August 21st, 2014

Kerenah suami curang

SYARAT yang diletakkan oleh Razif kepada Lina, membuatkan dia dalam dilema. Namun untuk dia meneruskan perkahwinan bersama Razif, dia tidak sanggup lagi. Apa tidaknya, sejak Razif mempunyai kekasih baharu, sudah banyak kali Razif mendera emosinya.

Bukan Lina tidak tahu apa yang dilakukan oleh suaminya di belakangnya. Razif kerap keluar berdua-duaan dengan kekasihnya itu selepas waktu pejabat. Makan, tengok wayang, membeli-belah dan banyak lagi aktiviti luar, dilakukan secara bersama. Di pejabat kisah percintaan suaminya dengan wanita tersebut sudah pun kecoh .

Kawan-kawan pejabat bukan tidak pernah menasihati Razif yang menjalinkan hubungan dengan isteri orang, tapi ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri, begitulah Razif yang masih meneruskan hubungan dengan wanita tersebut. Apa orang kata tentang mereka, sedikit pun mereka tidak mahu ambil peduli. Yang penting mereka bahagia begitu.

Tindakan Razif berkepit dengan isteri orang tidak hanya di luar. Bahkan, ketika balik ke rumah, wanita itu sering menelefon Razif, berbual-bual dengan suara yang manja. Lina tahu. Daripada perbualan telefon suaminya dengan wanita itu, Lina dapat rasakan, betapa wanita itu sedaya upaya menggoda suaminya. Buktinya, pernah Lina membuka mesej-mesej yang dihantar oleh wanita tersebut kepada Razif ketika suaminya itu lena dibuai mimpi.

“Astaghfirullah". Mengucap panjang Lina dibuatnya. Mana tidaknya, terlalu banyak perkataan-perkataan berbau lucah di dalamnya. Sekalipun ditulis dalam perkataan yang tidak terus terang, namun Lina faham apa yang dimaksudkan. “Perempuan jenis apakah ini?," dengus Lina yang meluat dengan aksi pasangan suami orang dan isteri orang yang dilanda mabuk bercinta.

Pernah Lina mengambil keputusan berani menelefon suami kepada wanita tersebut untuk menceritakan hubungan sulit isterinya itu dengan suaminya. Namun, Lina pula dimarahi dan dituduh membuat cerita. Bahkan, suami wanita itu mempertahankan isterinya dengan mengatakan isterinya itu seorang yang baik dan tidak mungkin akan melakukan perkara sedemikian. Lina pasrah. Apa lagi yang harus dilakukan demi menyelamatkan rumah tangganya.

Tidak tahan dengan adegan-adegan yang meluat itu, Lina akhirnya memberanikan diri menegur tingkah laku tidak bermoral suaminya itu. Harapannya, Razif akan sedar bahawa perbuatannya itu salah. Bukan sahaja salah pada pandangan masyarakat, bahkan salah pada syariat Islam. Ternyata nasihat Lina tidak memberi makna kepada Razif. Lina dimaki-hamun oleh Razif malah pernah ditampar oleh Razif apabila Lina meluahkan perasaan tidak sukanya kepada wanita itu yang disifatkannya sebagai tidak bermaruah!

Malam itu Razif mengugut Lina. Kata Razif, kalau Lina memfailkan perceraian di mahkamah, maka tiga orang anak-anak hasil daripada perkahwinan mereka itu akan berada di bawah penjagaan Razif. Bahkan Razif turut memberi amaran kepada Lina bahawa dia akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Lina daripada bertemu dengan ketiga-tiga anaknya.

Lina buntu. Apa yang harus dilakukan olehnya. Apatah lagi dia tidak bekerja. Sudah tentu hak penjagaan anak-anaknya akan diserahkan kepada suaminya atas alasan dia tidak akan mampu menjaga ketiga-tiga anaknya itu. Mana mungkin seorang ibu yang tidak bekerja akan dapat memastikan anak-anaknya mendapat penjagaan yang sempurna.

Itulah ugutan-ugutan yang sering diterima oleh Lina. Lina takut, kalau dia meneruskan juga hasratnya untuk menuntut cerai, dia akan kehilangan hak penjagaan ke atas anak-anaknya. Tetapi kalau dia masih bersama Razif, dia takut dia tidak mampu lagi untuk bersabar. Dia khuatir akan bertindak di luar batasan seorang manusia normal.   Utusan/Bicara_Agama/20140819

Ilmuwan besar Arab

THABIT bin Qurrah merupakan seorang ilmuwan besar Arab dalam bidang matematik, astronomi dan perubatan yang mengungguli semua doktor pada zamannya. Beliau juga tergolong sebagai salah seorang daripada penterjemah terkemuka yang memikul tanggungjawab ‘mengalihkan’ pelbagai bidang ilmu daripada bahasa Latin ke dalam bahasa Arab.

Nama sebenar beliau ialah Abu al-Hasan Thabit bin Qurrah bin Marwan al-Sabi al-Harrani. Beliau dilahirkan di Harran, suatu tempat yang terletak di antara sungai Dajlah dan Furat di Mesopotamia (Turki moden sekarang) pada 221 Hijrah (836 Masihi), daripada keluarga Ash-Shaibah.

Thabit telah memperlihatkan kecerdasannya sejak kecil lagi ketika beliau masih belajar atau menimba ilmu. Dikisahkan, pada suatu hari, beliau berbeza pendapat dengan kumpulan pelajar seperguruannya tentang beberapa hal yang membuat mereka menganggap beliau telah keluar daripada kumpulan tersebut sehingga mereka melarang beliau untuk masuk ke tempat peribadatan mereka.

Ekoran peristiwa itu, Thabit berhijrah ke suatu daerah yang dikenali sebagai Kafrutuma. Di sana, beliau bertemu dengan seorang ilmuwan besar dalam bidang matematik, iaitu Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi yang berasa kagum dengan kecerdasan Thabit. Thabit sememangnya memiliki persiapan mental yang kukuh untuk belajar, hingga akhirnya Al-Khawarizmi mengajaknya berhijrah ke Baghdad.

Di Baghdad, kiblat ilmu pada saat itu, Thabit bin Qurrah mengajarkan ilmu matematik, astronomi, perubatan dan falsafah. Beliau kemudiannya bergabung di sekolah Musa bin Syakir untuk mengajarkan ilmu yang dikuasainya.

Beliau selalu mendapat pujian terhadap apa yang diajarkannya. Thabit lalu dikenal dengan sebutan khusus sebagai doktor. Bagaimanapun, sebahagian besar karya dan penemuannya terdapat dalam ilmu matematik dan astronomi. Kemampuannya dan kehebatan sebagai seorang doktor, ahli astronomi, ahli matematik dan ahli falsafah terdengar ke telinga Khalifah Bani Abbasiah bernama Al-Mu’tadh.

Khalifah lalu memanggil beliau ke istana dan mengadakan perjumpaan bersama para ahli astronomi yang lain. Ternyata ketrampilan Thabit dalam bidang astronomi itu ‘menewaskan’ kumpulan ahli astronomi tersebut.

Thabit telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dalam pelbagai disiplin ilmu, sehingga menambahkan ‘kecintaan’ Al-Mu’tadh kepadanya dan memberikannya jawatan yang tinggi. Malahan beliau didudukkan di sisi Khalifah sambil bersenda gurau dengannya, tanpa disertai oleh para menteri dan orang-orang kenamaan lain, juga sahabatnya.

Thabit termasuk di antara salah seorang yang bekerja menggunakan peralatan astronomi milik Khalifah Al-Ma’mun di Baghdad. Di kota budaya dan ilmu itu beliau melahirkan teori tentang kecenderungan persamaan siang dan malam pada musim bunga dan musim luruh.

Kedudukan Thabit begitu berpengaruh di istana dan beliau berupaya mengangkat darjat kelompok Ash-Shaibah, dengan munculnya beliau seorang ilmuwan daripada kalangan kelompok tersebut.

Meskipun karya dan penemuan Thabit paling banyak dalam ilmu astronomi dan matematik, namun beliau terkenal sebagai doktor dan ahli falsafah pada zamannya. Ini merupakan hal yang lumrah, kerana masyarakat biasanya selalu mencari doktor yang ‘hebat’ untuk membantu menyembuhkan penyakit mereka. Manakala gelaran yang disandangnya sebagai salah seorang ahli falsafah yang hebat disebabkan beliau memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan dikurniai otak yang genius.

Penterjemah

Thabit boleh berbahasa Suryani, Yunani, dan Ibrani, di samping berbahasa Arab. Beliau menulis sebahagian bukunya dalam bahasa Suryani dan Arab. Beliau juga tergolong sebagai tokoh yang menonjol di antara sedemikian banyak penterjemah pada zamannya. Beliau banyak menterjemahkan buku-buku matematik, perubatan, dan astronomi ke dalam bahasa Arab.

Di antara sebahagian terjemahan beliau adalah terjemah buku-buku Claudius Ptolemy dalam bidang astronomi. Bahkan, Thabit adalah orang yang pertama menterjemah buku Al-Majisthi (Almagest). Begitu juga buku Ptolemy dalam ilmu geografi, iaitu Jughrafiyyah Al-Ma’murah (Gheographia).

Di samping menterjemah, Thabit juga banyak mengarang buku dalam bidang astronomi, matematik, falsafah dan geografi. Az-Zarkali mengatakan bahawa Thabit telah menulis sebanyak 150 buku dalam pelbagai disiplin ilmu.

Thabit bin Qurrah termasuk di antara para ilmuwan yang melakukan kajian mengenai hubungan antara ilmu algebra dengan geometri. Bahkan beliau telah memberikan langkah penyelesaian teknik terhadap sebahagian jenis persamaan.

Thabit menemukan cara menghitung al-a’daad al-mutahabbah, iaitu angka-angka yang jumlah pembahagiannya sama dengan yang lain. Beliau telah menjadikan ilmu matematik sebagai alat untuk menemukan ilmu-ilmu lain yang saling menyempurnakan di antara satu sama lain.

Ketika ilmu ini amat erat kaitannya dengan perkembangan teknologi penting di dunia pada zaman kini dan didasarkan pada proses penghitungan yang terperinci, begitu teliti dan ilmiah, maka tidak diragukan bahawa Thabit bin Qurrah dianggap sebagai salah seorang daripada para ilmuwan besar yang memberi sumbangan besar bagi peradaban manusia moden.

Thabit bin Qurrah meninggal dunia pada 18 Februari 901 Masihi. Utusan/Bicara_Agama/20140819

Ibu bapa berwawasan

APABILA Rasulullah SAW tiba ke Madinah, baginda tidak membawa harta benda. Kalangan Ansar daripada ahli Madinah lalu memberikan kepada Nabi Muhammad SAW semua yang baginda perlukan.

Abu Talhah menghadap Rasulullah SAW sambil membimbing tangan seorang anak kecil. Usia anak itu kira-kira tujuh tahun, bernama Anas bin Malik. Beliau adalah anak tiri Abu Talhah daripada isterinya yang bernama Umu Sulaim.

Abu Talhah berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Anas seorang budak yang pandai. Izinkanlah dia untuk menjadi pembantu tuan."

Rasulullah SAW menerima cadangan tersebut. Anas lalu menjadi pelayan baginda selama 10 tahun. Beliau selalu bersama baginda dalam setiap peristiwa di dalam ataupun di luar Madinah.

Kerana kerapatannya dengan Rasulullah SAW itulah, hingga ke hari ini nama Anas bin Malik terus hidup dalam ingatan umat Islam. Beliau terus dikenang sebagai sahabat Nabi SAW yang meriwayatkan hadis yang sangat banyak.

Manfaatkan peluang

Demikian kisah tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahih-nya. Dalam Musnad Abu Ya’la diceritakan bahawa yang menyerahkan Anas kepada Rasulullah SAW ialah Ummu Sulaim sendiri iaitu ibu kandung Anas bin Malik.

Abu Talhah dan Ummu Sulaim merupakan model ibu bapa yang berwawasan. Kedua-duanya sangat pandai melihat peluang. Apabila menyedari kebesaran Rasulullah SAW, mereka segera terfikir untuk menjadikan anak mereka orang yang paling rapat dengan baginda.

Jika Abu Talhah dan Ummu Sulaim tidak melihat dan memanfaatkan peluang tersebut, kemungkinan besar tiada siapa yang mengenal Anas bin Malik pada hari ini.

Sikap kedua-dua sahabat Nabi SAW ini mengingatkan setiap ibu bapa Muslim untuk mengambil berat masa depan anak mereka. Tugas mereka bukan hanya menghantar anak ke sekolah, akan tetapi menyiapkan mereka untuk menjadi insan berguna di masa hadapan.

Ibu bapa mesti merancang ke mana hendak mengarahkan anak-anaknya. Perhatikan potensi yang terdapat dalam jiwa anak, lalu salurkan potensi itu kepada peluang-peluang kejayaan yang tersedia.

Islam menegaskan bahawa jiwa seorang anak sangat bersih. Ia masih berada dalam keadaan fitrah yang mudah dibentuk dan dipengaruhi.

Justeru ibu bapa bertanggungjawab menentukan pembentukan diri dan masa depan anaknya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanya yang akan menjadikan ia Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. (riwayat al-Bukhari) Marilah kita meneladani sikap Abu Talhah dan Ummu Sulaim. Utusan/Bicara_Agama/20140819

Bergembiralah orang yang sabar

KESUSAHAN merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan. Semua orang pernah merasai kesusahan kerana ia merupakan ujian daripada Allah SWT kepada seluruh manusia. Ujian Allah hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, kekurangan pada diri, perbuatan buruk orang lain kepadanya, hati yang tidak tenang dan sebagainya. Apa jua perkara yang membuatkan manusia susah merupakan sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Tiada siapa yang terlepas daripada diuji oleh-Nya.



Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:155)

Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Muhammad ayat ke-31 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan mengujimu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami), dan hingga kami dapat memastikan keadaan dirimu dengan sebenar-benarnya.

Kesemua contoh-contoh yang diberikan oleh Allah SWT itu antara sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan memberikan pahala kepadanya. Sesiapa yang berputus asa disebabkan ujian itu, maka Allah SWT akan menyeksanya. Kerana itulah Allah SWT berfirman di akhirnya yang bermaksud: Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: …Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batasan. (az-Zumar: 10)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan membawakan ucapan Imam Al-Auza’i: “Mereka (orang-orang yang bersabar) diberikan pahala tanpa dikira banyaknya, mereka diberikan pahala secara melimpah (tidak terkira banyaknya)."

Sentiasa menguji

Ujian merupakan tanda bahawa seseorang itu dikehendaki baik oleh Allah SWT. Bahkan, Allah sentiasa menguji hamba-hamba-Nya supaya ia menjadi bukti siapa yang sebenar-benarnya beriman dan bertawakal kepada Pencipta-Nya. Rasulullah SAW bersabad yang bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya Allah akan memberinya cubaan. (riwayat al-Bukhari)

Sabar daripada ujian Allah SWT merupakan tanda tingginya iman seorang Muslim. Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam sedangkan Mukmin ertinya orang Islam yang bertakwa. Sabar terhadap ujian Allah SWT adalah antara tanda seseorang itu Mukmin di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW memuji sikap sabar mereka sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin itu, kerana semua urusannya bernilai baik baginya dan hal seperti itu tidak akan terjadi melainkan pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia akan bersyukur. Maka hal itu lebih baik baginya. Dan jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka hal itu juga lebih baik baginya. (riwayat Muslim)

Bersabar bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang bertakwa. Ia memerlukan semangat dan kefahaman agama yang baik agar ketika ia datang menimpa, seseorang itu dapat menahan dirinya daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT seperti menyalahkan Allah, membunuh diri dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya balasan (pahala) tergantung daripada besarnya ujian (yang dihadapi) dan apabila Allah cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah. Namun, sesiapa yang murka (marah dengan ujian Allah) maka baginya kemurkaan Allah." (riwayat al-Tirmizi). MOHAMAD DHIYAUDDIN sedang mengikuti Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah Gombak. Utusan/Bicara_Agama/20140819

Strategi hapus kemiskinan

ISU kemiskinan merupakan antara permasalahan utama yang tidak pernah sunyi daripada diperkatakan dan juga menjadi cabaran bagi golongan pemerintah bagi memegang tanggungjawab membela kebajikan rakyat di negara masing-masing.


Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, di samping sering menjadi fokus perbincangan ahli akademik, pembuat dasar, ahli politik serta masyarakat umum, namun tiada kata putus yang tepat dapat diambil bagi menangani kemelut tersebut.

Malah, ia dijangka akan menjadi lebih parah berikutan pembangunan pesat yang berlaku serta pertambahan penduduk, terutamanya di kawasan bandar yang menjadi tumpuan ramai untuk mencari rezeki di situ.

Perkara yang melibatkan permasalahan sosial itu lebih dikhuatiri mampu mengundang kepada masalah sosial lain yang lebih serius jika tidak ditangani dengan bijaksana dan berhikmah.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Teknikal Amalan Terbaik Pembasmian Kemiskinan dengan mengumpulkan Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Program selama empat itu diadakan bagi berkongsi pengalaman dan amalan yang dilakukan di negara yang terlibat dalam membasmi kemiskinan di negara masing-masing menerusi organisasi pengurusan zakat yang ditubuhkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bagi mengkaji beberapa elemen kekuatan yang dilaksanakan di negara-negara terlibat untuk diaplikasikan di negara ini.

Beliau ketika membentangkan resolusi bengkel menjelaskan, keupayaan itu adalah meliputi program Zakat Community Development (ZCD) di Indonesia, Befrienders Singapura dan Propaz di Brunei.

“Negara anggota MABIMS mencadangkan bengkel seperti ini diperluas pelaksanaannya kepada penerima-penerima bantuan zakat atau seumpamanya bagi membuka minda dan menyedari serta mengenalpasti kaedah-kaedah terbaik dalam pembasmian kemiskinan.

“Negara-negara anggota MABIMS mencadangkan supaya program perkongsian ilmu dan pengalaman seperti yang dibincangkan dalam bengkel ini dilanjutkan dengan sebuah program bersama mengikut keupayaan dari negara anggota," katanya.

Beliau turut mewakili Malaysia membentangkan kertas kerja Pembasmian Kemiskinan Melalui Pengupayaan Golongan Fakir Miskin di Malaysia.

Sementara itu, wakil dari Indonesia adalah

Zainal berkata, Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP yang ditubuhkan menjadi fokus pelaksanaan di Malaysia yang boleh dicontohi oleh negara anggota.

“Skuad ini berperanan turun padang ke seluruh Wilayah Persekutuan untuk mencari golongan asnaf yang tercicir daripada menerima bantuan zakat. Sejak dilancarkan pada 2012, seramai 1,063 asnaf berjaya dijejaki," jelasnya.

Peserta turut dibawa melawat ke institusi pendidikan, kesihatan dan ekonomi MAIWP yang dibina menerusi hasil kutipan zakat bagi membantu dan memberikan manfaat kepada golongan asnaf dan anak-anak fakir dan miskin.

Berucap membentangkan kertas kerja Pembasmian Kemiskinan Melalui Pengupayaan Golongan Fakir Miskin di Indonesia, Ketua Umum Badan Amil Zakat Nasional (Baznas), Indoneisa Dr. Didin Hafidhuddin menjelaskan, ZCD merupakan program pembangunan komuniti yang mengintegrasikan aspek sosial dengan memfokuskan prinsip syariat Islam.

Beliau berkata, aspek sosial tersebut adalah bidang pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi dengan menggunakan tiga pendekatan kelompok iaitu komuniti, wilayah dan wilayah sasaran.

“Fokus program ZCD ini mempunyai empat tujuan iaitu, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan golongan penerima zakat terhadap kehidupan berkualiti, melahirkan asnaf yang ingin bebas daripada kemiskinan, mewujudkan jaringan sosial ekonomi dan mewujudkan program pemantapan masyarakat yang berterusan.

“Dalam menjayakan objektif tersebut, terdapat tiga langkah diambil mengikut tahap golongan penerima zakat iaitu dengan menerapkan kesedaran asnaf, meningkatkan kemampuan dan pemantapan golongan kurang berkemampuan.

“Namun, apa yang diutamakan dalam melaksanakan program ini adalah berdasarkan kepada enam prinsip yang telah digariskan iaitu berasaskan komuniti, syariat Islam, penyertaan, manfaat, kesinambungan dan sinergi," katanya.

Bukan sekadar memberikan bantuan, Didin berkata, Baznas turut berfungsi membentuk sikap golongan penerima dengan menitikberatkan nilai-nilai syariat Islam dalam bantuan yang disalurkan.

Pada 2014 tambahnya, program ZCD mensasarkan sebanyak 100 lokasi untuk dilaksanakan di sekitar Indonesia dengan keperluan dana sekurang-kurangnya 1 miliar Rupiah (RM269,000) bagi setiap lokasi.

“Setakat tahun lalu sejak dilancarkan, sebanyak 49 lokasi telah dikenal pasti dan mendapat bantuan menerusi program ZCD ini yang meliputi sembilan kawasan termasuk Sumatera Barat, Jawa Barat, Kalimantan Barat dan Nusa Tenggara Timur," katanya.

Sementara itu, pembentang kertas kerja dari Brunei, Faridah Yaakup berkata, menghapuskan kemiskinan melalui Program Pengupayaan Asnaf Zakat (Propaz) merupakan langkah yang dilakukan di negara itu bagi membasmi kemiskinan.

Ia katanya, dengan mencungkil dan melatih kemahiran yang dimiliki oleh golongan asnaf untuk dikomersialkan dengan mencari peluang pekerjaan dan keusahawanan yang boleh diceburi.

“Program ini lebih menjurus kepada memberi latihan, teknikal, vokasional serta bimbingan dan pembangunan diri khusus bagi penerima yang tergolong dalam kategori asnaf fakir dan miskin.

“Program Propaz ini dilaksanakan selama sembilan bulan, iaitu enam bulan mengikuti latihan kemahiran di Pusat Pembangunan Belia dan Sukan dan tiga bulan menjalani latihan penempatan kerja di syarikat-syarikat swasta terpilih.

“Antara kursus yang ditawarkan adalah seperti kursus kemahiran asas teknologi informasi dan komunikasi, kemahiran asas kulinari dan bankuet, kursus kemahiran asas terapi dan kecantikan, kursus kemahiran rekaan fesyen dan kursus kemahiran asas teknikal," katanya.

Beliau berkata, menerusi program itu, penerima berpeluang untuk ditawarkan pekerjaan di syarikat latihan penempatan kerja yang diambil ketika berkursus.

“Selain itu, berdasarkan pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang diberikan sepanjang menjalani kursus, peserta juga boleh memanfaatkan dengan mencari pekerjaan lain yang bersesuaian atau membuka premis perusahaan sendiri," jelasnya.

Di samping itu, dengan bantuan beberapa pertubuhan kerajaan dan swasta, asnaf turut akan dibantu untuk membuka perniagaan sendiri menerusi program keusahawanan, program pembangunan diri dan program sokongan.

“Pertubuhan lain seperti Zakat Majlis Ugama Islam juga ada memberikan peruntukan dana kepada asnaf untuk mendapatkan sumber yang diperlukan dalam menjalankan perniagaan.

“Ia turut dibantu menerusi program sokongan seperti dengan kerjasama Koperasi Pengupayaan Hal Ehwal Ugama Berhad (KOPAKHEUB) yang membantu lepasan peserta Propaz sebagai saluran untuk mereka memajukan perniagaan dan perusahaan," katanya. MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140820

Adakah neraka kekal?

PERBAHASAN berkaitan neraka, sama ada ia kekal atau tidak merupakan salah satu mauduk yang berkait dengan akidah Islam. Persoalan yang dibangkitkan berkaitan dengan isu ini ialah sama ada neraka kekal selama-lamanya dan adakah orang yang dimasukkan ke dalam neraka kekal diazab oleh Allah SWT?


Sekiranya neraka kekal, maka tidakkah ini akan menunjukkan bahawa ada yang kekal, selain Allah SWT dan akan membawa kepada faham kepelbagaian perkara-perkara kekal (ta’addud al-qudama’) yang tidak selari dengan akidah Islam yang berasaskan tauhid. Serta adakah ini tidak bertentangan dengan sifat Allah yang Maha Penyayang?

Dalam meneliti perkara ini, beberapa perkara penting harus diteliti. Pertamanya al-Quran merupakan sumber tertinggi dalam menghuraikan permasalahan akidah yang bersifat sam’iyyat (yang tidak mampu digarap oleh pancaindera dan akal manusia). Yang jelas, banyak ayat-ayat al-Quran yang menerangkan bahawa orang-orang kafir akan kekal dalam neraka. Misalnya:

i. (Bukan demikian), yang benar, barang siapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, mereka itu penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 81-82)

ii. Tidaklah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanya barang siapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka jahanamlah baginya, kekal mereka di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang besar. (al-Taubah: 63)

iii. Allah mengancam orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka dan Allah melaknat mereka dan bagi mereka azab yang kekal. (al-Taubah: 68)

iv. Sesungguhnya orang-orang yang kafir daripada Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahanam, kekallah mereka di dalamnya. (al-Bayyinah: 6-8)

Azab itu kekal

Sementara itu di dalam hadis Nabi SAW disebutkan yang bermaksud: "Maka aku mengeluarkan mereka (orang-orang beriman yang masuk neraka) dari neraka, sehingga tidak tersisa di dalam neraka, kecuali orang yang ditahan oleh al- Quran, iaitu orang yang pasti kekal (di dalam neraka)." (riwayat Bukhari, Muslim,dan lainnya, daripada Anas bin Malik)

Berdasarkan ayat-ayat ini, jumhur ulama Ahl Sunnah Wal Jamaah berpandangan bahawa neraka dan azab yang menimpa orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya adalah kekal. Menurut Imam Abu Hasan al-Ash’ari, semua tokoh Islam, kecuali Jahm bin Safwan berpendapat bahawa kenikmatan ahli syurga bersifat abadi dan tidak pernah putus. Demikian juga seksaan ahli neraka. Jahm bin Safwan, menurut Imam al-Ash'ari, sebaliknya berpendapat syurga dan neraka berserta penghuninya akan musnah sehingga yang ada hanya Allah, sebagaimana pada mulanya. (Abu Hassan al-Ash'ari, Maqalat al-Islamiyyin, vol.2, bawah tajuk Keabadian Nikmat Syurga dan Neraka).

Menurut para mutakallimun sifat abadinya neraka juga bermaksud ia tidak bersifat fana seperti kewujudan duniawi berdasarkan firman Allah SWT mereka kekal di dalamnya (khalidina fiha abada), namun kewujudannya tetap tertakluk kepada kekuasaan Allah (al-Taftazani, Sharh al-Aqa’id al-Nasafi, bab Syurga dan Neraka Keduanya Benar) Adakah ini bertentangan dengan ayat al-Quran (rujuk al-Qasas: 88) yang mengatakan bahawa: “Setiap perkara akan musnah kecuali wajah-Nya". Ia bukanlah satu pertentangan kerana walaupun syurga dan neraka bersifat abadi, namun ia tetap makhluk dan dicipta oleh Allah. Dengan kata lain, ia mempunyai permulaan apabila dijadikan oleh Allah. Dalam akidah Islam, ia termasuk dalam kategori alam atau apa yang selain Allah (ma siwa Allah). Dan walaupun kedua-duanya disebut oleh al-Quran sebagai kekal, kedua-duanya masih tertakluk kepada kehendak dan kuasa Allah (iradah dan kudrah Allah). Sekiranya Allah berkehendak memusnahkannya maka ia akan musnah.

Namun, oleh kerana Allah SWT telah berfirman bahawa mereka yang di dalam neraka itu kekal, maka ia akan tetap kekal. Dengan kata lain, kekalnya neraka itu adalah atas kehendak dan perintah Allah dan bukan kekal dengan sendirinya sebagaimana Zat Allah SWT. Kekalnya neraka juga tidak bersifat wajib kerana neraka seperti tiap-tiap makhluk Allah yang lain bersifat mumkin atau hadis yang bererti kewujudannya tidak wajib.

Batas waktu tertentu

Antara ulama yang berbeza pandangan dengan pandangan umum ini ialah Ibnu Qayyim al-Jawzi yang mengatakan dalam kitabnya, Syifa’ al-Alil bahawa neraka mempunyai batas waktu dan ia akan musnah apabila sampai batas waktu tersebut. Beliau berhujah dengan ayat al-Quran surah al-Naba’: 23, al-An'am: 128 dan Hud: 108.

Surah al-An'am: 128 misalnya mengatakan yang bermaksud: Mereka kekal di dalam neraka kecuali Allah berkehendak lain. Ibnu al-Qayyim berhujah bahawa al khulud ertinya tetapnya sesuatu pada waktu yang tertentu. Seandainya neraka itu kekal selamanya tentu Allah akan berfirman khalidina fiha abada.

Namun pandangan Ibnu al-Qayyim ini dapat diimbangi dengan melihat dalam ayat-ayat yang lain jelas mengatakan bahawa mereka yang ingkar akan kekal dalam neraka selama-lamanya (menggunakan perkataan khalidina fiha abada) seperti dalam surah al- Jinn: 23, Allah berfirman yang bermaksud: Orang yang mengingkari Allah dan Rasul-Nya, baginya neraka Jahanam. Mereka kekal di dalamnya selamanya.

Begitu juga firman Allah SWT tentang orang kafir di neraka: Mereka menginginkan untuk keluar dari neraka namun tidak mampu. Bagi mereka azab yang kekal. (al-Ma’idah: 37) Juga firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 167 yang bermaksud: Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka. Orang-Orang yang mempunyai iman walaupun sedikit tidak kekal dalam neraka. R. MOHD. FARID MOHD. SHAHRAN Utusan/Bicara_Agama/20140820

Mempertahankan kemerdekaan

DI BUMI bertuah ini tempat kita dilahirkan dan di bumi ini pula tersemainya bibit-bibit cinta kita terhadap maruah dan kemerdekaan negara yang mesti dipertahankan oleh setiap warganegaranya. Hadis menyebutkan, “Mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman." Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya walaupun diperangi oleh kaum kafir Quraisy di tempat kelahirannya di Mekah, berhijrah ke Madinah atas perintah Allah SWT, namun tanah tumpah darahnya di Mekah tetap dikenang dan kemudiannya Baginda dan para sahabatnya (kaum Muhajirin) dapat membebaskan kembali pembukaan dan penaklukan Mekah dengan penuh gemilang yang dikenali dalam sejarah sebagai Fathul Mekah. Ini merupakan suatu jihad yang sangat besar dalam pengertian agama Islam.


Justeru, setiap Muslim itu wajib mempertahankan negara sampai ke titisan darah yang terakhir. Tuntutan itu sebahagian jihad yang dituntut agama. Sesiapa yang tidak mempunyai semangat mempertahankan negara tergolong sebagai nifak (cabang munafik).

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk berjihad, maka dia mati atas satu cabang nifak (munafik). (riwayat Muslim, Nasai’i dan Abu Daud)

Dalam pengertian ‘jihad’ banyak orang silap faham mengenai konsep jihad. Jihad bukan semestinya berperang di medan perang, mengangkat senjata seperti golok, parang dan sebagainya. Salah tafsir mengenai jihad menyebabkan ada orang mengangkat senjata melawan pihak yang dianggap mereka sebagai tidak sehaluan, golongan dan puak.

Pengertian jihad mempertahankan negara boleh dilihat dalam pelbagai bentuk dan sudut. Setiap Muslim boleh diberi gelaran ‘pejuang’ asalkan melakukan sesuatu usaha untuk kebaikan rakyat dan negara. Sesuatu yang dilakukan dengan satu semangat yang kental dan ikhlas adalah satu jihad asalkan tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama dan perikemanusiaan.

Sokongan rakyat

Dengan demikian, negara memerlukan sokongan setiap rakyat untuk berjuang. Kini negara berdepan dengan pelbagai bentuk ancaman dari dalam dan luar.

Kancah fahaman politik dan ideologi serta pengaruh kebendaan yang menguasai cara dan gaya hidup menyebabkan banyak individu menjadi musuh kepada negara. Mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan inspirasi dan kepentingan negara.

Misalnya, ancaman daripada segi fahaman politik melampau, pertubuhan haram, aktiviti haram dan masalah sosial semakin meluas dan meningkat. Semua ini memerlukan jihad daripada warganegaranya untuk memerangi gejala-gejala tersebut. Tugas ini tidak memadai hanya dilakukan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Hakikatnya, kerjasama setiap rakyat amat diperlukan untuk mencegah dan menanganinya.

Di samping itu, peningkatan kadar jenayah, pengedaran dan penagihan dadah, seks bebas, tarian bogel, lepak, perjudian, kongsi gelap dan gejala lucah, penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, rompakan, pembunuhan, pecah rumah, kecurian dan sebagainya menjadi ancaman kepada kestabilan dan keselamatan negara. Sesiapa yang terlibat dalam kancah dan koridor amalan seperti itu menjadi musuh kepada negara dan rakyat.

Sementara itu, individu yang melakukan sesuatu mendatangkan keburukan kepada negara menjadi musuh dalam selimut. Perbuatan dan tindakan itu memberi ancaman kepada kestabilan negara lebih bahaya dan serius berbanding tindakan musuh dari luar negara.   IBRAHIM ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140820