June 25th, 2014

Forex online haram

AKHIR-akhir ini, dunia perniagaan dan pelaburan secara dalam talian (online) di negara kita dikejutkan dengan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa operasi urus noaga wata wang atau forex online yang dijalankan oleh individu melalui broker-broker dalam talian adalah tidak menepati syarak.


Walaupun fatwa dan keputusan sudah dikeluarkan sejak 2012, didapati masih ramai daripada kalangan pemain-pemain forex masih tidak mengendahkan fatwa tersebut, terutama kalangan mereka yang sudah ketagih dengan aktiviti forex.

Sebenarnya isu forex online telah acapkali dibincangkan dan dijelaskan kedudukan hukumnya oleh mereka yang ahli dalam syariah, khasnya bidang muamalat. Pada pertengahan 2011, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menganjurkan satu muzakarah membincangkan isu Forex ini, di mana beberapa penyelidik yang ahli dan pakar dalam bidang muamalat telah mengkaji isu forex online ini dan didapati operasinya yang dijalankan oleh individu melalui platform elektronik mengandungi banyak unsur yang tidak menepati syariah atau isu yang menjejaskan kesahihan transaksi forex online

Antara unsur yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat ialah:

Isu leverage

Forex online tidak dapat dipisahkan daripada unsur leverage. Tidak akan ada pedagang (trader) kecil-kecilan akan berurusniaga di platform forex online jika broker tidak memberikan leverage. Secara mudahnya leverage ialah gandaan kewangan yang diberikan oleh broker supaya individu dapat berdagang Forex melebihi modal sebenar. Contohnya jika broker memberikan leverage 100:1, bererti dengan deposit sebanyak USD100, seorang trader dapat melakukan urus niaga (trading) bernilai USD10,000.

Daripada sudut fikah, akad yang paling hampir dengan unsur leverage ialah akan qard iaitu pinjaman kewangan. Iaitu broker memberi pinjaman kepada trader sejumlah wang untuk diniagakan. Jadi apa masalahnya dengan leverage?

Apabila leverage adalah satu bentuk pinjaman, di sini terdapat unsur mensyaratkan akad jual beli dengan pinjaman. Atau dengan kata lain, broker memberi pinjaman kewangan dengan syarat trader hendaklah melakukan trading forex dengan broker.

Dalam isu leverage, broker bukan sahaja mensyaratkan melakukan trading dengan pinjaman tersebut, malahan akad pinjaman dan akad jual beli mata wang berlaku secara sekali gus dengan menekan satu butang sahaja. Dua akad disekalikan dan tidak dipisahkan. Kerana pemberian leverage hanya akan terpapar di platform apabila seseorang trader membuka satu-satu posisi.

Di dalam fikah, meletakkan syarat akad jual beli lain di dalam akad pinjaman adalah tidak dibenarkan. Ia dikenali dengan permasalahan ‘Bay wa salaf’ iaitu jual beli berserta dengan pinjaman. Pengharamannya disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama.

Al-Qarafi menyebut: “Dan dengan jmak umat bahawa diharuskan jual beli dan pinjaman secara berasingan dan haram kedua-duanya secara bersekali, kerana ia adalah laluan riba." (Al-Furuq, 3/266)

Di dalam konteks perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum larangan ini, kerana broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage kepada pedagang yang membuka posisi di platformnya sahaja.

Isu Qabd (Possession)

Forex adalah pertukaran antara satu mata wang dengan mata wang yang lain. Dari sudut fikahnya ia adalah satu bentuk jual beli al-Sarf yang pada zaman dahulunya seumpama menukar emas dengan perak atau menukar dinar dengan dirham. Syarak telah meletakkan syarat bahawa dalam jual beli al-Sarf, hendaklah berlaku penyerahan dua item yang ditukar.

Dalam konteks forex, mesti berlaku penyerahan antara dua mata wang di dalam majlis akad, dengan mengambil kira bahawa penyerahan boleh berlaku secara hakiki (fizikal) dan juga hukmi (konstruktif).

Contoh penyerahan fizikal ialah dengan menyerahkan mata wang secara langsung kepada orang yang membelinya. Manakala contoh penyerahan hukmi ialah melalui pemindahan wang daripada akaun ke akaun lain.

Berlakukah Qabd dalam forex online? Untuk menjawab persoalan ini kita perlu memahami bagaimana operasi forex dijalankan. Sesuatu perdagangan forex dijalankan dengan cara membuka posisi (open position) terhadap instrumen yang dipilih. Kemudian, diakhiri dengan menutup posisi (close position) terhadap instrumen tersebut.

Sebagai contoh, anda mahu membuka posisi long terhadap instrumen EUR/USD, dengan maksud anda akan membeli mata wang euro dengan membayar mata wang dollar USD.

Di dalam syariah, tuntutan qabd daripada transaksi ini ialah anda hendaklah menyerahkan mata wang USD kepada broker; dan broker hendaklah menyerahkan mata wang EUR kepada anda.

Dalam forex online, berlakukah dua perkara tersebut? Jawapannya: Broker tidak akan mengkreditkan serta-merta mata wang yang anda beli ke dalam akaun anda. Jadi, anda yang membuka posisi membeli instrumen EUR/USD tidak akan selama-lamanya dapat membuat qabd terhadap mata wang EUR yang anda beli, kerana selagi posisi yang anda buka masih dalam status ‘OPEN’, anda tidak akan dapat menikmati segala keuntungan daripada kenaikan harga mata wang yang anda beli dan tidak mungkin anda dapat membuat pengeluaran (withdrawal) wang tersebut, sehingga anda membuat ‘CLOSE’ terhadap posisi tersebut atau dengan kata lain anda menjual balik mata wang yang anda beli tadi.

Contohnya, anda membuka posisi long terhadap EUR/USD pada harga 1.4500 sebanyak 10,000 unit. Kemudian, anda menutup posisi tersebut pada harga 1.4550. Anda mendapat keuntungan sebanyak 50 pip.

Dalam contoh ini, apabila anda membuka posisi long, anda dikira membeli EUR10,000 dengan membayar USD14,500. Kemudian, anda menjual balik EUR10,000 dengan mendapat USD14,550. Anda untung USD50.

Maka di sini timbul isu ketiadaan qabd terhadap mata wang yang dibeli oleh anda ketika membuka posisi long (membeli instrumen EUR/USD). Ini kerana selagi anda tidak menutup posisi pertama, anda tidak mungkin dapat menikmati apa-apa keuntungan sebenar daripada kenaikan harga EUR berbanding USD.

Jadi qabd tidak berlaku kerana mata wang yang dibeli ketika membuka posisi tidak akan dikreditkan ke dalam akaun pedagang, sehingga mata wang tersebut dijual balik kepada broker ketika penutupan posisi.

Isu penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan

Sebagaimana disebutkan tadi, trading forex berlaku dengan ikatan antara dua transaksi iaitu open position dan close position terhadap instrumen yang dipilih. Jika ketika open position, trader membeli EUR dan menjual USD (Buy EUR/USD), maka ketika close position, dia akan menjual EUR dan membeli USD (sell EUR/USD).

Ketika close position, trader akan menjual balik EUR yang dibelinya. Di sinilah berlakunya isu syariah. Kerana ketika trader membuat penutupan posisi (close position), dia akan menjual balik mata wang yang dibelinya daripada broker, sedangkan dia belum lagi melakukan qabd terhadap mata wang yang dibelinya.

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda: “Tidak halal hutang dan jual beli, (pengenaan) dua syarat dalam satu (transaksi) jual beli, (mendapat) keuntungan (daripada) sesuatu yang tidak dijamin dan jual beli sesuatu yang engkau tidak miliki. (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Antara maksud ‘mengambil keuntungan daripada suatu yang tidak dijamin’ ialah mengambil keuntungan daripada jualan suatu yang tiada dalam pegangan.

Jadi, perdagangan forex secara dalam talian didapati tidak menepati tuntutan syarak kerana trader yang membuka sesuatu posisi akan menutupnya balik, atau dengan kata lain membeli sesuatu instrumen dan menjualnya balik sebelum berlakunya qabd terhadap mata wang yang dibelinya. Ia termasuk dalam larangan hadis yang dikemukakan tadi. LOKMANULHAKIM HUSSAIN: Utusan/Bicara_Agama/20140625

Tempah ruang solat

MENUNAIKAN solat di Masjidil Haram, Mekah adalah menjadi suatu kemestian kepada umat Islam yang berkesempatan mengunjungi Tanah Haram tersebut, sama ada atas urusan haji mahupun umrah.

Fadhilat pahala bersolat di masjid utama umat Islam itu amatlah besar, sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: Satu sembahyang di masjidku lebih afdal daripada 1,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram (di Mekah) dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdal daripada 100,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain. (riwayat Imam Ahmad)

Namun kelebihan itu telah menimbulkan suasana persaingan dalam kalangan umat Islam berikutan ruang solat yang terhad di masjid itu, sungguhpun kerajaan Arab Saudi telah berusaha melakukan kerja-kerja pembesarannya.

Berkemungkinan senario di ruang solat lelaki, ia tidak begitu ketara namun situasi berbeza bagi kaum wanita, sehingga wujud gejala menempah ruang solat di dalam ruang masjid berkenaan.

Ini terutamanya pada saat-saat masjid dalam keadaan padat dan sesak seperti pada malam Jumaat, Isnin dan Khamis; Ayyam Al- Beed (tiga hari di tengah-tengah setiap bulan Hijriah ) dan pada bulan Ramadan.


SESAK... isu ruang solat wanita terhad dijadikan sumber pendapatan sesetengah wanita yang tidak
bertanggungjawab di Masjidil Haram, Mekah. - Gambar hiasan

Justeru, tidak hairanlah, Islamic Information Portal (islam.ru) yang memetik laporan oleh Saudi Gazette, baru-baru ini menyatakan gejala negatif itu telah menjadikannya satu bentuk perniagaan yang kini semakin berkembang pesat.

Dengan bayaran SAR200 (RM99.70) untuk sehari, kaum wanita terbabit bukan hanya boleh menempah tempat tetapi boleh meminta beberapa wanita Afrika untuk membawa anak-anak mereka supaya dapat meliputi kawasan yang lebih besar untuk rakan mereka yang lain.

Mereka menggunakan beg tangan, barang-barang peribadi atau kerusi untuk menempah tempat-tempat tertentu di mana-mana sudut di dalam masjid demi menyediakan tempahan ruang solat bagi mereka yang datang lewat untuk solat, yang sudah semestinya sukar mencari tempat yang sesuai untuk berdoa.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pintu Hunayn, Bilal dan Raja Abdulaziz serta kawasan solat wanita di tingkat atas.

Ternyata, gejala itu telah menyebabkan warga Afrika tersebut bukan hanya memperoleh keuntungan yang besar tetapi mampu menyara kehidupan mereka selama setahun, kata Ketua Jurupandu Wanita Masjidil Haram, Noor Qarout.

Begitu pun, beliau menegaskan bahawa perbuatan membuat tempahan tempat itu dikecam oleh para ulama kerana tempat di masjid-masjid diperoleh secara percuma untuk mereka yang tiba awal ke masjid.

Sementara itu, Ketua Media dan Perhubungan Awam Dua Masjid Suci, Ahmad Al- Mansouri berkata, menempah tempat di masjid adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ketua Mufti, Sheikh Abdulaziz Al-Alsheikh telah mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang datang awal ke masjid dan duduk di baris belakang akan mempunyai ganjaran yang lebih baik daripada Allah daripada orang-orang yang datang lewat dan membayar untuk tempat di baris hadapan .

“Mufti itu turut menambah bahawa ganjaran untuk 'berada di hadapan' bukan semata-mata untuk duduk di baris depan tetapi untuk datang awal ke masjid," katanya. HASHNAN ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140625

Bersediakah Melayu lepaskan hak?

PERNAHKAH sesiapa melihat orang Melayu dan beragama Islam dalam jumlah makro, masih lagi belajar membaca muqaddam.

Dengan kata lain, masih bertatih membaca alif ba ta dalam usia 50-an. Inilah pengalaman yang pernah diceritakan oleh sebuah badan bukan kerajaan, Kongres Melayu Nusantara (KMN) kepada penulis sepanjang pengembaraan ke Thailand, di satu daerah bernama Nakhon Sawan akhir tahun ini.

Itu antara catatan pengalaman berharga yang dikutip mereka semasa berpeluang melihat sendiri budaya hidup orang Melayu Siam di negeri Gajah Putih itu.

"Kedaifan masyarakat Melayu di negeri yang majoriti penganutnya beragama Buddha itu terserlah dalam episod kehidupan mereka di Nakhon Sawan. Di daerah yang dijejaki pertubuhan ini, orang Melayu Islam hanya pandai bersolat dan membaca ayat lazim sekadar melengkapkan rukun ibadah wajib tersebut," kata Yang Dipertua KMN, Datuk Tengku Shaifulliazan Tengku Zainal Abidin (gambar).

Namun apa yang menyedihkan, kata Tengku Shaifulliazan, mereka masih ‘merangkak-rangkak’ membaca al-Quran disebabkan guru agama dari selatan Thailand hanya datang setahun sekali ke kampung tersebut.

Jauh di sudut hati terfikir oleh beliau betapa beruntungnya orang Melayu di Malaysia kerana dapat hidup sejahtera dan dapat belajar agama Islam dengan segala kemudahan daripada guru agama hingga ke institusi pengajian Islam.

Namun hari ini, kata beliau, apa yang menyedihkan wujud sebilangan orang Melayu dan Islam di negara ini sanggup mengorbankan hak istimewa mereka kerana politik kepartian yang langsung tidak bersandarkan Perlembagaan Persekutuan.

Lebih teruk lagi, orang Melayu hari ini sanggup berpolitik dengan skripnya ditulis oleh pihak lain sehingga pemimpin Melayu dan Islam yang suatu dahulu gah dengan agenda Islam sanggup mengetepikan hak sendiri, semata-mata kerana mahu menang pilihan raya.

Sikap pemimpin parti terbabit bersekongkol dengan pihak yang cuba menidakkan hak istimewa bangsanya dan meminggirkan institusi diraja amat dikesalkan.

"Parti politik yang bertunjangkan Islam kini sudah bertukar perjuangan. Dan dianggap menjadi pengikut parti yang memperjuangkan kesamarataan dan menghapuskan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sedangkan, tanpa DEB nasib orang Melayu akan senasib orang Melayu seperti di Thailand, Kemboja dan Vietnam," kata Tengku Shaifulliazan lagi.

Suatu ketika timbul isu pemimpin pembangkang mahu mengurangkan 50 peratus penjawat awam jika mereka berkuasa kelak. Ini perlu diambil perhatian oleh orang Melayu memandangkan hampir 90 peratus penjawat sektor tersebut adalah orang Melayu.

DEB sebenarnya merupakan perisai orang Melayu dan satu-satunya Kerajaan Pusat di dunia yang mampu melaksanakan dasar sehebat itu adalah Barisan Nasional (BN). Atas dasar itu, orang Melayu jangan teragak-agak untuk menyatakan sokongan terhadap BN selagi dasar itu dan dasar seumpama dengannya terus membela orang Melayu.

Adakah orang Melayu bersedia untuk melepaskan hak mereka yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sejak 31 Ogos 1957 lagi?

Hak tersebut adalah mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negara, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153, institusi raja dan lain-lain lagi. Hari ini, parti pembangkang menghalalkan segalanya demi mencari undi pelbagai golongan rakyat sedangkan ia mengancam hak majoriti orang Melayu.

"Hari ini sebilangan orang Melayu melihat perjuangan individu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan perjuangan beliau tetapi perjuangan DAP yang membawa agenda Malaysian Malaysia.

"Pas pula bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang tetapi DAP yang agendanya dibawa oleh PKR. Malangnya orang Melayu masih lagi tidak sedar hak mereka sedang terancam," kata Tengku Shaifulliazan.

Di Selangor, kata beliau, orang Melayu sudah melihat model negara yang akan dibentuk oleh parti pembangkang jika mereka berjaya dalam misi ke Putrajaya. Orang Melayu semakin kehilangan hak mereka sedikit demi sedikit akibat diulit janji-janji manifesto penuh pesona.

Isu premium tanah yang dikenakan mengikut harga pasaran kepada pemilik tanah di Selangor yang menerima Borang 5A membuka mata rakyat yang selama ini dimomokkan oleh slogan Kerajaaan Negeri Selangor iaitu ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.

Bayangkan seekar tanah, rakyat perlu membayar RM38,000 untuk bayaran premium di kawasan Tanjung Karang. Jika dua ekar tanah sudah jadi RM72,000. Bagaimana rakyat yang bekerja sebagai peladang hendak membayar premium tersebut semata-mata ingin mendapat geran.

Kesudahannya, dibimbangi tanah orang Melayu terlepas ke tangan orang asing yang sanggup membayar premium tersebut. Lebih menakutkan perkara ini telah dan sedang berlaku di Selangor.

"Alasan kerajaan negeri Selangor hanya mengikut harga pasaran suatu yang tidak logik sama sekali sedangkan semasa era BN memerintah, perkara begini tidak pernah berlaku.

"Premium untuk seekar tanah di kawasan sama hanyalah RM359 sahaja dan rakyat tidak tertekan untuk membayar jumlah tersebut," kata beliau.

Isu premium tanah menjadi duri dalam daging buat kerajaan PKR Selangor kerana isu tanah melibatkan maruah orang Melayu yang sudah pasti tidak mahu kehilangan hak untuk berpijak di tanah sendiri.

Dunia Melayu menganjur dari Thailand, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Brunei, Filipina dengan orang Moro, Indonesia dan seterusnya ke Cape Town, Afrika Selatan.

Cabaran orang Melayu memang besar kerana berdepan dengan persepsi masyarakat dan arus politik yang penuh dengan pelbagai agenda dan muslihat pemain-pemainnya. Zulkifli Jalil: Utusan/Rencana/20140625

Asuhan anak amanah ibu bapa

PENDIDIKAN adalah suatu proses yang dilakukan secara berterusan ke arah kebaikan. Mengasuh anak pula, lebih kepada memelihara dan memberi tunjuk ajar, menjaga dan mendidik dengan baik.

Manusia memerlukan asuhan dan didikan yang baik untuk menjadi khalifah di bumi Allah. Tanpa asuhan dan pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat dan juga rohani, emosi, intelek dan jasmani manusia tidak dapat menyeimbangkan keseluruhan tindakan dalam kehidupan mereka.

Pendidikan memainkan peranan utama untuk melahirkan modal insan yang seimbang dunia dan akhirat. Pendidikan juga menyediakan peluang kepada individu mendapat didikan sempurna sejak dari alam kanak-kanak, remaja sehingga ke pendidikan tinggi dan berpeluang menikmati kemajuan ekonomi.

Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkan dengan tanda aras antarabangsa. Pendidikan kanak-kanak normal atau Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapat perhatian yang seimbang daripada kerajaan.


SEBAHAGIAN kanak-kanak bermain futsal untuk memupuk minat terhadap sukan bola sepak bagi mengelakkan
gejala tidak sihat pada Majlis Perasmian Rukun Tetangga dan SRS Kampung Buloh Poh di Kelantan, pada 1 Jun lalu.

Sayangnya, terdapat segelintir ibu bapa yang cuai dalam pendidikan anak. Ada anak yang meninggal dunia disebabkan kecuaian tersebut dan ada anak yang menjadi mangsa disebabkan kemarahan ibu bapa yang bermasalah dalam rumah tangga.

Anak yang kecil tidak berdaya melawan ibu bapa dan ada yang terdera fizikal dan emosi disebabkan oleh sikap ibu bapa sendiri yang melepaskan kemarahan tanpa sebab kepada anak.

Kes anak terabai Muhammad Firdaus Dullah, 15, remaja OKU yang ditemui dalam keadaan menyayat hati terkurung dalam rumah di Flat Semarak, Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan sewajarnya memberi pengajaran dan perhatian kepada kita supaya tidak mengabaikan asuhan dan didikan anak.

Walaupun anak ini tidak didera tetapi pengabaian remaja itu menyebabkan seluruh negara terkejut, simpati dan rasa terpanggil dengan keadaan yang berlaku.

Anak-anak adalah anugerah dan juga amanah Allah. Didiklah dan jangan abaikan mereka dalam hal makanan dan kesihatan. Perbaikkan budi pekerti mereka ke arah kesopanan, berakhlak mulia dan akhirnya dapat membalas jasa orang tuanya. Anak-anak kecil jangan didera disebabkan kemarahan dan kesalahan yang kecil. Didikan yang baik melalui teguran, nasihat dan bimbingan akan menjadikan anak-anak faham erti kehidupan.

Matlamat pendidikan bertujuan membawa kesejahteraan kepada individu terbabit di dunia dan akhirat.

Nabi SAW bersabda: " Cintailah anak-anak dan sayangilah mereka. Apabila men­janjikan sesuatu kepada mereka tepatilah. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamulah yang memberi mereka rezeki." (Riwayat Ath Thahawi).

Begitulah juga anak-anak yang tidak terdidik dengan baik dan sempurna akan menyebabkan mereka mudah terjebak dengan pelbagai penyakit juga gejala sosial yang boleh merosakkan kehidupan mereka.

Pendidikan anak sangat penting sejak dahulu hingga sekarang bagi membentuk kehidupan yang sejahtera seterusnya membentuk tamadun bangsa yang maju pada masa akan datang.

Pendidikan mestilah meliputi didikan akidah, ibadah dan akhlak. Selain itu, pendidikan juga mestilah dapat menjamin kehidupan di dunia bagi menyara keluarga dan membantu pembangunan negara.

Beberapa tokoh pendidik berpandangan sewaktu anak-anak masih kecil dan muda, didik dan ajarlah mereka tentang kebaikan dan kejayaan. Sementara itu ada berpendapat, apabila anda mengharapkan anak anda menjadi baik, biarkanlah mereka mendengar hal-hal yang baik mengenai mereka yang anda ceritakan kepada orang lain. Selanjutnya, jalan terbaik bagi membuat anak-anak menjadi baik adalah membuat mereka bahagia dalam melakukan sesuatu yang berfaedah kepada dirinya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud; "Hak anak pada ayahnya adalah nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila ia sudah cukup umur dan mengajarinya al-Quran." (Riwayat Al-Hakim dan Ad-Dailami).

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud; "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan rotan mereka apabila enggan mengerjakan solat ketika berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka." (Riwayat Abu Daud).

Begitulah tegasnya pendidikan dalam Islam bagi mendidik anak-anak sejak kecil dengan ibadah. Pendidikan al-Quran kepada anak-anak dapat menjana kecemerlangan hidup. Anak-anak juga dididik mengikut contoh dan teladan Rasulullah SAW.

Didikan berbudi dan berbakti mengikut cara hidup Muslim. Seterusnya anak-anak juga dididik sabar menghadapi ujian Allah. Selain itu, mereka juga dididik tentang makanan yang halal dan yang haram menurut Islam.

Seterusnya, anak-anak mestilah dididik tentang konsep asas akidah Islam, rukun iman, fardu ain dan fardu kifayah, solat dan adab meliputi menjaga adab fitrah sebagai lelaki dan perempuan, adab bergaul, adab berkawan, adab terhadap ibu bapa, adab bergaul dengan keluarga, adab berguru, adab menuntut ilmu dan adab membaca al-Quran. Semua ini mestilah dipraktikkan di rumah dan diperkukuhkan di sekolah.

Saidina Umar Al-Khattab mengatakan, didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau.

Hamka menjelaskan, anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Salahlah pendidikan orang tua yang hendak menjadikan anak mereka seperti mereka juga. Selanjutnya, Khursid Akhmad, menghuraikan jatuh bangunnya suatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Justeru, konsep dan cara pendidikan itu mestilah mengikut keadaan dan perubahan semasa. Ibu bapa wajar memahami keadaan ini dalam melaksanakan pendidikan ter­hadap anak-anak.

Pengajaran dan pendidikan terhadap anak adalah berbeza. Pengajaran bermaksud mengajar mereka bagi meningkatkan pengetahuan tentang sesuatu perkara. Sementara pendidikan bermaksud mendidik mereka dalam bentuk pendidikan adab, peribadi, tingkah laku, perhatian, kasih sayang dan sebagainya.

Anas bin Malik menceritakan Rasulullah SAW bersabda; "Muliakanlah anak-anakmu dan perbaikkan adab mereka." (Riwayat Ibn Majah).

Justeru, adab yang dimaksudkan dalam hadis tersebut sebagai mengamalkan sesuatu yang dipuji sama ada dalam bentuk ucapan atau perbuatan. Oleh itu, tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak mereka bagi memperbaiki akhlak dan amalan yang terpuji serta berusaha mencegah dan menjauhkan anak-anak daripada amalan yang keji atau mungkar.

Melalui PPPM 2013-2025, bagi melahirkan rakyat yang menghayati nilai murni, kerajaan telah mengukuhkan Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral dengan lebih tumpuan kepada memupuk nilai murni dan agama serta persefahaman yang lebih erat antara murid.

Menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dalam pendidikan anak bukan suatu perkara yang senang. Pendidikan iman, amal dan akhlak mestilah dilakukan seimbang dengan pendidikan ilmu berkaitan dunia sejak kecil secara berterusan hingga dewasa.

Oleh itu, didiklah anak mengikut zamannya iaitu era globalisasi yang penuh dengan cabaran. Untuk itu, ibu bapa mestilah mempunyai persediaan yang secukupnya dalam ilmu pendidikan dan keibubapaan bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Pendidikan dan asuhan yang baik akan melahirkan anak yang baik dilengkapi ilmu, iman dan akhlak.

* DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media, berkelulusan Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Utusan/Rencana/20140625