July 9th, 2014

Siswa tak jadikan puasa halangan untuk berbakti

Selepas menghadapi peperiksaan, kebanyakan mahasiswa menikmati cuti akhir semester selama dua hingga tiga bulan. Betapa beruntungnya mahasiswa yang mengambil kesempatan memanfaatkan cuti sebaik mungkin dengan berbakti kepada ibu bapa, jiran tetangga dan masyarakat sambil berpuasa di kampung masing-masing.

Puasa membantu mencergaskan rohani dan menjana kesegaran jasmani. Akal orang berpuasa lebih aktif daripada yang tidak berpuasa kerana terhindar daripada kekenyangan yang mendorong kepada sifat malas dan nafsu syahwat.

Islam amat menitikberatkan dari sebesar-besar perkara hingga ke sekecil-kecil perkara. Buktinya, pengurusan masa berkait rapat dengan Surah Al-Asr. Surah terpendek dalam al-Quran ini amat menekankan mengenai masa.

Firman Allah, “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah Al-Asr, ayat 1 hingga 3).

Ibnu Qayyim berpesan mengenai kepentingan memanfaatkan masa dalam kehidupan, “Barang siapa yang masanya digunakan untuk Allah dan dengan Allah, bererti masa itu menjadi kehidupan dan umurnya yang sebenar. Jika digunakan untuk selain itu, maka masanya itu tidak dihitung sebagai sebahagian daripada kehidupannya, ia hidup seperti haiwan. Juga ketika ia menggunakan masanya dalam kelalaian, lupa dan dalam angan-angan kosong. Perkara mensia-siakan waktu yang paling baik adalah dengan tidur dan tidak bekerja. Maka kematian orang ini lebih baik baginya daripada kehidupannya.”


Bijak urus masa

Mahasiswa yang cemerlang adalah mereka yang bijak mengatur urusan mengikut keutamaan dan berani menyatakan tidak kepada yang tidak berfaedah.

Imam Ibnu Qayyim pernah berkata, “Salah satu bentuk mensia-siakan kehidupan adalah mensia-siakan hati dan masa. Mensia-siakan hati bererti lebih mementingkan dunia dari akhirat.

Mensia-siakan masa adalah dengan banyak berangan-angan. Maka terkumpul semua kerosakan dengan mengikuti hawa nafsu dan tinggi angan-angan. Sementara seluruh kebaikan terbina dalam diri saat mengikuti petunjuk dan bersiap untuk bertemu dengan Allah.”

Sabda Rasulullah SAW, “Dua nikmat yang sering disalahgunakan oleh manusia adalah kesihatan dan masa yang terluang.” (Riwayat Bukhari).

Alangkah baiknya sekiranya mahasiswa mempunyai visi dan misi hidup yang jelas. Matlamat hidup yang jelas mampu membantu mahasiswa memanfaatkan masa dengan baik. Maka hargailah masa sebaiknya agar hidup tidak sia-sia. Berita Harian Agama 09/07/2014

Perlembagaan tolak pluralisme agama

Dewasa ini masyarakat kembali berhujah berkaitan dengan isu pluralisme agama. Ramai yang memperjuangkan kesamaan antara semua agama di Malaysia. Kalangan ini pula terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam berpandangan semua agama adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan berbanding agama lain.

Dari sudut akidah, Islam adalah agama suci yang diturunkan Allah bebas daripada sebarang penyelewengan. Agama samawi lain diselewengkan dan agama lain tidak diterima sebagai ajaran yang benar.

Pandangan ini mengambil logik akal dengan berhujah adalah tidak adil sekiranya orang bukan Islam membuat kebaikan di dunia, tetapi masih lagi diazab dengan api neraka.

Tambahan pula dakwa mereka ia amat bertentangan dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi.

Pendekatan tersasar dalam Islam

Pendekatan seperti ini sebenarnya jauh tersasar dalam agama Islam. Namun, saya bukanlah ahli untuk mengulas dari sudut hukumnya secara terperinci.

Biarlah mereka yang mahir dalam agama membahaskannya. Saya hanya melihat daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan sekiranya terdapat asas mempromosi pluralisme agama.

Pada amnya, konsep tauhid dalam Islam paksi utama kepada akidah Islam dan ia berlawanan daripada konsep pluralisme agama.

Pendukung pluralisme agama berpendapat setiap Nabi membawa risalah yang berbeza dan umat terdahulu tidak beragama Islam.

Namun, sebenarnya umat terdahulu adalah terdiri daripada ‘millah Ibrahim’ yang membawa syariat Allah untuk umat ketika itu.

Pandangan pluralisme agama ketika ini bukan hanya disebarkan oleh orang yang tidak berkelulusan agama, tetapi juga daripada kalangan mereka yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi. Aliran pemikiran sosialis, pluralisme dan sebagainya ini telah menular di negara kita dan perlu dikekang bagi mengekalkan jati diri negara.


Kesan pluralisme agama

Kesan kepada pluralisme agama yang paling menonjol ialah umat Islam tidak akan berusaha untuk mengislamkan orang bukan Islam.

Cukuplah sekadar orang bukan Islam itu berbuat bakti dan berakhlak mulia. Kedudukan akidah bukan lagi suatu yang penting.

Perlembagaan Persekutuan tidak langsung mengiktiraf pluralisme agama. Ini amat jelas kerana hanya Islam saja yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk agama lain boleh dianuti dan diamalkan dalam aman dan damai. Jaminan penganutan dan pengamalan agama lain selain Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah bermakna agama lain disamatarafkan dalam undang-undang.

Ada pelbagai faktor yang diambilkira dalam memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti faktor sejarah, sosial dan juga keselamatan.

Tidak hairanlah terdapat banyak kes diputuskan Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara yang mengukuhkan kedudukan Islam dalam negara dan menolak konsep pluralisme agama di Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan tidak menyamakan Islam dengan agama lain. Kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi daripada agama lain.

Banyak kelebihan diberikan kepada agama Islam berbanding agama lain termasuklah dana awam boleh digunakan bagi pembangunan agama Islam.

Bagaimanapun, dengan kedudukan istimewa Islam ini bukanlah bererti menyekat kebebasan orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka.

Orang bukan Islam bebas menganut dan mengamalkan agama mereka dan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan menyebarkan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam pula adalah dilarang.


Islam diyakini agama benar

Islam perlu diyakini sebagai satu-satunya agama yang benar. Keyakinan ini perlu diterapkan dengan iman yang mantap bahawa Allah adalah Tuhan yang sebenar dan tiada Tuhan selain-Nya. Sekiranya seseorang itu masih mengakui agama lain adalah agama yang benar maka keyakinan dan keimanannya di dalam Islam juga boleh dipersoalkan.

Oleh yang demikian selain dari tidak selaras dengan ajaran Islam, pluralisme agama ini juga sebenarnya langsung tidak diiktiraf oleh undang-undang.

Orang yang mencanangkan pluralisme agama ini sebenarnya hanya ingin mengambil kesempatan daripada kekalutan masyarakat ketika ini dengan memperkenalkan ‘konsep baharu’ kepada masyarakat.

Al-Quran disempurnakan penurunannya dan Allah mengisytihar di dalam al-Quran bahawa agama Islam itu disempurnakan.

Sekiranya sesuatu itu sempurna apakah kita perlu lagi merujuk kepada sesuatu yang tidak sempurna iaitu agama lain. Sebagai seorang Islam seseorang itu mestilah meyakini Islam sebagai satu-satunya agama yang benar. Berita Harian Agama 09/07/2014