June 23rd, 2014

Ramadan ibarat bonus tingkat ketakwaan

Persediaan bukan sekadar makanan, minuman, tetapi juga membabitkan perisian rohani

Sebaik-baik amalan bagi menambahkan tahap kemuliaan kita di sisi Allah SWT adalah melakukan ibadah dengan penuh tawaduk dan rendah diri. Maka sesiapa yang bertawaduk kerana Allah SWT, maka ia akan diangkat oleh Allah ke tahap yang lebih tinggi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan kemuliaan dan ketinggian, maka bagi Allah sahajalah segala kemuliaan dan ketinggian.” (Surah Fatir, ayat 10)


Imam Ibnu Taymiah berkata, ketika bertambahnya amalan seseorang, maka bertambahlah kemuliaannya serta darjatnya di sisi Allah SWT. Justeru, apabila hampirnya Ramadan, kita akan merasai bahang dan motivasi beribadah kerana Ramadan itu sendiri adalah bulan ibadah.

Ramadan bonus tingkat ketakwaan

Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan ibadah, maka Ramadan adalah bonus dan dana untuk meningkatkan ketakwaan. Mereka akan sentiasa mendapat anugerah serta pujian daripada Allah SWT.

Allah SWT telah memuji kekasihnya Ibrahim dengan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya dan suka beribadah.” (Surah Hud, ayat 75)
Amalan puasa Nabi Daud boleh dijadikan contoh kerana baginda banyak beribadah di samping berpuasa sehari dan berbuka sehari secara berselang seli. Baginda SAW amat menyukai amalan Nabi Daud serta menyarankan umatnya melakukan ibadah puasa.

Di samping beribadah dengan penuh khusyuk dan berharap, Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya kerana ibadah adalah penyambung talian hayat antara makhluk dan pencipta. Allah SWT kurniakan kepada Nabi Zakaria khabar gembira ketika sedang beribadah dengan anugerah anak soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya.” (Surah Ali-Imran, ayat 39)

Demikian juga Nabi Isa yang sentiasa menjadikan ibadah sebagai rutin harian dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah ia (beribadah).” (Surah Maryam, ayat 36)

Rasulullah pilih jadi Nabi, ahli ibadah

Baginda Muhammad SAW telah diberi pilihan oleh Allah SWT sama ada menjadi seorang Nabi dan berkuasa sebagai raja atau menjadi seorang Nabi yang banyak peluang beribadah. Maka Baginda SAW memilih seorang Nabi yang juga ahli ibadah.

Sabda Baginda SAW: “Aku lebih suka menjadi seorang Nabi yang abid (ahli ibadah) di mana aku berpuasa sehari lalu memuji Allah SWT dan berbuka sehari lalu bersyukur kepada-Nya.”

Allah SWT menyifatkan sahabat serta mereka yang beriman sebagai mereka yang banyak ibadahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu akan melihat mereka rukuk dan sujud kepada Allah SWT serta menuntut kelebihan dan keredaan-Nya. Terdapat tanda-tanda keimanan pada wajah mereka kerana terlalu banyak sujud kepada Allah SWT.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Alangkah indahnya jika sekalian ibadah yang dilakukan dapat disuburkan pada Ramadan mulia ini kerana Ramadan mendapat status bulan yang terbaik dalam setahun. Siang dan malamnya dipenuhi keberkatan amat luar biasa daripada malam lain.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya telah datang bulan Ramadan yang diwajibkan kamu berpuasa, pintu syurga dan langit terbuka luas untuk ahli ibadah, sesiapa yang leka akan terus leka, syaitan dibelenggu dan Allah SWT memperuntukkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” (Riwayat Muslim)

Ibnu Arabi berpendapat pintu syurga dibuka kerana menerima banyak harapan daripada hamba kepada penciptanya, amalan semakin bertambah, ikatan iman semakin kukuh dan tahap kesabaran menjadi benteng yang kuat.

Ditutup pintu neraka adalah simbolik kepada penghinaan terhadap syaitan serta berkurangnya statistik kemungkaran dan kemaksiatan. Ibnu Rejab berkata, segala amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh ganjaran sehingga tujuh ratus gandaan melainkan puasa yang menerima ganjaran daripada Allah SWT tanpa had tertentu.

Mereka yang beriman akan merasa gembira dengan kedatangan Ramadan dan mereka yang gelisah ketika menjelang Ramadan hendaklah memperbanyakkan istighfar serta memohon ampun kepada Allah SWT.

Bukan bertumpu persediaan makanan, minuman

Sebenarnya persediaan menyambut Ramadan bukanlah tertumpu kepada makanan dan minuman, malah ia adalah persediaan iman, kesabaran dan ketaatan. Hanya mereka yang benar-benar menghayati konsep puasa dapat menuai hasil lumayan pada Ramadan.

Ketika Nabi Musa bermunajat, baginda berkata: “Wahai Tuhanku, adakah di sana manusia yang lebih mulia dariku? Allah SWT menjawab: Wahai Musa, ada di kalangan hamba-Ku yang datang pada akhir zaman di mana mereka memuliakan bulan Ramadan dan aku amat hampir dengan mereka ketika itu. Wahai Musa, ketika kita berbicara, sebenarnya kita dipisahkan oleh 70,000 hijab atau pendinding, akan tetapi apabila mereka berpuasa, aku akan menyingkap semua hijab untuk mereka.”

Oleh itu, kita hendaklah berdoa supaya Allah SWT memberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan ini kerana kita tidak mengetahui bilakah akan berakhirnya hayat kita. Kita amat mengharapkan anugerah kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan ibadah secara maksimum di bulan mulia. Berita Harian Agama 2014/06/16 - 03:13:58 AM Zamanuddin Jusoh

Kepatuhan kepada undang-undang tuntut kesedaran manusia

MASYARAKAT inginkan satu kehidupan yang teratur dan berperaturan. Dalam konteks negara, undang-undang dan peraturan dibuat oleh pihak berwajib untuk mewujudkan masyarakat aman. Pun begitu, sudahkah memadai dengan ada undang-undang maka ia dapat menyelesaikan, menyusun kehidupan masyarakat dan mampu menyelesaikan kemelut ummah?

Jawapannya tidak, walaupun dengan ada undang-undang sebaik mana pun, jika ia tidak dapat dipatuhi. Ini terbukti jika dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan yang mempunyai peraturan dan undang-undangnya.

Sebagai contoh kita dapat melihat aspek keselamatan jalan raya, kemalangan maut terus menjadi-jadi. Saban hari di dada akhbar, media sosial dan juga pesanan khidmat ringkas (SMS) menceritakan kemalangan di sana sini. Penunggang motosikal mati terlanggar kenderaan yang diletakkan di bahu jalan tanpa diletakkan kon amaran. Kontraktor yang sedang membina jalan raya menjadi punca berlaku kemalangan apabila kerja mereka tidak dilakukan pada waktu yang sesuai sehingga mengganggu aliran trafik kenderaan. Kerja penurapan semula jalan yang dikorek untuk sesuatu projek tidak dibuat dengan sempurna menyebabkan jalan raya rosak sehingga turut menjadi punca kemalangan. Dinding penghadang di tepi jalan raya menusuk masuk ke dalam kenderaan sehingga menyebabkan kematian dalam kemalangan.

Begitu jug pengunjung pasar malam meletakkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan sehingga menghalang pengguna jalan raya yang lain.

Dalam persoalan di atas, jika pihak-pihak berkenaan mengikut peraturan dan etika kerja yang sepatutnya maka ia boleh mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

Sebagai contoh pihak berkenaan perlu memastikan punca-punca kemalangan jalan raya dilihat secara sensitif sehingga dapat dibendung dengan tindakan-tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang betul serta dibuat penambahbaikan.

Dinding penghadang tepi jalan raya yang sepatutnya menjaga keselamatan pengguna jalan raya kini menjadi mimpi ngeri kepada mereka. Tidakkah pihak berkuasa ingin membuat penilaian semula tentang bahan yang digunakan untuk membuat dinding tersebut? Perlukah kontraktor dikenakan penalti jika mereka cuai ketika melaksanakan kerja-kerja di jalan raya, selain lewat menyiapkan projek berkenaan?

Dalam isu kemasukan warga asing ke dalam negara, peraturan dan undang-undang sudah pun ada. Namun terdapat begitu ramai pendatang tanpa izin (PATI) di negara kita. Baru-baru ini, kita digemparkan dengan bot yang membawa 97 orang PATI karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey, Selangor sehingga menyebabkan kematian dalam jumlah besar di kalangan mereka.

Kita merasa simpati tetapi yang menjadi persoalannya status mereka yang sudah pun bolos ke dalam negara. Bukankah ada undang-undang berkaitan kemasukan rakyat asing dan agensi penguat kuasa? Jika dikatakan ini kes terpencil tetapi apabila dilakukan serbuan seperti di tapak-tapak pembinaan terdapat begitu banyak PATI yang bebas berada dalam negara.

Jika dilihat secara mudah, ia seolah-olah memberi maksud bahawa undang-undang yang sedia ada tidak mencapai matlamatnya termasuk dalam mengawal kemasukan warga asing ke dalam negara. Isu korupsi dan kepentingan peribadi menjadi duri dalam daging dalam penguatkuasaan undang-undang.

Jika dilihat dalam pelbagai isu yang lain, ia turut mempunyai masalah yang menuntut kepada persoalan, kenapa undang-undang yang sedia ada tidak mampu mengawal dan membendung gejala dan permasalahan yang timbul? Gejala dan permasalahan yang timbul menunjukkan walaupun dengan ada peraturan dan undang-undang dalam setiap urusan masyarakat, ia masih tidak mencukupi untuk menyusun dan mengatur sesuatu urusan mereka agar dapat berjalan dengan lancar dan tidak bermasalah.

Apakah penyelesaian kepada permasalahan ini sehingga akhirnya undang-undang dapat berfungsi sehingga menjamin keselamatan dan hidup berperaturan masyarakat?

Banyak aspek yang boleh dilihat. Pertamanya, dalam aspek peruntukan undang-undang yang sedia ada, pihak berwajib perlu melihat tentang keperluan penambahbaikannya.

Sebagai contoh had laju di lebuh raya 110 km sejam sama ada perlu ditambah atau dikekalkan pada hal kini terdapat banyak kereta mewah yang berkelajuan tinggi. Kereta kecil pun banyak yang tidak mengikut had laju berkenaan. Kereta yang dipandu perlahan dalam banyak keadaan turut menjadi punca kepada kemalangan.

Kecuaian dalam menjaga sensitiviti keselamatan pengguna jalan raya perlu dimasukkan dalam senarai penalti jika kontraktor mengambil mudah dalam aspek berkenaan. Pihak berkuasa perlu melakukan rondaan berkala untuk mencari jalan raya yang rosak dan memastikan ia sentiasa elok untuk digunakan dan tidak berlubang sehingga boleh menjadi sebagai salah satu punca kemalangan maut.

Dalam aspek penguatkuasaan, elemen korupsi dan kepentingan diri khususnya mereka yang menguatkuasakan undang-undang perlu dipantau. Mereka perlu bersih dan telus. Jika berlaku ketirisan maka hukuman setimpal perlu dikenakan bukan sahaja kepada mereka yang berada di bawah bahkan mereka yang berada di atas. Selagi tindakan berkenaan tidak berlaku, maka masyarakat akan mempunyai sikap prejudis terhadap agensi penguat kuasa dengan tuduhan korupsi dan sebagainya sehingga menjejaskan kerjasama mereka untuk memenuhi keperluan undang-undang.

Kempen perlu disemarakkan kepada masyarakat tentang keperluan mematuhi undang-undang. Pendekatan memberi pendidikan dan ilmu kepada mereka perlu dilakukan dari semasa ke semasa agar mereka ada kesedaran untuk patuh dan bekerjasama dalam melaksanakan undang-undang.

Kempen merupakan satu bentuk ingatan yang diperlukan oleh masyarakat tidak kira status mereka sama ada sebagai seorang pentadbir, penguat kuasa atau orang awam. Islam sendiri menegaskan bahawa manusia perlu diberi ingatan sentiasa kerana ia memberi manfaat walaupun perkara yang diingatkan adalah sama. Ini disebabkan sifat manusia yang alpa dan pelupa.

Maksud surah al-Zariyat, ayat 55, "Peringatilah, sesungguhnya memperingati itu memberi manfaat kepada orang yang beriman."

Kesimpulannya walaupun terdapat pelbagai undang-undang tetapi ia tidak menjamin kepada pematuhannya jika tidak ada kesedaran. Yang penting masyarakat sama ada pentadbir, penguat kuasa atau individu mempunyai kesedaran dalam aspek pematuhan dan tanggungjawab kepada undang-undang.   Pandangan IKIM Utusan/Rencana/20140623

Jangan hanya nama sahaja Islam - Mahathir

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD ialah pemimpin yang dihormati umat Islam di seluruh dunia kerana kelantangan beliau menyuarakan penentangan terhadap penindasan dan kezaliman yang dideritai penduduk dunia terutama di Palestin dan Bosnia Herzegovina.

Sewaktu masih bergelar Perdana Menteri, beliau terkenal tidak gentar mengkritik Barat dan kuasa besar atas sikap dwi-standard terhadap apa yang berlaku di negara Islam dan Dunia Ketiga, sehingga Dr. Mahathir dianggap mewakili suara mereka.



TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabatnya di Tingkat 86, Menara Berkembar Petronas (KLCC) minggu lalu, beliau tidak lupa mengulas perkembangan keadaan di negara-negara Islam yang terus bergolak sejak Arab Spring melanda dan menyaksikan banyak pemerintahan Islam tumbang dan rakyatnya berbunuhan sesama sendiri.

Berikut sambungan wawancara yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia, semalam.


UTUSAN: Apa komen Tun tentang situasi kekacauan di Asia Barat yang semakin teruk terutama di Iraq?

DR. MAHATHIR: Kita nama sahaja orang Islam tetapi kita tak amal ajaran Islam. Kita buat benda yang bertentangan dengan agama Islam. Agama kita kata orang Islam adalah bersaudara, kalau ada masalah rundinglah, ini berbunuhan sesama sendiri.

Bila naik Syiah, bunuh Sunni. Naik Sunni, bunuh Syiah. Sekarang ini Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki ialah Syiah dan dia tekan Sunni. Timbalan dia yang nombor dua itu, dia nak tangkap orang itu. Saya jumpa dengan orang itu di Turki. Dia cerita kepada saya, dia nak kena tangkap, sebab itu dia lari ke Turki kerana dia Sunni.

Ini jadi dengan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL), dia memberontak dan ini puak Sunni. Dia bunuhlah. Apabila berperang, manusia bukan manusia lagi dah, dia buat benda yang tak baik.

Jadi ini tak mengikut ajaran Islam. Nama sahaja Islam. Orang Islam tak boleh buat apa-apa kepada mayat, tidak dibenarkan. Tetapi tengoklah apa yang berlaku di Iraq, dia tembak, dia tendang dan dia buat macam-macam.

Ini Islamkah? Bagi buruk nama Islam sahaja.

Kumpulan ini sebenarnya buat kerja untuk Israel dan rejim itu duduk bertepuk tanganlah. Orang Islam sesama Islam berbunuhan. Lebih seronok berbanding tengok bola sepak.

Tidak bolehkah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan sebagai pendamai?

DR. MAHATHIR: Negara-negara OIC, tak boleh bersetuju langsung. Kalau ada satu pihak memihak kepada pihak ini, yang lain akan menentang. Sebab itu, OIC tak boleh berjaya.

Saya sudah bercakap dengan orang Arab tentang politik. Dia dengar dan kata Malaysia bagus. Kalau kita bagus turutlah apa yang kita buat. Kita di Malaysia tak berperang dengan kaum-kaum lain. Ya kita bertengkar, tapi taklah sampai nak bunuh-membunuh.

Kita ada permusuhan antara Pas dengan UMNO, tetapi taklah sampai nak bunuh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya pun tak kena bunuh juga.

Ini sesama orang Islam pun nak berbunuhan. Sebab itu, orang kata di Jepun, kita akan melihat Islam tetapi bukan orang Muslim. Di negara-negara Arab, kita akan menjumpai orang Muslim tetapi bukan Islam.

Saya juga pernah pergi ke Mesir sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas Mohammed Mursi dilantik sebagai Presiden. Saya kata kat dia, kalau nak demokrasi, awak kena sanggup kalah. Kalau awak nak menang sahaja, saya ingat awak tak boleh dapat demokrasi, awak akan sentiasa berperang sahajalah.

Tiap kali kalah, kita tuduh kumpulan yang satu lagi menipu dan tarik dia turun. Bila kita naik, orang tuduh kita menipu dan tarik kita turun. Macam di Bangladesh.

Sepatutnya kita terima apabila kalah. Tunggulah sampai pilihan raya seterusnya. Tunjuklah kepada rakyat kita lebih baik dan mungkin kita boleh menang. Utusan/Rencana/20140623

Rawatan pergigian semasa Ramadan

UMAT Islam mana yang tidak gembira menyambut Ramadan. Tidak lama lagi, Ramadan muncul lagi, bulan yang menjanjikan pahala yang berlipat-ganda bagi kebaikan yang dilakukan.


Seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim; "Semua amal (soleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan pahalanya, satu kebaikan diberi ganjaran 10 sampai 700 kali lipat. Allah SWT berfirman: "Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas) kerana sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya."

Namun, dalam keghairahan ini, kita juga dibelenggu persoalan-persoalan berkaitan kesihatan terutamanya berkaitan pergigian. Bolehkah kita membuat rawatan gigi ketika berpuasa? Batalkah puasa jika kita melakukan rawatan pergigian? Rawatan pergigian apakah yang dibolehkan semasa berpuasa? Apakah hukumnya bersugi semasa berpuasa?

Hal ini sebenarnya telah dijelaskan dalam Islam. Namun, kekeliruan ini acap kali muncul setiap kali Ramadan, mungkin kerana kedudukan bulan yang istimewa di hati umat Islam dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik sepanjang bulan itu, serta praktis berpuasa selama sebulan yang hanya berlaku dalam bulan yang mulia ini.

Tambahan pula, ada perkara yang para ulama berselisih pendapat sama ada ia membatalkan puasa atau sebaliknya.

Dalam rawatan pergigian, umumnya bentuk-bentuk rawatan yang dinyatakan di sini tidak membatalkan puasa:

1. Membuat rawatan pergigian (dental check-up)

2. Membuat rawatan gigi (tampal, cuci, cabut, rawatan akar, membuat gigi palsu)

3. Suntikan ubat kebas dalam mulut untuk cabut gigi

4. Dengan tidak sengaja menelan air liur semasa membuat rawatan gigi

5. Memberus gigi

6. Menggunakan flos untuk membersihkan gigi

7. Berkumuh dengan ubat kumuh selagi tidak ditelan.

Dalam buku Kaedah Perawatan Moden Berhubung Perkara yang Membatalkan Puasa tulisan Dr. Harmy Mohd. Yusoff, Ustaz Syamsul Kamal Abdullah, Dr. Rosediani Muhammad dan Wan Nor Ainon Wan Abdullah turut menjelaskan rawatan perubatan moden lain dan hukum berpuasa.

Fikah perubatan khususnya ketika berpuasa dibincangkan dalam Bab 28 buku ini.

Penerbitan buku ilmiah yang membincangkan soal ini menggambarkan betapa masyarakat kita amat berhati-hati dengan tindakan yang dilakukan ketika Ramadan, yang jelasnya tidak mahu sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mendapat pahala berpuasa.

Ramai yang faham apa yang boleh dan apa yang tidak dalam mengharungi bulan mulia ini, namun, tidak kira di mana jua, masyarakat Islam sangat berhati-hati. Dalam hal ini, ramai juga yang mengambil keputusan untuk mendapat rawatan gigi sebelum atau selepas Ramadan.

Benar itu satu pilihan. Namun kekangannya ialah waktu operasi klinik gigi yang kadangkala tidak mesra pelanggan. Hal ini amat ketara bagi negara-negara yang komuniti Muslim hanyalah golongan minoriti.

Namun, buat pertama kalinya pada 2011 dilaporkan oleh sebuah akhbar Belanda bagaimana seorang doktor pergigian di Hague, membuka kliniknya pada waktu malam bagi memudahkan pesakit Muslim mendapat rawatan gigi.

Dr. Peter Thiel memahami kegusaran tentang rawatan gigi di bulan puasa dan memandangkan Hague dihuni ramai penganut Islam, dia membuka lebih ruang kepada pesakitnya dengan membuka klinik selepas waktu berbuka.

Hague adalah salah satu daripada empat bandar utama di Belanda yang mempunyai penduduk Islam teramai selepas Amsterdam, Rotterdam dan Utrecht. Keseluruhannya, seramai 825,000 umat Islam bertebaran di bumi Belanda itu, menjadikan hampir enam peratus populasi penduduk.

Usaha doktor gigi ini menyentuh hati, malah memanggil kami untuk mengenali beliau lebih rapat dengan membaca lanjut tentang beliau melalui internet.

Namun, laporan akhbar The Hague Online pada 2013 menyatakan Dr. Thiel sedang sakit dan dirawat di luar negara. Dia juga tidak mampu lagi menerajui klinik itu. Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai kesihatan beliau.

Apa-apa sekalipun, usaha beliau boleh dilihat sebagai seorang yang mempunyai kesedaran budaya yang tinggi, menghormati budaya masyarakat lain yang unik berbanding dirinya, serta meraikan toleransi pelbagai kaum yang boleh dicontohi masyarakat dunia.

DR. SITI SURIANI OTHMAN dan DR. ASPALILAH ALIAS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dan Pensyarah Pergigian, Fakulti Pergigian USIM. Utusan/Rencana/20140623

Indeks Keislaman: Realiti atau provokatif?

KAJIAN mengenai Indeks Keislaman yang dilakukan oleh Profesor Hossein Askari dan Dr. Scheherazde S Rehman dari George Washington University baru-baru ini, mengejutkan ramai pihak khususnya negara-negara Islam. Berdasarkan kajian itu, pengkaji telah meletakkan Ireland di tangga teratas Indeks Keislaman diikuti Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapura, Finland, Norway dan Belgium. Sekilas pandang, ia menunjukkan bahawa negara sekular Eropah yang tidak begitu mempedulikan perkembangan dan kemajuan Islam, layak berada di tangga teratas Indeks Keislaman tersebut.



Apakah agenda besar tersembunyi di sebalik kajian ini? Penulis ingin mengupas aspek ketidakrasionalan Indeks Keislaman ini kerana dapatan kajiannya seolah-olah menghina negara yang majoriti penduduknya Islam termasuk Malaysia.

Beberapa persoalan besar timbul iaitu adakah Islam mendapat tempat lebih baik di negara Eropah berbanding di negara Islam sendiri? Adakah negara Eropah menjadikan Islam sebagai paksi pembangunan dan cara hidup mereka? Persoalan terbesar adakah negara Eropah mempunyai standard keislaman yang lebih baik daripada Arab Saudi yang menempatkan Kota Suci Mekah dan Madinah?

Saya berpandangan terdapat kesilapan yang dilakukan oleh penyelidik sehingga mengakibatkan keputusan Indeks Keislaman itu cenderung memihak kepada negara Barat, sekali gus mengaibkan negara Islam sedunia khususnya yang begitu komited dalam membangunkan Islam selama ini.

Justeru, penulis akan membicarakan mengenai kekhilafan oleh penyelidik Amerika Syarikat (AS) itu agar hakikat sebenar Indeks Keislaman dapat dirungkai dalam perspektif dan falsafah penyelidikan berkaitan Indeks Keislaman yang betul.

Kajian merumuskan bahawa negara haram Israel berada di tangga ke-27 senarai negara yang melaksanakan nilai yang terdapat dalam al-Quran, berbanding negara yang ramai penduduk Islam. Ini secara langsung memberikan tamparan hebat kepada negara Islam khususnya yang berjiran dengan Israel. Interpretasi hasil kajian ini telah memberikan kemenangan moral terbesar kepada Israel dan para sekutunya bahawa Israel adalah negara baik, bersih dan suci berbanding negara Islam yang menjadi jiran mereka.

Sekali gus keputusan kajian ini menyokong persepsi Barat bahawa Israel bukanlah negara ganas dan tindakan Israel merampas tanah Palestin adalah suatu amalan yang betul sepertimana dalam al-Quran.

Jadi, bagaimanakah dapatan kajian sebegini dapat meyakinkan masyarakat sedunia tentang Indeks Keislaman? Hakikatnya, dapatan kajian sebegini sudah tentu menjadi 'duri dalam daging' kepada umat Islam kerana masyarakat umum akan beranggapan bahawa tindakan Israel menindas rakyat Palestin, betul mengikut lunas Islam.

Kesilapan ketara yang berlaku ialah pengkaji tidak dapat membezakan takrifan di antara nilai universal dengan nilai Islam seperti digariskan oleh al-Quran. Dari segi falsafah, nilai universal merujuk kepada nilai sejagat seperti keharmonian masyarakat, kemajuan sosioekonomi dan kecekapan pengurusan yang bukan sahaja terdapat dalam ajaran Islam malahan juga dalam ajaran agama lain seperti Kristian, Hindu, Buddha termasuk Yahudi. Dengan menganggap nilai universal sebagai nilai Islam sepertimana dalam kajian ini sudah tentu menimbulkan bias yang begitu ketara.

Hakikatnya, ukuran keislaman seharusnya berpaksikan kepada prinsip dan teras utama al-Quran, walhal aspek ini tidak disentuh dalam nilai universal tadi. Misalnya, nilai teras dalam al-Quran secara khususnya merujuk kepada mentauhidkan Allah SWT, berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, berpuasa, amalan-amalan sunat dan sebagainya.

Persoalannya adakah rakyat Israel melaksanakan teras utama al-Quran ini? Adakah bukan Islam di Eropah mengamalkan nilai-nilai al-Quran? Apa yang jelas di Israel, institusi masjid dan simbol-simbol berkaitan Islam tidak mendapat tempat malahan mereka sedaya-upaya menghapus nilai Islam dari tanah Palestin yang mereka rampas. Jika begitu, lebih Islamikkah Israel sedangkan setiap hari mereka melakukan pengkhianatan dan kekejaman terhadap bangsa Palestin?

Hasil kajian profesor berbangsa Iran itu menunjukkan tidak ada satu pun negara majoriti penganut Islam berada di kedudukan 25 teratas senarai Indeks Keislaman walaupun terdapat negara yang majoriti penduduknya begitu komited membangunkan Islam.

Jadi apakah kepincangan dalam kajian ini? Penulis berpandangan wujud persoalan dari aspek reliablity (kebolehpercayaan) bagi item pengukuran yang digunakan. Penulis yakin item pengukuran yang digunakan untuk menilai Indeks Keislaman tidak valid (sah) kerana tidak menggambarkan dengan jelas tentang apa yang hendak diukur.

Sepintas lalu, Indeks Keislaman tersebut diasaskan oleh empat item pengukuran iaitu pencapaian ekonomi masyarakat, pentadbiran, hak asasi manusia dan politik serta hubungan antarabangsa sesebuah negara. Keempat-empat item ini sebenarnya kurang Islamik sifatnya dan langsung tidak menyentuh secara khusus kepada Islam. Untuk itu, keempat-empat item tersebut bukanlah item pengukuran yang boleh menggambarkan kesempurnaan dalam Islam kerana ianya tidak reliable dan tidak valid untuk digunakan dalam kajian Indeks Keislaman ini.

Bagi item pengukuran pertama iaitu pencapaian ekonomi masyarakat, ia seharusnya merujuk kepada pencapaian ekonomi berasaskan Islam, bukannya merujuk semata-mata kepada pencapaian ekonomi yang tidak bersifat Islamik seperti dicapai oleh negara Eropah. Justeru, penyelidik berkenaan telah gagal memberikan definisi sempurna bagi item pencapaian ekonomi masyarakat kerana pengkaji mengambil secara terus pencapaian ekonomi semasa negara berkenaan.

Tidak masuk akal jika pencapaian ekonomi masyarakat untuk Indeks Keislaman dirujuk kepada sumber yang bercampur-baur di antara halal dengan tidak halal seperti perjudian, pelacuran, riba dan sebagainya. Ini kerana, di Barat mahupun Eropah, sumber-sumber seperti ini juga dikira sebagai pendapatan hasil dalam negara. Jadi, adakah ini yang mencerminkan Indeks Keislaman tulen?

Jika diteliti pencapaian ekonomi masyarakat Barat, ternyata ia dijana oleh sistem ekonomi bukan Islamik iaitu bersumberkan sistem ekonomi kapitalis dan sosialis yang jelas bertentangan dengan norma Islam. Jadi, adakah wajar pencapaian ekonomi masyarakat yang menerima pakai sistem riba, merelakan percampuran sumber ekonomi halal-haram, spekulasi dan mengasingkan kepentingan syarikat dengan masyarakat (seperti dalam sistem ekonomi kapitalis) ini digunakan sebagai kayu ukur untuk mengangkat standard negara berkenaan ke tahap yang lebih Islamik?

Pengkaji melakukan kesilapan dalam mendefinisikan item pencapaian ekonomi masyarakat dengan hanya melihat kepada kesan dan bukannya punca pencapaian.

Penulis sukar menerima pakai ukuran pencapaian ekonomi masyarakat yang digunakan dalam kajian ini kerana jelas tidak Islamik. Pengkaji melakukan kecuaian (ralat) kerana gagal merungkai aspek elemen dan dimensi yang mencerminkan pencapaian ekonomi masyarakat yang sebenarnya.

Bagi item pengukuran kedua iaitu pentadbiran, ia seharusnya merujuk kepada pentadbiran berpaksikan nilai-nilai Islam. Di Eropah, kecemerlangan pentadbiran yang mereka kecapi adalah rentetan pencapaian ekonomi yang tidak Islamik. Wujud persoalan sejauhmanakah Islamiknya pentadbiran di Eropah lantaran rata-ratanya negara Kristian.

Kecemerlangan pentadbiran berteraskan Islam yang seharusnya menjadi item pengukuran bagi kajian ini ialah merujuk kepada dua peringkat iaitu peringkat mikro dan peringkat makro. Peringkat mikro misalnya, kecemerlangan pentadbiran berkaitan ehwal Islam seperti pengurusan masjid dan kebajikan ehwal Islam perlu digunakan sebagai asas dalam kajian. Manakala peringkat makro merujuk kepada pengurusan tahap negara seperti kecemerlangan institusi zakat dan baitulmal, perundangan Islam, perniagaan Islam dan sebagainya. Namun demikian, pengkaji langsung tidak melihat perkara itu dalam kajian ini.

Bagi item pengukuran ketiga iaitu hak asasi manusia dan politik. Aspek ini menunjukkan penyelidik gagal mentafsirkan apakah maksud hak asasi manusia yang berlandaskan Islam. Hakikatnya, negara Eropah dan Barat seringkali menjuarai isu berkaitan hak asasi manusia seolah-olah mereka adalah terbaik dalam aspek ini. Namun apakah kedudukan hak asasi masyarakat Islam dibela sepenuhnya di negara Eropah?

Penulis berpandangan penyelidik sengaja menggunakan konsep hak asasi acuan Barat sebagai salah satu pengukuran kepada Indeks Keislaman, sekali gus menaikkan ranking negara Barat. Penyelidik perlu sedar bahawa terdapat hak asasi yang dibawa oleh Barat bertentangan dengan hak asasi Islam misalnya hak asasi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Adakah item pengukuran sebegini layak digunakan untuk menilai kesempurnaan amalan Islam di Barat? Jika Indeks Keislaman yang sebegini rupa didokong oleh pengkaji, maka sudah tentu ia akan merosakkan nilai dan kemuliaan Islam itu sendiri sekali gus mencemar norma sebenar Indeks Keislaman.

Bagi aspek politik pula, item ini seharusnya berdiri sendiri kerana ia mempunyai implikasi yang berbeza. Di Barat, parti politik yang berpaksikan Islam tidak dibenarkan kerana didakwa mendokong kumpulan pengganas antarabangsa. Sedangkan persepsi yang prejudis seperti ini tidak sepatutnya wujud dalam konteks demokrasi.

Kemungkinan pengkaji sudah lupa mengenai tragedi perhambaan di AS, yang melibatkan orang kulit putih dan kulit hitam. Kemungkinan pengkaji juga gagal mengingati peristiwa pembersihan etnik di Bosnia, larangan memakai hijab di sekolah di Perancis serta larangan simbol agama di Belanda. Adakah 'tragedi' sebegini mencerminkan keadaan sebenar ranking keislaman negara Eropah?

Akhir sekali, item pengukuran keempat iaitu hubungan antarabangsa sesebuah negara. Item ini awal-awal lagi telah menidakkan keupayaan negara Islam dalam konteks hubungan antarabangsa khususnya dengan negara haram Israel.

Malaysia misalnya tidak menjalin sebarang hubungan dengan Israel dan sudah tentu item pengukuran sebegini tidak menyumbang apa-apa mata kepada negara kita, sebaliknya ia menyumbang mata yang cukup besar kepada negara Eropah dan Barat. Sepatutnya, penyelidik menggunakan item pengukuran baru iaitu hubungan antarabangsa dengan negara Islam kerana indeks yang hendak diukur ialah Indeks Keislaman.

Di sebalik pendedahan dapatan kajian tersebut, yang paling menyedihkan tidak ada satupun negara Arab termasuk dalam senarai 50 teratas Indeks Keislaman, walaupun Islam telah bertapak dan berkembang subur di Tanah Arab sebelum disebarkan ke negara-negara lain.

Aspek sejarah ini langsung tidak diberi pertimbangan seolah-olah pengkaji telah membentuk doktrin baru bahawa negara bukan Islam mengamalkan ajaran Islam yang lebih baik dari negara tempat asalnya Islam dilahirkan. Arab Saudi yang menempatkan kota suci Mekah dan Madinah langsung tidak dipandang oleh pengkaji sekali gus menunjukkan bahawa pengkaji bersifat bias dalam kajian ini.

Timbul kesangsian mengapa haji dan umrah tidak dimasukkan sebagai pengukuran kepada Indeks Keislaman, walhal ibadah ini antara aspek keislaman paling penting kepada seluruh umat Islam sedunia.

Di kalangan negara Islam hanya Malaysia dan Kuwait tersenarai dalam 50 teratas iaitu masing-masing di tangga ke-33 dan 42. Adakah ini benar-benar adil jika dibanding dengan kedudukan AS di tangga ke-15 dan Perancis ke-17 walhal umat Islam di negara tersebut didiskriminasi dengan jelas sama ada melalui persepsi masyarakat mahupun undang-undang. Di Perancis, wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab. Adakah ini nilai keislaman yang baik? Jadi, di manakah rasionalnya ranking negara-negara terbaik Indeks Keislaman jika dibandingkan dengan realiti semasa?

Pengkaji juga menyatakan pencapaian negara Islam amat buruk kerana ada yang menggunakan agama sebagai alat untuk berkuasa. Dalam hal ini, pengkaji secara sengaja memasukkan aspek emosi, mungkin berkaitan pengalaman lampau negara beliau. Tindakan sebegini sekali gus menimbulkan kesan kepada proses dan interpretasi kajian ini kerana melibatkan unsur personal. Seharusnya kajian ini bersifat bebas kerana ia boleh merosakkan dapatan kajian.

Dalam kes menggunakan Islam sebagai alat untuk berkuasa, pengkaji hanya merujuk kepada Islam di sesetengah negara Arab dan berkemungkinan negara beliau sendiri. Di Malaysia, Islam agama rasmi negara dan kedudukannya diakui dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia juga pelopor banyak perkara berkaitan Islam seperti institusi pengurusan zakat dan Baitulmal, bon dan dana Islam, pembangunan sukuk, pensijilan halal, sistem perbankan Islam, pajak gadai Islam, pengurusan jemaah haji yang terbaik di dunia dan institusi wakaf. Malahan, masyarakat bukan Islam juga bebas mengamalkan agama mereka.

Agak ganjil sekiranya pengkaji tidak melihat dengan lebih dekat pencapaian Malaysia, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan tiga kali ganda lebih rendah daripada Singapura.

Oleh itu, penulis melihat kajian ini sebagai cara untuk merendah-rendahkan martabat dan kedaulatan negara Islam. Pengukuran Indeks Keislaman yang cacat dan mudah dipertikaikan telah diguna dalam kajian ini, sekali gus menunjukkan bahawa pengkaji sengaja 'mengarahkan' hasil kajian agar memihak kepada negara Barat dan Eropah. Pengkaji tidak melihat dengan lebih jelas realiti Islam di negara bukan Arab terutamanya Malaysia, sekali gus hanya meletakkan ranking Malaysia sewenang-wenangnya.

Cuba bayangkan kalau Indeks Kekristianan dibentuk dan negara Islam mencatat 10 kedudukan terbaik, apakah agaknya pandangan masyarakat Eropah dan Barat? Tepuk dada, tanyalah iman.

DR. ABDUL MANAF BOHARI pengarang@utusan.com.my ialah Penganalisis Geospatial Pengurusan Kolej Perniagaan UUM Utusan/Rencana/20140623