August 22nd, 2014

Hormati institusi mufti

KEDUDUKAN fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan diwartakan oleh pihak kerajaan pernah dicabar di mahkamah beberapa tahun lalu. Dalam kes Sulaiman bin Takrib melawan kerajaan negeri Terengganu di Mahkamah Persekutuan telah dihujahkan bahawa fatwa-fatwa mufti yang telah diwartakan itu adalah tidak berperlembagaan dan terbatal.

Hujahan sebegini mempunyai implikasi yang besar terhadap institusi mufti di Malaysia. Walau bagaimanapun, mahkamah persekutuan memutuskan antara lain bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan diwartakan bukanlah tidak berperlembagaan dan sah mengikut undang-undang.

Kesan daripada penghakiman tersebut fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Malah terdapat kesalahan yang diperuntukkan di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri apabila seseorang itu melanggar fatwa mufti yang telah diwartakan dan boleh dihukum.

Selesai isu kedudukan di sisi undang-undang berkaitan fatwa mufti dengan penghakiman di dalam kes Sulaiman Takrib tersebut tetapi institusi mufti masih lagi diperlekehkan. Pada masa ini masyarakat sudah tidak segan silu lagi mempertikai dan mempersenda fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti. Gambaran yang diberikan mufti mengeluarkan fatwa secara semberono dan tidak ada kajian dilakukan. Apabila ahli jawatankuasa fatwa membuat keputusan secara sebulat suara, hanya mufti sahaja yang menjadi sasaran kritikan seolah-olah mufti secara berseorangan membuat fatwa tersebut.

Beberapa tahun lepas fatwa mengenai ESQ contohnya yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan bukan sahaja di pertikaikan malah dicabar di mahkamah juga. Tidak lama selepas itu fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengenai tarian poco-poco pula dipertikai termasuklah oleh bekas mufti dan ahli politik.

Sebagai pengamal undang-undang, saya membuat analogi dengan mahkamah apabila seorang hakim membuat suatu penghakiman dan seorang bekas hakim membuat suatu penghakiman yang lain, sudah pasti penghakiman yang dibuat oleh hakim itu yang berkuatkuasa bukan penghakiman bekas hakim. Begitu juga dalam kes fatwa ini, fatwa yang dibuat oleh mufti akan berkuatkuasa apabila fatwa tersebut digazetkan.

Mufti juga didesak membuat fatwa dalam kes video seks seorang tokoh pembangkang. Mufti dikatakan mahu menjaga kepentingan diri dan tidak mahu memberikan fatwa dan pandangan.

Namun sebenarnya para mufti telah memberikan pandangan mereka terlebih dahulu seperti Mufti Kerajaan Negeri Perak yang telah dilaporkan pada 26 Mac 2011 oleh sebuah akhbar tempatan. Begitu juga Mufti Negeri Selangor dan Kelantan yang telah pun mengeluarkan pandangan mereka dalam isu ini.

Mungkin kerana liputan yang tidak meluas dalam pandangan mufti ini, ia tidak disedari oleh masyarakat awam sehingga sesetengah masyarakat awam menuduh mufti ingin menjaga kepentingan sendiri.

Realitinya sekarang ini, terlalu ramai yang ingin menjadi ‘mufti’. Orang awam di kedai kopi juga berebut-rebut ingin mengeluarkan fatwanya sendiri berdasarkan kepentingan logik akal dan juga pemahaman mereka sendiri. Mereka tidak menyandarkan pandangan mereka kepada dalil-dalil dan pandangan ulama yang diterima di dalam Islam.

Apabila fatwa mufti pula tidak selari dengan pandangan mereka, fatwa tersebut diherdik tanpa menghormati ulama-ulama yang berada di dalam jawatankuasa fatwa tersebut. Senario ini sebenarnya amat membimbang-kan kerana umat Islam sudah tidak lagi menghormati institusi agama. Inilah cabaran yang dihadapi sekarang apabila satu persatu institusi agama dipertikaikan. Natijahnya, institusi agama ini akan berada jauh daripada hati orang Islam dan tidak lagi akan menjadi rujukan umat Islam.

Atas nama hak asasi, undang-undang Islam seringkali dipertikaikan sama ada oleh orang Islam ataupun yang bukan Islam. Hak asasi sebenarnya tidak memberi tiket kepada seseorang untuk menghina mana-mana agama, khususnya agama Islam yang telah menjadi agama bagi Persekutuan sebagaimana yang terdapat di dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.   ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.myPenuh: Utusan/Bicara_Agama/20140821

Tawaf selamat tinggal

TERDAPAT banyak definisi dan pengertian Tawaf Wada’. Secara umumnya ia ialah tawaf selamat tinggal yang wajib dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan Mekah sejauh dua marhalah atau lebih (lebih kurang 91 kilometer). Ia juga wajib bagi orang yang meninggalkan Mekah dan akan bermukim di luar Tanah Haram selama empat hari atau lebih, walaupun jaraknya kurang dari dua marhalah, sama ada penduduk Mekah atau sebaliknya. Tawaf ini juga dikenali dengan nama Tawaf Al-Sadar, Tawaf Akhir Al-‘Ahdi dan Tawaf Al-Khuruj.

Terdapat banyak dalil berkenaan dengannya. Penulis akan mensyarahkannya berkenaan hadis tersebut dengan menukilkan pendapat Syurrah al-hadis. Antaranya;

Pertama: Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah seseorang kamu meninggalkan Kota Mekah sehingga menjadikan akhir masanya dengan tawaf di Rumah Allah atau Kaabah. (riwayat al-Bukhari 1671, Muslim 1327, Abu Daud 2002, Ibnu Majah 3070, Imam Ahmad 6/431 dan Sunan al-Darimi 1932)

Hadis ini menunjukkan kewajipan tawaf wada’. Jika ditinggalkan dikenakan dam. Inilah pendapat yang sahih di dalam Mazhab Syafie. Ini juga pendapat kebanyakan ulama seperti al-Hasan al-Basri, al-Hakam, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur. Sedangkan pendapat Malik, Daud dan Ibn Munzir hukum tawaf wada’ adalah sunat. Mujahid mempunyai dua riwayat iaitu wajib dan sunat.

Kedua: Daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: Diperintah orang ramai supaya menjadikan akhir masa mereka tawaf di Rumah Allah atau di Kaabah kecuali diringankan bagi perempuan dalam keadaan haid. (riwayat Bukhari 1668, Muslim 1328, Ahmad 6/431 dan Sunan ad-Darimi 1934)

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata di dalam bab Tawaf Wada’. Kemudian beliau menukilkan pendapat Imam Nawawi: Tawaf Wada’ adalah wajib. Dikenakan dam bagi sesiapa yang meninggalkannya mengikut pendapat yang sahih di sisi kami. Inilah juga pendapat kebanyakan ulama. Sedangkan Imam Malik, Daud dan Ibnu al-Munzir berpendapat hukumnya sunat dan tiada dikenakan sesuatu bagi yang meninggalkannya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: Aku melihat dalam kitab al-Awsat bagi Ibnu al-Munzir bahawa beliau berpendapat wajib kerana perintah tersebut tetapi tidak wajib dengan sebab meninggalkannya sesuatupun dam.

Ketiga: Daripada Ibnu Umar r.a katanya: Siapa yang melaksanakan ibadah haji maka hendaklah akhir masanya dengan tawaf di Rumah Allah SWT (yakni tawaf di Kaabah) kecuali perempuan yang haid. Ini kerana Rasulullah SAW telah memberi kelonggaran kepada mereka. (riwayat al-Bukhari 1672, Muslim 1328, al-Turmuzi 944, Imam Ahmad dan al-Darimi 1934)

Hadis ini seperti hadis-hadis di atas menunjukkan betapa perlunya Tawaf Wada’. Tetapi pengecualian diberi kepada wanita haid. Dalam riwayat yang lain dikatakan bahawa Aisyah didatangi haid selepas menunaikan Tawaf Ifadhah dan Rasulullah SAW telah perintahkannya untuk keluar dari Kota Mekah tanpa Tawaf Wada’. Hal yang sama telah berlaku kepada Safiah dan baginda juga telah menyuruhnya berbuat begitu.

Pendapat fuqaha

Hukum Tawaf Wada’ mengikut pendapat fuqaha berdasarkan kitab mereka antaranya:-

Mazhab Hanafi. Pengarang Kitab al-Mabsut 7/426 berkata: Tawaf Al-Sadar atau Tawaf Wada’ hukumnya wajib bagi siapa yang ingin meninggalkan Mekah iaitu mereka yang berada di pelosok dunia selain daripada penduduk Mekah yang ingin pulang ke tanah watan masing-masing maka wajib bagi mereka melakukan Tawaf Wada’.

Mazhab Maliki: Ibnu Rusd al-Maliki dalam Bidayah al-Mujtahid 1/273 antara lain menyebut: Tawaf Wada’ termasuk sunat haji.

Mazhab Syafie: Terdapat dua pandangan dalam Mazhab Syafie seperti berikut:-

Imam Nawawi dalam al-Majmuk Syarah al-Muhazzab 8/253-257 antara lain menyebut dua pendapat berkenaan Tawaf Wada’.

Pertama, wajib: Inilah pendapat Ibnu Abbas dan lainnya.

Kedua, tidak wajib: Ini kerana kalau wajib nescaya tidak diharuskan perempuan yang haid meninggalkannya.

Al-Qadhi Abu Tayyib dan al-Bandaniji hukumnya sunat jika ditinggalkan Tawaf Wada’ maka, sunat juga membayar dam. Ini juga pendapat Imam Syafie berdasarkan qaul qadim.

Menurut Mazhab Hanbali: Ibnu Qudamah dalam al-Mughni 3/458-462 antara lain menyebut: Apabila seseorang pergi ke Kota Mekah dia tidaklah dibenarkan keluar sehingga melaksanakan Tawaf Wada’ di Kaabah iaitu tawaf tujuh keliling dan solat dua rakaat apabila selesai segala urusannya. Kemudian Tawaf Wada’lah sebagai akhir masanya di Rumah Allah atau Kaabah.

Setelah melihat dalil daripada pihak yang mewajibkannya dan juga pihak yang menyatakan hukumnya sunat sahaja, penulis berpendapat bahawa hukum wajib adalah lebih kuat berdasarkan beberapa alasan.

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim). Utusan/Bicara_Agama/20140821

Pelajar Malaysia jadi pilihan

HAJI dan umrah adalah ibadah yang sangat besar dan menjadi rukun kesempurnaan Islamnya seseorang itu. Sungguhpun demikian ramai dalam kalangan umat Islam yang menganggap bahawa ibadah ini boleh ditangguhkan dengan memberikan pelbagai alasan. Antaranya; belum sampai seru, banyak komitmen lain dan duit tidak cukup.

Apapun alasan, sekiranya telah cukup syarat-syarat, apa lagi dengan kudrat yang masih kuat dan sihat, kita digalakkan untuk melaksanakannya. Andai ditangguh atau ditunda, dibimbangi nikmat dan peluang yang Allah SWT kurniakan ditarik balik dan akhirnya, bak kata pepatah, sesal kemudian tiada berguna.

Mempersiapkan diri menunaikan haji atau umrah memerlukan persediaan dari segi fizikal dan mental. Pun begitu, ramai daripada kita terlepas pandang aspek berkaitan kemudahan yang ditawarkan oleh agensi-agensi perkhidmatan haji dan umrah.

Semuanya bertitik-tolak bagi membantu para jemaah melaksanakan ibadat di Tanah Suci Mekah dan Madinah dengan selesa, Sutra Bistari Travel & Services Sdn. Bhd. (Sutra Bistari) berusaha menyediakan mutawif atau mutawifah berkualiti kepada pelanggan pakej umrah dan haji oleh agensi pelancongan tersebut.

Penolong Pengurus Operasi Sutra Bistari, Mohd. Farhan Mohd. Baseri berkata, ilmu agama selain pengetahuan luas mengenai sejarah kota Mekah dan Madinah, Nabi Muhammad SAW serta para sabahat baginda merupakan kelayakan paling utama yang diberi penekanan oleh syarikat berkenaan dalam memilih mutawif.

“Mutawif yang menepati kelayakan berkenaan mampu membimbing jemaah dengan berkesan termasuk dari segi penyampaian dan interaksi,’’ katanya ketika ditemui di Mekah, baru-baru ini.

Menurut Mohd. Farhan, Sutra Bistari kebiasaannya memilih pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Umm Qura, Mekah sebagai mutawif kerana mereka lebih memahami serta arif mengenai subjek hendak diperkatakan, di samping berkebolehan berbahasa Arab.

Permintaan meningkat

Selain itu, katanya, syarikat berkenaan memilih mutawif dari perkampungan Ajyad, Mekah yang terdiri daripada orang Melayu yang belajar agama menerusi sistem pondok di situ.

“Pada musim cuti sekolah lazimnya permintaan terhadap mutawif meningkat. Jika pelajar dari Umm Qura atau golongan agama dari Ajyad tiada, kita membawa mutawif dari Malaysia seperti ustaz pembimbing termasuk bekas pelajar di Mekah yang telah menamatkan pengajian.

“Kami turut mengambil mutawif dari Indonesia yang boleh bertutur dalam bahasa mudah difahami serta bertaraf ustaz atau imam dari Nakasa, Mekah. Paling penting kesemua mereka mesti menepati kelayakan dan kualiti yang ditetapkan,’’ katanya.

Tambah Mohd. Farhan, Sutra Bistari turut menyediakan pembantu mutawif bagi menolak kerusi roda bagi jemaah yang uzur untuk menunaikan umrah.

Di Madinah, katanya, syarikat itu menyediakan mutawifah, antara lain berperanan membawa jemaah wanita memasuki Raudah yang dikatakan salah satu taman di syurga dan tempat doa paling mustajab.

‘’Kebanyakan mutawifah ini terdiri daripada isteri kepada para pelajar Malaysia di Universiti Madinah. Dengan adanya mereka, pergerakan jemaah wanita menjadi lebih mudah dan lancar,’’ katanya.

Dalam pada itu, penulis berpeluang mengikuti rombongan Kembara Tanah Suci bersama Sutra Bistari selama 12 hari di Mekah dan Madinah, baru-baru ini.

Syukur tidak terhingga kerana selain menunaikan umrah, penulis berkesempatan menziarahi lokasi bersejarah dan menarik yang mendatangkan 1001 pengalaman berharga.

Di Madinah, saya menziarahi Masjid Nabawi dengan memakmurkannya menerusi solat fardu di samping berpeluang menziarahi makam Rasulullah SAW dan dua sahabat iaitu Saidina Abu Bakar serta Saidina Umar al-Khattab.

Saya dan rombongan juga dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti berziarah dan bersolat Masjid Qiblatain, melawat lokasi berlakunya peperangan Uhud serta pasar kurma.

Di sekitar Mekah pula berkesempatan melawat Jabal Nur, Gua Tsur dan Jabal Rahmah dekat Padang Arafah yang menjadi tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa, selain beberapa lokasi bersejarah lain.

Orang ramai yang berminat mendapatkan perkhidmatan Sutra Bistari boleh menghubungi talian 03-8739 7052/7053 atau nombor faksimili: 03-8739 7054 atau emel di alamat sutra_bistari@yahoo.com atau layari laman sesawang www.sutrabistari.com.my.Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

Orang ramai yang berminat mendapatkan perkhidmatan Sutra Bistari boleh menghubungi talian 03-8739 7052/7053 atau nombor faksimili: 03-8739 7054 atau emel di alamat sutra_bistari@yahoo.com atau layari laman sesawang www.sutrabistari.com.my. MOHD. SHARIZA ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140821

Mengisi ruang di Raudhah, ziarahi makam Rasulullah

ALHAMDULILLAH, setelah menempuh perjalanan panjang yang memakan masa hampir tujuh jam dari Wisma Haji di Jeddah, akhirnya pada pukul 5.30 pagi semalam waktu tempatan (10.30 pagi waktu Malaysia) petugas media tiba di Madinah.

Perjalanan dari Jeddah ke kota suci kedua itu sepatutnya hanya mengambil masa empat jam, tetapi disebabkan kami berhenti meneguk teh Arab dan solat subuh di sebuah masjid kecil, kira-kira 50 kilometer sebelum sampai ke destinasi, perjalanan bertambah tiga jam lagi.

Sebaik sahaja tiba dan mendaftar masuk ke Hotel Al-Haram, saya bersama wartawan Harian Metro, Ahmad Shahrul Nizam dan seorang pegawai muda Tabung Haji, Haji Syarizzul atau lebih mesra dengan panggilan Ijoy menuju ke Masjid Nabawi yang terletak hanya 50 meter di bahagian belakang hotel penginapan kami.

Memang Masjid Nabi itu menjadi lokasi tumpuan kami terutama terisi di dalamnya Makam junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan satu ruangan sempit di dalamnya dikenali Raudhah. Saiz dan bentuk Masjid Nabawi yang unik dengan payung-payung gergasi di pekarangan luar menakjubkan pandangan mata.

Setelah mengambil wuduk dan memasukkan selipar masing-masing ke dalam karung yang dibawa, kami melangkah masuk dengan penuh debar. Beberapa meter melalui anjungnya, sempat kami meneguk air zam-zam.

Ketika selesai menunaikan solat tahyatulmasjid dan solat sunat di bahagian tengah masjid, tiba-tiba kami dipanggil oleh seseorang yang tidak kami kenali meminta kami segera mengambil peluang solat di Raudhah.

Memang dari awal lagi, kami menjangkakan sukar untuk mendapat ruang bersolat di Raudhah yang penandanya hanya hamparan permaidani berwarna hijau yang tidak sebesar mana. Namun, sebaik sahaja tiba di Raudhah, ruang-ruang untuk solat dan berzikir sudah tersedia ada. Di situ, kami juga sempat berzikir dan memanjatkan selawat ke atas Rasulullah sebelum melalui makam baginda ke pintu keluar masjid.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Di antara rumah dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas telagaku."

Ada pula pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan taman itu adalah tempat itu kelak akan berpindah ke akhirat. Selain itu, Makam Nabi dulunya adalah bekas rumah Rasulullah dan mimbar yang ada sekarang di Masjid Nabawi adalah tempat Nabi berkhutbah sambil berdiri bersandarkan batang kurma. Mimbar khusus dibina untuk baginda selepas iyu atas syor para sahabatnya.

Dalam satu hadis lain, Rasulullah bersabda: "Mimbarku adalah pintu dari pintu-pintu syurga."

Berdasarkan kepada hadis-hadis itu, tidak hairanlah kenapa Raudhah menjadi antara sasaran utama para jemaah haji dari seluruh dunia.

Kami bersyukur. Dan peluang di Masjid Nabawi termasuk di Raudhah itu saya ambil untuk turut menitipkan doa-doa kepada-Nya demi kebahagiaan orang tersayang, keluarga serta kesejahteraan syarikat dan rakan-rakan termasuk seorang dua rakan akrab yang sedang berdepan dengan penyakit berbahaya. ZULKIFLI JALIL Utusan/Rencana/20140822

Berkabung dan tafakur semai sifat kewatanan

BERKABUNG kerana kematian dan tafakur kerana mengingati yang pergi boleh menyemai semangat kewatanan atau patriotisme yang tinggi. Hari ini adalah hari berkabung di seluruh negara sempena ketibaan jenazah penumpang pesawat MH17 yang ditembak jatuh baru-baru ini.

Selalunya isu-isu negara dipolitikkan. Isu MH17 pernah dibawa ke Parlimen dan seluruh ahli parlimen Malaysia menyatakan kesedihan dan kepiluan akibat kejadian tersebut.

Malang tidak berbau, MH17 menjadi sasaran pihak tertentu hingga menyebabkan ditembak jatuh dan mengorbankan seluruh penumpang majoritinya rakyat Belanda. Peristiwa malang ini juga melibatkan rakyat Malaysia dari berbilang kaum.

Malaysia berkabung pada hari ini bagi menyambut ketibaan mangsa dan diberi penghormatan negara di samping harapan setiap warganegara bertafakur sejenak mengingati yang pergi.

Peristiwa malang yang menimpa MH17 amat mengejutkan semua pihak. Ia berlaku selang beberapa bulan Malaysia kehilangan sebuah pesawat MH 370 yang sehingga masih belum ditemui lagi.

Cabaran ini terlalu pahit untuk Malaysia. Mengurus krisis bukanlah satu hal yang mudah. Ia menuntut kesabaran yang tinggi dan kebijaksanaan supaya peristiwa-peristiwa ini dapat ditangani secara berhemah.

Bayangkan kesedihan yang ditanggung oleh keluarga mangsa tidak terucap dengan kata-kata. Berkabung dan bertafakur adalah lambang simpati kita kepada mereka.

Simpati ini sangat penting bagi setiap warga Malaysia lantaran sifat kebersamaan yang ada lebih-lebih lagi menjelang kita menyambut ulangtahun Hari Kemerdekaan yang ke-57.

Semangat patriotisme adalah sesuatu yang fitrah bagi setiap warganegara kerana peristiwa malang ini mengatasi perbezaan kaum dan etnik, sistem kepercayaan dan juga fahaman politik.

Sewaktu Malaysia mengecapi kesejahteraan dan kejayaan kita sama-masa bersyukur kerana turut merasakannya dan sewaktu negara menghadapi cabaran dan krisis seharusnya semangat kekitaan dan kebersamaan wujud kerana prinsip setia dan kasihkan negara tetap menjadi prinsip yang paling utama.

Perkabungan dan tafakur jarang-jarang berlaku bagi Malaysia. Kualiti manusiawi adalah sesuatu yang fitrah. Sifat prihatin terhadap nasib orang lain seharusnya menjadi resam budaya kita. Ia akan merintis jalan menghormati satu sama lain dan ia baik untuk memupuk nilai perpaduan bagi masyarakat Malaysia.

Mengurus Malaysia sebagai masyarakat yang majmuk bukanlah mudah. Berpegang kepada prinsip berbezalah kepada hal-hal yang mengizinkan perbezaan dan bersatulah kepada perkara yang membolehkan kita bersatu adalah suatu prinsip yang murni.

Prinsip ini kalau dapat dikembangkan secara rasional dan proaktif bakal mendidik generasi muda tentang pentingnya sifat saling menghormati dan menyantuni orang lain. Resam kesalingan ini menjadi landasan yang terbaik supaya toleransi dan harmoni berlaku.

Toleransi dan harmoni ini amat penting disuburkan di Malaysia. Ia menjadi landasan yang asas membentuk watak orang Malaysia yang berbudi tinggi, menghormati orang lain dan sedia berkorban untuk kesejahteraan negara.

Kalau ada dalam kalangan kita orang yang mementingkan diri sendiri, peduli apa dengan orang lain, tiada simpati kepada yang ditimpa malang dan musibah ia ibarat seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Perkabungan yang dilakukan dengan ikhlas, tafakur yang terjadi walaupun sejenak memberi makna kepada kita akan amanah kenegaraan yang menuntut kesetiaan terhadap perkara yang patut kita setia dan simpati terhadap hal-hal yang memerlukan simpati.

Asas ini penting dalam proses bina negara supaya kita memiliki tanggungjawab tinggi dan jiwa kepunyaan yang hebat terhadap negara yang kita sayangi ini.

Justeru rasa kepedulian terhadap apa yang berlaku amat dituntut. Bayangkan kalau hari ini malang menimpa orang lain dan kita tidak merasakan apa-apa, tunggulah masanya malang menimpa kita, orang lain boleh tidak turut merasakan apa-apa yang berlaku.

Perkabungan dan tafakur adalah lambang yang amat bermakna kepada sebuah negara Malaysia kerana rakyatnya memiliki kualiti manusiawi yang tinggi.   JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140822