July 4th, 2014

Ramadan bulan ibadah bukan pesta makanan

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan bertemu Ramadan yang penuh keberkatan ini. Rasa syukur itu sewajarnya digambarkan dengan bertekad dan berazam untuk melaksanakan ibadah puasa lebih baik berbanding Ramadan yang lalu.

Realitinya hari ini, walaupun sudah hampir seminggu memasuki gerbang Ramadan, masih ada kalangan kita yang tidak merasai keseronokan beribadah pada bulan mulia ini. Bahkan, yang paling menyedihkan, ada yang langsung tidak ambil peduli kehadirannya kerana sibuk melayan nafsu yang tak pernah puas di hati.

Beruntunglah bagi mereka yang terus beristiqamah merebut segala peluang yang Allah SWT sediakan pada bulan Ramadan dengan menggandakan amal soleh.

Ramadan jana kekuatan, jati diri Sesungguhnya saat kematian pasti akan tiba menjemput kita. Oleh itu, marilah bersama jadikan Ramadan kali ini bulan yang mampu menjana kekuatan dan jati diri seterusnya mendidik kita menjadi insan lebih dekat serta bertakwa kepada Allah SWT.

Bukankah hasil takwa melalui ibadah puasa itu yang didambakan setiap orang beriman. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ramadan bulan sangat dirindui orang beriman. Kehadirannya dinanti, tibanya disambut mesra. Jiwa orang yang beriman pasti tidak putus melafazkan syukur kerana diberi peluang bertemu Ramadan. Mereka sudah tentu akan merebut sebanyak ganjaran yang melimpah ruah pada bulan mulia ini.

Setiap detik dan waktu yang berlalu pasti dimanfaatkan dengan pelbagai ibadah serta amal soleh. Namun, masih terdapat segelintir yang terus leka. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan menahan nafsu syahwat dengan berpuasa bertukar menjadi bulan berpesta makan secara berlebihan.
Lihatlah ketika waktu berbuka nanti, tidak cukup dengan juadah dimasak, segala juadah dijual di bazar semuanya terasa ingin dibeli.

Akibat melayan nafsu sehingga membawa kepada pembaziran rezeki kurniaan Ilahi.

Inilah kesan apabila kita menganggap sambutan Ramadan itu lebih menjurus kepada adat bukannya ibadah.

Ketika kita bersemangat mengisi setiap waktu dengan amal kebajikan, masih terdapat segelintir terus leka menyaksikan Piala Dunia hingga mengetepikan tuntutan menggandakan amalan soleh.

Hidupkan malam dengan ibadah

Sanggup berjaga malam bersengkang mata menyokong pasukan pilihan, tetapi berjaga malam bermunajat kepada Ilahi belum tentu dapat dilaksanakan.

Bahkan, solat sunat tahajud dua rakaat pun terasa terlalu berat.

Memanglah tidak menjadi kesalahan menonton perlawanan bola sepak sehingga lewat pagi, tetapi alangkah baik jika ruang waktu itu diisi dengan perkara yang lebih bermanfaat seperti bertadarus al-Quran, bertahajud serta bermunajat kepada Ilahi.

Bukankah kita dituntut untuk menghidupkan malam dengan beribadah kepada-Nya? Jika Rasulullah SAW sanggup bangun menghidupkan malam melakukan ibadah, justeru di manakah kita.

Selayaknya kita yang sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh berbanding Baginda SAW yang pasti masuk ke syurga Allah SWT. Bahkan menyedihkan lagi, ada yang terus lalai menonton perlawanan bola sehingga solat Subuh pun tidak ditunaikan.

Sepatutnya pada waktu ini kita bersungguh-sungguh melaksanakan sebanyak mungkin amal ibadah.

Manfaatkan masa ini dengan sebaik mungkin. Hayatilah hadis riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Abi Mas’ud al-Ghifari, Nabi SAW bersabda: “Kalaulah hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, nescaya mereka akan bercita-cita supaya Ramadan itu berlaku sepanjang tahun.”

Hari-hari yang masih berbaki dalam bulan Ramadan ini marilah kita terus beristiqamah melaksanakan ibadah puasa dengan mengetahui hukum sah dan batalnya, syarat-syarat serta adab ditunjukkan Baginda SAW.

Ikutilah sunah Rasulullah SAW antaranya menyegerakan berbuka puasa, melewatkan makan sahur, meninggalkan percakapan sia-sia, kotor dan menipu, memberi makan orang yang berpuasa serta memperbanyakkan bersedekah.

Ibadah puasa bukan saja membentuk hubungan erat dengan Allah SWT tetapi juga sesama manusia. Berita Harian Agama 2014/07/04 - 16:25:57 PM

Tazkirah bukan cuma dosa, pahala

Menjelang Ramadan minggu lalu, ramai yang mendapat mesej melalui Whatsapp, Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya daripada rakan bagi mengingatkan antara satu dengan lain mengenai ibadat puasa.

Ada mengirim ucapan dalam bentuk gambar, lukisan, grafik atau teks dengan kata-kata yang indah sambil mengucapkan selamat berpuasa untuk tahun ini. Ada juga yang menggunakan ayat suci al-Quran pilihan, berpantun, bersyair atau mengirim ungkapan jenaka yang berkisar mengenai ibadat puasa.

Ada yang menghantar atau menerima pesanan dengan nasihat supaya beramal dengan sebaiknya kerana ini mungkin Ramadan terakhir bagi mereka. Ingatan seperti ini sememangnya digalakkan dalam Islam supaya setiap umatnya sentiasa menilai diri dan tidak melakukan perbuatan yang dilarang.

Ini adalah budaya baharu hubungan sesama sahabat handai, saudara mara atau sesama rakyat dalam dunia yang dipengaruhi komunikasi siber hari ini.

Biasanya ungkapan selamat menyambut Ramadan memang jarang diucapkan secara lisan atau melalui apa juga bentuk komunikasi sebelum ini. Ini berbeza dengan ucapan menjelang hari raya yang disebut tidak lekang di bibir pada pagi hari raya, sambil bermaaf-maafan.

Pada pertengahan Ramadan, ramai menerima pesanan hari raya, sama ada melalui kiriman kad hari raya tradisi atau melalui media baharu.

Kebelakangan ini, menerusi kecanggihan teknologi, setiap pengguna telefon mudah alih atau pengguna komputer, menerima pelbagai maklumat dan pesanan. Kebanyakan nasihat yang disampaikan adalah mengenai kemurnian bulan yang mulia dan mengingatkan sesama umat Islam mengenai keistimewaan Ramadan.

Pesanan berbentuk agama mengatasi mesej berbentuk gurauan, jenaka atau sebagainya dalam bulan Ramadan ini. Setidak-tidaknya pengguna alat komunikasi menghormati dan tidak menyalahgunakan kemudahan itu sepanjang bulan yang mulia ini.

Pelbagai program Ramadan

Umat Islam diingatkan memuliakan Ramadan dengan amalan beribadah, mengadakan qiamullail dan tadarus al-Quran, tazkirah, tahlil arwah, bersedekah dan apa juga yang dituntut agama. Selepas beberapa hari berpuasa, ingatan mengenai kebaikan Ramadan terus berkumandang dalam taklimat oleh imam masjid atau penceramah yang diundang menyampaikan tazkirah, yang biasanya diadakan pada pertengahan sembahyang tarawih.

Ketika tazkirah, jemaah mendengar ingatan dan nasihat mengenai pelbagai persoalan di dunia dan di akhirat. Ia membangkitkan kesedaran bagi mereka yang selama ini alpa terhadap tanggungjawab kepada diri dan agama.

Umat Islam yang mendengar tazkirah pula akan insaf dan dibukakan hati untuk bertaubat jika selama ini mereka banyak melakukan dosa. Umat Islam dinasihatkan mengenai azab alam kubur dan akhirat nanti jika mereka melakukan pelbagai dosa di bumi ini.

Disebabkan ramai umat Islam yang hadir untuk berbuka, bersolat jemaah maghrib, Isyak diikuti tarawih, kehadiran umat Islam di masjid dan surau meningkat dengan mendadak.

Kesempatan ini sewajarnyalah digunakan untuk mengingatkan umat Islam ke jalan kebaikan. Di samping umat Islam diingatkan dengan seksaan kubur dan memperbaiki kesalahan yang mereka lakukan, penceramah tazkirah perlu membimbing umat Islam dalam menegakkan syiar Islam dalam realiti dunia hari ini.

Hakikatnya, umat Islam perlu bersaing dengan penganut agama lain untuk memastikan mereka terus dihormati. Adalah merugikan jika kesempatan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengingatkan umat Islam mengenai pentingnya memajukan diri di dunia ini, selain balasan yang akan diterima di akhirat nanti.

Di dunia ini, umat Islam masih ketinggalan berbanding kaum lain. Umat Islam masih berada di belakang dalam bidang sains dan teknologi walaupun banyak ciptaan sains asalnya adalah hasil penemuan tokoh terkemuka Islam.

Galak umat Islam kuasai ekonomi

Tokoh yang diberi peluang menyampaikan tazkirah perlulah daripada pelbagai latar belakang. Mungkin tokoh terkemuka Islam dalam bidang sains dan teknologi dijemput untuk menyampaikan tazkirah. Tazkirah seperti ini, boleh memberi inspirasi kepada umat Islam.

Umat Islam juga ketinggalan dalam bidang perniagaan. Banyak negara majoriti penduduknya adalah umat Islam, tetapi malangnya kuasa ekonomi negara berkenaan dipegang oleh bukan Islam. Tokoh perniagaan Islam juga mungkin boleh dijemput untuk bertazkirah.

Di Malaysia, kuasa ekonomi masih diterajui oleh bukan Islam. Walaupun pelbagai cara dilakukan untuk meningkatkan kemajuan umat Islam, ia belum menampakkan hasil yang positif. Dalam tazkirah, perbincangan mengenai kemajuan ekonomi Islam perlu diselitkan supaya dapat membuka mata umat Islam. Tazkirah seperti ini seharusnya mampu mengejutkan umat Islam daripada lamunan mimpi.

Jika mereka boleh terkejut daripada mimpi selepas mendengar nasihat mengenai dosa yang mereka lakukan, mereka wajar dikejutkan daripada akibat alpa untuk memajukan diri dan pembangunan untuk meningkatkan darjat agama.

Selagi umat Islam gagal menempatkan diri pada tahap yang tinggi dalam bidang ekonomi, selagi itulah penganut agama lain akan menguasai dunia, malah di dunia Islam sekali pun. Berita Harian Agama 2014/07/04 - 01:39:12 AM Mior Kamarul Shahid

Ramadan bukan adat

BULAN Ramadan adalah salah satu bulan yang istimewa dalam kalangan umat Islam. Apabila tibanya bulan Ramadan, semua umat Islam yang sudah layak memikul taklifan diwajibkan untuk berpuasa sepanjang bulan ini. Kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan telah disebutkan oleh Allah SWT, Rasulullah SAW dan ijmak (kesepakatan) seluruh ulama muslimin.

Begitu pun, sebahagian umat Islam seolah-olah tidak mengendahkan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Mereka menganggap bahawa puasa itu seakan-akan adat kebiasaan umat Islam apabila tibanya Ramadan. Ramadan lebih dianggap sebagai adat sepanjang tahun berbanding kewajipan ke atas setiap insan yang bergelar Muslim.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (al-Baqarah:183)

Imam Ibnu Kathir menyebutkan dalam tafsirnya bahawa dalam ayat ini Allah memerintahkan seluruh umat Islam untuk berpuasa. Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum, melakukan persetubuhan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. Ini kerana puasa mengandungi penyucian dan penjernihan diri daripada amalan-amalan yang buruk dan akhlak yang tercela.

Beliau juga menyebutkan bahawa pada awal-awal permulaan Islam, mereka diperintahkan untuk berpuasa tiga hari setiap bulan. Perintah itu akhirnya dimansuhkan lalu diganti dengan puasa wajib sebulan sepanjang bulan Ramadan selepas turunnya surah di atas.

Ia turut disebut oleh Al-Dahhak bahawa kewajipan berpuasa tiga hari setiap bulan itu bermula sejak zaman Nabi Nuh dan ia berterusan hinggalah awal kedatangan Islam bagi umat Nabi SAW hinggalah Allah SWT menasakhkannya dengan puasa di bulan Ramadan.

Diperintahkan

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran menyebutkan bahawa lafaz al-Quran yang menyebutkan kutiba (diperintahkan) bermaksud ia suruhan yang bersifat wajib. Maka ayat yang menyebutkan tentang diperintahkan berpuasa itu bermaksud diwajibkan ke atas umat Islam yang mukallaf (sudah layak memikul kewajipan yang diperintahkan Islam).

Kewajipan berpuasa di bulan Ramadan ini tidak ada sebarang khilaf (perbezaan pendapat) dalam kalangan ulama Islam dan ia selari sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW: Islam ini tertegak dengan lima perkara; bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji jika mampu dan berpuasa di bulan Ramadan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hari ini kita boleh melihat segelintir umat Islam yang sengaja tidak berpuasa atau berpuasa hanya setengah hari tanpa sebarang sebab. Lebih buruk lagi apabila mereka makan di khalayak ramai, sama ada di kedai-kedai makan orang buka Islam ataupun di kedai makan Islam yang dibuka secara “tersembunyi."

Ini bukan sahaja memberikan gambaran buruk terhadap umat Islam, bahkan ia kelihatan seperti mempermain-mainkan syariat yang telah diwajibkan ke atas setiap Muslim. Sikap sebegini menunjukkan mereka langsung tidak malu melanggar perintah Tuhan, di samping tidak menghormati orang lain yang berpuasa.

Mulut terkoyak

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, aku didatangi oleh dua orang lelaki. Kemudian kedua-duanya menarik lenganku dan membawaku ke sebuah gunung yang berbatu lalu berkata; “Naiklah". Aku berkata: “Aku tidak sanggup untuk melakukannya."

Kedua orang lelaki itu berkata: “Kami akan memudahkannya untukmu." Maka aku pun menaikinya hingga aku sampai pada kegelapan gunung. Tiba-tiba ada suara yang sangat keras. Aku bertanya: “Suara apakah itu?" Mereka menjawab: “Itulah jeritan para penghuni neraka."

Lalu dia membawaku berjalan dan tiba-tiba aku bersama orang-orang yang tergantung tumit mereka, mulut mereka terkoyak dan darah mengalir daripadanya. Aku bertanya: “Siapakah mereka itu?" Mereka menjawab: “Merekalah orang-orang yang berbuka puasa sebelum sampai waktunya." (riwayat Ibnu Khuzaimah no. 1865)

Semoga kita semua sedar bahawa puasa di bulan Ramadan bukanlah sesuatu perkara yang remeh. Ia merupakan salah satu daripada tiang-tiang agama Islam yang wajib dilaksanakan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Wallahua’lam.

MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR ialah penuntut Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Al-Islamiyyah Al-Muassirah Gombak. Utusan/Bicara_Agama/20140704

Hobi dipandu agama

SEKARANG ini seluruh dunia sedang dilanda demam Piala Dunia. Yang menjadi persoalan saya bolehkah seorang Islam yang dalam kategori fanatik sukan bola sepak itu, sanggup memiliki serta menyarung kemeja T yang ada lambang salib. Tolong ustaz berikan pencerahan?

Jawapan:  Minat yang tersemat di dalam hati terhadap sesuatu menghasilkan tanda yang zahir. Sebagai contoh minat terhadap bola sepak. Maka minat ini mendorong seseorang untuk menonton televisyen bagi perlawanan bola sepak. Perkara ini tidaklah salah. Ia termasuk dalam aktiviti santai dan berehat. Minat ini juga mendorong peminat untuk mendapatkan pakaian pasukan bola tersebut atau jersinya. Perkara ini adalah harus.

Namun begitu, sebagai Muslim yang inginkan kebaikan dunia dan juga akhirat, maka minat sewajarnya dipandu oleh agama. Antaranya:

1 Menonton perlawanan bola sepak sehingga mengabaikan kewajipan agama merupakan satu kesilapan. Berapa ramai yang sanggup meninggalkan solat berjemaah di masjid dan surau hanya kerana ingin menonton perlawanan bola sepak. Berapa ramai pula yang akan mengabaikan solat sunat tarawih hanya kerana demam bola.

2 Menonton perlawanan di awal pagi sekitar jam 2 atau 3 pagi hingga tamat perlawanan. Esoknya hari bekerja. Maka tugasan kerja di tempat kerja dibuat sambil lewa, bahkan ada yang mencari peluang untuk tidur kerana waktu tidur yang tidak cukup pada malam hari.

Justeru, sewajarnya kita menjaga masa agar ia tidak habis begitu sahaja. Menonton perlawanan bola sepak tidak salah tetapi jika ia tidak diuruskan dengan baik, maka ia menimbulkan kesalahan yang lain.

3Pembelian jersi pasukan tertentu juga tidaklah salah. Ia adalah pakaian. Namun, jika pakaian jersi tersebut memaparkan perkara yang tidak harus dalam Islam, maka keharusan ini perlulah dikaji semula. Contohnya jersi yang memaparkan dengan jelas jenama arak dan judi. Jelas terpampang di baju jersi. Begitu juga jika wujud dengan jelas lambang agama bukan Islam. Ia seolah-olah satu sokongan dan promosi kepada perkara-perkara tersebut.


Maka masyarakat Muslim tidak lagi serius melihat perkara tersebut sebagai satu dosa dalam agama. Jika lambang salib itu bukanlah lambang utama, sebaliknya sekadar simbol kecil bagi sesebuah negara, maka ia tidak mengapa. Ini kerana ia sesuatu yang dimaafkan. Utusan/Bicara_Agama/20140704

Mencari kemabruran haji

DALAM menghuraikan berkaitan pelaksanaan ibadah haji dan permasalahannya, penulis hanya menyebut beberapa perkara utama untuk difahami bakal jemaah haji. Antaranya:

Belajar manasik haji. Hal ini amat penting kerana ilmu berkaitan haji menyebabkan ibadat menjadi sah dan diterima Allah SWT. Ramai jemaah haji yang datang mengunjungi Mekah tanpa persediaan ilmu, akhirnya mengakibatkan banyak cacat cela dan ketidaksahihan ibadat haji.

Bertaubat Kepada Allah. Oleh kerana kita menuju kepada Allah dengan sepenuh jiwa raga dan hati, di samping mulut sentiasa bertalbiah sebagai menzahirkan kehambaan kepada yang Maha Esa, maka seaulanya seseorang yang ingin menuju ke Mekah memukadimahkan dengan taubat. Ini supaya kedatangannya menghadap Ilahi dengan hati yang tulus ikhlas dan suci. Natijahnya untuk mendapat kemabruran haji adalah amat hampir.

Memahami setiap rukun, wajib dan amalan haji. Hal ini sudah pasti akan memberi kesan yang mendalam kepada jemaah haji, apa lagi seseorang itu juga mempelajari hikmah dan falsafah haji.

Terdapat banyak isu dan permasalahan haji. Dalam hal ini, hendaklah merujuk pihak berautoriti dan berwibawa daripada segi keilmuan dan diyakini kemampuan ilmiahnya.

Dalam ruangan kali ini, akan dibincangkan jenis haji serta permasalahannya. Haji terbahagi kepada tiga iaitu:

Haji Ifrad yang diniatkan secara umum atau mengikut niat seseorang juga akan kembali kepada salah satu daripada tiga di atas.

Maksud haji Ifrad ialah hanya mengerjakan haji dan selepas itu barulah melakukan ibadah umrah. Cara Ifrad ialah berihram untuk mengerjakan haji sahaja. Dia tidak akan mengerjakan ibadah umrah sehinggalah selesai mengerjakan hajinya. Cara ini dianggap paling afdal mengikut mazhab al-Syafie kerana masyaqqah yang dihadapi ketika berada dalam ihram begitu panjang masanya.

Haji Tamattu’ - daripada sudut bahasa, tamattu’ bererti mengambil faedah. Istilah syarak pula:

Mengikut ulama Hanafi menghimpunkan antara ihram umrah dan pekerjaannya atau sebahagian besar daripada pekerjaan itu dengan ihram haji dan pekerjaannya dalam bulan haji tanpa ilmam (pengetahuan) yang sahih dengan ahlinya.

Mengikut mazhab al-Syafie, Tamattu’ ialah dengan berihram mengerjakan umrah dalam bulan haji. Setelah selesai mengerjakan ibadah dan bertahallul, jemaah berihram pula untuk mengerjakan ibadah haji di Mekah.

Mengikut Hanafi terdapat dua bentuk orang yang melakukannya, iaitu yang membawa binatang dam dan yang tidak membawanya.

Bagi yang membawa binatang dam, hukumnya adalah sama dengan orang yang melakukan haji secara Qiran. Apabila sampai di Mekah dia hendaklah terus tawaf dan sa’ie dan tidak bertahallul selepas mengerjakan umrah tetapi terus berada di dalam ihramnya sehingga berihram haji pada Hari Tarwiyah.

Pada Hari Nahar dia hendaklah menyembelih binatang dam itu. Ini berdasarkan sabda baginda dalam hadis riwayat Jabir r.a yang bermaksud: “Jika aku tahu apa yang berlaku masa depan seperti aku tahu yang telah lepas, maka tentunya aku tidak akan membawa binatang dam ini dan aku jadikannya umrah."

Ini memberi pengertian bahawa tahallul hanya perlu jika melakukan ihram umrah sahaja serta tidak pula mempunyai binatang dam. Sekiranya tahallul itu harus walaupun ada binatang dam ini tentunya Rasulullah SAW hanya akan mengatakan: “Saya jadikannya umrah dan bertahallul. Jika seseorang melakukan haji secara Tamattu’ itu mahu membawa binatang dam, maka dia boleh berihram dan membawanya."

Haji Qiran - daripada sudut bahasa, Qiran bererti mengumpul dua perkara. Istilah syarak pula menggabungkan antara ihram haji dan ihram umrah dalam satu perjalanan.

Ia berlaku dengan seseorang itu berniat untuk umrah dan haji sekali gus di miqat, sama ada ia secara hakiki iaitu dengan niat yang merangkumi kedua ibadah tersebut ataupun secara hukmi seperti pendapat ulama Hanafi dengan cara berihram umrah dahulu kemudian sebelum melakukan tawaf separuh atau lebih, dia berniat pula melakukan haji. Bentuk ini tiada dalam pendapat ulama lain. Bagi ulama Hanafi, dengan cara demikian, penggabungan itu telah terlaksana.

Bagi ulama jumhur pula seorang itu sah melakukan Qiran dengan cara sebaliknya, iaitu berihram untuk ibadah haji dahulu, kemudian menggabungkan umrah dengannya. Cara ini dianggap makruh oleh ulama Hanafi.

Mengikut jumhur, jika hendak digabungkan haji kepada umrah, maka hendaklah dilakukan sebelum seseorang itu memulakan tawaf umrahnya. Sekiranya pekerjaan tawafnya telah bermula, walaupun selangkah maka tidak lagi harus digabungkan haji dengannya.

Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberi kefahaman berkenaan permasalahan haji dan beberapa isu berkaitan dengannya.

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim). Utusan/Bicara_Agama/20140704

Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca

SETIAP 17 Ramadan kita sentiasa memperingati peristiwa Nuzul Quran atau turunnya al-Quran. Al-Quran merupakan mukjizat paling agung Nabi Muhammad SAW. Proses turunnya al-Quran yang mengambil masa 22 tahun dua bulan dan 22 hari memberi pengajaran penting kepada kita bahawa Allah tidak serta-merta menerapkan syariah kepada umat Islam.

Turunnya al-Quran secara berperingkat-peringkat ini tersirat dua makna watak al-Quran. Pertama, bermakna naqliah (transendental). Ia bermakna, turunnya al-Quran merupakan manifestasi kepada kuasa nilai-nilai Illahiah yang tak terjangkau oleh akal manusia. Ini bermakna, al-Quran sama ada dalam bentuk, isi atau segala keistimewaannya tidak akan pernah dapat ditandingi oleh kemampuan akal dan pemikiran manusia.

Kadangkala, manusia cuba berfikir ‘nakal’ dengan mengatakan betulkah al-Quran diturunkan daripada alam loh mahfuz ke bumi secara tiba-tiba dengan segulung lembaran sahifah dan Nabi tinggal membacanya? Betulkah ayat-ayat al-Quran diturunkan oleh suara-suara asing yang kemudian Nabi cuba mendengarnya secara inderawi sahaja bagaikan kapal terbang yang hendak mendarat di lapangan terbang?

Tentu sahaja pemikiran ini lebih kepada pemikiran secara simbolik dan materialistik. Ia mengabaikan dimensi rububiyah (ketuhanan) dan nubuwwah (kenabian) yang menjadi ciri utama proses turunnya al-Quran. Oleh itu, Allah mengisyaratkan: "Dan tidak layak Allah berbicara dengan seorang manusia pun kecuali dengan perantaraan wahyu, di belakang tabir, atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu utusan itu mewahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang Dia kehendaki." (Surah Asy-Syura: 51)

Ia membawa makna bahawa meskipun al-Quran diturunkan sebagai jawapan kepada keadaan-keadaan yang khusus, akan tetapi prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya merentasi ruang dan waktu. Lantaran itu, al-Quran sentiasa menjadi acuan dan pegangan utama umat manusia di mana sahaja dan sampai bila-bila.

Oleh itu, penting kiranya bagi umat Islam untuk tidak hanya membaca al-Quran sebagai sebuah kebiasaan, melainkan menjadikan al-Quran untuk dihayati, difahami dan diamalkan segala perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya.

Bagi mengamalkan al-Quran secara praktikal dalam dunia nyata, pujangga Islam terkemuka Muhammad Iqbal pernah memberi petua mudah dengan mengatakan, "Bacalah al-Quran seolah-olah ia diturunkan kepadamu".

Jika saranan ini dihayati dan diamalkan oleh setiap orang Islam, nescaya al-Quran akan menjadi petunjuk yang sesungguhnya dalam kehidupan ini.

Agama Islam menjadi agama yang menekankan pentingnya penghayatan dan kesedaran umatnya berbanding memaksa menjalankan ritual keagamaan tanpa disertai pemahaman yang secukupnya terhadap pesanan kandungan al-Quran dan sunah Nabi.

Kita jangan terperangkap dengan retorik dan slogan indah tetapi pada masa sama mengalami kekosongan nilai-nilai kandungan al-Quran dan sunah itu sendiri. Adakalanya kita sibuk dengan ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa Isnin-Khamis, menyokong kehidupan Islamik, akan tetapi pada masa sama melanggar dan menyeleweng prinsip dan kandungan al-Quran seperti taksub kepada parti politik dan pemimpin, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, kuku besi, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain.

Islam jangan dijadikan sebagai topeng untuk menyesatkan dan menghakimi orang Islam lain.

Slogan kembali ke al-Quran dan sunnah sepatutnya dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab, aliran keagamaan dan corak ibadah. Bukan menjadi ejen kepada perpecahan umat Islam.

Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah dan beragam ekspresi keagamaan umat Islam. Selain sebagai iktibar daripada peristiwa dan kisah Nabi sebelumnya, proses turunnya al-Quran adalah respon dan jawapan kepada persoalan dan isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Ayat-ayat al-Quran diturunkan oleh Allah dimaksudkan untuk memberi hidayah kepada umat manusia agar mahu mengambil hikmah daripada semua kejadian.

Kita mengingati hari turunnya al-Quran (Nuzul Quran) sebagai asas kita membina landasan yang benar, betul dan jelas. Turunnya al-Quran turut membawa pandangan-pandangan baharu manusia terhadap alam semesta, darjat dan martabat insan, proses kemanusiaan, tatacara hidup dan berbudaya, jalinan sebagai seorang individu, keluarga, masyarakat dan bernegara. Menerusi al-Quran kita diberikan pedoman dan selagi kita memahami, mengamalkan apa yang disarankan, kita akan terus tabah menghadapi ujian.

Menerusi kandungan al-Quran, kita membina keyakinan hidup dengan beriktikad bahawa Allah SWT adalah kekasih yang abadi dan kebesaran-Nya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa yang dilahirkan oleh makhluk.

Menerusi al-Quran juga kita mengenali jagat raya dengan lebih baik dan semakin kita memahaminya, maka semakin yakin kita akan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.

Sebagai hamba Allah, setiap dengus nafas adalah keberkatan-Nya yang diberikan tanpa meminta untuk dibalas. Sebagai manusia yang beradab dan beradat, tentunya setiap pemberian walaupun kecil perlu disusuli dengan ucapan terima kasih.

Dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud; (Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Oleh sebab itulah, orang yang beriman sanggup berjaga sepanjang malam bagi mendapatkan Lailatulqadar. Meskipun sering gagal dalam percubaan, umat Islam tidak pernah rasa kecewa. Mereka akan terus mencuba kerana yakin malam itu akan datang juga dalam kehidupannya.

* Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa Dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan/Rencana/20140704

Relevankah peranan institusi zakat kepada OKU?

PENDEDAHAN mengenai isu seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU), adik Muhammad Firdaus Dullah oleh media massa telah mendapat perhatian ramai. Ia menzahirkan rasa marah, geram dan keliru masyarakat dengan apa yang terjadi.

Sebelum ini kita mungkin sudah biasa dengan pendedahan kes penderaan kanak-kanak, namun kali ini ia agak berbeza. Kes ini agak unik memandangkan ia melibatkan ibu dan anak kandung. Sudah puas penulis cuba bersangka baik dalam hal ini namun akhirnya setelah pendedahan demi pendedahan dilakukan, perasaan itu tidak mampu dipertahankan lagi.

Setelah pendedahan ini dilakukan, ramai pihak cuba menuding jari kepada agensi-agensi dan badan-badan tertentu tentang peranan mereka untuk membela golongan teraniaya ini. Pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan institusi zakat merupakan antara yang mendapat kritikan hebat.

Namun, selang beberapa hari selepas peranan JKM diperlekehkan, muncul wakilnya yang bertindak mempertahankan agensi mereka. Setidak-tidaknya masyarakat digesa hadir sendiri ke pejabat JKM bagi mengetahui aktiviti yang telah mereka lakukan.

Anehnya, sepanjang pembacaan penulis, tiada seorang pun wakil daripada institusi zakat di seluruh negara bangun mempertahankan institusi mereka. Ini menyebabkan masyarakat tertanya-tanya apakah peranan institusi zakat dalam hal ini.

Antara persoalan yang timbul, adakah benar institusi zakat gagal memainkan peranan mereka? Adakah benar dakwaan mengenai pegawai-pegawai zakat hanya berpeluk tubuh duduk di kerusi empuk pejabat yang dilengkapi hawa dingin tanpa turun padang mencari asnaf untuk dibantu?

Penulis percaya dan yakin banyak kejayaan telah dicapai oleh institusi zakat. Masyarakat tidak boleh menafikan hal ini. Dengan kutipan yang mencecah lebih RM1 bilion setiap tahun, tentu banyak manfaat telah diperolehi oleh golongan asnaf yang memerlukan.

Berjuta-juta ringgit diberikan melalui program-program yang telah dilaksanakan dalam membantu golongan asnaf. Bentuk-bentuk agihan juga telah ditransformasi dalam memastikan bantuan yang diberikan mampu mengubah taraf hidup asnaf. Mudah-mudahan suatu hari nanti mereka akan keluar daripada menjadi asnaf zakat kepada menjadi pembayar zakat.

Dakwaan pegawai zakat tidak turun padang adalah sesuatu yang silap. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis bersama rakan-rakan di beberapa buah institusi zakat, penulis berani mengatakan bahawa mereka sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk masyarakat. Banyak sudah program turun padang yang dilakukan.

Sebagai contoh, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) pernah menganjurkan program konvoi kembara zakat bagi memberikan bantuan secara terus kepada asnaf dengan membuat kunjungan ke rumah mereka. Antara bentuk bantuan yang diberikan adalah bantuan perubatan, barang keperluan harian, kerusi roda serta katil untuk kegunaan asnaf yang memerlukan. Konvoi tersebut bukan sahaja disertai oleh pusat zakat malah turut bersama-sama mereka adalah baitulmal negeri dan pusat kaunseling.

Selain itu, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri-Negeri telah mengadakan Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan di seluruh negara pada tahun lepas. Antara institusi zakat yang mengambil bahagian ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Pusat Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Johor.

Penganjuran konvoi tersebut bertujuan menghebahkan aktiviti agihan zakat kepada masyarakat. Dengan itu, ukhuwah antara institusi zakat dan para asnaf zakat juga dapat dipupuk dan diperkukuhkan.

Penulis juga mengkagumi usaha pegawai-pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang sanggup mengayuh basikal mengelilingi seluruh negeri bagi menyalurkan bantuan zakat.

Dalam program kayuhan basikal tersebut, pegawai-pegawai zakat membawa bantuan bersama-sama mereka dan terus memberikan bantuan tersebut apabila mereka bertemu asnaf di kampung-kampung atau taman-taman perumahan.

Usaha-usaha ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa institusi-institusi zakat telah turun padang bagi menjejaki asnaf. Usaha ini juga menunjukkan mereka sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pada bila-bila masa.

Walau bagaimanapun, di sebalik usaha yang dijalankan ini, penulis berpandangan masih ada ruang kelemahan yang boleh diperbaiki. Institusi zakat disaran perlu lebih proaktif dalam mendepani isu semasa masyarakat.

Sebagai contoh, takrifan semula asnaf zakat bagi orang OKU perlu dilakukan. Pada masa ini, OKU bukanlah tergolong sebagai asnaf zakat kecuali sekiranya mereka tergolong sebagai fakir miskin. Jika takrifan baharu golongan asnaf ‘riqab’ sebagai golongan yang terperangkap dalam isu sosial boleh dilaksanakan, mengapa tidak bagi golongan OKU?

Institusi zakat juga boleh mewujudkan pusat jagaan khas untuk golongan ini. Penulis dimaklumkan ada gereja dan NGO Kristian yang menyediakan pusat penjagaan dan perlindungan untuk golongan OKU di negara kita. Justeru, sudah pasti ramai pembayar zakat di luar sana menginginkan langkah yang sama dituruti dan dijuarai oleh institusi zakat.

Sebagai kesimpulannya, isu OKU adalah isu nasional yang wajar diberikan perhatian oleh semua pihak. Isu ini janganlah hanya sekadar bermusim. Ia perlu sentiasa diberi perhatian serius.

Bagi institusi zakat, ingatlah bahawa masyarakat menyanjung tinggi usaha yang telah dilakukan. Namun, adalah menjadi harapan agar institusi ini menjadi lebih proaktif. Semoga masalah ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140704

Kualiti dan kuantiti ibadah perlu seiring

HARI ini terdapat ramai dalam kalangan kita yang berpuasa dengan begitu tekun dan taat pada bulan Ramadan al-Mubarak. Pendek kata dalam bab berpuasa memang semua syarat dipenuhi dengan jayanya bermula Imsak hingga ke Maghrib.

Namun malangnya ada segelintir yang gagah berpuasa namun dalam bab solat wajib dan sunat langsung dipandang sepi. Ini yang menjadikan pahala puasa dianggap sebagai mendapat lapar dan dahaga sahaja tanpa ganjaran pahala.

Selain berpuasa, ada juga yang terlalu khusyuk bersolat sunat tarawih namun pada bab solat wajib seperti Zuhur, Asar dan Maghrib dibuat ala kadar dengan alasan penat, lapar dan kelam-kabut untuk berbuka pelbagai juadah penuh semeja.

Kesilapan dalam beribadah ini perlu diperbetulkan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kualiti amalan kita tidak ada nilai di sisi Allah SWT malah boleh menjerumus kita kepada membuat dosa.


Orang ramai yang hadir untuk berbuka puasa di Festival Ramadan 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Saban tahun apabila bulan puasa tiba memang ramai yang berazam untuk membuat ibadat sebanyak yang mungkin seperti solat tarawih. Ibadah tersebut yang paling popular selain menunaikan zakat fitrah.

Isu sama ada menunaikan 11 rakaat atau 21 rakaat lebih afdal masih menjadi perbalahan dalam kalangan ummah. Seharusnya kita ambil jalan tengah, jika ingin pahala diraih dalam kuantiti yang besar maka buatlah solat tarawih berjemaah sebanyak 21 rakaat. Tidak perlu ia dijadikan polemik setiap kali Ramadan tiba. Bersolatlah dengan khusyuk kerana tidak guna solat dengan kadar kelajuan ekspres hingga roh rehat dalam tarawih menjadi bebanan fizikal pula.

Dalam bab berpuasa pula, seharusnya umat Islam menunaikan ibadah dengan berkualiti iaitu menepati rukun dalam ibadah tersebut. Tetapkan niat berpuasa sebelum tidur dan niat melewatkan sahur hingga menjelang subuh. Hafal niat berpuasa esok hari di hujung lidah dengan lancar dan bukannya apabila bulan puasa menjelma baru hendak belajar niat berpuasa di dalam blog dan laman sosial kerana malu bertanya kepada rakan dan taulan.

Tahun ini bulan Ramadan diiringi dengan Piala Dunia di Brazil yang mungkin menyebabkan kualiti dan kuantiti ibadah semakin berkurangan. Seharusnya kita bijak mengatur ibadah dan riadah kerana Allah SWT telah mengurniakan kepada kita 24 jam sehari untuk kita mengatur perjalanan hidup.

Jika ada perlawanan bolasepak di televisyen pada pukul 12 malam, lakukan tadarus al-Quran sebelum waktu itu di surau mahupun masjid. Selepas habis perlawanan pada pukul 2 pagi tidurlah sekejap sebelum disambung dengan munajat di sepertiga malam. Jika perlu tidur kembali sebelum sahur tidurlah kerana rugi tidak beribadat pada bulan yang dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.

Kita sebagai umat Islam di Malaysia patut memanjat rasa syukur kerana umat Islam yang berpuasa di luar negara ada yang berpuasa sampai 20 jam seperti di Rusia dan Finland. Bayangkan berbuka pada pukul 1 pagi dan mula berpuasa pada pukul 5 pagi. Kita di Malaysia hanya berpuasa kira-kira 14 jam itupun masih ada yang ditangkap kerana curi-curi makan dan terpaksa menaiki van jenazah sebagai kenderaan ke jabatan agama untuk direkod kenyataan.

Dengan anugerah tuhan kepada negara kita dengan tempoh malam dan siang hampir seimbang seharusnya kita tidak terus cincai dalam menunaikan ibadah puasa dengan berkualiti.

Berpuasalah tanpa meninggalkan tiang agama iaitu solat lima waktu sehari semalam. Jika bertarawih buatlah sama ada 11 mahupun 21 rakaat dengan rukun solat yang ditetapkan, kerana sebarang salah bacaan dan rasa khusyuk yang berbaur dengan ingatan terhadap Piala Dunia maka sia-sialah ibadah Ramadan kita.

Dalam menempuh ‘perjalanan’ Ramadan yang berbaki kurang 27 hari ini lakukan segala ibadah dari puasa, solat wajib, solat sunat tarawih, solat witir, membayar zakat di awal Ramadan, bersedekah dan lain-lain dengan istiqamah dan jauh dari perbuatan yang menyakitkan hati orang lain terutama di jalan raya ketika pulang kerja mahupun pergi balik bazar Ramadan.

Puasa menguji iman dan kesabaran kita maka bersabarlah dan lakukan ibadah dengan penuh keimanan di dada.

Jika kita mahu melakukan sebanyak mungkin ibadah lakukan dengan betul dan tawaduk. Biarlah kuantiti seiring dengan kualiti kerana tidak guna banyak beribadah tetapi banyak yang salah lalu mengundang padah kerana berdosa. Berpuasalah dan kerjakan solat dan tunaikan zakat. ABDUL RAZAK IDRIS Utusan/Rencana/20140704

Puasa membangun jiwa yang bertakwa

SIYAM atau puasa di bulan Ramadan mempunyai kaitan rapat dengan tazkiyyah an nafs atau mendidik diri. Seperti terungkap dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 183 menyatakan amalan berpuasa ini dilakukan seperti orang terdahulu moga-moga kita menjadi orang yang muttaqeen (bertakwa).

Konsep muttaqeen ini adalah kunci kekuatan seseorang ahli ibadah. Ia terhubung dengan keinsafan Allah itu adalah pencipta, mengurus atas segala dan insaf-ketuhanan (God-Conciousness) menjadikan seseorang itu Muslim dan mukmin.

Seorang Muslim yang mukmin mempunyai keyakinan tinggi terhadap Allah dengan menjadikan-Nya sumber utama untuk melakukan apa saja dalam hidup ini. Allah menjadi tempat bergantung. Allah menjadi puncak penyerahan diri dan daripada-Nya diyakini ketentuan akan segala dalam hidup ini.

Sebab itu orang bertakwa mempunyai martabat keinsanan (karamah insaniah) yang tinggi seperti dinyatakan dalam surah al Hujurat ayat 13 yang membawa maksud; Jiwa taqwa ini menjadi indikator seorang mukmin yang rapat ikatannya dengan Allah.

Apabila puasa yang dilalui kita sentiasa insaf bahawa kawalan diri adalah sangat penting. Percakapan kita, penglihatan kita, pendengaran kita, perbuatan kita, penulisan kita, amal ibadah kita dilakukan dengan keinsafan Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui.

Daripadanya lahir sifat jujur, amanah, telus dan tulus terhadap sesuatu. Sifat ini penting bagi seseorang yang beriman kerana ia bakal menjadi contoh, teladan dan ikutan kepada orang lain. Asas yang sangat penting dalam membina masyarakat apalagi kepimpinan.

Umat Islam memerlukan darjah kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi. Mereka tidak boleh gelojoh dan gopoh dalam meleraikan sesuatu masalah. Kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi dituntut dalam menyatakan kebenaran atau pun hak. Al-Quran memberi pedoman, watawa saubil haq, watawa saubis sabr.

Kepimpinan Islam sewajarnya menjadi kepimpinan contoh. Kerenah pengikut adalah pelbagai. Dengan keyakinan terhadap Allah, pemimpin akan sentiasa berpedoman dalam menghadapi kerenah dan maslahah. Tanpa pedoman daripada al-Quran dan sunah dibimbangi penyimpangan dan kesesatan boleh berlaku.

Orang yang muttaqeen memiliki watak contoh dan teladan. Keindahan Islam terlihat pada watak-watak ini. Orang yang muttaqeen mempunyai kualiti kesabaran yang tinggi. Kalau ia seorang dai’ atau pendakwah, sifat kasih sayang dan belas kasihan sentiasa ada padanya.

Berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya mengembalikan kita kepada fitrah diri. Allah mengurniakan kita akal, hati dan daya supaya kelaparan yang dirasai mendidik kita menjadi sabar. Kekangan untuk melakukan kemungkaran menjadikan kita terbiasa dengan yang makruf dan kebaikan.

Sebulan kita berpuasa adalah madrasah yang melatih diri kita menginsafi banyak perkara dalam hidup ini. Dalam hidup ini kita berdepan dengan golongan miskin dan anak yatim yang mengharap ihsan daripada kita. Sedekah menjadi amal yang baik menyantuni mereka.

Hari-hari biasa kita menghadapi cabaran hawa nafsu yang berbagai-bagai. Puasa melatih diri kita mengenal yang baik dengan yang buruk dan dengannya menjadikan kita lebih cermat dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu kerana ia terhubung dengan dosa-pahala.

Rasa berpahala amat penting dimiliki oleh setiap umat Islam. Ia mendorong kita melakukan kebaikan dan menghindarkan diri daripada kemungkaran dan kesafadan. Dalam diri kita lahir sifat ingin membuat kebajikan sebanyak-banyaknya. Hikmah daripadanya memberi manfaat kepada orang lain.

Salah satu penyakit hati yang sering ada pada diri manusia ialah sifat sombong dan ego. Allah mewajibkan kita melakukan ibadah supaya ada rasa tawaduk yang tinggi.

Puasa yang kita lalui memberi erti kepada kita makna kelaparan dan mengekang hawa nafsu. Kelaparan membawa kita insaf bahawa golongan yang tidak berada perlu dibantu. Ia meningkatkan kualiti kemanusiaan seseorang. Kekangan terhadap diri melatih manusia sentiasa berada dalam keadaan makruf.

Inilah tarbiyyah rohiyyah yang amat penting dilalui para ahli ibadah supaya sebelas bulan yang bakal dilalui menjadikan sebulan Ramadan bekal yang baik untuk bertahan. Sifat ibadah yang dilakukan berulang-ulang membolehkan manusia memiliki kekebalan dan kalis dosa. Inilah gambaran orang yang muttaqeen. Utusan/Rencana/20140704

Agenda pemusnahan syariah Islam

ISLAM adalah agama yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada manusia dan seluruh alam. Islam bukan ideologi hasil pemikiran ahli-ahli falsafah seperti mana wujud dalam pengajaran agama tertentu.

Setiap perkara berkaitan ilmu wahyu perlu dirujuk kepada sumber yang asli dan terpelihara sejak wahyu diturunkan sehingga hari kiamat. Kejahilan terhadap disiplin ilmu wahyu dan prinsip pengajaran Islam adalah faktor utama yang menyebabkan umat Islam yang berfikiran liberal begitu berani mempersoalkan kesahihan dan ketulenan ajaran Islam.

Wahyu merupakan satu ilmu metafizik yang tidak mungkin dapat dijangkau oleh pemikiran manusia yang terlalu terhad. Keegoan dan keangkuhan manusia terhadap kepintaran akal yang berdasarkan kepada logik dan pengamatan pancaindera persekitaran ilmu duniawi menyebabkan mereka terlalu ghairah mempersoalkan perkara berkaitan rukun dan prinsip ajaran Islam.

Islam bukan agama yang berdasarkan doktrin yang hanya membicarakan konsep ketuhanan seperti mana agama lain. Islam adalah agama yang membicarakan konsep ketauhidan Ilahi, perundangan dan akhlak. Tanpa perutusan para Nabi dan Rasul maka manusia akan terumbang-ambing mencari siapakah Tuhan yang sebenar dan apakah hakikat kehidupan di dunia ini.

Akal pemikiran manusia yang terlalu terbatas tidak mungkin dapat menyelami dan memahami intisari wahyu Ilahi yang terlalu luas bidang ilmunya merangkumi alam nyata dan alam ghaib.

Jika manusia tidak mempercayai ke semua Rukun Islam dan Rukun Iman maka tidak mungkin mereka dapat memahami asas dan prinsip pengajaran Islam.

Penafian perutusan Nabi Muhammad SAW oleh individu Muslim boleh menyebabkan individu tersebut terkeluar daripada agama Islam.

Intisari pengajaran al-Quran tidak mungkin dapat difahami jika tidak dijelaskan oleh Nabi Muhammad. Penafian terhadap kewibawaan Nabi Muhammad adalah satu perkara yang tidak boleh diterima oleh akal manusia yang logik. Persoalannya, bagaimanakah al-Quran itu diturunkan dan siapakah yang dipilih oleh Allah menerima wahyu-Nya?

Kesemua agama Samawi termasuk Islam, Yahudi dan Kristian mempercayai bahawa wahyu diturunkan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul.

Penganut agama Yahudi dan Kristian terkeluar daripada golongan Islam adalah akibat penafian mereka terhadap kenabian Nabi Muhammad. Sedangkan mereka mempercayai kesemua para Nabi dan Rasul sebelum Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad tidak boleh disamakan dengan manusia biasa. Perutusan Nabi Muhammad sebagai Rasul dan Nabi terakhir zaman telah diperjelaskan oleh Allah dalam kitab suci umat sebelumnya tetapi perkara ini dipadamkan oleh para ulama Yahudi dan Kristian.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran Surah 61 (al-Saff): 6 yang bermaksud: " Dan (ingatlah) ketika Isa putra Maryam berkata, ‘Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada mu, membenarkan kitab (yang lurus) sebelum ku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan datangnya seorang Rasul yang akan datang sesudah ku) yang namanya Ahmad (Muhammad)’.

Maka tatkala Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, ‘Ini adalah sihir yang nyata".

Sikap manusia ingkar dan terlalu mendewakan keintelektualan dan keegoan diri merupakan faktor utama kepada penafian kesucian Nabi Muhammad dan pengajarannya. Nabi Muhammad membicarakan sesuatu berdasarkan kepada wahyu Ilahi atau panduan daripada Allah.

Setiap intisari pengajarannya adalah daripada Allah bukan berdasarkan hawa nafsu atau akal fikirannya seperti didakwa oleh orang ketika zaman baginda dan individu-individu Islam yang berfikiran liberal dan sosialis masa kini.

Setiap gerak-geri dan ucapan para nabi dan Rasul adalah dalam pengawasan Allah. Setiap ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui Jibril dikawal ketat oleh beribu orang malaikat supaya syaitan tidak dapat memperdayakan Nabi Muhammad dengan menyamar diri sebagai Jibril.

Ketulenan al-Quran dan kewibawaan Nabi Muhammad sama ada dalam perkataan atau tindakan adalah panduan dan pedoman kepada umat Islam.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah 33 (al-Ahzab): 40 yang bermaksud: "Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa salah seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup para Nabi".

Sikap gemar mempersoalkan kewibawaan Nabi Muhammad adalah salah satu tabiat orang kafir ketika para utusan Allah menyampaikan wahyu kepada mereka. Suasana begini juga berlaku ketika ini dalam kalangan segelintir umat Islam yang tidak memahami konsep dan prinsip Rukun Islam dan Rukun Iman yang merupakan asas penting kepada akidah Islam.

Golongan ini cuba menafikan kewibawaan Nabi Muhammad kerana perundangan atau syariah yang dilaksanakan oleh Rasulullah bertentangan dengan pemikiran dan hati nurani mereka.

Penafian terhadap kewibawaan Nabi Muhammad adalah satu agenda untuk menghapuskan perundangan Islam terutamanya berkaitan dengan perundangan peribadi. Islam adalah agama yang menyebarkan keamanan. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Jika seseorang individu itu tidak boleh menerima ajaran Islam maka beliau boleh membuat pilihan untuk mempercayainya atau pun tidak tanpa membuat sebarang propaganda dan menghasut umat Islam yang lain menolak perundangan Islam.

Sikap gemar mengkritik dan mempengaruhi umat Islam menafikan kewibawaan Nabi Muhammad adalah ciri-ciri golongan munafik yang dikutuk oleh Allah SWT.

Allah amat murka terhadap golongan yang menafikan kewibawaan Nabi Muhammad seperti mana dijelaskan oleh al-Quran dalam Surah 69 (al-Haaqqah): 39-48 yang bermaksud, "Sesungguhnya al-Quran itu adalah benar-benar wahyu (Allah yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia. Dan al-Quran itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya. Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran daripadanya.

Ia adalah wahyu yang diturunkan daripada Tuhan semesta alam. Seandainya dia (Muhammad) mengada-ngadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya Kami pegang dia pada tangan kanannya.

Kemudian pasti Kami potong urat tali jantungnya. Maka tidak seorang pun daripada kamu yang dapat menghalangi (Kami), daripada pemotong urat nadi itu. Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar suatu pelajaran bagi orang yang bertakwa".

Berdasarkan kepada penjelasan ayat al-Quran tersebut maka umat Islam sepatutnya memahami bahawa penafian terhadap kewibawaan Nabi Muhammad mempunyai persamaan dengan penafian al-Quran.

Jika perkara ini wujud dalam minda dan hati nurani individu Islam maka gugurlah akidahnya dan dia tidak termasuk dalam golongan orang Islam. Oleh itu awasilah propaganda yang disebarkan oleh golongan ini.

* PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Utusan/Rencana/20140704