July 16th, 2014

Hargai belia

SEBAGAI pemimpin sejati, Rasulullah SAW menyedari potensi besar yang dimiliki setiap sahabat. Baginda selalu membuka peluang bagi setiap orang untuk memberi sumbangan kepada umat. Tidak terkecuali para sahabat yang berasal daripada kalangan kanak-kanak dan remaja.

Suatu hari Rasulullah SAW mendatangi Zaid bin Thabit yang pada waktu itu berumur 11 tahun. Umat Islam yang baharu sahaja berhijrah ke Madinah yang berjiran dengan bangsa Yahudi memerlukan seseorang yang memahami bahasa Yahudi dengan baik.

Meskipun masih muda, baginda SAW melihat Zaid memiliki potensi yang sangat besar dalam bidang bahasa. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Zaid, pelajarilah bahasa Yahudi. Sesungguhnya, demi Allah, aku tidak berasa aman dengan tipu daya mereka."

Sahabat kecil ini segera melaksanakan perintah baginda. Dengan tekun, beliau mempelajari bahasa Yahudi dalam bentuk lisan dan tulisan. Hasilnya sungguh luar biasa. Zaid mampu menguasai bahasa ini dalam masa yang sangat singkat.

Zaid bin Thabit berkata: "Aku lalu mempelajari bahasa Yahudi. Tidak berlalu setengah bulan, aku telah menguasai bahasa ini. Aku menulis bagi Rasulullah SAW apabila baginda ingin menulis surat kepada mereka."

Kisah ini diceritakan oleh Imam Al-Zahabi dalam kitabnya yang bertajuk, Siar A’lam Al-Nubala.

Bakat muda

Budak kecil memang mentah. Ilmunya belum banyak dan pengalamannya belum matang. Begitu pun, sebenarnya mereka memiliki potensi yang sangat besar. Seringkali mereka memiliki kemampuan yang tidak dimiliki orang dewasa.

Umat Islam pada generasi terdahulu sangat menghargai bakat-bakat muda. Masyarakat Islam kala itu tidak menilai seseorang kerana usia dan keturunannya, akan tetapi kerana potensi dan kemahiran. Siapa yang memiliki kemahiran dalam bidang tertentu, suaranya akan didengar, meskipun usianya masih sangat muda.

Justeru, kaum remaja pada zaman Nabi SAW dan sahabat sangat aktif menyumbang untuk pembangunan bangsa dan negara. Pintu peluang selalu terbuka di hadapan mereka. Kisah Zaid bin Thabit di atas hanya salah satu daripada pelbagai kes-kes penglibatan belia dalam tugasan penting.

Selain itu, sejarah memperlihatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menunjuk ‘Attab bin Asid menjadi amir Mekah. Padahal usianya pada waktu itu baru 17 tahun. Baginda juga pernah melantik Usamah bin Zaid sebagai pemimpin pasukan ke Syam, padahal usianya hanya 20 tahun.

Apabila Khalifah Abu Bakar Siddiq berniat membukukan al-Quran, beliau segera memilih Zaid bin Thabit menjadi pengetua projek tersebut. Padahal, ramai kalangan orang yang lebih tua daripadanya seperti Usman bin Affan dan Abdurahman bin Auf.

Khalifah Umar bin Al-Khattab selalu menyertakan Ibnu ‘Abbas dalam mesyuarat tertinggi negara. Umar bahkan sering menerima saranan dan nasihat Ibnu Abbas dalam banyak perkara. Padahal usia Ibnu Abbas pada masa itu masih dalam lingkungan 20-an sahaja.

Semua ini menunjukkan para pemimpin Islam sangat menghargai kalangan belia dan menghormati pemikiran mereka.

Suara muda

Kaum belia ialah aset umat Islam yang tidak ternilai. Potensi yang terdapat dalam diri mereka terlalu besar untuk disia-siakan. Jika tidak disalurkan kepada perkara-perkara yang positif, tidak mustahil potensi itu akan terarah kepada perkara-perkara yang negatif.

Tokoh masyarakat yang bijak perlu memberi ruang bagi kaum belia menyumbang pemikiran bagi kemajuan umat. Dengarkan dan hormati suara mereka. Sebab hikmah tidak pernah mengenal usia. Seringkali hikmah menzahirkan dirinya menerusi sumber yang tidak kita sangka-sangka.

Islam tidak pernah meremehkan suara-suara muda, apalagi membungkamnya. Siapa yang mengabaikan suara-suara ini, maka ia telah menzalimi mereka. Ia telah merugikan diri sendiri dan merugikan umat Islam seluruhnya. Wallahu a’lam. Utusan/Bicara_Agama/20140715

Berhati-hati pilih bahan pembelajaran

SISTEM pembelajaran al-Quran telah mengalami proses evolusi yang selari dengan peredaran zaman dan masa. Bermula dari zaman Rasulullah SAW yang menggunakan kaedah bertalaqqi musyafahah. Kemudian ia berkembang dengan baik sehingga kini muncul pelbagai kaedah pembelajaran al-Quran yang menjurus kepada aspek kepantasan dalam menguasai elemen penguasaan huruf hijaiyyah dan bacaan yang betul.

Dikatakan di Malaysia sahaja terdapat 35 jenis kaedah pembelajaran al-Quran tetapi setakat ini, hanya tujuh daripadanya yang disahkan aktif.

Sejarahnya di Malaysia bermula dengan muqaddam sebelum diikuti oleh sistem pembelajaran Iqrar pada 1990-an yang ditulis oleh Asaad Human dari Indonesia.

Seorang pakar bidang al-Quran dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Khairul Anuar Mohamad menyifatkan sumbangan sistem pengajian Iqrar cukup besar dalam menarik lebih ramai umat Islam membaca al-Quran itu.

APA jua kaedah mengaji al-Quran yang kita pakai, kandungan surahnya perlu menepati Rasm Uthamani.


"Asaad telah membuat kajian yang bukan hanya berkisar tentang aspek mengenal huruf hajaiyyah dan bacaan tetapi juga menyentuh elemen reka bentuk buku agar ia nampak menarik dan segar.

"Pada saya, kesungguhan Asaad itu telah mencetus minat pakar atau penyelidik al-Quran untuk menghasilkan lebih banyak sistem pembelajaran kitab suci itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di USIM, baru-baru ini.

Bagaimanapun apa yang menjadi kebimbangan Ketua Program Quran dan Multimedia, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM itu adalah jenis rasm al-Quran yang digunakan dalam kaedah pembelajaran kitab suci tersebut.

Ini kerana, beliau yang juga adalah ahli Lajlah Tashih Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah, ia melibatkan soal hukum kerana rasm Uthmani adalah mutafaq iaitu yang digunakan oleh semua ulama sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

"Ada dua rasm al-Quran iaitu Uthmani dan Qiasi. Kita menggunakan rasm Uthmani kerana ia diterima oleh ramai ulama dan ia digunakan sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

"Rasm Qiasi pula adalah tulisan yang mengikut sebutan manusia dan besar kemungkinan ia akan mengalami perubahan dan penyelewengan mengikut masa. Sedangkan dasar penulisan al-Quran tidak boleh berubah dan perlu konsisten sehingga kiamat," katanya.

Berhati-hati

Justeru, Dr. Khairul menyeru masyarakat umum agar lebih berhati-hati dalam mempelajari kaedah pembelajaran al-Quran yang ada di pasaran hari ini.

Beliau berkata, apa yang masyarakat umum boleh lakukan adalah meminta syarikat atau pemilik kaedah itu menunjukkan cop logo hologram KDN sebagai satu pengesahan bahawa mereka menggunakan rasm Uthmani.

"KDN tidak akan pertikai sistem yang diguna pakai untuk membantu umat Islam membaca al-Quran tetapi soal surah yang digunakan itu perlu mendapat cop pengesahan daripada pihak kami terlebih dahulu," katanya.

Dalam masa sama, Dr. Khairul menganggap kewujudan banyak kaedah pembelajaran itu sebagai satu usaha kreatif dan inovasi kalangan pakar atau penyelidik al-Quran.

Ini kerana, beliau percaya usaha sedemikian perlu kerana tidak semua orang sesuai dengan sistem pembelajaran yang mereka tawarkan.

"Persaingannya cukup sengit tetapi saya sarankan agar mereka bersainglah secara sihat dan menghormati satu sama lain kerana matlamat mereka semua sama iaitu menambah bilangan umat Islam yang celik al-Quran," katanya.

Bagi masyarakat umum Islam pula, beliau berkata, adalah menjadi kewajipan untuk mencari guru atau kaedah pembelajaran al-Quran sesuai supaya boleh membaca dan memahami maksud ayat dalam kitab suci itu.

Malah tambahnya, masyarakat tidak boleh lagi memberi alasan sibuk dengan urusan dunia dan keluarga kerana kaedah itu dicipta untuk menyelesaikan alasan kesibukan itu.

"Kaedah itu akan memudahkan orang ramai dan sepatutnya dengan adanya penawaran pelbagai kaedah tersebut, umat Islam perlulah merebut peluang untuk mempelajari al-Quran.

"Kita perlu mengubah tanggapan yang mengatakan bahawa belajar al-Quran itu satu perkara yang susah. Ini kerana teknik atau kaedah pembelajaran al-Quran itu sudah menyediakan kemudahan bagi mengatasi pelbagai masalah yang timbul berkaitan penguasaan al-Quran.

"Masyarakat kena mendekatkan diri kepada kaedah itu dan jangan tunggu dan lihat. Jika suka kepada kaedah itu, pergi dan belajarlah. Itulah yang sepatutnya," katanya. HASHNAN ABDULLAH: Utusan/Bicara_Agama/20140715

Belajar mengaji di rumah

KAEDAH Inspirasi Qurani diasaskan oleh seorang al-Hafiz yang memiliki pengalaman hafazan al-Quran selama lebih 20 tahun. Mohd. Asraff Ayob al-Hafiz sewaktu ditemui baru-baru ini di syarikatnya, Furqanworks Sdn. Bhd. yang terletak di Kajang, menegaskan bahawa usahanya itu selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qamar: 17 yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?."

Berasaskan alasan itulah, golongan sasaran Mohd. Asraff adalah mereka yang dikategorikan sebagai ‘buta huruf’ sehinggalah mereka yang menguasai bacaan al-Quran tetapi masih tidak berkeyakinan dengan bacaan mereka.

"Bagi saya, kitab al-Quran adalah pelik sebab ia adalah satu-satunya kitab yang paling ramai orang menguasainya secara hafalan berbanding memahaminya. Bahkan, kemahiran menghafal ini mampu dikuasai bukan sahaja golongan dewasa, malah kanak-kanak yang berumur tujuh tahun juga ada," katanya.

Hakikatnya, golongan sedemikian dikatakan telah mempunyai kesedaran untuk membaca, menghafal dan memahami isi kandungan al-Quran, tetapi masih tebal dengan sikap malu dan kurang keyakinan diri dengan ilmu bacaan yang dimiliki.

"Mungkin ada daripada kalangan mereka itu mendapat hidayah setelah usia menganjak senja atau telah berumur dan perkara ini menambahkan lagi perasaan malu serta rendah diri untuk belajar, sama ada di surau, masjid atau kelas-kelas pengajian al-Quran.

"Namun saya berkeyakinan dengan adanya kaedah mengaji al-Quran seperti ini akan membolehkan serta memberi peluang untuk mereka ini mempelajari al-Quran di rumah terlebih dahulu.

"Apabila sudah ada serba sedikit ilmu, saya yakin mereka akan mencari guru al-Quran untuk memperbetulkan bacaan atau mengambil inisiatif untuk memahami kandungan al-Quran tersebut," katanya. Utusan/Bicara_Agama/20140715

Pelbagai kaedah kuasai al-Quran

AL-Quran adalah kalam Allah SWT dan di dalamnya terkandung suruhan, larangan, iktibar dan pedoman bukan hanya untuk umat Islam tetapi umat manusia secara keseluruhannya. Al-Quran adalah petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadilat atau hikmah yang tidak diketahui manusia.

Malahan, al-Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti serta mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Maka sudah tentulah, untuk mengetahui dan memahami isi kandungannya, kita bukan hanya perlu membaca tetapi menghayati al-Quran itu tanpa rasa jemu.

Hakikatnya, terlalu banyak kelebihan membaca dan menghayati kalam Allah SWT itu. Rasulullah SAW dalam sunnah Baginda banyak menyatakan kelebihan itu. Antaranya hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengangkat darjat beberapa kaum dengan adanya kitab al-Quran ini (orang-orang yang beriman) serta menurunkan darjatnya kaum yang lain-lain dengan sebab al-Quran itu pula (yang menghalang-halangi pesatnya Islam dan tersebarnya ajaran-ajaran al-Quran itu.

KEWAJIPAN... Penguasaan membaca, memahami dan menghayati al-Quran perlu bermula seawal usia kanak-kanak. - Gambar hiasan

Namun secara realitinya masih ramai daripada kalangan umat Islam yang bukan hanya buta huruf tetapi gagal untuk menguasai, apa lagi memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran yang disebabkan pelbagai faktor.

Halangan serta pelbagai alasan itu secara tidak langsung telah menjarakkan diri kita dengan al-Quran itu sendiri. Rasulullah SAW sebelum meninggal dunia ada berpesan daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW." (riwayat Imam Malik)

Ternyata kekuatan pesanan Rasulullah SAW itu telah wujud pelbagai kaedah atau cara yang memudahkan umat Islam hari ini untuk mengenal huruf, membaca, sekali gus memahami isi kandungan al-Quran.

Walaupun kaedah itu memerlukan kita mengeluarkan sedikit duit tetapi ia sebenarnya cukup berbaloi kerana sekurang-kurangnya kita berpeluang untuk berpegang kepada pesanan Rasulullah SAW tersebut. HASHNAN ABDULLAH: Utusan/Bicara_Agama/20140715

Seru secara berhikmah

SEMUA orang tahu, Ramadan bulan yang ditunggu-tunggu untuk meraih seberapa banyak pahala yang dijanjikan Allah SWT. Setiap amalan dan kebaikan yang dilakukan, pahalanya berlipat kali ganda. Dan kerana itu, Roslan mahu Ramadan tahun ini menjadi bulan mengejar pahala buat dirinya, anak-anak dan isteri.

Dan atas semangat itu, Roslan tiba-tiba menjadi seorang yang cukup tegas dalam soal ibadat. Tidak seperti sebelum ini. Perubahan drastik pada diri Roslan sebenarnya mengejutkan Salmah dan anak-anak mereka. Mana tidaknya, masuk sahaja Ramadan, pelbagai kerahan dilakukan oleh Roslan kepada Salmah dan anak-anak.

Bermula dengan solat tarawih malam pertama, Roslan telah mengarahkan isteri dan anak-anak bersiap untuk ke masjid. Tindakannya itu baik kerana selain bersama-sama mengimarahkan masjid, ia secara tidak langsung mendidik anak-anak suka pada masjid. Namun dalam ketegasan itu, Roslan lupa erti budi bicara.

Bukan setakat solat tarawih yang dipaksa anak-anak dan isteri melakukannya, sekalipun anak-anak menunjukkan keletihan yang amat sangat, tetapi anak-anak turut dikejut setiap malam untuk bertahajud. Katanya, Lailatulqadar hanya datang sekali dalam setahun. Dan jangan lepaskan peluang itu. Ada kala anak-anak memberontak tidak mahu mengikut arahan Roslan. Malang sekali, Roslan bukan mahu memujuk anak-anak tapi ditengkingnya laksana seorang panglima tentera mengarahkan anak-anak buahnya.

Bengisnya menjadi-jadi kalau arahannya tak dituruti. Bukan sahaja solat tarawih dan tahajud yang menjadi kemestian setiap malam, bahkan ketika berbuka puasa, anak-anak hanya diberikan tiga biji kurma dan air. Ikut sunnah katanya. Hidangan seperti nasi boleh dimakan selepas tarawih. Takut nanti bila perut kenyang, malas untuk beribadah.

Salmah ada kala merasa bersalah terhadap anak-anak. Bagi Salmah, mengajar anak-anak untuk beribadah bukan begitu caranya. Sesuaikanlah dengan kemampuan kanak-kanak. Mereka juga penat apabila seharian berada di sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Mereka juga perlukan rehat. Tidak salah kalau terlalu penat, solat tarawih ditinggalkan. Apatah lagi tahajud. Itu pun bukan wajib. Hanya sunat.

Pernah Salmah meluahkan rasa tidak senangnya cara didikan Roslan terhadap anak-anak. Namun ibarat mencurah air ke daun keladi, Roslan tidak pernah pun untuk mengambil peduli, apatah lagi mempertimbangkan cadangan Salmah.

Katanya, sebagai ketua keluarga dia berhak menentukan apa sahaja untuk anak-anaknya. Salmah dalam dilema. Anak-anak mengadu kepadanya tentang keletihan yang dialami. Apa daya Salmah, Roslan seakan tidak mahu memahami situasi tersebut.

Salmah cuba memahami perubahan yang cuba dilakukan oleh Roslan. Tapi janganlah terlalu drastik sehingga menimbulkan situasi dilema dalam keluarga. Bukankah Islam itu agama yang tidak memaksa? Dan bukankah perkara yang sunat itu juga bukan paksaan?

Kadang-kadang Salmah tak faham dengan perangai suaminya yang tiba-tiba berubah menjadi alim dan warak. Roslan yang dahulunya bukan begitu orangnya. Dia boleh bertolak-ansur dalam apa jua situasi. Tapi kini tidak. Apa yang diarahkan olehnya perlu diikuti terutama bab-bab ibadat.

Salmah akur, ibadat yang disyariatkan wajib dilakukan. Tapi janganlah sampai anak-anak yang belum sampai umur baligh juga dipaksa melakukan sebagaimana orang yang sudah baligh. Wajibkah bagi mereka untuk itu semua, sekalipun atas nama pendidikan?   Utusan/Bicara_Agama/20140716

Masjid hilang jemaah?

RAMADAN merupakan bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah SAW menjelaskan Ramadan adalah penghulu kepada 11 bulan yang lain. Orang yang kenal kelebihan Ramadan sahaja yang akan bersedia apabila menjelangnya bulan yang mulia ini.

Betapa besarnya fadilat bulan Ramadan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan.

Oleh sebab itu, apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan. Kerana itulah ketika bulan ini umat Islam berpusu-pusu mengimarahkan rumah ibadah untuk berwirid, bertadarus, beriktikaf dan pastinya bertarawih.

Saya sendiri tidak ketinggalan untuk bersama-sama merebut “tawaran istimewa" yang didatangkan oleh bulan Ramadan. Masjid sudah menjadi rumah persinggahan kedua buat saya. Namun peristiwa-peristiwa dalam masjid menyebabkan tulisan ini dihasilkan.

Amat seronok sekali apabila melihat berubahnya suasana kemeriahan masjid acap kali Ramadan tiba. Berduyun-duyun orang datang setiap penjuru memenuhi setiap ruang yang ada. Pastinya batas jantina, bangsa dan umur bukan lagi menjadi penghalang. Namun tanpa kita sedari kemeriahan ini telah menimbulkan beberapa “dosa" yang tidak kita sedari. Antara yang sempat saya kongsi iaitu;

Kes 1

TERDAPAT seorang lelaki masuk ke dalam masjid membawa seorang anak perempuan dalam umur lima tahun siap bertelekung. Manis orangnya, terasa sejuk melihat seorang ayah berjaya mendidik anak gadisnya untuk sama-sama menghadiri solat berjemaah di masjid.

Kebanggaan saya terhenti apabila si ayah dengan bangga membawa anak gadisnya berebut-rebut memenuhi saf di hadapan dan dengan selambanya menyuruh anak gadis tersebut berdiri bersebelahan dengannya dan bersama-sama jemaah lelaki yang lain.

Terkesima saya melihat kedangkalan ilmu agama si ayah. Bila ditegur, dimarahi kembali penulis dengan mengatakan “Tidak mengapa, budak lagi ni."

Kes 2

SI ayah datang bersama-sama dua orang anak yang masih kecil. Berdasarkan pengamatan saya dalam usia antara tiga dan empat tahun. Ceria bercanda kedua-dua adik-beradik tersebut. Apabila tiba masa untuk mendirikan solat, si ayah berdiri di hujung saf walaupun di saf yang depan, agar anak-anak mereka tidak terselit di antara jemaah.

Satu sifat yang boleh dipuji, setelah seketika terhidu sesuatu yang amat tidak menyenangkan, setelah diamati rupanya salah seorang daripada kanak-kanak tersebut telah melepas “qada hajat".

Sesi mencemik muka para jemaah pun bermula, walaupun kanak-kanak tersebut memakai lampin pakai buang, namun tidak dapat membendung bau yang lahir daripada tindakan tersebut. Menariknya si ayah meneruskan solat pada rakaat-rakaat seterusnya tanpa memikirkan impak tindakannya itu.

Kes 3

TERDAPAT anak-anak yang dibiarkan di belakang saf kerana penjaga mereka berpandangan kanak-kanak harus diletakkan di tempat sepatutnya. Secara tidak langsung satu tindakan yang terpuji. Niatnya baik, tetapi pelaksanaannya mungkin harus difikirkan kembali.

Bayangkan apabila kanak-kanak berhimpun, pasti riuh dan tidak terkawal jadinya. Tidak perlu diceritakan keriuhan dan hingar-bingar yang berlaku, cukup untuk para pembaca bayangkan sendiri, yang akhirnya menyebabkan keluh di hati para jemaah yang lain, sehinggakan apa yang dibaca oleh Tok Imam tidak didengari butir-butirnya.

Tiga senario kes ini sekadar cebisan corak-carik suasana masjid pada bulan Ramadan ini. Ironinya, impak terhadap perlakuan di atas mencetuskan kesan negatif. Pernah saya berbual dengan seorang pengurusan masjid tentang keluhan beliau mengenai pengurangan jemaah dari sehari ke sehari yang hadir ke masjid menyebabkan saya terfikir mungkin mereka terlepas pandang perkara-perkara yang mereka anggap kecil ini.

Sebagai jemaah saya pastinya ingin bersolat dalam keadaan aman, tenteram dan kondusif. Penghijrahan ke masjid lain merupakan satu alternatif terhadap mencapai kehendak saya dalam memenuhi ruang-ruang “tawaran Ramadan" yang berbaki sedikit ini. Maka tidak hairanlah apabila jemaah mula bertebaran mencari tempat iktikaf yang baharu agar dapat beribadat dengan selesa.

Dalam suasana semasa, pengurusan masjid perlu menjadi inovatif mencari penyelesaian terhadap isu ini. Hakikatnya, pihak pengurusan masjid tidak boleh menghalang ibu bapa daripada membawa anak-anak mereka. Kerana ini merupakan proses pendidikan awal dan semaian perasaan cintakan masjid, akan tetapi satu kaedah perlu dicari agar keselesaan untuk semua pihak boleh dicapai.

Penulis juga pergi ke masjid bersama-sama dengan anak-anak, bukan hendak mengatakan anak-anak penulis baik-baik belaka, cuma penulis memahami kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa muda, anak-anak adalah amanah, namun tawaran Ramadan sukar untuk dilepaskan.

Maka kita perlu berani mengorak langkah berubah dengan menjadikan masjid mesra kanak-kanak agar, kesemua jemaah selesa dalam beribadat, secara tidak langsung dapat menarik semua golongan usia untuk terus mengimarahkan masjid. Jangan kita menganggap isu ini isu enteng, kerana takut-takut kealpaan kita, dibimbangi suatu hari nanti masjid menjadi hanya tempat solat yang touch and go sahaja.   DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI   ialah Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM).Utusan/Bicara_Agama/20140716

Tambah bekalan akhirat

MASA berlalu begitu cepat dan tanpa kita sedari kita telah sampai hari ke-18 berpuasa. Berpuasa adalah ibadah wajib yang perlu dilaksanakan dengan penuh keinsafan dan keimanan. Ia bukan sahaja berpuasa lapar dan dahaga, tetapi berpuasa mulut, telinga, mata dan semua perkara mungkar perlu ditinggalkan.

Bukanlah bermakna pada masa-masa lain, kita boleh membuat perkara mungkar tetapi setidak-tidaknya puasa mampu memelihara diri daripada melakukan perkara mungkar. Jika tidak, puasa hanya tinggal berlapar dan dahaga.

Puasa tanpa solat pun tiada gunanya kerana solat itu tiang agama. Jika tiang rumah goncang atau tidak kukuh, tentulah rumah akan roboh.

Sebenarnya Ramadan bulan istimewa untuk kita menambah bekalan akhirat. Dalam kehidupan berkeluarga, Ramadan membawa makna tertentu kepada setiap ahli keluarga.

Inilah masa yang sesuai melatih anak-anak berpuasa, bersyukur dan bersedekah. Puasa mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan majlis berbuka puasa bersama-sama dan kemudiannya bertarawih.

Dalam keluarga saya, kami dilatih berpuasa dari umur lima tahun. Kami semua bangun sahur ketika ayah dan ibu bangun sahur. Kami akan berpuasa hingga setengah hari atau hingga mana-mana waktu yang kami terlarat puasa.

Ayah sering memberi galakkan dengan memberi upah jika kami habis berpuasa walaupun setengah hari. Jika dapat 50 sen untuk setengah hari, nilainya sangat besar pada masa itu. Kami cuba sedaya upaya dan apabila terasa lapar, ayah sering mengingatkan kami bahawa begitulah rasanya orang daif yang tidak mempunyai makanan.

Semua ini mengajar kami untuk menjadi orang yang suka bersedekah dan menginsafi bahawa walaupun kami tidak kaya, namun kami tidak pernah hidup tanpa makanan.

Setiap kali menyediakan juadah berbuka, ibu memasaknya sendiri dan saya selalu menghantar juadah berbuka kepada jiran tetangga. Amalan bertukar-tukar juadah ini juga suatu amalan yang baik kerana ia mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga.

Selepas berbuka, kami solat Maghrib dan selepas itu semua akan dibawa oleh ayah ke masjid untuk solat Isyak dan tarawih. Juadah yang berlebih dibawa ke masjid. Saya juga turut solat dengan mengikut apa saja yang dilakukan oleh orang dewasa. Dahulu jika di masjid, kami akan beradab kerana masjid adalah rumah Allah.

Jika ke rumah orang pun kita diajar beradab sopan, apatah lagi apabila berada di rumah Allah. Saya suka bersolat tarawih kerana lepas solat ada moreh kerana biasanya ada pelbagai jenis makanan yang dibawa oleh jemaah lain. Lepas moreh baru balik ke rumah dan biasanya kita makan malam sebelum tidur.

Esoknya kita bangun sahur semula. Puasa mengajar kita mendisiplin diri dan dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ia memperkuatkan keimanan kerana hanya dengan kecintaan kita kepada-Nya sahaja yang boleh mendorong kita berpuasa. Seingat saya, kami tidak pernah berbuka puasa di restoran atau di mana-mana pun kerana ia di luar kemampuan keluarga, serta pada masa itu tidak banyak restoran yang menjalankan perniagaan di bulan Ramadan.

Zaman telah berubah. Hari ini cara kita menghayati Ramadan juga telah berubah dan kita berharap perubahan itu adalah untuk kebaikan. Hari ini ramai ibu bapa tidak melatih anak-anak mereka berpuasa pada usia yang kecil. Semasa membeli barang di sebuah pasar raya, baru-baru ini saya bertemu seorang ibu muda bersama tiga orang anaknya.

Anaknya berusia 10 tidak berpuasa. Saya lihat anak tersebut mempunyai susuk badan yang agak kecil dan terus bertanya, sama ada dia berpuasa? Ibunya menjawab, “Tidak". Saya bertanya lagi, “Berapa umur?" dan ibunya menjawab, “10 tahun." Saya terkejut anak berusia 10 tahun masih tidak berpuasa. Lantas saya terus berkata, “Saya mula berpuasa pada usia lima tahun. Walaupun keletihan tetapi berjaya menghabiskan puasa. Ini sudah 10 tahun."

Ibu muda itu kelihatan serba salah lalu dia menjawab, “Budak sekarang, tak boleh paksa-paksa." Saya terkedu dengan jawapan ibu itu. Bagi saya, saya tidak pernah terasa dipaksa berpuasa pada umur sekecil lima tahun. Apa yang saya ingat ialah ia adalah satu latihan dan pendisiplinan diri yang ibu bapa saya lakukan untuk membiasakan diri kepada puasa.   Utusan/Bicara_Agama/20140716