July 15th, 2014

Ruginya jika Ramadan tidak dimanfaatkan

LAGU-lagu hari raya telah pun berkumandang di kebanyakan pusat beli-belah. Bazar Ramadan begitu meriah dengan beraneka makanan. Dalam pada itu banyak restoran dan hotel yang menawarkan bufet Ramadan dengan pelbagai keistimewaan.

Disebabkan mengejar persediaan untuk berbuka puasa dan hari raya, hikmah dan kelebihan Ramadan seolah-olah diketepikan oleh sesetengah umat Islam. Maka, manusia yang berkepentingan duniawi akan terus dengan kejahilan terhadap Ramadan yang mengandungi 1001 kebaikan itu.

Sedangkan, kelebihan Ramadan boleh dilihat dari banyak sudut, walaupun matlamat utamanya adalah demi mencapai keredaan Allah SWT. Tuhan yang Maha Pengasih tidak mewajibkan atau menggalakkan sesuatu perkara untuk dilakukan jika ia tidak memberikan kebaikan dan manfaat kepada hamba-Nya.

Begitulah juga keadaannya dengan berpuasa dalam Ramadan. Walaupun dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Allah menyatakan bahawa semua ibadah yang dilakukan manusia itu adalah untuk manusia itu sendiri kecuali puasa, dan ia merupakan satu-satunya persembahan ibadah daripada manusia untuk Tuhan Pencipta, tetapi Ramadan dan puasa tetap anugerah yang amat istimewa kepada manusia jika mereka meyakini dan mengamalkannya.

Puasa dalam bulan Ramadan dianggap sebagai kem ibadah yang sarat dengan disiplin kerohanian. Tidak membenarkan perut diisi pada waktu siang dalam tempoh yang tertentu ialah antara syarat bagi hamba yang mengakui taatkan Tuhannya.

Tetapi, di sebalik disiplin berkenaan ia sebenarnya mengandungi manfaat yang amat besar kepada tubuh badan seseorang manusia. Ketika manusia menjalani ibadah ini dari sudut fizikal; dengan menjadikan perut sebagai zon yang aman, begitu juga dengan larangan melakukan perbuatan tertentu, sebenarnya dalaman tubuh manusia sedang melaksanakan "program" tersendiri yang amat bermanfaat kepada kesihatan tubuh manusia.

Sistem pencernaan yang melibatkan organ-organ seperti perut, usus dan hati sedang melakukan operasi pembersihan di samping memperbaiki lagi keadaan dalaman tubuh, yang sebelum itu telah pun be­kerja keras pada sepanjang tahun.

Dari sudut kesihatan fizikal sebagaimana yang disebut sebelum ini, hati merupakan antara organ yang terlibat dalam sistem pencucian tubuh. Dari sudut lain yang lebih abstrak sifatnya, hati juga dirujuk sebagai tempat terbitnya setiap perasaan. Galakan untuk melakukan ibadah-ibadah sunat selain menjaga ibadah wajib, sebenarnya adalah dorongan agar ketenangan dapat dicapai selain ia akan mendapat pahala.

Ketika proses pencucian secara fizikal berlangsung, hati berada dalam situasi yang sejahtera kerana ia tidak melayan niat-niat yang tidak baik. Itu sebagai reaksi kepada larangan-larang yang dikemukakan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Contohnya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan jahat, maka Allah tidak memerlukan (usahanya) untuk meninggalkan makanan dan minuman."

Begitu juga dengan sabda Rasulullah yang antaranya membawa erti: "Lima perkara yang menghapuskan puasa yakni dalam erti menghapuskan pahalanya ialah dusta, mengumpat, mengadu-domba, mem­beri sumpah palsu dan melihat se­suatu de­ngan hawa nafsu."

Sesungguhnya melalui amalan berpuasa, Allah yang maha bijaksana telah mewujudkan suatu medium bagi umat manusia untuk meraih kebaikan dan manfaat dari sudut fizikal, emosi dan rohani pada satu masa. Belum lagi ia dilihat sebagai pelaburan ukhrawi yang terbaik.

Jika perbuatan buruk dilakukan, tentulah tidak berlaku galakan dan sokongan kepada bahagian dalaman tubuh manusia yang sedang melalui pemulihan dan penyegaran secara alamiah. Barangkali natijahnya hanya sia-sia kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Banyak sekali orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga".

Oleh itu, alangkah ruginya sekiranya kem yang sebegini istimewa disediakan kepada umat manusia, tidak dimanfaatkan malah dicemari dengan tindakan yang berorientasikan nafsu. Sedangkan antara tujuan berpuasa adalah untuk mengawal dan menjinakkan nafsu.

Jika kita perhatikan cara Baginda Rasulullah berbuka puasa menunjukkan perut tidak perlu diasak dengan muatan makanan yang banyak. Apa yang diperlukan oleh badan ialah tenaga dan khasiat-khasiat tertentu demi kelangsungan hidup secara sihat.

Ada juga kalangan yang membuat senarai menu berbuka puasa. Adalah lebih baik jika kita belajar untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh badan, makanan bagaimanakah yang perlu dijadikan sebagai juadah untuk berbuka puasa dan bersahur, serta jumlah yang sesuai diperlukan oleh ahli keluarga.

Ringkasnya, manfaatkan bulan Ramadan sebagai tempoh perancangan diet yang berkesan. Tidak membazir adalah tanda manusia yang bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT anugerahi dan ia sebahagian daripada kebijaksanaan.

Begitu juga dengan membanyakkan sedekah pada bulan mulia ini adalah tindakan yang menunjukkan seseorang insan itu amat mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Sedekah juga mampu mendidik jiwa. Sekurang-kurangnya menjadikan seseorang itu tidak bersikap mementingkan diri.

Jika disiplin ini berjaya dilalui dalam tempoh ibadah puasa dijalani, bermakna ia juga boleh terus diamalkan sampai bila-bila. Individu berkenaan akan mengamalkan budaya pemakanan dan hidup yang amat menyihatkan. Inilah sebenarnya cerminan hidup dan budaya Islami.

Pandangan IKIM ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan/Rencana/20140715

Turunnya al-Quran di bulan Ramadan

SURAH al-Baqarah ayat 185, Allah SWT berfirman: "Bulan Ramadan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan serta yang akan memisahkan yang benar daripada yang batil".

Ada empat perkara yang boleh diulas daripada ayat ini. Pertama, al-Quran diturunkan pada Ramadan, kedua, ia sebagai petunjuk kepada manusia, ketiga ia membawa penjelasan-penjelasan dan keempat ia memisahkan yang benar daripada yang batil.

Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, penuh dengan rahmah dan barakah.

Al-Quran diturunkan di bulan ini memberi erti yang besar kepada manusia kerana di bulan ini manusia beriman melalui madrasah yang mendidik hati dan jiwa supaya bertakwa kepada Allah.

Perkhabaran dari langit ini adalah penting kepada manusia kerana kekuatan akal manusia adalah terbatas dan tidak segala-galanya. Perkhabaran daripada Allah memperjelaskan yang nyata dan yang ghaib dan hubungan Pencipta dengan makhluk dan alam ini sendiri.

Yang dibawa oleh al-Quran adalah petunjuk. Petunjuk itu datangnya daripada Allah. Manusia mendapatkan ilmu dan maklumat tetapi belum tentu menerima petunjuk. Petunjuk terkandung kebenaran yang datangnya daripada Allah memahami sesuatu dalam hidup ini.

Ada manusia menerima maklumat dan pengetahuan tetapi belum tentu dapat petunjuk. Dalam kita mencari kebenaran, faktor zahir belum memadai. Ia memerlukan faktor batin diperkasa supaya terbina fikrah dan tasawwur yang betul.

Kemudian ada keikhlasan untuk mencari kebenaran akan sesuatu perkara dan Allah berikan petunjuk. Pedoman itu bila diikuti ternyata memberi ketenangan dan jawapan yang hakiki terhadap sesuatu.

Al-Quran juga memberi penjelasan-penjelasan. Dalam ayat lain Allah mengutuskan para Rasul membawa khabar gembira dan peringatan, tapi ramai manusia tidak mengetahui.

Manusia bermula dengan proses tahu. Daripada tahu manusia menjadi faham dan daripada faham manusia menerima makna. Ia dilakukan dengan penjelasan-penjelasan.

Mengapakah manusia dihidupkan? Al-Quran memberi jawapan bahawa manusia dihidupkan untuk beribadah kepada-Nya. Maksud ibadah di situ amat luas. Ia tidak saja bermaksud kepada ibadah khusus seperti solat dan siyam tetapi ibadah khusus memberi natijah kepada amal Islami yang lebih besar.

Al-Quran memberi penjelasan tentang makna wujud dan ghaib. Wujud sesuatu tidak semestinya nyata dan tampak. Roh itu wujud tetapi tidak nampak. Tanpa roh akal tidak berfikir, hati tidak merasa dan daya tidak bertenaga. Tanpa roh makhluk akan mati.

Al-Quran memperjelaskan mengenai peranan manusia. Al-Quran menyatakan Inni jaailun filardhi khalifah. Dalam peringatan mudahnya adalah peranan manusia ialah sebagai pemimpin, pengurus dan pentadbir.

Al-Quran memberikan pedoman fardu ain dan hal-hal rohaniah supaya manusia mampu mengurus dirinya. Mengurus diri amat penting sebelum kita mengurus yang lain.

Di samping diri sistem juga harus diurus. Organisasi, sumber, masa, kualiti dan produktiviti perlu diurus. Sebagai khalifah mempelajari ilmu mengurus sistem adalah dituntut kerana sumber dalam sistem yang bersifat rahmah dan nikmah datang daripada Allah.

Bila melakukan pengurusan diri dan sistem manusia perlu tahu batasan boleh dan tidak boleh, halal dan haram, dosa dan pahala, maaruf dan mungkar dan hak dan batil. Tanpa pedoman tersebut daripada al-Quran dan ditunjukkan oleh sunah Rasulullah SAW, manusia boleh hilang pedoman, terjebak dengan dosa dan bergelumang dengan kemungkaran.

Sebab itu turunnya al-Quran di bulan Ramadan ini adalah mukjizat yang amat bermakna daripada Allah kerana manusia diberi pedoman mengapa ia dicipta dan siapa sebenarnya Pencipta itu.

Bila manusia mengenal Pencipta, landasan akidahnya kuat, jalur ibadahnya elok, patuh syariahnya tinggi dan melalui Ramadan selama sebulan ia bakal menjadi manusia muttaqeen (Maksud surah al-Baqarah ayat 183).

Jiwa muttaqeen ini adalah puncak mujahadah manusia di bulan Ramadan supaya wujud pelindung pada diri manusia supaya ada kekebalan pada diri untuk menjadi insan soleh dan solehah seterusnya. DARI JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140715

Masuki separuh kedua Ramadan

KETIKA kempen Piala Dunia 2014 melabuhkan tirainya dengan berlangsungnya perlawanan akhir antara Argentina dan Jerman awal pagi semalam, bulan Ramadan yang disambut oleh umat Islam seluruh dunia pula telah secara rasmi memasuki fasa separuh keduanya.

Kalau dalam perlawanan bola sepak, separuh masa kedua adalah kesempatan terbaik bagi memperbaiki kelemahan semasa separuh masa pertama. Jika gawang dibolosi beberapa kali semasa separuh masa pertama, maka kesempatan di separuh masa kedua perlu digunakan semaksima mungkin untuk memperbaiki kelemahan, memperbetulkan strategi dan mempertajamkan jentera serangan dengan harapan dapat beroleh kemenangan pada akhir perlawanan.

Jika menang akan diberi mata kemenangan, jika tewas hanya penat dan lelah yang diperolehi tanpa sebarang mata. Begitulah juga halnya dengan Ramadan yang telah kita harungi sehingga ke separuh kedua ini. Alhamdulillah, kebanyakan kita masih mengekalkan momentum ibadah sebagaimana di permulaan Ramadan. Masjid dan surau masih lagi dapat bertahan dengan jumlah jemaah yang ramai ketika solat tarawih walaupun tidak seramai ketika permulaan Ramadan.

Antara adat dan syariat: Begitulah suasananya Ramadan di tempat kita. Bila sampainya Ramadan, selain ibadah puasa, sahur dan tarawih, ia juga sinonim dengan amalan biasa yang kita lakukan sempena Ramadan seperti bazar Ramadan, penyediaan juadah berbuka seperti murtabak, menyediakan jamuan moreh usai solat tarawih dan sebagainya. Seolah-olahnya jika tiada elemen berkenaan, maka tidak lengkaplah puasa kita.

Sesungguhnya ibadah puasa juga begitu unik berbanding ibadah-ibadah lain. Ada orang yang solat berpuasa, orang yang tidak bersolat juga berpuasa. Orang menutup aurat berpuasa, orang berpakaian seksi juga berpuasa. Orang tua berpuasa, anak-anak kecil juga berpuasa.

Namun, suka atau tidak, semua kita perlu diperingatkan walau apapun cara kita menerima kehadiran Ramadan, suatu hakikat yang semua perlu terima dan faham ialah natijah dan tujuan berpuasa ialah untuk meraih taqwa. Taqwa ialah matlamat utama berpuasa. Sekiranya amalan kita tidak menjurus ke arah taqwa dan jika sifat dan ciri ketaqwaan itu tidak terzahir dalam tingkahlaku kita, maka ada suatu tidak kena dengan puasa yang kita lakukan.

Taqwa sebagai matlamat puasa: Perkataan taqwa, meskipun didengar saban waktu - sekurang-kurangnya empat kali seminggu iaitu ketika mendengar khutbah Jumaat, namun masih ramai tidak memahami akan maksud dan falsafahnya. Buktinya, tindak-tanduk umat Islam kadangkala tidak menggambarkan mereka faham akan maksud taqwa tersebut. Lalu apakah maksud taqwa itu sebenarnya?

Imam Ali bin Abi Talib mendefinisikan taqwa sebagai 'meninggalkan perbuatan maksiat dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan'. Beliau juga membahagikan ciri-ciri taqwa kepada empat iaitu Al-Khauf minal Jalil (Takut kepada Allah Yang Maha Agung), Al-Amal bit Tanzil (Beramal apa yang Allah turunkan dalam al-Quran), Ar-Ridha bil Qalili (Rasa cukup dengan sedikit yang kita ada) dan Al-Ist'dad ila yaumirrahiil (bersedia menghadapi hari keberangkatan/kematian).

Imam Syafie berkata, kamu boleh lihat diri kamu berada di puncak ke­takwaan apabila berlaku perkara berikut: Al-Juud minal Qalil (Kamu bersedekah walaupun duit yang kamu ada tinggal sedikit), Al-War'u 'Indal Khalwah (Kamu bersikap wara' ketika kamu berseorangan) dan An-Takuna kalimata Haqqin Inda Ma Yukhafu wa Yurja (Kamu dapat katakan kebenaran di hadapan orang yang kamu takuti dan kamu harapkan sesuatu daripadanya).

Seterusnya Al-Hasan mendefinisikan taqwa sebagai menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan. Ibn Kathir pula manyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi iaitu menjaga diri daripada perkara tidak diingini manakala Ibn Abbas menggambarkan orang bertaqwa ialah mereka takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara datang daripada-Nya.

Orang solat, kita pun solat, orang puasa kita pun berpuasa. Bila ditanya falsafah puasa dan kenapa kita perlu berpuasa ada juga yang tidak tahu.

Islam agama ilmu: Ayat pertama diturunkan di dalam al-Quran ialah berkaitan ilmu iaitu ayat Bacalah (Iqra) di dalam surah Al-Alaq. Ia secara tidak langsung memberi konotasi Islam adalah agama yang berdiri di atas prinsip ilmu dan kefahaman yang jelas berteraskan dalil dan hujjah, bukan ikut-ikutan atau warisan nenek moyang semata-mata. Islam tidak berdiri di atas emosi berteraskan apa jua sentimen tetapi di atas hujah dan kebenaran.

Justeru, jika ilmu dan kefahaman tidak mendasari amal ibadah kita, natijahnya, tindak tanduk kita kadangkala tidak mencerminkan syariat Islam, tetapi lebih kepada adat yang telah kita anggap seperti syariat.

Seterusnya, tanpa ilmu yang jelas tentang syariat juga akan menyebabkan kita mengambil sebahagian daripada al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lainnya. Kita juga kadangkala akan lebih mengutamakan isu furu'(cabang) melebihi isu usul (pokok).

Penutup: Begitulah contoh senario ketidak fahaman masyarakat tentang syariat Islam menyebabkan kejahilan di dalam agama terus berterusan. Justeru, ilmu-ilmu tentang syariat Islam perlu dipertingkatkan agar amal ibadah yang kita laksanakan adalah bersandarkan ilmu dan diterima Allah hendaknya. Yang paling penting keberadaan kita di dalam Islam ini juga perlu bersandarkan ilmu dan kesedaran yang jelas bukan kerana faktor genetik atau kerana kebetulan datang daripada keluarga beragama Islam. Nisar Mohammad Ahmad, Penyelidik Tamu, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia Utusan/Forum/20140715

Jadikan masjid mesra kanak-kanak

Melangkah ke bulan Ramadan bererti memasuki gerbang tarbiah yang penuh dengan ujian dan latihan. Pada bulan ini, umat Islam berpusu-pusu mengimarahkan masjid untuk berwirid, bertadarus, beriktikaf dan pastinya bertarawih.


Amat seronok melihat suasana kemeriahan masjid sepanjang Ramadan apabila berduyun-duyun orang memenuhi setiap ruang masjid. Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada perkara perlu diberi perhatian.

Antara insiden di masjid sama ada sedar atau tidak ialah kehadiran jemaah bersama anak kecil yang ada kala mengundang rasa kurang senang dalam kalangan jemaah khususnya apabila tidak dapat memberi tumpuan kepada ibadah hingga hilang khusyuk.

Pernah berlaku, seorang jemaah lelaki membawa anak perempuan berumur lima tahun bersama berdiri di sebelahnya dalam saf hadapan jemaah lelaki.

Ada pula bapa yang membawa anak kecil dan mengambil kedudukan di hujung saf. Malangnya, tiba-tiba anak melepas qada hajat menyebabkan bau kurang menyenangkan kepada jemaah lain. Bagaimanapun, bapa tadi tidak melakukan tindakan sepatutnya.

Itu belum dikira kanak-kanak yang dibawa ke masjid dan ditempatkan di saf paling belakang. Maka sesama mereka terhasil keriuhan yang pastinya mengganggu tumpuan jemaah dewasa. Ini sekadar sebahagian suasana berlaku di masjid membabitkan jemaah kanak-kanak.

Pihak masjid perlu kreatif

Justeru, bagi memastikan semua ahli jemaah tidak terganggu ketika menunaikan ibadah, pihak pengurusan masjid perlu mengambil langkah kreatif antaranya, menyediakan bilik nurseri yang dibuka setiap waktu solat dan diuruskan oleh sukarelawan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

Mendirikan dua ruang solat berbeza, tingkat atas untuk dewasa, manakala bawah untuk ibu bapa bersama-sama kanak-kanak. Menguatkuasakan peraturan hanya kanak-kanak berumur tujuh tahun atau yang mumaiyiz saja boleh berada di ruang solat dewasa.

Pengurusan masjid boleh mewujudkan aktiviti khas kanak-kanak ketika solat berlangsung seperti mewarna, yang dapat menarik perhatian mereka.

Pihak pengurusan masjid tidak boleh menghalang ibu bapa daripada membawa anak ke masjid kerana ini proses pendidikan awal dan semaian perasaan cintakan masjid. Namun, perlu ada kaedah terbaik memastikan kehadiran kanak-kanak tidak mendatangkan fitnah kepada masjid dan jemaah.

Maka kita perlu berani mengorak langkah berubah dengan menjadikan masjid mesra kanak-kanak supaya semua jemaah selesa dalam beribadah.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri ialah Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia Berita Harian Agama 2014/07/15 - 03:44:41 AM

Kelebihan doa malaikat

Perbanyak amal jariah, utamakan solat berjemaah

Ramadan yang mulia mengingatkan kita makhluk diciptakan Allah SWT daripada cahaya dan berbeza daripada manusia, makhluk ini tidak pernah ingkar perintah Allah SWT, jauh sekali untuk melakukan maksiat kepada-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya (malaikat) adalah hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafaat melainkan kepada orang yang diredai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 26-28)


Tanpa kita sedari, malaikat sering mendoakan kebaikan untuk manusia yang sentiasa taat perintah Allah SWT. Ada riwayat menyatakan malaikat yang menunggu di pintu masjid mendoakan kebaikan jemaah yang hadir bersolat.

Malaikat menziarahi ahli masjid

Jika ahli masjid mendapat keuzuran, malaikat akan pergi menziarahi orang itu di rumahnya. Bukan sekadar itu, malaikat pernah berperang bersama Baginda SAW dalam peperangan. Malaikat juga membantu memenggal kepala kaum musyrikin dalam peperangan Badar.

Peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan itu menyaksikan kemenangan besar kepada Muslimin walaupun bilangan mereka hanyalah 313 orang berbanding 1,000 kuffar Quraisy. Maka diturunkan malaikat sebagai memenuhi doa Baginda SAW.

Pertolongan Allah SWT telah dirakamkan dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, pada hal kamu ketika itu adalah orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 123)

Malaikat tidak terkecuali membantu serta mendoakan kaum Muslimin. Malaikat juga turun memberi sokongan dan doa kepada mereka yang sentiasa berada dalam keadaan bersuci atau berwuduk.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersama dengannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Mereka inilah yang sering dianugerahkan dengan mimpi yang baik serta dorongan yang boleh membawa kebaikan. Mereka yang duduk dalam keadaan khusyuk menunggu solat berjemaah juga tidak terkecuali daripada doa malaikat.

Solat adalah tiang agama. Maka persediaan untuk menunaikannya adalah satu usaha yang amat diredai oleh Allah SWT.

Perkara ini dikuatkan oleh hadis diriwayatkan Imam Muslim, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali malaikat akan mendoakannya: Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.”

Ditambah pula mereka yang berada di saf pertama didoakan kesejahteraan oleh malaikat. Mereka yang menyambung saf dengan tidak membiarkan kekosongan dalam saf juga mendapat perhatian malaikat.

Menghalang syaitan beroperasi

Menghalang syaitan daripada beroperasi akan mengundang malaikat bagi menggantikan tempatnya. Pada ketika itulah malaikat mendoakan untuk mereka. Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah dan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf dalam solat.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim)

Malaikat juga mengucapkan ‘Amin’ ketika imam selesai membaca al-Fatihah. Menunjukkan malaikat sentiasa bersama mereka yang solat dan mendoakan kebaikan mereka.

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: “Apabila imam membaca ‘Amin’ hendaklah kamu mengucapkan ‘Amin’, kerana sesungguhnya malaikat juga membaca ‘Amin’ bersama dengan imam. Sesiapa yang bersamaan ucapan ‘Amin’ dengan ucapan malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Kelebihan doa malaikat

Selepas selesai solat, maka kita akan duduk sebentar sebagai kerehatan dan sedikit zikrullah bagi menampung kekurangan solat dilakukan. Maka, di sini kita masih lagi mendapat kelebihan doa malaikat.

Rasulullah SAW bersabda: “Malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu antara kalian selama ia ada dalam tempat solat yang mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, malaikat berkata: Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Terdapat banyak lagi riwayat berkaitan malaikat dalam urusan kebaikan manusia. Lihatlah mereka yang bersedekah sentiasa mendapat perhatian malaikat.

Begitu juga mereka yang menziarahi orang sakit dan mengajak kebaikan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya pada waktu siang dan pada waktu malam sehingga subuh.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ramadan adalah medan yang sesuai untuk dipraktikkan semua perkara kebaikan. Marilah kita jadikan Ramadan bulan untuk menempah tiket doa daripada malaikat supaya mendapat keberkatan sehingga Ramadan akan datang. Zamanuddin Jusoh Berita Harian Agama 2014/07/15 - 03:50:02 AM