadaan. Akhirnya isu-isu pinggiran seperti sikap inilah yang akan mengambil tempat dan menenggelamkan isu utama yang perlu diperbahas dan diperincikan.

Ia akan merugikan dan melemahkan umat Islam itu sendiri disebabkan sikap yang tidak dipandu dengan ilmu dan akal yang baik.

Apabila berhadapan dengan isu ini, pihak pengguna Muslim perlu bertindak secara rasional dan tegas. Kita harus meletakkan sandaran dan kepercayaan kepada pihak yang mempunyai autoriti dalam penentuan halal dan haram..

Sepertimana sabda Nabi SAW: " Tinggallah perkara yang kamu ragu kepada perkara yang tidak meragukan".

Apatah lagi dalam kemelut isu DNA babi ini pula bukanlah melibatkan makanan ruji dan pengguna masih lagi mempunyai kepelbagaian pilihan makanan. Malah, tiada faktor keterdesakan atau darurat untuk mengambil makanan yang diragui kehalalannya. Semuanya terletak di tangan pengguna bagi memilih yang terbaik untuk diri sendiri.

Polemik DNA babi ini memberi banyak tekanan kepada umat Islam dari pelbagai sudut. Mudah-mudahan ia akan membuka minda dan jalan penyelesaian kepada umat Islam untuk merintis dan menggiatkan lagi industri halal dan bukan sekadar sebagai masyarakat pengguna.

Namun tahap prihatin masyarakat terhadap makanan dan barangan kegunaan perlu ditingkatkan dengan ilmu dan informasi yang tepat. Bukan sekadar mempercayai bulat-bulat kepada maklumat yang masih samar kesahihannya. Ia bakal mengeruhkan lagi kekalutan sedia ada. Tangani dengan emosi yang segar, bukan menilai dengan sikap terburu-buru kerana ia juga menunjukkan kedangkalan tahap keberagamaan kita!

Pandangan IKIM ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)   Utusan/Rencana/20140616

Makanan, bukan sekadar halal tetapi jaminan kebersihan

SEPANJANG minggu lalu, isu halal haram menjadi tumpuan masyarakat Islam. Sekali sekala isu ini timbul menyebabkan masyarakat semakin prihatin mengenai status halal barangan makanan mereka seharian. Malangnya ia sekadar dikaitkan dengan makanan, tidak meliputi beberapa perkara lain yang menjadikan makanan halal bertukar sebagai haram.

Hakikatnya, konsep halal haram ini amat luas. Banyak perkara atau tindakan yang dilakukan tidak mengikut hukum hakam Islam yang akhirnya membawa kepada apa yang kita makan itu haram walaupun mempunyai status halal. Mungkin kita lupa atau sengaja buat-buat tidak tahu mengenai bagaimana kita memperoleh pendapatan sama ada secara sah atau tidak sah. Tanpa kita sedari banyak perkara yang dilakukan dalam tugasan harian menjerumuskan kita kepada perbuatan yang terlarang.

Pernahkah kita bertanya, sejauh mana dalam tugasan harian, kita memenuhi tuntutan majikan. Adakah dalam melakukan kerja seharian, kita sebenarnya 'mencuri tulang' dengan melakukan kerja-kerja yang tidak ada kaitan dengan tugasan harian. Berapa jam sebenarnya kita bekerja? Begitu juga dengan tindakan mengambil atau menggunakan kemudahan tertentu di pejabat untuk memenuhi keperluan peribadi. Banyak lagi yang boleh diperdebatkan mengenai halal haram ini.

Disebabkan makanan yang menjadi tumpuan, eloklah dibincangkan soal makanan. Pada kebiasaannya, orang mudah membuat kesimpulan makanan itu haram selepas dikaitkan dengan DNA babi dan tidak mempunyai sijil pengesahan halal yang sah.

Umat Islam amat sensitif apabila disebut babi atau khinzir. Kebanyakan orang sama ada Islam atau bukan Islam menganggap hanya babi makanan yang diharam dalam Islam. Dulu, pernah sebuah akhbar menyiarkan iklan berbuka puasa yang memaparkan hidangan babi di sebuah hotel sempena promosi berbuka puasa. Melompat masyarakat Islam ketika itu.

Tumpuan mereka kepada babi tetapi tidak kepada perkara seperti haiwan lain yang haram dimakan serta isu penyembelihan melibatkan haiwan seperti lembu, ayam dan kambing. Adakah bekalan ayam dan daging benar-benar halal? Begitu juga halal yang berkait rapat dengan penyediaan makanan lain untuk masyarakat Islam di tempat yang sama di mana babi dijadikan hidangan.

Adakah kita tahu apa yang ada di sebalik dapur restoran atau hotel yang menyediakan menu terutama untuk berbuka puasa ini? Jika di restoran termasuk di hotel mempunyai daging babi, apakah jaminan peralatan yang sama untuk memasak babi tidak digunakan untuk masakan lain?

Sudah menjadi amalan orang kita yang akan lebih berhati-hati ketika mencari makanan halal semasa berkunjung ke luar negara tetapi apabila berada di dalam negara, mereka yakin 100 peratus dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melakukan pemantauan. Masalahnya selama mana Jakim dapat melakukan pemantauan sepanjang masa?

Masih banyak lagi produk makanan atau minuman yang tidak mempunyai tanda halal atau kesahihannya boleh diragui yang tidak diberi perhatian. Mungkin masyarakat Islam sendiri sudah keliru kerana banyak berlaku pemalsuan sijil halal dengan pelbagai bentuk dan rupa sehingga mereka lupa logo sebenarnya. Asal tertera perkataan halal pada bungkusan makanan atau minuman, mereka dapat menerimanya walaupun ia sebenarnya logo palsu yang tidak diiktiraf oleh Jakim.

Akhirnya, saban hari entah berapa banyak sesuatu yang 'haram' itu masuk ke dalam badan kita disebabkan sama ada tidak ada logo halal, logo halal palsu atau sengaja tidak ambil peduli soal halal haram. Itu baru makanan tidak lagi perbuatan kita yang menjurus ke arah `haram'.

Orang kita akan lebih mudah percaya dengan nama-nama yang bercirikan Melayu dan Islam.

Maka tidak hairanlah ada pengeluar barangan makanan dan minuman mengambil kesempatan menggunakan imej atau lambang yang mencerminkan pengeluarnya adalah orang Melayu Islam sekali gus meyakinkan pengguna mereka tentang status halal produk berkenaan.

Contohnya menggunakan gambar masjid, kubah, sejadah, songkok, tudung dan sebagainya. Begitu juga dengan perkataan-perkataan tertentu yang menampakkan ciri-ciri keislaman. Tidak mustahil juga penggunaan nama orang Melayu Islam sebagai jenama sedangkan pengeluarnya bukan Islam. Tidak salah jika jenama itu benar-benar mendapat sijil halal tetapi bagaimana jika sebaliknya? Ada juga yang menggunakan tulisan jawi untuk menambah keyakinan pengguna. Dalam hal ini, pihak berkuasa yang meluluskan pendaftaran nama produk syarikat-syarikat ini perlu memberi perhatian supaya pengguna tidak tertipu. Kita tidak mahu lambang tertentu menggantikan 'halal'.

Di samping status halal yang mengelirukan, satu perkara lagi yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan pengguna ialah mengenai kebersihan ketika proses penyediaan makanan dilakukan. Memang realitinya, bungkusan nampak cantik tetapi jika diselak semula proses penyediaannya, ternyata amat menjijikkan. Siapakah yang akan melihat sejauh mana pengeluar memberi perhatian terhadap keselamatan makanan sama ada ketika penyediaan dan penyimpanan termasuk bahan mentah?

Begitu juga dengan tahap kebersihan dan kesihatan diri pengendali makanan, kebersihan peralatan dan perkakasan. Sejauh mana etika pakaian setiap pengendali makanan? Adakah tanpa berbaju, sekadar berseluar pendek sambil tangan memegang rokok yang sememangnya difatwakan haram. Adakah kawasan tempat penyediaannya bebas daripada serangga seperti tikus, lipas, lalat, haiwan peliharaan dan sebagainya? Amat malang jika persekitaran yang kotor dan jijik ini menghasilkan produk 'halal'.

Menyentuh tentang aspek penyediaan makanan, perkara yang turut tidak diberi perhatian kerana ia bukannya berkaitan babi ialah ramuan dalam bahan makanan. Berapa ramai dalam kalangan kita peduli dengan kandungan yang tertera pada bungkusan makanan atau keperluan harian lain. Jika ada pun mungkin terperangkap dengan istilah yang mengelirukan. Misalnya bahan makanan atau kegunaan harian yang menggunakan alkohol atau lemak/minyak babi. Keadaan yang sama berlaku di restoran. Disebabkan di luar restoran sudah tertera logo halal, maka ramai yang tidak kisah dengan apa yang disediakan. Tidak ramai yang ambil peduli suasana di bahagian dapur yang gagal memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam Islam.

Kita percaya menjelang Ramadan akan datang, isu ini sekali lagi akan menjadi perhatian masyarakat Islam untuk melangkah kaki berbuka puasa di restoran atau hotel. Harus diingat, halal atau haram bukan sekadar makanan yang sudah terhidang di depan mata tetapi harus mengambil kira juga kaedah penyediaannya. Hassan Mohd. Noor Utusan/Rencana/20140616

Hudud dalam sejarah Nusantara

SAYA tertarik untuk menjawab dan menyanggah tulisan Dr. Faisal Tehrani yang dikeluarkan dalam kolum Malaysiakini yang bertajuk "Hudud Marhaen". Dalam tulisannya itu, beliau seolah-olah mendakwa bahawa pengamalan hukuman hudud dalam alam Melayu telah gagal sepenuhnya kerana mengamalkan polisi "hudud marhaen".

Kata-kata beliau bahawa "Dalam tradisi Melayu Sunni, kaum bangsawan itu 'tidak pandai berbuat salah'" ternyata semberono dan akan saya jawab dalam tulisan ini, Insya-Allah.

Sebagai umat Islam, kita mesti yakin bahawa undang-undang Allah adalah undang-undang terbaik. Dalam melaksanakan undang-undang ini, sebagai manusia yang banyak kelemahan, kerajaan-kerajaan Islam yang lampau dan masa kini pasti tidak akan terkecuali dari memiliki kelemahan-kelemahan.

Oleh itu, pelaksanaan hudud yang "sempurna", yang bebas dari kelemahan seratus peratus sememangnya sukar dilaksanakan. Dengan mengecualikan zaman Rasulullah SAW, Khulafa Ar-Rasyidin dan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh, selain mereka, pemimpin dalam kerajaan Islam lain tidak terlepas dari memiliki kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam. Namun, usaha mereka untuk melaksanakannya harus dipuji.



Sebahagian orang ramai melafazkan ikrar setia dengan pelaksanaan hudud selepas mendengar program Ceramah Umum Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di perkarangan Stadium Muhamad V, Kota Bharu, Kelantan, pada 1 Mei lalu. - Gambar hiasan

Saya yakin ramai dalam kalangan pemimpin terdahulu yang berusaha untuk menuju ke arah pelaksanaan hudud yang "sempurna' walaupun mereka pada hakikatnya gagal mencapai piawaian zaman Rasulullah dan Khulafa' Ar-Rasyidin.

Saya mengambil contoh dari sejarah kerajaan Islam Moghul di India. Jika dibandingkan zaman pemerintahan Akbar Khan yang mengabaikan pelaksanaan hukum Islam dan zaman pemerintahan cicitnya iaitu Aurangzeb, yang didakwa oleh sebahagian sejarawan India sebagai "ekstremis", ternyata zaman pemerintahan Aurangzeb lebih baik. Akidah umat Islam di zaman Aurangzeb terpelihara dengan baik dan penyebaran agama Islam berlaku dengan pesat. Tidak seperti di zaman Aurangzeb, telah muncul di zaman Akbar Khan golongan "Din Ilahi" dari kalangan rakyat terutamanya yang berasal beragama Islam. Lebih malang lagi, beliau didakwa menyokong fahaman ini yang jelas keluar dari Islam.

Tidak syak lagi, kemunculan golongan ini kerana keengganan Akbar Khan untuk melaksanakan undang-undang Islam serta memandang sinis terhadapnya. Malah beliau juga tidak terkecuali melakukan kezaliman seperti menghukum ulama yang memfatwakan kesesatan beliau. Walau apa pun kritikan sejarawan terhadap dasar pemerintahan Aurangzeb, beliau telah memerintah kerajaan Moghul dengan jayanya di samping membuktikan jasa-jasanya kepada Islam terutama dalam pengukuhan akidah rakyat, penyebaran Islam dan pembukuan "Fatawa Hindiyyah".

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam beberapa kejadian, ada kerajaan Islam yang melakukan kezaliman dalam melaksanakan undang-undang hudud, antaranya akibat dari ketidakadilan dalam proses perbicaraan dan pengadilan. Namun yang patut disalahkan ialah pemimpin tersebut, bukan undang-undang hudud. Perlu kita ketahui bahawa keadilan itu wajib disertai dalam melaksanakan hudud. Tanpa keadilan sesuatu hukuman hudud itu bukanlah hudud yang sebenar.

Selain itu, jika kita mengkaji sejarah Islam yang panjang tentang kerajaan-kerajaan Islam yang melaksanakan undang-undang Islam ini, kita akan mendapati bahawa lebih banyak yang membawa keadilan dan kejayaan berbanding dengan kezaliman dan kegagalan. Kita lihat sahaja pada sejarah kerajaan Islam Uthmaniyyah. Adakah mereka mengamalkan hudud yang sempurna sebagaimana Rasulullah SAW?

Mereka juga tidak terlepas dari kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam. Namun ketika umat Yahudi dihalau dan diseksa dengan kejam di Andalusia melalui "Dekri Alhambra" pada 1492 oleh kerajaan Kristian Sepanyol pimpinan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand, mereka memilih Istanbul sebagai tempat perlindungan dan tempat mendapatkan keadilan yang mana pada ketika itu berada di bawah pimpinan Sultan Beyazid II dari Uthmaniyyah.

Persoalannya di sini, adakah pemimpin-pemimpin dunia yang mana pada hari ini melaksanakan undang-undang warisan penjajah, telah melaksanakannya dengan sempurna? Masih terdapat banyak kelemahan dan kezaliman yang berlaku dalam negara-negara Islam walaupun mereka tidak mengamalkan undang-undang Islam. Lihat sahaja kekejaman yang dilakukan oleh Basyar Al-Assad sedangkan dia tidak mengamalkan undang-undang Islam.

Prinsip kekebalan raja-raja ini telah pun diamalkan oleh kerajaan-kerajaan monarki di Eropah seperti England, Perancis, Denmark dan sebagainya walaupun mereka tidak mengamalkan hudud.

Malah kerajaan Brunei yang sebelum ini mengamalkan undang-undang peninggalan British juga mengamalkan sistem kekebalan pada institusi Sultan. Tidak dinafikan bahawa kewujudan sistem kekebalan pada pemerintah ini bercanggah dengan Sunnah Rasulullah SAW. Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita mendakwa bahawa pelaksanaan hudud dalam sistem sebegitu akan membawa kegagalan seratus peratus.

Persoalannya mengapa ketidaksempurnaan pada pelaksanaan undang-undang warisan penjajah ini tidak dikritik sehebat ketidaksempurnaan dalam melaksanakan undang-undang Islam?

Hudud di Melaka

Jika kita merujuk kepada sumber Sulalatus Salatin semata-mata, undang-undang Islam mula diterapkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ketika zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.

Sebelum itu, undang-undang di Melaka berteraskan adat dan agama Hindu yang kuat mengamalkan sistem kasta. Namun, pengamalan Undang-undang Islam termasuk hudud sebenarnya banyak mengubah landskap pentadbiran dan politik di Melaka. Tidak lama selepas Sultan Muzaffar Syah menerapkan undang-undang Islam, Melaka mencapai kegemilangannya terutama di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah.

Jika merujuk lagi sumber Sulalatus Salatin, ketika hudud dilaksanakan di Melaka, rakyat Melaka rata-ratanya orang kaya. Ini sebagaimana yang dicatatkan "Maka Hang Nadim pun pergilah naik kapal Hang Isap; kerana orang Melaka pada masa itu, rata-rata berkapal segala yang bermodal". Kemakmuran dan kekayaan yang melanda kerajaan Melaka ialah kerana kepesatan aktiviti perdagangan di bumi Melaka.

Apabila undang-undang Islam diamalkan, pelabuhan Melaka menjadi pelabuhan yang paling aman di Nusantara sehingga menyebabkan para pedagang asing suka singgah berdagang di sini. Barangkali, inilah keberkatan yang diperolehi oleh rakyat jelata di Melaka hasil dari pengamalan undang-undang Islam.

Para kerabat sultan juga tidak kebal sepenuhnya sebagaimana zaman sebelum undang-undang Islam dilaksanakan. Ini dapat dibuktikan dalam peristiwa pembunuhan Tun Besar oleh Raja Muhammad. Akibat membunuh Tun Besar, Raja Muhammad yang merupakan pewaris takhta kerajaan Melayu Melaka telah dilucutkan takhtanya dan beliau dibuang negeri ke Pahang.

Maka itu, Sultan Alauddin Riayat Syah mewarisi takhta kesultanan Melaka walaupun beliau bukanlah putera sulong. Walaupun hukuman ini tidak setimpal, tetapi sekurang-kurangnya ia mengubah landskap politik di Melaka yang mana sebelum ini kerabat diraja bebas dari hukuman.

Selain itu, di Melaka, sultan-sultan amat menghormati golongan ulama. Sekali pun sultan yang berperibadi negatif seperti Sultan Mahmud Syah, yang amat jelik kisah kemungkarannya untuk diceritakan di sini. Namun sikap beliau yang menghormati para ulama wajar dijadikan contoh.

Siapa yang tahu, barangkali inilah keberkatan dalam melaksanakan undang-undang Islam di Melaka. Sulalatus Salatin menceritakan bahawa beliau sanggup berjalan kaki ke rumah Maulana Yusuf, seorang ulama dan bekas kadi di Melaka semata-mata mahu belajar agama.

Sedangkan pemimpin yang diceritakan bersikap negatif seperti Sultan Mahmud Syah adalah sosok yang menghormati ulama, apatah lagi sultan yang soleh seperti Sultan Ala'uddin Riayat Syah, Sultan Iskandar Muda, Pati Unus dan ramai lagi, sudah pasti mereka lebih memuliakan ulama.

Sultan Iskandar Muda

Di Nusantara, bukan sahaja Melaka yang mengamalkan undang-undang hudud, malah kerajaan-kerajaan Islam lain turut mengamalkan undang-undang hudud seperti Aceh, Buton, Demak, Banten, Cirebon dan banyak lagi. Dalam sejarah Islam di Nusantara, kerajaan Islam di Aceh merupakan kerajaan yang paling agung yang pernah didirikan di rantau ini. Malah sejarah-sejarah tentang kerajaan Aceh lebih konsisten berbanding dengan sejarah Melaka.

Dengan sebab itu, jika kesimpulan yang dilakukan semata-mata merujuk kepada Sulalatus Salatin, ia masih boleh dipersoalkan. Malah catatan-catatan China tentang Melaka seperti Ming Shi dan Ming Shi Lu ternyata banyak berbeza dengan Sulalatus Salatin. Ini jelas sebagaimana yang dicatatkan oleh Liang Liji dalam bukunya yang bertajuk "Hubungan Empayar Melaka - Dinasti Ming Abad ke 15".

Seperti di Melaka, pemerintah dan rakyat Aceh ialah penganut mazhab akidah Ahli Sunnah Wal Jamah dan mazhab Syafie dalam fiqh. Rupa paras, budaya malah bahasa tidak banyak berbeza dengan orang Melaka. Selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, Aceh mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam dan pusat perdagangan di Nusantara.

Malah Aceh adalah ancaman utama bagi Portugis di wilayah ini sehinggakan Aceh berani melancarkan jihad menyerang Potugis di Melaka. Jika kita mengkaji sejarah Aceh, zaman kegemilangan Aceh tercipta di bawah pemerintahan seorang sultan yang soleh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636). Aceh pada masa itu mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk teknologi. Malah kerajaan Islam Uthmaniyah turut "berkongsi" teknologinya dengan kerajaan Aceh.

Sultan Iskandar Muda melaksanakan hukuman hudud dalam pemerintahannya. Prof Hamka di dalam bukunya bertajuk "Sejarah Umat Islam" turut menukilkan bahawa hukuman bagi kesalahan jenayah di Aceh berdasarkan hukum syarak. Hukuman hudud dilaksanakan oleh beliau termasuk ke atas anak kandungnya sendiri.

Di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda, kerabat diraja dan sultan sendiri tidak dikecualikan dengan hukuman. Walaupun tidak dinafikan, masih terdapat kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam, tetapi kesungguhan Sultan Iskandar Muda harus dipuji. Sultan Iskandar Muda sendiri telah menjatuhkan hukuman rejam ke atas putera tunggalnya iaitu Meurah Pupok kerana didapati berzina. Akibat dari itu, Aceh kehilangan pewaris takhta kesultanan.

Oleh itu, Sultan Iskandar Muda melantik anak angkatnya yang kemudian menjadi menantunya untuk mewarisi kerajaan Aceh. Sedangkan menantunya itu, iaitu Iskandar Thani adalah orang Pahang, bukan orang Aceh. Kisah pelaksanaan hukum hudud ke atas putera Sultan Iskandar Muda ini dicatatkan oleh ramai sejarawan Aceh termasuk Ketua Majlis Ulama Aceh, Prof. Ali Hasyimi dalam bukunya "Iskandar Muda Meukuta Alam". Malah kisah ini turut tercatat di atas papan tanda di sisi makam Sultan Iskandar Muda.

Hudud Marhaen: Tidak patut "diborong semua"

Kisah tentang Sultan Iskandar Muda ini menjadi contoh bahawa bukan semua Melayu (bangsa Nusantara) Sunni itu mengamalkan polisi 'hudud marhaen" dalam melaksanakan hukuman hudud.

Oleh itu, anggapan Faisal Tehrani seolah-oleh seluruh kerajaan Islam di Nusantara melaksanakan "hudud marhaen" dengan merujuk hanya sejarah Melaka amat meleset sekali. Beliau seharusnya lebih jujur dalam penulisan dengan turut membawa contoh Sultan Iskandar Muda. Selain itu, corak kepimpinan di Melaka semata-mata tidak wajar dijadikan hujah tentang kegagalan perlaksanaan undang-undang hudud.

Adalah lebih baik kita meneladani contoh yang lebih tepat iaitu Rasulullah SAW, Khulafa' Ar-Rasyidin dan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al Ayyubi dan Muhammad Al Fateh.

Mohd. Hasanuddin Mohd. Yusof   ialah Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam Undang-undang Jenayah Islam di UKM. Utusan/Rencana/20140616