August 7th, 2014

Dikhianati keluarga kandung

PUAS Salina mencari jawapan, di mana salahnya? Kenapa dalam lima adik-beradiknya, dia selalu dipinggirkan? Walhal, dia bukan seorang yang cacat. Dia dilahirkan sempurna sama seperti adik-beradiknya yang lain. Namun ‘kebencian’ ibu dan ayah terhadapnya, sukar untuk dia mengerti.

Jadi tidak hairanlah, jika Salina diserahkan kepada nenek dan datuknya sejak kecil lagi. Dia dibawa nun jauh ke Semenanjung, sedang keluarganya terpisah oleh Laut Cina Selatan. Salina dibesarkan oleh nenek dan datuknya sehingga dia kini telah berumah tangga.

Sangkaan Salina, apabila neneknya meninggal dunia, keluarganya akan mengambilnya kembali untuk duduk di bawah satu bumbung. Tetapi tidak. Dia dibiarkan disara oleh datuknya sendirian. Tinggallah Salina, anak gadis yang hanya menumpang manja dengan datuk.

Salina juga tidak faham, bukan sahaja ibu dan ayah ‘menolak’ kehadirannya, bahkan adik-beradiknya yang lain juga tidak pernah ambil kisah tentang dirinya. Pernah suatu ketika, Salina keputusan duit untuk menampung perbelanjaannya di kampus. Dia menelefon ibu dan ayah, untuk memasukkan sedikit wang, namun permintaannya tidak diendahkan.

Salina menelefon pula abang dan kakaknya namun begitu juga keadaannya. Akhirnya Salina merayu, kalau tidak pun masukkanlah RM10 untuk dia mengalas perut. Hampa!

Sedih. Tiada tempat lagi untuk Salina mengadu. Mengharapkan duit daripada datuknya? Tidak sekali. Apalah sangat yang boleh diberikan oleh orang tua yang banyak berjasa kepada dirinya itu. Akhirnya Salina dengan muka menahan malu, meminjam daripada kawan-kawan, sementara duit PTPTNnya dimasukkan ke dalam akaun.

Perit! Itulah yang Salina rasakan. Sudahlah bersendirian menguruskan keperluan diri, hatta ketika ditawarkan masuk ke institut pengajian tinggi pun, ibu dan ayahnya pun tak ambil kisah.

Kini tiba masa dia menerima ijazah. Ibu dan ayah dijemput datang untuk melihat hari yang cukup bahagia itu. Sekian lama Salina mengharapkan, ibu dan ayah akan berbangga dengan pencapaiannya kali ini. Itu sahaja cara untuk Salina menambat kasih dan sayang daripada insan yang bergelar ibu dan ayah. Namun sekali lagi Salina dikecewakan. Dia bersendirian merintih nasib diri. Sesekali dia cemburu apabila kawan-kawannya diapit oleh keluarga dan menerima kucupan tahniah. Tapi dia?

Pernah suatu ketika Salina bertanya kepada datuknya, kenapa dia diperlakukan sedemikian. Sudahlah makan minumnya langsung tidak diambil peduli, meraikan kejayaannya juga tidak mahu. Siapa sebenarnya dia dalam keluarga? Kenapa dia begitu disisihkan? Apa status dirinya sehingga dia dibuang begitu sekali dalam keluarga?

Persoalan demi persoalan dilontarkan. Namun tiada jawapan. Datuknya juga enggan berkata apa-apa. Mungkin kecewa dengan sikap anaknya yang sanggup menyisihkan darah daging sendiri. Walhal Salina seorang anak yang baik. Tiada cacat-celanya. Bahkan, sempurna kejadiannya. Kalau diikutkan, dalam adik-beradik, Salina lebih cantik daripada yang lain. Apakah ini yang membuatkan keluarga membuangnya?

Hidup Salina kosong. Sepi. Mengharapkan kasih daripada seorang ibu yang melahirkan, namun dia dibuang begitu sahaja. Mengharapkan perhatian daripada seorang ayah. Begitu juga, tidak langsung diambil peduli.

Salina akur dia kini bersendirian. Sakit pening, susah payah, suka duka akan dihadapi sendirian. Satu persoalan yang sering berlegar dalam benak fikirannya, kenapa ibu dan ayah membencinya?   Utusan/Bicara_Agama/20140806

Mulakan didikan sikap suka menabung dengan duit raya

RAYA bagi kebanyakan kanak-kanak adalah duit. Tidak hairanlah kebanyakan mereka sangat suka apabila tibanya hari raya kerana inilah masanya untuk berkunjung ke rumah orang (termasuk yang tidak dikenali) untuk mengumpul duit raya.

Jika tidak pergi bersama ibu bapa pun, mereka akan bergerak secara berkumpulan dari rumah ke rumah untuk mendapatkan duit raya.

Sesetengah kanak-kanak boleh mengumpul sampai RM500 setiap kali tibanya hari raya bergantung kepada kerajinan mereka menziarah satu kampung atau kawasan kejiranan. Jumlah kutipan ini bukan lagi sesuatu yang luar biasa kerana pemberian duit raya sudah menjadi amalan yang lazim dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak, datuk kepada cucu malah saudara-mara juga menghulurkan duit raya kepada anak-anak buah atau sesiapa yang ada talian saudara.

Sebenarnya berapa jumlah duit raya yang dikumpul oleh seseorang anak itu tidak begitu penting, apa yang penting adalah ke mana perginya duit raya yang diperoleh oleh mereka selepas itu? Adakah mereka menggunakannya sebaik mungkin, membelanjakannya untuk membeli alat permainan atau mungkin ibu bapa campur tangan dalam soal pengurusan duit raya anak-anak mereka.

Amat menyedihkan jika duit raya yang diperoleh itu dihabiskan dengan membeli mercun dan bunga api. Siang kumpul duit berjalan ke sana-sini, petang beli mercun dan bunga api, kemudian malamnya habis. Esok kumpul lagi dan begitulah seterusnya.

Amat malang juga jika duit raya dihabiskan dengan membeli telefon bimbit kerana kanak-kanak mudah terpengaruh dengan pelbagai jenama, bentuk dan perisian telefon bimbit pada masa ini. Tidak menghairankan kalau ada kanak-kanak seawal usia 12 tahun sudah memiliki telefon bimbit dan pandai pula menggunakannya.

Anak-anak yang pandai menggunakan duit raya dan mahu menunjukkan sedikit sikap berdikari akan membeli bahan-bahan keperluan yang berkaitan dengan alam persekolahan mereka. Mereka akan membeli buku latihan, alat-alat tulis dan sebagainya. Yang menggunakan basikal ke sekolah, mereka akan memperbaiki basikal mereka dengan duit raya. Malah, ada yang membeli basikal baharu kerana banyak mendapat duit raya.

Dalam soal duit raya, peranan ibu bapa cukup penting untuk menentukan ke mana perginya duit raya anak-anak mereka. Ibu bapa mesti mengambil tahu berapa jumlah duit raya yang diperoleh oleh anak-anak an apa yang dilakukan dengan duit raya itu.

Seelok-eloknya, anak-anak dididik agar menabung duit raya itu. Bayangkan, jika setiap tahun, sebahagian duit raya dapat disimpan, berapa banyak wang yang terkumpul sebelum mereka dewasa dan tidak lagi diberi duit raya. Dan, jika duit raya tidak digunakan langsung, berapa banyak yang terkumpul?

Anak-anak perlu dijelaskan tentang pentingnya berjimat-cermat dan menggunakan duit raya dengan cara yang betul.

Sesetengah ibu bapa yang mengambil berat akan membantu menyimpan duit raya anak-anak dan tidak dibiarkan duit itu lesai kesemuanya di tangan anak-anak mereka. Cara ini lebih praktikal kerana wang itu tidak akan habis begitu sahaja.

Apa-apa pun, anak-anak yang memahami kepentingan menabung akan berusaha sedaya-upaya menabung demi masa depan.

Kesimpulannya, amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak dan mereka yang layak diberikan duit raya mesti diteruskan. Amalan ini menggalakkan pula sikap suka menziarah yang perlu ditanam dalam jiwa anak-anak muda. Dengan cara inilah mereka akan dapat mengenali lebih dekat saudara-mara mereka di samping jiran tetangga. Cara ini juga memastikan amalan kunjung-mengunjung akan terus berkekalan sampai bila-bila pada musim perayaan.

Tidak kira berapa jumlah duit raya yang diberikan, ia adalah satu sedekah yang dituntut oleh agama. Ibu bapa juga mesti melatih anak-anak mereka agar bersalaman dan mengucapkan selamat hari raya, bermaaf-maafan dengan tuan rumah sebelum mendapat duit raya kerana cara ini lebih afdal. M JASNI MAJED: Utusan/Rencana/20140807

Bukti penghayatan nilai wasatiyyah

PERLEMBAGAAN Persekutuan yang digubal menjelang kemerdekaan Ta­nah Melayu jelas mengandungi nilai-nilai wasatiyyah iaitu berlaku adil kepada semua kaum, berimbang dan sederhana dalam amalan dan tindakan.


Perlembagaan ini yang diguna pakai sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini mengekalkan peruntukan penting se­perti kewarganegaraan, hak istimewa kaum Melayu dan bukan Melayu, agama dan bahasa, serta hak asasi manusia.

Persetujuan dan persefahaman antara kaum di Malaysia di bawah kontrak sosial diikat kuat dalam Perlembagaan Persekutuan. Kontrak sosial yang diterima pemimpin pelbagai kaum di Malaysia mengamalkan prinsip wasatiyyah yang mempunyai nilai kesederhanaan dan keseimbangan bagi membina perpaduan di kalangan masyarakat.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan diperkenalkan. Bagi menentukan hala tuju ummah dalam menghayati 1Malaysia, Perdana Menteri menyarankan pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan, berimbang, adil dan cemerlang.

Untuk mengetahui kejayaan penghayatan nilai-nilai wasatiyyah dalam pentadbiran Malaysia, beberapa kaedah penting dijadikan panduan dan rujukan antaranya Pia­gam Madinah, Maqasid al-syari'ah, siyasah, syar'iyyah, fiqh al-aulawiyyat dan hikmah. Dalam Piagam Madinah, terdapat nilai toleransi (al-samahah) Rasulullah SAW.

Begitu juga kepentingan maqasid al-syari'ah dalam pentadbiran untuk menentukan perkara daruriyyat, hajjiyyat dan tahsiniyyat atau kamaliyyat dalam urusan menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Manakala siyasah syar'iyyah, fiqh al-aulawiyyat dan hikmah juga pen­ting dalam pemerintahan dan pentadbiran untuk memberi kelulusan bagi menentukan sesuatu keputusan oleh pemerintah dan pentadbiran berdasarkan maslahah dan kepentingan awam.

Di Malaysia, agama Islam adalah agama Persekutuan, manakala penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing. Penerimaan agama seperti ini satu amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat menurut Piagam Madinah. Orang bukan Islam tidak terjejas kedudukan dan hak mereka sebagai rakyat Madinah. Dokumen ini merupakan bukti konkrit bagaimana orang Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dan setiap orang menikmati hak masing-masing.

Oleh itu nilai-nilai wasatiyyah tidak menghalang kerukunan hidup bersama orang Islam dengan orang bukan Islam kerana Islam dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk sesebuah negara. Malah konsep kongsi kuasa seperti diamalkan di Malaysia tidak bercanggah dengan nilai-nilai wasatiyyah Islam bahkan memberi impak yang cukup besar sehingga hampir tiada kekacauan dan konflik yang berlaku akibat salah faham agama.

Sebenarnya penghayatan nilai-nilai wasatiyyah dalam pentadbiran Malaysia bermula secara tidak langsung sejak sekian lama bertujuan menghayati perpaduan dan mewujudkan keharmonian.

Nilai kesederhanaan dalam politik Tanah Melayu menyaksikan hak kerakyatan yang asalnya milik mutlak orang Melayu turut diberi kepada kaum pendatang yang dibawa oleh penjajah British terdiri daripada orang Cina dan India yang bermastautin atau lahir di Tanah Melayu selepas merdeka. Dengan itu memberi kesan kepada pertambahan peratusan populasi bukan Melayu secara mendadak di sekitar 44% pada beberapa tahun pertama selepas merdeka.

Dasar kerakyatan ini menunjukkan de­ngan jelas penghayatan pemerintah dan masyarakat terhadap konsep kesederhanaan dalam politik dan pentadbiran dengan matlamat menjamin kestabilan dan keutuhan sebuah negara berbilang bangsa, agama dan budaya.

Menurut Dr. Chandra Muzaffar, bukti kukuh tentang prinsip wasatiyyah diamalkan dalam pentadbiran Malaysia boleh dirujuk dengan jelas melalui Perlembagaan Persekutuan, yang secara adil menyeimbangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa mengetepikan peranan agama lain; kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tanpa melupakan peranan bahasa lain; dan kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tanpa menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Keseimbangan ini juga boleh dilihat me­lalui aspek-aspek lain dalam Perlembagaan seperti hak asasi manusia yang diiringi ke­seimbangan dalam ketenteraman awam atau kekuasaan Kerajaan Persekutuan diimbangi oleh kekuasaan kerajaan negeri.

Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan hak mengendalikan hal-ehwal Islam diberikan kepada raja-raja dan kerajaan-kerajaan Negeri. Penglibatan raja-raja, kerajaan negeri dan Persekutuan dalam bidang ini bermula sebelum merdeka. Antara aktiviti dan program penting yang dijalankan termasuk mengadakan sistem sekolah agama, sistem undang-undang mahkamah syariah, pembinaan surau dan masjid, pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan baitulmal.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, aktiviti keagamaan dipertingkatkan termasuk mengadakan Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang telah mengharumkan nama negara di kalangan negara Islam.

Dalam dekad 70-an, kesedaran baru timbul di dunia Islam umumnya dan di Malaysia khususnya tentang kemurnian Islam dan peranan yang boleh dimainkan dalam pentadbiran negara. Kerajaan Malaysia terdorong untuk mengukuhkan program mengenai hal ehwal Islam. Justeru, usaha-usaha baru diambil antaranya menubuhkan sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, syarikat insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran diperkenalkan pada 1985, iaitu sebahagian usaha kerajaan untuk mema­sukkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Ianya juga bertujuan membimbing pembentukan akhlak yang baik dan positif dalam pentadbiran negara.

Nilai-nilai Islam yang dipilih untuk dijadikan asas dasar ini antaranya amanah, tanggungjawab; ikhlas; dedikasi; sederhana; tekun; bersih; berdisiplin; bekerjasama; berbudi mulia; dan bersyukur. 11 nilai ini dipilih kerana ia boleh diterima sebagai kunci kejayaan dalam menjalankan urusan kehidupan terutamanya dalam pentadbiran sesebuah negara.

Polisi yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 1985 itu bertujuan melahirkan penjawat awam yang mengha­yati nilai-nilai hidup berkualiti dan menjauhi sikap negatif yang menjejaskan mutu pentadbiran Malaysia.

Sebagai permulaan dasar ini ditumpukan kepada anggota perkhidmatan awam. Setelah berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, kerajaan sedar peri pentingnya perpaduan di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, lalu menjadikan Perpaduan Nasional sebagai matlamat utama Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1971.

Apabila DEB berakhir pada 1990, perpaduan yang diingini itu belum tercapai sepenuhnya. Justeru pada 1991, Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pada masa itu, memperkenalkan Wawasan 2020 yang berteraskan konsep bangsa Malaysia. Bagi memastikan lagi perpaduan dapat dicapai dengan jayanya, maka Najib pula memper­kenalkan konsep 1Malaysia.

Konsep 1 Malaysia baik dalam memupuk persaudaraan dan perpaduan penduduk Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya - dua unsur yang sangat penting bagi keutuhan negara.

Persaudaraan boleh diasaskan kepada dua konsep iaitu persaudaraan Islam dan persaudaraan kemanusiaan. Kedua-duanya boleh dilaksanakan di kalangan masyarakat di pejabat, tempat kerja, tempat belajar dan lain-lain.

Nilai wasatiyyah tidak mengajar orang ramai membenci sesama manusia, walaupun ada perbezaan akidah, fahaman dan anutan. Sikap menghina agama lain adalah ditegah walaupun umat Islam yakin kesahihan agamanya namun mereka tidak dibenarkan menghina agama lain.

Teguran dan nasihat yang konstruktif, selain perbezaan pendapat dalam pentadbiran dan politik diberi tumpuan utama demi maslahat kebaikan komuniti, masyarakat dan negara.

Ummah akan hancur jika persaudaraan dan perpaduan lebur. Dr. Abdullah Md. Zain: ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia.   Utusan/Rencana/20140807

Puasa sunat Syawal bantu sistem badan kembali normal

Bulan Syawal mengembalikan kita kepada ‘fitrah’ atau kebiasaan kehidupan pengambilan makanan dan juga amalan ibadah di luar Ramadan. Jadi, kesan ‘tarbiah’ di bulan Ramadan bukan hanya pada sudut roh akibat beribadah, fisiologi badan juga turut berubah sewaktu berpuasa.

Kembali kepada kebiasaan dalam keadaan yang tergesa-gesa tidaklah sesuai kepada sistem tubuh kita. Pastinya ada hikmah kenapa Islam sangat menggalakkan umatnya terus berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal bermula Syawal kedua.

Abu Ayyub al-Ansari meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Imam Muslim, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah)

Kesan puasa kepada berat badan

Menurut kajian sains, puasa Ramadan selama 30 hari boleh memberi kesan kepada berat badan dan beberapa parameter fisiologi darah termasuklah perubahan pada paras glukos, urea, kolesterol, trigliserides, LDL kolesterol, dan HDL kolesterol.

Bagaimanapun, tidak semua mereka yang berpuasa Ramadan boleh mendapat kesan baik pada penurunan parameter itu. Ada antara kita berat badannya bertambah sewaktu akhir bulan Ramadan disusuli dengan pengambilan makanan tanpa kawalan ketika berhari raya.

Ini memberi kesan agak buruk kepada sistem pencernaan badan yang telah ‘berehat’ pada siang hari selama sebulan dan terus didedahkan dengan pelbagai jenis makanan serta juadah sebaik sahaja tarikh hari raya diisytiharkan.

Ini juga bertepatan dengan beberapa kajian sains di mana ada kalangan individu tidak mendapat manfaat kesihatan selepas berpuasa. Tabiat pemakanan tidak terkawal berserta pelbagai menu hari raya, sedikit sebanyak mempengaruhi roh kita untuk terus konsisten melakukan ibadah seperti pada Ramadan. Itulah cabaran dan hikmahnya!

Kelebihan puasa sunat enam

Islam agama yang syumul mensunatkan enam hari berpuasa di bulan Syawal sebagai pelengkap kepada puasa sebulan Ramadan. Dengan puasa sunat itu dan dilakukan seawal yang mungkin memberi ruang masa yang cukup untuk sistem badan dan selnya kembali kepada ‘fitrah’.

Puasa ini boleh diamalkan secara berterusan atau diselangselikan. Ia memberi ruang masa untuk pelarasan progresif oleh sistem pencernaan secara semula jadi. Berpuasa enam Syawal juga memberi kebaikan detoksifikasi setelah kita mula mengambil makanan ketika berhari raya.

Oleh itu, ia harus diamalkan secepat mungkin. Kajian sains juga membuktikan dengan berpuasa secara berturut-turut dalam beberapa hari akan meningkatkan paras hormon tertentu dalam badan. Ini sangat baik kerana badan telah mula membuat pelarasan kepada perubahan puasa-raya-puasa.

Mereka yang berpuasa sunat enam Syawal akan berasa lebih mudah untuk mengekalkan momentum puasa dan berdepan tarikan luar untuk berhari raya dengan segala menu dan rumah terbuka. Semoga kita terus mendapat rahmat di bulan mulia ini sambil bermaafan sesama Muslim. Prof Dr Azizi Ayob ialah Setiausaha Agung, I-Medik (Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia)   Berita Harian Agama 2014/08/07 - 08:56:02 AM

Cabaran besar wanita bangunkan keluarga

Peranan sebagai pekerja, ibu, isteri tugas berat perlu sokongan suami

Menurut bancian tahun 2010, negara kita mempunyai 28.3 juta penduduk terdiri daripada 14.56 juta lelaki dan 13.77 juta wanita. Merujuk kepada jam populasi Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2014 kita sudah mencecah 30 juta penduduk dan jumlah wanita turut meningkat. Sedar atau tidak, wanita adalah jumlah yang ramai dan memainkan peranan penting dalam menjayakan kelestarian masyarakat. Ada ketikanya wanita memainkan peranan sebagai anak kepada ibu bapanya, isteri, ibu dan ahli masyarakat. Bagi yang bekerjaya, mereka memainkan peranan sebagai pekerja.

Tidak boleh ambil mudah peranan wanita

Dari sudut pandangan Islam, peranan wanita tidak boleh dipandang mudah. Beberapa kata-kata pujangga menyebut, “Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia”, menunjukkan kedudukan serta peranan besar yang dimainkan wanita dalam membangun keluarga serta masyarakat.

Masyarakat mempunyai wanita yang terdidik, beriman dan jelas peranannya adalah masyarakat yang berjaya. Atas dasar itu lahirnya kata-kata hikmah, “Apabila baik wanitanya, baiklah seluruh masyarakat, apabila rosak wanitanya, rosaklah seluruh masyarakat”.

Menjayakan peranan mereka, wanita wajar mengambil berat beberapa perkara penting khususnya menjadi hamba Allah dan khalifah-Nya. Ia mendesak wanita memahami dan meraikan peranan itu dengan mendalami ilmu akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya.

Meletakkan matlamat hidup untuk mendapat keredaan Allah SWT membantu wanita meletakkan kepentingan mengikut turutan yang betul. Sibuk manapun dengan tugas, mereka tidak meninggalkan solat, menjaga pergaulan serta batasan aurat.

Sebagai isteri, wanita adalah teman rapat, penyokong, penasihat, perawat, pengurus dan pembantu suami. Walau setinggi mana jawatan di tempat kerja, wanita sebagai isteri perlu menunjukkan rasa hormat kepada suami sebagai nakhoda keluarganya.

Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan di dunia adalah wanita yang solehah.”

Isteri yang solehah berperanan sebagai pembantu yang menyokong suami dalam semua perkara diharuskan oleh syarak. Kata pepatah, di sebalik setiap kejayaan lelaki tentu ada wanita di belakangnya.

Sebagai ibu wanita berperanan mengasuh, mendidik dan menanam nilai Islam serta nilai murni sejak anak masih kecil. Ibu yang beriman, bijak, cintakan agama dan mempunyai kesedaran keagamaan selalunya akan berusaha memberikan didikan sama kepada anak mereka.


Kepentingan peranan ibu

Kepentingan peranan ibu ditunjukkan oleh Rasulullah dalam sabdanya: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah (kesucian agama yang sesuai dengan naluri), sehingga lancar lidahnya, maka kedua orang tuanya yang menjadikan dia beragama Yahudi, Nasrani dan Majusi.” (Riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Wanita tidak boleh memencil diri dan sibuk menjaga ahli keluarganya sahaja. Mereka perlu terbabit dalam membangunkan masyarakat kerana kehidupan seseorang sebenarnya dipengaruhi oleh masyarakat dan persekitarannya.

Kita perlu mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh wanita bekerja. Dalam kajian dijalankan oleh beberapa pengkaji daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkenaan wanita bekerja, kira-kira 50 peratus daripada 500 responden yang ditemu bual mengakui sebagai isteri dan ibu yang bekerja, mereka menghadapi pelbagai cabaran besar.

Hampir 50 peratus mengakui mereka keluar awal pagi untuk ke tempat kerja dan menghabiskan purata masa antara lapan hingga 10 jam sehari sebelum kembali ke rumah lewat petang atau awal malam. Badan sudah terlalu penat, letih, lesu dan penuh ketegangan.

Antara cabaran dihadapi adalah mengurus anak di rumah terutama yang masih kecil dan bersekolah rendah, menyelia kerja rumah anak, menyelesaikan tugasan rumah tangga seperti menyediakan makan malam, membasuh serta menggosok baju.

Keadaan fizikal dan psikologi yang letih menyebabkan mereka tidak mampu memberi perhatian khusus dan penuh belaian untuk anak serta suami. Ini semua cabaran besar bagi wanita dalam membangunkan keluarganya.

Justeru, pertolongan suami adalah satu perkara besar dalam memastikan kebahagiaan keluarga berterusan dan meringankan beban isteri yang bekerja. Dr Nurhidayah Hashim adalah Prof Madya di Akademi Pengajian islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam Berita Harian Agama 2014/08/07 - 09:00:20