August 1st, 2014

'Sedia rai Aidilfitri di akhirat'

Penduduk Palestin reda nyawa melayang di tangan Zionis

"Dalam suasana perang ketika ini, kami hanya bersiap meraikan Aidilfitri di akhirat kerana kematian boleh menjemput pada bila-bila masa. Mana mungkin saya sekeluarga bergembira ketika sanak-saudara dan jiran tetangga kehilangan ahli keluarga akibat keganasan Israel,” kata bekas buruh binaan dari Al Zawaida, bahagian tengah Gaza, Hamza Hassan El Deirawi.


Ketika dihubungi dari Kaherah, Hamza Hassan, 74, berkata perang yang meletus membuatkan kebanyakan penduduk Gaza hanya mampu berkurung dalam rumah sambil berdoa agar tersisih daripada bahaya.

Walaupun berlindung dalam rumah, hakikatnya mereka tidak pasti sama ada kediaman itu selamat bertahan hingga keesokan hari kerana terdedah kepada sasaran bedilan bom Israel pada bila-bila masa.

Situasi itu disaksikan anaknya, Hamza Deirawi, yang juga petugas Unit Media Aman Palestin Malaysia di Gaza, apabila lima rumah berdekatan kediaman neneknya yang diziarahi selepas solat Jumaat kelmarin, ranap dibedil pesawat F16 milik Israel.

Bedilan terhadap kediaman penduduk termasuk kawasan kem pelarian, menyebabkan penduduk Gaza menjadi pelarian dalam wilayah sendiri.

Namun, ketika ini tiada tempat mampu dianggap selamat kerana masjid, hospital awam dan sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak terlepas daripada sasaran bedilan bom Israel.
Alasan Israel, lokasi terbabit menjadi tempat persembunyian roket Hamas. Namun, selepas hampir 900 menjadi korban dan lebih 5,000 cedera, dakwaan itu hanya tinggal dakwaan apabila tiada bukti ditemui.

Rintihan Hamza Hassan itu turut dikongsi Pegawai Hal Ehwal Luar Universiti Islam Gaza, Dr Wesam Ahmad, yang menetap di Beit Lahia, utara Gaza.

Rumah ranap

“Kediaman saya masih selamat, namun rumah dua jiran ranap akibat bedilan Israel yang mengganas dalam perang ini.

“Menjelang Aidilfitri ini, kami hanya menyediakan keperluan asas, mana mungkin bergembira ketika tetangga bersedih akibat kehilangan rumah dan ahli keluarga,” katanya yang pernah tinggal di Malaysia ketika belajar.

Mengimbas kenangan, Wesam mengakui, ketika aman, suasana kemeriahan Aidilfitri di Gaza, sama seperti di Malaysia, apabila setiap keluarga sibuk menyediakan juadah istimewa bagi meraikan tetamu dan sanak-saudara yang bertandang.

Namun, dalam situasi perang ketika ini, setiap ketua keluarga yang mempunyai pekerjaan berusaha berjimat-cermat.

“Kesan amat dirasai keluarga miskin yang tidak mampu keluar bekerja atau ke kawasan pertanian. Mereka terpaksa bergantung bantuan kemanusiaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Namun, halangan yang berterusan kepada kemasukan misi kemanusiaan NGO antarabangsa memberi kesan mendalam kepada keluarga terbabit bagi menyediakan keperluan makanan harian,” katanya.

Sejak perang tercetus 8 Julai lalu, Mesir hanya membuka pintu sempadan Rafah selama lima jam kepada kemasukan 500 tan bekalan makanan dan ubatan pada 10 Julai lalu. Sejak itu hingga kini, semua misi perubatan dan kemanusiaan ke Gaza terkandas di Kaherah kerana keengganan tentera Mesir membenarkan mereka melalui pintu Rafah, walaupun masing-masing menandatangani surat melepaskan tanggungjawab.

Suara supaya semua kepungan terhadap Gaza dihentikan serta-merta bukan saja setakat kedengaran dari Gaza, malah sudah mendapat sokongan Presiden Mahmoud Abbas, selain tentangan penduduk Palestin kini merebak di Tebing Barat sehingga mencetuskan tanggapan kemungkinan berlaku intifada ketiga.

Hakikatnya, senarai syarat yang ditetapkan Hamas bagi gencata senjata adalah untuk membolehkan Gaza menjadi wilayah yang berdaulat selepas sekian lama ia dikepung Israel.

Selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza tidak berfungsi sejak 2001 akibat menara kawalannya dibom pesawat Israel, Semenanjung Gaza termasuk perairannya dikepung rejim Zionis dari semua sudut.

Meskipun pantainya menghadap Lautan Mediterranean, namun Pelabuhan Gaza tidak dibenarkan beroperasi, manakala nelayan Palestin pula dihalang keluar menangkap ikan melebihi lima kilometer. Bahagian sempadan antara Gaza dengan Israel dihadang pembinaan tembok konkrit.

Kawal ketat laluan sempadan

Mesir pula mengawal ketat pergerakan keluar masuk ke Gaza menerusi satu-satunya laluan bersempadan dengan negara itu di Rafah. Kepungan itu secara tidak langsung membuatkan Gaza yang mempunyai keluasan 365 kilometer persegi dengan 1.8 juta penduduk, umpama penjara terbesar di atas muka bumi ketika ini.

Duta Malaysia ke Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, menyifatkan syarat Hamas sebelum bersedia menyertai gencatan senjata kali ini kelihatan sukar untuk dipenuhi Israel dan Mesir.

Katanya, ketika ini, kepemimpinan Turki dan Qatar memainkan peranan penting kerana hanya mereka yang boleh berbincang dengan kepemimpinan Hamas. Penolakan Hamas terhadap saranan supaya menyertai gencatan senjata sebelum tuntutan politik mereka dibincangkan, sememangnya mudah difahami kerana selama ini Israel tidak pernah menghormati persetujuan yang dicapai.

Perkembangan terbaharu inisiatif gencatan senjata yang diumumkan di Kaherah malam kelmarin, nyata masih kabur, walaupun Setiausaha Agung PBB, Ban Kim Moon dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, mengumumkan sudah ada rangka asas perbincangan lanjut. Berita Harian Kolumnis 2014/07/28 - 02:26:50 AM Ismail Mat

Ziarah-menziarahi meriahkan suasana Aidilfitri

Generasi baharu perlu teruskan budaya kunjung-mengunjung dalam masyarakat

Aidilfitri tiba sekali lagi. Bulan Syawal ini juga, di negara kita, telah membentuk budaya ziarah-menziarahi, memohon kemaafan antara satu dengan yang lain.


Tetapi oleh kerana keluarga orang Melayu pada umumnya terbahagi kepada dua kelompok, iaitu ‘orang seksyen’ dan ‘orang kampung’, maka corak ziarah menziarahi pun agak berbeza.

‘Orang seksyen’ merujuk kepada keluarga Melayu yang tinggal di bandar. Seksyen secara umum adalah pembahagian kawasan perumahan yang terdiri daripada pelbagai jenis kediaman.

Kanak-kanak dan remaja yang membesar dalam sesuatu seksyen, biasanya mempunyai jumlah kawan terbatas, serta lingkungan sosial yang agak terhad atas faktor wujudnya pemagaran, keselamatan, individualisme dan sebagainya.

Bagi memecahkan kebekuan budaya, masjid atau surau di seksyen tertentu bertindak proaktif memugar budaya ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan dalam bulan Syawal, khususnya dalam kalangan anggota kariah seksyen mereka.

Ini dilakukan mulai pada malam hari raya dengan cara membentuk kumpulan yang berkunjung dari rumah ke rumah untuk bertakbir, berselawat, berdoa dan bermaaf-maafan.
Aktiviti ini disambung semula mulai minggu kedua Syawal, apabila kebanyakan ahli kariah telah menghabiskan cuti masing-masing. Aktiviti kunjungan ini biasanya menggabungkan semua peringkat umur.

Ziarah berkumpulan

Kunjungan berkumpulan yang membabitkan semua peringkat umur ini – kanak-kanak, remaja dan dewasa – mungkin sesuai untuk kehidupan di bandar. Sebab itu kita jarang melihat adanya kumpulan kanak-kanak atau remaja yang berasingan, datang berziarah secara berkumpulan di sesuatu seksyen.

Ini agak berbeza dengan suasana di kampung, khususnya kampung yang telah mewarisi budaya ziarah-menziarahi dalam bulan Syawal. Mengutip pengalaman peribadi di kampung sendiri, saya masih teringat akan budaya indah ini.

Malam 1 Syawal dimeriahkan dengan kumpulan takbir dari rumah ke rumah. Ziarah dari rumah ke rumah diadakan kira-kira satu jam selepas solat sunat Aidilfitri selesai.

Kanak-kanak, remaja dan dewasa berkumpul di surau, membentuk kumpulan ziarah masing-masing.

Sesuatu kumpulan biasanya terdiri daripada kira-kira 10 orang. Kalau dalam sesuatu kelompok umur itu ramai, ia boleh membentuk beberapa kumpulan.

Jumlah 10 orang ini dianggap sesuai bagi memudahkan tuan rumah melayan mereka. Juga sesuai dengan ruang tamu rumah yang biasanya kecil.

Sebelum setiap kumpulan ini bergerak, biasanya ada seorang dewasa yang mengaturkan pergerakan setiap kumpulan.

Umpamanya kumpulan kanak-kanak bermula dari rumah si anu di selatan kampung; kumpulan remaja bermula dari rumah si anu di timur kampung; dan kumpulan dewasa bermula dari rumah si anu di utara kampung.

Dengan cara ini setiap rumah akan menerima kunjungan kelompok penziarah berbeza-beza dalam tempoh yang berasingan.

Kunjungan ke seluruh rumah di kampung biasanya mengambil masa dua hari. Oleh itu tiada istilah tergesa-gesa. Tuan rumah mempunyai waktu untuk bertanya khabar dan berbual dengan tetamunya, sebelum tetamu bersalaman memohon kemaafan, dan beredar ke rumah yang lain pula.

Peluang bertemu mesra

Tuan rumah suami isteri yang biasanya sibuk menerima kunjungan tetamu pada siang hari, menggunakan waktu malam, atau pada hari ketiga dan keempat Syawal untuk berziarah.

Dengan itu, sekurang-kurangnya setahun sekali, semua ahli kariah dapat bersemuka menyuburkan budaya ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan.

Masihkah wujud suasana demikian di kampung halaman kita untuk Syawal ini? Suasana di mana kunjungan begitu akrab, takbir begitu syahdu, doa begitu kudus, dan lafaz maaf yang panjang penuh keikhlasan.

Atau suasana mulai berubah? Mungkinkah kanak-kanak dan remaja berziarah hanya kerana ingin mengumpul duit raya?

Atau wujud kunjungan tanpa roh, apabila mereka disibukkan dengan menatap iPad dan telefon bimbit masing-masing ketika berada di rumah yang mereka kunjungi?

Dan kemudian sebelum berpisah menuturkan ucapan klise ‘maaf zahir batin.’ Dr Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA Berita Harian Kolumnis 2014/07/30 - 01:27:08 AM

Kekalkan tradisi balik kampung sambut Aidilfitri

Pada hari raya keempat ini masih ramai yang berada di kampung bersama keluarga. Bagi yang tidak mempunyai cuti panjang, mereka sudah pulang ke tempat masing-masing untuk bekerja semula atau mengikut suami di mana mereka berhijrah. Ramai mempunyai sekurang-kurangnya dua kampung iaitu kampung suami dan kampung isteri.


Bagi yang cuti panjang atau seperjalanan mereka boleh selesaikan masalah dengan mudah tetapi bagi bagi kampung di dua lokasi yang jauh, mereka terpaksa guna sistem giliran atau budi bicara keluarga - tahun ini di kampung isteri, tahun depan di kampung suami dan seterusnya.


Balik kampung bolehlah dianggap sebagai fenomena, malah ‘pesta’ paling meriah dan pergerakan rakyat paling besar pada satu-satu masa di Malaysia. Sebenarnya, fenomena balik kampung berlaku di mana-mana sekali pun di dunia, khasnya pada hari-hari kebesaran, cuma caranya saja berbeza. Dalam tempoh hari lebaran, lebuh raya dan jalan raya di seluruh negara sesak dengan kenderaan manakala di kampung sebelumnya sunyi dapat dilihat bilangan kenderaan bertambah dengan mendadak. Di kampung, melihat kepada jumlah kenderaan di miliki orang Melayu hari ini menunjukkan mereka tergolong dalam kumpulan golongan mampu milik. Jenis kenderaan mewah yang dilihat masuk ke kampung menunjukkan ramai orang Melayu yang kini hidup senang. Mungkin juga, orang Melayu lebih cenderung memiliki kereta daripada menggunakan wang untuk tujuan lain seperti mengumpul wang untuk melabur, berniaga, membeli hartanah dan sebagainya. Berbeza dengan keadaan mereka di kampung dahulu, kenderaan mereka hanyalah basikal atau jika mampu memiliki motosikal. Hari ini mereka sudah berjawatan tinggi dan berkereta besar.


Perubahan ketara masyarakat Malaysia

Ini adalah perubahan ketara masyarakat Malaysia. Cuma, perkara yang mendukacitakan, pada hari pesta begini, tidak kurang juga berlaku nahas jalan raya menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa. Bayangkan betapa tragis apabila berlakunya sesuatu nahas itu. Banyak peristiwa berlaku seisi keluarga menjadi korban di jalan raya.

Walaupun balik kampung sering berlaku setiap kali cuti awam yang panjang atau apa bila keluarga mengadakan kenduri kendara, nikah kahwin dan pelbagai urusan lain, suasana pada Aidilfitri ini sangat berbeza. Balik kampung pada hari raya berbeza pengertian dan suasana daripada balik kampung pada hujung minggu atau hari biasa yang lain. Balik kampung pada hari raya khasnya umat Islam ialah kerana pada hari berkenaan sebahagian besar penduduk di luar kampung secara serentak berpusu-pusu pulang ke kampung.

Bagi yang tidak mempunyai kenderaan sendiri mereka menaiki kereta api, bas, teksi, motosikal dan kapal terbang. Di kawasan pedalaman khasnya di Sabah dan Sarawak, ada yang menaiki feri, bot dan sebagainya. Selain meraikan kemenangan selepas berpuasa sebulan, mereka memilih berhari raya di kampung mengikut senarai keutamaan masing-masing.

Biasanya senarai paling atas ialah kerana mereka mahu menyambut Aidilfitri bersama ibu dan bapa terutama mereka yang jarang pulang ke kampung. Ini diikuti bertemu ahli keluarga yang turut pulang pada hari mulia ini. Pertemuan sebegini jarang berlaku melainkan kenduri kendara atau kematian.

Bertemu keluarga, sahabat handai

Pada hari raya begini juga mereka boleh bertemu kawan sepermainan dan sepersekolahan yang masing-masing sudah berhijrah dan terpisah. Kebanyakan kampung sudah berubah wajah dengan rumah yang lengkap segala kemudahan, melambangkan perubahan hidup sebahagian besar orang Melayu. Setiap kampung ada keistimewaannya tersendiri. Di kampunglah berlakunya proses pembesaran dan kematangan seseorang dan masyarakat Malaysia.

Kebanyakan kita meninggalkan kampung atas pelbagai alasan dan keperluan untuk meneruskan hidup. Ada yang berhijrah sebaik saja tamat alam persekolahan untuk mencari pekerjaan di bandar atau mendapat tawaran bekerja dengan kerajaan atau swasta, mengikut suami, menuntut di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara dan sebagainya.

Fenomena meninggalkan kampung berlaku seawal usia 12 tahun apabila anak ditawar untuk belajar di sekolah berasrama penuh. Mereka akan terus meninggalkan kampung untuk mencipta nama dalam jurusan masing-masing dan selepas tiba masanya balik ke kampung untuk berhari raya. Walaupun sudah berjaya dan hidup mewah, berumah banglo di kota, mereka tetap memilih kampung meraikan hari yang mulia ini.

Bagi sesetengah penduduk negara ini, kota dan bandar adalah kampung mereka. Mereka dilahir dan dibesarkan di kota, kesan daripada penghijrahan ibu bapa mereka. Anak mereka yang berhijrah ke mana saja, akan pulang ke rumah mereka. Dalam konteks keluarga seperti ini, pulang berhari raya juga dianggap sebagai pulang ke kampung walaupun mereka berada di bandar besar. Di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta bandar utama lain, umpamanya, suasana berhari raya tetap meriah. Suasana kunjung-mengunjung berjalan seperti biasa walaupun tahun ini, tidak ada rumah terbuka diadakan seperti biasa oleh pembesar negara kerana menghormati mangsa tragedi MH17. Fenomena balik kampung boleh dianggap suatu tradisi turun-temurun dan akan terus berlaku hingga bila-bila. Berita Harian Kolumnis 2014/07/31 - 12:50:28 PM Mior Kamarul Shahid

Erat silaturahim

SETIAP kali menjelang hari raya terutamanya Hari Raya Aidilfitri, ramailah perantau akan pulang ke kampung halaman masing-masing. Kenangan dan nostalgia kampung halaman sungguh kuat dan menjadi budaya balik kampung setiap menjelang lebaran. Lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, akan didendangkan. Dalam lagu tersebut terimbau kampung halaman dan juga usaha ke arah memupuk nilai mengeratkan silaturahim yang disarankan oleh Islam.



Pada Hari Raya Aidilfitri, sama ada di kampung atau di bandar. Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Jabir r.a, katanya: Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya. (riwayat al-Bukhari)

Budaya balik kampung sebenarnya sangat baik dan murni dalam kehidupan moden. Walau sibuk mana sekalipun, panggilan untuk pulang ke kampung semasa hari raya sudah menjadi tradisi dan budaya kepada orang Melayu. Budaya balik kampung ini sebenarnya berteraskan agama yang berlandaskan akidah yang menjurus kepada ikatan silaturahim dalam kalangan keluarga.

Ikatan kekeluargaan akan menjadi padu dan kuat melalui budaya balik kampung dan berhari raya bersama keluarga. Berkaitan hubungan silaturahim Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkan hubungan silaturahim (dengan ihsan). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada pendapat mengatakan, kebudayaan mana sekalipun yang tidak mempunyai landasan akidah dan agama, pasti akan hancur. Justeru, budaya balik kampung sempena hari raya ini adalah perayaan agama yang berlandaskan akidah iaitu Hari Raya Aidilfitri atau hari raya fitrah yang bermaksud sifat semula jadi atau asal kejadian manusia iaitu yang suci dan murni seperti dilahirkan tanpa dosa.

Oleh itu, budaya balik kampung mestilah dimanfaatkan dengan amalan kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara, kalangan saudara yang lebih tua, sahabat handai dan juga jiran tetangga. Dalam kunjungan tersebut pamerkan budi pekerti yang baik sambil bermaaf-maafan atas kesalahan yang lalu.

Banyak aspek kekeluargaan dapat dibentuk ketika beraya. Budaya kunjung mengunjungi akan memperkukuhkan silaturahim sesama keluarga. Anak-anak akan lebih mengenali bapa dan ibu saudara serta sepupu mereka. Ini akan memupuk rasa hormat kepada mereka yang sudah berusia.

Apabila saling berjumpa, mestilah saling mengucap salam dan bersalam-salaman dan apabila berpisah maka berpisah dengan ucapan istighfar. Apabila dua orang Muslim saling berjumpa lalu berjabat tangan dan mengucap “Alhamdulillah" dan beristighfar, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa mereka.

Adab berkunjung

Dalam menjaga adab semasa berkunjung ke rumah sanak-sanak saudara sebagai tetamu masuklah ke rumah kaum keluarga, hendaklah duduk di tempat yang ditunjuk oleh kaum keluarga itu sebab mereka lebih mengenali tempat-tempat aurat di rumah mereka. Selain itu, sentiasalah menjaga tingkah laku supaya sentiasa bersopan. Jangan berlebih-lebihan, segala-galanya biarlah sederhana dalam tingkah laku dan adab sopan.

Islam sangat menggalakkan umatnya menghubungkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan umat Islam keseluruhannya. Perpaduan umat juga boleh ditingkatkan bermula hari raya tanpa memikirkan perbezaan parti politik, kedudukan dan pangkat. Perpaduan juga boleh dieratkan melalui kunjungan pelbagai kaum ke rumah terbuka. Nabi bersabda yang bermaksud: Tidak masuk ke syurga pemutus silaturahim. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Manakala memetik kata-kata tokoh budayawan dan ilmuwan, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Taib Osman, antara nilai estetik dengan budaya Melayu-Islam, kehidupan orang Melayu memang sangat rapat dengan alam semula jadi iaitu kampung halaman yang kaya dengan keindahan alam dengan tumbuh-tumbuhan. Rasa cinta akan kampung halaman begitu rapat dengan orang Melayu. Justeru, tidak hairanlah budaya balik kampung ini sudah menjadi amalan dan budaya yang baik.

Tidak hairanlah kampung halaman sentiasa menjadi ingatan dan nostalgia yang sukar dipisahkan daripada jiwa orang Melayu dan kini kepada kalangan generasi mudanya juga. Tidak dinafikan budaya ini sedikit sebanyak menanam rasa cinta akan kampung halaman, tempat kelahiran dan tanah air tercinta. Dijelaskan bahawa kebaikan yang utama oleh Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya kebaikan yang terbaik adalah seorang anak menjalinkan hubungan persaudaraan dengan saudara yang dikasihi bapanya. (riwayat Muslim)

Ironinya, aspek nilai kecintaan ini juga berkait dengan aspek sosiobudaya dalam kehidupan beragama seperti merayakan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman. Tradisi lama ini masih hidup dan berfungsi dalam kebudayaan kita. Generasi muda digalakkan mengamalkan tradisi balik kampung ini sebagai menghayati dan mengenang di mana asal usul kita. Semarakkan budaya kunjung-mengunjung.

Hari Raya Aidilfitri mestilah dirayakan dengan penuh kegembiraan, jika ada permainan dan hiburan tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan. Hari raya juga jangan hanya menonton siaran televisyen dan asyik dengan telefon pintar melayan Facebook, Twitter dan sebagainya yang boleh menyebabkan renggangnya silaturahim. Banyakkan berkunjung ke rumah saudara-mara bagi mengeratkan ikatan silaturahim.

Semoga Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat dirayakan dengan keindahan budaya dan kesucian agama Islam walaupun dalam suasana kesedihan dengan tragedi MH17 yang menyayat hati. Maka dengan rasa keinsafan dan istiqamah akan meningkatkan lagi ketakwaan.

Lantaran itu akan sering terdengar kata-kata dan ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin, malah yang lebih afdal lagi saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain iaitu, “Semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu." Iaitu pahala dan amal kebaikan yang telah dilakukan.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.   Utusan/Bicara_Agama/20140725

Kejahilan penyebab rumah tangga goyah

MENERUSI pengalaman saya memberi khidmat nasihat kekeluargaan, ada pasangan yang setiap tahun hanya berhari raya di rumah keluarga suami kerana suami menggunakan kuasa vetonya. Suami juga sering menggunakan alasan yang syurga isteri terletak di kaki suami dan syurga anak lelaki di kaki ibunya atau tanggungjawab anak lelaki tidak berakhir dengan perkahwinan, sedangkan tanggungjawab anak perempuan kepada ibu bapanya tamat dan beralih kepada suaminya selepas dia berkahwin.

Semua itu tidak benar.

Hakikatnya, tanggungjawab anak lelaki dan perempuan kepada ibunya adalah sama dan tidak pernah berkurangan dengan perkahwinan. Isteri perlu meminta izin suami jika ingin bekerja atau keluar rumah tetapi adalah menjadi kewajipan suami membawa isteri menziarahi ibu bapa isteri. Isteri pula perlu ingat bahawa ibu bapa suami adalah seperti ibu bapanya. Mereka adalah orang yang terlarang berkahwin dan tidak batal wuduk dan mahram isteri. Hubungan itu tidak sementara berkahwin sahaja tetapi sampai bila-bila walaupun pasangan bercerai.

Kejahilan menyebabkan kita membuat keputusan yang salah berlandaskan pandangan agama yang lebih kepada tradisi budaya dan bukan hukum. Isteri menjeruk rasa kerana selama tempoh perkahwinan, dia tidak pernah dapat menyambut 1 Syawal dengan ibu bapa dan keluarganya tetapi hanya dengan keluarga suami.

Menafikan hak

Saya ada beberapa kes di mana pasangan ini akhirnya bercerai walaupun telah berkahwin antara 10 ke 15 tahun. Perceraian bukanlah kerana isu tempat berhari raya tetapi ia adalah sebahagian daripada isu membuat keputusan dan menafikan hak bersuara isteri dan menyampaikan pandangannya.

Ada juga pasangan mengambil keputusan "kau balik rumah emak kau, aku balik rumah emak aku." Masa baharu berkahwin, tentulah ia amat pelik kerana balik beraya di kampung seorang diri. Apabila telah mempunyai anak, pasangan biasa membuat keputusan anak beraya dengan ibunya semasa masih kecil dan apabila anak bertambah maka anak dibahagi dua supaya mereka berhari raya dengan ibu atau bapa. Ini tentunya memberi kesan kepada anak-anak. Mereka mula merasa tidak tenteram dan setiap kali datangnya Syawal kerana mereka perlu berpindah randah dan berpecah.

Majoriti pasangan mengamalkan sisitem penggiliran. Jika tahun ini beraya di rumah keluarga suami, tahun hadapan di rumah keluarga isteri pula. Andai sistem ini dipatuhi, ia boleh menjadikan latihan kepada anak-anak dan apabila mereka dewasa dan berkeluarga dan menggunakan formula yang sama. Dengan demikian rumah tangga mereka juga aman damai.

Sebagai ibu bapa pula, janganlah kita memaksa anak-anak balik beraya dengan kita dengan pelbagai ugutan emosi. Ada ibu (biasanya ibu dan bukan bapa) yang buat-buat sakit, menyindir menantu supaya berhari raya dengannya. Ada ibu yang mewajibkan anak lelakinya balik beraya dengannya dengan mengingatkan anaknya bahawa dia adalah suami dan ada kuasa veto.

Ibu-ibu seperti ini perlu bertaubat dan beristighfar dan kembali ke jalan Allah. Anak lelaki kita ada tanggungjawabnya tersendiri sebagai suami, maka jadikanlah dia suami dan bapa yang boleh dihormati oleh isteri dan anak-anaknya. Hari raya adalah hari untuk kita bermaaf-maafan dan bermuhasabah diri.

Bagi kita yang masih mempunyai pasangan, ada anak dan ibu bapa yang masih hidup, bersyukurlah dan gunakan hari raya sebagai masa yang paling berharga dan bermakna kepada diri kita dan keluarga. Jadikan hari raya sebagai masa untuk mengerat silaturahim antara kita.

Ingatlah kita masih ada orang yang kita sayangi untuk menyambut hari raya. Tentunya hari raya kali ini adalah hari raya paling sedih bagi keluarga mangsa MH370 dan MH17. Bagi MH370 penantian adalah satu penyeksaan. Saya berdoa agar anda semua diberi Allah SWT kesabaran dan ketabahan menerima ujian Allah. Begitu juga bagi MH17, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.   Utusan/Bicara_Agama/20140730

Hayati erti kekeluargaan

KEGEMBIRAAN seorang Islam menyambut Syawal ialah kejayaannya melalui sebulan Ramadan dengan berpuasa menahan lapar dan dahaga serta melaksanakan pelbagai ibadah untuk mencari keredaan Allah SWT. Kegembiraan ini adalah satu kegembiraan unik yang dikongsi bersama ahli keluarga.

Ibu bapa melahirkan rasa gembira dengan memberi upah atau duit raya kepada anak-anak yang berjaya berpuasa pada usia yang masih muda. Anak-anak juga dibelikan pakaian, kasut baharu dan rumah dihias untuk menunjukkan rasa gembira yang tidak terhingga.

Di Malaysia perkara yang paling mewah adalah makanan. Maka setiap rumah akan ada juadah hari raya yang istimewa masing-masing. Jika diingatkan, semua rumah akan menyediakan makanan utama seperti ketupat, lemang, rendang dan kuah kacang, namun ada juga keluarga menyediakan lontong, laksa, laksam, nasi dagang, nasi kerabu, nasi beriani dan sebagainya.

Pada 1 Syawal jika kita berkunjung ke lima buah rumah, kita akan tetap menjamah juadah yang dihidangkan, walaupun ia tetap lemang dan ketupat. Namun rasanya tetap berbeza kerana ia disediakan oleh orang yang berbeza dengan emosi yang berbeza.

Hari raya adalah hari yang paling gembira bagi kanak-kanak kerana mereka melihat hari raya sebagai masa untuk bergembira, berpakaian dan berkasut baharu, berjalan dari rumah ke rumah mengutip duit raya, bermain bunga api, makan sebanyak mungkin mengikut selera dan menonton televisyen atau wayang dan bersantai sepanjang hari.

Suasana hari raya dahulu dan hari ini juga sudah banyak berubah, namun semangatnya tetap sama. Banyak kampung telah tiada lagi bertakbir dari rumah ke rumah tetapi berbeza dengan taman perumahan di bandar-bandar di mana budaya sebegini telah dihidupkan kembali.

Cara sebuah keluarga menyambut hari raya juga telah melalui perubahan, begitu pun semangatnya tetap serupa. Ramai yang masih memasang pelita, cuma ia menggunakan pelita elektrik atau bateri. Bagi sebuah keluarga, hari raya bermakna semua adik-beradik berkumpul untuk bertemu serta bermaaf-maafan.

Jika sepanjang tahun kita sibuk dengan hal dunia, hari raya adalah masa bercuti dan menghabiskannya bersama ibu bapa dan saudara mara. Apabila berumah tangga, pengalaman paling mencabar ialah berhari raya pertama kali di rumah mertua. Bagi seorang lelaki, mungkin beraya di rumah isteri tidak memberi impak yang terlalu besar kepadanya. Mungkin kerana Allah menjadikan lelaki lebih ‘keras hati’ untuk menjadi terlalu emosi.

Bagi isteri, ia tetap merasa kelainan berhari raya di rumah keluarga suami. Bagi pasangan yang baharu berkahwin keputusan berhari raya di mana sangat penting. Saya ada banyak kes di mana keputusan berhari raya ini menjadi punca utama pasangan bergaduh dan akhirnya membawa kepada perceraian. Nampak remeh tetapi ia boleh menggugat kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

Ada suami mengguna kuasa ‘veto’ di mana hanya dia membuat keputusan sebelah mana mereka patut beraya. Sebenarnya, semua pasangan yang ingin berkahwin mesti mengamalkan sikap terbuka dan berbincang dalam hal yang melibatkan keluarga. Apalah makna hari raya jika pasangan kita pulang berhari raya dengan penuh keterpaksaan, bermasam muka kerana tidak dapat balik ke rumah keluarganya.

Apalah gunanya kita bermaaf-maafan di pagi raya jika dalam hati kita menangisi keputusan pasangan kita untuk berhari raya di rumah keluarganya dan tidak di rumah keluarga kita. Akhirnya perkahwinan yang dibina dengan rasa cinta itu mengalami masalah kerana tiada tolak-ansur, bertimbang rasa dan menerima bahawa keluarga pasangan kita adalah juga keluarga kita. Ibu mertua sama tarafnya dengan ibu kita. Belajarlah menyayangi keluarga pasangan seperti kita menyayangi keluarga kita. Utusan/Bicara_Agama/20140730

Hiasi Aidilfitri dengan kemaafan

AIDILFITRI sering dikaitkan dengan sifat bermaaf-maafan. Sifat pemaaf merupakan salah satu daripada sifat-sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis yang telah menekankan tentang keutamaan bersifat sedemikian yang disebutkan juga sebagai sufat orang-orang yang hampir di sisi Allah SWT.


Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 134 yang bermaksud: Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Mereka yang bersifat pemaaf ini adalah golongan insan yang berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa dilampias dengan rasa dendam dan rasa sakit hati. Perasaan insan pemaaf selalunya akan bebas daripada perasaan berburuk sangka dan dendam kesumat dan digantikan pula dengan sikap suka memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya.

Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, golongan insan yang bersifat dan berhati mulia ini akan sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang akan dilimpahi oleh Allah SWT kepadanya, lantaran telah memartabatkan kemaafan bagi mengisi Aidilfitri yang begitu bermakna ini.

Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa jua kepahitan yang terjadi dan menganggapnya sebagai salah satu daripada mehnah (ujian) kehidupan di dunia.

Perlu difahami juga, bahawa walaupun setiap insan Muslim itu digalakkan menyuburkan dalam diri dengan sifat pemaaf, namun perlu diingatkan bahawa Allah SWT juga menegaskan bahawa seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri dan membalas kezaliman tersebut. Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan itu hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.

Pada waktu dan saat beginilah, Allah SWT menuntut hamba-hamba-Nya agar bersegera menyemai dalam diri dengan sifat pemaaf dan bertoleransi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan bagi orang-orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang zalim. (as-Syuara’: 39-40)

Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu sahaja, lantaran kejahatan orang lain kepada kita sebagaimana sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa hadithul ifki (Berita dusta) yang menimpa anaknya Aisyah r.a. yang juga isteri Rasulullah SAW.

Umum mengakui bahawa penyebaran fitnah dan pembohongan merupakan suatu perbuatan yang amat keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya. Lantaran itulah, sewaktu berlaku peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah tersebut.

Saidina Abu Bakar juga dengan drastiknya memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai dan rakan taulannya yang turut terlibat dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.

Tindakan Saidina Abu Bakar itu rupa-rupanya tidak disukai oleh Allah SWT. Lalu Allah SWT telah menurunkan wahyu melalui Rasulullah SAW bagi memberi teguran tegas-Nya sebagaimana mafhum ayat 22, surah an-Nur yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.

Demikianlah tegasnya Allah SWT dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya. Sesungguhnya putik-putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan yang berterusan untuk tempoh masa yang lama. Sebaliknya, jika kejahatan itu dibalas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terlerailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

* WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan. Utusan/Bicara_Agama/20140731

Keunikan pameran Az-Zakah

Zakat merupakan rukun lslam ketiga telah memainkan peranan penting dalam kehidupan umat lslam sepanjang sejarah


Kewujudannya. Ibadah wajib itu merupakan satu mekanisme kewangan dan perekonomian yang bermatlamat untuk membersihkan jiwa manusia serta hartanya kerana kemungkinan terdapat hak orang lain dalam proses memperoleh harta tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat103 yang bermaksud: Ambillah zakat daripada harta mereka, guna membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menumbuhkan) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dengan berzakat, harta seorang Islam itu dapat disucikan setelah mengembalikan sebahagian daripada hartanya yang tertentu kepada lapan golongan (asnaf) yang berhak menerimanya seperti yang disyaratkan oleh Allah SWT berlandaskan al-Quran.

Melalui kewajipan zakat juga, ikatan kemesraan antara golongan berkemampuan dan golongan miskin dalam masyarakat akan dikekalkan.

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus pengurus zakat, para mualaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan budak), orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)

Sejajar dengan suruhan-Nya itu, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) bersama-sama Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menganjurkan Pameran Az-Zakah dengan tema Semangat, Kesedaran dan Kewajipan di MKIM bermula 15 Jun lalu sehingga 16 September ini.


ANTARA gelang kaki yang dipakai oleh wanita Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada adab ke-20.

Pameran tersebut akan memberi pemahaman yang mendalam mengenai penubuhan zakat di dalam Islam dan juga pengamalannya di Malaysia. Menerusinya, orang ramai bukan hanya mendapatkan pengetahuan tentang pungutan zakat dan pengagihan kepada asnaf tetapi menghayati hikmah tuntutan kewajipan berzakat.

Perasmian pameran itu telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Melalui pameran itu, orang ramai berpeluang melihat lebih 30 jenis koleksi muzium berkaitan dengan zakat. Antaranya adalah replika cupak Rasulullah SAW, bekas gantang yang digunakan pada kurun ke-17 dan ke-18, mata wang emas dan kitab-kitab pengajian agama lama mengenai ibadat zakat.

Orang ramai juga berpeluang melihat koleksi Kaki Lilin yang digunakan pada era Uthmaniah (1768/1811H) untuk menentukan arah kiblat solat. Apa yang menarik adalah koleksi itu merupakan harta wakaf yang paling unik sekali.

Sementara itu, pameran tersebut turut mempamerkan buku katalog dwi bahasa yang memuatkan sejarah zakat bermula dari abad pertama Islam hingga ke hari ini.

Buku itu penting kerana ia mengajak umat Islam memahami kewajipan berzakat, di samping menerangkan peranan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai institusi yang menguruskan kutipan dan agihan zakat di Selangor.

Namun, apa yang lebih penting adalah pameran itu secara tidak langsung menjadi platform dakwah untuk meningkat kesedaran umat Islam tentang kewajipan mengeluarkan zakat.

Umat Islam seharus menyedari bahawa zakat akan mewujudkan pertumbuhan rohani dan ekonomi untuk kedua-dua pemberi zakat serta asnaf.

Ini kerana, keindahan zakat terdiri daripada tiga elemen penting; iman (keyakinan), takwa (kepatuhan kepada Allah) dan ‘adl (keadilan) dalam sesuatu tindakan.

Selain itu, pameran tersebut bertujuan untuk menerangkan kepada orang ramai, khususnya umat Islam tentang usaha berterusan MAIS dan LZS dalam memperkemas pengurusan zakat seperti yang telah dilaksanakan oleh Nabi SAW, para sahabat dan pemuafakatan para ulama fikah.   HASHNAN ABDULLAH   Utusan/Bicara_Agama/20140731

Hiasi Aidilfitri dengan kemaafan

AIDILFITRI sering dikaitkan dengan sifat bermaaf-maafan. Sifat pemaaf merupakan salah satu daripada sifat-sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis yang telah menekankan tentang keutamaan bersifat sedemikian yang disebutkan juga sebagai sufat orang-orang yang hampir di sisi Allah SWT.



Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 134 yang bermaksud: Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Mereka yang bersifat pemaaf ini adalah golongan insan yang berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa dilampias dengan rasa dendam dan rasa sakit hati. Perasaan insan pemaaf selalunya akan bebas daripada perasaan berburuk sangka dan dendam kesumat dan digantikan pula dengan sikap suka memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya.

Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, golongan insan yang bersifat dan berhati mulia ini akan sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang akan dilimpahi oleh Allah SWT kepadanya, lantaran telah memartabatkan kemaafan bagi mengisi Aidilfitri yang begitu bermakna ini.

Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa jua kepahitan yang terjadi dan menganggapnya sebagai salah satu daripada mehnah (ujian) kehidupan di dunia.

Perlu difahami juga, bahawa walaupun setiap insan Muslim itu digalakkan menyuburkan dalam diri dengan sifat pemaaf, namun perlu diingatkan bahawa Allah SWT juga menegaskan bahawa seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri dan membalas kezaliman tersebut. Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan itu hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.

Pada waktu dan saat beginilah, Allah SWT menuntut hamba-hamba-Nya agar bersegera menyemai dalam diri dengan sifat pemaaf dan bertoleransi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan bagi orang-orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang zalim. (as-Syuara’: 39-40)

Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu sahaja, lantaran kejahatan orang lain kepada kita sebagaimana sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa hadithul ifki (Berita dusta) yang menimpa anaknya Aisyah r.a. yang juga isteri Rasulullah SAW.

Umum mengakui bahawa penyebaran fitnah dan pembohongan merupakan suatu perbuatan yang amat keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya. Lantaran itulah, sewaktu berlaku peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah tersebut.

Saidina Abu Bakar juga dengan drastiknya memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai dan rakan taulannya yang turut terlibat dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.

Tindakan Saidina Abu Bakar itu rupa-rupanya tidak disukai oleh Allah SWT. Lalu Allah SWT telah menurunkan wahyu melalui Rasulullah SAW bagi memberi teguran tegas-Nya sebagaimana mafhum ayat 22, surah an-Nur yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.

Demikianlah tegasnya Allah SWT dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya. Sesungguhnya putik-putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan yang berterusan untuk tempoh masa yang lama. Sebaliknya, jika kejahatan itu dibalas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terlerailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

* WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan.   Utusan/Bicara_Agama/20140731

Masa merapatkan hubungan, lupakan dulu gajet!

"SAYA akan mengurangkan aktiviti bersembang dalam group ini semasa Hari Raya Aidilfitri. Saya mahu beri tumpuan kepada ibu bapa, adik beradik dan saudara mara yang datang pada hari raya nanti.''



Itu mesej atau mungkin saya boleh sebut ikrar seorang rakan saya dalam group WhatsApp kami, sehari sebelum kita menyambut 1 Syawal.

Memang, saya amat bersetuju dengan dia. Hari Raya ini sudah-sudahlah, jangan asyik membelek gajet. Waktu-waktu yang amat bermakna ini seharusnya diluang bersama keluarga. Ziarah menziarahi dan bercampurlah dengan tetamu yang datang beraya di rumah.

Terutamanya anak-anak. Mereka perlu dididik mengenali sanak saudara dan jangan hanya duduk di depan televisyen dan bersembang di media sosial semasa raya. Bila tetamu datang, mereka kelam-kabut masuk ke dalam bilik masing-masing, mengasingkan diri.

Janganlah jadikan mereka 'kera sumbang'. Hidup dengan dunia sendiri dan hanya leka bersembang di alam maya! Apa yang seronoknya?

Tetapi itulah, kawan saya yang ini semasa sehari sebelum Ramadan pun dia menulis mesej lebih kurang sama. Dia mahu memberi tumpuan kepada ibadah di bulan Ramadan. Jadi dia kata akan jarang bersembang. Tetapi sudahnya, tidak juga.

Hari-hari dialah yang paling kuat bersembang. Subuh-subuh lagi sudah masuk macam-macam mesej dan gambar. Tepuk dahi saya dibuatnya.

Dan memang betul jangkaan saya, pada Hari Raya pertama dialah juga orang pertama memberi ucapan sehingga sekarang masih menghantar gambar beraya bersama-sama keluarga. Itu belum masuk gambar selfie dia seorang lagi, sibuk memperagakan baju raya dan menunjuk kuih raya dan suasana dalam rumah.

Maka memang benarlah orang kata, kalau sudah ketagih gajet. Macam inilah jadinya. Tidak dapat mengawal diri daripada menjauhi gajet untuk seketika. Satu jam tidak membelek telefon bimbit pun sudah dikira cukup lama. Apa saja yang dilakukan semuanya mahu diambil gambar dan dikongsi bersama rakan-rakan.

Sedangkan masa bersama-sama keluarga terutamanya ketika merayakan Aidilfitri ini adalah masa yang cukup bermakna. Bukan selalu kita dapat berkumpul, bertanya khabar dan bersembang secara bersemuka dengan sanak saudara.

Pada hari raya pertama, saya menziarah kubur arwah bapa saya di Taman Kosas, Ampang, di tanah perkuburan pun ramai yang asyik membelek-belek telefon bimbit ketika duduk di sebelah pusara. Itu belum masuk lagi mendengar ringtone yang macam-macam lagu dan irama termasuk dangdut yang bunyinya kuat semasa orang sibuk membaca Yassin.

Seharusnya kita perlu tahu di mana untuk kita berhenti menggunakan gajet tersebut. Ketika di dalam masjid dan surau pun kita sibuk dengan telefon bimbit. Begitu juga pada masa bekerja, makan, membeli-belah dan memandu! Bila masanya ketika dapat berenggang dengan gajet? Mungkin pada waktu tidur. Itupun bila terjaga, ramai yang terus capai telefon.

Sikap sebegini akan menjadi ikutan kepada yang muda atau anak-anak nanti.

Ada anak yang masih kecil lagi, baru berusia 4 atau 5 tahun sudah dibelikan gajet. Dibiarkan mereka leka bermain. Apabila disuruh berhenti, anak ini akan mengamuk. Menghentak-hentak kaki.

Yang remaja pula jangan ceritalah. Kononnya sudah menjadi satu keperluan. Jika tidak dibelikan mereka akan ketinggalan. Akhirnya, apabila anak-anak pun sibuk dengan gajet, ibu bapa pun sama, maka kuranglah komunikasi.

Bila kurang komunikasi, macam-macam perkara lain timbul. Tempat mengadu masalah hanya pada rakan-rakan yang kebanyakannya hanya dikenali di media sosial. Ini sangat berbahaya.

Ibu bapa sepatutnya memantau anak mereka ini. Sebabnya, ada rakan-rakan mereka yang mungkin menghantar info atau gambar yang bukan-bukan. Selepas itu gambar tersebut dikongsi beramai-ramai dan apabila mengulas timbul fitnah bukan saja kepada rakan-rakan mereka tetapi hal-hal bersangkutan isu-isu negara yang mereka sendiri belum faham.

Sedangkan yang tua pun gemar memfitnah dan memaki hamun ketika mengulas apa-apa saja isu di media sosial. Inikan pula anak-anak yang belum matang berfikir lagi.

Maka cukup-cukuplah asyik membelek gajet. Aidilfitri akan lebih bermakna sekiranya kita dapat meluangkan masa yang berkualiti ini bersama orang tersayang. Dekati dan fahami mereka. Luangkan masa ketika mereka masih ada.

Di Aidilfitri ini saya dengan rendah hati memohon kemaafan kepada sanak saudara, rakan-rakan dan pembaca sekiranya ada melakukan kesalahan dan kekhilafan. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Fauziah Arof Utusan/Rencana/20140730

Aidilfitri kembalikan diri kepada fitrah

SETELAH sebulan madrasah Ramadan dilalui, Aidilfitri menjelang, lambang graduasi terjadi. Kita boleh mengukur perubahan sikap dan watak sama ada ia kekal seperti sebelum memasuki madrasah Ramadan atau sebaliknya.

Kalau sebelumnya kita ini seorang yang selalu hilang sabar, panas baran dan kurang bijaksana, selepas melalui madrasah Ramadan, kita menjadi seorang yang tenang dan sabar dan sentiasa membuat perhitungan sebelum melakukan sesuatu. Tandanya kita sedang kembali kepada fitrah.

Sebelum Ramadan, kita ini seorang yang mempunyai kualiti kemanusiaan yang rendah, kedekut dan bakhil dengan harta, berbangga dengan pangkat dan kedudukan, suka merendah dan meremeh orang lain, ego terhadap kelebihan diri, menjelang Aidilfitri kita mempunyai kualiti ihsan yang baik, mempunyai rasa tawaduk yang tinggi, tidak sombong dan ego dan sentiasa mahu berada dalam reda Allah tandanya kita sedang kembali kepada watak yang fitrah.

Perubahan ke arah fitrah amat penting sebagai ukuran melalui madrasah Ramadan. Kurikulum dalam tarbiyyah Ramadan memadai untuk merubah diri insan sekiranya puasa yang dilalui dihayati dengan ikhlas, tarawih yang dikerjakan membimbing kita memiliki jiwa jamaah dan ukhuwah yang tinggi. Tazkirah yang diberi memberikan cetusan keinsafan mengenai pentingnya persaudaraan sesama Islam disuburkan.

Sekiranya ini tidak berlaku, rasa kebencian terhadap orang lain semakin subur, perasaan dendam terhadap orang yang tidak sealiran fahaman masih tebal, kegemaran kepada perpecahan di dalam masyarakat masih kental, ia bermakna madrasah Ramadan tidak menjadikan kita insan yang kembali kepada fitrah.

Maksud terakhir dalam surah al-Baqarah ayat 183 ialah "moga kita menjadi orang yang muttaqeen". Muttaqeen memberi erti pelindung. Allah melindungi kita dari watak fahsya' dan mungkar. Watak ini amat dikeji oleh Allah dan manusia akan mengalami kerugian akhirnya jika ia berterusan diamalkan .

Kembalinya kita kepada fitrah memberi kekuatan kepada kesatuan umat. Kembalinya kita pada diri yang makruf menjadikan watak pemaaf dan pemberi maaf atas apa kesilapan yang berlaku. Tidak ada orang yang tidak silap dan berdosa dalam hidupnya. Kesediaan memaafkan orang lain adalah gambaran jiwa besar yang selari dengan fitrah.

Hari ini perpecahan dalam kalangan umat di dunia Islam berlaku dalam keadaan luar biasa sekali. Lihat apa yang terjadi di Mesir pertentangan di kalangan sesama umat berlaku dalam keadaan yang amat tajam sekali. Di Syria pembunuhan terjadi dan pengusiran berlaku tanpa belas kasihan. Di Iraq telah sekian lama permusuhan dan pembunuhan terjadi. Di Afghanistan, Libya juga tidak aman.

Gambaran ini menjadi semakin gawat dan tidak ada jalan selesai. Hal yang lebih parah sedang berlaku di Palestin. Orang Islam di Gaza dibunuh sesuka hati dan sebahagiannya jadi pelarian.

Makna Aidilfitri bagi mereka jauh untuk dirasakan. Ia menjadi iktibar kepada umat Islam bahawa amat penting persefahaman dan perpaduan dirintis kerana jalan permusuhan mudah terjadi dan jalan pembaikan payah sekali kerana rasa kasih sayang sesama warga umat sudah pupus dan rasa kebencian menjadi meluap-luap.

Akibat tidak kembali kepada fitrah diri umat Islam sanggup bersengketa terus-terusan tanpa memikirkan sengketa menyebabkan umat lemah. Bila umat lemah mereka menjadi mangsa eksploitasi pihak ketiga dan kuasa besar.

Solat yang kita dirikan sepatutnya membawa kita kepada sifat taat, patuh, tunduk dan akur kepada apa yang Allah perintah dan apa yang Allah larang. Kembali sebagai ibadullah dan ibadur rahman membawa kepada fitrah diri.

Haji dan umrah yang kita kerjakan mendidik hati dan jiwa mengenai makna suatu jamaah yang sandarannya ialah baitullah supaya wujud disiplin diri yang tinggi dan menginsafi kesilapan yang dilakukan selama ini kembali semula kepada fitrah diri dan menjadikan sesuatu yang utama.

Di dalam masjid kita berpesan-pesan supaya dirapatkan saf agar jangan syaitan mencelah. Ia berlaku secara fizikal saja tetapi tidak pada hati dan diri. Lalu di luar masjid kita pecah saf kerana beza fahaman politik walaupun berimam yang satu dan menghadap kiblat yang satu. Tetapi tautan persaudaraan tidak terjadi.

Seharusnya situasi yang digambarkan membawa kita merenung betapa pen­tingnya kembali kepada fitrah diri sesama Islam. Rukun Islam dan rukun iman yang kita amalkan adalah pedoman terbaik sekiranya kita memahami dan ikhlas me­lakukannya. Jendela Tok Ki Utusan/Rencana/20140730

Semangat silaturahim rumah terbuka

KONSEP rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya.

Meskipun demikian, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok.

Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak kerana perbezaan aliran.

Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa' (harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan itu dengan penuh kesabaran.

Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah; "Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahan suka-duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran atas suka-dukanya masyarakat itu."

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada seseorang yang berziarah ke tempat saudaranya kerana seagama dalam suatu desa, lalu Allah mengutus malaikat untuk mendatangi jalan yang dilalui. Setelah bertemu, lalu malaikat bertanya, ke mana saudara akan pergi? Jawabnya, hendak ke tempat saudara saya dalam desa ini. Malaikat bertanya, apakah kedatangan saudara itu kerana ada sesuatu kenikmatan yang akan saudara dapatkan? Jawabnya, tidak, saya datang semata-mata kerana saya mencintainya untuk mengharapkan keredaan Allah. Kemudian malaikat itu bertanya lagi: Ketahuilah sesungguhnya saya adalah utusan Allah (untuk menemui saudara dan untuk mengatakan) bahawa Allah mencintai saudara sebagaimana saudara mencintai orang itu. (Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad dari sahabat Abu Hurairah).

Saling memaafkan juga salah satu tanda ketakwaan seseorang yang telah dibina secara mantap selama sebulan penuh Ramadan kerana berpuasa itu bertujuan membina ketakwaan. Dan ciri-ciri orang bertakwa ialah suka memaafkan kesalahan orang lain. Meminta maaf kepada orang lain merupakan suatu kewajipan sebab kesalahan yang belum dimaafkan akan menjadi beban berat di akhirat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang berbuat zalim kepada orang lain, baik yang menyangkut kehormatannya atau orang yang berhubungan dengan miliknya, hendaknya ia segera meminta maaf sebelum datang masanya dirham tidak berguna lagi (yakini berupa hari kiamat). Sebab jika sampai tidak meminta maaf bila mempunyai amal soleh, maka dosa orang yang dizalimi itu akan dibebankan kepadanya sesuai dengan kezaliman yang dilakukannya. (Hadis Riwayat Bukhari).

Jika meminta maaf merupakan suatu kewajipan, maka memberi maaf atau memaafkan kesalahan orang lain merupakan tindakan yang sangat mulia. Kerana itu bukanlah memaafkan bila masih ada sisa bekas luka di hati atau dendam. Itu sebabnya, para pakar berpendapat bahawa seseorang yang meminta maaf dituntut untuk terlebih dahulu menyelesai perbuatannya, bertekad untuk tidak mengulangi serta memohon maaf sambil mengembalikan hak yang pernah diambilnya itu.

Hakikatnya konsep rumah terbuka di Aidilfitri dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan para tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Kerana mereka juga makhluk kejadian Allah yang berhak untuk menikmati kemudahan hidup. Inikan pula manusia sedangkan pada setiap daun kayu yang hidup itu pun ada pahala.

Sabda nabi yang bermaksud: "Pada setiap yang kehijauan (basah) ada pahala."

Di negara kita agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa di negara ini. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setiakawan, menyambut hari raya melalui rumah terbuka ini dapat menghapuskan rasa taksub yang melulu terhadap adat resam dan budaya sendiri sehingga membenci dan mengutuk budaya kaum lain.

Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia, memuliakan tamu mulai digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dalam keadaan sama, dari satu asal: Adam dan Hawa. Lalu Kami jadikan dengan keturunan, berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kalian saling mengenal dan saling menolong. Sesungguhnya orang yang paling mulia darjatnya di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Allah sungguh maha mengetahui segala sesuatu dan maha mengenal, yang tiada suatu rahsia pun tersembunyi bagi-Nya." (surah al-Hujurat ayat 13).

Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai etnosentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok.

Kita hendaklah menjalin silaturahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan.

Dalam kehidupan di dunia ini, ada dua unsur yang menentukan. Pertama, nilai-nilai kebaikan, yang pada umumnya menciptakan kebahagiaan, kenikmatan, kerukunan dan lain-lain hal yang bersifat positif. Kedua, nilai-nilai kejahatan yang boleh menimbulkan kerosakan, sengketa dan kehancuran.

Seseorang yang mengakui nilai-nilai kebaikan itu dengan hati nuraninya, tentulah akan berusaha sebaik mungkin menerapkan nilai-nilai itu dalam kehidupan.

Melalui silaturahim ini hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturahim dan tiada yang dapat mengubah takdir selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturahim. Di sinilah silaturahim perlu dibudayakan. Seiring dengan kemajuan teknologi silaturahim boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti melalui SMS, surat atau telefon.

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan/Rencana/20140801