July 2nd, 2014

Hukum 'selfie' harus, bergantung kepada niat

KUALA LUMPUR: "Sebelum apa-apa kita 'selfie' dulu", itu antara dialog yang sering didengar dan menjadi kebiasaan peminat 'selfie', fenomena baharu yang menjadi trend masa kini masyarakat, khususnya kalangan Gen Y dan Gen Z.

Hanya dengan menggunakan telefon pintar atau kamera web yang dilengkapi aplikasi Internet, pengguna boleh 'selfie' dan terus memuat naik gambar ke laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.

'Selfie' merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar untuk dimuat naik ke laman sosial.

Perkataan 'selfie yang menjadi popular pada tahun lalu apabila dikaitkan dengan tokoh-tokoh dunia akan menjadi sebahagian daripada Kamus Dewan, kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), demikian menurut Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang Sariyan.


APAKAH HUKUM 'SELFIE'

Dalam menempuhi Ramadan yang penuh barakah ini, melakukan 'selfie' dilihat semakin rancak dalam kalangan umat Islam sedangkan dalam Islam mengajar umatnya bersederhana dalam segala hal dan tidak menunjuk-nunjuk.

Timbul persoalan apakah hukum 'selfie' ketika umat Islam mengejar sebanyak-banyak pahala mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa dan meningkatkan amal ibadat di bulan mulia ini.


Menjawab persoalan itu, pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim berkata hukum asal 'selfie' adalah harus tetapi ia berubah mengikut keadaan.

Jelasnya, jika berniat sekadar bergambar biasa untuk berkongsi detik indah bersama rakan-rakan, ia adalah harus.

Beliau tegas mengingatkan bahawa individu yang 'selfie' mestilah menjaga adab sopan dan hukum hakam agama seperti menutup aurat, memakai pakaian yang longgar, tidak melampau serta tidak bertujuan menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.

"Apabila 'selfie' sudah menjadi satu tabiat iaitu ke mana sahaja hendak 'selfie' maka ia termasuk dalam perkara yang sia-sia. Allah SWT berfirman (sifat) orang mukmin ialah menjauhi perkara sia-sia," katanya kepada Bernama.

Turut mengulas sikap mereka yang gemar berkongsi gambar-gambar menunjukkan kemewahan dan berbangga-bangga, Dr Muhammad Lukman berkata perlakuan sedemikian harus dijauhi.

"Gambar-gambar makanan di hotel-hotel bertaraf lima bintang dan seumpamanya tidak sepatutnya dikongsikan di laman media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Instagram.

Pada masa sama, beliau berpendapat perkara yang kelihatan mewah dan mempamerkan rasa bangga tidak perlu dikongsi kerana ia boleh mencetuskan sifat riak kepada individu berkenaan dan menimbulkan perasaan hasad dengki kepada orang yang melihatnya.

NIAT IKHLAS


Berkongsi pandangan yang serupa, pensyarah kanan, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata budaya 'selfie' perlu dilihat daripada sudut positif.

"Jika ada yang sengaja bertujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk ketika 'selfie' maka itu antara dia dengan Allah SWT, bagi saya ia tidak dilarang dalam syarak. Begitu juga sekiranya ia bertujuan mengagung-agungkan Ramadan.

"Mungkin dengan cara 'selfie' di masjid menguatkan lagi semangat orang lain untuk datang ke masjid, pada masa sama kita seronok melihat mereka begitu gembira dengan kehadiran Ramadan," katanya.

Mengenai sikap segelintir mereka yang suka berkongsi gambar makanan di laman sosial, beliau berkata: "Ia tidak salah, sekiranya gambar yang dikongsi bersama 'friends' atau 'followers' itu adalah golongan sama taraf dengan mereka. Tetapi jika di kalangan teman-teman, ada golongan yang susah atau fakir miskin maka lebih baik jangan dimuat naik."

Mohd Izhar menasihatkan masyarakat memperbetulkan setiap niat mereka agar dapat mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Belia Masjid Batu Gajah, Mohd Shaiful Rizal Mohd Saed, 29, berkata budaya 'selfie' dalam beribadat tidak perlu kerana ia melibatkan urusan antara manusia bersama Allah SWT.

"Tidak dinafikan ada 'selfie' yang membawa ke arah kebaikan tetapi kadang kala bimbang jika gambar yang dikongsi akan menimbulkan fitnah," katanya mengingatkan. - BERNAMA Berita Harian Mutakhir 2014/07/02 - 12:17:41 PM

Rasulullah, sahabat memuliakan OKU

Islam telah mengisytihar dan meraikan orang kelainan upaya (OKU) sebagai manusia yang sama tarafnya di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW dan sahabat menunjukkan teladan hebat dalam memberikan hak kepada OKU.

Baginda mengajarkan ilmu kepada Abdullah Ibn Ummu Maktum, seorang buta dan seterusnya memberikan kepercayaan besar kepada Abdullah sebagai pendakwah ke Madinah sebelum era hijrah hinggalah menjadi imam solat menggantikan Baginda, muazin dan penjaga kota Madinah ketika Baginda keluar berperang.

Bahkan, pada zaman Saidina Umar, Abdullah Ummu Maktum dibenarkan untuk menyertai tentera Islam dan beliau akhirnya syahid dalam peperangan.

Memuliakan OKU tak terbatas kepada orang Islam

Ammar Ibn Jumuh, seorang OKU ditanya oleh Rasulullah SAW apakah beliau ingin berperang dengan keadaannya yang cacat? Beliau berkata: “Kaki aku yang cacat inilah akan mendaki tangga tangga syurga”. Baginda telah membenarkan kehendak Ammar dan beliau syahid di medan Uhud.

Sikap Rasulullah SAW memuliakan OKU tidak terbatas kepada orang Islam, bahkan kepada OKU bukan Islam. Selepas wafatnya Baginda SAW, Saidina Abu Bakar mendapat tahu daripada Saidatina Aishah setiap hari Rasulullah SAW menziarahi seorang Yahudi yang buta dan memberikan beliau makanan dengan menyuapkan sendiri ke dalam mulut Yahudi itu.

Walhal Yahudi itu tidak pernah berhenti mencaci Baginda tanpa menyedari orang yang dicaci itulah yang memberikannya makanan. Apabila Saidina Abu Bakar menyuapkan makanan kepada Yahudi itu dan mengakui beliaulah yang selalu menyuapkan makanan, Yahudi itu marah.

Katanya, Rasulullah SAW akan menyuapkannya dengan amat lembut. Apabila mengetahui kewafatan Baginda dan siapa dirinya yang sebenar, Yahudi itu memeluk Islam kerana kehebatan sikap Rasulullah SAW melayan OKU.

Saidina Abu Bakar seterusnya menjaga keperluan OKU yang ada di Makkah walaupun ketika umat Islam ditindas oleh Quraisy sehingga sikap prihatin beliau terhadap OKU menyebabkan Ad Daghna, seorang terhormat Quraisy memberikan jaminan keselamatan kepada beliau.

Sabda Rasulullah SAW: “Ujian yang tiada hentinya menimpa Mukmin lelaki dan wanita mengenai dirinya, hartanya dan anaknya sehingga ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.”

Ibu bapa tak boleh abai anak OKU

Ibu bapa dikurniakan anak OKU perlu sabar dan reda ujian Allah SWT dengan melaksanakan tanggungjawab terhadap anak serta jangan sekali mengabaikan kebajikannya. Anak OKU perlu dikenal pasti kelebihan dan dilatih mengembangkan kelebihan untuk hidup berdikari pada masa hadapan. Berita Harian Agama 2014/07/02 - 03:47:41 AM

Peguam Muslim Menulis: Hak kemanusiaan tak kira darjat, rupa

JKM perlu giat usaha daftar OKU, permudah kemudahan bantuan

Baru-baru ini digemparkan dengan penemuan seorang anak kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, oleh Pengarah Imigresen Negeri Sembilan. Anak orang kelainan upaya (OKU) itu dibiarkan tanpa penjagaan mahupun pengawasan orang dewasa dalam keadaan amat menyedihkan.

Beberapa hari selepas itu, ibu OKU berkenaan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban mengikut Sekyen 31(1) (a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana sengaja mengabaikan anaknya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Beliau juga membiarkan anak itu tanpa pengawasan yang berpatutan. Kedua-dua pertuduhan, jika sabit boleh mengakibatkan ibu berkenaan dikenakan denda sehingga RM20,000, penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehari selepas itu, dilaporkan penemuan seorang wanita OKU yang lama hidup terkurung dalam bilik khas di bawah rumah keluarganya. Walaupun ibu anak OKU mengaku tidak bersalah dan keluarga wanita OKU memberikan pelbagai alasan mengurung wanita itu, ia perlu dilihat dengan wajar.

Menilai hak, harga diri OKU

Perkara ini perlu dilihat kepada menilai hak dan harga diri seseorang OKU di sisi undang-undang dan Islam. Sejak beberapa tahun lalu banyak teguran, pandangan dan hujah dikemukakan berkaitan kes penderaan kanak-kanak, cara mengatasi, tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat menanganinya.

Namun, isu dan kebajikan OKU kurang diketengahkan dengan serius oleh mana-mana pihak. Pihak berkuasa dikatakan tidak mesra OKU sehingga ada pihak mendesak supaya kerajaan memasukkan kebajikan OKU sebagai satu misi utama dalam manifesto pilihan raya.

Pada 30 Mac 2007, satu perjanjian baru memastikan hak kemanusiaan kira-kira 650 juta OKU di dunia dibuka untuk ditandatangani ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebanyak 81 menandatangani Konvensyen PBB bertujuan untuk mendidik semula masyarakat di seluruh dunia yang tidak memahami nilai terdapat pada OKU yang berisiko terdedah kepada keganasan, kecederaan, ditinggalkan, eksploitasi, kecuaian atau diberikan layanan buruk di dalam mahupun di luar rumah.

Akta Orang Kurang Upaya 2008 telah diwartakan di Malaysia yang memperuntukkan pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi OKU serta perkara berkaitan dengannya.

Majlis Kebangsaan OKU dipertanggungjawabkan menyelia pelaksanaan dasar dan pelan tindakan negara berhubung OKU dengan kerjasama kementerian, agensi, badan atau pertubuhan kerajaan serta sektor swasta yang berkaitan.

Dasar OKU

Dasar OKU menetapkan empat objektif iaitu memberi pengiktirafan bahawa OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan dalam masyarakat, memastikan OKU menikmati hak mereka, menghapuskan diskriminasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU.

Jumlah OKU di Malaysia dianggarkan seramai 2.8 juta, namun yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 28,000 saja (10 peratus). Pendaftaran OKU di JKM adalah secara sukarela, maka statistik yang diperoleh mungkin tidak tepat.

Masalah pendaftaran OKU yang kemungkinannya tidak tersusun serta sikap masyarakat yang memandang sebelah mata khasnya di kejiranan mereka menyebabkan kes penganiayaan terhadap OKU dianggap kes terpencil dan malangnya kebanyakan kes terjadi dalam kalangan orang Islam.

Islam menjaga kehormatan manusia dari segi hak kemanusiaan tanpa mengira darjat atau paras rupa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Menghormati martabat keinsanan

Menurut Wahbah al-Zuhaili dalam Haq al Hurriah Fi al ‘Alam, al karamah al insaniah atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber asas hak asasi. Apabila wujudnya penghargaan terhadap karamah insaniah itu bermakna adanya tanda keinsanan manusia berkenaan yang membezakannya daripada binatang.

JKM perlu menggiatkan usaha mendaftarkan OKU dalam data mereka bagi membolehkan kementerian dan agensi berkenaan merangka pelan bantuan untuk OKU.

Pusat Zakat serta Baitulmal perlu konsisten memasukkan OKU dan pertubuhan yang menguruskan mereka dalam asnaf fisabilillah mahupun asnaf riqab bagi membantu mereka menguruskan kehidupan. Ini bagi menjamin dan memperkukuhkan akidah Islam di hati OKU serta meningkatkan imej Islam.

Siti Razasah Abd Razak ialah Exco Persatuan Peguam Muslim Malaysia. Berita Harian Agama 2014/07/02 - 03:48:50 AM

Waspada hadis daif, palsu

ISLAM adalah agama yang benar dan ilmiah. Setiap amalan, keyakinan atau ajaran yang disandarkan kepada Islam mestilah memiliki dasar daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW. Islam tidak memberi ruang kepada mereka yang beriktikad buruk yang cuba untuk menyusupkan pemikiran-pemikiran atau ajaran lain ke dalam ajaran Islam yang syumul.

Justeru akan kepentingan hal itu, tidak hairan apabila Abdullah bin Mubarak r.ha menyatakan ungkapan yang terkenal: “Sanad adalah bahagian daripada agama. Jika tidak ada sanad, maka orang akan berkata sekehendak hatinya." (rujuk Muqaddimah Shahih Muslim, Juz 1, hal. 12)

Dengan adanya sanad, suatu perkataan tentang ajaran Islam dapat dipandukan asal usulnya dengan betul. Oleh itu penting bagi umat Islam untuk memilih hadis-hadis antara yang sahih dan yang daif, agar diketahui amalan mana yang seharusnya dipraktikkan.

Dalam suasana kita sedang berada di dalam bulan Ramadan, pasti kita akan kerap disajikan dengan tazkirah dan ceramah sebagai halwa telinga. Dengan harapan ia memberi motivasi serta keinsafan dalam mengharungi bulan penuh keberkatan dan kemuliaan itu.

Malah dalam zaman serba moden ini, kita turut dari semasa ke semasa menerima e-mel mahupun sistem pesanan ringkas (SMS) yang berbaur nasihat. Kendatipun, perkongsian nasihat dan peringatan yang dihantarkan itu, terkadang tanpa kita sedari terselit beberapa hadis yang kita sendiri tidak pasti akan kesahihannya.

Natijahnya, ada antara kita yang menyebarkan ia tanpa menyelidiki terlebih dahulu kesahihan perkara yang disebarkan, sekali gus menjadi pendorong kepada maraknya hadis-hadis lemah dan palsu di sekitar masyarakat.

Di sini akan disampaikan beberapa hadis daif (lemah) dan hadis palsu mengenai ibadat puasa yang banyak tersebar dalam kalangan masyarakat. Untuk mengikuti hal tersebut mengenai kelemahan hadis dapat merujuk pada kitab para ulama yang berkenaan.

Hadis 1

“Berpuasalah, anda akan sihat." Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam At-Tibbun Nabawi sebagaimana dikatakan oleh al-Hafiz al-Iraqi dalam Takhrijul Ihya (3/108), oleh At-Tabarani dalam Al-Ausat (2/225), oleh Ibnu ‘Adi dalam Al-Kamil Fi Dhu’afat (3/227).

Hadis ini daif (lemah), sebagaimana dikatakan oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dalam Takhrijul Ihya (3/108), juga oleh Al-Albani dalam Silsilah Adh-Dha’ifat (253). Bahkan Ash-Shaghani agak berlebihan menyatakan hadis ini maudhuk (palsu) dalam Maudhu’at Ash-Shaghani (51).

Keterangan: Jika memang terdapat penelitian ilmiah daripada para pakar perubatan bahawa puasa itu dapat menyihatkan tubuh, makna daripada hadis daif ini benar, namun tetap tidak boleh dianggap sebagai sabda Nabi SAW.

Hadis 2

“Tidurnya orang yang berpuasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, doanya dimakbulkan dan amalannya pun akan dilipatgandakan pahalanya." Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’abal Iman (3/1437).

Hadis ini daif, sebagaimana dikatakan oleh al-Hafiz al-Iraqi dalam Takhrijul Ihya (1/310). Al-Albani juga mendaifkan hadis ini dalam Silsilah adh-Dha’ifah (4696).

Terdapat juga riwayat lain: “Orang yang berpuasa itu sentiasa dalam ibadat meskipun sedang tidur di atas ranjangnya." Hadis ini diriwayatkan oleh Tammam (18/172). Hadis ini juga daif, sebagaimana dikatakan oleh al-Albani dalam Silsilah Adh-Dhaifah (653).

Yang benar, tidur adalah perkara mubah (boleh) dan bukan ritual ibadat. Maka sebagaimana perkara mubah yang lain, tidur dapat bernilai ibadat jika diniatkan sebagai saranan penunjang ibadat. Misalnya seseorang tidur kerana khuatir tergoda untuk berbuka sebelum waktunya, atau tidur untuk merehatkan tubuh agar kuat dalam beribadat.

Sebaliknya, tidak setiap tidur orang berpuasa itu bernilai ibadat. Sebagai contoh, tidur kerana malas atau tidur kerana kekenyangan setelah sahur. Kedua-duanya, tentu tidak bernilai ibadat, bahkan boleh dinilai sebagai tidur yang tercela. Maka hendaknya seseorang menjadikan bulan Ramadan sebagai kesempatan baik untuk memperbanyak amal kebaikan, bukan bermalas-malasan.

Hadis 3

“Wahai manusia, bulan yang agung telah mendatangi kamu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. Allah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai suatu kewajipan dan menghidupkan malamnya sebagai ibadat tatawwu’ (sunnah). Barang siapa pada bulan itu mendekatkan diri (kepada Allah) dengan satu kebaikan, ia seolah-olah mengerjakan satu ibadat wajib pada bulan yang lain. Barang siapa mengerjakan satu perbuatan wajib, ia seolah-olah mengerjakan 70 kebaikan di bulan yang lain. Ramadan adalah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu balasannya adalah syurga. Ia (juga) bulan tolong-menolong. Di dalamnya rezeki seorang mukmin ditambah. Barang siapa pada bulan Ramadan memberikan hidangan berbuka kepada seorang yang berpuasa, dosa-dosanya akan diampuni, diselamatkan dari api neraka dan memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tadi sedikit pun." Kemudian para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, tidak semua daripada kita memiliki makanan untuk diberikan kepada orang yang berpuasa." Rasulullah SAW berkata: “Allah memberikan pahala tersebut kepada orang yang memberikan hidangan berbuka berupa sebutir kurma atau seteguk air atau sedikit susu. Ramadan adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (ampunan) dan akhirnya, pembebasan dari api neraka."

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (1887), oleh al-Mahamili dalam Amaliyyah (293), Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa (6/512), al-Munziri dalam Targhib wa Tarhib (2/115).

Hadis ini didaifkan oleh para pakar hadis seperti al-Munziri dalam Targhib wa Tarhib (2/115), juga didaifkan oleh Syeikh Ali Hasan al-Halabi dalam Sifatu Shaumin Nabiy (110), bahkan dikatakan oleh Abu Hatim ar-Razi dalam Al-’llal (2/50), juga oleh al-Albani dalam Silsilah adh-Daifah (871) bahawa hadis ini mungkar.

Yang benar, seluruh waktu di bulan Ramadan terdapat rahmat, seluruhnya terdapat ampunan Allah SWT dan seluruhnya terdapat kesempatan bagi seorang mukmin untuk bebas dari api neraka, tidak hanya sepertiganya. Salah satu dalil yang menunjukkan hal ini adalah: “Orang yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."

Dalam hadis ini, disebutkan bahawa ampunan Allah SWT tidak dibatasi hanya pada pertengahan Ramadan sahaja. Lebih jelas lagi pada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Pada awal malam Ramadan, syaitan-syaitan dan jin-jin jahat dibelenggu, pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Pintu syurga dibuka, tidak ada satu pintu pun yang ditutup. Kemudian Allah menyeru: Wahai penggemar kebaikan, raihlah sebanyak mungkin. Wahai penggemar keburukan, tahanlah dirimu. Allah pun memberikan pembebasan dari api neraka bagi hamba-Nya. Dan itu terjadi setiap malam." (riwayat Tirmizi, 682, disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih at-Tirmizi).

Adapun mengenai apa yang diyakini oleh sebahagian orang, bahawa setiap amalan sunat kebaikan di bulan Ramadan memperoleh ganjaran pahala sebagaimana amalan wajib dan amalan wajib diganjari dengan 70 kali ganda ibadat wajib di luar bulan Ramadan.

Keyakinan ini tidaklah benar berdasarkan hadis yang lemah ini. Walaupun keyakinan ini tidak benar, sesungguhnya Allah SWT melipatgandakan pahala amalan kebaikan berlipat kali ganda pahala amalan kebaikan yang banyak, terutama ibadat puasa di bulan Ramadan.

Hadis 4

“Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku, Ramadan adalah bulan umatku." Hadis ini diriwayatkan oleh az-Zahabi dalam Tartibul Maudhu’at (162, 183), Ibnu Asakir dalam Mu’jam asy-Syuyukh (1/186).

Hadis ini didaifkan oleh asy-Syaukani dalam Nailul Authar (4/334) dan al-Albani dalam Silsilah adh-Dhaifah (4400). Bahkan, hadis ini dikatakan hadis palsu oleh banyak ulama seperti az-Zahabi dalam Tartibul Maudhu’at (162, 183), ash-Shaghani dalam al-Maudhu’at (72), Ibnu Qayyim dalam al-Manaarul Munif (76), Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Tabyinul Ujab (20).

Demikian, mengenai hadis lemah (daif) dan palsu di sekitar Ramadan. Semoga Allah SWT memberi taufik dan hidayah serta diterima amalan kita di bulan al-Mubarak yang suci dan mulia ini.

RAHIM ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140702

Mana letaknya kasih sayang?

SEMINGGU ini kita digemparkan dengan kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun yang ditemui di sebuah flat di Taman Semarak Nilai dalam keadaan yang sangat menyedihkan, apatah lagi dia juga orang kurang upaya (OKU) yang telah ditinggalkan bersendirian dan kelihatan seperti sudah lama tidak diberi makan.

Keadaannya yang kotor, tidak terurus dan kurus kering itu menimbulkan persoalan di hati sesiapa sahaja yang memandang. Pertanyaan yang paling biasa akan terdetik ialah di manakah ibu anak ini? Adakah anak ini anak yang dibuang atau ditinggalkan atau adakah ia anak yang merayau-rayau seorang diri dan tidak tahu ke mana hendak pergi kerana ia seorang OKU?

Hati kecil kita merasa sangat sedih dan simpati melihat keadaan anak tersebut dan mahu sahaja kita menghukum sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap anak itu kerana kecuaiannya. Sebagai manusia kita juga cepat menghukum tanpa memeriksa siapa yang benar dan siapa yang salah?

Menurut ceritanya, kanak-kanak OKU itu ditinggalkan di flat tersebut kerana tiada siapa yang boleh menjaganya semasa ibunya keluar bekerja. Persoalannya, di mana ayah kanak-kanak ini? Di mana saudara mara sebelah ayahnya yang bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak ini dalam keadaan di mana ayahnya tidak berkemampuan atau hilang begitu sahaja.

Bagaimana kita sebagai jiran yang beragama Islam boleh membiarkan seorang kanak-kanak dianiaya begitu rupa dan kita tidak tahu mengenainya? Bukankah dalam Islam, sebagai jiran kita ada tanggungjawab yang tersendiri daripada semudah berkongsi makanan yang terbau keenakannya kepada jiran tetangga hingga kepada kewajipan menziarahi jika mereka sakit dan menyempurnakan jenazahnya sekiranya berlaku kematian?

Masyarakat prihatin

Apa sudah jadi kepada masyarakat prihatin kita? Adakah kita telah hilang segala rasa kemanusiaan kerana kita terlalu sibuk dengan keduniaan. Apabila berita kanak-kanak ini tersiar di laman sosial Facebook dan media massa keesokan hari, kita tidak berhenti-henti menyiarkan gambar dan video bagaimana kanak-kanak tersebut ditemui dan ramai yang melawatnya di hospital.

Malahan setiap hari gambarnya disiarkan di televisyen dan akhbar. Kita juga akhirnya “mendera" kanak-kanak tersebut kerana kita terlalu simpati kepadanya. Akta Kanak-kanak 2001 jelas memperuntukkan mengenai perlindungan kanak-kanak daripada dianiaya, didera atau diabaikan.

Akta ini diluluskan kerana Malaysia telah menyertai Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak. Sebelum adanya Akta Kanak-kanak 2001 kita mempunyai Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991. Semua undang-undang ini diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak dan sesiapa yang mendera, menganiaya, abai atau cuai terhadap tanggungjawab melindungi kanak-kanak, dia boleh dikenakan tindakan undang-undang dan jika sabit, boleh dijatuhkan hukuman denda dan penjara.

Akta Kanak-kanak 2001 telah dilaksanakan sejak 2002 dan hari ini ia sudah berusia 13 tahun. Namun masih banyak peruntukkan di dalamnya yang kita tidak ketahui atau dikuatkuasakan. Semasa kes sepasang suami isteri rakyat Malaysia di Sweden ditangkap, dibicara dan akhirnya didapati bersalah kerana mendera dua orang anak mereka, kita seperti kehilangan punca dan seolah-olah Sweden mempunyai undang-undang yang terlalu ketat sehingga ibu bapa tidak boleh mengajar atau mendisiplin anak-anak mereka.

Kita selamatkan anak-anak pasangan itu dengan membawanya pulang ke Malaysia dan kita fokuskan perhatian kita kepada nasib malang ibu bapanya yang dijatuhi hukuman penjara. Kita tayang gambar lima adik-beradik tersebut setiap hari di kaca televisyen, akhbar tempatan dan melalui pelbagai laman sosial.

Kita salahkan undang-undang Sweden yang menghukum orang Islam yang cuba mengajar anak-anak mereka yang enggan solat dan kita kutuk tindakan tersebut sekeras-kerasnya. Kita akhirnya menjadikan ibu bapa tersebut mangsa dan anak-anaknya sebagai yang bertanggungjawab menyebabkan mereka didapati bersalah dan dihukum.

Akhirnya, kita sendiri sebagai orang awam yang jahil ilmu telah menghukum anak-anak pasangan tersebut dengan menyiarkan gambar-gambar mereka setiap hari di media massa. Kita berforum dan berdialog mengenai perlindungan kanak-kanak tetapi kita juga bertanggungjawab “mendera" kanak-kanak ini dengan menyiarkan gambarnya dan merendahkan maruah diri mereka.

Identiti

Berapa ramai dalam kalangan kita tahu bahawa menurut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001, adalah menjadi kesalahan menyiarkan gambar kanak-kanak atau apa-apa yang boleh menyebabkan identiti kanak-kanak diketahui. Seksyen 15(1) menyebut “walau apapun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa laporan media massa mengenai:-

(a) Apa-apa langkah yang diambil terhadap seseorang kanak-kanak yang terlibat atau berupa sebagai terlibat dalam apa-apa perbuatan atau peninggalan jenayah, sama ada langkah-langkah itu pada peringkat sebelum perbicaraan, perbicaraan atau selepas perbicaraan;

(b) Mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya jagaan diambil di bawah Bahagian V;

(c) Mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama telah atau disyaki telah dilakukan; atau

(d) Mana-mana prosiding di bawah Bahagian VI, tidak boleh mendedahkan nama, alamat atau institusi pendidikan, atau memasukkan apa-apa butir yang direncanakan untuk membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian sama ada sebagai orang yang terhadapnya atau yang berkenaan dengannya tindakan sedang diambil atau sebagai seorang saksi dalam tindakan itu.

(2) Gambar

(a) mana-mana kanak-kanak yang terlibat dalam mana-mana perkara yang disebut dalam subseksyen (1); atau

(b) mana-mana orang, tempat atau benda lain yang mungkin membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian, tidak boleh disiarkan dalam apa-apa akhbar atau majalah atau disampaikan melalui apa-apa perantara elektronik.

(3) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, dalam apa-apa kes

(a) boleh, jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan keadilan untuk berbuat demikian; dan (b) hendaklah, dalam hal sesuatu permohonan oleh atau dengan kebenaran Pelindung, mengetepikan kehendak seksyen ini setakat yang difikirkan suai manfaat oleh Mahkamah.

(4) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. (5) B agi maksud seksyen ini, “menyampaikan" termasuklah menyiarkan melalui radio atau televisyen. Utusan/Bicara_Agama/20140702

Jalankan perniagaan mengikut Islam

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan kehendak-NYA kita diberi peluang sekali lagi bertemu dengan bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan pengampunan.

Di bulan ini juga, setiap umat Islam digalakkan mempertingkatkan ibadah mereka di samping memperbanyakkan kegiatan sedekah kepada golongan miskin dan anak-anak yatim.

Tatkala kita menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh syukur dan tawaduk, masih ramai pihak yang menyambutnya dengan serba-serbi kekurangan.



Orang ramai membeli pelbagai jenis kuih yang dijual di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor

Tidak terkecuali, sudah ada tawaran dan promosi jualan kepada umat Islam sebelum kedatangan Ramadan. Jualan pakaian, perabot, barangan elektrik dan tidak terkecuali promosi jualan kereta baharu untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri walhal, puasa baru sahaja bermula.

Ahli-ahli perniagaan amat ternanti-nantikan kedatangan bulan Ramadan. Ini kerana dalam bulan ini mereka dapat menambahkan pendapatan perniagaan mereka.

Ada juga pihak yang sanggup menawarkan pinjaman kepada umat Islam bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Usahlah terlibat dalam pinjaman yang berbentuk riba semata-mata untuk menyambut sakan kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Bagi pemberi pinjaman pula usahlah mengambil kesempatan dengan menindas peminjam dalam transaksi pinjaman yang berbentuk riba.

Islam amat melarang pinjaman atau transaksi berbentuk riba. Bagi golongan kaya, kaedah ini paling mudah untuk meningkatkan kekayaan mereka, manakala bagi golongan kurang berkemampuan, riba akan menjadikan mereka semakin tertekan dalam menjalani kehidupan seharian. Penindasan ini melambangkan ketidakadilan yang berlaku dalam urusniaga perniagaan. Sedangkan, Islam cukup menitik beratkan keadilan dalam perniagaan. Amalkan perniagaan yang adil agar dapat memuaskan hati dan kehendak semua pihak.

Hak kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual perlu dijaga sebaik mungkin. Usahlah menjalankan perniagaan di bazar Ramadan dengan menjual makanan dan minuman yang tidak lagi elok keadaannya. Dijual kembali makanan yang tidak habis dijual pada keesokkan harinya hanya semata-mata kerana tidak mahu mengalami kerugian.

Cara berniaga sebegini bukan sahaja dilarang sama sekali dalam ajaran agama Islam tetapi juga boleh memberi kesan kepada hubungan silaturahim di antara pembeli dan penjual jika sekiranya pembeli mengalami kesakitan atau keracunan makanan.

Isu halal dan haram juga jangan sesekali dipinggirkan. Sebaik mungkin belilah makanan dan minuman yang terbukti halal. Elakkan membeli makanan yang diragui kesahihan status halalnya.

Umpan bufet Ramadan juga sering ditawarkan kepada umat Islam. Bagi umat Islam yang berkemampuan berbukalah seadanya. Janganlah membazir. Tidak kira sama ada berbuka di hotel-hotel mewah mahupun membeli makanan di bazar Ramadan, Islam mengajar jangan membazir.

Walhal, kita mengetahui ramai pihak di Malaysia tidak berkemampuan berbuka puasa dengan bermewah-mewah. Lebih-lebih lagi dalam situasi kos sara hidup yang semakin menekan golongan kurang berkemampuan, mereka ini terpaksa mengikat perut dalam menjalani kehidupan seharian yang semakin mencabar.

Akibat terlalu mahu bermewah-mewah dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri, ada juga yang tergelincir sehingga sanggup meminjam wang daripada pihak lain. Masa inilah ada pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap mereka yang kurang berkemampuan. Islam melarang sama sekali sikap mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain.

Kebetulan pula separuh daripada bulan Ramadan ini, Piala Dunia juga sedang berlangsung. Seperti sebelum-belum ini, terdapat peningkatan ketara dalam urusniaga perjudian semasa Piala Dunia berlangsung. Sekali lagi agama Islam amat melarang urusniaga sebegini kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada kemaslahatan ummah.

Diharapkan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat dalam perjudian termasuklah kegiatan mesin judi yang semakin berleluasa di samping tidak mengeluarkan sebarang lesen perjudian kepada mana-mana pihak. Keuntungan dalam perniagaan dan ekonomi tidak boleh mengatasi hukum Allah.

Ketika semua pihak bercakap mengenai penyeludupan diesel, sejak akhir-akhir ini diuar-uarkan pula program rasionalisasi subsidi minyak yang dikatakan akan melibatkan pihak swasta. Bayangkan urusniaga penyeludupan minyak menguntungkan segelintir pihak dan merugikan majoriti rakyat, jadi, ekoran kegiatan penyeludupan mereka, pihak lain pula cuba mengambil peluang menawarkan perkhidmatan dalam program rasionalisasi subsidi minyak.

Sudah tentulah mereka mengharapkan tender diberikan kepada mereka. Namun, persoalannya kenapa perlu ditawarkan kepada pihak swasta? Dalam sudut ini, adakah rakyat benar-benar akan memperoleh keuntungan atau akhirnya rakyat juga akan menanggung kerugian?

Walau apa pun keputusan, pastikan urusniaga berkenaan tidak berat sebelah atau menindas mana-mana pihak kerana itulah yang diajar oleh agama Islam kepada kita sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140702

Ramadan, healer of hearts

BY leave of our Almighty Lord, we have once again reached the holy month of Ramadan, awaited by the Islamic world with great fervor every year. I hope that Ramadan, the sultan of 11 months, will bring goodness and plenty to all Muslims.

I wish to start this piece by remembering Muslims oppressed and exposed to aggression all over the world. Millions of innocent people struggling to survive in Syria, Iraq, Afghanistan, East Turkestan, Myanmar, Crimea, Palestine, Sri Lanka, Moro, Pattani and many other places are awaiting a helping hand from their Muslim brothers.

Putting ourselves in their position, understanding their circumstances and striving with all our might for their salvation during this holy month is without doubt one of our greatest responsibilities.

We hope that this blessed month will be one when these troubles are lifted from Muslims and when, by Allah’s leave, they will attain bright days filled with peace.




                    A religious teacher explaining the purpose of Ramadan before the start of prayers at Niujie Mosque, Beijing, on Saturday. AP pic

Ramadan being the month when the Holy Quran, which leads people from the darkness to the light of the path of our Almighty and All-Wise Lord, was sent down as guidance, glad tidings and a reminder to those who tremble in awe makes it of enormous importance for all Muslims. Our Almighty Lord says this about the month: “The month of Ramadan is the one in which the Quran was sent down as guidance for mankind, with clear signs containing guidance and discrimination. Any of you who are resident for the month should fast it. But any of you who are ill or on a journey should fast a number of other days. Allah desires ease for you; He does not desire difficulty for you. You should complete the number of days and proclaim Allah’s greatness for the guidance He has given you so that hopefully you will be thankful.” (Surat al-Baqara, 185)

The month of Ramadan is a holy one that also contains the Night of Power. Our Lord describes the Night of Power as “better than a thousand months”.

Ramadan is a month of compassion, forgiveness, cleansing and plenty. This holy month has a unique place in terms of increasing the solidarity of believers, who discharge their fasting obligations in union and unity. As a matter of fact, believers increase their feelings of solidarity, mutual aid and brotherhood and are bound to one another with bonds of love every Ramadan.

Every day of Ramadan is a day of festivity for Muslims; it is a blessing of health and ease for the whole Islamic world and an important opportunity to gain Allah’s good pleasure.

Our Prophet tells believers this in one of the hadiths: “How happy are those who spend this month fasting, worshipping and in doing good deeds!”

The observances that are commanded in the month of Ramadan bestow much spiritual value on believers, help them grow as they restrain their lower-selves and improve their moral values, and keep their religious consciousness fresh. Fasting teaches one to overcome the lower-self and restrain earthly desires; that is why Ramadan can be described as a month of victory over the lower-self.

In the same way that believers do not eat or drink during the hours of fasting, they also avoid poor moral values, such as lying, backbiting, unpleasant speech, giving offense, or anger in the face of events. They do all they can to exhibit good moral virtues.

They reflect on hunger and thirst, remember that the poor and hungry are in need, realise the importance of helping the needy to the extent of their means, spend what they have on good causes and look to help those in difficulties.

Renowned Islamic scholar Bediüzzaman Said Nursi describes how the month of Ramadan trains the lower-self: “The instinctual soul wants to be free and independent and considers itself to be thus. According to the dictates of its nature, it even desires an imaginary dominicality and to act as it pleases. Thus, in the month of Ramadan, the instinctual soul of everyone, from the richest to the poorest, may understand that it does not own itself, but is totally owned; that it is not free, but is a slave. It understands that if it receives no command, it is unable to do the simplest and easiest thing, it cannot even stretch out its hand towards water. Its imaginary dominicality is, therefore, shattered; it performs its worship and begins to offer thanks, its true duty.” (Letters, 29th letter, fourth point)

It is very important that this sincerity acquired during Ramadan, this concentration on training the lower-self and this scrupulousness over moral virtues and remembering Allah and prayer, should not come to an end once Ramadan is over.

Someone with powerful faith must live by the moral virtues he exhibits during Ramadan at all moments of his life. He must avoid evil all his life, heed the voice of his conscience, strive for Allah’s approval with a pure intent and turn to Allah alone. These are the values that will please Allah.

The alternative, in other words, worshiping and praying only during Ramadan and then abandoning the moral values of the Quran after this month, is forbidden by Allah.

I once again sincerely hope that the month of Ramadan will bring goodness, plenty and peace to all my Muslim brothers and sisters. May the spiritual values acquired during Ramadan last a lifetime. HARUN YAHYA - NST 2 JULY 2014 @ 8:03 AM

Ramadhan: Fasting no excuse for low productivity

I HAVE always seemed to be critical when it comes to things that affect public services and delivery.

But certainly not this time around, as I waited in cool comfort for my number to be called and be served at the Pos Malaysia’s Taman Tun Dr Ismail branch.

It was hot and dry outside, and it was the fasting month of Ramadan.

However, it was a long cool wait for me. I didn’t mind, as there was PosTV to keep me entertained.

All these and more are simply because the employees there are so welcoming and efficiently fast in their delivery.

This is very commendable because even though it is the fasting month, they are productive and seem to be in high spirits to serve the customers.

Fasting or lack of sleep should not be made an excuse to be less productive. In fact, with no lunch or tea break in between, one should be more productive and customer-friendly.

Fasting during Ramadan teaches Muslims good virtues and reflections. To deliver one’s duty with a sincere heart, more so, with a smile, is a trait of goodness that is highly rewarding in this world and the hereafter.

As they say, fasting “is an act of worship, giving back what we always knew never really belonged to us, so that God can bestow on us, something greater”. So, why don’t we make this Ramadan a special one for us and for all?

Azhari Mahmood, Petaling Jaya, Selangor NST 2 JULY 2014 @ 8:01 AM