July 8th, 2014

Tazkirah Ramadan: Ramadan bulan jana motivasi

Setiap detik dalam kehidupan harian dikira ibadah

Ucapkan syukur kepada Allah SWT kerana masih memilih kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan yang berkat ini. Pasti diari Ramadan seorang Muslim sudah sarat dengan pelbagai agenda yang memberi vitamin kepada jiwa dan rohnya.

Sesungguhnya puasa, solat tarawih, qiamullail, sedekah, iktikaf, membaca al-Quran dan sebagainya yang diisi dalam Ramadan sudah cukup menandakan bulan ini bulan pesta ibadah. Apatah lagi bulan Ramadan bulan bonus yang dilipatgandakan pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan kebaikan akan diberikan pahala fardu, manakala sesiapa yang melakukan amalan fardu akan digandakan 70 kali ganda pahala.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Pahala ibadah Ramadan hak Allah

Biarpun hadis ini bertaraf daif, namun ia tetap diharuskan berpegang hanya untuk beramal. Walaupun begitu, hakikatnya pahala ibadah pada Ramadan ini hak prerogatif Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan manusia itu untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjarannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bagi jiwa yang merindukan ‘pandangan’ Allah SWT, pasti sanggup mengetepikan segala susah payah untuk memburunya. Sanggup berjaga malam, masa tidak dibiarkan bersisa dengan aktiviti sia-sia dan sebagainya. Inilah peluang untuk beramal, biarpun sedikit, namun ganjarannya besar daripada Allah SWT.

Jika umur umat terdahulu beratus dan beribu tahun, tetapi mengapa umur umat Nabi Muhammad hanya sekitar 60 sehingga 70 tahun? Ini yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW: “Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih daripada itu.” (Riwayat al-Tirmizi).

Umur yang pendek ini jika dibandingkan dengan umat terdahulu besar hikmahnya. Apa tidaknya, tujuan umur ‘dipendekkan’ ini daripada rahmat Allah SWT. Antaranya, dosa dilakukan lebih minimum berbanding umat terdahulu.

Istimewanya, Allah SWT memaksimumkan pahala umat Nabi Muhammad SAW melalui tawaran ibadah yang lumayan. Antara tawarannya ialah bulan Ramadan dan bonusnya Lailatulqadar, malam seribu bulan.

Bukan itu saja, Allah SWT tidak menilai ibadah hanya pada amalan keagamaan, tetapi segala pekerjaan dan amalan kebaikan dilakukan turut dikira sebagai ibadah di sisi Allah SWT. Sebab itu, jika dilihat kepada amalan Rasulullah, sahabat dan salafussoleh, Ramadan menjadikan mereka lebih luar biasa daripada biasa.

Peristiwa besar dahulu menjadi saksi mereka kepada kita antaranya peperangan Badar, peperangan Khandak, perang Tabuk dan pembukaan kota Makkah, semuanya berlaku pada bulan Ramadan.

Bukan itu saja, penaklukan Andalus (Tariq bin Ziyad mengalahkan Raja Frederick), peperangan Salib (tentera pimpinan Salahuddin al-Ayubi mengalahkan tentera salib), penawanan garis Bar Lev (kubu kebanggaan Zionis Israel), pembebasan Sinai dan peperangan Ain Jalut (tentera Muslimin mengalahkan tentera Mongul) juga turut berlaku dalam bulan Ramadan.

Skop ibadah luas

Jika diikutkan, boleh saja Ramadan menjadi alasan mereka tidak pergi berjihad, namun disebabkan Ramadan bulan ibadah dan skop ibadah itu luas maksudnya, bersungguh-sungguh mereka menyarung baju perang dan turun ke medan juang serta melakukannya sehingga berjaya.

Begitu juga dengan masa kini. Bayangkan tujuh hingga lapan jam kita bekerja sama ada di pejabat atau di mana-mana, setiap detik waktu itu dikira dan dinilai Allah SWT sebagai ibadah.

Jika sudah dikira sebagai ibadah, bekerjalah dengan bersungguh-sungguh. Biarpun gaji dibayar mungkin tidak setimpal dengan usaha kita, tetapi percayalah ‘bayaran’ pahala di sisi Allah SWT itu lebih menguntungkan.

Andainya Ramadan ini menjadi penghalang kepada umat Islam menjadi lebih berdaya saing dan bersungguh-sungguh, itu tanda maksud Ramadan sudah tersasar daripada maksud sebenarnya.

Hakikatnya, Ramadan ialah bulan umat Islam menjadi lebih bermotivasi dan produktif, bukan bulan bermalasan dan mencari alasan. Inilah istimewanya Ramadan. Berita Harian Agama 2014/07/07 - 03:45:48 AM Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman

Belum ada bukti patin makan bangkai babi

Ipoh: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) masih belum menerima laporan berhubung dakwaan sebuah kolam ikan patin, di Batu Gajah, yang dikatakan menggunakan bangkai babi sebagai makanan ikan yang diternak di situ.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata hingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai isu terbabit daripada mana-mana pihak.

“Justeru, orang ramai khususnya pemilik laman media sosial diharap tidak menyebarkan isu berkenaan selagi tiada sebarang bukti sahih,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dakwaan penggunaan bangkai dan usus babi sebagai makanan ikan patin yang diternak secara komersial di kolam itu tersebar secara meluas sejak semalam terutama di laman media sosial Facebook dan blog tempatan.

Kolam berkenaan dikatakan pecah hingga menyebabkan permukaan dasar kolam kering sehingga menampakkan timbunan kepala dan tulang haiwan yang didakwa sebagai rangka babi. Berita Harian Skuad 2014/07/08 - 04:28:45 AM

Ramadan indikator perubahan diri

DIRI yang fitrah adalah diri yang berubah. Daripada status tidak baik menjadi baik dan daripada status baik meningkat menjadi lebih baik. Perubahan tidak saja pada pemikiran tetapi juga pada hati dan amalan. Justeru kurikulum di madrasah Ramadan mencakupi tidak saja aktiviti yang menguji ketahanan dan kawalan hawa nafsu tetapi dalam masa sama membentuk keinsafan pentingnya diri berada dalam keadaan fitrah.

Nafsu manusia adalah ibarat kuda liar. Ia perlu dijinakkan dengan dengan latihan dan kekangan. Berlapar sepanjang siang adalah latihan penjinakan dan kekangan daripada melakukan kemungkaran dan kefasadan menjadikan kepatuhan dan ketaatan terjadi.

Melakukan solat tarawih adalah gambaran jiwa jemaah yang tinggi di samping mendidik hati membangun jiwa rukuk dan sujud supaya rasa kehambaan menjadi lebih kuat. Jiwa kehambaan yang kuat menjadikan ahli ibadah memiliki rasa taat, patuh, akur dan tunduk kepada suruhan dan larangan Allah.

Mendekatkan diri dengan al-Quran dengan melakukan tadarus ibarat mencari suluh daripada Allah supaya ada barakah yang diberi dan petunjuk daripada-Nya. Al-Quran adalah hudan linnas dan hudan lilmuttaqeen. Setiap kalimah yang dibaca ada fadilat dan pahala yang diberi dan memahami apa yang dibaca memandu kehidupan yang lebih murni.

Zakat, fitrah dan sedekah yang diberi adalah lambang keinsafan ahli ibadah mengenai nilai kemanusiaan terhadap golongan miskin dan fakir. Ia mengikis sifat bakhil yang selalu ada pada manusia menginsafi bahawa rezeki yang diberi bukanlah untuk kita segalanya tetapi juga untuk orang lain.

Ibarat seekor ikan yang dibeli di pasar bukan semuanya untuk kita. Sisik dan perutnya diasingkan untuk rezeki kucing, semut dan lipas. Dimasak ikan itu tidak semua dimakan oleh manusia. Tulang-temulangnya adalah rezeki makhluk lain. Betapa kekuasaan Allah menjamin rezeki makhluk lain dalam kehidupan ini.

Di hujung Ramadan, manusia mukmin dianugerahkan malam Lailatul Qadar. Meski tidak semua orang boleh menerimanya tetapi ianya adalah dorongan untuk kita melakukan yang terbaik dalam ibadah dan binaan diri.

Ini kita lakukan dengan niat yang ikhlas bahawa Lailatul Qadar adalah anugerah keampunan, rahmah dan nikmat besar yang menjadi harapan setiap ahli ibadah yang beriman.

Memenuhi kurikulum Ramadan ini adalah indikator atau ukuran yang amat bermakna bagi manusia. Para abid diuji supaya mengawal pemikiran, hati dan emosi serta amal supaya ianya menjadi tabiat dan pekerti.

Sekiranya ketahanan dan kekangan serta ujian mampu dilalui dengan niat yang ikhlas, ahli ibadah akan menerima indikator bahawa kita akan kembali kepada fitrah diri.

Kalau dulu kita ini seorang yang ego dan sombong melalui madrasah Ramadan ini timbul keinsafan bahawa kehebatan manusia di sisi Allah diukur dengan jiwa takwa yang tinggi. Sesama manusia harus ada rasa persaudaraan dan kasih sayang supaya Allah meredai amal kita ini.

Kalau dulu kita memiliki nafsu serakah, baran dan selalu hilang pertimbangan, melalui madrasah Ramadan diharap mendidik hati menjadi orang yang sabar, bijaksana dan bertimbang rasa.

Bayangkan jika indikator ini terjadi kepada diri ibu dan ayah, anak-anak akan merasa kebahagiaan yang amat hebat kerana memiliki ibu dan ayah yang pengasih dan penyayang di samping menjadi contoh ikutan dan teladan kepada mereka.

Ditakdirkan manusia yang melalui madrasah Ramadan kembali kepada fitrah pihak lain akan merasa manfaatnya kerana selama ini perpecahan di kalangan warga umat sering terjadi, dendam kesumat acap berlaku dan rasa kebencian menjadi-jadi sehingga umat Islam tidak menjadi umat contoh.

Sebulan latihan yang dilalui cukup untuk membentuk tabiat baru yang fitrah. Kita berubah kerana Allah akibat ibadah ini kita lakukan dengan ikhlas kerana-Nya. Hikmah ibadah ini mengembalikan kita semua kepada fitrah diri yang hilang akibat keangkuhan dan kesombongan dan tidak berjiwa ibadulullah dan ibadurrahman.

Bila Aidilfitri menjelang, indikator ini kita rasai dengan dorongan untuk melakukan ziarah dan mohon keampunan silap yang lalu dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Inilah sebenarnya hikmah di sebalik jihad hawa nafsu dan tarbiyah Ramadan yang membimbing manusia memiliki kualiti manusiawi yang tinggi.   JENDELA TOK KI: Utusan/Rencana/20140708

Ramadan gilap iman, takwa

Manfaat bulan berkat dengan koleksi amalan salih untuk bekalan akhirat

Ibadah puasa yang dilaksanakan setiap Muslim sebenarnya berpaksikan matlamat untuk mencapai makam atau martabat takwa yang lebih tinggi.

Dengan lain perkataan, apabila seseorang Muslim melaksanakan ibadah puasa dalam Ramadan, ini bermakna dia sedang menyusun langkah menuju ke arah peningkatan dan pengukuhan iman yang lebih sempurna lagi mantap seolah-olah iman yang bertapak di sudut hati akan digilap dan diperkukuhkan lagi untuk menjejaki mercu tanda iman yang sebenarnya.

Pada hakikatnya, iman adalah kurniaan nikmat dan juga harta yang tiada ternilai yang dimiliki Muslim dalam kehidupan.



Malam al-Qadar antara keistimewaan bulan Ramadan.
- Gambar hiasan
Pelihara iman, elak syirik dan sifat mazmumah

Oleh itu, iman itu perlu dipelihara dan dijaga dengan sebaik mungkin agar ia tidak berlumuran dengan unsur syirik dan sifat mazmumah.

Justeru, Rasulullah sering memberi peringatan kepada umatnya yang tidak berusaha mempertingkatkan kualiti iman melalui ibadah puasa yang dilaksanakannya.

Allah menjanjikan banyak kelebihan dan keutamaan Ramadan bagi seseorang Muslim yang berusaha untuk menggilapkan imannya ke arah keyakinan dan ketakwaan yang lebih kudus dan mantap.

Untuk itu, Allah menganugerahkan setiap detik dalam bulan Ramadan akan mendapat keberkatan dan keampunan Ilahi.

Di samping itu, bulan Ramadan akan menyerlahkan kelainan dalam diri seseorang Muslim sehingga dirinya begitu mudah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Malah, seseorang Muslim semakin rajin melaksanakan amalan salih, begitu mudah bangun malam untuk solat tahajud, tadarus al-Quran, beriktikaf, semakin kerap mendampingi masjid atau surau dan sebagainya tanpa halangan mahu pun bisikan syaitan yang menggoda.

Pada bulan ini, semua pintu langit dan syurga akan dibuka seluas-luasnya, manakala pintu neraka pula akan ditutup dan dikunci rapat-rapat.

Syaitan, iblis dan koncu-koncunya dirantai dan dibelenggu agar tidak mengacau dan mengganggu umat Islam daripada mengejar kelebihan yang ditawarkan pada Ramadan.

Bagi insan yang masih dilanjutkan usia bertemu Ramadan sewajarnya memanfaatkan saki baki hidup mereka dengan menambahkan koleksi amalan salih mereka pada Ramadan ini sebagai persediaan dan bekalan sebelum menghadap Allah kelak.

Lebih-lebih lagi, pada bulan yang penuh berkat ini Allah mempermudahkan segala jalan bagi seseorang Muslim untuk menuju ke arah keredaan Ilahi, di samping mampu memaksimumkan keagungan dan kebesaran Ramadan.

Oleh itu, Ramadan bukanlah masanya menurut tuntutan hawa nafsu syahwat seperti tidur siang hari dan berehat sepanjang masa.

Sebaliknya inilah waktunya yang sesuai untuk mengekang gelojak nafsu dan seterusnya mendidiknya dengan sifat sabar dan tabah serta takwa dalam mendepani cabaran.

Puasa bengkel ketahanan diri

Puasa bertindak sebagai bengkel latihan untuk membentuk ketahanan diri iaitu memelihara nafsunya daripada melanggar batasan Allah, memelihara lidahnya dan anggota badannya yang lain daripada melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah.

Natijahnya, jiwa Muslim akan terisi dengan keluhuran pekerti, kekentalan iman dan ketakwaan yang mantap.

Inilah sebenarnya manifestasi ketakwaan yang hendak diserlahkan dan diwarnai dalam peribadi seseorang Muslim dalam kehidupannya melalui ibadah puasa Ramadan itu.

Perlu ditegaskan bahawa perhiasan takwa adalah harta yang tiada ternilai yang menjadi neraca piawaian di sisi Allah bagi seseorang Muslim sama ada dia berbahagia kelak atau dia termasuk dalam golongan yang sengsara dengan seribu penyesalan yang tiada penghujungnya.

Kewujudan malam al-Qadar

Kemuncak daripada kemuliaan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan itu ialah Allah menjanjikan kewujudan malam al-Qadar yang juga satu malam yang paling mulia dan utama di sisi Allah.

Malam al-Qadar adalah peluang keemasan terbesar yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Muslim.

Jadi, amatlah rugi dan malang jika seseorang Muslim membiarkan saja kehadiran bulan mulia itu tanpa sebarang pengisian ibadah dan amalan salih seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menemui Ramadan sedangkan dia tidak diampuni Allah, nescaya dia dijauhi dari rahmat Allah. (Hadis riwayat al-Hakim dan Tabrani). Berita Harian Agama 2014/07/08 - 03:58:45 AM Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Had adab bergurau, elak mengguris perasaan

Kehidupan zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap ke segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan kurangnya waktu diperuntukkan untuk bersantai, bergurau senda serta menjalin hubungan silaturahim sesama sendiri.

Naluri manusia memerlukan gurau senda untuk mengeratkan hubungan baik dan merapatkan silaturahim.

Ia bukan saja mengelakkan kesunyian, gurau senda juga memudahkan komunikasi.

Walaupun gurau senda membantu menguatkan kasih sayang, ia juga boleh meranapkan silaturahim jika gurau senda itu menyebabkan ada pihak yang berkecil hati. Ada di antara kita bergurau tanpa menyedari ada hati terluka.

Demikian juga, elakkan diri kita daripada berlebihan dalam bergurau senda hingga menyebabkan ada orang terasa dirinya diaibkan atau dijadikan misalan hingga memalukan dirinya.

Sebaliknya, gurau senda dijadikan antara cara untuk menghiburkan hati yang lara atau menyenangkan orang yang sedang berduka.

Gurau senda erat silaturahim, perpaduan dapat ganjaran

Jika gurauan boleh menyenangkan hati, mengeratkan silaturahim dan perpaduan serta kasih sayang, maka gurauan itu menjadi perbuatan baik yang bakal mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Sebaliknya jika gurauan menjadi alasan menyakitkan hati seseorang, ia sudah tentu menjadi perbuatan dikutuk Allah SWT. Jangan pula tabiat bergurau senda untuk menyakitkan hati orang lain menjadi kebiasaan serta menyebabkan seseorang itu tiada rasa bersalah mengutuk atau menghina.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain kerana harus puak dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang yang zalim.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

Jenaka adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain.

Namun, bergurau mempunyai adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti tidak menjadikan agama sebagai bahan jenaka dengan mempersendakan sunah Rasulullah SAW, gurauan bukan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.

Bergurau sesuai masa, tempat

Selain itu, tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan. Ia perlu bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau pada waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.

Justeru itu, bersempena Ramadan yang penuh barakah ini marilah sama-sama kita menjaga segala adab dan tutur kata yang baik ketika bergurau senda, jangan biarkan ada hati saudara kita yang terluka. Berita Harian Agama 2014/07/08 - 03:51:29 AM Nursyafiqah Abdul Samat

Puasa singkir toksin

ADA ibu yang menyusukan anak mengadu keadaan ekzema pada bayinya menjadi lebih teruk pada minggu pertama berpuasa.

Dia lalu segera mengajukan pertanyaan kepada pakar tentang keadaan tersebut kerana khuatir kemungkinan mengambil makanan yang tidak sesuai ketika berbuka puasa.

Pengarah Penjagaan Kesihatan di Spectrum of Life, Dr. Suriyakhatun Osman berkata, apa yang dialami bayi tersebut sebenarnya adalah kesan daripada tubuh ibunya yang sedang mengalami detoksifikasi pada hari-hari awal berpuasa.

Beliau berkata, gejala detox termasuk sakit kepala, berak cair, lenguh badan, nafas dan peluh berbau, letih dan emosi terganggu.

Pada awal minggu berpuasa mungkin ada yang merasakan tidak terlalu letih kerana ‘bekalan tenaga’ masih banyak .

Memasuki minggu kedua ada yang mengadu lemah dan tak kurang juga yang mula meminimumkan pergerakan fizikal dengan alasan tidak mahu keletihan sementara menunggu waktu berbuka. Ada juga yang mendapati tubuh menjadi semakin cergas setelah memasuki dua minggu berpuasa.

Apapun setiap daripada kita adalah berbeza dan tindak balas berpuasa juga berbeza bagi setiap individu.

“Tumpuan ibu yang menyusukan anak pada bulan Ramadan ini biasanya tentang bagaimana untuk membanyakkan susu dan tidak kurang juga persoalan tentang proses penyingkiran toksin atau detoks semasa berpuasa

“Puasa itu sendiri adalah detoks dan beberapa langkah boleh dilakukan bagi meminimumkan gejala proses detoks yang boleh menjejaskan anak ekzema," ujarnya.

Menurut Dr. Suriyakhatun, semasa berpuasa ada beberapa gejala yang berlaku pada tubuh disebabkan badan membuang toksin yang telah sekian lama berada di dalam tubuh.

Antara gejala yang dirasai ialah mulut berbau busuk, kencing berbau busuk, najis berbentuk cair atau disertai lendir, sakit kepala, lenguh-lenguh badan dan lidah berselaput putih.

“Ini berlaku pada peringkat awal puasa dan lagi banyak lemak seseorang lagi banyaklah gejala daripada tanda penyingkiran toksin dalam tubuh ini. Bagaimanapun jangan risau kerana semakin lama anda berpuasa, semakin kurang gejala penyingkiran ini berlaku," katanya.

Tambahnya lagi, cara-cara untuk mengesan kebanyakan toksin sudah keluar dari tubuh ialah apabila lidah tidak lagi berselaput putih, tubuh menjadi kurang letih dan tidak lagi lenguh serta hilang sakit kepala.

Tegasnya, ibu-ibu menyusu juga perlu mengambil perhatian tentang alahan masing-masing dan mengenal pasti makanan apa yang mempunyai reaksi alahan pada diri dan anak yang disusukan.

“Setiap yang dimakan ibu memang memberi kesan kepada susu yang diberikan kepada bayi. Apabila proses detoks berlaku pula maka memang akan ada reaksi yang lebih kuat dalam badan ibu, alahan seseorang akan lebih kuat semasa puasa.

“Makanan yang banyak rempah pun boleh menyebabkan susunya mengandungi lebih bahan radangan, jadi ibu menyusu tidak dinasihatkan makan makanan yang mengandungi banyak rempah atau cili," ujarnya.

Proses penyingkiran toksin

Dr. Suriyakhatun berkata, proses penyingkiran toksik bermula daripada bahan buangan sel (waste material) masuk ke dalam darah semula sebelum keluar terus dari badan melalui organ detoks seperti, ginjal, sistem penghadaman termasuk hati, kulit dan paru-paru.

“Bermakna toksin ini keluar ke air susu juga sebab itulah anak ibu menyusu ada yang mengalami ekzema lebih teruk pada minggu awal ibunya berpuasa.

“Toksin dari lemak juga akan mula keluar dan ini bukan bahan buangan tetapi kimia yang terperangkap dalam lemak. Ini juga akan berada dalam air susu peringkat awal puasa," tambahnya.

Maka langkah langkah yang ibu perlu ambil adalah mempercepatkan proses detoks adalah dengan melakukan langkah-langkah berikut, pertamanya, ibu boleh mengurangkan memberi susu badan pada peringkat awal puasa bagi anak yang sudah berusia lebih enam bulan.

Proses ini menurut Dr. Suriyakhatun berlangsung hanya untuk tiga hingga empat hari pertama puasa sahaja. Sebagai alternatif, beri anak makan dan susu yang dia tidak alah contohnya susu beras (rice milk).

“Langkah kedua mempercepatkan proses detoks ini ialah dengan cara meningkatkan pergerakan usus sebagai organ detoks dengan meminum jus aloe vera, minuman enzim dan makanan sunnah seperti al manna. Perlu awasi pengambilan gula, tepung gandum, dan pemanis tanpa zat yang akan merosakkan kesihatan usus dan mengurangkan keberkesanan usus untuk detoksifikasi," katanya.

Selain itu, mereka yang mengalami simptom detoks disarankan membuat skrub pada kulit semasa mandi pagi dan keluarkan peluh waktu petang sebelum berbuka, sama ada masuk dalam sauna atau berjoging selama setengah jam.

“Selepas berbuka disarankan minum air bersih sebanyak yang boleh. Ketika solat Tarawih bawa botol air dan teguk selalu, pastikan banyak kencing untuk mempercepatkan proses detoks sebelum tubuh anda bersih dan bertenaga semula.

“Elak berjalan di matahari terik dan elak bersenam di awal puasa, cuma bersenam pada waktu petang sebelum berbuka," katanya.

Tip Ramadan untuk ibu menyusu

Ibu mengandung dan menyusu perlu awasi tanda-tanda hypoglycaemia dan juga dehidrasi.

Antaranya pitam, berpeluh sejuk, badan rasa lemah dan tak bermaya semasa berpuasa.

Dalam keadaan ini amatlah disaran untuk berbuka anda tidak diwajibkan berpuasa dan jika berpuasa anda kena nilai kemampuan diri dan berbuka sebelum berlaku mudarat.

Bagaimanapun bagi yang mampu berpuasa perlu beri perhatian yang lebih tentang mutu makanan ketika berbuka dan bersahur. OOR FAZRINA KAMAL: Utusan/Keluarga/20140708

Puasa pesakit HIV

MENJALANI ibadah puasa bagi semua insan beragama Islam adalah satu kewajipan pada bulan Ramadan, semuanya tidak terkecuali khususnya bagi mereka yang telah melewati syarat-syarat sah berpuasa.

Biarpun begitu, ada kelonggaran bagi mereka yang uzur syarie, sakit, kanak-kanak dan sebagainya.

Bagi mereka yang sakit dan uzur, mereka diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa dan akan menggantikannya semula sekiranya telah sihat kerana pada waktu itu mereka sedang menerima rawatan dan memakan ubat-ubatan yang disyorkan doktor.

Tapi bagaimana pula dengan individu yang perlu makan ubat-ubat khas untuk kesinambungan hayat? Begitu yang dialami oleh orang-orang yang hidup dengan HIV. Mere bergantung sepenuhnya kepada ubat khas. Ia perlu dimakan secara tetap dan berjadual mengikut masa, setiap hari pada sepanjang usia mereka, merupakan risiko yang perlu dihadapi golongan ini sekiranya mereka berpuasa pada bulan Ramadan.

Namun itu semua bukanlah penghalang bagi orang yang hidup dengan HIV untuk menjalani ibadah berkenaan mengikut kemampuan diri.

Apa yang penting kesungguhan dan semangat atas dasar keinsafan dan ingin beribadat menjadi pendorong golongan ini berpuasa dan melakukan aktiviti terawih dan amalan-amalan yang lain sepanjang

Ramadan

Menurut sukarelawan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (N.S.E.P) dari Kelab Sahabat META Tampin, yang juga Exco Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, Norasid Md. Said, 40, yang berasal dari Felda Palong Tiga Gemas di Negeri Sembilan, penghidap HIV sepertinya boleh berpuasa seperti biasa.

Cuma mungkin sebahagiannya tidak akan penuh puasanya dalam tempoh sebulan.

“Secara peribadi, paling banyak pun saya mungkin mampu berpuasa dalam 15 hari sahaja kerana kami mesti memakan ubat-ubat mengikut jadual.

"Setiap hari saya akan memakan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) dan metadon (ubat untuk bekas penagih dadah).

“Umumnya HAART perlu dimakan setiap 12 jam atau 24 jam sekali. Ini bermakna sekiranya saya makan pada pukul 8 pagi saya perlu makan kembali pukul 8 malam.

“Begitulah aturannya setiap hari. Manakala metadon pula saya perlu makan sekali sehari," jelas Norasid yang menerima virus berkenaan akibat perkongsian jarum suntikan dan didiagnos menghidap HIV sejak tahun 2003.

Kata Norasid yang sukarela memperkenalkan diri sebagai orang yang hidup dengan HIV, hakikatnya dia perlu bijak menyeimbangkan jadual dan masa makan ubat yang telah ditetapkan.

Jelasnya, biarpun masa makan ubat khas itu akan ‘lari’ dalam tiga ke empat jam dalam sehari dan dikatakan ada risikonya tetapi ianya bukanlah muktamad kerana turut bergantung kepada banyak faktor sampingan.

Sebagai orang Islam, Norasid tetap tabah melalui perjalanan Ramadan.

“Saya akan pastikan mengambil ubat-ubat khas saya selepas bersahur dan kemudian apabila berbuka ubat-ubat itu perlu diambil dengan segera.

“Sebenarnya bagi orang yang hidup dengan HIV dan stabil dengan CD4 (penanda aras sistem kekebalan dalam tubuh) mereka yang meningkat dan kiraan virus yang rendah atau tiada dikesan langsung, golongan ini boleh berpuasa.

"Sekiranya mereka masih baru memulakan rawatan HIV, dengan CD4 yang rendah dan jumlah virus masih tinggi, maka golongan ini tidak digalakkan berpuasa," katanya yang telah lapan tahun berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak berumur enam, lima dan tiga tahun yang kesemuanya bebas HIV.

Kekangan untuk Norasid berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan adalah mungkin dia mengalami alahan dengan rawatan metadon, terutamanya jika perut kosong.

Akibat perut yang kosong, Norasid akan mengalami gangguan dalam perut yang amat menyakitkan.

Gangguan berkenaan terasa pedih di hulu hati sampai ke dada dan menyebabkan badan terasa kekeringan sehingga air liur terasa tiada, mulut menjadi pecah-pecah dan pada siang hari terasa amat lemah.

“Berbeza sebelum saya mendapat HIV, saya rasa sihat ketika berpuasa berlainan rasanya sekarang. Akibat daripada itu saya akan mengurangkan aktiviti di bulan ini," katanya.

Apabila ditanya apakah makanan yang perlu dimakan ketika bersahur dan berbuka, dia berkata dari segi pemakanan sama seperti individu lain, perlu makan dengan diet yang seimbang, seperti sayur-sayuran, protein dan nasi. Norasid juga akan pergi berterawih sekiranya terlarat.

Namun apa yang benar-benar ditekankannya adalah minum air dengan kuantiti yang banyak pada sebelah malam dan pada waktu bersahur agar mempercepatkan proses ubat-ubatan berkenaan berfungsi dan kekal tidak terhidrat pada siang hari.

Ketika ditanya apakah dia pernah bertanya kepada ustaz atau tokoh-tokoh agama mengenai permasalahannya itu, dia menjelaskan persoalan itu pernah ditanyanya dan ustaz menyuruh untuk dia pertimbangkan sendiri sama ada mampu untuk mengganti puasa atau membayar fidyah terhadap puasanya yang tertinggal.

“Saya memilih untuk membayar fidyah sekiranya tidak mampu mengganti puasa. Mungkin saya akan ganti puasa beberapa hari sekiranya termampu dan selebihnya saya bayar fidyah," katanya. - ROSMAH DAIN Utusan/Keluarga/20140708

Batu puaka?

Apa yang akan anda baca ini adalah realiti. Ia bukan jelmaan, entiti atau 'hantu’, tetapi sesuatu yang nyata dan boleh dipegang, namun sukar untuk menjawabnya.

Kejadian aneh ini berlaku pada 3 September 1998, di Kampung Kepala Gajah, Jerteh, Terengganu. Pukul 11.30 malam itu, rumah seorang penduduk bernama Mat Ela telah dihujani ketulan-ketulan batu yang tidak diketahui dari mana datangnya.

Batu-batu itu menghujani setiap inci rumahnya. Bumbung, dinding, pintu, tingkap dan seluruhnya. Memikirkan ada orang yang berniat jahat, Mat Ela bersama isteri dan seorang anaknya keluar untuk mencari si pelaku itu.

Namun tiada sesiapa di luar. Yang ada hanyalah ketulan-ketulan batu bertaburan di sekeliling rumah.

Sewaktu sibuk meninjau sekeliling, berlaku lagi kejadian aneh apabila tubuh mereka dihujani ketulan-ketulan batu yang gugur entah dari mana. Bertempiaranlah mereka lari masuk ke dalam rumah. Hujan batu itu hanya mula reda apabila menjelang subuh.

Esoknya, Mat Ela melihat ratusan biji batu bertaburan di sekeliling rumahnya. Batu itu berwarna putih seperti batu kuari. Saiznya dari sebesar ibu jari hinggalah sebesar penumbuk.

Siapa punya angkara? Mat Ela tidak tahu.

Bertambah pelik, pukul 11.30 malam esoknya, sekali lagi rumah Mat Ela dibaling dengan ketulan batu. Kejadian itu terus berulang pada setiap malam dengan disaksikan oleh ratusan penduduk kampung yang membanjiri rumahnya. Waktu kejadian tetap sama. Ia bermula pada pukul 11.30 malam dan berakhir apabila fajar mula menyingsing.

Biarpun Mat Ela meminta bantuan pihak polis untuk mencari punca datangnya batu tersebut, namun polis juga gagal mengesannya. Usahanya mengadakan bacaan tahlil, Yasin dan melaungkan azan juga gagal menghalau gangguan tersebut.

Bimbang dengan keselamatannya, isteri Mat Ela, Halimah Wok pergi ke rumah adiknya untuk tidur di sana. Anehnya, batu itu mengekori setiap langkah wanita berkenaan, cuma tidak terkena tubuhnya.

Tidak tertahan dengan gangguan itu, Mat Ela, Halimah dan anak mereka, Redza bermalam di rumah seorang jiran. Bukan setakat dikejar batu-batu tersebut, malah apabila bangun pada pagi esoknya, Mat Ela mendapati terdapat selonggok batu di hujung kepala isterinya!

Selepas 20 hari, gangguan itu hilang begitu saja. Dari mana datangnya batu-batu tersebut? Tiada siapa tahu jawapannya kerana tiada kuari di sekitar kawasan berkenaan. Adakah ia perbuatan manusia atau dibawa oleh ribut? Juga bukan.

Atau ia angkara makhluk yang tidak dapat dilihat?

Kalau anda minat pada kajian paranormal dan silang budaya (cross cultural anthropology), apa yang berlaku kepada Mat Ela ini mempunyai persamaan dengan apa yang terjadi di Iceland. Menurut masyarakat di sana, perkara seumpama itu adalah angkara hudofolk, iaitu makhluk halimunan seperti bunian.

Hudofolk mempunyai ciri-ciri seperti manusia, namun tubuhnya agak besar, memakai pakaian berwarna kelabu dan tinggal di kawasan-kawasan bukit serta tanah tinggi. Mereka tinggal di bawah bongkah-bongkah batu besar dan akan bertindak ganas jika diganggu.

Pada 2004 dilaporkan rumah penduduk di sekitar Bolungarvik dibaling dengan ketulan-ketulan batu, dipercayai angkara hudofolk setelah pihak berkuasa merosakkan bukit yang menjadi kediaman makhluk tersebut bagi membina jalan raya.

Dokumen-dokumen kes paranormal pula mencatatkan, kejadian seumpama ini telah banyak kali berlaku di luar negara. Antara yang terawal pada 1698 di New Hampshire, England, dan dilaporkan dalam risalah Lithobolia (syaitan yang membaling batu) yang diterbitkan di London.

Kejadian serupa berlaku di Harrisonville, Ohio, Amerika Syarikat pada 1910. Menurut akhbar Buffalo Express, fenomena aneh itu berlaku pada tengah hari Ahad, 13 Oktober tahun tersebut, di rumah seorang penduduk di perkampungan kecil Zach Dye. Tiada siapa tahu dari mana datangnya batu itu kerana rumah tersebut terpencil dan jauh dari rumah lain.

Kejadian itu rupa-rupanya hanya permulaan. Esoknya lebih banyak batu yang dibaling ke kawasan perkampungan itu mengakibatkan banyak rumah rosak. Kejadian pelik itu berakhir pada hari ketiga dan persoalan siapa yang melakukannya, terus menjadi tanda tanya, kerana ketulan-ketulan batu itu dilihat melayang dengan sendiri!

Kes seterusnya terjadi di Marcinelle, Belgium pada Januari 1913, apabila sebuah rumah di situ direjam ketulan-ketulan batu selama empat hari berturut-turut. Pihak polis cuba menangkap orang yang melakukannya, namun apa yang mereka saksikan sukar diterima akal.

Salah seorang anggota polis yang bertugas mencatatkan di dalam buku laporannya bahawa dia dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri kira-kira 300 biji batu melayang dengan sendiri lalu memecahkan tingkap serta dinding rumah berkenaan.

Ardeche, France, 1921 - Kejadian aneh ini berlaku selama beberapa hari. Namun bermula pada September, rumah seorang peladang di situ telah diserang selama empat bulan tanpa henti!

Ia berlaku sepanjang hari hingga ada kanak-kanak dan paderi yang dipanggil untuk memulihkan keadaan, turut menjadi mangsa. Bukan setakat batu, rumah tersebut juga dibaling dengan buah epal. Paling pelik, buah epal itu dibaling tepat melalui lubang di tingkap yang pecah akibat dibaling buah epal sebelumnya. Utusan/Keluarga/20140706

Tokoh pembela Islam

SYEIKH Ahmad Sirhindi ialah tokoh pembaharuan dan ahli sufi terkemuka India pada zaman pemerintahan dua sultan Moghul, Akbar (m. 1606) dan Jahagir (m. 1627). Beliau dilahirkan pada 1564 di Sirhindi (kini Punjab), India.

Salasilah keturunannya dikatakan sampai kepada Umar al-Khattab. Sirhindi belajar di Sialkot (kini di Pakistan), pusat ilmu Islam pada zaman Moghul.

Setelah tamat belajar di Sialkot, beliau pulang ke kampung halamannya dan kemudian pergi ke Agra, ibu kota Moghul untuk mendalkmi ilmu hadis dan tafsir.

Di Agra, beliau berhubungan dengan ulama istana seperti al-Faidi dan Abu al-Fadl. Kedua-duanya tidak disukai oleh ulama ortodoks kerana dianggap menganut agama bidaah.

Pada 1617, Sirhindi dipenjarakan di Gwalior selama setahun oleh Sultan Jahangir tetapi dibebaskan atas desakan Mahabat Khan, pemerintahan Kabul. Kemudian beliau menjadi penasihat khusus Jahangir selama enam tahun.

Sirhindi meninggal dunia pada usia 60 tahun (1624) dan dikebumikan di tanah kelahirannya, Sirhind.

Sirhindi dikenali dengan gelaran kehormat Mujaddid Alf Sani (tokoh pembaharuan millennium kedua) dan Imam-I Rabbani (pemimpin yang diilhami Tuhan). Gelaran Mujaddid Alf- Sani ini diberikan oleh Mulla Abdul Hakim, seorang ulama terkemuka dari Sialkot.

Perjuangan kesucian Islam

Sirhindi berjuang membela kesucian Islam dengan menentang ajaran agama yang dianggap sesat dan menyimpang daripada akidah serta syariat yang sebenar. Beliau menentang Din Ilahi (agama Tuhan) beraliran Syiah yang memasukkan unsur luar ke dalam Islam.

Aliran Din Ilahi ini diumumkan oleh Sultan Akbar. Sirhindi juga menentang wahdatul wujud (panteisme) kerana menganggapnya menyimpang daripada syariat dan berusaha membersihkan tasawuf daripada segala bentuk penyimpangan. Beliau sendiri merupakan pengikut Naqsyabandiyah.

Isbat al- Nubuwwah

Ahmad Sirhindi menulis beberapa karya; antara yang paling penting ialah Isbat al- Nubuwwah (Pembelaan Atas Kenabian), Radd-I Rawafid ( Penolakan Atas Aliran [Syiah] Rafidah) dan Maktubat (Surat-surat).

Melalui karyanya itu, gerakan Sirhindi memberikan pengaruh yang besar di benua kecil India dan pada umumnya, berjaya menandingi kecenderungan yang mengabaikan ikatan moral dalam kalangan ahli sufi.

Kesatuan wujud

Sirhindi mengkritik doktrin wahdah al-wujud (kesatuan wujud: panteisme) Ibnu Arabi (1165-1240). Beliau mendakwa bahawa doktrin wahdah al-wujud menyamakan Tuhan dengan alam semesta sehinggakan tiada perbezaan antara Tuhan dengan alam semesta, termasuk manusia, tidak jelas lagi. Menurut beliau, doktrin wahdah al-wujud tidak mempunyai dasar di dalam al-Quran dan sunnah.

Bagaimanapun, beliau bersetuju jika wahdah al-wujud dilihat sebagai suatu pengalaman semata-mata, bukan sebagai kepercayaan kepada hakikat sebenarnya. Menurut Sirhindi, wahdah al-wujud ialah peringkat pengalaman mistik paling rendah.

Kesatuan kesaksian

Untuk menentang wahdah al-wujud, Sirhindi mengajarkan doktrin wahdat al-syuhud (kesatuan kesaksian), yang membuktikan bahawa yang ada dalam kesaksian (penglihatan) hanya satu wujud, iaitu Tuhan, meskipun pada kenyataannya ada dua wujud yang berbeza: Tuhan dan alam.

Dengan yang demikian, Sirhindi menegaskan perbezaan mutlak antara Tuhan dengan alam. Menurutnya, inilah peringkat mistik paling tinggi. Utusan/Bicara_Agama/20140708

Nikmat di sebalik cabaran

Ramadan datang lagi dan bulan yang mulia ini hanya datang sekali setahun. Setiap individu Muslim mukmin menyambut ketibaannya dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini Allah SWT menawarkan dengan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna.

Maka untuk menyambut bulan ini pelbagai program telah diatur setiap tahun seperti melantik para hafiz al-Quran untuk membimbing solat tarawih, mengadakan tadarus al-Quran berkelompok, berbuka puasa beramai-ramai, ceramah fadilat Ramadan, qiamullail dan sebagainya.

Segala macam program ini menarik minat jemaah untuk memenuhi ruang masjid dan surau. Mereka yang jarang datang ke masjid dan surau turut hadir menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadan. Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan penuh keberkatan dan melembutkan hati sesiapa sahaja yang ikhlas mencari kebajikan dan pahala.

Dengan atur cara yang padat ini,boleh katakan sebagai madrasah terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan itu. Sebenarnya, segala macam program yang diatur ialah sebagai pelengkap untuk mengisi keberkatan dan kemeriahan Ramadan.

Namun secara khususnya, difardukan berpuasa bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur baligh, sihat tubuh badan dan sebagainya. Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ia halal.

Terapi baharu

Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian. Para doktor perubatan menjadikannya sebagai amalan kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar diatasi oleh rawatan-rawatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan.

Dalam kalangan pengamal perubatan moden menganggap ia merupakan penemuan terapi baharu. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya rakan pesakitnya agar berpuasa sepanjang 48 jam. Hal ini dijelaskan oleh Henry G. Bieler dalam bukunya, Food Is Your Best Medicine. Namun demikian, sungguhpun puasa itu hebat fungsinya, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.

Dalam Islam, puasa Ramadan setiap tahun melatih penganutnya supaya kesihatan sentiasa terkawal. Perkara ini pernah dibahaskan dalam Kongres Antarabangsa di Casablanca Maghribi pada 1996 bertemakan Kesihatan dan Ramadan. Penemuan kongres ini bersepakat merumuskan bahawa puasa adalah satu mekanisme penuh berpotensi mencegah dan menyembuh pelbagai penyakit.

Nafsu perut

Sebenarnya Imam Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya Ihya 'Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal.

Perspektif al-Ghazali menjawab kesalahan tanggapan umum dengan mengambil makanan banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga, terutamanya ketika berbuka. Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan minuman hendaklah tidak melampau. (rujuk al-A’raf: 31)

Secara amalinya, Nabi SAW memberi panduan umum ketika menjamu selera iaitu, satu pertiga diisi dengan makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan. Tetapi di bawah tekanan rasa lapar, ramai orang gagal mengatasinya kerana dorongan ingin “balas dendam" disebabkan berlapar sepanjang hari.

Ditambah pula, bazar Ramadan menawarkan beraneka juadah makanan, kadang-kala membuatkan hilang pertimbangan kerana desakan perut kosong dan dahaga. Begitu juga hotel dan restoran berlumba-lumba mempromosikan bufet Ramadan.

Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulen dan serat buah. Di kala ini, kita hendaklah pastikan juadahnya adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makruh seperti merokok. Malah kebanyakan ulama memfatwakan merokok adalah haram. Kesilapan atau kealpaan kita mengambil makanan atau minuman yang tidak menepati syariah akan merosakkan ibadah puasa sepanjang hari.

Selain itu, Ramadan turut menekankan ketepatan pengurusan masa, termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka pada awal waktunya. Manakala pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjemaah dan membanyakkan membaca al-Quran.

Nikmat cabaran

Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadan disebabkan sudah “keletihan" dan masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya.

Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadan harus diperbetulkan. Kemeriahan Syawal hanyalah bagi mereka yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadan dengan menunaikan segala tawaran daripada Allah SWT. Bukannya mengejar Syawal sehingga terpinggir Ramadan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan.

Sekiranya, cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga, namun generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting tetapi tetap cemerlang. Hakikat kecemerlangan ini terbukti dengan kemenangan tentera pimpinan Nabi SAW dalam perang Badar di bulan Ramadan. Kehebatan ini diteruskan di bulan Syawal iaitu dalam perang Ahzab dan Hunain. Sudah tentulah kemenangan mereka disempurnakan dengan kekuatan inteligensia, informasi, mental dan strategi yang cekap.

Amalan berpuasa terutamanya di bulan Ramadan adalah latihan amali yang paling mujarab untuk mengikis penyakit rohani, krisis mental dan penyakit fizikal manusia akibat mengejar nilai kebendaan yang tiada kesudahan. Penyakit moden hari ini boleh dikesan daripada kegagalan mengawal krisis mental dan rohani kerana terlalu sibuk dengan urusan kerjaya dan tersepit di celah-celah krisis kehidupan.

Akibatnya fizikal manusia juga menjadi mangsa melalui pelbagai penyakit yang menimpa. Bagi yang menemui keberkatan bulan Ramadan, puasa akan menjadi modul tetap kehidupan bagi bulan-bulan seterusnya kerana kemampuannya memberi kekuatan, kesihatan pada rohani dan jasmani manusia. R. LOKMAN AB. RAHMAN ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim.  Utusan/Bicara_Agama/20140708

Melatih nafsu ikut syarak

ABU Musa al-Asy’ari ialah seorang sahabat Nabi SAW yang sangat alim. Beliau pernah diutus oleh baginda Rasulullah SAW untuk menjadi pemimpin di Yaman. Dan pada masa Umar, beliau diserahkan jawatan amir di Kufah dan Basrah.

Suatu hari sekumpulan pemuda tengah duduk bersama Abu Musa al-Asy’ari untuk berbincang-bincang. Abu Musa lalu menghidangkan kepada mereka daging ayam untuk menjadi santapan siang hari itu.

Apabila melihat daging ayam, salah seorang daripada pemuda itu menjauhkan diri.

Abu Musa bertanya: “Ada apa denganmu?"

Pemuda itu menjawab: “Aku pernah melihat seekor ayam memakan najis. Sejak hari itu, aku bersumpah untuk tidak memakan ayam."

Abu Musa berkata: Mendekatlah ke mari. Aku melihat Rasulullah SAW pernah memakan daging ayam. (riwayat al-Bukhari)

Tundukkan nafsu

Kita seringkali menjadikan nafsu sebagai rujukan dalam menilai. Sesuatu yang selari dengan kehendak nafsu, kita nilai baik. Dan sesuatu yang tidak selari dengan kehendaknya, kita nilai buruk.

Muslim sejati tidak menjadikan nafsu dan perasaan sebagai rujukan dalam menilai. Sebaliknya, sepenuh hati dan akalnya tunduk kepada kehendak syarak.

Justeru bagi seorang Muslim: Yang baik ialah apa yang dinilai baik oleh Islam. Dan yang buruk ialah apa yang dinilai buruk oleh Islam.

Seorang Muslim sejati percaya bahawa Islam lebih tahu apa yang baik dan buruk untuk dirinya. Sebab Islam ialah perwujudan kehendak Allah Yang Maha Mengetahui dengan segala yang ada di langit dan di bumi.

Rasulullah bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga hawa nafsunya tunduk kepada kebenaran yang aku bawa." Berkata Imam al-Nawawi: Ini hadis hasan sahih.

Hakikat inilah yang hendak ditanamkan oleh Abu Musa al-Asy’ari dalam kisah di atas. Pengalaman negatif seseorang dengan ayam tidak boleh mendorong dirinya untuk mengharamkan ayam. Sebaliknya, ia mesti tunduk kepada ketetapan syarak yang melihat haiwan ini sebagai halal dan baik untuk dimakan.

Bulan Ramadan ini ialah masa yang paling tepat untuk melatih nafsu agar tunduk kepada kehendak syarak. Pada bulan ini kita meninggalkan apa yang kita sukai demi kehendak syarak. Bukan hanya makan dan minum, namun semua perbuatan dan ucapan yang diharamkan.

Semoga Ramadan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya. Amin ya rabbal ‘alamin.   Utusan/Bicara_Agama/20140708