July 12th, 2014

Perspektif IKIM: Puasa terapi pulih gangguan mental

Amalan berpuasa adalah satu kewajipan bagi seluruh umat Islam yang mencapai syarat tertentu. Status hukum amalan ini sebagai sesuatu yang fardu sesekali tetap tidak akan berubah walau dalam apa keadaan sekalipun, sama ada seseorang itu sakit atau uzur dan sebagainya.

Namun, Islam ada memberi kelonggaran itu bukanlah satu lesen untuk mengabaikan amalan berpuasa dan bukan juga satu keadaan yang boleh menggugurkan status hukum kewajipan untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Firman Allah berfirman dalam Surah al Baqarah, ayat 183, yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, seperti yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”

Berhubung kewajipan berpuasa ini, tidak terkecuali bagi pesakit yang mengalami gangguan mental dan emosi.

Namun, keadaan ini bergantung kepada beberapa perkara seperti jenis penyakit, seriusnya penyakit, keperluan untuk bergantung kepada ubatan dan sebagainya.

Penyakit berkaitan gangguan mental sebenarnya merujuk kepada gangguan terhadap fungsi otak. Gangguan ini pula boleh menjejaskan daya pemikiran dan kewarasan, perasaan serta tingkah laku individu.

Sebenarnya terdapat pelbagai kajian saintifik yang membuktikan kelebihan berpuasa khususnya dalam aspek kesihatan, baik dari segi kesihatan fizikal, mahupun mental dan emosi.

Malah, amalan berpuasa juga menyumbang kepada peningkatan kesihatan tingkah laku yang menyumbang kepada perubahan gaya hidup yang lebih produktif.

Selain itu, berpuasa turut didapati meningkatkan tahap kesedaran spiritual yang tinggi di kalangan individu yang berpuasa. Pada akhirnya, tahap kesihatan yang baik ini turut menyumbang kepada peningkatan kesihatan mental mereka.

Jika dilihat dari sudut gangguan mental, terdapat sesetengah penyakit mental yang mungkin disalah tafsir tidak sesuai dibantu dengan amalan berpuasa.

Alasannya ialah berpuasa akan lebih memburukkan keadaan penyakit mental yang dihidapi. Kenapa tanggapan ini berlaku?

Ia sebenarnya adalah satu tanggapan yang salah. Ini kerana terdapat pelbagai hikmah dan kebaikan dari amalan berpuasa yang mampu menyembuhkan pelbagai gejala gangguan mental dan emosi.

Contohnya seperti gangguan kebimbangan, gangguan panik, penyakit kemurungan dan lain-lain. Memang wujud gambaran dan tanggapan yang mengelirukan bahawa gangguan kebimbangan dan panik, mahupun kemurungan, akan menjadi lebih serius ketika berpuasa yang dikatakan berpunca dari fitrah puasa itu sendiri.

Ini kerana ketika berpuasa, badan akan menjadi lemah, letih dan lesu. Tubuh badan akan menjadi mudah menggeletar, dada mudah berdebar dan sebagainya.

Malahan, kadang-kadang nafas akan menjadi mudah semput. Ini adalah fenomena biasa kesan fizikal akibat berpuasa yang akan pulih selepas berbuka.

Namun bagi pesakit gangguan kebimbangan dan panik, tanda fizikal seperti ini adalah perkara yang paling mereka takuti kerana ia dianggap sebagai tanda kematian, penyakit berbahaya, kemudaratan fizikal dan lain-lain.

Akibatnya, amalan berpuasa menjadi satu perkara yang ditakuti dan cuba dielakkan. Mereka tidak takut kepada puasa itu, tetapi takut kepada kesan fizikal akibat berpuasa yang menjadikannya sukar untuk mereka lalui.

Jika cuba dilalui, maka penyakit kebimbangan dan panik akan datang menyerang mereka.

Hakikatnya, amalan berpuasa adalah satu bentuk terapi kepada individu yang menghidapi penyakit kebimbangan, panik dan kemurungan.

Ini kerana berpuasa mendedahkan mereka untuk berhadapan dengan perkara yang menjadi ketakutan mereka. Pesakit ini amat takut kepada sebarang perubahan fizikal yang tercetus akibat berpuasa, dan menjalani ibadat puasa pula mendedahkan mereka untuk terdorong agar sering berhadapan dengan ketakutan atau kebimbangan mereka sendiri yang pada akhirnya akan memulihkan mereka juga.

Namun bagaimana ia boleh berlaku? Ia melalui satu kaedah rawatan yang dikenali sebagai exposure therapy atau terapi pendedahan.

Dari segi perubatan psikiatri moden, terapi pendedahan ini adalah satu bentuk rawatan psikoterapi yang amat efektif dalam merawat gangguan mental berkaitan kebimbangan seperti fobia sosial, gangguan panik, ketakutan tempat tinggi atau sempit dan sebagainya.

Namun, amalan berpuasa secara tidak langsung juga memiliki ciri terapi seperti ini. Ketika berpuasa, pesakit kebimbangan terdedah kepada perubahan fizikal yang menakutkan mereka.

Namun, proses rawatan dalam kaedah ini berlaku apabila pesakit menyedari dan memahami bahawa perubahan yang berlaku itu adalah akibat dari amalan berpuasa, bukan sebagai simptom penyakit mereka, namun sekadar memiliki tanda yang sama saja.

Kebenarannya boleh dibuktikan dengan hakikat bahawa itu adalah gambaran fitrah puasa, malahan kadang-kadang ada juga tanda seperti itu tetapi ia tidak pun menyebabkan seseorang pesakit akan terkena serangan panik atau kebimbangan.

Kefahaman yang kukuh dan berasas terhadap simptom penyakit dan keupayaan dalam membuktikan kebenaran simptom adalah kekurangan yang ada dalam diri pesakit kerana ia adalah ciri personaliti dan pemikiran individu yang mengalami masalah kebimbangan, yang sebenarnya perlu dipantau dalam sesi rawatan kerana ia membantu proses pemulihan.

Selain dari itu, bersolat terawih secara berjemaah juga boleh dijadikan sebagai asas rawatan exposure kepada gangguan panik dan fobia sosial.

Penyakit kemurungan juga boleh dibantu dengan pelbagai rawatan pendedahan kerana ia melatih pesakit membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan supaya mereka tidak berterusan menjadi pasif dan tidak aktif kerana penyakit kebimbangan yang dihidapi.

Satu perkara paling penting yang diajarkan ketika beribadat sepanjang Ramadan ialah melaksanakan amalan secara istiqamah dan sabar.

Dua aspek ini jugalah yang membantu seseorang pesakit itu ketika melalui fasa proses pemulihan gangguan mental dan emosi mereka dengan cara mengawal dan mengatur serta mengurus corak pemikiran dan perubahan emosi yang berlaku, kerana mereka adalah pesakit yang mengalami gangguan regulasi emosi. Berita Harian Agama 2014/07/12 - 09:41:39 AM Khairul Azhar Idris

Kuatkan fardu ain dan kifayah

Surat khabar kita baru-baru ini lapor ahli motivasi, (Abdul) Halim Din, kata antara 80 dan 85 peratus orang yang berpuasa tak sembahyang waktu.

Dalam ceramah di Balai Berita, (Abdul) Halim kata, mereka tak tunai solat lima waktu pasal berasa kewajipan itu payah dilaksanakan.

Maaf cakaplah kalau dari awal-awal lagi Kunta Kinte kata, Kunta Kinte tak berapa terkejut dengan dakwaan itu. Yang Kunta Kinte musykil ialah ada masalah yang lebih dalam dan teruk kepada fenomena ini. Ada beberapa perkara yang kita kena bangkitkan kalau kita nak cari punca dan penyelesaian kepada keadaan ini.


Pertama kita kena tanya, adakah sistem pendidikan kita telah gagal lahirkan Muslim holistik? Soal ini cukup penting sebab kita tak putus-putus dengar pendidikan holistik diuar-uarkan.

Zaman Kunta Kinte kanak-kanak dulu, kita belajar di sekolah biasa setengah hari, selalunya pada sebelah pagi dan ‘sekolah Quran’ (sekolah agama) sebelah petang.

Busuk-busuk pun kita faham dan boleh mengamalkan fardu ain dan tahu apa fardu kifayah.

Serah sepenuhnya kepada sekolah

Kedua kita kena tanya, adakah perubahan sistem keluarga dan nilai di mana ibu bapa tak lagi tunjuk teladan dan serahkan pendidikan anak-anak sepenuhnya kepada sekolah turut jadi punca masalah?

Lagilah teruk kalau sistem persekolahan pula makin hari makin tak berfungsi (dysfunctional) di mana sekolah eksklusif yang kecil bilangannya cemerlang tapi sekolah biasa yang besar bilangannya ketinggalan. Dan ketiga, adakah sedang terjadi dikotomi antara ‘orang alim’ dan ‘orang jahil’ dalam masyarakat Islam kita?

Kumpulan pertama ‘mengurungkan’ diri di dalam masjid, surau dan pondok – bersolat wajib dan sunat hingga ‘lebam dahi’ manakala kumpulan kedua berkeliaran dengan tidak ada agama.

Kunta Kinte sangat risau dengan fenomena ketiga ini sebab ia boleh jadi berpunca daripada kurangnya kegiatan fardu kifayah dalam masyarakat Islam kita.

Sangatlah sedih kalau ada orang Islam kita, khususnya yang ada ilmu agama, tak lagi jalankan kewajipan masyarakat (fardu kifayah) seperti yang dituntut.

Kunta Kinte nak tanya, adakah cukup dan lengkap kita jalankan fardu kifayah setakat kebumi mayat dan solat berjemaah? Hatta urus jenazah pun bukan lagi kewajipan masyarakat atau fardu kifayah seperti yang kita kenali dan buat satu masa dulu.

Sekarang ini, di banyak tempat, termasuk masjid, mengurus jenazah dah jadi kegiatan berupah. Walaupun kaedah pengurusan jenazah cara ini mudah dan lancar asalkan ada duit, namun ia tak lagi babitkan masyarakat setempat secara cergas.

Soalnya, di manakah kegiatan bantuan (outreach) masyarakat Islam untuk kelompok-kelompok yang perlukan bimbingan rohani dan jasmani?

Yang kita selalu dengar adalah kegiatan bantuan kecemasan dan kemasyarakatan yang orang Islam Malaysia buat di luar negara.

Kurang sangat kita dengar orang Islam Malaysia buat kerja kebajikan di dalam negara sendiri seolah-olah kera di hutan kita disusukan, anak di rumah kita biar mati kebuluran.

Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, sangat kurang unsur kifayah dalam hidup majoriti orang Islam di Malaysia. Kalau buat pun sekadar dalam kumpulan sendiri sahaja.

Umpamanya berdakwah di masjid dan surau di kalangan yang sudah pun mengerjakan perintah agama. Orang putih kata, preaching to the converted.

Buat kerja kebajikan

Sebab itulah Kunta Kinte cukup bangga dan sokong badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan, khususnya Islam, yang buat kerja-kerja kebajikan, termasuk projek bagi makan orang susah di kampung dan bandar.
Memanglah mudah tuduh orang melarat yang makin hari makin ramai di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain sebagai malas dan bergantung pada orang lain untuk hidup.

Tapi Kunta Kinte rasa kita kena tanya juga pasal apa bilangan mereka makin ramai. Boleh jadi hal ini ada kaitan dengan sistem ekonomi yang tambah berat sebelah, pengangguran yang meningkat dan kurangnya jaminan sosial untuk golongan bawahan.

Marilah kita jadi orang yang berhati nurani. Orang putih kata ada ‘conscience’. Kita elaklah diri kita daripada jadi hamba kepada orang berduit dan berkuasa sebab tak ada kuasa yang lebih besar daripada kuasa Allah. Insya-Allah hidup kita lebih damai.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda. Berita Harian Agama 2014/07/12 - 09:28:10 AM Kunta Kinte

Berpada-pada berbuka, jangan membazir

Diceritakan di Arab Saudi, 5,000 tan sisa makanan dibuang dalam tempoh tiga hari berpuasa sahaja. Itu baru tiga hari berpuasa. Bayangkanlah berapa banyak sisa makanan terbuang menjelang akhir Ramadan.

Oleh kerana terlalu banyak, pihak berkuasa tempatan negara itu menyediakan 45 mesin pemampat sisa makanan berhampiran Masjidilharam dan mengupah kira-kira 8,000 tukang cuci sepanjang bulan puasa ini.

Kementerian Perdagangan dan Industri negara itu turut melahirkan kebimbangan kerana hampir 45 peratus sisa buangan pada bulan Ramadan adalah bahan makanan manakala saintis sosial yang membuat kajian menyifatkan amalan itu sebagai satu tabiat yang tidak boleh diterima.

Kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mendapati setiap tahun dunia membazirkan kira-kira 1.3 bilion tan makanan. Jumlah itu adalah bersamaan 33 peratus daripada pengeluaran makanan tahunan dunia. Di negara-negara kaya pula 222 juta tan makanan dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah setiap tahun.

Masalah pembaziran makanan di bulan puasa bukan berlaku di Arab Saudi sahaja. Di Malaysia pun sama. Bulan puasa, bulan mewah makanan. Pergilah ke Pasar Ramadan, paling banyak peniaga adalah peniaga makanan. Ada beratus-ratus jenis juadah dijual di situ. Macam-macam jenis kuih, lauk pauk dan minuman ada. Makanan yang sukar dicari pada hari-hari biasa pun tiba-tiba 'menjelma' pada bulan ini.

Hotel dan restoran pula menyajikan 'lautan makanan' sebagai bufet berbuka puasa. Pengunjung boleh menikmati apa sahaja juadah untuk berbuka.

Oleh kerana terlalu mewah dengan makanan, pembaziran tidak dapat dielakkan. Tidak keterlaluan dikatakan sudah menjadi satu perkara biasa. Kuantiti pembaziran itu terpulang kepada individu, ada sedikit dan ada yang banyak.

Lihatlah sendiri cara segelintir umat Islam berhadapan dengan makanan pada bulan puasa. Ada sesetengahnya menjadikan waktu berbuka sebagai 'pesta makan.' Mereka membeli makanan pada kuantiti yang banyak semata-mata kerana desakan rasa lapar berpuasa. Tetapi bukan semua dapat dihabiskan. Tidak sempat menjelang waktu sahur pun, sebahagian juadah yang dibeli itu biasanya berakhir di dalam tong sampah.

Pembaziran makanan paling ketara dapat dilihat pada majlis-majlis berbuka puasa. Lebih-lebih lagi jika majlis itu ditaja dan dihidang secara bufet. Beberapa minit sebelum azan maghrib berkumandang, ada yang mengambil macam-macam jenis makanan untuk memenuhi meja makan.

Kesudahannya lebih banyak makanan tidak disentuh. Oleh kerana kerana terlalu banyak pilihan makanan untuk dimakan, lebih banyak pula makanan terbuang begitu sahaja. Perkara ini bukan berlaku di bulan puasa sahaja, bulan-bulan lain pun sama. Maklumlah makan percuma!

Walaupun semua orang mengetahui pembaziran dilarang dalam Islam tetapi mereka masih melakukan, tidak beringat dan tidak pula serik mengulanginya. Walaupun membayar sendiri harga makanan itu atau makanan itu dibayar oleh orang lain, mereka tidak melihat itu sebagai satu bentuk pembaziran.

Beberapa hotel dan restoran di Amerika Syarikat dan negara Eropah pernah memperkenalkan polisi antipembaziran makanan. Mereka mengenakan caj tambahan kepada pelanggan yang lebih banyak 'mengisi pinggan daripada mengisi perut.' Pelanggan perlu membayar caj tambahan pada kadar tertentu jika gagal menghabiskan makanan masing-masing. Pada satu peringkat, bagi mengurangkan pembaziran makanan, ada juga restoran yang bermurah hati membenarkan pelanggan 'menapau' makanan tetapi dengan syarat membawa bekas makanan masing-masing.

Bagaimanapun dalam masyarakat di negara ini, ramai yang hanya mampu melihat dan tidak tergamak untuk menegur perbuatan sedemikian apatah lagi ketika waktu berbuka puasa. Cara paling baik menegur ialah dalam nada 'gurau senda.' Harap-harap mesej teguran itu sedikit sebanyak tertikam di hati orang yang kena tegur.

Tidak salah berbelanja lebih sedikit untuk berbuka. Sekurang-kurangnya dapat memberi rezeki dan membantu peniaga makanan di pasar Ramadan selain merancakkan ekonomi negara. Juga tidak salah sekali-sekala menikmati keseronokan berbuka puasa di tengah lautan makanan. Tetapi berpada-padalah, jangan membazir. Hati lebih tenang, jiwa lebih sihat jika kita bersederhana. Rozaman Ismail Utusan/Rencana/20140712

Bisik-Bisik Ramadhan Syawal

MENJELANG Aidilfitri tidak lama lagi, dua perkara mengganggu fikiran Awang. Pertama, kes-kes kecederaan akibat bermain mercun. Kedua, kadar kemalangan jalan raya yang mening­kat. Itulah dua suasana yang tidak sewajarnya dibiarkan terus berlaku pada Ramadan dan Syawal.

Sejak awal Ramadan, dua remaja telahpun terputus jari tangan kanan mereka akibat mercun. Kita berharap biar angka itu tidak berubah sehinggalah sambutan Aidilfitri berakhir.

Bagi nahas jalan raya pula, Awang berharap masyarakat kita tidak dihidangkan dengan berita-berita tragedi di jalan raya lagi seperti sebelum ini. Cukuplah!

Ekoran pergerakan kenderaan yang dijangka berlipat kali ganda sebelum dan selepas Aidilfitri ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan 500 anggotanya di 31 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya di negara kita. Antara lain memantau dan memeriksa bas-bas ekspres dan persiaran serta menjalankan kempen kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya.

Soal sama ada langkah JPJ itu akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya pada musim perayaan ini sebenarnya banyak bergantung kepada pengguna jalan raya sendiri.

Ia amat penting kerana kajian JPJ yang mendapati lebih 70 peratus daripada pengguna jalan raya di negara kita memandu tidak mengikut peraturan kerana mementingkan diri sendiri.

Oleh itu gunakanlah semangat Ramadan kali ini untuk kita semua berubah sikap agar tidak memen­tingkan diri sendiri. Kita tidak perlu mengubah tabiat baik kita atau menjadi 'orang lain' sebaik sahaja kita memandu kenderaan.

Gunakanlah pertimbangan akal sebaik mungkin untuk memastikan nyawa manusia tidak mudah mela­yang di jalan raya. WANG - Renungkanlah!   Utusan/Rencana/20140712

Palestin perlukan pembelaan

AWAL bulan ini dunia dikejutkan dengan tindakan pelampau Yahudi Israel membunuh dan membakar dengan kejam seorang kanak-kanak Palestin, Mohamed Abu Khudair.

Kekejaman Zionis ini mungkin kurang disedari oleh umat Islam, tidak terkecuali di negara ini yang kini terlalu sibuk memperkatakan tentang ketangkasan pemain dan pasukan bola sepak pujaan mereka beraksi dalam Piala Dunia FIFA 2014.

Bagi Zionis atau lebih tepat lagi rejim haram Israel, perbuatan lebih dahsyat daripada perlakuan binatang itu langsung tidak menyalahi norma kehidupan. Malah bagi mereka, perbuatan seperti membelah perut ibu sarat mengandung, menyembelih hidup-hidup bayi dan kanak-kanak serta menyeksa sehingga mati warga emas uzur, langsung tidak menjadi dosa bagi mereka, sebaliknya dinobatkan sebagai kejayaan.

Sebagai bangsa yang ‘kononnya’ menjadi pilihan dan disayangi tuhan, adalah halal bagi mereka untuk membunuh manusia lain yang tidak sebangsa, lebih-lebih lagi dalam kalangan umat Islam.

Perbuatan kejam yang mendapat restu negara kuasa besar itu, hanya secebis daripada jutaan kezaliman Israel sejak ‘nakbah’ 66 tahun lalu yang bermaksud malapetaka atau bencana besar apabila Zionis pada 15 Mei 1948 secara rasminya mengisytiharkan penubuhan negara haram Israel.

Mengimbas kembali tragedi hitam yang berlaku di perkampungan Deir Yassin kira-kira sebulan sebelum permulaan nakbah itu, iaitu pada 9 April 1948, penduduknya dibunuh beramai-ramai secara kejam oleh kumpulan pengganas Zionis.

BAPA saudara kanak-kanak perempuan Palestin, Yasmeen al-Motawaq, 4, yang terbunuh dalam serangan
udara Israel mengusung jenazahnya untuk dikebumikan di Jabaliya, utara Genting Gaza, semalam.
Serangan udara rejim Zionis yang dilancarkan ketika subuh Khamis lalu membunuh sekurang-kurangnya
66 penduduk Palestin dengan lebih 50 daripadanya orang awam. - REUTERS

Rumah penduduk dibakar. Mereka yang cuba menyelamatkan diri daripada api marak ditembak bertalu-talu. Wanita hamil hidup-hidup dirodok perut dengan senjata tajam. Kanak-kanak diseksa sebelum dipenggal leher di hadapan ibu bapa sendiri. Penduduk dibunuh dengan anggota badan ditakik-takik, dipotong-potong. Saki-baki wanita dan remaja pe­rempuan yang masih hidup ditelanjangkan serta diarak ke kawasan penempatan haram pengganas sebelum dihadiahkan dengan muntahan peluru.

Kira-kira 34 tahun selepas itu, menggunakan alasan kononnya terdapat saki-baki ‘pengganas’ di Kem Pelarian Palestin di Sabra dan Shatila, rejim haram Tel Aviv itu selama dua hari, 16 dan 18 September 1982 mengepung kedua-dua kem ini dengan ketat dari luar.

Tujuannya bagi membolehkan geng militan Parti Phalangist, Lebanon, kononnya untuk mencari saki-baki itu yang dikatakan beberapa hari sebelumnya terlibat dalam serangan membunuh ketua parti yang juga Presiden Lebanon, Bashir Gemayel, sekutu kuat rejim Zionis Israel.

Mereka dibenarkan masuk untuk membunuh, menyembelih tanpa belas kasihan orang awam terutamanya wanita dan kanak-kanak. Lebih dahsyat lagi mangsa-mangsa terlebih dahulu dirogol sebelum dibunuh dengan kejam.

Sumber Israel mendakwa hanya 700 orang awam terbunuh. Sumber Lebanon pula mengatakan kira-kira 1,900 orang manakala sumber Palestin menyebut antara 3,000 dan 3,500 pelarian menjadi korban. Seramai 1,000 hingga 1,500 orang lagi hilang dan hanya 1,000 berjaya melarikan diri.

Kenapakah rejim Israel akhir-akhir ini semakin mengganas?

Memetik kenyataan Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Dr. Mousa Abu Marzook, ia berpunca daripada rasa terancam dengan persefahaman dan pembentukan kerajaan perpaduan Palestin yang menyatukan Hamas dan Fatah, bekas sekutu lama Israel hingga menyebabkan negara haram itu kehilangan ‘teman rapat’.

Maka diuar-uarkan mengenai kehilangan dan penculikan tiga remaja Yahudi yang ditemukan mati dibunuh di sebuah ladang di Hebron dan seperti biasa Palestin dituding jari.

Seolah-olah dirancang, dalam operasi mencari dan menyelamat ini, maka ramai rakyat Palestin menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman Israel sama ada ditangkap, dibelasah atau dibunuh tanpa petanda jelas penglibatan mereka dengan ‘penculikan’ tiga remaja berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, kematian penuh tragis Mohamed telah membangkitkan kemarahan bukan sahaja penduduk Palestin tetapi seluruh dunia termasuk bukan Islam.

Jelasnya, kebangkitan rakyat Palestin yang dikenali sebagai Intifada (Kebangkitan) Ketiga ini berlaku di seluruh pelosok Tebing Barat, Kota Al-Quds, kawasan Palestin 1948 dan kem-kem pelarian di Lebanon.

"Rentetan peristiwa itu, rejim Israel mengisytiharkan tindakan ketenteraan terhadap gerakan rakyat Palestin dengan misi ‘menghancurlumatkan Gaza’, iaitu sebuah penjara terbuka terbesar di dunia yang mempunyai kira-kira 1.7 juta penghuni dalam kawasan seluas kira-kira 313 kilometer persegi yang dikepung dari segenap penjuru daratan, udara dan lautan," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Tabung Kecemasan Gaza di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Sehingga rencana ini ditulis, rejim haram itu telah melakukan ratusan serangan udara dan darat terhadap penduduk Palestin. Seperti biasa, secara dayusnya kebanyakan serangan itu ditujukan kepada kawasan awam, rumah-rumah kediaman dan ladang pertanian hingga mengorbankan wanita, warga tua dan kanak-kanak.

Tambah Awang Suffian, keadaan penduduk Palestin pada masa ini amat sukar. Segala-galanya dikekang oleh Israel, sempadan udara, darat dan laut ditutup, jika ada pun bantuan yang diberikan hanya daripada rejim itu sahaja.

Namun, tegas beliau, semuanya berbayar dengan kadar berlipat kali ganda tetapi kualitinya langsung tidak terjamin.

Bekalan petroleum, elektrik, air bersih, makanan dan segalanya dihadkan sepertiga daripada keperluan sebenar para penduduk.

"Tujuannya hanya satu iaitu untuk melemahkan mental dan fizikal penduduk Palestin tetapi pada masa sama mengambil kesempatan meraih keuntungan melampau daripada para penduduk.

"Sebelum ini, sejak kemenangan Hamas pada 2006 di Gaza, para penduduknya menggunakan lebih 1,000 terowong yang menyambungkan sempadan Rafah, Mesir, untuk mendapatkan pelbagai keperluan, namun sejak bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi digulingkan pada 2013, semua terowong berkenaan dimusnahkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Justeru Tabung Kecemasan Gaza yang dilancarkan baru-baru ini menyasarkan untuk mengutip sejumlah RM5 juta untuk digunakan bagi menyalurkan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kezaliman tentera rejim Zionis itu.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan masing-masing melalui mana-mana akaun Aman Palestin yang boleh didapati di laman web www.amanpalestine.net atau laman Facebook rasmi, www.facebook.com/AmanPalestinOfficial.

Fakta mengenai penderitaan rakyat Pales­tin dan ditindas dan dizalimi rejim Zionis sudah dimaklumi oleh semua orang di serata dunia.

Namun tidak salah jika kisah malang mereka kembali dihangatkan untuk membuka mata semua khususnya badan antarabangsa dan kuasa besar dunia memandangkan sehingga kini tidak ada usaha bersungguh-sungguh daripada masyarakat dunia untuk menyelamatkan mereka. TARMIZI ABDUL RAHIM rencana@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140711

Buktikan persaudaraan bukan retorik

KETIKA ini saudara Islam kita di Gaza sedang menanggung penderitaan akibat kezaliman tentera zionis. Bagi mereka yang prihatin, sedia maklum saudara kita di Syria juga perit berada dalam zon pembunuhan. Tidak lupa saudara kita di Rohingya menjadi mangsa kebuluran dan pelarian.

Besar sungguh ujian Allah SWT yang dihadapi mereka pada bulan Ramadan ini. Apakah yang termampu kita lakukan sebagai saudara Islam?

Konflik dan pergolakan dalam kalangan negara-negara Islam menimbulkan banyak kekeliruan. Apakah persaudaraan Islam sekadar retorik? Mengapa sukar merea­lisasikan persaudaraan Islam? Adakah realiti persaudaraan hanya tinggal sejarah?

Jawapannya ada di dalam al-Quran. Bukankah persaudaraan ini sebagai satu nikmat yang dianugerahkan Allah SWT (surah ali Imran ayat 103), tanda orang bertakwa (surah az Zukhruf ayat 67) dan simbol kekuatan iman (surah al-Hujurat ayat 10). Bahkan lembaran sirah Rasulullah SAW mengukuhkan sistem negara Islam hanya mampu dibina dengan suntikan nilai persaudaraan.

Orang ramai mengangkat mayat seorang kanak-kanak Palestin yang terbunuh dalam serangan
udara Israel yang turut meranapkan rumah keluarga kanak-kanak malang ini di utara Gaza, kelmarin. - REUTERS


Akibat banyak pergolakan, wujud pandangan yang pesimis dengan persaudaraan Islam yang disuburkan oleh Baginda Rasulullah. Ada yang bertanya, inikah ajaran Islam? Apabila bukti di hadapan mata membongkar segala kerapuhan umat Islam, payah untuk menjelaskan fakta sebenar. Melainkan mereka yang memahami sirah dan sejarah hidup umat Islam.

Tapi, berapa ramai yang hanya gemar membuat kesimpulan mudah berbanding mencari sebab, faktor, pengaruh dan lain-lain alasan secara ilmiah. Di saat terdapat kajian Indeks Keislaman oleh Profesor Hossein Askari dan Dr. Scheherazde S Rehman dari Universiti George Washington mengejutkan ramai pihak khususnya negara-negara Islam. Dapatan kajian pengkaji meletakkan Ireland di tangga teratas Indeks Keislaman diikuti Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapura, Finland, Norway dan Belgium.

Jadi kita merumuskan bahawa negara sekular Eropah yang tidak begitu mempedulikan perkembangan dan kemajuan Islam, telah berada di tangga teratas Indeks Keislaman.

Timbul kritikan adakah Islam lebih baik di negara Eropah berbanding di negara Islam sendiri? Adakah negara Eropah mencapai piawai keislaman yang lebih baik daripada Arab Saudi yang menempatkan kota suci Mekah dan Madinah? Rasa tercabar dengan indeks keislaman yang merendahkan umat Islam sendiri.

Lalu kita membidas kajian itu kerana rasa dizalimi. Jika indeks itu menyebabkan kita diadili secara tidak tepat, maka kerajaan mencadangkan indeks maqasid syariah dan kaedah pelaksanaan wasatiyyah perlu disokong. Ketika ini persaudaraan Islam perlu menjadi elemen pencapaian yang mesti diusahakan oleh semua pihak.

Kerapuhan persaudaraan Islam dicalar dengan propaganda Barat. Itu hujah yang mudah. Selain itu ia berpunca kerana kejumudan umat Islam sendiri. Meskipun elemen Islam menjadi sebati dalam diri umat Islam tetapi ia masih belum cukup utuh menghadapi cabaran masa kini. Cabaran ini turut menjadi sebab mengapa kerapuhan jati diri sementelah globalisasi dalam dunia umat Islam sedang menular.

Jati diri bermakna identiti sebenar pelaku dalam sesebuah masyarakat. Dalam konteks Islam di Malaysia, elemen Islam sebagai jati diri Melayu sudah diperakui dan sebati dalam bangsa Melayu. Bangsa Melayu selepas menerima Islam sebagai agama dan seterusnya menjadi hukum perundangan negara menjadi kukuh. Meskipun sistem khalifah Islam boleh disamakan sedikit sebanyak dalam semangat pemerintahan sultan, era kesultanan Melayu Melaka dimodifikasikan menurut kesesuaian tempatan.

Malah ekonomi Islam yang dijalankan dalam sistem kesultanan Melayu Melaka membuktikan kekayaan nilai dagangan yang maju. Nikmat persaudaraan terserlah kerana keupayaan sistem pemerintahan dan keyakinan rakyat jelata dalam kehidupan bermasyarakat. Namun apa pula yang menyebabkan nikmat persaudaraan semakin pudar?

Memperkasakan semula jati diri bangsa Melayu, agama Islam haruslah dijadikan sebagai panduan dan pendidik utama kerana tanpa Islam bangsa Melayu akan kehilangan jati diri mereka. Islam terbukti berjaya membina tamadun Melayu yang gemilang sebelum kedatangan penjajah. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bangsa Melayu untuk menghayati serta mengamalkan ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Bagaimanakah akan lahir idea baru dalam keadaan diri dibelenggu oleh sikap tertutup? Jelas sekali adalah tidak merelakan apa-apa unsur idea yang lahir daripada amalan ijtihad, mengharamkan kegiatan percambahan idea dengan mengeluarkan fatwa atau bahawa kini pintu ijtihad sudah tertutup.

Selanjutnya, persoalan di mana dan ke manakah hilangnya dinamisme fikrah umat Islam kini? Rata-rata para pendakwah Islam di mana-mana pun dengan rasa selesa dan mudah menawarkan penyelesaian, iaitu "kita hendaklah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah".

Para ustaz dan ustazah dengan mudah menyatakan bahawa semua penyelesaian ada dalam kedua-dua sumber. Pendekatan simplistik ini tidak membawa apa-apa kesan yang mampu merangsang sesiapa, akhirnya ia hanya jadi slogan ceramah semata-mata.

Dengan erti kata lain, menyerap pe­ngaruh globalisasi dalam kerangka pemikiran umat Islam jangan sampai mengikis persaudaraan. Jati diri bangsa perlu diberi perhatian segera. Jika tidak, kita tercari-cari identiti siapa yang akhirnya liberalisme dan pluralisme menyerap masuk dalam diri generasi kini.

Orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudara kita. Keyakinan adalah asas utama. Maka kita tidak mahu persaudaraan Islam tinggal sekadar mitos. Pendekatan bijak perlu diberi perhatian. Ia bertujuan memugar persaudaraan Islam agar jangan sampai menjadi cerita dongeng sahaja. Berlapang dada. Itu pendekatan pertama mengakui persaudaraan Islam makin rapuh.

Kerapuhan persaudaraan umat Islam dianggap sebagai ujian Allah. Setiap ujian pasti ada hikmah dan hidayah yang tersembunyi. Kita akui persaudaraan Islam masa kini perlu dilestarikan dengan pelbagai aspek politik, sosial dan ekonomi. Dengan harapan bahawa arus globalisasi dan konflik kepentingan dapat diuruskan dengan semangat Islam sebagai agama yang membawa rahmat, bukan mudarat.

Pendekatan kedua, melestarikan akademia Islam. Akademia bermaksud dunia penyelidikan akademik. Kita percaya para sarjana Islam tidak kurang hebatnya. Ramai sarjana yang membuat kajian dalam pelbagai disiplin Islam. Namun masih kurang kajian untuk dijadikan model persaudaraan merentas disiplin ilmu. Pemecahan disiplin ilmu telah mengurangkan impak kajian sarjana Islam. Sekali gus menjadi ruang kajian lain untuk mencari kelemahan dan merendahkan martabat Islam.

Pendekatan ketiga, menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang ekonomi. Masalah utama kerapuhan umat Islam ialah jurang antara golongan kaya dan miskin. Rapatkan jurang kemiskinan. Agihkan kekayaan secara adil. Semarakkan sikap dermawan antara negara. Menghidupkan falsafah filantropi Islam pada semua peringkat.

Mekanismenya bermula dengan sistem pendidikan dan institut kajian yang akan menjadi rujukan pihak pelaksana dasar. Sistem riba dijauhkan sama sekali, tetapi syaratnya kredibiliti institusi perbankan Islam mesti dipertingkatkan.

Keempat, sarjana Islam dari pelbagai aliran mazhab mesti menjadi barisan hadapan pendokong persaudaraan Islam. Elakkan kecelaruan pandangan. Bukan bermakna kita tidak meraikan perbezaan pandangan. Berbeza pandangan adalah fitrah. Namun apa guna perbezaan pandangan jika alasan fitrah menjadi sebab kepada barah?

Justeru, buktikan persaudaraan Islam bukan sekadar retorik. RAHISAM RAMLI  ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Melaka. Utusan/Rencana/20140712