July 1st, 2014

Puasa tingkat disiplin hargai masa

Allah SWT akan menggandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain yang mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”

Ganjaran pada akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka.”

Antara bekalan yang boleh diperoleh daripada ibadah puasa ialah sifat ikhlas. Puasa ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba kerana ibadah puasa adalah rahsia antara hamba dan tuhannya.

Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketakwaan kepada Allah SWT yang mengetahui zahir dan batinnya serta mengharapkan pahala dia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadah puasa istimewa dalam melahirkan sifat ikhlas kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima Allah SWT.

Didik lebih tegas tinggalkan perkara diharam syariat

Puasa menutup keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadan seperti makan dan minum. Puasa mendidik untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara diharamkan oleh syariat.

Puasa mendidik kita memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara boleh membatalkan puasa. Pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat moden atau tradisi.

Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan, tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan Allah SWT adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya.

Rasulullah SAW mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata ‘aku berpuasa! Seorang Mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan.

Bahkan, ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri daripada perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.

Nikmat Ramadan dikongsi seluruh umat Islam

Orang Islam di seluruh pelusuk dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan Ramadan dan perasaan ini dikongsi bersama umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi.

Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama perlu ada dalam diri setiap Mukmin.

Puasa mengajar Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual. Sepanjang Ramadan, Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan membatalkan puasanya.

Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang Mukmin supaya setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa ditetapkan.  Berita Harian Agama 2014/06/24 - 03:28:31 AM

Rasai nikmat kehidupan menerusi sikap sabar

Sabar satu ungkapan sangat mudah dituturkan, tetapi sukar melaksanakannya. Sabar bukan bererti pasrah dan menyerah pada nasib. Sabar adalah kegigihan untuk tetap berpegang teguh kepada ketetapan serta menerima ketentuan Allah SWT.

Musibah dihadapi dengan kesabaran akan mendapat rahmat serta petunjuk daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 200).

Sabda Rasulullah SAW: “Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang Allah berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas manfaatnya daripada kesabaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak ada satu pun keadaan paling indah melainkan apabila kita dapat bersabar, baik ketika senang dan susah, ketika kaya atau miskin, lapang mahupun sempit. Jika kita bersabar, Allah SWT akan memberikan sesuatu yang sempurna berbanding jika sentiasa mengeluh.

Praktik sabar tanpa mengeluh

Kisah hidup Rasulullah SAW, banyak mengajar erti sifat sabar yang sebenar dan menjauhi sifat mengeluh. Memiliki sifat sabar dan mempraktikkan kesabaran itu tanpa mengeluh, betapa beruntungnya seseorang Mukmin.

Dalam hadis qudsi, Syaddad bin Aus berkata, Nabi SAW: “Allah telah berfirman: Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas penderitaan apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala amalannya.” (Riwayat Ahmad)

Kita harus reda dan bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT. Sifat orang fasik dan munafik akan cepat marah dengan rahmat Allah SWT, tidak reda berdepan musibah menimpa dirinya dan mudah menyalahkan orang lain.

Jika kita bercita-cita menjadi hamba Allah SWT yang mendapat reda dan rahmat-Nya, maka kita perlulah meyakini setiap sesuatu perkara itu mengandungi 1001 hikmah kebaikan dan ganjaran di sisi Allah SWT.

Jika kita bersabar, kita tahu Allah SWT sentiasa bersama sekali gus mengetahui bahawa diri ini sentiasa dipelihara dan diawasi oleh-Nya. Janganlah kita berasa ujian Allah itu berat kerana Allah tidak akan memberi ujian di luar kemampuan hamba-Nya.

Tekun beribadah

Kita akan tetap tekun beribadah hanya kepada Allah SWT walau apa keadaannya dan sedikitpun tidak berhajat untuk melakukan hal yang boleh mencemarkan keislaman dengan melakukan perkara boleh mendatangkan syirik serta maksiat.

Sudah namanya manusia, kesilapan sentiasa berlaku secara sedar atau tidak. Untuk mendidik hati supaya bersabar, jadilah orang paling baik kerana golongan itulah yang akan mula-mula memberi kemaafan kepada orang lain.

Latih diri menjadi hamba yang sentiasa sabar dengan ujian atau musibah yang Allah SWT berikan semoga dengan ujian itu boleh meningkatkan ketabahan serta keimanan kita terhadap Pencipta yang Maha Agung. Berita Harian Agama 2014/07/01 - 04:07:39 AM Namihar Sharihan Aripin

Makanan halal penyucian dalaman diri

Kita makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan. Demikianlah ungkapan sering kali kita dengar, tetapi sejauh manakah kita mengambil berat kandungan dan keadaan makanan diambil, apakah halal di sisi Islam atau sebaliknya.

Makanan halal sering menimbulkan isu apabila ada pihak didapati mengambil mudah perkara itu. Malah, ada segelintir masyarakat yang bertanya mengapakah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW menyeru umat Islam memilih makanan yang halal dalam kehidupan seharian.

Disebabkan itu juga sebuah video yang tersebar luas di laman sosial baru-baru ini memaparkan seorang wanita yang persoalkan mengenai halal serta mempersendakan perkara itu seolah-olah beliau tidak kisah dan mengambil berat berkenaan halal dan haram ini.

Kelebihan makanan halal

Semestinya Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk ciptaan-Nya. Sudah pasti ada hikmah dan kelebihan makanan yang halal dalam membantu manusia menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Antara hikmahnya adalah menjamin keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Keberkatan ialah satu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada seseorang yang dikehendaki-Nya dalam bentuk ilmu, iman, kebahagiaan, ketenangan dan sebagainya.

Pengambilan makanan halal dan menghindari perkara haram adalah antara cara untuk meraih keberkatan. Kehidupan bagi umat Islam bukanlah terhenti di dunia bahkan yang lebih utama adalah kehidupan hakiki di akhirat.
Prihatin sumber pendapatan

Rezeki yang haram akan menjerumuskan seseorang ke neraka. Masyarakat perlu mengambil berat dan prihatin sumber pendapatan supaya menjamin kebahagiaan yang hakiki. Jadi, Islam melihat perkara ini dengan lebih jauh kerana kita perlu mencapai keberkatan di akhirat juga.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya.” (Riwayat Muslim, Ahmad dan Tarmizi )

Makanan halal menjadi salah satu faktor yang penting untuk memohon doa kepada Allah SWT supaya dimakbulkan. Jika doa tidak dimakbulkan, pada perkara apakah lagi yang boleh kita harapkan. Oleh itu, Rasulullah SAW menekankan umat Islam menitikberatkan berkaitan makanan halal ini.

Janganlah terlalu seronok dengan nafsu makan sehingga terlupa atau mengabaikan sumber dan kandungan makanan sama ada halal di sisi hukum mahupun tidak. Sebaliknya perlu teliti dan berjaga-jaga dalam pengambilan makanan.

Selain itu, antara hikmah lain berkenaan pengambilan makanan halal ialah terhindar daripada seksaan api neraka. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hamba yang dagingnya tumbuh daripada makanan haram dan riba maka neraka lebih layak baginya.” (Riwayat Ibnu Abbas)

Tambahan sekarang ini banyak produk dihasilkan dicampur bahan kimia yang mana tidak diketahui secara jelas kandungannya. Perkara ini yang menjadi kerisauan umat Islam kerana dikhuatiri bahan digunakan tidak halal di sisi syarak.

Penyucian dalaman, luaran

Selain itu, penyucian diri dari sudut dalaman dan luaran juga menentukan amal ibadah diterima oleh Allah SWT. Jadi, menghindari daripada makanan haram antara kaedah penyucian diri supaya solat, puasa, zakat dan sebagainya mudah diterima oleh Allah SWT.

Jika dilihat realiti hari ini, ramai yang solat, tetapi masih berterusan melakukan maksiat sedangkan solat mencegah manusia daripada melakukan perkara dosa. Mungkin jawapannya solat itu tidak diterima berpunca daripada pengambilan makanan haram. Ramai tidak menyedari perkara itu.

Oleh itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab umat Islam untuk lebih berhati-hati serta mengambil berat berkaitan pemakanan halal. Hendaklah kita sentiasa memastikan setiap makanan yang diperoleh dan dimakan halal menurut syariat Allah SWT. Sesungguhnya suruhan Allah SWT bertujuan memberi kebaikan kepada manusia. Berita Harian Agama 2014/06/24 - 03:29:15 AM

Tazkirah Ramadan: Punca ibadah Ramadan tak konsisten

Tiada visi, kurang ilmu menyebabkan kelompongan diisi dengan sikap malas

Sering kali semangat Ramadan kita tidak konsisten. Permulaannya gagah berjuang, pertengahannya mulai goyah dan pengakhirannya terus rebah. Tentu ada silapnya di mana-mana. Maka, sudahkah dinilai punca kesilapan itu?

Apakah masalah ini berpunca daripada faktor luaran atau membabitkan sikap sendiri? Andainya disebabkan faktor luaran, carilah alternatif menyelesaikannya. Jika masalah sikap, berbincanglah dengan diri sendiri. Apakah masih berkobar-kobar memburu ‘pandangan’ Allah SWT?


Tujuan Ramadan

Apakah tujuan kita yang sebenarnya dalam bulan Ramadan yang mulia. Ada beranggapan tujuan Ramadan mudah sahaja, menahan diri daripada makan dan minum. Walaupun tidak dinyatakan secara lisan, namun perbuatan mereka mengiyakan tujuan ini.

Mereka hanya berusaha berpuasa, tetapi ibadah wajib lain ditinggalkan. Pada hal itu bukan tujuan kita berpuasa. Allah SWT tidak mensyariatkan tujuannya atas asbab itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Takwa itu tujuan, manakala puasa adalah jalan untuk mencapai tujuan. Melalui takwa akan lahir perasaan takut dan menurut perintah Allah SWT yang diamanahkan serta menjauhi apa dilarang. Sebab itu awal-awal kita dimaklumkan tujuan Ramadan ini untuk mencapai takwa.

Hasilnya, fikiran kita sudah jelas dengan apa yang kita mahukan sebelum melangkah ke bulan Ramadan. Kata orang, semuanya bermula dengan apa yang ada dalam fikiran.

Berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) itu, Allah SWT menilai setiap detik kehidupan umat Islam sepanjang Ramadan. Apakah kita berpuasa kerana terpaksa? Apakah kita menghidupkan malam dengan ibadah atau melakukan aktiviti tidak berfaedah?

Atau apakah kita hanya menjadi hamba Ramadani dan bukannya hamba Rabbani? Semuanya ini akan dinilai dengan setulusnya.

Miliki takwa

Beruntunglah mereka yang mengetahui tujuan berpuasa adalah untuk memiliki takwa kerana dengan nilai takwa itu kita dianggap berjaya di sisi Allah SWT. Bukan sekadar itu, ada ganjaran yang lebih besar menantinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh rasa ketakwaan kepada Allah, nescaya diampuni dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘alaih)

Kesedaran tujuan ibadah puasa akan membuatkan umat Islam lebih bersedia dan bersemangat beribadah dengan konsisten. Tanpa tujuan, visi dan misi berpuasa di bulan Ramadan menjadi kabur dan tersasar.

Maka, kelesuan, bosan, kemalasan dan segala elemen negatif akan mengambil tempat mengisi kelompangan yang dikosongkan. Jika demikian halnya, jangan salahkan orang lain andainya kita gagal mencapai impian dan menjadi orang yang menyesal di penghujung Syawal nanti.

Manfaat setiap detik dengan ibadah

Semua ini hakikatnya bertitik tolak daripada soal ilmu. Dengan ilmu kita akan menyantuni Ramadan selayaknya. Setiap detik diisi dan dimanfaatkan dengan pesta ibadah yang tidak henti-henti. Malah, kesempatan Ramadan menjadi peluang umat Islam melipatgandakan pekerjaan dan usaha kerana semuanya itu akan dinilai sebagai ibadah.

Maka tiada lagi alasan Ramadan itu bulan berehat dan bermalas tetapi sebagai bulan pencetus kepada perubahan serta peningkatan produktiviti diri. Oleh itu, berpuasa tanpa tujuan ibarat sampan tanpa dayung, hanya terkial-kial tidak mampu ke mana-mana.

Maka, berpautlah matlamat yang disediakan oleh Allah SWT ini betul-betul supaya kita tidak goyah dan terus rebah sebelum menjelang penghujung Ramadan. Semoga dengan ilmu, Ramadan kali ini lebih bersemangat dan penuh bermakna. Insya-Allah. Berita Harian Agama 2014/07/01 - 04:09:51 AM Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman

Ramadan: Antara mujahid, mujahat

Pamerkan Islam sebagai cara hidup

Ramadan menjelang lagi. Malangnya, pemahaman kita terhadap Islam, setiap kali bertemu Ramadan, tidak banyak berubah. Kita menganggap seolah-olah Ramadan saja bulan ibadat atau bulan berjihad, manakala bulan lain, bulan berjahat. Ramadan mahu menjadi mujahid, keluar Ramadan, menjadi mujahat.

Semua program hiburan (realiti) sudah pun berakhir menjelang Ramadan, bermula dengan rancangan kanak-kanak belum bersunat, sehingga kepada orang tua, yang tidak bergigi (gigi palsu). Pendek kata, berakhir saja Ramadan, maka kerja kita pun menyanyi, melawak, menari dan berlakon. Bukan tidak boleh, tetapi biarlah program itu membawa mesej mendidik daripada berhibur semata-mata.


Ditanya, kenapa tidak meneruskan aktiviti itu ketika Ramadan. Jawapannya menghormati bulan puasa. Nampak sangat cetek dan kerdilnya ilmu Islam kita. Seolah-olah menampakkan Ramadan saja perlu menjadi baik. Saya pernah bertanya kepada beberapa artis dan orang awam, apakah aktiviti ketika Ramadan. Jawapannya, segala aktiviti hiburan dihentikan, fokus adalah untuk ke masjid dan sembahyang tarawih berjemaah.

Tindakan sebegini mempamerkan seolah-olah Islam ada dua versi, versi baik dan tidak baik. Tidakkah Allah SWT menjadikan semua bulan itu untuk kita jadi baik? Setiap bulan ada kelebihan tertentu. Tidak timbul soal bulan puasa barulah kita mahu menjadi malaikat, manakala, di bulan lain seolah-olah kehidupan kita sudah tidak ada akhirat.

Amal akhlak baik

Ramadan penghulu kepada segala bulan, seperti hari Jumaat, penghulu segala hari. Tidakkah kita perlu memahami setiap bulan itu, adalah bulan Ramadan dan setiap hari itu adalah hari Jumaat. Kenapa tidak bawa akhlak baik ini ke hari, minggu dan bulan seterusnya?

Sebab itulah kita lihat, Baginda Rasulullah SAW dan sahabat, begitu sedih apabila Ramadan sampai ke penghujung. Mereka mahukan, kalau boleh, biarlah Ramadan sepanjang tahun. Kenapa? Kerana mereka mahu menggarap dan meraut setiap kelebihan Ramadan. Tidak hairanlah, kita lihat akhlak mereka begitu hebat sepanjang masa.

Lebih menakjubkan, ketika Ramadanlah, Baginda dan sahabat, amat berjaya, kuat dan begitu bertenaga. Tidak hairan, dalam Perang Badar ketika bulan puasa, dengan hanya 313 tentera, dapat mengalahkan lebih 1,000 tentera kafir Quraisy. Logiknya, sudah tentu pada bulan Ramadan, kita menjadi lemah dan tidak bermaya. Tetapi kenapa umat Islam ketika itu kuat berhadapan dengan musuh Islam, seterusnya menang dengan cemerlang meskipun mereka sedikit? Jawapannya, kerana spiritual kuat. Kita lakukan sesuatu (puasa) semata-mata kerana Allah.

Apabila panggilan jihad datang, kita lupa kelaparan dan keletihan fizikal. Fizikal lemah secara automatik menjadi kuat apabila spiritual kuat. Apa yang kita fokuskan hanya melakukan sesuatu kerana Allah SWT. Lagipun pertolongan Allah pasti datang. Inilah kelebihan tarbiyyah madrasah Ramadan. Sepatutnya ia menjadikan kita gah untuk berhadapan dengan bulan lain.

Kita akan bawa akhlak Ramadan menghadapi cabaran 11 bulan seterusnya sebelum bertemu lagi Ramadan. Malangnya, keadaan itu tidak berlaku. Sebab itulah, puasa kita tidak dapat mencapai peringkat takwa seperti firman Allah SWT, “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu puasa, sebagaimana orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah Ayat 183)

Fahami erti Ramadan

Bersempena Ramadan al-Mubarak ini, marilah kita beriltizam untuk memahami Ramadan dalam erti kata memahami Islam sebenar, sebagai cara hidup. Mudah-mudahan puasa kita diterima Allah dan ketakwaan berpanjangan. Pertama, fahamilah Islam itu secara syumul (lengkap dan sempurna). Islam menuntut kita dalam keadaan apa sekalipun, setiap masa dan ketika, di bulan apa pun kita berada, menjadi Muslim sejati.

Kedua, dahulukan yang fardu berbanding sunat. Solat sunat tarawih, hanya solat sunat sangat dituntut (muakkad). Namun, jika ditinggalkan, sekalipun dengan sengaja, masih tidak berdosa. Apa yang lebih penting adalah, solat fardu seharian. Jika ditinggalkan, hukumnya berdosa besar. Malang sungguh ketika berlangsung permainan sukan (bola sepak) atau karpet merah, kita sengaja tinggalkan solat fardu semata-mata untuk mengejarkan habuan dunia. Tidakkah lebih baik, kita solat dulu. Hujah ini bukan bermakna selepas ini kita tidak perlu lagi solat tarawih. Rautlah sebanyak mungkin kelebihan Ramadan.

Ketiga, kita begitu berakhlak mulia pada bulan Ramadan. Banyak bersabar, tidak mengumpat, fitnah menfitnah, jaga silaturrahim, tutup aurat dan sebagainya. Adakah amalan baik ini ditinggalkan apabila berakhir Ramadan? Misalnya, kewajipan menutup aurat. Boleh dikatakan semua kita akan jaga aurat. Paling tidak, berpakaian sopan termasuk memakai selendang. Solekan ala kadar. Tetapi berakhir sahaja Ramadan, aurat entah ke mana, solekan kita seperti pelakon wayang opera.

Marilah kita beriltizam supaya Ramadan kali ini titik tolak untuk kita menjadi umat terbaik. Bawalah tarbiah Ramadan ke bulan lain, walaupun tatkala itu kita tidak berpuasa. Saya yakin, jika kita dapat fahami Islam secara syumul, agama Allah ini akan tertegak dan tidak mudah digoyah oleh orang lain.

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor, Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Berita Harian Agama 2014/07/01 - 02:33:53 AM

Ramadan harus menjadikan kita lebih manusiawi

RAMADAN adalah bulan yang amat istimewa kepada umat Islam kerana ia dikaitkan sebagai suatu madrasah yang mendidik hati supaya taat, patuh, akur dan tunduk kepada-Nya. Sebagai ibadullah, sifat ubudiah perlu ada supaya landasan tauhid kita kuat, manifestasi ibadah dalam bentuk amal terserlah.

Amalan berpuasa yang menjadi perkara utama di bulan Ramadan bermaksud manusia harus memiliki upaya kawalan diri terhadap nafsu dan keinginan supaya ia selari dengan tuntutan fitrah. Ia bersifat pencegahan dan juga pendidikan.

Ramadan juga suatu latihan dan tarbiyyah terhadap sikap dan pemikiran supaya kualiti manusiawi terserlah. Betapa tidak, nafsu-nafsi yang sering menjebak manusia melakukan yang mungkar diberikan daya kawalan terbaik supaya nafsul amarah atau yang buruk dapat dihindarkan dan nafsul mutmainnah atau yang baik mengambil tempat.

Hari-hari biasa watak haiwani kadang-kadang terjelma. Kita menjadi rakus dan hilang timbang rasa sesama insan lalu terjadi perbalahan dan dendam kesumat yang payah untuk dileraikan.

Melalui puasa membawa kita merenung ke dalam diri betapa pentingnya sikap sabar dibina, rasa timbang rasa dipupuk supaya madrasah ini mampu membentuk sikap baru dan keyakinan baru bahawa sesama seagama kita adalah bersaudara.

Melalui tarbiyyah Ramadan memberi peluang kita melakukan muhasabah diri mengenai kejelekkan silam dan bertekad untuk mengatasinya supaya di akhirnya nanti kita mampu kembali kepada fitrah.

Masa kini terlalu banyak kejelekkan berlaku di kalangan warga umat yang menyebabkan kepincangan terjadi. Sikap haiwani seorang suami yang mendera isteri tanpa belas kasihan terjadi di mana-mana. Sikap isteri yang ingkar kepada suami juga berlaku di mana-mana.

Sikap anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa, sikap manusia yang berbangga-bangga dengan pangkat, gelaran dan kedudukan, sikap peniaga yang memeras pelanggan dan berfikir untuk mengaut untung lebih, sikap sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri dan memburu kebendaan dalam hidup adalah kisah-kisah yang sering terjadi.

Menjiwai Ramadan seseorang akan merasai kemanisan ibadah ini. Merasai kelaparan, mengawal percakapan dan pendengaran, cermat dalam melakukan sesuatu, sabar mendepani kerenah dan bersyukur atas rahmah dan nikmah Ilahi menjadikan kita ahli ibadah (abid) yang mempunyai tautan keyakinan yang tinggi terhadap Allah.

Tautan yang tinggi ini juga disebut sebagai ihsan. Rasulullah SAW dalam hadisnya menyebut: "Bila kita melakukan amal yang baik, walaupun kita tidak melihat Allah tetapi wujud keyakinan bahawa Allah melihat kita".

Inilah asas keihsanan yang amat perlu bagi ahli ibadah. Ibadah bukan sekadar yang khusus seperti solat dan siyam atau puasa tetapi seluruh apa yang kita lakukan dalam hidup terhubung dengan ibadah.

Keihsanan seperti yang diungkapkan oleh Pendita Zaaba dalam syairnya - Berbuat baik ayuhai rakan, kalau tidak dikenal insan, dalam laut ia dicampakkan, kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu ia kah bukan.

Syair ini terkandung maksud yang dalam betapa keikhlasan melakukan amal dan ibadah memberi erti yang cukup bermakna.

Kelaparan bagi orang yang miskin mungkin perkara biasa, kesusahan hidup di kalangan yang fakir lazim terjadi, kesunyian ibu bapa yang ditinggalkan selalu berlaku. Ramadan mampu membimbing kita merenung lantaran kita dilahirkan dalam keadaan fitrah dan harus bersedia untuk kembali kepada fitrah diri.

Fitrah diri tidak menjadikan kita bersifat sombong dan takbur, sedikit ilmu yang kita ada jangan menjadikan kita angkuh, sedikit kekayaan yang Allah beri jangan menjadikan kita bakhil dan kedekut dan sedikit kelebihan yang Allah kurniakan jangan menjadikan kita suka berbangga-bangga hingga menyebabkan kita lupa diri.

Melalui madrasah Ramadan harus ada tekad dan azam menjadikan kita bersikap hamba yang tawaduk, menginsafi pentingnya kita kembali kepada fitrah diri, mustahaknya kita membangunkan ukhuwah Islamiah yang semakin tiris, turut sama berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan dengan penuh hikmah.

Bayangkan dengan berlapar sepanjang hari, mengawal diri dari perbuatan cela, melakukan solat dan tadarus, bersahur di awal pagi adalah asas yang sangat penting mengembalikan diri kepada fitrah dan merasakan kedekatan diri dengan Allah dan mampu menjadikan kita lebih manusiawi dan bersyukur atas nikmah dan rahmah-Nya. JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140701

Peranan Melayu memartabatkan Islam

PADA 9 Mac 2013, satu debat berlangsung di London dengan tajuk : Islam or Atheism, which make more sense? (Islam dan golongan ateis - Mana satu yang lebih rasional?)

Perdebatan ini disertai oleh seorang ahli cosmologist Barat, Prof. Lawrence M. Krauss dengan seorang pemikir Islam dari Asia Tengah, Hamza Andreas Tzortzis, yang memberikan gambaran bahawa pada masa kini perdebatan tidaklah lagi seharusnya berlaku di sekitar agama manakah yang lebih baik di antara agama-agama dunia, malahan perdebatan pada hari ini seharusnya berkisar tentang siapakah di antara dua golongan manusia, iaitu di antara orang yang mempercayai agama dan golongan yang tidak mempercayai Tuhan sama sekali, yang lebih relevan dengan perkembangan dunia moden dan global sekarang ini.



Pergolakkan di negara-negara Arab menyebabkan dunia melihat Islam sebagai agama yang hanya mencetuskan perbalahan dan kemusnahan dan persepsi itu harus diperbetulkan. - Gambar hiasan

Kecenderungan untuk menegaskan bahawa golongan yang masih berpegang kepada agama sekarang ini telah tidak relevan lagi dengan perkembangan dan kesejahteraan manusia itulah sebenarnya yang mendorong kepada pelaksanaan debat ini.

Oleh itu pendebat yang mempertahankan golongan ateis lebih banyak membawakan contoh negatif para golongan agama yang mencetuskan krisis, keganasan dan keruntuhan tamadun manusia pada masa kini di dalam dunia seluruhnya, meskipun hujahnya ini disanggah oleh pendebat yang mempertahankan kelangsungan kepercayaan agama sebagai asas kemajuan dan tamadun manusia.

Sementara itu, di dalam pasaran terdapat sebuah buku yang mengandungi teks perdebatan di antara seorang ahli sains yang bernama Leonard Mlodinow dengan seorang pemikir spiritual yang bernama Deepak Chopra yang mengandungi hujah-hujah yang kuat dari kedua-dua world view masing-masing, dan buku ini telah diterbitkan dalam tajuk yang merupakan satu persoalan: Is God an Ilusion? (Adakah Tuhan itu satu ilusi?)

Dalam keadaan ini, maka nampaknya manusia moden hari ini sedang berusaha supaya segala bentuk kepercayaan kepada Tuhan, dan komitmen generasi baru kepada agama, haruslah dihapuskan kerana mereka memberikan hujah bahawa manusia yang mempercayai agama, tidak lagi relevan dalam zaman ini, terutamanya dalam jangka masa satu atau dua dekad terakhir ini, ketika dunia menyaksikan krisis politik, ekonomi dan sosial yang dicetuskan oleh pengikut agama.

Manusia yang beragama telah mereka labelkan sebagai orang yang sering merosakkan kesejahteraan dunia dan peradaban alam, penganut agamalah yang sering menyebabkan pertelagahan, keganasan, pertumpahan darah, perebutan kuasa yang melibatkan penyiksaan yang banyak kepada umat manusia.

Saya sempat membaca satu ulasan berita dalam akhbar The Sunday Telegraph 30 Jun 2013 tentang sendaan terhadap orang agama dan skandal yang berlaku dalam kalangan ketua agama Katholik, ketika seorang koresponden BBC yang bernama David Willey menulis tajuk The sins of Vatican dengan menegaskan bahawa "The sex and corruption scandals are growing at the heart of the Catholic Church" malah beliau menambah "It was claimed that Roman priests had used prostitutes" (Dosa-dosa Vatican - Skandal seks dan korupsi semakin meningkat di tengah-tengah pusat gereja Katholik. Terdapat dakwaan yang mengatakan para paderi Roman telah menggunakan pelacur).

Kita mungkin tidak dapat menjawab bagi pihak agama lain dalam arus perdebatan dan krisis pemikiran yang ditimbulkan ini. Namun untuk menjawab bagi pihak Islam, kita sendiri mungkin terperangkap dengan peristiwa yang berlaku di dalam dunia Islam akhir-akhir ini, ketika gelombang permusuhan yang membawa kepada keganasan melampau, semakin melanda masyarakat Islam di Asia Barat dan Afrika Utara, Mesir, Syria, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Turki, Somalia, Nigeria, Libya dan lain-lain.

Kita mungkin boleh mencuba untuk memberikan sedikit justifikasi tentang kebangkitan golongan radikal yang didakwa oleh orang Barat, seperti penentangan rakyat Palestin terhadap rejim Yahudi dan kuasa besar Amerika Syarikat (AS), iaitu tentang dasar Yahudi dan kerajaan Zionis yang menindas rakyat Palestin, maka rakyat yang ditindas dan dizalimi tentulah akan bangun menentang musuh mereka dengan keganasan, kerana dunia antarabangsa sendiri menafikan hak mereka sebagai manusia dan tuan punya tanah air serta harta benda mereka yang telah dirampas dengan segala kekejaman oleh rejim Yahudi.

Dalam keadaan ini, saya merasakan bahawa kita sebagai umat Islam di bahagian dunia kita ini haruslah mencari alternatifnya dalam memperbaiki imej dan prestasi umat Islam yang amat serius pada masa kini. Kita telah lama dicemarkan oleh krisis yang berlaku di dunia Arab dan bukan Arab di Asia Barat dan Afrika Utara, kerana kedatangan Islam dan perkembangan serta pembangunannya dilihat berpusat di sana.

Proses Islamisasi sering dihubungkan dengan dunia Arab dan negara Islam di kepulauan India Pakistan serta Afrika Utara, sedangkan dunia itulah pada masa kini yang lahir sebagai kawasan yang bergelora dengan krisis kemanusiaan, sosial, agama dan budaya. Hal ini sesungguhnya sering dipergunakan oleh kuasa yang ingin melemahkan Islam dan umatnya untuk kepentingan mereka.

Hingga kini, umat Melayu kelihatannya masih kuat berpegang kepada nilai-nilai universal Islam dalam pemerintahan dan pembangunan bangsa dan negara. Para ilmuan dan ulama Melayu amat banyak telah mengambil manfaat dari pengajaran yang mereka terima di Mekah, dan Al-Azhar yang amat berpengaruh itu. Para ulama, ahli Sufi dan para ilmuannya telah menyumbang kepada kemerdekaan negara, malah memberikan banyak panduan terhadap pengurusan sosial dan tata negara bagi negara kita yang berbilang kaum ini.

Oleh itu langkah memperluaskan budaya dan sistem hidup yang harmoni dan kukuh dalam masyarakat negara dan rantau kita yang ditunjangi bangsa Melayu haruslah dikembangkan dalam kepelbagaian saluran ke dalam masyarakat serantau dan antarabangsa, terutamanya dalam model penghayatan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan ini.

Malah saya ingin menyarankan supaya pusat pengajian tinggi negara kita dapat mengkaji semula sistem dan program akademik pengajian Melayu masing-masing dalam memberikan penekanan kepada pemikiran dan tamadun Melayu itu sendiri yang dipengaruhi oleh ajaran Islam seperti yang sedang kami lakukan dalam proses penubuhan Universiti Islam Malaysia (UIM).

Kerajaan seharusnya dapat mengkaji untuk mengeksport bidang pengajian pemikiran dan tamadun Melayu ini ke universiti antarabangsa yang berprestij, seperti Oxford dan Cambridge di United Kingdom dan beberapa universiti ternama di negara Eropah lainnya, juga di AS.

Mata dunia Barat dan antarabangsa lainnya hendaklah dibuka untuk melihat bahawa pemikiran, sejarah dan tamadun Melayu merupakan sesuatu yang dapat memberikan sumbangan besar kepada dunia, melalui world view Islamnya yang betul dan penghayatan Islam yang positif, serta imej Islam yang masih tinggi di dalam negara dan masyarakat Melayu Islam ini.

Islam sebenarnya bukanlah hanya merupakan kepunyaan dunia Arab dan Afrika Utara, tetapi juga kepunyaan umat Melayu, yang merupakan satu pertiga dari keseluruhan jumlah penduduk Islam di dunia ini.

Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim ialah Naib Presiden 1 (Akademik) Universiti Islam Malaysia (UIM). Utusan/Rencana/20140701

Bahana ubah jantina

BERITA yang diterima pagi itu mengejutkan Azlan. Dia tak sangka kawan baiknya pergi menghadap Ilahi seawal usianya 30 tahun. Tiada maklumat terperinci yang diterima. Yang dia tahu, Hisham terjatuh di dalam bilik air ketika mahu mandi pagi tadi. Kepalanya terhentak ke dinding bilik air lalu dia rebah tidak sedarkan diri. Kawan serumahnya, Radzi bergegas membawanya ke hospital.

Innalillahiwainnailaihi rojiuun. Hanya itu yang terucap oleh Radzi apabila doktor yang bertugas di Unit Kecemasan memberitahu, Hisham telah tiada. Azlan bergegas ke hospital. Mahu memastikan apakah berita yang mengejutkan itu benar atau sebaliknya.

Setibanya di situ, keluarga Hisham telah berkumpul. Semuanya kelihatan sugul, hiba, sedih, tak keruan, bersatu dalam emosi yang berkecamuk. Berita kematian Hisham benar-benar mengejutkan banyak pihak.

Terdiam dan kelu lidah tatkala doktor yang bertugas memanggil waris si mati. Apa tidaknya, nama di pengenalan tertera nama Mohd. Hisham bin Kamaruddin. Tapi …kenapa jantinanya tertulis yang sebaliknya?

“Ya Allah, apa yang kau dah buat Hisham," rintihan hiba akhirnya terkeluar daripada mulut si ibu yang sama sekali tidak menyangka, anaknya seberani itu nekad mengubah status diri. Azlan terpaku. Dia tak tahu pula, keputusan nekad yang diambil oleh Hisham dibuat tanpa pengetahuan keluarganya.

Azlan sememangnya tahu, kawannya itu memang berhasrat membuat pembedahan jantina tersebut. Malah pernah mengajaknya melakukan perkara yang sama. Namun Azlan menolak kerana belum bersedia. Tetapi untuk tidak mengecewakan hasrat kawannya itu, dia bersetuju untuk menemani Hisham.

Nun di sebuah negara jiran, pembedahan selamat dijalani. Azlan menemani kawan baiknya sehingga Hisham sedar dan dibenarkan keluar dari hospital.

“Ya Allah, kenapa begitu cepat Hisham pergi? Tak sampai sebulan pun pembedahan tersebut dibuat, Hisham sudah mati. Ya Allah, kenapa aku tidak melarangnya ketika itu? Kenapa dengan aku?," satu demi satu persoalan terus mengasak minda Azlan.

Azlan seakan insaf seketika. Namun dalam masa yang sama bersyukur kerana tidak mengikuti pelawaan Hisham. “Kalau aku pun buat pembedahan itu, apakah aku juga akan ikut jejak langkah Hisham. Menghadap Tuhan dalam keadaan sedemikian? Ya Allah, aku terlalu jauh daripada agama-Mu," sesal Azlan bertalu-talu datang menghimpit perasaan resahnya.

Dari kejauhan Azlan memerhati betapa ibu Hisham tidak dapat menerima kenyataan anaknya berubah jantina. Sekejap pengsan dan kemudian sedar semula. Begitulah keadaan ibu Hisham. Tersentuh hati Azlan melihat situasi tersebut. “Kalau aku melakukan perkara yang sama, apakah ibuku juga akan jadi sedemikian rupa?," tiba-tiba Azlan teringat ibunya di kampung. Betapa dia tidak mahu apa yang berlaku kepada ibu Hisham, juga berlaku kepada ibunya.

Azlan nekad. Dia mahu tinggalkan dunia ‘nyah’ yang selama ini menghanyutkannya. Tetapi bagaimana? Apakah Tuhan boleh memaafkannya? Apatah lagi bersubahat dengan Hisham dengan tidak melarangnya ketika itu. Bahkan menggalakkannya pula.

Satu demi satu segala kegiatannya bersama-sama Hisham terbayang-bayang di mata. Andailah Tuhan mengambilku waktu dan saat ini… Azlan terpempan. Tidak tahu bagaimana mahu dia berjumpa Tuhan dalam keadaan sedemikian. Fikirannya celaru. Bagaimana harus dia mulakan. Kematian Hisham membuatkan Azlan diselubungi rasa takut. Selama ini dia lupa tentang kematian!   Utusan/Bicara_Agama/20140701

Islam di Asia Selatan

KAWASAN tumpuan umat Islam yang terbesar di dunia adalah di Asia Selatan. Umat Islam di wilayah ini berjumlah sekitar 300 juta orang. Mereka mendiami wilayah India Selatan dan Utara, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Sekalipun terikat oleh agama yang sama, iaitu Islam, mereka terdiri daripada pelbagai masyarakat yang bertutur dalam bahasa yang berbeza, hidup dalam wilayah yang saling terpisah dan menghadapi bermacam- macam masalah sosial, ekonomi dan budaya yang berlainan.

Di wilayah ini, Kesultanan Moghul pernah berkuasa (1526-1858), iaitu salah satu kerajaan Islam terbesar pada Abad Pertengahan. Kesultanan Moghul melambangkan kemuncak kehadiran Islam di benua kecil India.

Seperti di kawasan lain secara amnya, penyebaran Islam di India Selatan dicirikan oleh proses penerapan yang berjalan lancar. Pada umumnya masjid yang didirikan di India, misalnya, mempunyai bumbung berbentuk kon seperti bangunan candi. Namun sejak dua dekad terakhir, banyak masjid baharu didirikan berdasarkan model masjid di Timur Tengah dan atas pembiayaan dana daripada pemerintah Arab Saudi.

Penyebaran Islam yang begitu pesat di benua kecil India, yang kebanyakan penduduknya beragama Hindu, disebabkan khususnya oleh daya tarikan ajaran Islam atau tasawuf yang penuh misteri, seperti yang diperkenalkan melalui tarekat sufi.



Islam di Asia Selatan telah melahirkan banyak pemikir dan gerakan yang kemudiannya menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam di tempat lain.

Kecenderungan kepada aspek batin ajaran agama ini amat sesuai dengan persekitaran India yang terkenal dengan hal kebatinan.

Keadaan umat Islam di benua kecil India amat sukar ketika penjajah Inggeris. Mereka tidak hanya berhadapan dengan penjajah tetapi juga kaum Hindu yang merupakan golongan majoriti di situ.

Berhadapan dengan situasi tersebut, pandangan dan sikap orang Islam berbeza- beza. Ada yang menyarankan agar mereka bekerjasama dengan penjajah Inggeris. Seperti Ahmad Khan tetapi sebahagian besar pemimpin Islam menolaknya.

Sebahagian daripada tokoh Islam menyarankan agar didirikan negara mereka sendiri.

Pada 1947, tertubuhlah Republik Islam Pakistan. Namun pada 1971, penduduk di wilayah timur Pakistan memisahkan diri dan membentuk negara sendiri dengan nama Bangladesh. Perkara ini berpunca daripada hakikat bahawa Pakistan terpisah dua disebabkan wilayah India dan kedua- duanya menggunakan bahasa yang berbeza.

Kebanyakan penduduk Pakistan Timur bertutur bahasa Bengali, manakala majoriti penduduk Pakistan Barat bertutur bahasa Urdu. Bangladesh merupakan salah satu negara terpadat di dunia. Sebahagian penduduknya hidup dalam kemiskinan. Bencana alam seperti taufan dan banjir sering melanda negara ini.

Ketika India merebut kemerdekaannya pada 1947, umat Islam di wilayah tersebut berpecah dua, sebahagiannya terus tinggal di India dan sebahagian yang lain memasuki Republik Islam Pakistan yang baru didirikan. Setelah menjadi sebuah republik, perlembagaan India menjamin hak setiap warganegara, seperti persamaan, kebebasan beragama serta budaya dan pendidikan, juga terpakai untuk umat Islam minoriti. Mereka hidup bersama-sama penganut agama lain.

Islam di Asia Selatan telah melahirkan banyak pemikir dan gerakan yang kemudiannya menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam di tempat lain. Antara yang terserlah ialah Sir Muhammad Iqbal, Abu A’la al- Maududi, Fazur Rahman, Shah Waliyullah dan Sir Sayyid Ahmad Khan. Di sini juga muncul beberapa gerakan yang pengaruhnya tersebar ke seluruh dunia seperti Jamaah Islami dan Jamaah Tabligh.

Umat Islam juga terdapat di Sri Lanka, negara di bahagian selatan benua kecil India. Corak keislaman masyarakat Muslim di negara itu banyak dipengaruhi oleh kemasukan orang Kerala Muslim, termasuk penyebaran ajaran sufi pada abad ke-18.

Di Sri Lanka, tarekat sufi yang paling berpengaruh ialah Tarekat Qadiriyah. Bahasa ibunda mereka ialah bahasa Tamil, sehingga banyak karya keagamaan ditulis dalam bahasa tersebut.

Al-Quran pertama kali diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil pada abad ke-19 oleh ilmuwan Sri Lanka bernama Syeikh Mustafa. Di Sri Lanka terdapat lebih kurang 1.2 juta umat Islam. Pada umumnya, mereka ialah orang Islam Sunnah pengikut Mazhab Syafie.

Keturunan umat Islam yang pertama tiba di India Selatan banyak ditemui di wilayah Kerala, khususnya dalam kalangan masyarakat Mappila. Kehidupan mereka banyak dipengaruhi tradisi perdagangan yang menunjukkan ciri-ciri pekerjaan orang Arab yang datang menyebarkan Islam ke wilayah ini pada peringkat awal agama Islam.

Bahasa asal mereka ialah Malaylam. Dalam amalan keagamaan dan pengajaran agama, bahasa itu kemudian bercampur dengan bahasa Arab. Hingga kini, orang Kerala berketurunan Arab, pada umumnya mempunyai reputasi tersendiri di mata masyarakat. Pada awal 1990-an, jumlah kaum Mappila Muslim mencapai kira- kira 7.5 juta orang.

Meskipun umat Islam di Kerala berkait rapat dengan umat Islam di Semenanjung Tanah Arab, mereka tetap mempunyai ciri khas yang berbeza. Mereka misalnya berpegang pada mazhab Syafie, manakala mazhab yang dominan di Arab Saudi ialah Mazhab Hanbali. Selain itu, amalan tawassul, iaitu berdoa kepada Allah SWT, melalui perantara ulama agar doanya dikabulkan Allah SWT, sering ditemui di Kerala. Ada pun amalan seperti ini amat ditentang di Arab Saudi. Utusan/Bicara_Agama/20140701

Membentuk iman, takwa

Keimanan dan ketakwaan sangat penting dan berkait rapat antara satu sama lain. Beriman bermaksud mengiktikadkan dengan yakin dalam hati, berikrar dengan lidah serta mengerjakan dengan anggota badan dengan sungguh-sungguh kepada Allah dan rasul-Nya. Bertakwa iaitu mempunyai sifat takwa, taat mengerjakan perintah Allah SWT dengan penuh kesolehan.

Ibadah puasa di bulan Ramadan adalah pendidikan ke arah membentuk iman dan takwa. Dalam ibadah puasa tersurat dan tersirat pendidikan ini. Hanya puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan akan dapat mendidik hati dan jiwa manusia. Melalui keimanan akan mengajar dan mendidik manusia menyakini bahawa manusia perlukan pertolongan Allah SWT. Sementara, ketakwaan adalah pembuktian amal, reda dan taat kepada-Nya.

Puasa Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran kepada setiap Muslim yang beriman. Orang-orang yang beriman sahaja mengetahui dan berusaha memanfaatkan kelebihan Ramadan. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya gembira menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keimanan dan ketakwaan dan melakukan pelbagai ibadat dengan penuh ketaatan.

Berkaitan iman dan takwa dalam berpuasa Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah:183)

Ketegasan dalam ibadah ditegaskan bahawa puasa mesti dilaksanakan, jika tidak mampu melakukannya atas sebab-sebab tertentu, maka dimestikan untuk menggantikannya atau membayar fidyah serta mengerjakan amal kebajikan. Tujuannya untuk meningkatkan iman dan takwa.

Ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: (Iaitu) beberapa hari tertentu. Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak puasa), maka (wajib menggamit) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu lebih baik baginya dan puasa kamu itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (al-Baqarah: 184)

Petunjuk

Bulan Ramadan mempunyai beberapa kelebihan selain daripada ibadah puasa, bulan Ramadan juga diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia. Tanpa al-Quran umat Islam tidak mendapat penjelasan dan petunjuk ke arah jalan kebaikan dalam kehidupan.

Hal ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil). Oleh sebab itu, barang siapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkan itu, pada hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya, yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185)

Begitulah besar dan agungnya bulan Ramadan, dalam bulan Ramadan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman kehidupan manusia di dunia hingga ke akhirat. Oleh sebab itu, diwajibkan berpuasa untuk mendapat pahala dan manfaat dari bulan tersebut. Al-Quran ialah kitab suci yang diturunkan sebagai panduan hidup kepada umat manusia.

Tujuannya, Allah menurunkan al-Quran sebagai panduan hidup manusia untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Selain itu, menyelamatkan akidah manusia ke jalan yang benar. Sebagai pembimbing untuk mencegah sebarang penyelewengan. Begitulah keutamaan bulan Ramadan diturunkan al-Quran.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat, berkat, pengampunan dan pembebasan diri daripada azab neraka. Pada bulan ini Allah SWT menurunkan Lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.

Oleh itu, siapkan diri untuk mendidik keimanan dan ketakwaan dari awal Ramadan sehinggalah ke akhirnya dengan penuh keimanan dan sentiasa tidak melepaskan peluang untuk memohon keampunan daripada-Nya. Persiapan mental dan kerohanian sangat penting dalam meneruskan puasa di bulan Ramadan dan menggandakan amalan-amalan lain dengan penuh keberkatan. Semoga semua umat Islam dapat menghayati keagungan Ramadan yang penuh dengan gandaan pahala dan keberkatan. R. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.Utusan/Bicara_Agama/20140701