June 18th, 2014

Manfaat tonton Piala Dunia buat ibadah sunat

Setiap empat tahun, kejohanan bola sepak Piala Dunia dinanti-nanti peminat bola sepak seluruh dunia dan tidak terkecuali negara kita Malaysia. Kejohanan Piala Dunia kali ini diadakan di negara yang terkenal dengan gaya bola sepak 'samba' Brazil.

Walaupun begitu, jangan dilupakan tidak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan mulia, Ramadan penuh barakah yang mana setiap pahala amalan dilipat gandakan.

Perlawanan Piala Dunia awal pagi

Melihat jadual perlawanan, hampir semuanya berlangsung pada awal pagi antara jam 12 malam hingga 4 pagi. Dalam minat kita menonton perlawanan khususnya pada tengah malam dan awal pagi, alangkah baik jika diselangi dengan ibadah malam.

Jika dilihat dari sudut positif, kita boleh mengambil beberapa masa sebelum menonton perlawanan Piala Dunia untuk melakukan solat sunat dua rakaat pada awal pagi yang mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antaranya, solat sunat taubat dan hajat yang lebih afdal dilakukan pada waktu satu pertiga malam.

Ini sebagai latihan yang baik untuk menempuh Ramadan al-Mubarak selain kita juga dapat menonton Piala Dunia. Justeru, kesediaan kita berjaga malam sewajarnya menjadi peluang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan ibadah sunat.

Hakikatnya bukan mudah untuk mengikhlaskan diri melaksanakan solat sunat, tetapi lebih malang lagi jika kesempatan yang datang itu tidak dimanfaatkan. Berbanding duduk saja menantikan perlawanan bermula, sebaknya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT.

Hikmah Piala Dunia pada Ramadan

Mungkin ada hikmahnya Piala Dunia kali ini berlangsung pada Ramadan kerana secara tidak langsung memudahkan mereka yang berjaga untuk mengamalkan sunah Rasulullah SAW yang menggalakkan mereka yang berpuasa supaya bersahur.

Jika dulu ramai meninggalkan sahur atas alasan tidak bersedia bangun di awal pagi, kini sambil menonton Piala Dunia, masing-masing boleh menikmati juadah bersahur, diikuti dengan menunaikan solat Subuh.

Khususnya bagi generasi muda yang sebelum ini lebih suka bersahur sebelum tidur, boleh berlatih bersahur pada awal pagi. Diharapkan apabila mereka merasai nikmat bersahur pada awal pagi, ini akan menimbulkan azam untuk meneruskan amalan itu walaupun pada Ramadan yang tiada Piala Dunia.

Banyak perkara boleh mendatangkan kebaikan kepada semua jika kita bersedia mengambil manfaat positif yang ada padanya. Jangan suka mempertikaikan sesuatu perkara sebaliknya ambil yang terbaik daripadanya untuk faedah bersama. Berita Harian Agama 2014/06/18 - 02:10:06 AM Muhamad Khairul Amin Zairazi

Mencari kemanisan amal

SETIAP manusia khususnya umat Islam mempunyai matlamat dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Matlamat hidup yang utama adalah beriman, beribadat dan beramal kepada Allah SWT. Melalui amalan yang baik seseorang itu akan mendapat balasan pahala di sisi-Nya.

Namun, apa yang menjadikan manusia lupa dan lalai adalah disebabkan kesibukan mengejar kenikmatan dunia yang sementara, sehingga menyebabkan amalan yang baik terabai.

Kehidupan yang singkat dan masa yang pantas menyebabkan manusia tersedar, usia kita sudah semakin lanjut, sedangkan amalan kebaikan yang dilakukan masih boleh dikira. Dalam hal ini, lakukan amalan untuk mendapat pahala wajib dan gandakan amalan untuk mendapat pahala sunat dan isi seluruh kehidupan dengan amalan-amalan kebaikan untuk mendapat keredaan-Nya di akhirat.

Laporan akhbar setiap hari menunjukkan manusia dewasa ini semakin hilang sifat dan nilai kemanusiaan. Sifat dan nilai yang baik ini sewajarnya dididik, diperteguhkan di rumah dan di sekolah bagi melahirkan insan yang berhati budi dan mulia. Tanpa amalan dan ilmu yang baik, seseorang itu akan mudah terjerumus ke lembah kehinaan.

Amal adalah hasil daripada ilmu. Ada pepatah mengatakan, “ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah" atau “ilmu tanpa amal umpama awan tanpa hujan." “Amal itu buah, bicara hanya daun." Oleh itu, setiap amalan mestilah didahului dengan ilmu. Jelaslah, ilmu juga merupakan hasil daripada keimanan yang benar, kerana tidak dapat digambarkan wujudnya keimanan tanpa amal.

Berkaitan dengan amal perbuatan Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menerima iman tanpa amal perbuatan dan tidak pula menerima amal perbuatan tanpa iman." (riwayat Ath Thabrani)

Sementara itu, ahli tasawuf, Imam Al-Hasan Al-Bashiri mengatakan, “Carilah manisnya amal dalam tiga perkara. Kalau kamu telah mendapatkannya, maka bergembiralah dan teruslah mencapai tujuan dan jika kamu belum mendapatkannya, maka ketahuilah pintu masih tertutup rapat. Tiga perkara itu adalah; Pertama, ketika kamu membaca al-Quran. Kedua ketika kamu berzikir. Ketiga; ketika kamu sedang bersujud." Beliau selanjutnya menyarankan, “Tuntutlah ilmu, tetapi jangan melupakan ibadah. Lakukan ibadah, tetapi jangan lupa pada ilmu."

Tokoh ilmuwan Islam, Dr. Yusuf al-Qardhawi menjelaskan, amal yang dituntut adalah mengerahkan keupayaan yang rasional untuk melaksanakan matlamat syarak terhadap manusia di atas permukaan bumi yang meliputi ibadah, khilafah (pemerintahan) dan ‘imarah (memakmurkan bumi).

Memperbanyakkan amalan

Setiap amalan yang baik akan mendapat keberkatan dan pahala di sisi-Nya. Perbanyakan amalan di dunia agar mendapat balasan di akhirat. Dalam hal ini, tokoh Islam, Dzun Nun al-Masiri, berkata, hitunglah setiap amalan kamu, sebelum kamu diperhitungkan di akhirat.

Berkaitan dengan amalan, Allah SWT berfirman yang maksudnya: Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling daripada akhirat. (al-Anbiya: 1)

Memperbanyakkan amalan yang baik antaranya solat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan sedekah, menunaikan haji dan umrah dan melaksanakan perintah melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan sentiasa berzikir. Setiap amalan kebaikan yang dilakukan dalam kehidupan juga, jika diniatkan kerana Allah SWT, nescaya akan menjadi ibadah dan mendapat keberkatan di sisi-Nya.

Dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang diharapkan kebaikannya dan aman daripada kejahatannya, seburuk-buruk kamu adalah yang tidak mengharapkan kebaikannya dan tidak aman daripada kejahatannya." (riwayat At Tirmizi dan Abu Ya’la).

Dalam hal kebaikan dan keburukan, ia banyak dilakukan oleh lidah dan tangan seseorang. Oleh itu, setiap Muslim mestilah menjaga lidah daripada mengumpat, bercakap bohong, memperkatakan keburukan orang lain, mencaci-maki dan memfitnah. Selain itu, tangan juga mestilah dijaga daripada melakukan perbuatan seperti mencuri, merompak, memukul orang, merosakkan harta benda awam dan membunuh.

Selanjutnya, Nabi SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah yang menyelamatkan kaum Muslimin daripada lidah dan tangannya. Seorang mukmin adalah yang dipercayai oleh kaum yang beriman terhadap jiwa dan harta mereka dan seorang muhajir adalah yang berhijrah meninggalkan dan menjauhi keburukan (kejahatan). (riwayat Ahmad)

Mengawal

Jelaslah, lidah dan tangan manusia jika tidak dikawal boleh membawa keburukan kepada pemiliknya. Hati dan akal yang beriman sahaja yang boleh mengawal perlakuan dan perbuatan yang tidak baik yang boleh dilakukan oleh lidah dan tangan.

Banyak perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh lidah antaranya menyebar fitnah, mengacum (menghasut supaya bermusuhan), mengadu domba, berbohong, takbur dan mencaci maki. Sementara, angkara tangan pula adalah mencuri, merompak dan melakukan penyeksaan dan pembunuhan.

Berkaitan dengan perbuatan menyebar fitnah, dijelaskan daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka mengacum. (riwayat Muslim)

Begitulah, balasan kepada orang yang menyebar fitnah. Oleh itu, elakkan lidah daripada melakukan perbuatan menyebarkan fitnah yang boleh membawa keburukan kepada perpaduan masyarakat dan perbuatan tangan yang boleh menyakiti orang lain dan merosakkan alam sekitar. PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.   Utusan/Bicara_Agama/20140617

Mentaliti ‘darah nyamuk’

SUATU hari seorang jemaah haji dari Iraq mendatangi Abdulah bin Umar. Ahli Iraq pada masa itu terkenal dengan sifat-sifat yang sangat buruk. Mereka pernah menjanjikan pembelaan bagi Husein bin Ali, namun mereka meninggalkan cucu Nabi itu apabila tentera Bani Umayyah menyerang beliau. Husein dan ramai ahli keluarganya akhirnya terbunuh di Karbala.

Ahli Iraq itu mengajukan satu pertanyaan kepada Abdullah bin Umar: “Apa hukum darah nyamuk yang terkena pakaian?"

Sahabat Nabi ini menjawab: “Tengoklah orang ini. Ia bertanya tentang hukum darah nyamuk padahal mereka telah membunuh cucu Nabi! Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Mereka (Hasan dan Husein) adalah kesayanganku di dunia. (riwayat al-Bukhari)

Kisah ini mengandungi pengajaran yang sangat penting dalam analisis mentaliti umat Islam. Ramai daripada kalangan kita yang memiliki set minda seperti pemuda ahli Iraq ini. Iaitu suka membesarkan perkara yang kecil dan memperkecilkan perkara yang besar.

Darah nyamuk yang terkena pada pakaian membuat mereka tidak selesa. Namun jenayah membunuh cucu Nabi SAW dilihat biasa sahaja.

Berkata Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari: “Ibnu Umar berkata seperti itu kerana kehairanannya kepada ahli Iraq yang bertanya tentang perkara yang remeh, namun melalaikan perkara yang sangat penting."

Tangga prioriti

Merujuk kepada realiti umat Islam semasa, mentaliti ‘Darah nyamuk’ turut dijumpai dalam sesetengah masyarakat kita. Mereka sangat sibuk membincangkan perkara remeh serta meninggalkan permasalahan yang lebih perlu untuk ditangani.

Perkara-perkara remeh itu seringkali berulang-ulang setiap tahun seperti Nisfu Syaaban, bilangan rakaat terawih dan lain-lain. Padahal umat Islam sedang berhadapan dengan masalah ekonomi, politik dan sosial yang sangat besar. Belum lagi ancaman kehancuran moral dalam kalangan pemuda Islam akibat pengaruh budaya barat yang songsang.

Saya tidak menafikan perkara-perkara kecil itu pun penting. Ia memang perlu ditangani dan dicarikan jalan keluarnya. Namun sebagai Muslim kita diajarkan untuk memiliki tangga prioriti dalam menyelesaikan masalah. Dahulukan yang lebih penting sebelum memikirkan yang kurang penting.

Itulah yang cuba dilakukan oleh Abdullah bin Umar. Sahabat Nabi SAW yang menjadi rujukan ulama fikah dan hadis itu sedar tentang kepentingan aspek kesucian pakaian dalam ibadah. Namun beliau ingin mengingatkan ahli Irak ini kepada perkara lebih penting yang seharusnya mereka ambil perhatian.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan untuk meneladani cara berfikir Abdullah bin Umar dan memberi kita kebijaksanaan dalam mencari solusi bagi setiap permasalahan dengan tepat. Amin ya rabbal ‘alamin. Utusan/Bicara_Agama/20140617

Pemikir Muslim produktif

NAMA sebenar Ibnu Maskawaih ialah Abu Ali Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih (330-421 Hijrah / 941 - 16 Februari 1030). Ada yang menyebut bahawa nama tokoh ini “Maskawaih" sahaja, tanpa “Ibnu", kerana belum dapat dipastikan apakah Maskawaih adalah namanya sendiri atau nama anak lelaki (Ibnu) kepada Maskawaih.

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai ahli sejarah dan falsafah. Di samping itu, beliau juga seorang moralis, penyair serta banyak mempelajari ilmu kimia. Beliau belajar sejarah, terutamanya Tarikh at-Tabari (sejarah yang ditulis at-Tabari) daripada Abu Bakar Ahmad bin Kamil al-Qadi pada tahun 350 Hijrah / 960 Masihi, sementara beliau mempelajari ilmu falsafah melalui guru yang bernama Ibnu Khamar, seorang mufasir (juru tafsir) kenamaan yang banyak ‘mentafsir’ karya-karya Aristotle. Manakala Abu at-Tayyib ar-Razi adalah guru Ibnu Maskawaih dalam bidang kimia.

Ibnu Maskawaih mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh penting dan penguasa pada zamannya. Beliau pernah bekerja dengan Abu Fadl al-Amid sebagai pustakawan. Setelah Abu Fadl al-Amid meninggal dunia, Ibnu Maskawaih bekerja pula dengan putera a-Amid, iaitu Abu al-Fath Ali bin Muhammad al-Amid.

Kedua-dua penguasa tersebut adalah menteri pada masa Dinasti Bawaihi (945-1055 M). Selain itu, Ibnu Maskawaih juga pernah bertugas dengan Adud ad-Daulah, yang juga salah seorang penguasa Buwaihi. Ibnu Maskawaih mempunyai pengaruh besar di daerah Rayy.

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai pemikir Muslim yang produktif. Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam bidang penulisan tetapi hanya sebahagian kecil yang sekarang ini masih ada, antara lainnya ialah:

(1) Al-Fauz al-Akbar (Kemenangan Besar)

(2) Al-Fauz al-Asgar (Kemenangan Kecil)

(3) Tajarib al-Ulum (Pengalaman Bangsa-bangsa)

Bahagian terpenting daripada pemikiran ahli falsafah Ibnu Maskawaih ditujukan pada etika dan moral. Beliau seorang moralis dalam erti sesungguhnya. Masalah moral dibicarakan dalam tiga bukunya, iaitu Tartib as-Sa’adah, Tahzib al-Akhlaq dan Jawidan Khirad.

Sementara itu di dalam bukunya, al-Fauz al-Asgar, Ibnu Maskawaih membicarakan tentang pembuktian adanya Tuhan, tentang roh serta kerahsiaannya dan tentang kenabian. Ketika berbicara mengenai Tuhan, Ibnu Maskawaih menggunakan istilah “Penggerak Pertama" dengan sifat dasar esa dan abadi.

Ibnu Maskawaih juga membawa konsep “emanasi", iaitu bahawa wujud pertama yang memancar daripada Tuhan adalah “kebijaksanaan pertama", yang sama dengan akal aktif dan kekal. Emanasi lebih sempurna apabila dibandingkan dengan yang lebih rendah daripadanya dan tidak sempurna apabila dibandingkan dengan Tuhan.

Sebagai pemikir agama, Ibnu Maskawaih sebagaimana terlihat dalam karyanya, cuba membuktikan bahawa penciptaan bermula daripada ketiadaan (al- Ijad min la Syai’).

Pembawaan roh

Konsep moral Ibnu Maskawaih pula sangat berhubungan erat dengan masalah roh. Beliau membuat hipotesis bahawa pembawaan roh dengan kebajikan-kebajikan yang mempunyai tiga jenis pembawaan: rasional, keberanian dan hasrat.

Di samping itu, roh juga mempunyai tiga kebajikan yang saling berkaitan iaitu: kebijaksanaan, keberanian dan kesederhanaan.

Mengenai fitrah manusia, Ibnu Maskawaih berpendapat bahawa adanya manusia bergantung pada kehendak Tuhan, tetapi baik dan buruknya manusia diserahkan kepada manusia sendiri dan bergantung kepada kemahuannya sendiri.

Mengenai sejarah, pandangan dan analisis Ibnu Maskawaih yang dimuatkan di dalam buku Tajarib al-Umam begitu berfalsafah, ilmiah dan kritis. Beliau berpendapat bahawa sejarah merupakan rakaman tentang turun-naiknya suatu peradaban, bangsa-bangsa dan negara-negara.

Maka ahli sejarah harus menghindarkan diri mereka daripada kecenderungan umum iaitu mencampuradukkan kenyataan dengan rekaan atau kejadian-kejadian palsu. Ia harus bergantung kepada fakta, kritis dalam mengumpulkan data, menyertakan pandangan-pandangan ahli falsafah dan menafsirkannya dalam lingkup kepentingan manusia.

Sejarah bukanlah kumpulan kenyataan terpisah dan statik, tetapi merupakan proses kreatif dan dinamik daripada harapan dan aspirasi manusia yang hidup dan berkembang. Strukturnya ditentukan oleh cita-cita dasar dan cita-cita kebangsaan serta negara. Sejarah tidak hanya mengumpulkan kenyataan masa lampau menjadi suatu kesatuan organik, melainkan juga menentukan bentuk sesuatu yang akan datang.

Pandangan Ibnu Maskawaih mengenai sejarah yang dituangkan dalam bukunya Tajarib al-Umam amat dekat dengan prinsip-prinsip yang dianut oleh ahli-ahli sejarah barat dan ahli-ahli sejarah moden.   Utusan/Bicara_Agama/20140617

Halal haram bukan sekadar coklat

ISU halal haram terus menjadi bualan masyarakat. Sejak timbulnya kontroversi mengenai satu produk coklat dikatakan haram, perbincangan dan perdebatan mengenainya tidak terhenti walaupun pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan produk tersebut halal dimakan.

Baru-baru ini sekumpulan blogger bertindak menganjurkan acara memakan coklat tersebut secara terbuka di khalayak ramai. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk meyakinkan para pengguna Islam mengenai status halal produk tersebut.

Dalam hal ini, umum perlu menyedari bahawa isu halal haram adalah satu isu berat dan sensitif di kalangan masyarakat Islam. Apabila timbul isu status halal haram sesuatu produk terutamanya barangan makanan seharian, masyarakat akan mudah marah dan dukacita. Ini kerana ia akan menjadi darah daging seseorang.

Bukan hanya masyarakat, pihak-pihak seperti badan-badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap agama Islam juga cukup prihatin akan hal ini. Tidak ketinggalan juga sokongan badan-badan bukan kerajaan yang melindungi hak-hak pengguna Islam.

Namun sedar ataupun tidak, isu halal haram telah dilihat dari sudut yang tidak menyeluruh dan sekadar bermusim. Memang diakui bahawa masyarakat sangat prihatin akan soal halal haram, namun pernahkah kita bertanya sejauh mana kerja kita dan segala jenis barangan yang kita makan dan yang kita beri makan pada anak-anak dan ahli keluarga, berpunca daripada sumber yang halal?

Penulis tertanya-tanya mengapa kita memilih-milih untuk memperjuangkan sesuatu isu? Tidakkah kita sedar bahawa ada perkara lain yang tidak kurang pentingnya berbanding produk coklat ini? Ada perkara yang telah lama difatwakan haram, namun kebanyakan masyarakat memandang enteng sahaja.

Dalam menjelaskan perkara ini, penulis ingin mengambil satu contoh mudah iaitu tabiat merokok. Fatwa pengharaman merokok telah lama dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, iaitu sejak 1995 dan ia kekal sehingga sekarang.

Dalam penghujahan Majlis Fatwa Kebangsaan, rokok adalah haram dan merokok juga haram disebabkan oleh tiga perkara.

Pertama, merokok membahayakan kesihatan para penggunanya. Kedua, merokok mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekelilingnya. Ketiga, merokok tidak memberi apa-apa manfaat kepada perokok dan masyarakat sekeliling dan ia adalah perbuatan membazir.

Walaupun sudah lama fatwa ini dikeluarkan, adakah masyarakat kita peduli? Sudah berapa ramaikah yang berhenti merokok setelah fatwa ini dikeluarkan? Atau adakah kita tidak peduli akan hal ini kerana merokok telah menjadi darah daging kita?

Kita seharusnya bertanya kembali perlukah memperjuangkan isu merokok ini kerana ia jelas haram di sisi agama? Jika sebelum ini kita mahu menyaman pihak pengeluar produk coklat tersebut, mengapa kita tidak mahu menyaman syarikat-syarikat rokok yang berlegar di pasaran? Ini kerana rokok telah membawa mudarat yang cukup besar kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam konteks agama, apa sahaja kelakuan yang boleh membawa kemudaratan kepada diri seseorang manusia, masyarakat sekeliling dan alam sekitar, maka ia sangat ditegah. Begitulah halnya dengan merokok yang boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit kronik kepada perokok dan sesiapa sahaja yang berhampiran dengan mereka dan ia juga boleh mencemarkan udara.

Dalam konteks bangsa, masyarakat yang suka merokok boleh menjadi lemah akibat penyakit yang berpunca daripada merokok. Masyarakat yang lemah bererti sesuatu bangsa akan menjadi lemah. Bangsa yang lemah boleh menghancurkan sesebuah negara.

Dalam konteks negara, aktiviti penyeludupan rokok boleh mengganggu gugat ekonomi dan kestabilan negara. Rokok yang diseludup bukan sahaja merugikan pendapatan negara malah sangat berbahaya kerana mengandungi bahan-bahan tertentu yang boleh merosakkan kesihatan seseorang.

Dakwaan-dakwaan di atas mempunyai asasnya. Dalam laporan Utusan Malaysia pada 31 Mei lepas bersempena Hari Tanpa Tembakau 2014, agak mengejutkan apabila didedahkan bahawa penggunaan tembakau telah membunuh lebih kurang enam juta orang setiap tahun. Daripada jumlah ini, hampir 600,000 daripadanya ialah bukan perokok. Mereka ini orang yang mendapat kesan langsung daripada asap rokok oleh perokok.

Apa yang lebih membimbangkan apabila dijangkakan jumlah kematian akibat penggunaan tembakau ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun. Malah bilangan kematian akibat merokok dijangka meningkat kepada lapan juta orang setiap tahun menjelang 2030. Perkara ini sesuatu yang amat serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak.

Penulis secara peribadi amat percaya bahawa menjelang Ramadan yang akan tiba beberapa hari lagi, isu mengenai tabiat merokok akan terus berkumandang di kalangan masyarakat. Seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai akan menanam azam untuk berhenti merokok. Ada yang berjaya dan ada yang terkulai. Ada yang berhenti sebulan penuh Ramadan sahaja, bila masuk Syawal azam tinggal azam.

Justeru, pada Ramadan kali ini penulis berharap agar usaha besar-besaran digerakkan bagi menyemai sikap bukan sahaja untuk membenci rokok, malah berhenti terus. Ini kerana merokok adalah haram di sisi agama.

Penglibatan badan kerajaan seperti Jakim dan badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Islam dalam hal ini sangat-sangat didambakan. Penyertaan masyarakat juga penting. Libatkan diri dalam setiap aktiviti yang dianjurkan.

Ramai perokok tegar mempunyai anak remaja dan anak-anak kecil. Ingatlah, kita yang merokok, anak-anak dan ahli keluarga akan turut sengsara. Jika kita tidak berubah, siapa lagi yang mampu mengubah kita?

Jauhilah yang haram kerana ia amat sedikit berbanding yang halal yang banyak Allah SWT anugerahkan kepada seluruh umat manusia.

RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140618

Transformasi walimatulurus

SEKARANG ini musim orang berkahwin. Sabtu dan Ahad sampai dua tiga jemputan. Sudah kurang orang yang membuat kenduri kahwin di rumah. Semuanya di dewan, di hotel, di padang dan sebagainya. Itulah perbezaan zaman dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat.



Semasa saya kecil, kenduri kahwin adalah majlis besar bagi sesebuah keluarga, terutama jika keluarga itu keluarga yang tidak senang atau sederhana.

Bagi mereka, hendak kenduri doa selamat dan tahlil pun kena kumpul duit terlebih dahulu. Apa tidaknya, hendak makan setiap hari pun bergantung kepada nafkah, apa lagi jika hendak kenduri kahwin.

Zaman dahulu dan hari ini jauh berbeza. Saya masih ingat ketika orang kampung membuat kenduri kahwin anak mereka.

Mereka datang jumpa arwah ayah yang pada masa itu adalah imam. Imam adalah sumber tempat berunding dan mengadu.

Mereka datang bukan untuk menjemput tetapi memberi makluman awal, memastikan ayah saya tidak ada urusan keluarga sehingga majlis perkahwinan anak terjejas. Arwah ayah pula sentiasa mendahulukan jemaah atau masyarakat yang dipimpinnya.

Malah siap ditulis maklumat berkaitan majlis pernikahan di papan kenyataan masjid. Saya selalu juga tengok dalam buku catatan ayah. Selepas imam dimaklum, orang Negeri Sembilan biasanya mengadakan majlis ‘berkampung’ di mana sanak saudara dan jiran tetangga dikumpul untuk berbincang tentang majlis perkahwinan yang akan dilangsungkan.

‘Berkampung’ bertujuan untuk memaklumkan majlis, atur cara majlis dan pembahagian tugas. Ia menunjukkan semangat kemuafakatan antara sesama insan.

Selepas majlis berkampung, semua orang datang membantu tanpa dijemput. Tarikh pasang khemah, menggantung kelambu dan menghias pelamin ditentukan dan semua yang hadir semasa berkampung datang mengikut tugasan dan giliran. Saya tertarik dengan cara orang Negeri Sembilan mengendali majlis kenduri kahwin, walaupun tidak mengadakan majlis beradat tetapi majlis tetap mengikut adat.

Saya selalu mengikut emak saya pergi ‘memilih beras’ atau hari menggantung kelambu, yang biasa dibuat pada hari Khamis.

Sebagai kanak-kanak saya seronok menolong apa yang boleh. Pada kebiasaan saya meracik daun pandan untuk dibuat bunga rampai atau menghias khemah yang diperbuat daripada buluh.

Jika akad nikahnya hari Jumaat malam Sabtu, maka lembu akan disembelih pada pagi Jumaat. Arwah ayah juga diminta untuk menyembelih. Sehari suntuk keluarga dan jiran tetangga datang mengemas lembu, memasak hingga ke petang.

Malamnya, selepas majlis akad nikah, ramai-ramai makan sup tulang sambil mengukus pulut dan kuih koci. Majlis berinai kecil juga biasa dilakukan di mana pengantin perempuan duduk sendiri di pelamin dan diraikan, diusik sanak saudara dan sahabat rapat. Saya masih ingat majlis itu diserikan dengan tarian piring.

Tersusun

Ketersusunan ini menjadikan majlis sangat meriah, rukun dan tersusun. Semasa majlis berinai kecil, kaum kerabat sibuk memasak untuk majlis bersanding. Riuh rendah hingga ke pagi. Esoknya, majlis bersanding yang bermula dengan makan ‘orang pangkal’ di mana saudara mara dan jiran yang akan membantu kelicinan majlis makan terlebih dahulu sebelum tetamu sampai. Ini membolehkan mereka bertugas hingga pukul tiga atau empat.

Kebiasaannya, ‘orang pangkal’ makan dua kali, di awal dan di hujung majlis. Biasa juga selepas bersanding pengantin dibawa sampai ke penanggah (tempat orang memasak dan menghidang makanan) supaya yang bertugas dapat tengok pengantin. Sebelum petang, ibu bapa saudara terdekat dipanggil naik ke rumah di mana majlis menyembah dilakukan di mana pengantin perempuan memperkenalkan ibu bapa saudaranya kepada suaminya.

Hari ini majlis nikah-kahwin tidak lagi dibuat di rumah. Ramai pasangan bernikah di masjid, kemudian jamuan diadakan di perkarangan masjid. Esoknya atau seminggu kemudian pasangan mengadakan majlis resepsi di dewan atau hotel.

Semua kelengkapan seperti pelamin, bunga telur, hiasan bilik dan makanan ditempah. Adik-beradik, saudara mara datang sebagai tetamu jemputan. Biasanya satu dua adik-beradik sahaja bertindak sebagai penyambut tetamu.

Hilang sudah adat budaya bergotong-royong, hilai tawa usik-mengusik saudara mara terdekat semasa bergotong-royong melapah lembu atau masa makan sup tulang. Kadang-kadang anak cucu saudara pun sudah tidak kenal antara satu masa lain.

Hari ini, puluh ribu ringgit dihabiskan dengan hantaran yang tinggi. Hantaran pengantin perempuan juga sudah ada skala tersendiri. Saya pernah melihat skala yang dikeluarkan oleh pelajar melalui Facebook dan sungguh menarik ialah kalau pengantin perempuan ada Doktor Falsafah (PhD), hantaran lebih mahal daripada yang ada ijazah pertama.

Maka makin ramailah pemegang PhD tidak kahwin jika begini. Hari ini jika seorang gadis berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bekerja sebagai kerani pun hantarannya sudah RM7,000, bagaimana pula yang memiliki sarjana muda, sarjana dan PhD, tentu lebih mahal.

Yang lulusan universiti luar negara dengan dalam negara juga boleh dijadikan kriteria untuk menentukan jumlah hantaran. Utusan/Bicara_Agama/20140618