July 3rd, 2014

Ramadan masa audit diri, perbaiki kelemahan

Orang yang beriman menanti kedatangan bulan Ramadan dengan penuh azam untuk meningkatkan amalan ibadahnya yang dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda berbanding bulan biasa.

Jika tahun lalu kita menyambut Ramadan hanya dengan menahan lapar dan dahaga, solat tarawih pun sekali-sekala, bersedekah hanya seringgit dua, mulut tidak berhenti dari mencela, maka cuba kita jadikan Ramadan kali ini lebih bermakna.

Daripada Syadad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pandai adalah yang menghisab (audit) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan selepas kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT. (Riwayat Imam Tirmidzi)

Muhasabah biasanya difahami dengan istilah introspeksi, iaitu seseorang bertanya kepada dirinya perbuatan yang telah dilakukan supaya jiwa menjadi tenang dan memastikan secara keseluruhannya dilakukan dalam kehidupannya sesuai dengan perintah Allah SWT.

Ulama bersepakat muhasabah perlu dilakukan setiap hari. Mengenai waktunya, sebaik-baiknya sebelum tidur pada setiap malam sambil memohon keampunan daripada Allah SWT seperti mana amalan pedagang yang menghitung keuntungan dan kerugian transaksi pada setiap akhir penjualan.

Ibnu Qayyim menerangkan dari kitabnya Mukhtasar Minhajul Qasidin, “Muhasabah itu dilakukan sebelum melakukan perbuatan dan setelah melakukan perbuatan.”

Saidina Umar al-Khattab juga sering mengingatkan umat Islam supaya selalu melakukan muhasabah diri. Katanya, “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah sebelum kamu ditimbang, supaya itu lebih mudah bagimu pada hari hisab kelak untuk menghisab dirimu pada hari ini. Bersiaplah kamu untuk pertemuan yang lebih besar, pada saat amalan ditayangkan dan tidak sedikitpun yang dapat tersembunyi darimu.”

Muhasabah bentuk jiwa Muslim

Muhasabah membentuk jiwa Muslim yang sentiasa takutkan Allah SWT dan dengan muhasabah iman seorang Muslim akan terpelihara serta takwa menjadi nyata. Malah, hati kita akan sentiasa terjaga daripada kelalaian, mulut terhindar daripada mengucapkan perkara keburukan dan hati terpelihara daripada segala maksiat dan kemungkaran.

Allah SWT menciptakan bulan Ramadan untuk hambanya sebagai satu rahmat, peluang untuk memohon keampunan dan mengumpul pahala dan peluang membangkitkan kekuatan dalaman supaya dapat bertahan pada 11 bulan berikutnya.

Pada bulan ini pintu syurga dibuka luas, malah nafsu pada bulan ini mampu dikekang, seperti mana disebut dalam hadis sahih bahawa syaitan dibelenggu pada bulan mulia ini.

Kita boleh lihat pada awal Ramadan saf di masjid dipenuhi jemaah, malah ketika moreh suasana menjadi semakin meriah. Betapa beruntungnya mereka yang menghidupkan Ramadan dengan sunah Nabi SAW.

Bagaimanapun, pada penghujung Ramadan rumah Allah SWT mulai kosong dan pasar raya mulai dikerumuni manusia.

Rugilah bagi sesiapa yang apabila Ramadan tamat, langsung tiada perubahan pada dirinya, malah tidak menangisi pemergian Ramadan. Mari audit kembali diri, semoga kesilapan dan kekurangan yang kita lakukan pada Ramadan lepas tidak berulang.

Semoga kita semua diberi kekuatan oleh Allah Taala untuk menghidupkan Ramadan pada kali ini supaya lebih baik dari sebelumnya. Berita Harian Agama 2014/07/03 - 16:41:53 PM  Ridhwan Huzairi

Tentera Islam terhebat

PERANAN dan pengaruh pasukan tentera dalam pembinaan dan pembentukan sesebuah tamadun atau kerajaan adalah sesuatu yang sukar dinafikan.

Mereka menjadi tulang belakang dalam memenuhi impian atau cita-cita setiap pemerintah atau kerajaan, sama ada yang wujud pada zaman dahulu atau masa kini.

Sebab itulah, nama pasukan tentera turut menjadi sebahagian daripada sejarah sesebuah negara atau tamadun yang wujud suatu masa dahulu.

Islam sendiri turut mempunyai beberapa pasukan tentera yang amat terkenal dengan sifat keberanian dan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi, khususnya pada zaman kegemilangan Islam dahulu.

Antaranya adalah tentera Mameluk atau dalam bahasa Arab dipanggil Mamluk (tunggal) adalah sekumpulan anggota tentera yang memeluk Islam dan berkhidmat untuk khalifah Islam, termasuk Kesultanan Ayyubi pada abad pertengahan.

Mereka bukan hanya menjadi pasukan tentera yang paling berkuasa, malah pernah mendirikan Kesultanan Mamluk di Mesir.

Sejarah pasukan ketenteraan Mamluk bermula pada zaman Abbasiyyah pada abad ke-9 apabila Bani Abbasiyyah merekrut anggota tentera itu dari kawasan Kaukasus dan Laut Hitam yang mereka takluki.

Keistimewaan tentera Mamluk itu ialah mereka tidak mempunyai hubungan dengan golongan bangsawan atau pemerintah lain. Mereka juga cukup setia kepada syeikh, suku dan juga bangsawan yang mengupah mereka.

Tentera Mamluk selalu dikerahkan untuk menyelesaikan perselisihan antara suku setempat. Pemerintah setempat seperti Amir juga mempunyai pasukan Mamluk sendiri tetapi lebih kecil saiznya dibandingkan pasukan Mamluk milik Khalifah atau Sultan.

Daripada segi latihan, setelah memeluk Islam, seorang Mamluk akan dilatih sebagai tentera berkuda. Mereka juga perlu mematuhi furisiyyah iaitu satu peraturan perilaku seorang tentera yang menekankan nilai-nilai seperti keberanian dan kemurahan hati.

Furisiyyah itu turut mengandungi doktrin mengenai taktik perang berkuda, menunggang kuda, memanah dan juga kemahiran merawat luka dan kecederaan.

Disebabkan tentera Mamluk itu hidup di dalam komuniti mereka sendiri, maka masa lapang mereka diisi dengan latihan memanah dan juga kemahiran bertempur.

Antara sejarah kegemilangan tentera Mamluk itu adalah menjadi tulang belakang kepada kejayaan Salahuddin Al-Ayubi menakluk Jerusalem dan membebaskan Baitul Maqdis setelah kota suci ketiga Islam itu jatuh ke tangan tentera kafir dalam Perang Salib. Namun kejayaan itu mampu bertahan selama 760 tahun.

Di samping itu, kehebatan tentera Janissary turut tidak kurang hebat dan menjadi sebutan sehingga kini. Pasukan tentera ini dikenali sebagai pasukan tentera Islam yang hebat dan paling disegani. Pasukan infantri itu mula dibentuk oleh

Sultan Murad I di zaman Khalifah Bani Seljuk pada abad ke-14.

Tujuan utama pembentukan pasukan itu kerana tentera kerajaan Uthmaniah yang ada, bukan hanya tidak memadai tetapi wujud keraguan terhadap kesetiaan mereka kepada pemerintah.

Pada peringkat awalnya, anggota pasukan itu berasal dari bangsa Eropah Timur yang wilayahnya ditawan oleh kerajaan Uthmaniah di Turki. Tetapi bagi memperkasakan lagi nilai kesetiaan anggota, maka pemerintah telah merekrut dalam kalangan golongan remaja.

Tentera Jannisary itu dibahagi kepada dua pasukan iaitu infantri dan berkuda.

Apa yang menarik, selain dikatakan Janissary adalah angkatan tentera pertama yang menggunakan senapang dalam peperangan di Eropah, tentera tersebut adalah tulang belakang dalam membantu kerajaan Uthmaniah menawan kota Constantinople semasa pemerintahan Byzantine.

Selain itu, ada yang menyatakan bahawa pasukan tentera Jannisary juga turut sama bertempur melawan sekumpulan Dracula dari Wallachia, Transevalnia yang dahagakan darah manusia. Namun, segelintir mengatakan ini sekadar sebuah cerita mitos.

Setelah beberapa abad lamanya tentera Jannisary dikenali sebagai pasukan elit pengawal sultan, akhirnya pada sekitar abad ke-19, pasukan tersebut telah dibubarkan oleh Sultan Mahmud II kerana ada dalam kalangan anggota pasukan Jannisary telah terlibat dalam gerakan rampasan kuasa.

Dalam era peperangan moden dewasa ini pula, nama Mujahidin cukup sinonim dengan Islam. Mujahidin atau orang yang berjuang dalam jihad yang paling dikenali adalah Mujahidin Afghanistan.

Selain itu, nama itu turut dikaitkan dengan peperangan di Bosnia-Herzegovina dan Checnya. (Sumber: www.globalmuslim.web.id) HASHNAN ABDULLAH: Utusan/Bicara_Agama/20140703

Hadiah istimewa umat Islam

SETIAP kali menjelang bulan yang mulia ini, kita biasanya akan memulakan dengan proses muhasabah dan saling menyiapkan diri untuk melangkah ke bulan yang sangat mulia dan berkat, iaitu bulan Ramadan al-Mubarak. Sesungguhnya bulan yang mulia ini sudah menjadi satu ketetapan kepada semua umat Islam yang beriman untuk sentiasa bersedia bagi melangkah ke madrasah Ramadan ini.

Jadilah umat rabbani bukan hamba Ramadan. Kesempatan Ramadan ini haruslah diraih dengan kefahaman dan keyakinan yang tinggi, khususnya semua umat Islam termasuk mereka yang mengucap kalimah syahadah bahawa kehadiran Ramadan ini boleh dikategorikan sebagai hadiah yang cukup besar kepada umat Islam.

Cuma sejauhmana kita menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan pahala dan ganjarannya sebagaimana telah dijanjikan oleh Allah SWT. Seperti tahun-tahun lalu pastinya ‘aura’ Ramadan ini bakal memperlihatkan kita betapa manusia akan sentiasa berlumba-lumba untuk melaksanakan amal ibadah serta melakukan amal soleh, semata-mata untuk meraih ganjaran yang sangat besar itu.

Program-program tadarus, kuliah, majlis-majlis ilmu akan berkembang luas dan yang paling menariknya di bulan inilah Allah SWT menjanjikan pahala amat besar kepada mereka yang membantu golongan yang berkeperluan (al-mustadafin). Budaya bersedekah dan menghulur bantuan akan menjadi lebih hebat tatkala tiba bulan mulia sebagai satu usaha yang sangat hebat di mana tangan-tangan mereka yang menghulur amat murah terutama kepada golongan yang memerlukan.

Pengalaman penulis melaksanakan program sumbangan beras kepada golongan fakir miskin sepanjang Ramadan menyaksikan bahawa mereka yang hendak menyumbang amat memberangsangkan. Inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang di bawah adalah orang yang meminta. (riwayat Bukhari no.1429)

Proses tarbiah

Lakukan amal ibadat dengan ilmu. Namun di sebalik kehebatan melakukan amal soleh di bulan Ramadan, biarlah ia dilakukan dengan kesedaran dan ilmu yang benar. Bahawa Ramadan yang Allah hantar ini bukan semata-mata pesta amal soleh bermusim. Ia bukan satu tempat di mana kita melepaskan ‘geram’ ibadah kita maka setelah penat kita tinggalkan ia berseorangan nanti.

Ramadan adalah proses tarbiah dan latihan kepada kita agar sentiasa menghulur bantuan kepada yang memerlukan hasil daripada kesedaran yang diajar oleh baginda Nabi SAW. Ini sejajar dengan keyakinan bahawa jangan jadikan Ramadan kita kali ini sekadar budaya mengimarah Ramadan tanpa memahami makna ketuhanan dalam diri (rabbaniy). Berapa ramai orang yang melakukan amal ibadat di bulan Ramadan namun ia ditinggalkan di bulan itu sahaja tanpa dilaksanakan di bulan-bulan yang lain.

Apalah ertinya suatu amal soleh tanpa istiqamah dalam setiap tindakan. Ini sejajar peringatan Nabi SAW, daripada Aisyah r.ha, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Solat terawih selain menjadi budaya dan tradisi pada bulan Ramadan, namun tambah bermakna jika ia dilakukan dengan kesungguhan. Apalah ertinya solat terawih pada kita? Terawih secara umum ertinya istirehat. Amalan solat dan hubungannya dengan rehat ini mengandung makna yang cukup mendalam. Apabila kita bersolat ertinya kita tunduk dan berserah kepada Allah SWT.

Justeru, pada malam-malam bulan Ramadan kita disunatkan bersolat terawih dalam keadaan yang tenang dan penuh kerehatan. Tidak tergesa-gesa dan keterlaluan. Lakukan solat anda dengan tenang dan melaksanakannya dengan penuh khusyuk dan merasai akan nikmat solat tersebut.

Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa melakukan solat-solat sunat pada malam Ramadan mempunyai fadilat yang sangat besar sebagaimana dalam hadis yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikan solat (Terawih) pada malam hari di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari)

Lakukan solat terawih dengan ikhlas kerana Allah SWT bukan kerana manusia. Kerana janji Allah kepada kita adalah melaksanakannya dengan penuh keikhlasan, maka kita akan diampunkan dosa yang telah lalu.

Kesimpulan, marilah kita kembali membuat perhitungan diri. Yang pastinya, semua orang akan berbicara tentang Ramadan dan kelebihannya. Namun apa yang sepatutnya kita rasai apabila kita mengetahui bahawa Ramadan sudah tiba. Sebagai orang beriman sudah tentulah kita gembira dan bersyukur kepada-Nya kerana masih diberi kesempatan untuk bersama, tatkala ada orang lain yang tiada kesempatan seperti kita. Marilah didik jiwa agar gembira dan bersyukur dengan kehadiran Ramadan. Jangan biarkan diri kita sentiasa gundah gulana kerana Ramadan membawa beribu pahala kepada kita.

HASRI HARUN ialah Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Utusan/Bicara_Agama/20140703

Kesempatan pohon keampunan

RAMADAN adalah bulan yang memiliki kesucian dan juga banyak keistimewaannya. Ia bukan hanya sebagai bulan pembebasan daripada api neraka tetapi adalah bulan yang sarat dengan rahmat serta pengampuan daripada Allah SWT.

Selain diwajibkan berpuasa dan disunatkan pada malamnya dilaksanakan solat sunat terawih, bulan mulia itu turut menyaksikan penurunan kitab suci al-Quran dan terdapatnya satu malam yang sangat tinggi nilainya, iaitu Lailatul Qadar.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak hairanlah, setiap umat Islam tanpa mengira latar belakang pastinya berlumba-lumba melakukan ibadat wajib dan sunat semata-mata bagi memohon keampunan dan keberkatan-Nya.

Begitu juga kepada golongan banduan yang sedang menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan jenayah, sama ada berat atau ringan.

Mereka turut mengambil kesempatan berada di bulan mulia ini untuk meningkatkan tahap amal ibadat bagi mendapatkan keampunan atas segala dosa yang dilakukan sebelum dipenjarakan.

“Pengisian program sepanjang bulan Ramadan di penjara agak berlainan berbanding dengan bulan-bulan lain.

“Selain berpuasa dan solat terawih, banduan turut diwajibkan melaksanakan ibadat sunat lain, seperti mengikuti kelas pengajian, bertadarus, mengimarahkan 20 hari terakhir Ramadan. Bahkan ibadat sebegini turut dipanjangkan sehingga bulan Syawal iaitu melaksanakan puasa enam.

“Khususnya pada 20 hari terakhir bulan Ramadan, semua diwajibkan bangun untuk program qiamullail dan mencari Lailatul Qadar," kata salah seorang tenaga pengajar agama, Sarjan Penjara Shafiee Hussin ketika ditemui di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Beliau menyatakan,kelas pengajian agama Islam di sepanjang bulan Ramadan turut memberi penekanan kepada pengisian rohani kepada kalangan banduan Islam.

Penekanan sedemikian perlu supaya para banduan, khususnya yang baru sahaja menjalani hukuman memahami dengan jelas tujuan berpuasa daripada sudut pandangan Islam.

“Mungkin kalau sebelum ini, mereka berpuasa sekadar ikut-ikutan sahaja, tetapi apabila berada di dalam penjara, pihak penjara akan memberi penjelasan tentang kewajipan melaksanakan ibadat puasa Ramadan dan juga memperincikan makna puasa supaya mereka dapat pengetahuan serta pemahaman lebih meluas berkaitan puasa itu sendiri.

“Menerusi cara ini, kita pasti sedikit sebanyak memberi mereka pemahaman yang lebih mantap, sekali gus membetulkan semula persepsi mereka tentang ibadat wajib tersebut. Mudah-mudahan mereka melakukannya dengan pemahaman yang jelas serta secara tidak langsung akan melahirkan rasa keikhlasan dalam beribadat," katanya.

Begitu pun, Shafiee tidak menafikan ada dalam kalangan banduan yang ponteng puasa atas sebab tertentu tetapi jumlahnya adalah kecil.

Baginya, adalah sesuatu yang sukar untuk memastikan 100 peratus banduan Islam berpuasa kerana rata-rata daripada mereka mempunyai pengetahuan agama yang amat rendah dan ada juga yang ditemuinya hanya Islam pada nama sahaja.

Beliau membuat perumpamaan bahawa banduan adalah golongan yang telah tidur dalam tempoh yang agak lama dan sudah pasti, agak sukar untuk mengejutkan mereka dalam tempoh yang singkat.

“Apa yang kami lakukan adalah memastikan majoriti banduan patuh kepada ajaran Islam, kerana kami percaya yang kecil itu lama-kelamaan akan mengikut yang majoriti.

“Mungkin pada mulanya, apa yang dilakukan itu sekadar mengikut atau terpaksa sahaja. Namun hari demi hari, apabila perkara itu sudah terbiasa dan semakin sebati, adalah tidak mustahil ada akan terdetik di hati mereka itu untuk mematuhi ajaran Islam dengan penuh keikhlasan di hati," katanya.

Pada pertemuan itu juga Shafee turut berkongsi pengalamannya dalam mengendali seorang banduan yang mempunyai saiz badan cukup besar dan untuk mengawalnya memerlukan jumlah warden penjara yang agak ramai. Namun berkat hidayah Allah SWT siapa sangka hati yang keras berjaya dilembutkan.

“Pada awalnya, dia tidak mahu turun untuk solat atau berpuasa. Tetapi sebab dia tidak mahu tinggal seorang diri di dalam sel, dia dengan perasaan terpaksa telah ikut serta, selain takut dikenakan hukuman bagai mereka yang didapati melanggar arahan warden penjara.

“Siapa sangka dahulunya tidak suka dan rasa terpaksa tetapi dengan bantuan Allah SWT, akhirnya banduan tersebut, kini bukan hanya patuh dengan ajaran Islam tetapi dia adalah antara banduan Islam yang tidak pernah meninggalkan solat fardu dan sunat," katanya.

Dalam pada itu, Shafiee mengakui bahawa dalam setiap sesuatu itu ada kebaikannya yang hanya Allah SWT pemilk rahsianya itu. Umum menganggap penjara adalah hukuman buat pesalah jenayah, namun hakikatnya, beliau menyifatkan banduan Islam yang dikenakan hukuman penjara sebenarnya bertuah kerana mereka berpeluang untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama atau mereka sebenarnya diberi peluang kedua untuk merubah diri daripada tidak tahu kepada tahu.

Apa tidaknya, ketika mula-mula dipenjarakan, rata-ratanya mempunyai pengetahuan agama yang amat rendah, malah ada segelintir banduan yang tiada langsung pengetahuan agama Islam.

Sejajar dengan keadaan itu, pihak penjara telah menekankan soal penerapan aspek ketenangan dalam diri banduan terbabit supaya mereka mampu melalui sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P) sepanjang tempoh tahanan di penjara.

“Bagi saya, banduan adalah orang tidak dikawal dan tidak dapat dikawal. Bermakna mereka mengikut kehendak nafsu semata-mata.

“Tetapi apabila di dalam penjara, mereka kena mengikuti program agama iaitu bermula dari awal iaitu ucap syahadah, solat, puasa dan lain-lain perkara asas dalam agama," katanya.

Malah, tambah Shafiee, pihak beliau turut menggunakan ketegasan ala-tentera kepada banduan setiap kali mengarahkan banduan mengingatkan bacaan dalam solat atau al-Quran.

“Saya cukup tegas sewaktu memberi arahan untuk para banduan menghafal bacaan dalam solat. Kalau tiga hari, maka tiga harilah mereka kena hafal," katanya.   HASHNAN ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140703

Membentengi gejala sosial

PADA masa ini terdapat pelbagai gejala sosial dalam kalangan remaja yang tidak dijangkakan. Remaja perempuan kini sudah berani lari dari rumah untuk mengikut kekasih. Pergaulan bebas tanpa dipantau juga akan menjurus kepada pelbagai penyakit masyarakat yang membahayakan.

Pengaruh media baharu dengan kemudahan telefon pintar telah menular dalam kalangan remaja sehingga ke ceruk desa. Pendedahan tentang gejala sosial secara terperinci adalah sangat perlu untuk memberi kefahaman kepada ibu bapa dan juga masyarakat agar dapat bertindak untuk menangani masalah ini.



SEBAHAGIAN daripada 300 motosikal dan 200 kereta yang diperiksa dalam operasi bersepadu Pasukan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membanteras kegiatan lumba haram di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

Justeru, Ramadan bulan penuh keberkatan sewajarnya dapat mendidik hati dan jiwa anak-anak remaja ke arah kebaikan. Puasa juga mendidik peribadi dan menjadi benteng kepada gejala sosial serta banyak memberi manfaat kepada kesihatan.

Nabi SAW bersabda: " Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Riwayat Muttafaq alaih).

Ibu bapa masih berperanan penting dalam mendidik anak-anak supaya mereka tidak mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan. Para guru pula berperanan mendidik anak bangsa khususnya yang di bangku sekolah rendah dan menengah.

Jika ditinjau pelbagai gejala sosial melanda kalangan remaja pada masa ini antaranya gejala penagihan dadah, bohsia, kegiatan gengsterisme, jenayah seksual, peras ugut, lari dari rumah dan mengunjungi tempat hiburan.

Semuanya berpunca daripada kelalaian dan kecuaian ibu bapa, yang menganggap anak remaja tidak perlu lagi kepada pemerhatian. Ia ditambah dengan kurangnya didikan agama khususnya bab akidah dan pengamalan ibadat dalam kalangan remaja.

Semakin hari fenomena ini semakin rumit dan memerlukan perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak. Selain ibu bapa dan guru, masyarakat, pemimpin setempat dan kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) turut mempunyai peranan masing-masing.

Kepada pemimpin politik, tanggungjawab ini lebih penting untuk ditangani daripada permasalahan lain dalam masyarakat. Hal ini kerana, golongan remaja adalah aset masa depan.

Justeru dengan segala macam gejala sosial yang sedang menghimpit kehidupan remaja kini, mereka sangat memerlukan bimbingan, didikan, tunjuk ajar dan juga pemerhatian daripada orang dewasa yang lebih berpengalaman.

Jika tindakan awal tidak diambil, remaja kita akan terus hanyut dalam dunia mereka sendiri dan mungkin terjebak dalam hedonisme yang boleh membawa kepada kehancuran.

Kerana tidak mengamalkan ajaran agama, ramai remaja dan belia kita terdedah dengan kegiatan tidak bermoral seperti menghisap dadah, merempit, meragut, vandalisme dan sebagainya.

Ilmu agama yang kurang juga mendedahkan mereka kepada ajaran sesat dan ekstremisme.

Dalam menangani masalah ini, kerjasama erat hendaklah diwujudkan dalam kalangan pihak yang bertanggungjawab dalam memberi pendidikan yang sepatutnya kepada golongan berkenaan.

Dua perkara yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazali iaitu tazkiah dan riyadah merupakan kalimah yang digunakan dalam pendidikan diri. Tazkiah al-Nafs (penyucian diri) dan riyad al-Nafs (latihan diri), kedua-duanya sangat penting dalam proses pendidikan.

Tazkiah adalah daripada kata akar zakiya yazatku zakaan yang bermaksud semakin besar dan baik. Daripada kata akar ini terbit perkataan zakha yuzakki tazkiyyatan yang bermaksud berkembang , bertambah, menyucikan dan membaikkan.

Perkataan riyadah yang digunakan dalam bahasa Melayu sebagai riadah pula diterjemahkan kepada dua makna. Pertama, bermaksud bertapa dengan mengawal hawa nafsu. Kedua, merujuk kepada gerak badan, senaman, segala kegiatan pada waktu lapang untuk menyihatkan badan dan fikiran dan rekreasi (Kamus Dewan, 2000; 1136). Dalam bahasa Arab, kata akar rada yarudu raudan riyadatan yang bermaksud melatih atau menjadikannya dikuasai dan mengikut arahan.

Menurut Imam al-Ghazali, golongan orang yang selamat adalah: "Ahlul Najat iaitu orang yang selamat. Mereka hanya menunaikan amalan-amalan yang wajib dan meninggalkan larangan-larangan Allah. Hanya itu yang mereka kerjakan, tidak lebih dan tidak pula kurang." Justeru, ibu bapa seharusnya menasihatkan anak-anak ke jalan selamat.

Di sini terdapat unsur-unsur pendidikan dan bimbingan yang digariskan oleh Islam kepada anak-anak remaja. Pendidikan dalam Islam juga sangat menekankan kepada tiga unsur iaitu akidah, ibadah dan akhlak yang mampu menjadi benteng kepada segala permasalahan termasuk gejala sosial.

Semoga dengan kedatangan Ramadan akan dapat mendidik dan membersihkan rohani dan hati serta membentuk peribadi Muslim agar sentiasa berkelakuan baik dalam kehidupan.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media, berkelulusan Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Utusan/Rencana/20140703

Manfaatkan Ramadan dengan ibadah, hindari perkara kurangkan pahala

BULAN Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan bulan beribadah untuk seluruh umat Islam di seluruh pelosok dunia tanpa mengira siapa dan status mereka kerana disisi Allah semua manusia dilahirkan sama sahaja dan hanya amal yang soleh serta amalan ikhlas kita sebagai ukuran disisi Allah nanti untuk menilaikan kita semua.

Rugilah sesiapa yang tidak ambil peluang yang Allah janjikan segala ganjaran yang menanti kepada semua umat islam kerana beribadah dalam bulan Ramadan ini berlipat kali gandanya pahala daripada bulan-bulan yang lain.

Jauhi daripada tabiat buruk saperti mengumpat dan berkata-kata perkara yang boleh mengurangkan pahala kita atau mungkin kita hanya dapat lapar dan dahaga sahaja serta yang untungnya nanti adalah orang yang kita umpat itu nanti yang mana pahala kita itu nanti akan berhijrah kepada mereka yang kita umpat.Rugilah segala amalan kita jika berlaku sedemikian.

Jauhkan diri daripada kumpulan atau kawan yang sedang sedap mengumpat kerana ianya mampu membuatkan kita terbabit sama terikut-ikut rentak mereka itu. Terbaik sekali dibulan Ramadan ini apabila berbicara apa yang mustahak sahaja dan jangan merapu yang tidak tentu arah.

Dalam pada itu diharapkan kakitangan wanita yang beragama Islam dijabatan Kerajaan dan juga swasta supaya menghormati bulan Ramadan ini dengan berpakaian sopan dan sebaiknya menutup aurat disepanjang bulan yang mulia ini dan jangan sampai mendedahkan aurat yang keterlaluan yang mampu bukan sahaja mengurangkan pahala puasa kepada dirinya sendiri tetapi juga kepada lelaki yang sedang berpuasa apabila memandangnya dengan ada perasaan ghairah kerana kelemahan lelaki selalunya adanya lintasan yang tidak diundang itu mampu merosakkan pahala mereka.

Diharap juga para Pengacara wanita yang beragama islam di semua stesen tempatan dan juga berbayar supaya memakai pakaian yang tidak menjolok mata serta disyaratkan juga menutup aurat kerana menghormati bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan jika tidak menutup aurat maka tidak nampak kesesuaian mereka ini membincangkan perkara-perkara yang berkaitan tentang ibadah puasa itu sendiri.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, YDP, Persatuan Jamulullail Perak Utusan/Forum/20140702

Bukan sekadar pesta makanan

BAZAR Ramadan merupakan antara destinasi yang sering dikunjungi oleh umat Islam di bulan Ramadan. Pelbagai jenis juadah berbuka disediakan oleh peniaga-peniaga di bazar itu.

Hampir setiap daerah dan negeri menyediakan ruang dan tempat untuk didirikan bazar ini. Sambutan yang diberikan oleh rakyat terhadap bazar itu begitu menggalakkan dan menguntungkan para peniaga.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan bazar ini terdapat beberapa kisah menyedihkan yang melibatkan gelagat pengguna (pembeli) dan peniaga (penjual). Kedua-dua entiti ini merupakan faktor pendesak wujudnya bazar Ramadan dan kedua-dua entiti tersebut perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengharmonikan suasana sambutan Ramadan.

Peniaga berperanan memastikan juadah yang dijual mestilah halal, bersih dan selamat untuk dimakan. Juadah yang dijual sememangnya dilihat lazat dan mengiurkan. Sungguhpun begitu, sesuatu makanan tidak mampu dijamah sekiranya penyediaan makanan tersebut tidak disediakan secara bersih dan sempurna.

Hal ini boleh menyebabkan gangguan kesihatan terhadap pembeli sekiranya makanan itu terdedah kepada kekotoran dan bahan yang meragukan.

Inilah yang ditakuti selama ini kerana pembeli tidak mengetahui secara jelas tentang penyediaan makanan oleh peniaga.

Peniaga perlu berhati-hati dalam menyediakan makanan yang halal, bersih dan selamat untuk dimakan. Halal mengikut pandangan Syeikh Yusof Al Qaradhawi bermaksud sesuatu yang diharuskan oleh syarak dan tiada larangan terhadapnya.

Sebagai contoh, peniaga yang menjual ayam goreng perlu memastikan ayam tersebut disembelih oleh seorang yang beragama Islam dan mengikut tatacara sembelihan Islam. Jika gagal berbuat demikian, peniaga boleh didakwa atas kesalahan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang menyatakan bahawa sebarang bentuk representasi atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan bahawa sesuatu makanan itu halal atau boleh dimakan oleh orang Islam adalah merupakan suatu kesalahan.

Mana-mana orang yang menyalahi perintah ini adalah dianggap sebagai melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Bersih dan selamat untuk dimakan pula menurut pandangan Islam boleh dirujuk sebagai toyyiba. Ibn Kathir menyatakan bahawa perkataan toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak.

Oleh itu, juadah makanan yang disediakan oleh peniaga haruslah bersih dari segi makanan tersebut dan tempat penyediaannya.

Makanan yang disediakan bukanlah makanan recycle yang tidak laku dijual semalam. Begitu juga halnya dengan minyak masak yang telah digunakan semalaman dan digunakan keesokkan harinya. Menurut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, peniaga menggunakan bahan yang beracun dan memudaratkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pihak pembeli pula, mereka perlu memilih dengan cermat juadah makanan yang dijual oleh penjual itu benar-benar halal. Pembeli yang ingin menikmati juadah berbuka puasa perlu memilih restoran yang hanya memaparkan logo halal Jakim sahaja.

Sekiranya pembeli mendapati sesuatu gerai di bazar tidak mengamalkan kebersihan yang memuaskan, pembeli perlu melaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi mengambil tindakan selanjutnya. Pembeli akan diberikan perlindungan undang-undang dengan sewajarnya di bawah beberapa akta dan enakmen seperti Akta Makanan 1983, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan sebagainya.

Usah takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kerana tindakan tersebut menjamin keselamatan umum. Selain itu, pembeli juga mempunyai kuasa untuk memboikot dan menghentikan pembelian terhadap mana-mana gerai yang tidak mengamalkan kebersihan dan menyediakan makanan yang selamat. Muhammad Hafiz Badarulzaman,  Universiti Utara Malaysia (UUM) Utusan/Forum/20140703