August 8th, 2014

Khutbah Jumaat: Ego orang berilmu hancurkan ummah

Berdendam, cakap ikut sedap mulut jejas silaturahim

Islam agama menganjurkan hubungan persaudaraan atau silaturahim yang baik sama ada terhadap keluarga, saudara dan tetangga. Mengeratkan silaturahim adalah tuntutan dan memutuskannya dianggap dosa besar.

Menghubungkan silaturahim bermaksud berbuat baik kepada keluarga dan tetangga dengan menyampaikan kebaikan, menjauhkan keburukan atau kezaliman, ziarah menziarahi, sering menanyakan keperluan, meraikan undangan dan saling menghormati dan berkongsi suka duka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Allah SWT telah menggandingkan perintah bertakwa kepada Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya dengan berbuat kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa, kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dan sebagainya.

Kewajipan tunai hak sesama makhluk

Perintah itu menjelaskan kewajipan menunaikan hak Allah dan kewajipan menunaikan hak sesama makhluk. Allah SWT juga menggambarkan penyebab atau perosak silaturahim itu disebabkan sikap ego, sombong, takbur dan membanggakan diri.

Ego adalah perosak silaturahim. Ia pastinya membawa kepada sikap mementingkan diri sendiri. Ego, sombong, takbur atau membanggakan diri adalah sifat mazmumah yang amat dibenci Allah SWT. Mereka yang ego akan menganggap dirinya lebih istimewa dan mulia seterusnya mementingkan diri sendiri.

Ingatlah, ego, sombong, takbur atau membanggakan diri adalah sifat iblis. Iblis telah menunjukkan keegoannya kepada Allah SWT, tatkala enggan sujud kepada Nabi Adam. Dia menganggap dirinya lebih hebat atau mulia kerana dijadikan daripada api berbanding Nabi Adam. Sikap ego Iblis ini akhirnya menyebabkan dia digolongkan sebagai kafir. Saat ini, apa yang merisaukan kita ialah sifat ego bukan hanya dimiliki oleh mereka yang jahil, kadangkala dimiliki juga oleh golongan berilmu. Bahayanya sifat ego kerana ia adalah kunci kepada segala sifat mazmumah.

Ia akan menyebabkan seorang individu itu selalu meninggikan suaranya tanpa sebab, mudah naik marah seterusnya melenting, suka bertikam lidah, merasakan pandangannya adalah yang terbaik, lalu tidak mahu menerima pandangan orang lain, sukar untuk meminta maaf apabila bersalah dan susah untuk memaafkan.

Keadaan akan menjadi lebih parah jika mereka yang ego ini mempengaruhi pula individu lain untuk menolak dan membenci mereka yang tidak sehaluan dengannya. Ringkasnya, inilah penyebab yang boleh memutuskan silaturahim sama ada dalam hubungan sesama keluarga, rakan dan tetangga.

Bayangkanlah, apakah yang akan berlaku kepada umat Islam keseluruhannya jika ramai dalam kalangan kita terdiri daripada manusia yang ego? Sanggup menyimpan dendam bertahun lamanya dan menutup sebarang pintu rundingan dan kemaafan.

Dalam Islam, terdapat beberapa ancaman terhadap mereka yang memutuskan hubungan silaturahim antaranya, orang yang memutuskan silaturahim tidak diterima amalannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Seluruh amal diperlihatkan pada hari Khamis dan Isnin maka pada hari itu Allah SWT memberikan keampunan kepada setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun kecuali seseorang yang bertengkar antara dia dan saudaranya. Maka dikatakan kepada malaikat: Biarkanlah kedua orang” (Riwayat Muslim)

Fasik jika putus silaturahim

Orang yang memutuskan silaturahim disifatkan al-Quran sebagai fasik, rugi dan sesat. Disandarkan kepada Saidina Ali, beliau menyatakan pemutus silaturahim itu disifatkan al-Quran dengan fasik, rugi dan sesat. Fasik ialah orang yang berperangai buruk, jahat, berdosa besar atau tidak mempedulikan perintah Allah.

Lawan bagi sifat ego ini ialah tawaduk atau merendahkan diri dan tidak angkuh. Ia penyelesaian terhadap permasalahan yang timbul melalui sifat ego kerana tawaduk berperanan melenyapkan sikap ego, berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri.

Orang yang tawaduk akan bersikap tenang, sederhana dan sungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan sombong. Orang yang tawaduk akan patuh dan taat menerima kebenaran daripada sesiapa pun dan tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi daripada orang lain.

Sesungguhnya Islam amat menganjurkan kita untuk bersifat tawaduk. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawaduk sehingga tiada yang bersikap bongkak terhadap orang lainnya dan tidak menganiaya orang lain.” (Riwayat Muslim)

Islam mewajibkan kita menjaga hubungan silaturahim sesama keluarga, rakan dan tetangga serta mengharamkan kita memutuskannya. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam mempraktikkan sifat tawaduk. Hasil kemuliaan akhlak, Baginda amat dicintai dan dihormati keluarga, kerabat, rakan, kenalan bahkan lawan.

Khutbah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Berita Harian Agama 2014/08/08 - 04:39:39 AM

Menceriakan golongan asnaf

AMBILLAH (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (at-Taubah: 103)

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Bukit Damansara mengadakan suatu majlis penyerahan zakat kepada golongan asnaf yang berlangsung di Madrasah Raudatun Muttaqin, Taman Dato’ Senu, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut telah menghimpunkan seramai 70 golongan asnaf yang terdiri daripada golongan miskin, fakir, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang menetap di sekitar taman perumahan itu, Sentul dan PPR Desa Rejang, Setapak.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian wang zakat oleh Pengerusi Perkim Cawangan Bukit Damansara, Abdul Hanif Harun kepada para penerima.

“Ia merupakan program tahunan dan pada tahun ini sebanyak RM7,000 wang zakat telah diagihkan kepada 70 penerima," jelasnya yang ditemui selepas majlis penyerahan tersebut.

Tambahnya, Perkim turut memperuntukkan penambahan RM7,000 kepada penerima bagi barangan makanan seperti beras, minyak, sardin, susu tin, kopi, teh, tepung, gula, dan lain-lain.

“Walaupun sumbangan tersebut kecil nilainya, tetapi diharap akan membawa keberkatan serta akan merapatkan ukhuwah sesama Islam serta mengukuhkan lagi tali persaudaraan," jelas Abdul Hanif yang juga merupakan Timbalan Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim.

Perkim sentiasa membuka ruang serta peluang kepada individu mahupun syarikat korporat untuk menyumbang tidak kira dalam apa jua bentuk, sama ada wang, makanan, pakaian atau barangan kepada mereka yang bergelar asnaf.

Abdul Hanif berharap individu atau pun syarikat korporat perlu mempergiatkan aktiviti-aktiviti kebajikan untuk disampaikan kepada golongan asnaf sebagai salah satu tanggungjawab sosial dan sebagai seorang Muslim.

Turut hadir ialah Pegawai Dakwah Perkim, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan dan Ahli Jawatankuasa Taman Sentul Raya, Buang Baba.   MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI Utusan/Bicara_Agama/20140807

Menghargai erti kemerdekaan

UMAT Islam masih lagi berada di bulan Syawal dan masih banyak lagi rumah-rumah terbuka yang akan diadakan sepanjang bulan ini. Tanpa kita sedar juga kita telah memasuki bulan Ogos untuk tahun ini. Ogos adalah bulan di mana negara merayakan ulang tahun kemerdekaan. Perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sesungguhnya telah membawa kepada perubahan negara daripada dijajah kepada pentadbiran sendiri.

Namun setelah 57 tahun mencapai kemerdekaan adakah rakyat negara ini telah mengisi kemerdekaan tersebut dengan sewajarnya? Dalam tempoh 57 tahun ini negara kita bebas daripada sebarang perbalahan besar antara kaum melainkan satu insiden pada 13 Mei 1969. Rekod Malaysia yang amat cemerlang ini merupakan manifestasi susun atur budaya dan kaum di Malaysia berada di jaluran yang betul.


Namun, kebelakangan ini saya melihat rakyat Malaysia sudah terlalu dibahagikan oleh segmen politik kepartian sehingga setiap kali isu berbangkit neraca politik kepartianlah yang akan dicanai ke sana ke mari. Parameter inilah sebenarnya yang telah memecahkan kesepakatan rakyat Malaysia kini. Fenomena ini harus ditangani dengan segera agar ia tidak menjadi barah yang sukar dikawal lagi nanti.

Kemerdekaan negara yang dikecapi melalui rundingan dengan pihak British dan persefahaman antara tiga kaum utama di dalam negara mestilah dihargai. Perjanjian yang disepakati tersebut janganlah dipecahkan. Kelak ia akan memakan diri.

Jati diri negara seperti yang diacu Perlembagaan Persekutuan disulami dengan prinsip-prinsip Rukun Negara juga perlu dipertahankan. Hanya dengan cara ini sahaja kita boleh menggarap suatu negara yang maju, berjaya dan mempunyai jati diri.

Walaupun negara ketika ini sedang diuji dengan pelbagai ujian seperti tragedi MH370 dan MH17, kawalan sempadan di Sabah bolos dang banyak lagi, inilah masanya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mengenepikan ideologi politik dan bersatu demi negara.

Jadikanlah tanggal 31 Ogos tahun ini sebagai tarikh untuk kita sama-sama menganjak minda kita untuk berubah mencorak Malaysia yang lebih maju dan saksama. Walaupun terdapat pelbagai usaha sesetengah golongan yang tidak senang dengan kesepakatan rakyat dan susun atur yang telah lama diamalkan ini, rakyat Malaysia arus perdana mestilah mengambil usaha bagi menolak pandangan picisan ini yang akan membawa kepada keruntuhan negara.

Sejarah negara telah terbukti menjadikan Malaysia sebuah negara dihormati dan mendapat pelbagai pujian luar. Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang aman dan maju serta menjadi contoh kepada umat Islam dari negara lain.

Piawaian tinggi Malaysia ini tidak akan dapat dikecapi tanpa formula kesepakatan dan keamanan di dalam negara. Mungkin formula ini yang ingin dirungkai oleh kalangan yang masih tidak berpuas hati dengan kejayaan Malaysia ini.   ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my Penuh: Utusan/Bicara_Agama/20140807

Usrah IM eratkan silaturahim

IMPAK yang dicetuskan oleh program Imam Muda (IM) di saluran Astro Oasis selama tiga musim bermula 2010 itu cukup signifikan kepada gerakan dakwah di negara ini.


Menariknya, dunia pendakwahan masa kini tidak hanya dikuasai oleh golongan tua tetapi turut diserikan dengan kehadiran ahli agama yang bertauliah daripada kalangan orang muda.

Mungkin masyarakat umum mahu melihat sesuatu yang baharu dalam gerakan dakwah. Bukan bermakna mereka menolak golongan konservatif tetapi mahukan suasana yang lebih segar agar tautan mereka kepada agama akan bertambah kuat lagi.

Sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad ) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun dan menegaskan tauhid lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi. Kami sekali-kali tidak akan menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui yang jauh daripada kebenaran. (al-Kahfi: 13-14)

Justeru, dalam keadaan sedemikian, mahu tidak mahu golongan muda itu perlu memastikan ilmu yang mereka ada perlu selari dengan peredaran zaman dan sesuai untuk semua golongan, lebih-lebih lagi golongan sebaya mereka.

Selaras dengan keperluan itu, salah seorang IM, Muhammad Ramadhan Subky memberitahu, atas keperluan itulah makan tercetusnya idea untuk mengadakan kumpulan usrah bagi semua peserta IM yang berminat.

“Kumpulan usrah itu bukan hanya sebagai sesi tambah ilmu agama dan isu semasa tetapi juga untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama kami.

“Bagi sesi tambah ilmu pula, kami dibimbing oleh Syed Abdul Kadir AlJoofre yang bertindak sebagai naqib," kata IM musim ketiga itu ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Jelas Muhammad Ramadhan lagi, idea usrah itu tercetus sebaik tamatnya Program Imam Muda musim pertama pada 2010 dan alhamdulillah usaha baik tersebut masih berterusan sehingga ke hari ini.

Walaupun, tambahnya, agak sukar untuk mengumpulkan kesemua ahli IM dalam satu-satu masa disebabkan pelbagai kekangan tetapi idea itu sekurang-kurangnya dapat mengeratkan ikatan silaturahim.

“Peluang itu kami gunakan untuk bertukar pendapat dan pandangan tentang isu semasa, termasuklah hal ehwal dakwah dan pemasalahan yang berkaitan.

“Kebiasaannya, kami akan memulakan usrah kami dengan kitab sirah Nabawiyyah yang menceritakan kisah dakwah di zaman Rasulullah SAW sebelum berkongsi topik isu dakwah di Malaysia dan yang terbaharu, kami telah bersama-sama berdakwah di sekitar Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam masa yang sama, Muhammad Ramadhan turut mengakui ada dalam kalangan IM yang jarang menerima jemputan ceramah yang mungkin disebabkan kesibukan dengan kerjaya, keluarga dan lain-lain.

Begitu pun melalui aktiviti usrah seperti itu, kekangan tersebut dapat diatasi dengan ahli IM yang mempunyai kelapangan kerana ia sejajar dengan matlamat kewujudan kumpulan usrah itu untuk menyebarluaskan lagi ajaran agama Islam.

“Kadang-kala, ada di antara IM yang dijemput tidak dapat hadir, maka akan dikongsikan bersama IM lain untuk menggantikannya," katanya.

Walau bagaimanapun, Muhammad Ramadhan tidak menyembunyikan hasrat kumpulan usrah itu untuk menjadi salah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang mampu menyuarakan pendapat tentang isu-isu berkaitan keagamaan.

Hasrat sedemikian bukan untuk bersaing dengan NGO Islam yang sedia ada tetapi bagi memastikan ajaran dan nilai-nilai dalam Islam difahami dan dihayati oleh setiap umat Islam di negara ini.

“Kami juga ada mengumpulkan dana bagi melaksanakan program untuk mengimarahkan masjid dan kami ingin sentiasa berkongsi dengan mana-mana pihak yang ingin menyumbang serta memanjangkan amal jariah," katanya. HASHNAN ABDULLAH : Utusan/Bicara_Agama/20140807

Raya tiga pendakwah

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tanpa rumah terbuka bagai tidak lengkap. Ia sudah menjadi satu tradisi penting serta dianggap satu usaha dalam merapatkan hubungan silaturahim antara saudara mara, rakan, ahli keluarga dan jiran tetangga.

Budaya inilah yang memberi peluang kepada golongan muda dan tua berkenalan di antara satu sama lain. Kalau di kampung pula, ia memberi ruang untuk bertemu sanak saudara jauh dan dekat atau rakan yang mungkin sudah lama tidak berjumpa.

Begitu pun, bagi golongan selebriti pendakwah mungkin ada sedikit kelainan apabila mereka mengadakan rumah terbuka. Selain melayan saudara mara, mereka juga perlu melayan kunjungan para peminat yang bilangannya sudah pasti sukar dijangkakan.

Kunjungan peminat pastinya bukan tertumpu soal juadah yang dihidangkan tuan rumah tetapi apa yang menjadi matlamat dan harapan mereka adalah untuk mengambil kesempatan mengenali dengan lebih rapat, berselfie serta mendapat tanda tangan idola mereka itu.

Bersedia diserbu tetamu

Seorang lagi selebriti pendakwah, Isfadiah Mohd. Dasuki mengakui kemunculannya dalam program agama di televisyen telah memberi kelainan ketara dalam sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun ini.

Apa tidaknya, akui bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau sudah menjangkakan lebih ramai peminat dan saudara mara mengunjungi rumahnya sempena sambutan lebaran.

Namun, katanya, pengalaman sebagai pengetua di salah sebuah asrama di institusi pengajian tinggi awam itu sebelum ini, sedikit sebanyak telah membantu beliau sekeluarga untuk melayan kunjungan para peminat dengan sebaik mungkin.

“Saya terima dengan positif kerana ia adalah kesempatan untuk menjalinkan ikatan ukhuwah dan saudara seagama dengan kita dan tambahan pula, Islam tidak pernah mengehadkan ikatan itu untuk darah daging sendiri sahaja," katanya selepas selesai rakaman, baru-baru ini.

Penampilan Isfadiah di TV Al-Hijrah dalam beberapa program televisyen, antaranya program Assalamualaikum (setiap hari Khamis pukul 8 -10 pagi), Cinta Ilmu - Fiqh Wanita dan panel juri program realiti TV Solehah, telah menjadikan kelibatnya sentiasa dicari-cari peminat.

Malah beliau turut muncul dalam rancangan Tanyalah Ustazah (TV9), Fiqh Wanita dan Bismillah (TV3) serta Musykil Muslimah, Salam Muslim dan Himpunan Murabbi di saluran Astro Oasis.

Dalam pada itu, Isfadiah berkata, kemunculannya dalam program televisyen berkenaan telah memberikan kesempatan untuk menambah bilangan rumah yang perlu dikunjungi sepanjang perayaan Aidilfitri kali ini.

Beliau tidak menafikan pertambahan jumlah rumah itu akan menyebabkan tempoh masa kunjungan itu berkurangan tetapi ia penting demi ikatan ukhuwah yang dianjurkan oleh Islam sendiri.

“Kalau sebelum ini, tempoh masa kunjungan setiap rumah lebih kurang 30 minit tetapi mulai tahun lepas, ia terpaksa dikurangkan kepada 10 minit untuk memberi kesempatan untuk berada di rumah-rumah lain.

“Walaupun tempoh masanya pendek tetapi bilangan rumah telah bertambah daripada enam buah kepada 10 buah rumah dalam tempoh sehari," katanya.

Sudah biasa beraya bersama masyarakat

Bagi Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, beliau mempunyai kisah yang berlainan.

Ahli Dewan Negara itu menganggap serbuan peminat ke majlis rumah terbuka bukanlah sesuatu yang baharu dalam hidupnya kerana beliau dibesarkan dalam suasana ayahnya, Datuk Dusuki Ahmad sebagai wakil rakyat (Parlimen Tumpat, Kelantan - 1982-1990).

Tambahan pula, didikan ayah beliau sendiri bahawa kehidupan kita tidak seharusnya ditumpukan sepenuhnya untuk keluarga tetapi juga untuk rakyat.

Begitu pun, apa yang lebih penting, beliau menegaskan adalah penerimaan isterinya, Prof. Madya Datin Dr. Irwani Abdullah dan lima orang anaknya berhubung kesibukannya itu.

“Sejak kecil lagi saya telah dididik oleh keluarga agar sentiasa berjasa kepada masyarakat serta ummah dan bukan untuk diri sendiri sahaja.

“Sebab itulah, acapkali tibanya Syawal, memandangkan ayah seorang wakil rakyat, jadi saya sudah terbiasa dengan pemandangan ayah yang sering dikunjungi orang ramai. Malah masanya memang banyak dihabiskan dengan masyarakat berbanding keluarga sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menyentuh sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini, menurut Dr. Asyraf Wajdi, belia akan memastikan bahawa hari raya pertama adalah dikhususkan kepada ahli keluarga dan saudara mara yang terdekat ,manakala pada hari raya kedua pula diperuntukkan untuk rakan, jiran dan juga peminatnya.

Walaupun suasana rumah terbuka sedemikian bukanlah sesuatu baharu tetapi sambutan hari raya tahun ini akui beliau mempunyai sedikit kelainan memandangkan beliau kini turut dilantik sebagai Senator dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Malah, jawatannya sebagai YDP Yadim turut mempopularkan nama beliau di peringkat akar umbi berikutan kekerapan jemputan ceramah agama yang diterimanya sejak akhir-akhir ini.

“Biasanya pada hari raya kedua, saya akan ke rumah mertua di Kota Bharu, Kelantan tetapi kali ini dibuka untuk peminat, sahabat dan rakan taulan dan sudah dijangkakan jumlah pengunjungnya lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Sedia dewan khas

Hal ini diakui sendiri oleh penceramah bebas yang popular dengan program Kalau Dah Jodoh di Astro Oasis, Mohammad Kazim Elias atau Ustaz Kazim Elias.

Beliau yang merupakan pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh, Perak itu turut menyifatkan suasana tersebut sudah menjadi lumrah bagi golongan pendakwah popular sepertinya.

“Semenjak saya menyertai Astro, khususnya melalui program Kalau Dah Jodoh, kehidupan saya tidak seperti sebelum ini. Kalau dahulu saya sering ditemani keluarga tetapi semenjak beberapa tahun lalu, mereka tidak kisah jika tidak mengikut saya berceramah kerana tidak mahu menjadi tumpuan orang.

“Tetapi ia adalah lumrah. Malah, di sebelah keluarga mertua, mereka telah menyediakan satu dewan khas bagai memudahkan saya meraikan para peminat. Kalau sebelum ini, ia dibuat di rumah tetapi memandangkan jumlah peminat yang semakin bertambah setiap tahun, maka telah disediakan satu dewan khas agar semua selesa," kata Ustaz Kazim ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, bagi sambutan hari raya di rumahnya di Ipoh, kata Ustaz Kazim kebiasaannya majlis tersebut dibuat di Pusat Pendidikan Al-Barakah kerana di situ ruangannya lebih besar berbanding di rumahnya. Ia juga sekali gus memberi peluang kepada orang luar melihat sendiri apa yang diusahakan di pusat tersebut.

“Selalunya mereka (peminat) datang bersembahyang solat sunat hari raya di sekolah itu dan pada masa sama, saya turut mengadakan rumah terbuka di lokasi sama.

Ditanya mengenai persiapan menyambut Syawal tahun ini, menyedari jadual ceramahnya yang terlalu ketat menyebabkan urusan tersebut diserahkan kepada isteri.

“Saya memang tidak sempat membuat apa-apa persiapan. Kalau dahulu ada juga berhasrat untuk berhenti demi memberi tumpuan kepada keluarga dan pusat pendidikan. Namun saya masih tidak boleh menolak undangan untuk majlis rasmi, jadi hasrat tersebut terpaksa dipendamkan dahulu," katanya.

Bagaimanapun, dalam kesibukannya berceramah, akui Ustaz Kazim ada hikmah di sebaliknya iaitu banyak urusannya dipermudahkan Allah SWT.

“Saya banyak mendapat barang percuma. Baju dan seluar yang saya pakai ini pun adalah atas pemberian orang. Malah apabila makan pun, ada orang yang saya tak kenal tolong membayarkan," katanya sempat berseloroh. HASHNAN ABDULLAH Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN, NASIRUDDIN YAZID dan WAHID Utusan/Bicara_Agama/20140807

Masa perkasakan diri dengan kebijaksanaan

PELBAGAI kegawatan yang berlaku dalam masyarakat dan dunia hari ini memerlukan kita memuhasabah diri dan menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan, kearifan, keberadaban dan keikhlasan terutamanya dalam menangani pelbagai isu berkaitan kelangsungan dan kelestarian ummah.


Menggunakan emosi melulu, kemarahan yang keterlaluan dan tindakan-tindakan yang boleh menimbulkan masalah kepada diri dan negara pada masa hadapan akan hanya menyebabkan kita tersalah langkah dan mudah pula dijadikan bahan untuk menghancurkan kita.

Kita perlu bersikap realistik dan mempunyai strategi yang berkesan dalam menghadapi setiap cabaran sekarang ini.

Kita juga perlu istiqamah dalam tindakan dan tidak hangat-hangat tahi ayam dengan hanya melayan nafsu amarah tanpa ada tindakan-tindakan susulan dan memastikannya berterusan.

Yang paling utama, usaha membangunkan kekuatan diri bermula dengan pemerkasaan jati diri. Ia harus bermula dengan kekuatan ilmu yang ditunjangi pula oleh tindakan yang memberikan impak besar kepada pembangunan sosioekonomi.

Jika tidak, kita hanya akan ditertawakan. Sama ada suka atau tidak, kita perlu belajar daripada sejarah serta melihat setiap kejadian yang berlaku di sekeliling sebagai iktibar tentang pentingnya kita menggunakan kebijaksanaan, kearifan dan keberadaban dalam setiap tindakan yang dilakukan.

Ini termasuklah kebijaksaan dalam berfikir dan melontarkan hujah untuk berdakwah. Kadang-kadang disebabkan emosi yang meluap-luap, kita lupa yang hujah kita akan memakan diri dan digunakan untuk merosakkan kita semula.

Kita lupa ajaran agama yang meminta kita membangun sesuatu dengan kasih sayang tanpa mengeji orang lain dan penuh hemah. Kita juga lupa ajaran Rasulullah SAW agar menjadi contoh tauladan untuk diikuti orang lain.

Kita juga sering diperingatkan terhadap ajaran al-Quran agar sentiasa berpegang kepada tali silaturrahim dan jangan berpecah-belah. Namun kerap kali apa yang kita cakap dan apa yang kita buat tidak selari.

Agama mengajar kita untuk menolak sesuatu yang boleh menimbulkan kemudaratan. Amalan-amalan yang boleh merosakkan dan mengganggu orang lain dan masyarakat terbanyak harus dielakkan dan matlamat tidak seharusnya menghalalkan cara.

Walaupun Rukun Negara mendidik kita agar sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan yang sebenarnya menggambarkan sisi bijaksana pemimpin terdahulu bertunjang agama yang mendidik kita agar memelihara adab dan tatasusila dalam apa jua yang dilakukan, kita lupa.

Apa yang berlaku di serata dunia Islam termasuk di Gaza menunjukkan betapa pentingnya kita bermuhasabah dan sentiasa berpegang kepada kebijaksanaan ini. Bertindak membuta-tuli hanya membuka ruang untuk orang lain menggunakannya sebagai senjata merosakkan kita seluruhnya.

Yang paling penting, kita perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa dalam masa kita membenci kuasa-kuasa besar yang mendokong rejim Zionis Israel, kita sendiri sebenarnya banyak bergantung kepada mereka. Tidak pernah berkurang apatah lagi sebahagian besar 'kiblat' dan kepercayaan dalam pelbagai institusi adalah kepada Barat.

Ini juga mungkin jawapan kepada sikap membisu pelbagai pihak terhadap isu Palestin.

Benarlah agaknya kata-kata juruanalisis polisi luar Jerman, Josef Joffee dalam jurnal The National Interest; "Satu alasan kenapa tidak ada satu kesatuan yang menggugat Amerika ialah tarikannya: budaya, universiti, pawagam, makanan dan teknologinya sangat kuat sehingga tidak ada satu kuasa pun di dunia ini yang mampu mengimbanginya." (Rencana They Hate Us! They Need Us oleh wartawan terkemuka Thomas Friedman pada 2001).

Inilah hakikat pedih yang harus kita terima dengan dominasi pemikiran dan kehidupan yang sebenarnya tersimpul kuat dalam sanubari pelbagai pihak terutamanya hasil didikan yang diterima betapa amat sukar untuk menolak tanggapan bahawa apa sahaja yang dihasilkan di sana adalah yang terbaik.

Hakikatnya sebahagian besar daripada kita tetap menjadikan Amerika sebagai tanda aras dan rujukan utama dalam menilai kejayaan!

Kebijaksanaan dan kearifan inilah yang harus kita lihat sedalam-dalamnya, memperkukuh, memperkasakannya dan berusaha agar kita kembali kepada kekuatan dalaman sendiri dengan berlandaskan agama dan kasih sayang dalam perspektif jati diri sendiri.

Dalam bulan kemerdekaan negara, inilah yang perlu kita fikirkan dan nilai bersama tatkala menghadapi segala ancaman dari dalam dan luar apatah lagi dengan segala sokongan yang kita bangunkan atas nama kemanusiaan untuk Gaza.

Kita perlu terus belajar dan membangunkan kekuatan sendiri kerana jika tidak, kita hanya menjadi anjing yang menyalak bukit, sedangkan bukti tidak beranjak seinci pun. MOHAMAD ABDULLAH ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).   Utusan/Rencana/20140808

Syawal penguji iman Ramadan

RAMADAN yang berlalu 12 hari lalu, pastinya ditangisi oleh golongan yang beriman kerana di dalamnya terkandung begitu banyak kelebihan. Beruntunglah bagi mereka yang berjaya memenuhi Ramadan dengan pelbagai ibadat. Berpuasa pada siang hari dan bertadarus al-Quran serta solat sunat Tarawih berjemaah pada malamnya.

Mudah-mudahan golongan begini beroleh pengampunan Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Muttafaq 'alaih)

Alhamdulillah berkat keamanan yang dikecapi, kita di Malaysia menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh gembira bersama ibu bapa, keluarga dan sanak saudara tercinta. Di ibu negara, berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan pada hujung minggu kerana ramai yang menyambung silaturahim selain memenuhi undangan majlis rumah terbuka.

ADA juga yang mengambil kesempatan beramal mengutip dana untuk Tabung Palestin semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri
seperti yang dilakukan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun bersama
penduduk kawasannya di Parlimen Beaufort, Sabah. - BERNAMA

Amalan kunjung-mengunjung itu memang digalakkan oleh Islam. Cuma beberapa perkara perlu diberi perhatian. Jangan kerana mempertahankan amalan sunat, amal ibadat yang wajib dikorbankan. Ini penting kerana kita baru sahaja melepasi tarbiah Ramadan di mana hasil yang sepatutnya kita capai adalah takwa. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (al-Baqarah:183)

Malangnya, senario yang biasa kita lihat semasa menghadiri rumah terbuka sepanjang Syawal tidak menyumbang kepada peningkatan takwa. Laungan azan terutama waktu Zuhur dan Asar tidak lagi mampu menarik perhatian kita melangkah ke masjid atau surau sebagaimana bulan Ramadan. Lebih teruk lagi, ada tuan rumah yang meninggalkan solat fardu dek sibuk melayan tetamu.

Ramai dalam kalangan kita juga yang 'tewas' dengan pelbagai hidangan dan program hiburan yang disiarkan menerusi kaca televisyen (TV). Malah, ada yang tidak mahu meninggalkan rumah atau membatalkan program berziarah semata-mata mahu menonton filem atau rancangan TV.

Masjid dan surau tidak lagi seceria Ramadan di mana ia dipenuhi dengan umat Islam yang menunaikan solat berjemaah setiap waktu. Tok Siak yang dulunya sibuk menghampar tikar di pekarangan masjid dan memasang tirai di ruang solat wanita setiap kali solat tarawih kini hanya melipat beberapa sejadah yang berselerak selepas dijadikan permainan oleh kanak-kanak.

Waktu Maghrib pun tidak lagi dipedulikan. Sebab itu kelihatan orang Islam di padang bola atau masih berekreasi walaupun sudah senja.

Kalau semasa Ramadan waktu-waktu begini kita menghadap juadah berbuka, sekurang-kurangnya selepas bulan puasa, ibu bapa hendaklah memastikan anak masing-masing sudah berada di rumah jika tidak pun ke masjid dan surau.

Rumah terbuka juga sering dijadikan lesen untuk 'menghalalkan' pergaulan bebas. Ada ibu bapa yang tidak pedulikan batas-batas pergaulan ini atas alasan hari raya. Menjamu orang makan itu diberi pahala tetapi bebas bersalam lelaki dan perempuan yang bukan mahram kononnya untuk memohon maaf dan berseronok hingga ke tahap bertepuk bertampar adalah haram. Bermaafan sudah cukup dengan ungkapan kata-kata.

Seperkara lagi yang menjadi masalah dalam Syawal adalah bagaimana mengawal nafsu makan kita. Selepas sebulan berpuasa, ramai sudah selesa dengan berat badan yang agak ideal. Sayangnya ramai yang gagal istiqamah menahan runtunan nafsu makan apabila disajikan pelbagai juadah yang memenuhi meja.

Golongan begini ibarat kata pepatah 'membujur lalu melintang patah'. Pantang disajikan, pasti dimakan walaupun sudah kenyang. Ini bertentangan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila lapar, kami makan tidak sampai terlalu kenyang". (riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada memenuhi anak Adam suatu tempat yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak ada cara lain, maka sepertiga (dari perutnya) untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas." (riwayat Tirmidzi dan Hakim)

Perkara-perkara yang dinyatakan tadi perlu diberi perhatian agar kita tidak melakukannya. Dalam keseronokan kita berhari raya, jangan pula kita melanggar batas-batas agama. Sepatutnya kita menjadi insan yang lebih kental daya tahan selepas menjalani tarbiah Ramadan.

Pendek kata, kita mesti mengadakan masa untuk melakukan ibadat seperti membaca al-Quran, berqiamullail dan menuntut ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Pastikan tiada hari tanpa membaca al-Quran.

Kesibukan berhari raya diharap tidak melalaikan kita daripada melakukan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Ia lebih afdal dikerjakan secara berturut-turut di awal Syawal iaitu bermula daripada 2 Syawal dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bila-bila masa sepanjang bulan Syawal.

Puasa sunat enam ini sangat besar fadilat dan ganjarannya. Diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari r.a, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun." (riwayat Muslim)

Lebih penting, bagi yang lelaki jangan abaikan solat fardu berjemaah. Jika terlepas berjemaah di masjid, carilah rakan-rakan sepejabat atau sekuliah untuk sama-sama solat berjemaah. Selain mendapat pahala yang lebih besar, kita juga menghidupkan sunah Nabi SAW. Mohd. Radzi Mohd. Zin Utusan/Rencana/20140808

Puasa enam Syawal

SETELAH sebulan menghadapi cabaran Ramadan, sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan kemuncak kepada kegembiraan bagi umat Islam setelah tamat melakukan kewajipan yang disyariat dalam rukun Islam ketiga itu.


Lazimnya, rata-rata umat Islam tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi bagi menyambut hari kemenangan yang dianugerahkan pada bulan Syawal itu.

Bagaimanapun, dalam kegembiraan tersebut, tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Hakikatnya, bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan perlu dijadikan permulaan bagi mendidik jiwa untuk terus istiqamah dalam beribadat kepada Allah SWT.

Kesinambungan daripada itu, puasa enam hari pada bulan Syawal merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam bagi memperoleh kelebihan berlipat ganda yang ditawarkan dan janjikan oleh Allah SWT.

Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun."

Namun, permasalahan mengenai puasa enam sering menjadi kekeliruan apabila menjelang Syawal. Antaranya, adakah puasa enam boleh digabungkan dengan puasa qada pada bulan Ramadan atau perlu dilaksanakan secara berturut-turut dan banyak lagi.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai persoalan puasa enam, namun pandangan yang paling afdal adalah mengikut mazhab Shafie.

Bagaimanapun tambahnya, pandangan mazhab lain masih boleh diamalkan dan diterima amalannya oleh Allah SWT kerana Islam tidak memberatkan hambanya untuk melakukan ibadah.

“Kesimpulan ringkas yang boleh diambil adalah, puasa enam boleh dilakukan dengan tiga keadaan iaitu qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam, puasa enam dahulu kemudian diikuti dengan puasa qada dan harus juga digabungkan kedua-duanya.

“Namun yang paling afdal dilakukan adalah keadaan pertama iaitu memisahkan puasa qada dan puasa enam dengan melakukan puasa qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal.

“Ini bagi memperbanyakkan amalan kita kepada Allah SWT," katanya.

Afdal berturut-turut

Melihat budaya sambutan Aidilfitri di negara ini yang kebanyakan umat Islam mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi yang memakan masa berhari-hari, diharuskan melakukan puasa enam secara berselang seli.

Mengulas mengenai kekeliruan melakukan puasa enam secara berturut-turut, Irwan berkata, tidak disyariatkan untuk berbuat demikian, namun perbuatan tersebut merupakan amalan yang paling afdal.

Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa. (Ali-Imran: 133)

“Tidak disyaratkan untuk dilakukan puasa enam secara berturut-turut. Ia boleh juga diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

“Namun, menurut pendapat ulama, termasuk mengikut mazhab Syafie dan Imam Nawawi yang terbaik ialah melakukannya secara berturut-turut dan lebih afdal lagi dimulai dari hari raya kedua," jelasnya. MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140808

Solat menghormati waktu

ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, saya merasa terpanggil untuk membincangkan isu solat menghormati waktu, terutamanya ketika kita bermusafir menuju ke tanah suci Mekah. Ini adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.


Solat ini wajib di qada semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam musafir.

Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.

Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.

Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.

Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat tayamum.

Pendapat ulama

Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 Hijrah) menyatakan bahawa ada empat pendapat daripada Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.

Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).

Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: “Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Bar daripada sebilangan fuqaha."

Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia pendapat yang paling kuat dalil dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya."

Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan ‘solat’ sebanyak tiga kali." (riwayat Ibnu Hibban)

Menebus dosa

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa. (riwayat al-Bukhari)

Hadis seterusnya, Uthman r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut. (riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.

Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya." (riwayat Imam Ahmad)

Semoga dengan pencerahan ini, walau apa jua keadaan sekalipun solat hendaklah diutamakan kerana ia membawa kepada kejayaan dan kemenangan.

Semoga para jemaah mendapat haji yang mabrur.   DR. HAJI ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim) Utusan/Bicara_Agama/20140808