August 6th, 2014

Rahsia merah jambu

Dari pandangan luar, Masjid Nasir al-Mulk yang terletak di Shiraz, Iran, adalah sama seperti bangunan masjid lain. Seni binanya menepati asas tradisional sesebuah masjid.

Begitu pun, masjid itu menyembunyikan rahsia tentang keindahan seni warna-warni yang mampu memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.

Tingkap kacanya yang berwarna-warni mampu menjadikan suasana dalaman masjid tersebut bermandikan dengan pelbagai warna yang menawan itu amat menakjubkan.


MASJID Nasr al-Mulk nampak seperti masjid biasa dari luaran tetapi keunikannya terletak pada bahagian dalam masjid.

Masjid itu turut dikenali sebagai Masjid Merah Jambu kerana penggunaan jubin merah jambu pada bahagian dalaman masjid yang terletak berhampiran dengan Masjid Shah Cheragh.

Seorang jurufoto Jepun yang hanya dikenali sebagai Koach begitu terpesona dengan suasana tersebut, khususnya di waktu pagi menjelaskan: “Anda hanya boleh melihat cahaya melalui kaca berwarna pada awal pagi. Ia dibina untuk menangkap cahaya matahari di waktu pagi dan jika anda melawat pada tengah hari, ia akan menjadi terlalu lewat untuk melihat keindahan itu. Pancaran cahaya matahari waktu pagi itu akan bersinar melalui kaca berwarna dan bila ia terjatuh pada permaidani tenunan Persian, seolah-olah anda berada di dunia lain."

Katanya lagi, walaupun anda seorang yang bukan alim, anda mungkin merasakan tangan anda datang secara bersama secara semula jadi ketika bersolat apabila melihat kilauan cahaya itu.

“Mungkin pembina masjid tersebut mahu menggambarkan ‘keimanan’ mereka melalui cahaya pagi yang bersinar melalui kaca berwarna itu." akui Koach.

Walaupun Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis (Palestin) dan Masjid Biru di Istanbul (Turki) turut menampilkan tingkap kaca yang berwarna, tetapi secara keseluruhan menjadikan mereka begitu unik dalam bidang seni bina masjid.

Masjid tersebut dibina semasa era Dinasti Qajar dan masjid yang masih digunakan sehingga kini itu, telah diletakkan di bawah perlindungan oleh Yayasan Wakaf Nasir al-Mulk.

Ia dibina oleh Mirza Hasan Ali Nasir al Molk, salah seorang daripada pemerintah Dinasti Qajar pada 1876 dan telah siap pada 1888. (Sumber: www.huffingtonpost.com)



HASHNAN ABDULLAH: Utusan/Bicara_Agama/20140805

Tajam bagaikan panah

DALAM kehidupan bermasyarakat, fitnah sukar untuk dihapuskan, tetapi ia boleh dielakkan dan dikurangkan. Melalui hati yang bersih dan akal yang waras seseorang itu boleh membuat pertimbangan tidak akan bercakap tentang orang lain dengan mengikut perasaan atau melepaskan dendam semata-mata untuk melemparkan fitnah kepada seseorang.


Oleh itu, benteng keimanan yang kukuh adalah perisai kepada fitnah yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam memfitnah orang lain dan dikenakan fitnah. Dalam era globalisasi peranan internet melalui media baharu seperti Facebook, Twitter dan pelbagai tulisan juga menyebabkan kita melakukan fitnah jika tidak berhati-hati.

Jika dahulu mulut menyampaikan fitnah, kini tangan dan hati turut sama memfitnah orang lain tanpa usul periksa. Fitnah yang merebak dalam kalangan umat Islam tentunya akan membawa kehancuran kepada perpaduan ummah. Fitnah berlaku apabila dijadikan senjata politik untuk menjatuhkan lawan yang berlainan fahaman politik.

Justeru, Nabi SAW bersabda: “Umatku itu dirahmati Allah dan tidak akan diseksa di akhirat, tetapi seksaan terhadap mereka di dunia berupa fitnah-fitnah, gempa bumi, peperangan dan musibah-musibah." (riwayat Abu Daud)

Begitulah dahsyatnya bahaya fitnah kepada umat Islam. Lantaran itu, fitnah diibaratkan bahayanya seperti seksaan gempa bumi dan peperangan serta musibah lain yang boleh menghancurkan perpaduan ummah.

Dalam keadaan ini, seseorang itu mesti mengelakkan fitnah melalui mulut iaitu percakapan dan kata-mengata serta melalui hati dan tangan melalui media baharu seperti fitnah di internet.

Peringatan Nabi SAW tentang hal ini: “Fitnah itu sedang tidur (reda) dan laknat Allah terhadap orang-orang yang membangkitkannya." (riwayat Ar Rafii’)

Melaknat

Ingatlah, Allah SWT akan melaknat orang-orang yang menyebarkan fitnah, menghidupkan fitnah dan juga membuat fitnah. Perbuatan ini mendapat balasan setimpal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Kita sering mendengar musibah dalam kehidupan bermasyarakat sering berlaku seperti kemalangan jalan raya, mati lemas di lautan, kebakaran dan juga banjir yang dahsyat. Begitulah juga diibaratkan fitnah seksanya sama dengan musibah-musibah ini.

Dalam sebuah hadis, “Rasulullah SAW melarang penjualan senjata di kala berjangkitnya fitnah." (riwayat Ath Thabrani)

Hal ini, dikhuatiri boleh menyebabkan akan berlaku pergaduhan dan pertumpahan darah apabila senjata dijual semasa berlakunya fitnah. Bayangkan perasaan orang yang difitnah akan merasa marah, dendam dan sebagainya. Tentunya, tanpa fikiran yang waras akan menyebabkan mereka membalas balik kepada orang yang memfitnah dirinya.

Peringatan ini juga telah dijelaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “Jangan mendekati fitnah jika sedang membara, dan jangan menghadapinya apabila sedang timbul, bersabarlah apabila fitnah datang menimpa." (riwayat Ath Thabrani)

Ingatan ini sangat penting kepada umat Islam bagi menghadapi fitnah. Iaitu, jangan mendekati fitnah, dan jangan menghadapinya dengan kemarahan tetapi bersabarlah sebagai ujian dan dugaan daripada Allah SWT.

Oleh itu, ketika berucap, berceramah dan menyampaikan cerita, kita umat Islam diminta meneliti dengan hati iaitu berhati-hati, berfikir dengan waras iaitu menapis apa yang disampaikan. Begitu juga, sebagai pendengar kita juga wajar berfikir sedalam-dalamnya tentang apa yang kita dengar bagi mengelakkan fitnah.

Ada pendapat mengatakan, fitnah ini laju dan tajamnya bagaikan panah. Apabila mengenai sasaran, satu sasaran. Tetapi apabila dicabut ia akan terkoyak disebabkan dua mata panah (cangkuk) di sebelah luar yang bisa dan terlalu menyakitkan. Fitnah yang paling bahaya adalah fitnah dalam kalangan ummah.

Begitulah, bahayanya fitnah jika dilakukan. Ia boleh menyakiti hati orang yang kena fitnah dan juga memalukan seseorang dalam kehidupan bermasyarakat dan menyebabkan dirinya dipandang serong dan dihina oleh masyarakat, walaupun perkara itu tidak benar.   DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan/Bicara_Agama/20140805

Perancangan Allah sangat sempurna

MUSIBAH memang menyakitkan. Namun di sebalik setiap musibah, terdapat hikmah yang sangat besar.

Abu Salamah dan Umi Salamah adalah pasangan yang sangat berbahagia. Kedua-duanya ialah sahabat Nabi SAW yang telah beriman sejak sebelum Hijrah. Mereka bahkan termasuk dalam kalangan yang paling awal memeluk Islam apabila seluruh ahli Mekah menolaknya.

Pahit getir menjaga akidah mereka lewati bersama. Pasangan ini sempat berpisah sekian lama apabila kaum musyrik menghalang Abu Salamah membawa anak isterinya berhijrah ke Madinah. Namun Allah SWT kemudian berkenan menyatukan kembali dua insan yang saling mencintai ini di Madinah. Walau hidup sederhana, namun anak-beranak ini merasakan kebahagiaan hakiki di bawah naungan Islam.

Suatu hari Umi Salamah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa musibah, lalu ia mengucapkan kata-kata yang Allah perintahkan iaitu: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, dan ia berdoa: ‘Ya Allah, berilah daku pahala atas musibah ini dan gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik’, melainkan Allah akan menggantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik untuknya."

Beberapa masa kemudian, tepatnya pada perang Uhud, Abu Salamah pulang ke rumah dengan luka-luka memenuhi tubuhnya. Lima bulan kemudian, beliau meninggal dunia.

Kejadian ini sungguh menyayat hati Umi Salamah. Beliau sangat sedih kerana kehilangan seorang suami yang sangat dicintai. Beliau teringat doa yang diajarkan Nabi SAW, lalu membacanya. Namun apabila tiba pada kalimat: “Gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik", timbul keraguan di hatinya.

“Tiada suami yang lebih baik daripada Abu Salamah," fikir Umi Salamah. “Beliau adalah suami yang begini dan begitu..." Umi Salamah terus mengenang semua kebaikan arwah suaminya ini.

Tidak lama setelah tempoh iddahnya berlalu, Rasulullah SAW datang meminang Umi Salamah. Baginda lebih baik berbanding Abu Salamah. Bahkan, baginda ialah makhluk Allah yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Kehadiran beliau merupakan perwujudan janji Allah untuk orang yang bersabar dalam menghadapi musibah.

Hikmah

Kisah yang diadaptasi daripada sebuah hadis Sahih Muslim ini memberikan energi murni bagi setiap orang yang tengah tertimpa musibah. Sama ada kerana berpisah dengan orang yang dikasihi, kehilangan harta benda, tertimpa kemalangan dan lain-lain.

Kisah ini mengajarkan bahawa terdapat hikmah di sebalik setiap musibah. Perancangan Allah SWT sangat sempurna dan selalu membawa kebaikan bagi hamba-hamba-Nya.

Andai Umi Salamah tidak pernah merasakan kepahitan musibah, beliau tidak akan mendapat kehormatan menjadi isteri Rasulullah SAW. Dan beliau tidak akan mendapat gelaran mulia “Ummul Mu’minin" (Ibu orang-orang beriman) yang kekal abadi hingga ke akhirat.

Sebagai Muslim, kita dituntut bersabar apabila menghadapi musibah. Yakinlah bahawa setiap musibah selalu diiringi rancangan Ilahi yang sangat baik untuk kita. Jika kita tidak menemuinya di dunia, kita pasti mendapatinya di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim tertimpa kesedihan, kekalutan dan kesakitan, walaupun sebuah duri yang menusuk kakinya, melainkan Allah akan menggugurkan untuknya sebahagian daripada dosa-dosanya. (riwayat al-Bukhari)

Allah lebih tahu

Seorang Muslim percaya bahawa Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan pemilik sifat-sifat sempurna lainnya. Kebijaksanaan Allah jauh lebih luas berbanding kebijaksanaan semua manusia.

Justeru, seorang Muslim mesti bertawakal kepada Allah. Ia mesti yakin bahawa setiap ketentuan Allah mestilah pilihan yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)

Lagi pula, sekuat apapun penolakan kita kepada takdir Allah SWT, musibah tersebut telah berlaku. Kemarahan dan kesedihan tidak dapat mengembalikan apa yang telah hilang. Malahan ia hanya akan membuat kita terhalang daripada rahmat Allah SWT. Justeru, sikap reda kepada takdir lebih menenangkan hati, sekali gus menjana cinta Ilahi.

Semoga Allah SWT membuka mata hati kita untuk melihat hikmah di sebalik setiap musibah yang berlaku dan memberi kita kekuatan iman untuk bersabar dalam menghadapinya. Amin ya rabbal ‘alamin. Utusan/Bicara_Agama/20140805

Fahaman murji’ah

MUURJI’AH berasal daripada kata Arab, iaitu arja’a, yarji’u, yang bererti “menunda atau menangguhkan". Erti lain ialah “memberikan harapan" kerana murji’ah dikenal sebagai aliran teknologi yang memberikan harapan besar kepada orang mukmin yang melakukan dosa besar untuk tetap dianggap sebagai seorang mukmin yang baik di sisi Allah SWT.

Murji’ah lahir sebagai satu aliran dalam ilmu kalam (teologi Islam). Pada awalnya, murji’ah merujuk kepada segolongan sahabat Nabi Muhammad SAW, seperti Abdullah bin Umar, Sa’ad bin Abi Waqqas dan Imran bin Husin yang tidak mahu melibatkan diri dalam pertentangan politik antara Uthman bin Affan (khalifah ke-3) dengan Ali bin Abu Talib (khalifah ke-4).

Pelaku dosa besar

Persoalan yang menggerakkan murji’ah untuk menjadi golongan teologi tersendiri ada kaitan dengan penilaian mereka terhadap pelaku dosa besar.

Menurut penganut fahaman murji’ah, manusia tidak berhak dan tidak berkuasa untuk menghakimi seseorang mukmin yang melakukan dosa besar, sama ada mereka akan masuk neraka atau masuk syurga.

Masalah ini diserahkan kepada keadilan Tuhan kelak, iaitu hingga tiba hari pembalasan.

Mukmin

Fahaman kaum murji’ah tentang dosa besar mempunyai kesan terhadap keimanan seseorang. Menurut golongan murji’ah, orang beriman yang melakukan dosa besar tetap disebut sebagai orang mukmin dan perbuatan itu tidak mempengaruhi keimanannya.

Alasannya, keimanan merupakan keyakinan hati seseorang dan tidak berkaitan dengan perkataan atau perbuatannya. Selagi orang itu masih beriman di dalam hatinya, walau apa pun perbuatan atau perkataannya, ia tetap disebut sebagai seorang mukmin, bukan kafir.

Perang Siffin

Perang saudara antara pasukan Ali dengan Muawiyah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam pada peringkat awal. Muncul pandangan yang berbeza tentang peperangan tersebut.

Dua pandangan yang melampau datang daripada kaum Khawarij dan Syiah. Menurut Khawarij, mereka yang terlibat dalam perang itu (Ali dan Muawiyah, juga Amr bin al-‘As dan Abu Musa al-Asy’ari) melakukan dosa besar yang menyebabkan mereka kafir atau keluar daripada Islam.

Oleh itu, mereka boleh terbunuh/dibunuh. Kaum Syiah berpandangan bahawa Ali benar dan Muawiyah sesat.

Selain kedua-dua pandangan yang melampau itu, muncullah fahaman Murji’ah. Mereka tidak berpihak kepada Ali atau Muawiyah dan tidak menilai keterlibatan mereka dalam peperangan itu tetapi menyerahkannya kepada Allah SWT untuk diadili di akhirat kelak.

Jahm bin Safwan

Sebahagian daripada kaum murji’ah berpandangan bahawa orang yang telah beriman, meskipun kemudian menyembah berhala, tetap tidak boleh disebut sebagai kafir.

Menurut mereka, iman terletak di hati dan tidak bertambah atau berkurang kerana perbuatan. Fahaman melampau ini hanya diikuti oleh sebahagian kaum murji’ah, sementara sebahagian yang lain berpegang pada pemikiran yang lebih sederhana.

Tokoh pelampau murji’ah antaranya termasuklah Jahm bin Safwan, Ubaid al-Maktaib dan Muhammad bin Karram. Para pengikut mereka disebut sebagai al-Jahmiah, al-Ubaidiyah dan al-Karamuyah.

Abu Yusuf

Golongan sederhana murji’ah berpandangan bahawa dosa besar seorang mukmin tidak menyebabkan orang itu kafir atau keluar daripada Islam. Namun, orang itu kelak akan menjalani hukuman atau seksaan neraka, sesuai dengan dosa mereka.

Nama seperti Abu Yusuf (731-798; ulama Hanafi), Hasan bin Muhammad bin Ali bin Abu Talib, malah Imam Abu Hanifah (699-767) disebut-sebut sebagai tokoh murji’ah sederhana. Utusan/Bicara_Agama/20140805

Bermuhasabah diri pasca Ramadan

RAMADAN baru sahaja meninggalkan kita. Kini Syawal telah menjelma. Kemeriahan Aidilfitri disambut bercampur-baur antara suka dan duka. Pelbagai kejadian menyayat hati yang menimpa umat Islam dalam bulan Ramadan sama ada di dalam negara mahupun di luar negara perlu diambil iktibar.

Mari kita bermuhasabah diri dengan melihat beberapa aspek kehidupan dan kaitannya dengan Ramadan yang berlalu.

Dalam bulan Ramadan kita melazimkan diri ke masjid untuk solat Isyak dan tarawih berjemaah, begitu juga dengan solat Subuh. Jika pada awal Ramadan, ada masjid yang jemaahnya melimpah, nak cari parkir kereta agak sukar kalau datang lewat. Namun, fasa hujung Ramadan biasanya tidak perlu susah hati untuk mencari parkir walaupun sampai ke masjid ketika azan Isyak berkumandang.

Agaknya, bagaimana pula setelah Syawal menjelma? Adakah kita hanya menjadi Hamba Allah pada bulan Ramadan ataupun sepanjang masa? Itupun belum mengambil kira tilawah atau tadarus al-Quran. Mampukah kita beristiqamah membaca al-Quran selain bulan Ramadan?

Bagaimana pula dengan tabiat pemakanan? Ramadan mengajar kita mengurus cara pemakanan dengan menentukan dua kali masa makan yang utama iaitu bersahur dan berbuka. Bersahur amat dituntut walaupun dengan segelas air dan sedikit makanan. Bahkan melewatkan bersahur adalah sunnah yang perlu diamalkan untuk memperoleh keberkatan. Bersahur boleh menggantikan sarapan pagi yang amat penting untuk diambil oleh setiap individu.

Makanan sebagai pembekal tenaga amat diperlukan untuk memulakan hari yang bakal dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kehidupan. Oleh itu, bersahur mendidik kita agar bangun awal pagi dan mengambil sarapan pada setiap hari di luar bulan Ramadan.

Berbuka pula dianjurkan agar bersegera dilakukan apabila masuk waktunya. Kita yakin bahawa umat Islam amat punctual atau menepati masa berbuka. Bagi yang berkemampuan mungkin sekali-sekala berbuka di tempat-tempat yang eksklusif dengan pelbagai jenis hidangan pilihan. Bagi yang hanya mampu berbuka di rumah sendiri, kepelbagaian hidangan tetap dapat dinikmati kerana bazar Ramadan di sana-sini menjual pelbagai jenis makanan.

Namun, roh puasa sebenarnya adalah untuk mendidik kita agar mengawal hawa nafsu khususnya makan dan seks.

Persoalannya, adakah cara pemakanan kita menyihatkan? Mengapa tidak meneruskan waktu pemakanan pada bulan puasa dengan menjadikan sarapan pagi dan makan malam sebagai waktu makan yang utama berbanding makan tengah hari?

Sebenarnya, jika pekerjaan seseorang tidak memerlukan aktiviti fizikal yang berat, kita tidak perlu mengambil hidangan yang berat pada waktu tengah hari. Tapi ramai yang menjadikan makan tengah hari sebagai waktu makan yang utama dengan hidangan berat setiap hari. Sedangkan, cukup dengan mengambil snek ringan atau buah-buahan untuk melapik perut pada waktu itu.

Lainlah kalau kita membanting tulang seperti golongan petani atau buruh yang menggunakan banyak tenaga untuk bekerja.

Ramadan juga mengajar kita menjaga tutur kata, mengawal pandangan mata, sabar dan simpati, pemurah serta bersederhana dalam kehidupan. Akhlak mulia ini bukanlah hanya diamalkan secara bermusim, tapi perlu diteruskan dalam bulan-bulan yang lain.

Sifat bersederhana (wasatiyyah) sebagai contoh, bukan hanya terbatas pada cara berbelanja yang ditampilkan melalui penampilan diri, tetapi kesederhanaan yang mencakupi seluruh aspek kehidupan (lifestyle).

Panduan sunnah menuntut agar umat Islam meletakkan sesuatu sesuai dengan tempatnya dalam apa sahaja yang kita lakukan.

Dalam konteks pemakanan sebagai contoh, makanlah secara bersederhana kerana ia boleh menjaga kesihatan diri dan mengelakkan masalah obesiti dan pelbagai penyakit yang semakin banyak melanda rakyat Malaysia mutakhir ini.

Bagi perokok pula, Ramadan mendidik mereka untuk mengurangkan tabiat negatif ini. Kalau di luar bulan Ramadan ada perokok tegar yang melakukan 'upacara membakar diri' sebanyak dua puluh kali sehari, namun 'upacara' tersebut berkurangan kepada empat atau lima kali sahaja jika mereka berpuasa.

Bayangkan jika sekotak rokok harganya RM10, ini bermakna perokok yang merokok sekotak sehari telah menghabiskan RM300 sebulan dan RM3,600 setahun. Kalau duit tersebut dikumpulkan untuk tempoh tiga tahun (RM10,800), sudah cukup untuk perbelanjaan minimum bersubsidi bagi menunaikan haji.

Oleh itu, kepada perokok sekalian tinggalkanlah tabiat negatif ini ataupun kurangkanlah secara beransur-ansur dengan harapan selepas Ramadan anda telah menjadi manusia baru yang lebih baik.

Sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh disentuh tentang tarbiah Ramadan untuk umat Islam. Namun, isu-isu yang disebut di atas adalah sebahagian isu biasa yang amat relevan dengan kehidupan kita.

Marilah kita mengambil kesempatan pada bulan Syawal yang mulia ini untuk mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh pelosok dunia. Semoga Allah merahmati kita semua.

Mohamad Rizal Mn ialah pensyarah Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak. Utusan/Rencana/20140806

Serangan ekonomi lemahkan Israel

SERUAN memboikot besar-besaran produk dan perkhidmatan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong aktiviti keganasan Zionis terhadap penduduk Palestin kembali berkumandang. Setiap kali Palestin diserang, setiap kali itulah seruan ini dibuat untuk melemahkan Israel.

Kalau diteliti secara mendalam, terdapat banyak barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang dikuasai oleh bangsa Yahudi. Daripada produk makanan, akhbar, hartanah sehinggalah kosmetik, hiburan dan teknologi termasuk media sosial dikuasai oleh bangsa Yahudi. Syarikat-syarikat ini bertaraf mega dan pemiliknya bukan setakat jutawan tetapi bilionair.

Tindakan ketenteraan dan politik tidak mampu menggugat kekuatan rejim Zionis. Lagipun, pada masa ini, tiada mana-mana negara di dunia terutamanya negara Islam sanggup mengambil tindakan ketenteraan ke atas Israel dan Zionis.

Negara-negara kuasa dunia selain AS juga tidak berani dan mempunyai sebarang kekuatan untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap rejim Zionis. Lantaran itu, serangan ekonomi disarankan bagi melemahkan rejim Zionis.

Bagaimanapun, menyerang ekonomi Israel bukanlah semudah disangka. Namun begitu, jelas kelihatan buat masa ini, kaedah inilah yang paling ampuh untuk menyerang kembali rejim Zionis.

Tambahan lagi, jumlah penduduk dunia yang beragama Islam sudah melebihi satu bilion orang. Ini bermaksud penganut agama Islam merupakan yang kedua teramai dalam kalangan penduduk dunia.

Sekiranya 10 peratus sahaja penduduk dunia yang beragama Islam memboikot produk Yahudi dan AS yang menyokong dan menaja kempen keganasan rejim Zionis, ini pun sudah mampu menggugat kekuatan kewangan syarikat-syarikat berkenaan. Sekali gus, memberi tekanan ke atas syarikat-syarikat ini daripada terus menyokong dan menaja rejim Zionis. Secara tidak langsung menjejaskan kekuatan ekonomi Israel dan tindakan ini dapat menekan rejim Zionis daripada terus mengambil tindakan yang tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin.

Tindakan memboikot perlu dilaksanakan secara sistematik, berterusan dan menyeluruh. Pada asalnya, tindakan ini merupakan tindak balas yang membuahkan hasil jangka masa pendek. Namun, kalau ia dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh, kesan yang lebih besar dalam tempoh jangka masa panjang akan lebih ketara.

Insya-Allah, tatkala itu, rejim Zionis tidak akan sewenang-wenangnya mengebom dan membunuh penduduk Palestin.

Kempen memboikot produk Israel dan AS yang menyokong aktiviti keganasan ini banyak dijalankan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO). Tidak dinafikan, ia serba sedikit memberi kesan ke atas syarikat-syarikat yang menyokong rejim Israel. Bagaimanapun, kita jangan sesekali terlepas pandang mana-mana syarikat tempatan yang mungkin berhasrat untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat Israel dan AS yang menyokong rejim Zionis. Dengan kata lain, tindakan boikot ini perlu diambil kepada syarikat-syarikat tempatan yang terbukti menjalankan urusniaga dengan syarikat Israel dan AS berkenaan.

Adalah lebih baik disarankan agar syarikat-syarikat tempatan juga mengikuti jejak NGO-NGO Islam untuk memboikot sebarang aktiviti perniagaan dengan syarikat Israel dan AS yang menyokong rejim Zionis. Dalam konteks ini, senarai penuh syarikat-syarikat Israel dan AS yang terbukti benar menyokong aktiviti keganasan rejim Zionis perlu dikeluarkan. Sebaik mungkin senarai ini dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Apabila menyebut pihak berkuasa, sudah tentulah ia merujuk kepada kerajaan itu sendiri. Dalam konteks ini, dengan adanya penglibatan pihak kerajaan, serangan ekonomi terhadap rejim Zionis akan dapat menghasilkan kesan yang lebih ampuh lagi dalam melemahkan aktiviti keganasan rejim Zionis.

Tindakan boikot secara rasmi yang diumumkan oleh kerajaan akan membuka mata penduduk Islam dalam menjalankan tanggungjawab memboikot produk dan perkhidmatan syarikat-syarikat Yahudi dan AS yang menyokong agenda keganasan rejim Zionis. Dengan kata lain, serangan ekonomi secara menyeluruh dan berimpak mega dapat dikenakan terhadap Israel.

Jadi, apabila kerajaan Malaysia sedang memperhalusi hubungan dagangan dengan syarikat multinasional yang mempunyai hubungan dengan Israel, ia merupakan satu pendekatan baharu dalam konteks untuk mengkaji dagangan dengan Israel.

Malaysia sememangnya tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, maka, hubungan dagangan dengan syarikat yang menyokong aktiviti keganasan dengan rejim Zionis juga perlu dikaji. Begitu juga, hubungan dagangan syarikat multinasional yang juga mempunyai hubungan dengan Israel perlu diambil kira.

Sememangnya tindakan ini bukanlah semudah yang disangka, jadi sebarang tindakan perlu berlandaskan fakta yang tepat agar tidak memberi kesan ke atas rakyat kita sendiri. Bagaimanapun, usaha terbaharu ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan membantu penduduk Palestin. Suara kerajaan ini juga akan memberi kekuatan dan semangat terhadap NGO-NGO Islam dan umat Islam. Sebab itulah peranan pihak kerajaan amat penting dalam membantu penduduk Palestin dengan cara menekan syarikat-syarikat yang menyokong rejim Zionis.

Lebih baik lagi, jika kerajaan Malaysia berbincang dengan negara-negara Islam lain melalui Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) memboikot secara rasmi dengan pendekatan sistematik, menyeluruh dan berterusan.

Malaysia masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan negara Islam bagi meneruskan agenda membantu penduduk Palestin. Suara dan tentangan yang lebih kuat dan berimpak besar perlu diketengahkan di peringkat antarabangsa dengan menggabungkan kerjasama negara-negara Islam, syarikat-syarikat Islam, NGO-NGO Islam dan umat Islam secara sistematik, menyeluruh dan berterusan.

Pendekatan secara kolektif ini pastinya akan menggerunkan rejim Zionis berbanding tindakan secara individu yang hasilnya tidak seberapa dan impaknya pula hanyalah bermusim.

Mudah-mudahan strategi ini, bakal melemahkan Israel dan rejim Zionis yang selama ini begitu angkuh menyerang penduduk Palestin.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia Utusan/Rencana/20140806

'Usah biar nafsu kuasai Syawal'

Rai kemenangan dengan tekad teruskan madrasah Ramadan

Ramadan ibarat ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa untuk menahan lapar, dahaga serta mengekang nafsu daripada merajai jiwa. Ibadah puasa dilakukan sama ada orang nampak atau tidak dan inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia serta sifat amanah.

Hampir sebulan mengikuti madrasah Ramadan, masyarakat Islam meraikan Aidilfitri. Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat kerana kemenangan di hari yang mulia ini.

Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa seperti anak yang baru dilahirkan. Namun, tidak kurang juga yang kecundang dan gagal mendapat ‘ijazah’ dari madrasah Ramadan ini.

Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada ‘fitrah’ kehidupan yang penuh dosa, memakan makanan yang tidak tentu halal haramnya dan menindas golongan yang lemah. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah SWT.

Pada hari kemenangan ini, jangan lupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya, patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan.

Mungkin ada yang masih di kampung lagi kerana cuti persekolahan yang panjang, ambillah kesempatan untuk mengeratkan silaturahim dan pulanglah nanti dengan suatu tekad untuk memperjuangkan agama Allah SWT ini.

Aidilfitri bukan upacara adat semata-mata tetapi ibadah berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah ibadah, amatlah molek jika hari besar ini dipenuhi dengan ibadah yang dituntut oleh Allah SWT.

Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berbual, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah dengan menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya tergelincir dari apa yang dianjurkan Islam yang menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan yang memerlukan. Pembaziran pula bukanlah suatu yang digalakkan oleh Islam, tetapi amalan syaitan.

Lazimnya, seperti tahun lalu, bulan Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, lama masa yang diluangkan. Bukanlah menyanggah amalan menganjurkan rumah terbuka, tetapi biarlah tindakan itu dibuat secara bersederhana dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan.

Gembira berhari raya, jangan lupa saudara kita yang dalam kesusahan seperti umat Islam di Gaza yang masih lagi dizalimi rejim zionis. Penderitaan mereka sepatutnya dirasai kita semua. Segala upaya patut digabung bagi menyelamatkan Baitulmaqdis daripada kawalan Yahudi.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengambil kesempatan mengucapkan ‘minal aidi wal faizin kullu aamin waantum bi khair’ kepada semua ahli PPMM, peguambela dan peguamcara, peguam syarie, penyokong perjuangan PPMM serta seluruh Muslimin dan Muslimat sekalian.

PPMM menyusun sepuluh jari mohon keampunan di sisi-Nya dan kemaafan terhadap segala tindak-tanduk kami atau kesilapan yang mungkin mengguris perasaan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada BH kerana menyediakan ruangan sebagai wadah PPMM menyebarluaskan maklumat.

Sebagai manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan dan kekurangan walaupun berusaha dengan cara yang terbaik berdasarkan Undang-undang Tubuh PPMM. Segala teguran dan nasihat amat dialu-alukan. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin dari PPMM. Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia 2014/08/06 - 07:58:06 AM

Jangan cemari kemeriahan Aidilfitri dengan maksiat

Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan telah meninggalkan kita yang kini berada di bawah naungan bulan Syawal sebagai bulan kemenangan serta kegembiraan. Mereka menzahirkan kemenangan ini setelah berpuasa penuh sebulan Ramadan dan merayakan Aidilfitri yang disyariatkan.

Kemenangan dan kegembiraan yang diraikan umat Islam pada 1 Syawal lebih kepada lambang kesyukuran ke hadrat Allah yang Maha Pemurah. Oleh sebab itu, perayaan menyambut kemenangan dan kegembiraan ini dilakukan dengan amalan takbir, tasbih dan tahmid memuji Allah beramai-ramai.


Semasa menyambut Aidilfitri, masyarakat Islam yang benar-benar menghayati roh Syawal pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan dengan amalan menziarahi sanak-saudara, kaum kerabat terdekat dan sahabat handai yang akrab untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Pada masa sama, kita sewajarnya sedar bahawa Islam menuntut umatnya bersederhana dalam semua aspek kehidupan, termasuk menyambut Aidilfitri. Islam tidak melarang umatnya bergembira, malah Islam menganjurkan setiap Muslim menzahirkan nikmat yang dikurniakan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya dan juga memakai wangian yang semerbak harumnya), dan makanlah dan minumlah serta jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Perlu disedari, pada hari lebaran yang mulia, masih ada insan tidak bernasib baik dan menderita kesusahan pada pagi Syawal, dihimpit kemiskinan, kelaparan serta ketiadaan tempat berteduh. Alangkah baiknya jika sebahagian nikmat yang diperoleh dapat dikongsi bersama insan bernasib malang itu.

Kemeriahan Syawal ini janganlah dicemari dengan perkara maksiat yang boleh membawa kemurkaan Ilahi. Jauhkan diri daripada sambutan perayaan yang mengandungi unsur maksiat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan serta hiburan keterlaluan yang melalaikan.
Kedatangan Syawal adalah isyarat yang jelas terhadap keimanan dan ketakwaan seseorang Muslim. Syawal dalam bahasa Arab membawa makna meningkat. Barangkali yang dimaksudkan Syawal itu adalah bulan peningkatan iman, takwa dan amal soleh setelah umat Islam menghadapi ujian puasa sebulan Ramadan.

Jika sepanjang Ramadan yang lalu, umat Islam begitu mudah bangun awal untuk bersahur, berpuasa, menunaikan solat subuh berjemaah di masjid dan di surau, sewajarnya di bulan Syawal dan bulan berikutnya turut menyaksikan istiqamah serta penerusan amalan soleh yang biasa dilakukan.

Jika bulan mulia Ramadan mempamerkan kerajinan umat Islam membaca dan mendalami al-Quran, malah begitu mudah untuk memberi sumbangan ikhlas, menjamu orang berbuka puasa, menderma kepada golongan fakir miskin, maka sudah seharusnya pada bulan Syawal dan bulan lain mereka terus melaksanakan amalan soleh itu dengan penuh keikhlasan mengharapkan keredaan Ilahi.

Jika tidak, bermakna apalah ertinya kuantiti besar amalan soleh yang dilakukan sepanjang Ramadan yang lalu. Begitulah manifestasi Syawal yang wajib difahami setiap Muslim supaya Ramadan yang baru berlalu tidak menjadi sia-sia. Berita Harian Agama 2014/08/06 - 07:56:59 AM Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Menyantuni ahli keluarga

INSTITUSI keluarga pada masa kini berdepan dengan pelbagai masalah dalam usaha pemupukan dan penyuburan ikatan sesama anggota keluarga. Hal ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor dalaman dan juga faktor luaran.

Kes perceraian dalam tempoh tiga tahun dikatakan serius. Kajian menunjukkan dalam tempoh tiga tahun pertama merupakan jangka masa paling ramai pasangan baharu berkahwin mengambil keputusan singkat untuk bercerai.

Dalam data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menunjukkan jumlah pasangan Islam yang mendaftar perceraian bawah usia perkahwinan tiga tahun pertama dari tahun 2003 hingga 2008 adalah 7,358 pasangan.

Sementara itu dalam kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-4 yang dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula menunjukkan 50 peratus perceraian berlaku ketika usia setahun hingga lima tahun.

Secara umumnya, institusi keluarga adalah unit kecil dalam pembentukan masyarakat dan pembinaan negara. Pembinaan institusi keluarga amat penting dalam mewujudkan rumah tangga yang harmoni. Pembinaan institusi keluarga yang bahagia dan harmoni perlu diberikan perhatian agar dapat melahirkan rakyat yang dapat menghadapi pelbagai cabaran.

Ada pendapat dan pandangan mengatakan keluarga adalah inti peradaban amat penting dalam usaha pembangunan ummah. Pembinaan keluarga yang bahagia mestilah berlandaskan syariat Islam. Oleh itu, pembinaan ke arah keutuhan negara mestilah terletak pada kualiti generasi muda pada masa kini.

Dalam hal ini Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi." (riwayat Abu ‘Asaakir)

Perpaduan yang wujud dalam keluarga akan mempengaruhi perpaduan dalam masyarakat. Begitu juga dengan perasaan kasih sayang, benci, kerjasama dan sebagainya. Pada asasnya semuanya bermula dalam keluarga dan kemudian menjalar dalam masyarakat akhirnya menjadi sikap dan amalan dalam masyarakat.

Kajian juga menunjukkan, keluarga merupakan sekolah pertama bagi anak-anak dan jalan ke arah pembinaan kesejahteraan dalam kehidupan. Dalam keluarga anak-anak mempelajari nilai-nilai yang baik seperti bekerjasama, bantu-membantu, saling memahami, kasih sayang dan kerajinan.

Sejak zaman berzaman, keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan keperibadian anak-anak termasuk yang berkait dengan pewarisan nilai dan adat resam masyarakat. Hal ini amat penting dilakukan dan dikekalkan walaupun dalam keadaan dunia moden.

Memetik pandangan Dr.Yusuf Al-Qardhawi yang berkata, asas pertama yang terbina atas masyarakat Islam ialah akidah, iaitu yang dimaksudkan di sini ialah akidah Islam. Tugas pertama masyarakat Islam ialah memelihara, menjaga dan menegakkan akidah Islam serta memancarkan cahayanya ke seluruh cakerawala.

Sama seperti masyarakat, keluarga juga boleh dilihat sebagai institusi sosial, politik, ekonomi, agama, budaya dan sebagainya. Sebagai institusi sosial, keluarga terbentuk daripada kumpulan individu yang hidup di bawah satu bumbung dan ada kepentingan bersama

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Barang siapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (berhubungan baik dengan keluarga dekat) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluaskan baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah memasukkannya ke dalam syurga yang dijanjikan-Nya." (riwayat Ar Rabii’)

Kekuatan ummah

Jelaslah keluarga memainkan peranan penting ke arah kekuatan ummah dan peradaban sesuatu bangsa pada masa depan. Hubungan baik ini penting ke arah membentuk keluarga dengan nilai-nilai murni bagi keluarga Islam.

Cabaran semasa dalam membentuk keluarga Islam berkualiti mestilah dilakukan oleh semua pihak sama ada suami, isteri, anak-anak dan kaum keluarga yang terdekat. Hidup berpasangan menjadi fitrah manusia. Melalui kehidupan ini akan membawa kesenangan, kemesraan , kasih sayang dan kebahagiaan. (rujuk ar-Rum: 21)

Beberapa langkah untuk memperkukuhkan institusi keluarga antaranya, anggota keluarga mestilah berusaha mengelakkan masalah dalam rumah tangga. Selain itu, meningkatkan kesedaran masyarakat daripada pengabaikan kana-kanak. Hal-hal yang berhubung dengan pengabaian anggota keluarga haruslah ditangani dengan segera.

Falsafah atau konsep rumah itu umpama syurga perlu difahami oleh semua ahli keluarga. Setiap daripada kita harus berusaha menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mewujudkan keluarga sejahtera pada setiap masa dan dilakukan secara berterusan.

Apabila anggota keluarga menghadapi tekanan, maka anggota yang lain membantunya menangani masalah itu.

Perubahan anjakan minda perlulah dilakukan oleh anggota keluarga demi kerukunan hidup dalam keluarga. Lakukan aktiviti secara bersama dan lapangkan masa untuk makan bersama. Ketua keluarga mestilah bertindak adil dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih.

Ibu bapa mestilah mengamalkan sikap adil, lemah lembut, kasih sayang, persamaan, musyawarah, berdisiplin, memudahkan setiap kerja dan mengarah ke masa depan demi kejayaan anak-anak dan ahli dalam keluarga.

Malah mereka juga mestilah memahami aspek pendidikan yang ditekankan di dalam al-Quran untuk ahli keluarga seperti pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal budi, jasmani, ketrampilan dan juga kemasyarakatan. Semua ini akan membentuk ke arah ummah gemilang.

Rumah tangga sakinah harus dibangunkan bersama dengan sikap saling membahu, ada saling pengertian, penghargaan, bantu-membantu dan pembangunan ini memerlukan pengorbanan perasaan, juga keserasian dan harmoni. DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.: Utusan/Bicara_Agama