July 25th, 2014

Ramadan sebagai madrasah kehidupan terbaik

Jabatan Pengurusan Risiko sangat diperlukan dalam sesebuah organisasi lebih-lebih lagi syarikat yang menguruskan kewangan seperti Pengendali Takaful.

Jabatan Pengurusan Risiko berperanan penting untuk mengenal pasti sesuatu risiko yang mungkin mempengaruhi operasi takaful.

Setiap risiko akan dikenal pasti, dinilai, dikawal, direkodkan dan juga dipantau setiap masa. Secara ringkasnya, Jabatan Pengurusan Risiko berperanan memikirkan apa juga kemungkinan yang akan berlaku, risiko bakal dihadapi dan mengenal pasti langkah mitigasi jika berlaku sebarang ketidaktentuan.

Kenal pasti risiko ketidakpatuhan syariah

Malah menurut garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah, Institusi Kewangan Islam bertanggungjawab memastikan proses pengurusan risiko syariah dilaksanakan untuk mengenal pasti semua kemungkinan risiko ketidakpatuhan syariah.

Jika berlaku, ia perlu diambil langkah yang bertepatan untuk mengurangkan risiko. Dalam menangani seribu satu kemungkinan atau risiko yang bakal dihadapi, pematuhan kepada garis panduan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan perlu dipantau dari masa ke semasa.

Garis panduan ini menekankan soal perancangan dan pengaturan sumber utama juga prosedur bagi membolehkan sesebuah institusi untuk terus beroperasi dan bertindak dalam situasi kritikal atau jika berlaku sebarang peristiwa yang boleh mengganggu operasi dalaman atau luaran seperti kebakaran, banjir, rusuhan dan sebagainya.

Malah, dikatakan setiap pengurusan juga perlu merancang jadual cuti kakitangan sempena perayaan utama demi memastikan urus niaga dapat diteruskan seperti biasa. Ternyata BNM telah mengeluarkan banyak garis panduan demi kelangsungan sesuatu perniagaan.

Parameter khusus berkaitan pematuhan risiko syariah juga diwujudkan demi melahirkan Institusi Kewangan Islam yang benar-benar berlandaskan syariah dan memenuhi keperluan agama Islam selaras kepercayaan dan iman kita semua.


Garis panduan perlu dipatuhi

Dalam kehidupan seharian kita juga, sebenarnya Allah SWT telah menyediakan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi supaya hidup kita terpimpin dan selamat di dunia serta akhirat.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat, selama kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan sunah Nabi.”

Hakikatnya umat Islam hendaklah menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup sepanjang zaman lantaran matlamat utama seorang Muslim bukanlah demi kehidupan di dunia semata, malah apabila kita melakukan sesuatu kita sering diingatkan tentang balasan di hari akhirat.

Perjuangan seorang Muslim bukanlah untuk kehidupan selama sepuluh tahun saja dan bukan juga untuk satu bulan Ramadan saja. Segala amalan baik, kelakuan dan tutur kata yang baik perlu diteruskan sampai bila-bila.

Maka apa yang telah kita lakukan untuk memastikan semua kebaikan ini berterusan atau istiqamah? Ternyata Ramadan datang setahun sekali sebagai ‘madrasah kehidupan’, di mana pada bulan ini kita melatih roh dan jiwa untuk benar-benar beribadah, berlaku baik dan berada atas landasan agama.

Kita juga meletakkan azam dari awal Ramadan dengan menganggap ini adalah Ramadan terakhir maka tentunya kita akan melakukan yang terbaik dan menggandakan segala amalan kebaikan.

Rasulullah SAW sendiri apabila hampir dengan bulan Ramadan akan banyak berdoa: Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.” Baginda mendoakan dipertemukan dengan Ramadan yang bakal tiba dan baginda menanti serta menyambut Ramadan dengan penuh kecintaan.

Tekad untuk istiqamah dalam beribadah perlu diterapkan dalam hati kerana Ramadan umpama hadiah terbaik dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam demi membentuk ketakwaan dari dalam diri.

Berdoalah semoga amal ibadah diterima, dicatat sebagai amal soleh dan keluar dari bulan Ramadan sebagai juara atau pemenang.

Apa yang penting, kita sangat memerlukan perancangan atau persiapan untuk memastikan kita istiqamah dalam beribadat, bukannya bermusim.

Jika dalam konteks duniawi, kita rangka macam-macam perancangan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan aktiviti yang dijalankan. Namun, adakah perkara yang sama juga kita buat dalam urusan ukhrawi? Wan Jemizan W Deraman dan Khuzama Ab Rahaman Berita Harian Agama 2014/07/25 - 18:58:45 PM

Perkara patut jadi amalan sambut Syawal

Selesaikan zakat fitrah, ziarah menziarahi, didik anak raikan tetamu berkunjung ke rumah

Bersyukur kepada Allah SWT kerana kita telah diberikan peluang untuk melalui fasa-fasa istimewa di dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Diharapkan puasa yang telah kita laksanakan bernilai dan mendapat ganjaran selayaknya dari Yang Maha Kaya.

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum kita memasuki gerbang Syawal yang dinanti-nantikan umat Islam. Aidilfitri hadiah untuk yang telah berjaya melaksanakan tuntutan puasa di bulan Ramadan. Justeru, marilah kita menghayati perkara yang perlu dititikberatkan supaya Aidilfitri lebih bermakna.


Selesaikan zakat fitrah


Pertama, menyelesaikan dahulu zakat fitrah yang wajib bagi setiap umat Islam. Janganlah bertangguh kerana dibimbangi kita terlepas waktu yang telah ditetapkan. Di samping itu, bayarlah zakat fitrah kepada amil yang dilantik kerajaan untuk mengelakkan ditipu atau zakat tidak sampai kepada asnaf yang berhak.

Perbanyak bertakbir bermula selepas terbenam matahari sehingga sampai waktu solat Aidilfitri. Jangan abaikan solat sunat Aidilfitri dan hayatilah khutbah yang disampaikan. Inilah sunah yang amat digalakkan sebagai tanda ketakwaan dan kemenangan menjalani ibadah pada bulan Ramadan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Elakkan pembaziran dalam membuat persediaan menyambut Syawal. Bersederhana berbelanja terutama dalam menyediakan juadah untuk tetamu. Jauhkan daripada sikap mahu menunjuk-nunjuk atau takbur supaya dipandang tinggi oleh orang lain.

Kita disunatkan untuk memakai pakaian yang paling baru, bukannya yang mahal dan mewah. Berusahalah untuk memastikan diri kita dan ahli keluarga dapat mentaati perintah menutup aurat dan terhindar dari tabarruj atau berhias secara berlebihan.

Pada pagi Syawal nanti, didiklah anak untuk turut serta meraikan tetamu yang hadir. Jangan biarkan mereka leka dengan hiburan di televisyen. Seharusnya pada hari kita meraikan kemenangan ini tidak diisi dengan menonton hiburan yang kebanyakannya hanya melalaikan dan merosakkan pahala.


Ziarah, saling ucap doa

Melakukan ziarah dan saling mengucapkan doa apabila bertemu dengan orang lain. Berziarah ke rumah sanak-saudara, jiran-tetangga, sahabat-handai, kenalan dan bukan kenalan. Jangan hanya memilih rumah tertentu sahaja kerana amalan ziarah dapat memanjangkan usia.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan silaturahim.” (Riwayat Imam Muslim)

Jauhi hari-hari mulia pada bulan Syawal daripada perkara sia-sia dan tidak bermanfaat seperti bermain mercun serta bunga api. Awasilah anak-anak kerana perbuatan ini bukan sahaja pembaziran yang jelas bahkan ia memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Ambil iktibar peristiwa bahana bermain mercun yang sering dipaparkan kepada masyarakat. Ingatlah, mencegah bahaya lebih baik dari menghadapinya.

Sempena Aidilfitri ini, tentu ramai warga kota yang mengambil peluang untuk pulang berhari raya di kampung. Berhati-hatilah dalam perjalanan nanti, biar lambat asal selamat. Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan pedoman pengguna jalan raya demi keselamatan bersama.

Daripada laporan yang telah dikeluarkan sebahagian besar faktor yang mengundang kecelakaan ini adalah berpunca daripada kelalaian, sikap tidak menghargai diri, tidak menghiraukan keselamatan orang lain dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Punca paling signifikan penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu yang bersikap mementingkan diri, memandu melebihi had laju, memotong atau menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Keselamatan rumah dan harta benda juga perlu dititikberatkan. Ketiadaan kita di rumah kerana cuti berhari raya di kampung halaman boleh mengundang kegiatan jenayah pecah rumah. Justeru, ambillah langkah sewajarnya dengan mengisi borang Maklumat Balik Kampung yang boleh didapati dari laman web rasmi PDRM dan menyerahkan kepada balai polis yang berhampiran dengan kediaman kita. Berita Harian Agama  2014/07/25 - 19:00:13 PM

Kena bijak tangani kemiskinan

PERSOALAN ke mana perginya wang kutipan zakat yang mencecah ratusan juta ringgit malah berbilion saban tahun sering menjadi buah mulut yang tidak pernah sunyi dipertikaikan oleh segelintir masyarakat di negara ini.

Masakan tidak, negara sering kali dihebohkan dengan pelbagai kejadian yang menyayat hati disebabkan kemiskinan sehingga bahan buangan dijadikan sumber makanan dan sekeluarga tinggal di bawah jambatan kerana tidak mampu menanggung kehidupan.

Malangnya, majoriti golongan kurang berkemampuan itu adalah dalam kalangan bangsa Melayu dan beragama Islam yang sepatutnya dilindungi oleh institusi zakat sebagaimana yang dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Hal ini secara tidak langsung menyebabkan umat Islam mula hilang keyakinan terhadap kredibiliti pusat zakat yang bertanggungjawab menguruskan perkara ini, sekali gus memastikan kebajikan umat Islam terbela.

Mengakui perkara itu, pengamal dan pendakwah zakat, Hamizul Abdul Hamid bagaimanapun berkata, hakikatnya kemiskinan yang berlaku mustahil untuk dihapuskan sepenuhnya selagi dunia belum kiamat.

Ia katanya, kerana kemiskinan merupakan sunnatullah iaitu peraturan atau perjalanan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam kehidupan manusia di muka bumi selain fitrah kepada kejadian manusia.

“Isu yang paling popular dan tidak pernah habis dipersoalkan oleh masyarakat kepada pusat zakat adalah mengapa masih terdapat ramai golongan fakir dan miskin, sedangkan kutipan zakat mencecah ratusan juta setiap tahun?

“Menjawab persoalan itu, cuba kita lihat pada zaman Rasulullah SAW, adakah institusi zakat yang diamalkan oleh baginda gagal kerana majoriti sahabat adalah miskin, malah Rasulullah SAW sendiri juga miskin?

“Jawapannya tidak, sebaliknya kemiskinan adalah sunnatullah dan juga fitrah kejadian manusia yang tidak dapat dibasmi selagi matahari masih terbit. Ia adalah bagi menjaga keseimbangan alam dan hubungan sesama manusia sebagaimana dijadikan siang dan malam begitu juga orang miskin dan kaya," katanya.

Walau bagaimanapun Hamizul berkata, pusat zakat perlu memainkan peranan penting dalam membantu menangani kemiskinan, khususnya kepada umat Islam dengan disokong oleh pertubuhan lain dan juga pemerintah.

“Pusat zakat di setiap negeri perlu bijak dalam menangani kemiskinan yang berlaku dengan mengambil contoh dan mempelajari daripada kejayaan yang ditunjukkan oleh pusat zakat di negeri lain.

“Pusat zakat yang dipertanggungjawabkan menguruskan kutipan dan agihan zakat perlu sentiasa bersedia menerima perubahan. Definisi zakat juga perlu diperluaskan mengikut keperluan zaman bagi menjadikan peranan pusat zakat lebih berkesan.

“Sebagai contoh, hamba yang merupakan salah satu daripada lapan golongan asnaf disebutkan di dalam al-Quran. Hamba boleh diperluaskan kepada orang yang dibelenggu seperti dibelenggu masalah akidah, sosial," jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, bilangan kakitangan zakat yang kecil tidak mampu untuk mengenal pasti kesemua golongan asnaf yang terdapat di seluruh pelosok negeri.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat terdapatnya golongan asnaf di kawasan sekeliling mereka diharap dapat melaporkan kepada pusat zakat di negeri masing-masing untuk diberikan bantuan.   MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140724

Jangan cemari Aidilfitri

RAMAI daripada kita masih keliru antara adat dan syariat dalam menyambut Syawal yang tidak beberapa hari lagi ini. Tolong ustaz berikan pencerahan bagaimanakah sebenarnya cara menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagaimana yang dituntut syariat?

Jawapan   Hari raya adalah hari kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah SWT. Oleh itu, di dalam surah al-Baqarah ayat 185 menjelaskan tentang bulan Ramadan. Di hujung ayat tersebut dinyatakan tentang kesyukuran. Oleh itu, adalah jelas bahawa hari raya adalah hari kesyukuran.

Namun begitu, kesyukuran pada hari raya nampaknya diraikan dengan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya. Antaranya:

i. Ketidakhadiran di dalam solat Isyak berjemaah di surau dan masjid pada malam hari raya. Sebabnya mungkin kerana sudah tidak ada lagi solat sunat Tarawih. Ini bermaksud kehadiran pada bulan Ramadan hanya bagi melaksanakan satu perkara sunat iaitu solat Tarawih, sedangkan solat fardu berjemaah itu merupakan satu tuntutan agama. Ketidakhadiran dalam solat fardu Isyak berjemaah pada malam hari raya biasanya akan berlarutan pula pada solat Subuh pagi raya.

Maka sikap meremehkan solat fardu berjemaah adalah satu sikap yang tidak wajar. Sikap ini biasanya menjadi lambang, sama ada kita ikhlas beribadat dalam solat Tarawih atau tidak. Sekadar lambang dan petanda sahaja, bukannya satu kepastian. Ini kerana keikhlasan merupakan satu rahsia antara seorang hamba dengan Allah SWT.

ii. Selain itu, kesyukuran pada hari raya juga diraikan dengan pelbagai makanan yang enak. Perkara ini tidak salah. Ini kerana setiap tuan rumah mungkin menyediakan makanan yang berbeza. Namun sikap insan yang membalas dendam dengan makan apa sahaja makanan dalam kuantiti yang melampau adalah bentuk kesyukuran yang tercemar. Al-Quran berpesan agar kita makan dan minum tetapi tidak melampaui batas.

iii. Kesyukuran hari raya juga tercemar dengan perkara yang tidak patuh syariah. Contohnya pergaulan yang tidak mengenal batas yang ditetapkan hukum agama seperti lelaki perempuan berjabat tangan tanpa lapik. Begitu juga soal pakaian yang tidak menutup aurat dan sebagainya.

Ini adalah sekadar contoh bagaimana berlaku sedikit pencemaran di dalam sambutan hari raya. Oleh itu, sewajarnya kita mengenali apakah sunnah khusus yang baik yang dapat kita amalkan. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:

l Menghidupkan malam hari raya dengan ibadat seperti solat, bacaan al-Quran, takbir, tasbih, istighfar dan sebagainya. Ia boleh juga dilakukan pada satu pertiga malam yang akhir. Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa sesiapa yang menghidupkan malam raya dengan ibadat maka hatinya tidak mati pada hari matinya semua hati. Bertakbir dan membanyakkan takbir pada malam hari raya dan juga paginya adalah amat baik.

l Mandi sunat hari raya. Waktu mandi sunat ini bermula pada separuh malam raya. Elok juga dilakukan selepas solat fardu Subuh sebelum hadir solat raya.

l Menzahirkan kegembiraan ketika bertemu dengan rakan-rakan dan sebagainya.

l Ziarah ahli keluarga bagi merapatkan ikatan. Ziarah ini adalah kerana Allah dan bagi menghubungkan silaturahim. Utusan/Bicara_Agama/20140725

Erat silaturahim

SETIAP kali menjelang hari raya terutamanya Hari Raya Aidilfitri, ramailah perantau akan pulang ke kampung halaman masing-masing. Kenangan dan nostalgia kampung halaman sungguh kuat dan menjadi budaya balik kampung setiap menjelang lebaran. Lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, akan didendangkan. Dalam lagu tersebut terimbau kampung halaman dan juga usaha ke arah memupuk nilai mengeratkan silaturahim yang disarankan oleh Islam.

Pada Hari Raya Aidilfitri, sama ada di kampung atau di bandar. Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Jabir r.a, katanya: Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya. (riwayat al-Bukhari)

Budaya balik kampung sebenarnya sangat baik dan murni dalam kehidupan moden. Walau sibuk mana sekalipun, panggilan untuk pulang ke kampung semasa hari raya sudah menjadi tradisi dan budaya kepada orang Melayu. Budaya balik kampung ini sebenarnya berteraskan agama yang berlandaskan akidah yang menjurus kepada ikatan silaturahim dalam kalangan keluarga.

Ikatan kekeluargaan akan menjadi padu dan kuat melalui budaya balik kampung dan berhari raya bersama keluarga. Berkaitan hubungan silaturahim Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkan hubungan silaturahim (dengan ihsan). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada pendapat mengatakan, kebudayaan mana sekalipun yang tidak mempunyai landasan akidah dan agama, pasti akan hancur. Justeru, budaya balik kampung sempena hari raya ini adalah perayaan agama yang berlandaskan akidah iaitu Hari Raya Aidilfitri atau hari raya fitrah yang bermaksud sifat semula jadi atau asal kejadian manusia iaitu yang suci dan murni seperti dilahirkan tanpa dosa.

Oleh itu, budaya balik kampung mestilah dimanfaatkan dengan amalan kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara, kalangan saudara yang lebih tua, sahabat handai dan juga jiran tetangga. Dalam kunjungan tersebut pamerkan budi pekerti yang baik sambil bermaaf-maafan atas kesalahan yang lalu.

Banyak aspek kekeluargaan dapat dibentuk ketika beraya. Budaya kunjung mengunjungi akan memperkukuhkan silaturahim sesama keluarga. Anak-anak akan lebih mengenali bapa dan ibu saudara serta sepupu mereka. Ini akan memupuk rasa hormat kepada mereka yang sudah berusia.

Apabila saling berjumpa, mestilah saling mengucap salam dan bersalam-salaman dan apabila berpisah maka berpisah dengan ucapan istighfar. Apabila dua orang Muslim saling berjumpa lalu berjabat tangan dan mengucap “Alhamdulillah" dan beristighfar, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa mereka.

Adab berkunjung

Dalam menjaga adab semasa berkunjung ke rumah sanak-sanak saudara sebagai tetamu masuklah ke rumah kaum keluarga, hendaklah duduk di tempat yang ditunjuk oleh kaum keluarga itu sebab mereka lebih mengenali tempat-tempat aurat di rumah mereka. Selain itu, sentiasalah menjaga tingkah laku supaya sentiasa bersopan. Jangan berlebih-lebihan, segala-galanya biarlah sederhana dalam tingkah laku dan adab sopan.

Islam sangat menggalakkan umatnya menghubungkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan umat Islam keseluruhannya. Perpaduan umat juga boleh ditingkatkan bermula hari raya tanpa memikirkan perbezaan parti politik, kedudukan dan pangkat. Perpaduan juga boleh dieratkan melalui kunjungan pelbagai kaum ke rumah terbuka. Nabi bersabda yang bermaksud: Tidak masuk ke syurga pemutus silaturahim. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Manakala memetik kata-kata tokoh budayawan dan ilmuwan, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Taib Osman, antara nilai estetik dengan budaya Melayu-Islam, kehidupan orang Melayu memang sangat rapat dengan alam semula jadi iaitu kampung halaman yang kaya dengan keindahan alam dengan tumbuh-tumbuhan. Rasa cinta akan kampung halaman begitu rapat dengan orang Melayu. Justeru, tidak hairanlah budaya balik kampung ini sudah menjadi amalan dan budaya yang baik.

Tidak hairanlah kampung halaman sentiasa menjadi ingatan dan nostalgia yang sukar dipisahkan daripada jiwa orang Melayu dan kini kepada kalangan generasi mudanya juga. Tidak dinafikan budaya ini sedikit sebanyak menanam rasa cinta akan kampung halaman, tempat kelahiran dan tanah air tercinta. Dijelaskan bahawa kebaikan yang utama oleh Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya kebaikan yang terbaik adalah seorang anak menjalinkan hubungan persaudaraan dengan saudara yang dikasihi bapanya. (riwayat Muslim)

Ironinya, aspek nilai kecintaan ini juga berkait dengan aspek sosiobudaya dalam kehidupan beragama seperti merayakan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman. Tradisi lama ini masih hidup dan berfungsi dalam kebudayaan kita. Generasi muda digalakkan mengamalkan tradisi balik kampung ini sebagai menghayati dan mengenang di mana asal usul kita. Semarakkan budaya kunjung-mengunjung.

Hari Raya Aidilfitri mestilah dirayakan dengan penuh kegembiraan, jika ada permainan dan hiburan tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan. Hari raya juga jangan hanya menonton siaran televisyen dan asyik dengan telefon pintar melayan Facebook, Twitter dan sebagainya yang boleh menyebabkan renggangnya silaturahim. Banyakkan berkunjung ke rumah saudara-mara bagi mengeratkan ikatan silaturahim.

Semoga Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat dirayakan dengan keindahan budaya dan kesucian agama Islam walaupun dalam suasana kesedihan dengan tragedi MH17 yang menyayat hati. Maka dengan rasa keinsafan dan istiqamah akan meningkatkan lagi ketakwaan.

Lantaran itu akan sering terdengar kata-kata dan ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin, malah yang lebih afdal lagi saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain iaitu, “Semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu." Iaitu pahala dan amal kebaikan yang telah dilakukan.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan/Bicara_Agama/20140725

Santuni perasaan jemaah wanita

IBADAT haji merupakan ibadat badaniah. Banyak cabaran amali yang dihadapi jemaah haji. Ada situasi yang mampu menyebabkan tekanan perasaan, terutama kepada jemaah haji wanita. Antaranya ialah:


1 Mahram tumpang

Ada mahram merupakan syarat wajib bagi wanita mengerjakan fardu haji. Ketiadaan mahram membuatkan wanita tidak wajib melakukannya. Banyak pandangan dikemukakan para ulama mengenai siapakah yang dapat memenuhi syarat sebagai mahram.

Namun sebahagian ulama telah memutuskan wanita harus melakukan ibadat haji bersama satu kumpulan wanita atau lelaki yang amanah dan dapat menjamin keamanan wanita terbabit sekira suami, bapa atau saudara tidak pergi bersama. Kita istilahkan sebagai ‘mahram tumpang’ (MT).

Alhamdulillah pandangan ini dapat menyelesaikan masalah wanita yang ketiadaan mahram untuk menunaikan haji. Namun isu ‘Wanita Menumpang Mahram’ (WMM) seperti itu tidak terhenti di situ sahaja. Banyak perkara yang masih menimbulkan tekanan perasaan jemaah haji wanita seperti ini.

2 Beriddah semasa kerja haji

Ajal maut di tangan Allah. Sekalipun ada jemaah haji dari awal lagi mengharapkan menemui ajal di Tanah Suci Mekah atau Madinah, namun majoriti mereka mahu pulang semula ke tanah air selepas menunaikan ibadat haji. Sekiranya kematian suami berlaku, isteri yang ditinggalkannya akan mengalami banyak tekanan. Jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini perlu disantuni dengan sebaiknya, terutama oleh rakan sebilik. Semangatnya perlu dipulihkan, kesedihannya perlu ditawari, kesukaran batin dan zahirnya perlu mendapat simpati.

3 Kedatangan haid semasa kerja haji

Isu berkaitan pendarahan semasa melakukan ibadat haji merupakan isu paling menonjol bagi jemaah haji wanita, sebolehnya mereka tidak mahu ibadat mereka diganggu kedatangan haid. Oleh itu ada di antara mereka yang berusaha mengatasinya dengan mengambil ubatan bagi menahan haid.

Nasibnya mungkin baik jika usahanya itu berkesan, tiada haid yang mengganggu ibadatnya. Namun tidak semua mendapat nasib yang sama. Ada wanita yang bukan sahaja gagal menghalang kedatangan haid, malah kedatangan haidnya mengalami kecelaruan, pendarahan tidak berhenti sehingga sukar memastikan yang mana haid dan yang mana istihadah. Keadaan ini sangat menekan perasaan jemaah wanita yang mengalaminya, keinginan menggandakan pahala dengan solat berjemaah di masjid, mengulang kali ibadat umrah sunat, tawaf sunat, solat tahiyyat al-masjid di masjid-masjid yang diziarahi, kesemuanya terhalang. Guru pembimbing juga kadangkala sukar menjelaskan keadaan mereka.

4 Jahil hukum

Pelbagai kursus mengenai hukum dan praktikal amalan haji telah diadakan oleh TH atau syarikat-syarikat swasta, namun masih ramai yang tidak faham atau jahil hukum ibadat haji, contohnya aurat dan pakaian semasa ihram

Sebenarnya tiada pakaian khusus bagi wanita melakukan ibadat ihram, semua pakaian boleh dipakai asalkan menutup aurat, memenuhi ciri pakaian wanita Islam dan bukan pakaian yang diharamkan syarak. Namun pengamalan sesetengah jemaah haji wanita menunjukkan bahawa mereka beranggapan bahawa pakaian wanita ihram ialah sepasang kain telekung putih. Kefahaman yang salah kerana jahil ini membuatkan mereka merasa tekanan, merasakan ibadat haji ini amat menyukarkan.

5 Memakai wangian

Memakai wangian memang dilarang bagi mereka yang melakukan ihram haji atau ihram umrah sunat. Namun salah faham atau jahil telah membuatkan memakai wangian ini menjadi isu. Jahil hukum ini membuatkan jemaah haji merasakan larangan semasa haji sangat memberatkan, sedangkan pada hakikatnya ia tidak demikian. Keadaan ini perlu disantuni dengan memberikan mereka kefahaman yang jelas mengenai isu-isu berbangkit ini supaya mereka tidak dihimpit perasaan sukar yang sepatutnya tidak ada.

6 Isu pergaulan silang jantina

Penempatan jemaah wanita dalam Masjid Nabawi di Madinah dengan di Mekah cukup berbeza. Di Madinah ia lebih tersusun berbanding di Mekah. Ini kadang kala menimbulkan suasana yang menekan dan hal yang sama juga berlaku di matof (tempat tawaf) dan mas`aa (tempat sa`ie) juga.

DR. ANISAH AB. GHANI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim). Utusan/Bicara_Agama/20140725