July 23rd, 2014

Isteri bantu suami bina rumah tangga bahagia

Memegang status seorang isteri bukan sesuatu yang mudah kerana tanggungjawab digalas amat berat. Wanita bergelar isteri seterusnya menjadi ibu mempunyai peranan besar memastikan kehidupan keluarga bahagia selain berperanan membina insan berjaya.

Kehidupan yang mencabar hari ini menuntut golongan isteri untuk lebih fokus terhadap kerukunan rumah tangga supaya tidak tersasar daripada perkara yang boleh membawa kegagalan dalam perkahwinan mereka.

Semua wanita mahukan kebahagiaan dalam perkahwinan, memiliki anak berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Namun, dalam mencari kebahagiaan, isteri sering meletakkan syarat kebahagiaan di atas bahu suami.

Contohnya, jika suami baik barulah kehidupan rumah tangga akan bahagia, jika sebaliknya rumah tangga tidak akan menemui kebahagiaan.

Syarat kebahagiaan bukan hanya kepada suami

Menurut pakar motivasi terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad, menerusi rancangan Tarbiah yang disiarkan di IKIMfm jam 10.15 pagi Jumaat lalu, wanita yang meletakkan syarat kebahagiaan hanya kepada suami tidak akan mengecapi kehidupan yang baik dalam perkahwinan.

Katanya, suami dan isteri harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk membina prinsip hidup ke arah mencapai kebahagiaan, justeru perlu bagi isteri melakukan transformasi diri dan tidak hanya meletakkan aspek luaran semata sebagai prinsip kebahagiaan, tetapi lebih menekankan aspek bersifat kerohanian.

Dr Muhaya menyarankan beberapa prinsip penting sebagai tonggak utama dalam membina kehidupan rumah tangga yang cemerlang. Pertama, isteri atau ibu perlu membina semangat lebih positif seperti sentiasa bersyukur dengan apa dimiliki.

Begitu juga melatih ahli keluarga untuk fokus terhadap apa yang ada, bukan apa yang tidak ada. Perasaan sentiasa bersyukur dengan anugerah Allah SWT membuat hati berasa lebih lapang kerana minda tidak akan terganggu dengan keinginan yang tinggi terhadap perkara bukan menjadi milik kita.

Prinsip kedua ialah isteri harus peka mengenai pemakanan seimbang untuk ahli keluarganya. Makanan yang baik akan menentukan keluarga sihat sejahtera. Apabila seseorang isteri mempunyai kesihatan yang baik, suami dan anak juga sihat, keluarga akan bertambah ceria serta gembira.

Isteri ejen kesihatan keluarga

Oleh itu, penting bagi wanita memahami mengenai nutrisi dan menyediakan pemakanan yang terbaik untuk ahli keluarganya. Isteri juga harus menjadi ejen kesihatan, bukan hanya untuk fizikal, tetapi mental dan spiritual.

Mempunyai emosi seimbang, kesihatan fizikal yang baik dan kekuatan kerohanian tinggi penting dalam pembinaan akhlak isteri yang unggul. Isteri atau ibu adalah idola bagi anak dan sumber kekuatan keluarga untuk mengharungi kehidupan penuh cabaran.

Prinsip ketiga, isteri hendaklah sentiasa fokus untuk mencapai bahagia. Ini bererti wanita itu hendaklah sentiasa menanam azam menjadi sumber kebahagiaan kepada keluarganya. Orang yang bahagia akan mendapat kebahagiaan dan memberikannya kepada orang lain.

Orang yang penuh kasih sayang akan memberi keseluruhan kasih sayangnya terhadap orang lain.

Dr Muhaya berkata, kita hendaklah selalu menekankan mengenai hidup yang saling memberi dan berkongsi. Contohnya, memberi kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan orang lain akan menambahkan lagi barakah dalam kehidupan serta keluarga.

Terapkan nilai murni dalam diri dan tumpukan kepada matlamat perkahwinan seperti mendidik anak, menguruskan rumah tangga atau apa saja yang membawa kebahagiaan kepada keluarga serta perkahwinan.

Begitu juga dalam membuat pilihan dan menentukan keputusan yang tepat. Jika ada ujian atau masalah sekalipun, ia tidak menjejaskan proses kehidupan, malah kita lebih tabah menghadapi setiap ketentuan-Nya kerana percaya setiap yang Allah berikan adalah yang terbaik untuk kita.

Prinsip keempat, jadilah seorang yang pemaaf. Jangan biarkan kesilapan lalu membelenggu minda kerana orang yang sentiasa diawasi oleh kisah silam membuatkan minda menjadi sempit. Seseorang yang dikawal kesilapan lalu tidak bermotivasi untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

Begitu juga orang yang takut dengan masa hadapannya, menjadikan dirinya tidak dapat mencapai kebahagiaan seperti diharapkan. Dalam konteks ini, isteri atau ibu harus selalu berlapang dada dan akur kekurangan diri serta pasangannya.

Jangan terlalu mengharap suami dan anak begitu ideal sehingga kita tidak boleh menerima kesilapan dan kekurangan mereka. Mempunyai perspektif yang lebih terbuka membuat hati berasa lebih lapang.

Prinsip kelima, adalah hidup dalam kesedaran kerana isteri yang bahagia selalu bermuhasabah diri dan memperbetulkan kesilapannya. Menjadi penasihat yang baik kepada anak seterusnya merancang hidup seimbang dan tersusun.

Setiap orang dalam dunia ini mempunyai masalah tertentu, sesiapapun tidak akan terlepas melalui ujian hidup sama ada ujian anak nakal, kesihatan, suami yang malas, yang membuatkan kita berasa tersepit untuk menikmati bahagia.

Tabah harungi masalah

Namun, jika kita melihat masalah itu sebagai halangan ia akan menjadi tekanan, tetapi jika kita melihat masalah sebagai proses kehidupan, setiap permasalahan berlaku dapat dilalui dengan lebih tabah.

Apa yang penting, besarkan minda kerana minda yang besar akan melihat masalah menjadi kecil. Apabila kita berasa setiap masalah itu hanya sebagai perspektif, nescaya kita akan dapat menerima permasalahan dengan positif.

Wanita yang sentiasa menggerakkan dirinya mencari kebaikan tidak akan bergerak berseorangan. Mereka turut membabitkan suami, anak atau di sekelilingnya bersama meningkatkan kefahaman ilmu agama kerana itulah yang akan mencorak masa depan perkahwinan yang bahagia. Berita Harian Agama 23/07/2014

Jangan boros, bijaklah mengurus belanjawan raya

SETIAP kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, sering kali timbul masalah besar. Apa lagi kalau bukan memikirkan bagaimana untuk mengurus belanjawan raya agar tidak memudaratkan diri dan keluarga selepas berakhirnya Syawal.


Yang menghairankan, meskipun mengetahui betapa pentingnya mengurus kewangan secara berhemat, masih ramai yang buat tidak peduli. Lihatlah di pusat beli-belah, keadaannya umpama pesta. Lebih banyak barang yang dibeli, lagi puas hati.

Senario ini bukan sahaja berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur tetapi juga di tempat lain termasuk di kawasan tempat tinggal saya di Kedah ini.

Kebetulan berdekatan kawasan perumahan saya terdapat sebuah pusat beli-belah yang baru dibuka. Berpusu-pusulah orang ramai ke pusat beli-belah berkenaan sehinggakan hendak mencari tempat meletak kereta pun menjadi tugas yang amat mustahil. Kalau kita selalu melihat gambaran kesesakan di Jalan Tunku Abdul Rahman, begitu juga yang berlaku di bandar yang lebih kecil seperti di sini.

Rata-rata yang membeli-belah ialah orang Melayu yang beragama Islam. Maklumlah hendak menyambut Aidilfitri yang datang hanya setahun sekali.

Bagi peniaga, ketika inilah jerat dipasang sebaik mungkin. Pelbagai diskaun jualan ditawarkan kepada bakal pembeli. Bukan setakat baju, perabot, barangan elektrik hatta kereta pun diberikan diskaun raya - semuanya kaedah untuk 'mencairkan hati' pembeli.

Ada yang sanggup membuat pelbagai tawaran seperti beli satu dapat satu atau beli satu dapat satu barangan lain. Akibatnya ramai yang rambang mata lantas akhirnya berbelanja lebih daripada sepatutnya.

Pakaian raya tidak cukup sepasang dua. Kuih raya pula seboleh-bolehnya penuh satu meja. Baru gah beraya. Alasan diberi risau tetamu datang tidak cukup kuih untuk dijamu, apatah lagi apabila membuat rumah terbuka sedangkan apa yang lebih penting jalinan silaturahim sesama handai-taulan dan saudara-mara.

Apabila berakhirnya Aidilfitri, barulah terkial-kial memikirkan bagaimana mencari wang untuk menampung kehidupan seharian. Jadi, tidak menghairankan ada yang sanggup meminjam dengan ah long.

Umat Islam sewajarnya menjauhi sikap boros dan membazir. Apalah gunanya iktibar berpuasa iaitu merasai kesusahan orang miskin yang tidak mampu berbelanja hatta untuk sesuap nasi, sedangkan kita berbelanja sakan.

Kita perlu mengenang nasib mereka yang tidak mampu berhari raya sebagaimana kita lebih-lebih lagi yang berada dalam situasi berperang seperti umat Islam Palestin. Usahkan hendak membeli-belah, nyawa sendiri di hujung tanduk.

Kita di sini cukup bernasib baik. Tatkala ramai yang merungut kos sara hidup tinggi, harga barangan semakin mahal, namun tidak pula kelihatan perbelanjaan peribadi untuk hari raya berkurangan.

Yang jelas kelihatan, agenda membeli-belah sakan tetap diteruskan. Sedangkan agama Islam mengajar kita supaya bersederhana, berdisiplin dalam berbelanja, tidak boros dan tidak pula bakhil.

Selepas pulang berhari raya di kampung, ramai yang berkira-kira ingin mengadakan rumah terbuka. Walaupun mampu, berbelanjalah secara sederhana dan bijaksana.

Apa salahnya mengadakan majlis itu secara berkongsi dengan jiran tetangga. Dengan cara ini, ia bukan sahaja lebih mengeratkan silaturahim bahkan menyerlahkan kebijaksanaan anda mengurus belanjawan raya secara berhemat.

Yang penting, dapat menjimatkan belanja. Tidaklah nanti pening kepala memikirkan cara untuk meneruskan kehidupan selepas Aidilfitri. Jangan sampai serdak kuih raya menjadi makanan ruji sementara menunggu gaji. Itu pun kalau ada gaji.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia Utusan/Rencana/20140723

Puasa masa terbaik bersenam

MUNGKIN segelintir umat Islam yang beranggapan melakukan aktiviti fizikal atau senaman pada siang bulan Ramadan adalah suatu yang tidak masuk akal.

Apa tidaknya, bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa kepada umat Islam iaitu dengan menahan diri daripada makan dan minum selama lebih 13 jam sudah tentu menguji ketahanan, apatah lagi melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.

Sehinggakan terdapat sesetengah individu yang beranggapan perlu dihentikan semua jenis aktiviti fizikal sepanjang bulan Ramadan dengan alasan bagi mengelakkan daripada keletihan untuk meneruskan ibadah dalam rukun Islam ketiga tersebut.

Malah, mentaliti itu turut terbawa-bawa ketika ingin melakukan setiap pekerjaan sehingga dilihat menjejaskan kualiti tugasan tersebut.



SENAMAN yang dilakukan dengan betul ketika berpuasa, lebih memberi kecergasan kepada tubuh. - Gambar WAHIDAH ZAINAL

Memperbetulkan persepsi tersebut, Jurulatih Kesihatan, Suriyanto Sujipto berkata, sebaliknya bulan Ramadan merupakan masa yang terbaik untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mendapat impak yang lebih berkesan.

Ia katanya, terbukti menerusi kajian yang menunjukkan melakukan senaman pada bulan Ramadan dapat meningkatkan proses pembakaran lemak dan melancarkan pengaliran darah sekaligus menjadikan lebih aktif.

“Persepsi menghentikan segala aktiviti fizikal dan senaman pada bulan Ramadan perlu diubah, sebaliknya berpuasa bukanlah halangan untuk umat Islam untuk kekal cergas dan aktif.

“Ini kerana fungsi sistem badan yang terlibat semasa bersenam yang meliputi jantung, paru-paru dan peredaran darah, sistem otot dan tulang, serta sistem badan yang lain boleh meningkatkan dan menyingkirkan toksin yang menjadi faktor penyakit.

“Malah, bersenam pada awal pagi dan sebelum berbuka puasa juga boleh menjadikan tubuh lebih bertenaga kerana kalori berkurangan disebabkan meningkatkan proses pembakaran lemak dan melancarkan pengaliran darah yang sekali gus dapat mengurangkan masalah berat badan," katanya.

Malah tambahnya, perkara itu turut terbukti apabila terdapat sesetengah masyarakat bukan Islam juga sanggup berpuasa dan melakukan senaman untuk mendapatkan kesan yang diingini lebih cepat.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pasukan Jom Kurus 1 Malaysia bersama Kevin Zahri berkata, orang ramai perlu tahu kaedah untuk melakukan senaman pada bulan Ramadan untuk mengelakkan keletihan.

“Senaman pada bulan Ramadan memerlukan kaedah tersendiri untuk mendapatkan kecergasan yang berterusan. Orang ramai boleh melebihkan aktiviti senaman berbentuk beban dan mengurangkan aktiviti pergerakan pada waktu pagi.

“Manakala, kira-kira dua atau tiga jam sebelum berbuka, barulah melakukan aktiviti pergerakan dalam sekitar 30 minit. Jika aktiviti ini dilakukan setiap hari, tidak mustahil lebih 15 kilogram berat badan boleh dikurangkan," jelasnya.

Sementara itu, bagi seorang pelatih gimnasium, Faizal Uzir, 40, mengakui melakukan senaman ketika berpuasa memberikan kesan dan tenaga yang lebih kepadanya untuk melakukan tugasan sepanjang hari.

Beliau yang merupakan pengarah muzik pada mulanya berasa ragu-ragu untuk melakukan senaman pada siang hari bulan Ramadan, akhirnya ‘ketagih’ untuk melakukan aktiviti tersebut setelah merasai kelebihan yang diperoleh.

“Masih mempunyai mentaliti lama, saya pada awalnya bimbang akan keletihan dan dehidrasi untuk melakukan aktiviti senaman pada bulan Ramadan ini. Pada mulanya saya hanya melakukan aktiviti ringan sahaja.

“Namun, setelah merasa kelebihannya membuatkan saya nekad untuk meneruskan senaman setiap hari. Tubuh saya terasa lebih ringan, tidak mengantuk dan lebih aktif sepanjang hari sehingga tiba waktu berbuka," katanya.

Beliau yang baru melibatkan diri dengan aktiviti senaman kira-kira tiga bulan lalu turut mengakui bulan Ramadan ini memberikan kesan yang ketara buatnya untuk mengurangkan berat badan serta mendapatkan bentuk badan yang lebih ideal.

“Saya mula bergiat dalam aktiviti senaman di gimnasium ini pada bulan Mei lalu. Siapa sangka dalam masa tiga bulan ini saya dapat mengurangkan berat badan lebih tujuh kilogram dan mendapatkan bentuk tubuh yang tidak pernah saya dapat selama ini.

“Bulan Ramadan ini merupakan masa yang memberikan kesan yang paling ketara berbanding pada bulan yang lain," ujarnya yang turut mementingkan penjagaan makanan untuk membantu mendapatkan kesan yang diingini.

Ramadan jadi sasaran

Sementara itu, bagi Idariz Kasim, 39, mensasarkan bulan Ramadan sebagai masa yang terbaik buatnya untuk mengekalkan kesihatan tubuh selain mengurangkan berat badan.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, kerana tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, tubuhnya mudah naik dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit yang pernah dilalui sebelum ini.

“Memang saya minat bersukan sejak kecil. Namun setelah berkahwin, saya perlu menumpukan sepenuh masa untuk keluarga dan dalam tempoh itu iaitu lebih 12 tahun saya tidak bersenam, sehingga menyebabkan berat badan saya naik sehingga lebih 80 kilogram.

“Segalanya bermula apabila saya mula diserang pelbagai penyakit, lebih-lebih lagi ketika ingin melahirkan anak yang keenam. Saya diserang batuk yang teruk, resdung, diserang demam denggi dan juga pernah dibedah pada bahagian hempedu.

“Kemudian saya bertekad untuk aktif bersenam seperti dahulu. Dan bagi saya bulan Ramadan ini adalah masa yang terbaik untuk saya mendapatkan apa yang saya inginkan," katanya.

Dibantu dengan cara pemakanan yang betul ketika bersahur, Idariz berkata, tenaga dapat dikekalkan sepanjang hari tanpa mengakibatkan kesan sampingan.

“Pada mulanya saya rasa bimbang juga takut tidak tahan untuk bersenam dan melakukan aktiviti fizikal yang lain pada bulan puasa. Mendapat nasihat daripada jurulatih yang banyak membantu, saya cuba gagahkan juga.

“Walaupun pada awalnya merasa kering, namun terbukti bersenam pada bulan Ramadan ini tidak menjejaskan aktiviti saya sebaliknya jika dilakukan dengan kaedah yang betul ia akan memberikan kelebihan tersendiri.

“Oleh itu, kita perlu mendapatkan nasihat daripada jurulatih yang berpengalaman dalam menunjuk ajar senaman yang terbaik ketika berpuasa," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, beliau terpaksa membahagikan masa sebaiknya untuk membahagikan masa untuk bersenam dalam masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anaknya di rumah. MOHD. SHAH CHE AHMAD : Utusan/Bicara_Agama/20140723

Akhir Ramadan yang diabaikan

BULAN Ramadan semakin sampai ke penghujungnya. Masa yang begitu pantas berlalu membuatkan ia begitu cepat berakhir. Sebahagian insan mungkin tidak sabar menanti kedatangan bulan Syawal selepas sebulan berpuasa. Namun, bagi sebahagian yang lain, mereka akan merasakan suatu kesedihan apabila semakin hampir berpisah dengan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan itu.

Para salafussoleh iaitu ulama yang hidup sebelum tahun 300 Hijrah cukup terkesan apabila ingin berpisah dengan Ramadan. Mereka berasa begitu sedih apabila tibanya hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan.

Ibadah dan amal soleh mereka lebih banyak dilakukan pada malam-malam terakhir Ramadan demi mengejar ganjaran yang begitu besar sebagaimana yang telah disampaikan dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya Lataaif Al-Ma’arif menyebutkan bahawa apabila tibanya akhir Ramadan, para salafussoleh mula berasa sedih kerana bimbang amalan-amalan yang mereka kerjakan di bulan Ramadan tidak diterima Allah SWT.

Mereka berdoa selama enam bulan memohon agar dipertemukan dengan bulan Ramadan dan berdoa selama enam bulan pula memohon agar amalan yang mereka lakukan di bulan Ramadan diterima Allah SWT.

Akhir bulan Ramadan termasuk dalam waktu-waktu yang diabaikan oleh umat Islam mutakhir ini. Apabila tibanya penghujung Ramahan, kebanyakannya tidak lagi melakukan ibadah sebagaimana yang mereka kerjakan di awal Ramadan. Tumpuan mula terarah kepada persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sehingga penghayatan terhadap Ramadan itu diabaikan.

Khutbah

Umar bin Abdul Aziz pernah berkhutbah pada hari raya dengan khutbah yang penuh pelajaran dan keinsafan. Katanya: “Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian telah mengerjakan solat tarawih pada setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon keampunan kepada Allah agar amalan kalian diterima. Namun begitu sebahagian salaf (ulama sebelumnya) malah berasa sedih ketika tibanya Hari Raya Aidilfitri hingga dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini (Hari Raya) ialah hari yang penuh kebahagiaan." Mereka lalu berkata “Benar, akan tetapi aku adalah seorang hamba dan aku diperintahkan oleh Tuhanku untuk beramal namun aku tidak tahu apakah amalan tersebut diterima atau tidak." Begitulah gambaran kesedihan ulama terdahulu apabila tibanya akhir Ramadan sehingga mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya.

Ia sangat berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SWT, para sahabatnya dan ulama terdahulu. Apabila tibanya malam-malam terakhir Ramadan, mereka lebih bersemangat mengerjakan ibadah berbanding sebelumnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a dia berkata: Rasulullah SAW apabila masuknya 10 Ramadan yang terakhir beliau akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malam-malam itu dengan ibadah dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan mengetatkan kain sarungnya bermaksud meninggalkan isterinya untuk memberikan perhatian penuh beriktikaf dan beribadah di akhir-akhir bulan Ramadan.

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya perhatian yang diberikan oleh Nabi SAW di malam-malam terakhir di bulan Ramadan, terutama pada 10 malam yang terakhir. Ini kerana pada malam itulah munculnya satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu malam Lailatulqadar.

Keperluan berhari raya

Umumnya di negara kita, akhir Ramadan bahkan pertengahan Ramadan lagi sebahagian daripada kita mula memenuhi ruang pusat membeli-belah untuk membeli keperluan berhari raya nanti. Tidaklah menjadi suatu kesalahan melakukan persiapan untuk berhari raya. Namun, sepatutnya kita lebih sensitif dan cuba sedaya mungkin untuk memperbanyakkan ibadah di akhir bulan Ramadan, terutama pada waktu malam.

Sebahagian daripada kita mula menghabiskan waktunya setiap malam di tempat-tempat membeli-belah, bahkan yang lebih parah ada yang berkunjung ke tempat-tempat maksiat, sekalipun di bulan yang dimuliakan ini.

Penghayatan di dalam Ramadan seolah-olah hanya dirasai di waktu siang dek kerana penatnya menahan lapar dan dahaga. Apabila sudah berbuka puasa dan kekenyangan, kita seolah-olah merasakan telah bebas daripada Ramadan.

Sesungguhnya nikmat dan peluang yang Allah SWT berikan untuk kita hidup dan berada di bulan Ramadan merupakan nikmat yang sangat besar nilainya. Bayangkanlah ada di antara kita yang tidak sempat menyambut bulan Ramadan dan ada juga yang pergi menghadap-Nya ketika berada di bulan Ramadan. Jika tahun ini kita berpeluang merasai nikmat Ramadan, tahun seterusnya belum tentu lagi ada buat kita. Semoga kita lebih menghargainya.   MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR sedang mengikuti Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah Gombak. Utusan/Bicara_Agama/20140723

Jadi hamba seks jin

RESAH di hati Liya sejak dua bulan yang lalu, terus membelenggu fikiran dan emosinya. Keadaan perut yang semakin membesar, membuatkan Liya semakin menjadi tidak keruan takut-takut apa yang dijangkakan selama ini akan terjadi.

Mahu sahaja dia berjumpa doktor bagi mendapatkan pengesahan. Namun Liya jadi takut, andai keputusan positif yang dilakukan sendiri melalui alat ujian kehamilan, disahkan oleh doktor. Liya bingung. Bagaimana boleh hamil sedangkan dia sudah lama tidak berhubungan dengan suaminya, Razif.

Razif pula sejak dua bulan yang lalu sering tiada di rumah. Balik pun sekejap-sekejap. Itu pun dalam keadaan keletihan. Cuma apa yang menakutkan Liya, setiap kali suaminya balik ke rumah, malam itu Liya akan ‘didatangi tubuh yang seakan suaminya’ berhubungan dengannya. Tapi Liya tahu, itu bukan Razif kerana Liya masih dapat melihat Razif sedang nyenyak tidur di sebelahnya.

Keesokan paginya dia akan menceritakan kejadian malam tersebut. Namun Razif seolah tidak mahu percaya. Katanya, Liya mungkin berkhayal atau bermimpi. Tapi bukan sekali, sudah dua tiga kali perkara tersebut berlaku. Apatah lagi, setiap kali ‘hubungan’ tersebut berlaku, Liya seolah-olah jadi kaku. Tidak mampu untuk mengejutkan Razif daripada tidur. Liya cuba sedaya-upaya untuk memanggil suaminya, tetapi mulutnya seakan terkunci.

Namun setiap kali hal itu diberitahu Razif, suaminya seolah-olah tidak mahu melayan pertanyaan demi pertanyaan. Liya mula syak sesuatu yang buruk berlaku pada dirinya. Apatah lagi dengan amalan suaminya selama ini yang mencampuradukkan ayat-ayat al-Quran dengan bacaan-bacaan mantera yang sukar untuk difahami, membuatkan kebimbangannya semakin berasas. Namun dia tidak mahu menuduh suaminya dengan perkara yang bukan-bukan.

Bagi mendapatkan kepastian, Liya cuba bertanya kepada Razif. Begitu pun setiap kali dia membuka mulut, pasti akan diherdiknya. Liya takut, jika suaminya terjebak dengan ilmu-ilmu sesat. Pernah suatu malam, Liya nampak suaminya seakan berinteraksi dengan ‘seseorang’. Tapi kewujudannya tidak kelihatan. Bila ditanya, sekali lagi Razif akan memberikan pelbagai alasan.

Perut yang semakin membesar diusap Liya. Fikirannya melayang. Degup jantungnya kian bergetar. “Ini anak siapa?," tiba-tiba soalan itu terpacul daripada mulut Liya. Sesuatu yang cukup membimbangkan Liya, jika bukan anak ini daripada benih Razif, tapi adakah dia anak…? Liya tidak mampu meneruskan bisikan hatinya.

Rohani, teman rapatnya dihubungi. Segala-galanya diceritakan kepada Rohani. Dengan bantuan Rohani, Liya dibawa berubat. Namun setiap kali Liya dibawa berubat, maka malam itu Rohani sering diganggu. Hatta pernah suatu ketika, suami Rohani mendapatinya pengsan di dalam tandas di rumahnya. Bila ditanya, Rohani menjelaskan, kelihatan lembaga yang menakutkan muncul tiba-tiba. Siapa makhluk itu? Utusan/Bicara_Agama/20140723