July 22nd, 2014

Membayar zakat untuk rakyat Palestin

SARANAN Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz al-Sheikh baru-baru ini supaya rakyat negara itu membayar zakat kepada rakyat Palestin di Gaza sangat menarik perhatian penulis.

Seperti semua kita maklum, saudara kita di Gaza sekarang berdepan dengan kesukaran dan kepayahan yang amat berat akibat tindakan tidak berperikemanusiaan dan zalim rejim Yahudi Zionis.

Gaza diserang dari pelbagai penjuru dan sudut. Sehingga ke hari ini, statistik menunjukkan seramai 469 orang telah syahid manakala lebih 3,000 orang cedera akibat serangan tersebut. Lebih memilukan ramai dalam kalangan mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan kaum wanita.

Menurut mufti berkenaan, rakyat Gaza adalah orang yang paling layak menerima zakat pada masa ini. Mereka berada dalam kesusahan dan alami pelbagai kerosakan seperti hilang rumah penginapan, kemusnahan harta benda, kekurangan bekalan makanan dan sebagainya.

Bagi penulis, saranan ini bukan sahaja patut dibuat kepada rakyat di Arab Saudi, malah ia wajar dibuat kepada seluruh umat Islam di atas muka bumi ini. Ini kerana membantu sesama saudara seIslam sangat disukai Allah SWT.

Di dalam Surah al-Maidah ayat 2, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran".

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda "Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barang siapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat''.

Seruan mengeluarkan zakat untuk Gaza juga wajar dihayati oleh masyarakat Islam di negara kita. Walaupun jarak antara kita dengan Gaza adalah jauh beribu batu, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membantu mereka. Atas tujuan zakat untuk Gaza, penulis ingin mengemukakan beberapa saranan kepada masyarakat, institusi zakat dan pemimpin negara.

Pertama, bagi masyarakat yang belum menunaikan zakat fitrah, maka inilah peluang terbaik anda untuk membantu rakyat Gaza. Keluarkan zakat fitrah untuk diserahkan kepada pihak-pihak tertentu yang akan menyalurkan dana kepada rakyat Gaza seperti Aqsa Syarif, Aman Palestin dan Muslim Care.

Jika ada zakat harta lain yang belum dilunaskan seperti zakat perniagaan, zakat emas, zakat padi, zakat wang simpanan dan sebagainya, maka silalah serahkan bayaran tersebut kepada rakyat Gaza. Bagi yang ingin melunaskan hutang-piutang zakat yang tidak dibayar pada tahun-tahun sebelum ini, maka inilah masa terbaik untuk anda membayarnya.

Ingatlah setiap zakat yang dibayar akan mendapat dua bentuk ganjaran, iaitu di dunia dan di akhirat. Di dunia, kita mendapat potongan 100 peratus jumlah zakat yang dikeluarkan bagi tujuan cukai pendapatan. Di akhirat, insya-Allah kita akan dianugerahkan kerahmatan kerana telah melaksanakan perintah Allah.

Kedua, institusi zakat di seluruh negara diharap dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu rakyat Gaza.

Penulis pernah membaca laporan yang mana Lembaga Zakat Selangor (LZS) pernah menyumbangkan dana zakat sebanyak RM1 juta kepada rakyat Gaza pada 2009. Ini menunjukkan bahawa LZS telah melaksanakan usaha yang proaktif.

Justeru, institusi-institusi zakat di negeri-negeri lain disaran untuk mencontohi tindakan LZS ini. Jika boleh, setiap institusi zakat harus memperuntukkan dalam bajet tahunan zakat kadar antara 1 hingga 10 peratus hasil kutipan zakat setiap tahun untuk diserahkan kepada rakyat Gaza.

Dengan usaha ini, pembayar zakat akan merasa lebih gembira kerana mereka secara langsung telah membantu masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.

Ketiga, negara harus memainkan peranan penting dalam memastikan usaha membantu rakyat Gaza dapat dilakukan dengan lebih teratur. Pada suatu ketika dahulu, seingat penulis negara telah menggerakkan usaha untuk menubuhkan lembaga urus zakat di peringkat antarabangsa. Usaha ini telah dilakukan melalui Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).

Malaysia, sebagai pengerusi OIC pada ketika itu telah mengambil inisiatif bagi menyatukan negara-negara Islam khususnya dalam mengumpul dan mengagihkan dana zakat antara negara-negara Islam. Ideanya adalah untuk mengagihkan semula kekayaan negara Islam dengan mengambil dana zakat daripada negara-negara Islam yang kaya untuk diserahkan kepada negara-negara Islam yang miskin.

Lihat saja berapa banyak lebihan wang zakat berjuta-juta ringgit dalam negara kita. Ini tidak termasuk lebihan dana zakat di Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara Islam lain. Dana ini jika dikumpulkan tentulah boleh mencapai berbilion-bilion ringgit.

Jumlah dana berbilion ringgit ini boleh digunakan untuk membantu masyarakat Islam yang dalam kesusahan. Rakyat Gaza merupakan contoh kumpulan yang akan dapat manfaat yang besar jika pelaksanaan lembaga zakat tersebut dapat direalisasikan. Masyarakat Islam seperti di Somalia dan Myanmar juga akan merasa senang dengan duit zakat ini.

Namun, penulis difahamkan pada waktu tersebut pelaksanaannya cukup mencabar. Ini mungkin kerana negara-negara Islam tidak bersatu. Masing-masing mempunyai rasa ego, syak wasangka dan tidak mempercayai antara satu sama lain. Natijahnya, objektif sebenar pelaksanaan zakat tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya.

Justeru, adalah menjadi harapan penulis agar usaha-usaha untuk menyalurkan bantuan dana zakat kepada rakyat Gaza dapat dilakukan secepat mungkin. Penulis juga ingin melihat suatu hari nanti negara-negara Islam akan bersatu dan menjadikan zakat sebagai medium hebat membantu orang Islam di seluruh dunia. Jangan lupa terus-terusan berdoa untuk Gaza.

Ram Al Jafri Saad: ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140722

Perihal bermuhasabah diri bulan Ramadan

RAMADAN 1435 Hijrah tinggal kurang seminggu lagi. Sudah kerap dinasihatkan agar muhasabah diri (muhasabat al-nafs) dipergiatkan sepanjang bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini.


Malangnya, sebagaimana yang lumrah berlaku pada perkara-perkara yang lazim dituturkan, makna dan semangat asal peringatan sedemikian mudah hilang atau dialpakan. Yang tinggal hanya laungan kata-kata sebagai bunyi penghibur telinga semata.

Sesungguhnya gesaan bermuhasabah diri ini sangat rapat berkait dengan kurniaan daya istimewa pada diri insan yang membezakannya daripada segala hidupan melata yang lain.

Iaitu kemampuan muhasabah yakni kemampuan menilik dan mengenal diri sendiri sehinggakan insan secara serentak menjadi yang mengetahui (subject of knowledge) dan yang diketahui (object of knowledge) sekali gus.

Adalah jelas bahawa keistimewaan tersebut tidak merujuk kepada mana-mana bahagian jasadnya, termasuk pancainderanya. Mata dan kepala sesiapapun, dengan sendirinya, tanpa bantuan apa-apa alat seperti cermin, tidak akan dapat melihat dirinya sendiri.

Sebaliknya, keistimewaan itu setepatnya kembali kepada akal yang disepakati dalam tradisi ilmu Islam sebagai intisari atau hakikat insan.

Sememangnya akallah yang dapat menyemak dan memerhati dirinya sendiri sehinggakan akibat pemerhatian itu maka terbit, sebagai contoh, disiplin ilmu mantik (atau logik) yang tiada lain dan tiada bukan merupakan "rumusan akal perihal tatacara fikirannya sendiri yang sah sejahtera".

Sesungguhnya akal itu diri insan. Akal itu juga sebenarnya mata hati.

Justeru, apabila setiap orang Islam dipesan agar menghitung dirinya sebelum dirinya dihitung kelak di akhirat nanti (haasibuu anfusakum qabla an tuhaasabuu), pesanan tersebut sebetulnya ditujukan kepada akalnya.

Penilaian atau audit diri ini pada hakikatnya melibatkan bukan sahaja semakan dan pembetulan kepada sikap, perangai dan perlakuan diri pada masa-masa lalu, malah lebih penting lagi, penilaian dan pembaikan kandungan akalnya.

Kandungan akal itu sesungguhnya ilmunya. Bahkan, sebagaimana yang diterangkan oleh ramai ilmuwan agung Islam seperti Imam al-Ghazzali dan Raghib Isfahani, iaitu akal turut membawa makna ilmu.

Malah, kualiti ilmu seseorang itulah yang pada akhirnya menentukan sikap, perangai dan perlakuannya.

Daripada semua yang diterangkan di atas, sangat jelas kaitan rapat antara muhasabah, akal, dan ilmu.

Jalinan rapat yang merangkaikan ketiga-tiga perkara ini pasti akan mengakibatkan hubungan timbal-balik: mutu satu daripada ketiga-tiga itu tidak dapat dibaiki tanpa pembaikkan turut dilakukan terhadap mutu yang dua lagi.

Sekiranya diakui bahawa pendidikan adalah saluran dan proses utama untuk mengasuh, memupuk dan meningkatkan mutu akal dan ilmu insan, maka pendidikan yang sama juga perlu menggarap dengan wajar dimensi muhasabah.

Garapan sedemikian pasti akan melibatkan tuntutan agar kaedah dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran turut bersifat muhasabah, khasnya pada peringkat pengajian tinggi.

Garapan tersebut juga perlu membabitkan pembentukan bukan sahaja para tenaga pengajar yang mempunyai sifat itu tetapi juga para lepasan institusi yang turut bersifat dengan sifat yang sama.

Namun begitu, tanpa merangkum mata pelajaran yang lebih bersifat muhasabah pada kadar yang munasabah, garapan yang dimaksudkan tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Mata pelajaran tersebut pula selalunya bersifat falsafah (pemikiran) dan sejarah sekali gus dan seringkali pula mengambil bentuk meta-discipline.

Yang dimaksudkan adalah mata pelajaran seperti sejarah dan falsafah sains, sejarah dan falsafah ekonomi, dan yang seumpamanya.

Sebagaimana sifat muhasabah yang lebih bersifat renungan ke dalam diri dan pada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku (inward looking and hindsight) demi masa hadapan yang lebih baik, maka olahan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut juga perlu bersifat sedemikian.

Tanpa semua ini dilaksanakan dengan baik, sistem pengasuhan dan pendidikan kita bukan sahaja tidak dapat menyediakan persekitaran yang dapat menyuburkan budaya muhasabah tetapi yang lebih buruk lagi, menafikan serta memusuhi budaya tersebut.

Baik disedari mahupun tidak, semua itu akhirnya menjadikan kita kufur nikmat akal yang telah Allah kurniakan sebagai keistimewaan kita!

Pandangan IKIM ialah Felow Utama/Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Utusan/Rencana/20140722

Lailatulqadar satu anugerah mulia

DALAM Surah al-Qadr (1-5), Allah SWT menyatakan bahawa malam lailatulqadar adalah malam kemuliaan. Ia lebih baik dari seribu bulan. Iaitu malam yang penuh barakah dan maghfirah.


Ramai ulama yang mentafsirkan bahawa ia terjadi di malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa lailatulqadar itu ada di malam ke-27 di bulan Ramadan berasaskan hadis sahih Muslim.

Pada malam ini dianjurkan banyak beribadah dan berdoa teristimewa pada malam-malam ganjil dengan mengungkapkan: Allahumma innaqa afuwun tuhibbul afwa fa'fuanna - Ya Allah, sungguh Engkau Maha Pemberi Maaf, Engkau suka memberi maaf, maka maafkanlah aku.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, bahawa 'Aisyah (isteri Rasulullah SAW) bertanya Rasullullah mengenai doa apa yang patut dimohon pada malam tersebut.

Sepanjang 20 Ramadan dilalui umat Islam teruji dan teruja. Di samping mendapatkan pahala dan ganjaran, puasa dilalui untuk mendidik hati dan nafsu supaya ada rasa kehambaan yang tinggi dan membawa kepada sifat akur, patuh, taat dan tunduk terhadap suruhan dan larangan Allah. Jiwa kehambaan dan muttaqeen ini penting untuk mengembalikan diri kepada fitrah

Malam lailatulqadar adalah suatu dorongan dan tarikan supaya ahli abid (ibadah) terus melakukan mujahadah yang terbaik dengan sabar dan yakin kerana pertemuan pada malam itu (jika ditakdirkan terjadi) ganjarannya adalah keampunan dan kemuliaan diri.

Manusia mana yang tidak berdosa. Kehidupan kita dilingkari dengan dosa-dosa. Dosa mengata dan mengumpat orang, dosa pemikiran, dosa hati dan dosa perbuatan. Dosa dendam, fitnah, kebencian dan syak wasangka dan banyak lagi dosa akibat kelupaan (nasiyyah) dan kelalaian (ghaflah) insan.

Malam lailaltulqadar amat bermakna bagi kita kerana ia lebih baik daripada seribu bulan. Di malam lain kita juga melakukan qiyam, tahajud, solat sunat dan seumpamanya tetapi ia tidak sama dengan darjat malam lailatulqadar.

Ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya supaya hamba-Nya memiliki rasa ketaatan yang tinggi kepada Allah, keikhlasan dalam melakukan ibadah dan amal dan menjadikan diri sebagai insan yang memiliki kualiti iman dan ihsan.

Ia adalah puncak madrasah Ramadan ingin menjadikan diri ini sebagai diri yang berubah. Diri yang sentiasa menginsafi bahawa dosa yang tidak diampunkan oleh Allah apa lagi sesama manusia bakal dibawa di depan Allah nanti.

Keampunan dari Allah amat dituntut supaya manusia kembali kepada diri yang fitrah. Melakukan taubat terhadap kesilapan yang nampak dan kesalahan yang bersifat batini amat dituntut lantaran Allah tahu apa yang kita lakukan walaupun manusia lain tidak tahu apa yang kita lakukan.

Inilah anugerah Allah yang paling tinggi kepada hamba-Nya. Manusia yang Allah anugerahkan kemaafan dan keampunan bakal kembali kepada kehidupan yang fitrah. Inilah yang menjadi idaman bagi setiap manusia yang beriman kepada Allah.

Allah tempat kita meletakkan pergantungan dan harapan. Kalau kedegilan dan keangkuhan masih bertakhta di hati, ia adalah gambaran insan yang jauh dari jiwa ibadullah dan ibadur rahman. Jiwa yang memiliki sifat nafsul amarah bissuk ini bakal menyesal di kemudian hari.

Justeru malam lailatulqadar yang ditunggu, kemaafan dan keampunan yang dimohon adalah menjadi puncak kepada madrasah Ramadan. Madrasah Ramadan jika dihayati benar-benar ia akan merubah cara berfikir, sikap dan cara kita beramal supaya Allah menerimanya dengan baik.

Kalau dulu kita ini bengkeng dan baran kepada suami atau isteri, madrasah Ramadan membawa kita insaf betapa besar dosa yang kita lakukan kerana tidak mengasihi isteri dan tidak mentaati suami yang baik.

Kalau dulu kita ini banyak membina syak wasangka, dendam dan kebencian kepada orang yang berbeza fahaman dengan kita, madrasah Ramadan mendidik kita supaya kembali kepada fitrah diri iaitu ukhuwah.

Apa makna rukuk dan sujud kita lakukan sedangkan rasa kebencian masih meluap-luap. Apa makna doa yang panjang kita panjatkan sedangkan di celah-celah doa tidak ada kalimah ukhuwah dan persaudaraan sesama seagama kita lafazkan.

Inilah realiti yang sedang terjadi dan akibatnya musibah Allah kepada umat terus berlaku di mana-mana di bumi Islam. DARI JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140722

Azan semasa berbuka

SAYA ingin merakamkan rasa kesal kerana terdapat kompleks perniagaan di Kuala Lumpur tidak menyiarkan azan di medan selera mereka sepanjang Ramadan.

Keadaan ini menyukarkan umat Islam berbuka puasa walaupun sudah lama duduk di meja masing-masing selepas membeli makanan.

Saya dan keluarga sudah dua kali ke medan selera Signature di Suria KLCC pada Ramadan ini dan mendapati orang Islam agak kelam-kabut ketika hendak berbuka puasa sehinggakan ada yang makan lebih awal daripada yang lain.

Keadaan itu tidak menimbulkan langsung suasana bulan yang mulia ini sedangkan di Centre Court kompleks berkenaan diserikan dengan hiasan dan lagu Hari Raya.

Saya bertanya kepada pegawai khidmat pelanggan dan disahkan bahawa mereka tidak menyiarkan azan di dalam kompleks malah azan hanya disiarkan di masjid di luar.

Ia menunjukkan pihak pengurusan kompleks berkenaan tidak menghormati umat Islam yang menunaikan ibadah berpuasa di negara ini.

Beberapa tahun lalu ketika Aidilfitri dan Krismas diraikan selang beberapa minggu antara satu dengan lain, Suria KLCC pernah juga mendapat perhatian media kerana menampakkan lebih kecenderungan untuk meraikan perayaan Krismas berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Kita berharap pihak yang menguruskan kompleks perniagaan mega seperti Suria KLCC akan mengambil perhatian perkara seperti ini. Azan Maghrib selain menandakan sudah masuk waktu solat juga menandakan waktu berbuka puasa, yang penting bagi umat Islam dan harus diterima secara universal.

Kini masih ada kira-kira seminggu lagi sebelum Hari Raya Aidilfitri dan harapan saya agar pengunjung Suria KLCC akan lebih merasai suasana Ramadan seiring dengan Aidilfitri. Selamat menunaikan ibadat berpuasa! Warga KL Prihatina Wangsa Maju Utusan/Forum/20140722

Susahnya dapat markah tinggi puasa

ORANG mungkin tidak percaya atau akan marah-marah kalau saya katakan bahawa pahala puasa kita umat Islam di Malaysia tidaklah begitu tinggi berbanding dengan negara-negara Islam lain, malah dengan puasa umat Islam di negara bukan Islam.

Dan kita sendiri yang membuatnya begitu. Salah kita sendiri.

Maksud saya di sini ialah perempuan-perempuan atau imej-imej perempuan yang tidak sopan kelihatan di mana-mana sahaja apabila kita terpaksa keluar rumah.

Pertama, oleh kerana kita terlalu liberal maka ramai perempuan bukan Islam rakyat Malaysia dan pelancong perempuan berkeliaran di sana-sini dengan pakaian yang tidak senonoh.

Blouse mereka juga jenis see-through lebih-lebih lagi waktu cuaca panas.

Di pusat-pusat beli-belah, dalam LRT ramai kelihatan memakai hotpants sependek-pendeknya.

Dalam LRT yang penuh sesak mata penumpang yang duduk tidak boleh lagi ditumpukan ke arah lain.

Di depan mata pelancong asing berdiri di depan manakala di kiri kanan pun serupa, malah kadang-kadang perempuan Islam rakyat tempatan sendiri berpakaian tidak senonoh.

Yang saya tahu sebelum mendarat di KLIA atau LCCT, pelancong-pelancong akan dengar amaran bahawa Malaysia punya undang-undang dadah yang keras, boleh dihukum mati.

Tetapi tidak ada pula peringatan meminta mereka supaya menghormati Malaysia sebagai negara Islam dan mereka mesti berpakaian sopan.

Inilah musibah kita yang terlalu liberal dan ramai orang kita sendiri yang akan membantah kalau dilaksanakan dasar kesopanan berpakaian di khalayak ramai.

Kita terlalu takut pelancong akan memboikot Malaysia. Soalnya kita bukan Thailand atau Filipina yang amat bergantung kepada hasil dari industri pelancongan.

Jadi tidak bolehkah kita melaksanakan syiar Islam yang kecil-kecil ini.

Kedua, rakyat Islam Malaysia sudah menerima sebagai biasa gambar-gambar perempuan tidak senonoh pada papan-papan iklan di pusat beli-belah.

Sekarang ia bertambah teruk kerana iklan-iklan ini berbentuk visual yang diulang-ulang.

Pokoknya kenapa NGO-NGO wanita tidak membantah iklan-iklan sentiasa menggunakan (memperdagangkan) perempuan untuk melariskan jualan.

Perkembangan baru sekarang ialah pemerdagangan kanak-kanak di iklan-iklan.

Begitu juga di saluran-saluran televisyen, kesemuanya memperdagangkan wanita termasuk adegan-adegan ganas ke atas wanita.

Soalnya adakah kita akan meneruskan budaya-budaya ini kononnya ia adalah perkara biasa.

Baru-baru ini satu laporan antarabangsa meletakkan Malaysia di tangga yang amat bawah dari segi pemerdagangan manusia (perempuan).

Adakah kita berbuat sesuatu?

Kalau kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia agak rumit dibendung, kita punya kuasa mengenakan garis-garis panduan dan displin dalam industri pengiklanan yang sekarang ini sentiasa memperdagangkan perempuan dan kanak-kanak. Saad Hashim Ampang Selangor Utusan/Forum/20140722

Perbanyak doa bertemu malam Lailatulqadar

Ramadan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah SWT serta Rasul-Nya. Pada bulan itu terdapat satu malam istimewa yang lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan iaitu malam Lailatulqadar.

Malam Lailatulqadar adalah bonus dan anugerah Allah SWT untuk umat Nabi Muhammad SAW yang hanya berlaku pada setiap Ramadan.


Malam istimewa

Lailatulqadar adalah satu malam yang teristimewa mengandungi peristiwa penting bagi kemuliaan insan, malam penuh kelebihan dan keutamaan yang mana siapa beribadah pada malam itu, maka dilipatgandakan pahalanya lebih daripada beribadah seribu bulan.

Pada malam itu juga Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh beribadah melebihi malam Ramadan yang lain. Disebutkan dalam hadis: Adalah Nabi SAW, beribadah dengan (lebih) bersungguh dan kuat 10 malam terakhir Ramadan, tidak seperti Baginda beribadah pada malam yang lain. (Riwayat Muslim)

Ringkasnya, Lailatulqadar adalah malam berkat yang diturunkan padanya al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat).

Pada malam Lailatulqadar Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai amalan dan ibadah.

Malam Lailatulqadar berlaku tidak dapat diketahui kedudukannya yang tepat bilakah ia akan terjadi, tetapi kita sebagai umat Islam digalakkan meningkatkan amalan ibadah pada setiap malam pada bulan Ramadan supaya dapat diketemukan dengan malam itu dan tidak hanya beribadah pada malam tertentu saja.

Sebahagian ulama berpendapat malam Lailatulqadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan yang mana besar kemungkinan pada malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 atau malam ke 29.

Lailatulqadar 10 malam terakhir Ramadan

Hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:

Carilah Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Walaupun tidak dijelaskan bilakah tepatnya berlaku malam Lailatulqadar, kebanyakan ulama sepakat mengatakan ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Rasulullah SAW diceritakan lebih tekun beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Umat Islam yang ditakdirkan bertemu malam Lailatulqadar digalakkan memperbanyakkan doa memohon keampunan kepada Allah SWT daripada segala dosa yang dilakukan seperti dianjurkan Rasulullah SAW.

Ada beberapa kelebihan malam Lailatulqadar yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya iaitu dengan memberi balasan dan ganjaran istimewa bagi hamba-Nya yang taat serta ikhlas melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Berita Harian Agama 22/07/2014

Kelebihan doa malaikat

Perbanyak amal jariah, utamakan solat berjemaah

Ramadan yang mulia mengingatkan kita makhluk diciptakan Allah SWT daripada cahaya dan berbeza daripada manusia, makhluk ini tidak pernah ingkar perintah Allah SWT, jauh sekali untuk melakukan maksiat kepada-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya (malaikat) adalah hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafaat melainkan kepada orang yang diredai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 26-28)

Tanpa kita sedari, malaikat sering mendoakan kebaikan untuk manusia yang sentiasa taat perintah Allah SWT. Ada riwayat menyatakan malaikat yang menunggu di pintu masjid mendoakan kebaikan jemaah yang hadir bersolat.

Malaikat menziarahi ahli masjid

Jika ahli masjid mendapat keuzuran, malaikat akan pergi menziarahi orang itu di rumahnya. Bukan sekadar itu, malaikat pernah berperang bersama Baginda SAW dalam peperangan. Malaikat juga membantu memenggal kepala kaum musyrikin dalam peperangan Badar.

Peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan itu menyaksikan kemenangan besar kepada Muslimin walaupun bilangan mereka hanyalah 313 orang berbanding 1,000 kuffar Quraisy. Maka diturunkan malaikat sebagai memenuhi doa Baginda SAW.

Pertolongan Allah SWT telah dirakamkan dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, pada hal kamu ketika itu adalah orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 123)

Malaikat tidak terkecuali membantu serta mendoakan kaum Muslimin. Malaikat juga turun memberi sokongan dan doa kepada mereka yang sentiasa berada dalam keadaan bersuci atau berwuduk.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersama dengannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Mereka inilah yang sering dianugerahkan dengan mimpi yang baik serta dorongan yang boleh membawa kebaikan. Mereka yang duduk dalam keadaan khusyuk menunggu solat berjemaah juga tidak terkecuali daripada doa malaikat.

Solat adalah tiang agama. Maka persediaan untuk menunaikannya adalah satu usaha yang amat diredai oleh Allah SWT.

Perkara ini dikuatkan oleh hadis diriwayatkan Imam Muslim, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali malaikat akan mendoakannya: Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.”

Ditambah pula mereka yang berada di saf pertama didoakan kesejahteraan oleh malaikat. Mereka yang menyambung saf dengan tidak membiarkan kekosongan dalam saf juga mendapat perhatian malaikat.

Menghalang syaitan beroperasi

Menghalang syaitan daripada beroperasi akan mengundang malaikat bagi menggantikan tempatnya. Pada ketika itulah malaikat mendoakan untuk mereka. Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah dan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf dalam solat.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim)

Malaikat juga mengucapkan ‘Amin’ ketika imam selesai membaca al-Fatihah. Menunjukkan malaikat sentiasa bersama mereka yang solat dan mendoakan kebaikan mereka.

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: “Apabila imam membaca ‘Amin’ hendaklah kamu mengucapkan ‘Amin’, kerana sesungguhnya malaikat juga membaca ‘Amin’ bersama dengan imam. Sesiapa yang bersamaan ucapan ‘Amin’ dengan ucapan malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Kelebihan doa malaikat

Selepas selesai solat, maka kita akan duduk sebentar sebagai kerehatan dan sedikit zikrullah bagi menampung kekurangan solat dilakukan. Maka, di sini kita masih lagi mendapat kelebihan doa malaikat.

Rasulullah SAW bersabda: “Malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu antara kalian selama ia ada dalam tempat solat yang mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, malaikat berkata: Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Terdapat banyak lagi riwayat berkaitan malaikat dalam urusan kebaikan manusia. Lihatlah mereka yang bersedekah sentiasa mendapat perhatian malaikat.

Begitu juga mereka yang menziarahi orang sakit dan mengajak kebaikan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya pada waktu siang dan pada waktu malam sehingga subuh.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ramadan adalah medan yang sesuai untuk dipraktikkan semua perkara kebaikan. Marilah kita jadikan Ramadan bulan untuk menempah tiket doa daripada malaikat supaya mendapat keberkatan sehingga Ramadan akan datang. Zamanuddin Jusoh Berita Harian Agama 15/07/2014

Abang kandung Nabi Musa

HARUN adalah abang kandung Nabi Musa a.s. Kisahnya di dalam al-Quran selalu disebut bersama dengan kisah adiknya itu. Baginda mendampingi Nabi Musa menemui Firaun untuk meminta agar Firaun melepaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Mereka menyampaikan wahyu daripada Allah kepada raja Mesir itu, dan mengingatkannya serta meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas (tidak rela melepaskan Bani Israel daripada perhambaan) serta menyimpang daripada ajaran Allah SWT.

Dengan lemah lembut, Musa dan Harun menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan. Akhirnya, Musa dan Harun berjaya membawa keluar Bani Israel dari Mesir.

Ketika sampai di sekitar Gunung Sinai, Nabi Musa meninggalkan Bani Israel selama 40 hari untuk menemui Tuhan di puncak Gunung Sinai.

Harun ditugaskan menjaga kaumnya. Baginda sempat mengingatkan mereka agar tidak menyembah berhala lagi.

Ketika Musa masih berada di Gunung Sinai, Harun mendatanginya.

Setelah mendapatkan tugas dan perintah daripada Allah SWT, kedua-duanya segera berangkat ke Mesir. Dengan ketabahan dan keteguhan iman, mereka menemui Firaun di istananya.

Dalam pertemuan itu, Nabi Musa menyampaikan wahyu Allah SWT kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Harun memiliki kemampuan berbahasa lebih fasih daripada adiknya. Oleh hal demikian itu, Musa memohon kepada Allah SWT agar mengutuskan Harun mendampinginya menemui Firaun. Permohonan itu bermaksud untuk membenarkan kata-kata yang disampaikan Musa, kerana baginda khuatir Firaun tidak mahu menerima kata-katanya.

Harun diangkat oleh Allah SWT menjadi nabi dan rasul untuk membantu tugas kerasulan Nabi Musa a.s.

Ketika hendak mendatangi Firaun, mereka diperintahkan oleh Allah SWT agar mengaku sebagai utusan Allah SWT kepada Firaun. Mereka menghadap Firaun dengan membekalkan bukti-bukti kerasulan mereka daripada Allah.

Bani Israel menyembah patung lembu yang diperbuat daripada emas dan melupakan Tuhan ketika Musa berada di puncak Gunung Sinai untuk bertemu Tuhan. Harun tidak berdaya menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi Musa.

Ketika hendak menerima wahyu Allah SWT di Gunung Sinai, Harun diserahkan untuk memikul amanah oleh Musa untuk memimpin Bani Israel. Selama ditinggalkan oleh Musa, kaumnya membuat kekacauan.

Dalam suasana itu, muncul Samiri yang mengaku layak menjadi pemimpin Bani Israel. Dia membuat patung anak lembu emas sebagai sembahan. Melihat kaumnya yang kufur itu, Harun berusaha mengingatkan akan kesesatan mereka. Baginda berusaha menghentikan kekufuran kaumnya, namun hati mereka benar-benar keras.

Setelah pulang dari Gunung Sinai, Musa a.s marah kepada kaumnya dan menegur abangnya, Harun.

Oleh sebab berasa marah dan sedih, seperti dikisahkan di dalam al-Quran, Musa melemparkan ‘loh-loh’ (Taurat) yang baru diterimanya daripada Allah SWT dan memegang rambut Harun, sambil menariknya ke arahnya.

Sesudah amarahnya reda, baharulah diambilnya kembali ‘loh-loh’ (Taurat) itu, kerana di dalam tulisan Taurat itu terdapat petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut kepadanya.

Nabi Harun a.s wafat terlebih dulu daripada Nabi Musa a.s dan dimakamkan/disemadikan oleh Nabi Musa a.s di Bukit Hur (Jabal Harun) di Semenanjung Sinai.     Utusan/Bicara_Agama/20140722

Syukuri nikmat sihat

SEBAGAI manusia kita kadang-kala terlupa betapa banyak dan besarnya nikmat Allah SWT di dunia ini, terutama di bulan Ramadan untuk kita memanfaatkannya. Hal ini disebabkan oleh kesibukan kita mengejar harta dan kekayaan dunia. Sebagai umat Islam kita diingatkan supaya sentiasa mensyukuri segala nikmat Allah SWT yang dianugerahkan kepada kita.

Antara nikmat kepada umat Islam yang paling besar ialah nikmat Islam dan nikmat iman. Dengan Islam dan beriman kita dapat berpuasa di bulan Ramadan yang penuh dengan pahala dan keberkatan. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang maksudnya: Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah cahaya dan kitab yang terang. Dengan itulah Allah memimpin siapa yang mahu mengikut keredaan-Nya ke jalan perdamaian dan dikeluarkan-Nya kepada cahaya yang terang, dan mereka dipimpin-Nya ke jalan yang lurus. (al-Maidah:15-16)

Melalui al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadan dan as-Sunnah, umat Islam dapat mencari petunjuk hidup, bagi pembentukan akhlak dengan keimanan kepada-Nya. Segala-galanya adalah nikmat yang tidak terkira dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Nikmat yang paling besar adalah nikmat sihat. Apabila seseorang itu sihat tubuh badannya semua ibadah dan kerja boleh dilakukan dengan mudah dan senang. Nikmat sihat juga menjadikan kita dapat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna.

Sebagai umat Islam yang diberi akal dan fikiran melalui hati dan perasaan, mengapa kita tidak belajar menikmati sesuatu yang kecil yang sangat banyak terdapat di sekitar kita? Jika kita selalu memikirkan dan merasainya kita akan berasa betapa besarnya nikmat yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada kita.

Betapa banyaknya nikmat yang dianugerahkan oleh Allah, antaranya nikmat akal, nikmat hati, nikmat umur, nikmat rezeki, nikmat sihat, nikmat masa, nikmat kebahagiaan, dan nikmat ketenangan jiwa. Segala-galanya bertujuan menyempurnakan tingkat kepatuhan kepada Allah SWT.

Orang terkaya

Hukamak pernah berkata, “Kelemahan hidup melemahkan jiwa, kesusahan hidup mencerdaskan fikiran, pujian menjatuhkan martabat, celaan menyedarkan diri dan syukur mendatangkan tambahan nikmat. Apabila seseorang itu telah reda menerima apa-apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya, maka dia akan menjadi orang yang terkaya di dunia."

Kenikmatan yang terapung dan terbesar adalah kenikmatan yang membawa kepada kenikmatan akhirat. Oleh sebab itu, perbuatan seseorang mukmin harus dibalas dengan pahala dan merasakan kenikmatan.

Ia akan diberi pahala dalam makan, minum, berpakaian, tidur, berjaga dan dalam perkahwinannya jika disertai niat ikhlas mencari reda Allah. Apa lagi jika dia menikmati keimanannya, ibadahnya, kerinduannya kepada Allah SWT. Oleh itu, umat Islam harus bersyukur kepada-Nya.

Ada juga kenikmatan dunia yang tidak membawa apa-apa, bahkan menghalang seseorang itu untuk memperoleh kenikmatan di akhirat. Ini adalah kelazatan dan kenikmatan dunia yang harus. Kenikmatan seperti ini waktunya sangat singkat dan seharusnya seseorang itu mencari sesuatu yang lebih bermanfaat. Antara kenikmatan inilah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap mainan dan kesenangan yang di nikmati seseorang adalah batil, kecuali memanah, melatih kudanya dan bermesra dengan isterinya, kerana semua ini adalah benar" (riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Tentang kesyukuran Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu. (Ibrahim: 7)

Jelaslah, dapat difahami bahawa Allah akan mengagungkan ilmu, menambah pemahaman, memberkati rezeki, memberikan pertolongan, dan memperbanyak kebaikan atas diri anda.

Selanjutnya dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Dia menyempurnakan untukmu nikmat-Nya zahir dan batin. (Luqman: 20)

Ini bermaksud termasuk nikmat yang khusus dan umum yang berkaitan dengan urusan dunia dan akhirat, keluarga dan harta dan yang berkaitan dengan potensi, jiwa dan raga.

Keredaan-Nya

Oleh itu, segala nikmat pancaindera ini hendaklah dijaga agar tidak disalah gunakan yang membawa kepada yang haram. Umat Islam juga diminta menjaga aurat atau kehormatan daripada melakukan segala macam larangan Allah SWT terutamanya di bulan Ramadan.

Dalam sebuah hadis daripada Abi Yahya Shuhaib Bin Sinan r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sungguh baik nasib orang yang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan yang baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya dan apabila ditimpa musibah, maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya. (riwayat Muslim)

Kesimpulannya, kita umat Islam seharusnya mensyukuri nikmat Allah, terutamanya di bulan Ramadan. Antara nikmat yang paling besar adalah nikmat kesihatan. Justeru, sama ada nikmat kecil atau nikmat yang besar dalam bulan Ramadan dan bulan-bulan lain kita wajar bersyukur atas nikmat itu dan menggunakan nikmat itu untuk mencari keredaan Allah SWT, baik untuk kegunaan dirinya sendiri atau orang lain sebagai sedekah atau pertolongan kepada mereka. DR. AMINUDIN MANSOR  bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan/Bicara_Agama/20140722

Patahkan kesombongan

ABDULLAH bin Salam seorang pendita Yahudi di Madinah. Pada masa itu, beliau terkenal sebagai tokoh Yahudi yang paling menguasai Taurat.

Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Abdullah yang telah mendengar berita tentang baginda tertarik untuk melihat Baginda. Seketika melihat wajah baginda SAW, beliau terus beriman. Beliau mendapati sifat-sifat baginda seperti yang dijanjikan dalam Taurat.

Hingga ke akhir hayatnya, Abdullah bin Salam terus menjadi seorang Muslim. Beliau bahkan ikut berjuang menegakkan dakwah Islam bersama Rasulullah SAW dan para sahabat. Tokoh yang pernah disebut Rasulullah SAW sebagai ahli syurga ini wafat pada tahun 34 Hijrah.

Suatu hari Abdullah bin Salam terlihat ketika sedang berjalan di pasar. Beliau tengah memikul seikat kayu bakar bagi keluarganya. Pemandangan ini tentu sahaja menghairankan orang ramai yang melihatnya. Sebab beliau seorang tokoh terhormat. Jika mahu, beliau boleh menyuruh sesiapa untuk melakukan pekerjaan kasar ini.

Seseorang lalu berkata kepada Abdullah: “Mengapa tuan melakukan pekerjaan seperti ini? Bukankah Allah SWT telah mencukupkan tuan sehingga tidak perlu melakukannya?"

Beliau menjawab: “Ya. Namun aku ingin mematahkan kesombongan di dalam hatiku. Sebab aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seseorang yang memiliki sifat sombong di dalam hati walaupun sebesar biji sawi."

Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la, Ibn ‘Asakir dan lain-lain. Ibnu Hajar berkata dalam kitab Ithaf al-Khiyarah: “Abu Ya’la meriwayatkannya dengan sanad yang sahih."

Bahaya sombong

Sifat sombong sangat dibenci oleh Allah SWT. Sifat ini bermula daripada perasaan yang merasakan diri lebih baik dan lebih besar daripada orang lain, berlanjut dengan memperlekeh dan menghina mereka.

Kesombongan tidak terletak dalam pakaian dan kenderaan. Akan tetapi terletak di dalam hati lalu diterjemahkan dalam tindakan. Apabila kesombongan berputik di hati, ia akan melahirkan ucapan yang menyakitkan pendengarnya. Juga sikap dan perilaku yang merendahkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Kesombongan ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia. (riwayat Muslim)

Salah satu ciri orang sombong ialah sukar menerima nasihat dan teguran. Nasihat bagi dirinya ialah kutukan dan kritikan. Justeru, pantang bagi seseorang yang merasa tinggi menerima nasihat. Terlebih lagi jika teguran itu berasal daripada orang yang lebih rendah usia dan darjatnya.

Sangat jarang manusia yang terlepas daripada sifat sombong. Tidak terkecuali orang-orang yang berkecimpung dalam dunia ilmu termasuk ilmu agama. Padahal, kesombongan hanya akan merendahkan seseorang di mata Allah SWT dan manusia. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. (al-Nisa ayat 36)

Kejahilan

Sifat ini tidak lain berpunca daripada kejahilan diri. Semakin pandai seseorang, sepatutnya semakin hatinya dipenuhi tawaduk dan bersih daripada kesombongan.

Imam al-Sya’bi berkata: “Panjang sebuah ilmu ialah tiga jengkal. Apabila seseorang baru menguasai satu jengkal, ia akan bersikap angkuh dan menyangka telah menguasai semuanya. Namun apabila ia menguasai satu jengkal lagi, maka pada saat itu ia akan merasa kerdil dan jahil. Adapun jengkal yang ketiga, maka tiada manusia yang mampu menguasainya."

Justeru, para sahabat Nabi selalu bermujahadah untuk menghilangkan sifat sombong daripada dalam hati. Mereka sedar bahaya sifat ini jika tidak segera disembuhkan. Ia bukan hanya merosak kehidupan mereka di dunia, namun juga menghalangi mereka daripada memasuki syurga di akhirat. Marilah kita meneladani Abdullah bin Salam. Utusan/Bicara_Agama/20140722

Islam is being threatened, says former chief justice

A former chief justice warned that the position of Islam as the official religion of the federation is under threat in DAP-led Penang, adding that many non-Muslims in Malaysia wanted their own respective religions to be given the same status.

"A former Penang mufti told me that it was hard to get allocations for Islamic activities in the state, as leaders of the other religions also ask for the same rights," Tun Abdul Hamid Mohamad (pic) said in a speech obtained from his website.




  1. Islam is being threatened, says former chief justice


"The mufti also told me that in an opening ceremony of a building by the deputy chief minister, the prayers were recited by a Christian priest, a Hindu priest and the Imam of the state mosque."

Hamid said he was perplexed as to why certain ulamas could not see the trickery used by the Catholic church, which wanted to use the word Allah in Malay Bibles and in church ceremonies.

"They referred to the usage of the word in the Arab world without analysing the difference. We have to look at the issue in the Malaysian context."

Hamid said this when tabling a working paper titled, "Mempertahankan Perlembagaan Sebagai Asas Perpaduan Nasional" at an Islamic discourse in Kuala Lumpur yesterday.

The discourse, organised by Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), was attended by about 200 representatives from various Malay non-governmental organisations, including Perkasa and the Muslim Consumers Association.

He also cited the incident of a surau in a resort in Johor being used by Buddhist tourists for prayers last year, hitting out at "shariah scholars" who defended the resort and said that Prophet Muhammad had also allowed the Christians to worship in the mosque.

"If we allowed devotees of all other religions to worship in mosques, what will happen? Not only will it be stinking of incense, they would also bring in roast pork into the mosques, as during the Hungry Ghost month, giving offerings to ghosts is part of their ritual," he said.

"I am saddened to see Malay Muslims so naive that they are easily used. They would pray and roll on the streets for the non-Muslims' gain."

He warned that if such practices are allowed to go one, it will spread to the whole of Malaysia.

"We will see government departments and public university campuses which have suraus, would also now have to prepare churches, temples and gurdwaras.

"That means the position of Islam as the religion of the federation has no meaning left. That allocation may be abolished or all other religions will also be made the official religions here."

He also claimed that certain groups, who are unsatisfied that the Constitution does not allow the proselytization of Muslims by non-Muslims, are "going all over the world" to disgrace the name of Islam.

"They go all over the world and smear Islam because Islam does not allow its followers to turn away from the faith, because Islam allows polygamy, because Islam forbids sodomy and others," Hamid said.

He recently courted controversy after claiming that he turned down an offer to join the National Unity Consultative Council (NUCC) for fear of being branded a "traitor" to the Malays and Islam, a claim which Putrajaya rubbished.

Hamid, who is the head of the National Unity Front, a unity council set up by Malay rights group Perkasa and other Muslim NGOs as a counter to NUCC, said he was asked to join the NUCC but had declined as he feared being used by certain parties, who wanted to cast aside Malay rights and the position of Islam in the country.

Hamid, who was chief justice for one year until October 2008, had also charged that Putrajaya had given the task of drafting the unity bills to the opposition, who had now "taken over" the NUCC.

"I was afraid I would become a 'traitor' to the Malays and Islam."

The political secretary to Minister in the Prime Minister's Department Tan Sri Joseph Kurup, Vincent Wong, later said that Hamid was never offered to be on the NUCC panel. The Malaysian Insider July 22, 2014.