July 17th, 2014

Menyuburkan budaya sedekah pada bulan Ramadan

KEBANYAKAN masjid dan surau sudah mula mengagihkan bantuan kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan pelbagai golongan lain yang layak supaya mereka dapat sama merayakan hari raya dengan rasa gembira dan boleh membeli pelbagai barang keperluan seperti golongan yang berkemampuan.

Ada juga orang perseorangan yang memberi bantuan atas nama Hamba Allah kepada pelbagai golongan di sesetengah tempat. Ada yang datang ke surau dan meletakkan berhelai-helai kain pelikat, diberikan kepada jawatankuasa surau untuk diagihkan kepada golongan yang layak menerimanya.

Amalan bersedekah pada bulan mulia ini bukan setakat membantu golongan yang disebutkan tadi tetapi untuk menyuburkan harta bagi orang yang bersedekah dan memperoleh keberkatan. Oleh sebab itulah kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah untuk menyuburkan harta dan bertujuan mengagihkannya untuk golongan yang tidak begitu mampu dalam kehidupan mereka.

Kita patut bersyukur dengan nikmat yang Tuhan kurniakan kepada kita kerana dapat hidup di sebuah negara yang aman damai dan mudah pula kita mencari rezeki. Tidak seperti di sesetengah negara lain yang dilanda peperangan, penindasan, bencana alam dan sebagainya. Lihat sahaja di Gaza, penduduknya hidup dalam keadaan ketakutan dan tidak akan dapat menikmati bulan Ramadan seperti yang kita nikmati sekarang. Mereka juga sudah tentu tidak akan dapat meraikan Syawal sebagaimana kita menyambutnya.

Di sesetengah negara, umat Islamnya dapat makan daging lembu setahun sekali sahaja iaitu ketika Hari Raya Haji sedangkan di negara kita, daging lembu boleh didapati dengan mudah. Negara-negara yang ditimpa bencana dan musibah perang, pelbagai masalah dihadapi termasuk kematian ahli keluarga, kecederaan, wabak penyakit dan sebagainya.

Kita pula dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dari awal pagi sampailah ke senja, dapat pula berbuka puasa dengan pelbagai juadah yang enak dan bersahur pula dengan makanan yang lazat-lazat. Kebanyakan daripada kita juga dilimpahi dengan nikmat kemewahan sama ada dari segi kewangan dan harta benda. Kita juga sudah menyediakan segala macam persiapan untuk hari raya termasuklah pakaian dan perabot di rumah, malah ada yang mampu menukar kenderaan baharu untuk pulang berhari raya di kampung.

Malah, ada dalam kalangan kita yang boleh mensedekahkan juadah berbuka puasa di surau, masjid dan sebagainya kerana berkemampuan. Ada pula yang membawa makanan ke rumah anak-anak yatim dan turut sama berbuka puasa di rumah anak-anak yatim atas kesedaran kemanusiaan dan tanggungjawab sesama manusia.

Amalan bersedekah tidak mengira batas sempadan. Di masjid dan di surau-surau, ada tabung untuk mangsa keganasan di Gaza. Bagi yang berkemampuan dan ada nilai keprihatinan, derma bolehlah dihulurkan untuk meringankan bebanan mereka.

Manakala di negara kita, tidak semua yang bernasib baik dalam kehidupan mereka. Ada warga tua yang tinggal sebatang kara, ada anak-anak yatim yang tidak ada tempat pergantungan dan ada yang cacat dan tidak mampu bekerja seperti orang lain. Walaupun sudah ada bantuan untuk golongan ini yang diberikan oleh kerajaan dan badan-badan lain, tetapi dengan bantuan yang kita berikan, bebanan mereka akan menjadi lebih ringan.

Golongan yang kurang bernasib baik mesti dibantu kerana mereka juga mahu merasakan nikmat berhari raya dengan sempurna walaupun dengan cara serba kekurangan. Bagi warga bandar yang pulang berhari raya di kampung, jenguk-jenguklah warga kampung yang tidak berkemampuan dan hulurkan bantuan kepada mereka agar mereka tidak berasa disisih. Jika tidak dihulurkan wang ringgit sekalipun, barang-barang keperluan seperti beras, gula, tepung, pakaian dan sebagainya boleh disedekahkan.

Nikmat berhari raya akan dirasakan oleh semua pihak tidak kira miskin dan kaya sekiranya mereka memahami bahawa semasa berpuasa, tidak kira golongan mana pun, mereka sama-sama berlapar dari awal pagi sampailah ke senja.

Penulis pernah melihat seorang kanak-kanak yang sedang mendengar khutbah Jumaat memasukkan wang seringgit ke dalam tabung yang diedarkan kepada jemaah.

Penulis merasakan bahawa ibu bapa memainkan peranan agar mendidik anak-anak mereka supaya menjadikan sedekah itu sebagai amalan dan budaya kerana banyak kelebihan apabila bersedekah. Jika kanak-kanak seawal usia 12 tahun pun boleh bersedekah, tentulah yang dewasa pun tidak keberatan untuk bersedekah kerana golongan ini lebih memahami manfaat bersedekah. M JASNI MAJED Utusan/Rencana/20140717

Amal ilmu agama, banyak bersedekah bekalan akhirat

Kita semua ingin masuk syurga sebagai pengakhir hidup dan untuk mencapai hasrat itu, setiap insan perlu menambah ilmu di samping beribadah dengan betul serta ikhlas, bukan terikut-ikut. Saidina Umar Al Khattab berkata, orang yang tidak berilmu sama seperti orang gila.

Penceramah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Fakhrullah Zainol Sharudin, berkata setiap umat Islam perlu mendalami ilmu agama serta mengamalkannya dan pada masa sama menyampaikan ilmu itu kepada orang lain.

“Mencari ilmu wajib dan perlu juga menyampaikan kepada orang lain, tetapi pastikan ilmu itu mesti betul. Nabi Muhammad SAW bersabda, agama itu adalah nasihat,” katanya pada ceramah Ihya Ramadan anjuran Badan Khairat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Maksiat berleluasa

Beliau berkata, berbeza dengan apa yang berlaku hari ini, masyarakat mengambil sikap tidak mahu menjaga tepi kain orang menyebabkan maksiat berleluasa hingga ada yang berlaku di depan mata, tetapi masyarakat tidak peduli.

Katanya, walaupun selemah-lemah iman adalah membantah dalam hati, ia tidak sepatutnya menjadi pilihan masyarakat kerana mereka juga bertanggungjawab mencegah berlakunya kemungkaran yang semakin berleluasa pada akhir zaman ini.

Justeru, beliau menegaskan masyarakat mengamalkan ilmu agama untuk mendapat keberkatan dalam hidup serta istiqamah mencari ilmu yang benar.

“Dalam mencari ilmu perlulah yang tulen bukan seperti agama Yahudi yang berpecah kepada 71 ajaran, manakala Kristian menjadi 73 ajaran, tidak ada satu pun lagi ahli kitab. Agama Islam berpecah 74 oleh ajaran sesat yang terkeluar daripada ajaran Islam yang berpandukan al-Quran dan sunah Nabi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang yang berilmu supaya bersikap merendah diri dan mengajak umat Islam mengambil kesempatan bulan Ramadan yang mulia untuk memperbanyakkan membaca serta memahami isi kandungan ajaran al-Quran.

Elak membazir, banyak sedekah

Katanya, melalui kefahaman ajaran agama, umat Islam dapat mengelak daripada melakukan pembaziran sebaliknya akan lebih banyak bersedekah.

“Kelebihan umat Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW ialah sama ada kita berbuat baik atau jahat, balasan Allah lambat, tidak seperti pada zaman nabi sebelumnya. Oleh itu, digalakkan bersedekah sebagai bekalan untuk kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata, YaPEIM menjalankan pelbagai program termasuk membantu anak-anak yatim dan ibu tunggal yang memerlukan. Orang ramai boleh bersedekah atau memberi sumbangan menerusi pemotongan gaji bulanan. Berita Harian Agama 17/07/2014

Bendung perlakuan tak hormat Ramadan

Masyarakat bantu salur maklumat kepada pihak berkuasa

Kita sekarang sudah berada pada minggu ketiga bulan Ramadan yang mulia. Bulan berkat ini hari demi hari akan meninggalkan kita. Ulama silam apabila berada pada minggu akhir Ramadan akan berasa sedih mengenangkan bulan amalan digandakan sudah hampir berakhir.

Kita juga ingin merasai yang sama. Masa yang berbaki ini wajar diisi dengan pelbagai ibadah mulia, termasuklah membaca al-Quran, bertadabbur maknanya melaksanakan solat tarawih dengan baik serta bertahajud pada waktu malamnya.

Bagaimana pihak PKA boleh bertindak jika tiada sesiapa memaklumkan kepada mereka kewujudan perlakuan salah ini. Justeru, bantuan orang awam diperlukan apabila wujud kes sebegini dalam masyarakat.

Ketika amalan baik diganjari dengan pahala berganda, kita wajar mengambil peluang melaksanakan ibadah lain sebaik mungkin seperti bersedekah kepada golongan memerlukan terutama saudara mara yang miskin, anak yatim serta negara bergolak seperti Palestin, Syria dan Mesir.

Makan waktu siang Ramadan

Pada masa sama, ada juga yang tidak melihat bulan Ramadan sebagai bulan ibadah. Ada yang tidak mengendahkan solat lima waktu dan tidak berpuasa. Malah, merasakan bulan ini waktu penuh penyeksaan kerana tidak dapat melakukan rutin harian termasuk makan sesuka hati pada waktu siangnya.

Atas dasar itu, kita kerap didedahkan dengan kisah orang Islam tidak berpuasa, membeli makanan secara tertutup atau terbuka dan makan di khalayak ramai. Begitu juga wujudnya kedai makanan yang membuka premis dan menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa secara terang-terangan.

Ini adalah perlakuan yang sangat dikesali. Dari segi hukum agama, sudah tentu perlakuan mereka adalah salah dan berdosa. Bulan yang Allah SWT muliakan ini dipandang sepi dan tidak mempunyai apa-apa makna kepada mereka.

Dari sudut perundangan, perlakuan itu sebenarnya salah dan pelaku yang disabitkan boleh didenda oleh Mahkamah Syariah. Perkara ini boleh dilihat dalam kod Undang-Undang Jenayah Syariah negeri.

Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2003 menyebut, ‘Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap pada waktu itu. Dan mana-mana orang yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya adalah dianggap melakukan kesalahan. Jika disabitkan, pelakunya boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama. Jika disabitkan kali kedua atau berikutnya, dia boleh didenda tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.”

Peruntukan ini sebenarnya menyatakan adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang, mana-mana orang menjual makanan kepada orang tidak puasa. Begitu juga orang yang makan secara terbuka pada siang Ramadan adalah salah dan boleh dihukum.

Peruntukan ini juga sebenarnya mendidik kita menjadi masyarakat prihatin dalam menjaga kemuliaan Ramadan. Dalam melaksanakan peruntukan undang-undang, Pegawai Penguat Kuasa Agama (PKA) atau mana-mana pegawai diberi tauliah dan mempunyai kad kuasa saja yang boleh menangkap dan mengambil tindakan ke atas pelaku berkenaan.

Bantuan orang awam lapor kes

Tetapi persoalannya, bagaimana pihak PKA boleh bertindak jika tiada sesiapa memaklumkan kepada mereka kewujudan perlakuan salah ini. Justeru, bantuan orang awam diperlukan apabila wujud kes sebegini dalam masyarakat.

Ia termasuklah mengenal pasti restoran yang menjadi tempat orang tidak puasa berkumpul dan ada orang Islam tidak berpuasa yang makan di dalamnya. Aduan orang ramai yang prihatin wajar dibuat kepada pihak PKA apabila ada kes pasangan disyaki berkhalwat atau kewujudan ajaran sesat.

Bantuan dalam bentuk maklumat sangat diperlukan supaya PKA dapat mengambil tindakan sewajarnya. Masyarakat perlu turut membantu memberi pertolongan ke arah menangani isu ini.

Keprihatinan ahli masyarakat ini dinyatakan dalam seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 (ETJS) memperuntukkan: “Tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta-merta memberikan maklumat kepada PKA atau pegawai polis yang terdekat mengenai perlakuan atau niat itu.”

Peruntukan ini menunjukkan jika orang awam tidak tahu PKA atau mereka yang mempunyai tauliah, maka boleh juga pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Pegawai polis boleh mengambil tindakan sewajarnya.

Masyarakat juga perlu didedahkan dengan cara membuat aduan. ETJS menyebut sesuatu maklumat boleh diberikan dengan mengisi Borang 5 menyatakan nama, alamat, telefon, nombor kad pengenalan, maklumat ingin disampaikan serta tanda tangan pemberi maklumat.

Dr Nurhidayah Hashim ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam. Berita Harian Agama 2014/07/17 - 03:54:51 AM

Bulan doa dimakbul

TIDAK dinafikan betapa manusia sentiasa dibebani dengan masalah dalam kehidupan. Tidak kira setinggi mana pun martabatnya di sisi Allah SWT, ia pasti berhadapan dugaan dan cabaran kehidupan. Malah semakin hampir hamba kepada Tuhan-Nya, semakin hebatlah ujian dan dugaan yang terpaksa ditempuhi bagi menilai sejauh mana keimanan yang berjaya disematkan dalam kalbu seseorang. Perkara ini jika diteliti merupakan antara ujian dan cabaran yang bakal dilalui oleh setiap insan yang ingin mendekatkan diri kepada Ilahi.

Dalam konteks manusia biasa lain pula, kerenah dan ujian yang terpaksa ditempuhi, yang tidak mampu dibilang dengan jari dan kadang-kadang belum pun selesai satu masalah, masalah yang lain pula menimpa diri.

Persoalannya, mengapa tidak kesempatan Ramadan dipergunakan dengan sebaik mungkin untuk mengadu hal dan bermunajat kepada-Nya yang mutlak berkuasa menjadikan sesuatu masalah dan berkuasa mutlak untuk memberikan penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

Mengapa tidak hari-hari Ramadan dipenuhi dengan berdoa yang sebenarnya merupakan amal ibadah yang dituntut. Dalam hal ini, perlu juga disedari betapa manusia merupakan makhluk yang kerdil lagi lemah dan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Baik masalah peribadi, masalah rumah tangga dan anak-anak, masalah di tempat kerja, masalah dengan jiran tetangga, malah yang lebih menakutkan lagi ialah masalah untuk bertemu dengan Allah SWT.

Jika diteliti lagi, Ramadan dan berdoa mempunyai perkaitan yang sangat rapat memandangkan ayat berkenaan adalah janji Allah SWT untuk memperkenankan doa makhluknya digandingkan dalam ayat yang menjelaskan tentang kewajipan berpuasa di bulan Ramadan serta hukum-hakam yang bersangkutan dengannya.

Perlu difahami betapa sesuatu masalah kadang-kadang terjadi disebabkan oleh diri sendiri. Contohnya, seseorang yang dengan sengaja tidak mengerjakan solat lima waktu atau enggan berpuasa di bulan Ramadan, pasti akan berhadapan dengan masalah ketika dihisab di hari kemudian, yang mana itu berlaku atas pilihan sendiri. Dan yang pasti, Allah SWT tidak pernah menzalimi sesiapa untuk menghukum sesuai dengan apa yang pernah dilakukan.

Yang lebih membimbangkan ialah masalah untuk bertemu dengan Allah SWT dan berhadapan dengan proses timbangan amal sebagai neraca penentuan, sama ada diberi nikmat ataupun balasan azab oleh-Nya.

Oleh itu, dengan berdoa dan sering bermunajat kepada Allah SWT moga-moga segala kekusutan dan kebimbangan ini akan terlerai dek kerana dekatnya hamba dengan Pencipta.

Dalam pada berdoa, terdapat beberapa adab yang selayaknya dipatuhi agar diterima di sisi Allah SWT dengan sempurna. Antaranya;

1 Mengangkat tangan ketika berdoa seperti perlakuan Nabi SAW sehingga kelihatan putih ketiaknya ataupun mengangkat tangan selari dengan kedua-dua belah bahu. Jika terdapat hal yang mendesak, maka bolehlah diangkat lebih daripada itu kerana beramal dengan sunnah Rasulullah SAW.

2 Setelah selesai berdoa, bolehlah disapukan kedua-dua belah tangan ke muka.

3 Setiap doa hendaklah dimulakan dengan ucapan alhamdulillah sambil memuji-muji kebesaran-Nya. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: “Apabila seseorang antara kamu berdoa, maka hendaklah dimulai dengan mengucap syukur kepada Allah SWT sambil memujinya, kemudian hendaklah berselawat atas Nabi Muhammad SAW lalu diiikuti dengan memohon sebarang doa." (riwayat Abu Daud, an-Nasaie dan at-Tirmizi)

4 Kemudian berdoalah dengan khusyuk sambil bersangka baik kepada Allah SWT yang Maha mendengar lagi Maha memperkenankan segala doa. Ini disertai dengan perasaan takut kepada kekuasaan dan keagungan-Nya, kerana Allah SWT tidak menerima doa dalam keadaan yang lalai.

5 Boleh juga doa tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali sebagaimana riwayat Ibnu Mas’ud yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila berdoa, berdoa sebanyak tiga kali, dan apabila meminta kepada Allah SWT Baginda juga meminta sebanyak tiga kali. (riwayat Muslim)

6 Pintalah segala hajat sama ada yang berkaitan dengan urusan duniawi ataupun ukhrawi. Usah berdoa untuk keburukan dan kecelakaan orang lain. Seelok- eloknya diganti dengan doa-doa yang baik, semoga beroleh hidayah dan petunjuk daripada-Nya. Nabi Muhammad SAW pernah dibaling dengan batu oleh kanak- kanak semasa berdakwah di Taif hingga berdarah kakinya yang mulia, namun Baginda tetap mendoakan mereka dengan kebaikan.

Justeru, adalah lebih baik mendoakan kesejahteraan keluarga, ibu bapa, jiran tetangga, dan kaum Muslimin seluruhnya. Berdoa supaya diampunkan dosa, diterima segala amal agar layak menempati syurga-Nya adalah antara doa yang baik untuk dilafazkan.

7 Selain itu, hendaklah berdoa dalam keadaan menghadap ke arah kiblat kerana sebaik-baik perhimpunan adalah dengan menghadap kiblat. Ini dikecualikan kepada imam yang berdoa setelah selesai solat berjemaah, yang mana dia disunatkan menghadap ke arah makmum, sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad SAW yang menghadap ke arah para sahabat.

8 Eloklah seseorang yang berdoa berada dalam keadaan berwuduk sambil banyak beristighfar dan bertaubat.

Berdoa dalam hati adalah lebih baik berbanding doa yang dilafazkan secara terang-terangan kerana hal ini lebih dekat kepada keikhlasan dalam berdoa.

9 Makruh jika berdoa dengan suara yang terlalu kuat. Malah jika berdoa setelah selesai solat berjemaah di masjid, imam hendaklah memperhatikan jemaah yang kemungkinan masbuq atau baru memulakan sembahyang yang kemungkinan terganggu dengan bacaan doa yang terlalu kuat.

10 Digalakkan juga bertawasul dengan nama-nama Allah SWT Yang Maha Agung, selain doa disertai dengan banyak bersedekah serta memilih waktu-waktu yang sesuai lagi mustajab untuk berdoa.

11 Pilihlah doa-doa yang pernah dibacakan oleh Nabi SAW kerana logiknya doa tersebut mustajab di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan apabila kita menyebutnya turut diperkenankan oleh Allah SWT. Ingatlah betapa doa adalah senjata Mukmin, gunakalah senjata tersebut dengan sentiasa menyandarkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. MOHD ALI MUHAMAD DON ialah penulis buku, Tazkirah Ramadan: Meraih Takwa Hakiki terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. Utusan/Bicara_Agama/20140717

Rawatan pergigian pada bulan Ramadan tidak batalkan puasa

UMAT Islam mana yang tidak gembira menyambut Ramadan. Tidak lama lagi, Ramadan, bulan yang menjanjikan pahala yang berlipat ganda bagi kebaikan yang dilakukan.

Namun, dalam keghairahan ini, kita juga dibelenggu persoalan-persoalan berkaitan kesihatan, terutamanya berkaitan pergigian.

Bolehkah kita membuat rawatan gigi ketika berpuasa?

Batalkah puasa jika kita melakukan rawatan pergigian? Rawatan pergigian apakah yang dibolehkan semasa berpuasa dan apakah hukumnya bersugi semasa berpuasa?

Hal ini sebenarnya telah dijelaskan dalam Islam. Namun, kekeliruan ini acap kali muncul di bulan Ramadan, mungkin kerana kedudukan Ramadan yang istimewa di hati umat Islam dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik sepanjang bulan itu, serta praktis berpuasa selama sebulan yang hanya berlaku dalam bulan yang mulia ini.

Tambahan pula, ada perkara yang mana para ulama berselisih pendapat sama ada ia membatalkan puasa atau sebaliknya.

Dalam rawatan pergigian, umumnya bentuk-bentuk rawatan yang dinyatakan di sini tidak membatalkan puasa:

1. Membuat rawatan pergigian (dental check-up).

2. Membuat rawatan gigi (tampal, cuci, cabut, rawatan akar, membuat gigi palsu).

3. Suntikan ubat kebas dalam mulut untuk cabut gigi.

4. Dengan tidak sengaja menelan air liur semasa membuat rawatan gigi.

5. Memberus gigi.

6. Menggunakan flos untuk membersihkan gigi.

7. Berkumuh dengan ubat kumuh selagi tidak ditelan.

Dalam buku Kaedah Perawatan Moden Berhubung Perkara yang Membatalkan Puasa tulisan Dr. Harmy Mohd. Yusoff, Ustaz Syamsul Kamal Abdullah, Dr. Rosediani Muhammad dan Wan Nor Ainon Wan Abdullah turut menjelaskan rawatan perubatan moden lain dan hukum berpuasa.

Penerbitan buku ilmiah yang membincangkan soal ini menggambarkan betapa masyarakat kita amat berhati-hati dengan tindakan yang dilakukan ketika bulan Ramadan, yang jelasnya tidak mahu sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mendapat pahala berpuasa. Ramai yang faham apa yang boleh dan apa yang tidak dalam mengharungi bulan mulia ini, namun, tidak kira di mana jua, masyarakat Islam sangat berhati-hati. Dalam hal ini, ramai juga yang mengambil keputusan untuk mendapat rawatan gigi sebelum atau selepas Ramadan.

Benar itu satu pilihan. Namun kekangannya ialah waktu operasi klinik gigi yang kadang kala tidak mesra pelanggan. Hal ini amat ketara bagi negara-negara yang mana komuniti muslimnya hanyalah golongan minoriti.

Namun, buat pertama kalinya pada tahun 2011 telah dilaporkan oleh sebuah akhbar Belanda bagaimana seorang doktor pergigian di Hague, Belanda, membuka kliniknya pada waktu malam bagi memudahkan pesakit Muslimnya mendapat rawatan gigi.

Dr. Peter Thiel memahami kegusaran tentang rawatan gigi di bulan puasa dan memandangkan Hague dihuni ramai penganut Islam, dia membuka lebih ruang kepada pesakitnya dengan membuka klinik selepas waktu berbuka.

Hague adalah salah satu daripada empat bandar utama di Belanda yang mempunyai penduduk Islam teramai selepas Amsterdam, Rotterdam dan Utrecht. Keseluruhannya, seramai 825,000 umat Islam bertebaran di bumi Belanda itu, menjadikan hampir 6 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk.

Usaha doktor gigi ini menyentuh hati, malah memanggil kami untuk mengenali beliau dengan lebih rapat dengan membaca lanjut tentang beliau melalui internet. Namun, laporan akhbar The Hague Online pada tahun 2013 menyatakan Dr. Thiel sedang sakit dan dirawat di luar negara.

Dia juga tidak mampu lagi menerajui klinik itu. Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai kesihatan beliau. Apa-apa sekalipun, usaha beliau boleh dilihat sebagai seorang yang mempunyai kesedaran budaya yang tinggi, menghormati budaya masyarakat lain yang unik berbanding dirinya, serta meraikan toleransi pelbagai kaum yang boleh dicontohi masyarakat dunia.

Dr. Siti Suriani Othman, Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM & Dr. Aspalilah Alias, Pensyarah Pergigian, Fakulti Pergigian, USIM   Utusan/Forum/20140717

Tukar budaya rumah terbuka kepada kunjung-mengunjungi

TIDAK lama lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang penuh dengan keberkatan setelah kita mengharungi dengan sabar dan diiringi dengan amalan-amalan sunat semata-mata untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim yang komited akan suruhan Allah dan mohon keredaanNya.

Saya mencadangkan kita tukarkan sahaja budaya menyambut Hari Raya Aidilfitri ini selama seminggu sahaja dan bukannya selama sebulan sebagaimana lazimnya umat Islam di negara ini amalkan.

Jangan terlalu berpegang dengan budaya rumah terbuka terutama sekali kepada masyarakat bandar, kerana apabila adanya penonjolan rumah terbuka setiap tetamu merasa tidak begitu selesa untuk berkunjung melainkan telah dijemput secara rasmi oleh tuan rumah.

Kalau tidak dibuat rumah terbuka seolah-olah pintu pagar rumah yang tinggi dan tertutup itu sentiasa tertutup rapat kepada pengunjung dan budaya ini perlu dikikis daripada menjadi adat kerana masyarakat Melayu dari zaman Kesultanan Melaka lagi begitu bersopan santun dan mempunyai budaya suka ziarah menziarahi sesama kita tidak kira masa dan begitu teruja apabila tetamu datang dan berasa bangga pula.

Kalau sudah kita ubah budaya ini kepada budaya konsep rumah terbuka dikhuatiri di masa akan mendatang budaya kunjung-mengunjungi pada Hari Raya pertama, kedua dan ketiga tiada siapa yang sudi datang berkunjung lagi dan kalau ada pun sekumpulan kanak-kanak yang berani berkunjung dari rumah ke rumah hanyalah untuk mendapat duit raya pada hari-hari tersebut.

Begitu juga budaya memberikan duit kepada kanak-kanak dan sehingga kadangkala kepada orang dewasa juga kerana itu bukan budaya kita sebenarnya.

Bayangkanlah kita kena menyediakan ratusan ringgit lagi malahan ada yang sampai ribuan ringgit untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak yang datang ke rumah kita bersama dengan keluarga mereka.

Kini bukan lagi zaman kita boleh bagi 50 sen?

Budaya kita memang suka memberi tetapi berikanlah yang boleh mengenyangkan dan bukannya perlukan diberikan duit semata-mata.

Dicadangkan juga setiap yang berkunjung ke rumah kita itu mencatitkan sesuatu di dalam buku kedatangan yang disediakan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada tuan rumah dan sebagai kenangan juga.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL,  Biro Media, Persatuan Asyraff Negeri Sembilan   Utusan/Forum/20140717