August 13th, 2014

Menjauhkan perkara samar-samar

Numan bin Basyir berkata, Saya mendengar Nabi Muhammad bersabda: Percayalah, perkara yang halal itu jelas. Perkara yang haram pun jelas juga. Antara perkara yang halal dan perkara yang haram, terdapat perkara yang samar-samar. Majoriti manusia tidak dapat mengenal perkara yang samar-samar.

Sesiapa yang menghindari perbuatan yang samar-samar, beliau sudah menjauhkan dirinya daripada perkara yang mencemarkan agamanya dan kehormatannya.


Lakukan perkara samar-samar sudah terjatuh perkara haram

Sesiapa yang melakukan perkara yang samar-samar, beliau sudah terjatuh dalam perkara yang haram, ibarat gembala yang mengembala dekat kawasan larangan, hampir-hampir sahaja ternakannya makan di kawasan larangan itu.

Ingatlah, semua raja mempunyai kawasan larangannya. Ingatlah, kawasan larangan Allah adalah perkara yang diharamkan oleh-Nya. Ingatlah, dalam badan manusia ada seketul darah beku. Apabila benda itu baik, baiklah seluruh badan. Apabila benda itu rosak, rosaklah seluruh badan. Ingatlah benda itu adalah hati. (Riwayat Bukari dan Muslim)

Justeru, dalam setiap tindakan kita, perlu dinilai kesannya terhadap diri dan juga orang lain. Muhasabah wajar dijadikan amalan supaya apa yang terlintas dalam hati dan diterjemahkan melalui perbuatan adalah perkara yang baik-baik saja.

Beri manfaat kepada orang lain

Islam menegaskan kepada umatnya, manusia yang terbaik dalam kalangan mereka adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Oleh itu, pastikan setiap tindakan kita memberi kebaikan kepada orang lain. Jika diam itu yang terbaik, maka seeloknya kita berdiam diri. Berita Harian Agama  2014/08/13 - 01:52:00 AM

Kanun Syariah: Lafaz cerai tanpa sedar

Isteri adalah kakitangan swasta yang meraih pendapatan mencecah RM5,000 sebulan sementara saya hanya memperoleh gaji kasar sekitar RM2,400 sebulan.

Soal gaji ini dibincangkan sejak kami belum bernikah.

Namun, keadaan berubah sejak isteri melahirkan anak ketiga kami.

Oleh kerana isteri seorang yang sangat berdikari, dia kerap membeli semua keperluan rumah termasuk susu dan lampin anak.

Namun ada masanya isteri seolah-olah mengungkit susah payahnya melakukan banyak perkara.

Sebagai suami, saya cuba bersabar dan percaya mungkin isteri berdepan tekanan di tempat kerja dan tidak mendapat cukup rehat di rumah.

Begitupun saya juga terguris setiap kali isteri ‘berkira’ dengan apa yang diusahakan untuk keluarga kami.

Pernah satu ketika kami bertekak hingga isteri menimbulkan isu cerai.

Kerana marah saya mencabar isteri untuk menuntut cerai di mahkamah dengan kata-kata ‘nak cerai, cerailah. Pergi minta sendiri’.

Tanpa saya sedar, kata-kata itu tambah melukakan hati isteri.

Kini, hampir sebulan isteri bersikap dingin dan saya sendiri gagal memujuknya untuk kembali ceria seperti dulu.

Apakah kata-kata saya itu menyebabkan jatuh talak?


JAWAPAN :

Sebagaimana panda­ngan saya sebelum ini mengenai isu perceraian, suka saya ulang bahawa perceraian yang dibuat dengan hawa nafsu dan tanpa sebab diharuskan syarak adalah haram dan amat dibenci oleh Allah SWT.

Sebagai seorang suami yang memegang amanah Allah, kita sewajarnya tidak terpengaruh dengan sebarang desakan ataupun alasan yang remeh untuk terus menceraikan isteri sama ada secara lafaz sorih, kinayah mahupun taklik.

Dalam masalah talak ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan jika mereka berazam (tetap hati untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 227)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak me­nyukai orang-orang yang memilih jalan talak sedangkan mereka mempunyai pilihan untuk kembali menjalinkan hubungan pernikahan.

Daripada penerangan ring­kas yang diberikan oleh saudara mengenai lafaz cerai tersebut, saya berpandangan bahawa saudara belum melafazkan lagi talak terhadap isteri.

Apa yang berlaku adalah suatu cadangan daripada saudara supaya isteri memfailkan kes ke mahkamah jika dia inginkan perceraian.

Oleh yang demikian, saudara dan isteri masih dalam ikatan perkahwinan yang sah dan masing-masing mestilah melaksanakan tanggung—jawab sebagaimana ketetapan hukum syarak.

Perbuatan ungkit-meng—ungkit antara suami isteri adalah tidak baik dan boleh menyebabkan pasangannya berkecil hati serta boleh menimbulkan perbalahan yang berpanjangan.

Jika perbuatan seumpama ini tidak dihentikan segera maka ia akan berakhir dengan kehancuran rumah tangga.

Apa yang boleh saudara lakukan ialah dengan memujuk semula isteri dan minta maaf jika saudara membebankan dirinya untuk menanggung keperluan rumah tangga akibat kekura­ngan pendapatan saudara.

Pada masa sama, saudara hendaklah berusaha dengan segala kudrat yang ada untuk mencari pendapatan tambahan bagi mencukupkan keperluan rumah tangga dengan sewajarnya.

Ini penting supaya isteri melihat bahawa saudara sebenarnya tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya untuk menampung perbelanjaan keluarga. myMetro Nuansa 2014/08/01

Kanun Syariah: Berubah selepas belajar pondok

Abang saya pernah mendapat pendidikan di sekolah pondok di sempadan tanah air ketika usianya belasan tahun.

Tiga tahun menuntut ilmu, perwatakannya berubah 100 peratus. Dia mula berjubah dan berserban di mana saja.

Sebahagian besar kawannya turut memanggil abang sebagai ustaz.

Namun, saya tidak senang dengan tutur kata abang. Dia suka meletakkan hukum tanpa menilai sesuatu mengikut pandangan Islam.

Katanya, saya dan kakak adalah ahli neraka kerana tidak mahu mengikut ajaran serta nasihat yang beliau sebarkan.

Lebih membimbangkan apabila abang turut mengambil kesempatan menyampaikan tazkirah pendek di surau dan masjid sedang­kan dia tiada sijil tauliah berbuat demikian.

Mohon datuk kongsi apakah hukum perbuatan abang saya ini dan bagaimana cara terbaik untuk menyedarkannya. Man, Selangor

Belajar dan mengajar adalah perkara yang amat mulia dan besar ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa mempelajari satu bab daripada ilmu untuk diajarkannya kepada manusia, maka dia diberikan pahala 70 orang siddiq” (Ad-Dailami).

Namun, dalam menuntut ilmu, mestilah dengan guru yang mursyid dan kita tahu serba sedikit mengenai latar belakang pendidikan serta asal usulnya supaya tidak terjerumus kepada ajaran sesat.

Sebab itulah ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan anak mereka menimba ilmu di tempat yang betul dan diajar guru yang betul.

Memang terdapat banyak sekolah pondok beroperasi tanpa kelulusan pihak berwajib di seluruh negara dan mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Sekolah ini diasaskan individu yang mempunyai kepentingan diri atau kumpulan tertentu dan lebih kepada memperalatkan pelajar.

Pihak kerajaan melalui agensi seperti jabatan agama sentiasa memantau dan bertindak ke atas ajaran yang salah dan menyeleweng daripada pegangan ahli sunah waljamaah di negara ini.

Oleh itu, jika saudara musykil dan ragu-ragu mengenai ajaran yang dipegang dan disebarkan abang saudara, ada baiknya saudara membuat aduan ke pejabat agama berhampiran.

Sementara itu, cubalah memantau pergerakannya supaya saudara membantu pihak berkuasa membekalkan maklumat terkini bagi memudahkan siasatan mereka. myMetro Nuansa 2014/07/11

Kanun Syariah: Suami mahu jaga anak

Saya ingin bertanya lebih lanjut mengenai hak hadhanah ke atas anak-anak saya. Anak kembar perempuan saya baru berusia setahun sembilan bulan. Saya memfailkan kes cerai memandangkan sudah tidak tinggal bersama dengan suami selama lima bulan.

Bukan saya melarikan diri tetapi suami yang hantarkan saya ke rumah emak saya.

Apabila saya failkan kes cerai tanpa mengambil peguam, suami pula pasang peguam. Dia bersetuju untuk melepaskan saya dengan syarat anak-anak dia ambil.

Saya tidak bersetuju kerana sejak anak-anak saya dilahirkan hinggalah mencapai umur sekarang, dia menghabiskan masa beberapa jam saja bersama anak-anak, sedangkan saya 24 jam bersama dengan mereka.


Bukan sengaja mahu bercerai tetapi wanita mana yang sanggup apabila setiap kali bergaduh, dia memaki hamun dengan perkataan kasar, sepak terajang umpama makanan untuk dia dan anak-anak pula sering menjadi mangsa kemarahannya.

Suami juga masih dengan perangai lamanya yang kaki perempuan.

Ketika ini saya masih belum bekerja tetapi Insya-Allah akan mula bekerja apabila perkara ini dapat diselesaikan Ogos ini. Justeru, adakah saya masih dapat hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak saya? Lyn, Melaka


Berdasarkan fakta ringkas, saya berani mengatakan bahawa puan berhak mendapat perceraian daripada mahkamah melalui jalan taklik atau fasakh.

Ini kerana alasan yang dinyatakan seperti perbuatan suami yang meninggalkan puan lebih daripada empat bulan qamariah serta kejadian memaki hamun dan memukul puan amat menepati hukum syarak dan peruntukan undang-undang bagi membolehkan sabitan taklik atau fasakh diperintah­kan oleh mahkamah.

Namun, ia turut bergantung kepada bukti yang dikemukakan puan sewaktu perbicaraan di mahkamah kelak.

Saya melihat bahawa soal penjagaan anak tidak menjadi masalah untuk puan mendapatkan perintah mahkamah agar penjagaan anak (hadhanah) diserahkan kepada puan selaku ibu kerana anak itu masih kecil dan puan juga tidak hilang kelayakan sebagai penjaga (hadhinah).

Bagi saya, tidak ada alasan untuk suami meletakkan syarat perceraian dengan menyerahkan penjagaan anak kepadanya kerana ia adalah dua isu yang berbeza dan dibicarakan di mahkamah yang berbeza.

Malah, saya berpendapat tindakan suami puan itu hanya sebagai suatu penganiayaan terhadap puan selaku isterinya dan juga ibu kepada anak-anak itu.

Ini adalah suatu penyalahgunaan hak dan kedudukannya selaku suami yang mempunyai kuasa talak apabila cuba menggantung perceraian dengan cara memudaratkan akal pemikiran dan emosi puan selaku isteri dan ibu.

Soal kemampuan dari segi kewangan puan tidak akan menjadi pertimbangan mahkamah kerana tanggungjawab menyara nafkah anak adalah terletak ke atas bahu bapa.

Puan boleh membuat tuntutan nafkah anak terhadap suami puan pada bila-bila masa.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah puan perlu melantik seorang peguam untuk membantu puan di mahkamah.

Soal kewangan bukanlah halangan kepada puan untuk mendapatkan keadilan di mahkamah kerana puan boleh dapatkan bantuan guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman tanpa dikenakan bayaran. myMetro Nuansa 2014/07/18

Kanun Syariah: Hak ibu dinafikan

Ibu saya adalah anak perempuan tunggal daripada tujuh beradik.

Ketika arwah datuk meninggal dunia enam tahun lalu, ibu tidak mendapat bahagian harta sepatutnya.

Abang dan adiknya membolot semua tanah dan dusun milik arwah.

Malah, nenek terpaksa hidup menumpang di rumah anak-anak secara bergilir-gilir kerana rumah teres peninggalan datuk turut dijual salah seorang anak lelakinya.

Keadaan kini jadi rumit apabila rumah ibu pula dijadikan isu.

Memandangkan adik-beradik saya semuanya perempuan, kami sukar untuk mempertahankan satu-satunya hak ibu.

Bagaimanakah masalah kami ini dapat diselesaikan? Suhana, Kedah

Islam menetapkan bahagian yang jelas dan tertentu bagi semua ahli waris yang berhak terhadap harta pusaka si mati.

Bagi ibu puan, dia mendapat satu bahagian daripada harta pusaka itu berbanding adik-beradik lelakinya yang masing-masing mendapat dua bahagian setiap seorang.

Bagi melicinkan proses pembahagian ini, kita mempunyai undang-undang yang perlu diikuti dan dipatuhi pihak terbabit.

Misalnya undang-undang mengenai penentuan ahli waris dan pembahagian faraid, hendaklah dimohon di mahkamah syariah.

Bagi tujuan pentadbiran harta pusaka itu hendaklah dimohon di mahkamah sivil dan seterusnya bagi urusan pindah milik bagi hartanah hendaklah dibuat di pejabat tanah.

Semua urusan ini hendaklah disempurnakan dengan pengetahuan, kehadiran dan persetujuan semua ahli waris yang berhak.

Jika mana-mana ahli waris yang merasakan dirinya dipinggirkan dalam urusan berkaitan, maka dia boleh membuat aduan dan bantahan mengikut lunas undang-undang di institusi yang berkenaan.

Sebarang perbuatan menyeleweng, pecah amanah dan menafikan hak orang yang berhak adalah suatu kesalahan jenayah yang boleh dihukum berdasarkan peruntukan akta sedia ada.

Jika mereka telah memakan atau mengguna pakai hak ibu puan, maka mereka hendaklah membayar balik atau menggantikannya semula berdasarkan jumlah dan bahagian yang sewajarnya diterima ibu puan.

Apa yang perlu dilakukan sekarang, puan pastikan dulu mengenai kewujudan serta status harta berkenaan dari segi pemilikan dan juga sekatan.

Apabila telah dipastikan kedudukan perkara itu, maka puan bolehlah membuat aduan polis jika wujud penyelewengan dan seterusnya membawa aduan itu ke mahkamah dan pejabat tanah untuk tindakan selanjutnya sehinggalah perkara ini dapat diselesaikan.

Pembaca yang mempu­nyai masalah berkaitan undang-undang syariah boleh menghantar kemusykilan ke Nuansa melalui e-mel: rencana@hmetro.com.my myMetro Nuansa 2014/07/25