August 26th, 2014

Buat kebaikan semasa hidup

MENJADI seorang yang beramal, beriman dan bertakwa sangatlah payah jika tidak mempunyai ilmu. Justeru, ilmu memandu kita ke arah kejayaan di dunia dan juga di akhirat.

Agama Islam adalah agama yang menganjurkan kepada penganutnya untuk berfikir dan mendorong mereka agar berbuat kebaikan dalam semua perkara. Justeru, sebagai umat Islam perlu bersyukur kerana diberikan nikmat iman dan Islam.

Nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia adalah kesihatan tubuh badan, keamanan dan kemakmuran, iman, Islam dan kemerdekaan serta kesempurnaan fizikal dan mental.

Berkaitan dengan Islam, Sufyan bin Abdullah berkata: Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang Islam. Aku tidak akan bertanya lagi kepada orang lain." Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ikrarkanlah (katakan): Aku beriman kepada Allah, kemudian berlakulah jujur (istiqamah). (riwayat Muslim)

Melakukan kebaikan juga adalah ibadat. Banyak jenis amal kebaikan atau ibadat, daripada sekian banyak ibadat itu tidak sama pahalanya. Ada yang tergolong kecil sedikit pahalanya dan ada yang tergolong sederhana dan ada yang lebih besar pahalanya. Dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama pahalanya seperti orang yang melakukannya. (riwayat Bukhari)

Ada jenis amal kebaikan dan ibadat yang dijanjikan dengan balasan syurga, ada ibadat yang dikerjakan akan menghapuskan dosa dan banyak lagi fadilat atau kegunaan lainnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa melapangkan kesusahan (kesempitan) untuk seorang mukmin di dunia, maka Allah akan melapangkan baginya kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat dan barang siapa memudahkan kesukaran seseorang maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat.

Menutup aib

Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba yang suka menolong kawannya. Barang siapa menempuhi jalan menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Suatu kaum yang berkumpul dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, bertilawah al-Quran dan mempelajarinya bersama, maka Allah akan menurunkan ketenteraman dan menaungi mereka dengan rahmat. Para malaikat mengitari mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka dalam kalangan para malaikat di sisi-Nya. Barang siapa lambat dengan amalan-amalannya maka tidak dapat dipercepat dengan mengandalkan keturunannya. (riwayat Muslim)

Oleh itu, dalam melakukan amalan yang baik kita sepatunya menyegerakannya. Segala kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan pahala daripada Allah SWT. Telah dijelaskan kebaikan itu banyak tetapi pengamalnya sedikit.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa yang membuat kebaikan untuk Islam, maka baginya pahala orang yang melakukan setelahnya dan pahala mereka tidak dikurangi sedikit pun. Dan barang siapa yang membuat keburukan untuk Islam, maka baginya dosa dan dosa mereka tidak dikurangi sedikit pun. (riwayat Imam Muslim)

Jangan sesekali kita melakukan keburukan, kerana keburukan itu bukan sahaja menambahkan dosa, malah menjadikan seseorang itu sukar untuk berbuat kebaikan kepada dirinya dan juga orang lain. Antara dosa besar yang mesti dihindari, menghina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa, menipu dan berbohong, mencuri dan merompak, riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, mengumpat dan memfitnah.

Sementara, dosa besar yang membawa kehancuran umat antaranya minum arak dan menagih dadah, melakukan zina, menuduh zina, liwat dan musahaqah, dan membunuh diri yang mesti dijauhi. DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan/Bicara_Agama

Ilmuwan Islam yang zuhud

ABDURRAHMAN al-Khazin merupakan salah seorang ilmuwan Muslim terkemuka dalam bidang fizik, mekanik dan astronomi. Catatan sejarah menyebut Al-Khazin merupakan seorang ilmuwan yang telah lama dilupakan oleh kaum Muslimin. Sejak kebelakangan ini sahaja beliau mula mendapat perhatian daripada sebahagian kaum Muslimin.

Nama sebenar beliau ialah Abu Al-Fath Abdurrahman Al-Khazini. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Al-Khazin. Di dunia Barat, beliau dikenali dengan nama Alkhazen. Kesamaan ejaan dalam bahasa-bahasa yang terdapat di Eropah antara nama Al-Khazin dengan nama popular daripada Hasan bin Ibnu Haitsam telah menyebabkan adanya ketidakjelasan dan tertukarnya identiti kedua-dua ilmuwan terkemuka ini.

Ini harus diperhatikan bahawa nama Al-Khazin banyak disebutkan dalam rujukan dan kitab-kitab Arab.

Dr. Jamaluddin al-Fandi di dalam satu kajiannya yang diterbitkan bersama kumpulan kajian-kajian tentang peradaban Islam yang terbit sempena 15 abad Hijrah menyebutkan bahawa nama Al-Khazin adalah Abdurrahman Abu Ja’far Al-Khazin. Sedangkan, Dr. Karam Ghanim di dalam bukunya, Malamith Min Hdharatin Al Ilmiah Wa A’lamuha Al-Muslimin, menyebutkan bahawa nama lengkap Al-Khazin adalah Abu Manshur Abu Al-Fath Abdurrahman Al-Khazini.

Tentang tempat kelahiran dan kehidupan Al-Khazin, boleh dikatakan tidak banyak diketahui. Namun menurut pendapat majoriti ahli sejarah, beliau dilahirkan pada pertengahan pertama dari abad keenam hijriyah, di kota Marwu di kawasan Khurasan, Parsi.

Beliau menimba ilmu di tempat kelahirannya. Imam Baihaqi menyebutkan bahawa Al-Khazin adalah seorang hamba Romawi milik Ali Al-Khazin Al Maruzi, lalu dia memakai nama tuannya.

Kesederhanaan

Al-Khazin adalah seorang yang zuhud, beliau rela menerima segala bentuk kesederhanaan, baik dalam makanan, pakaian, mahupun kehidupan. Oleh kerana itu, beliau sering berupaya menolak hadiah para penguasa dan pegawai dengan mengatakan, “Bagiku tiga dinar sudah cukup untuk biaya hidup selama setahun. Aku tidak memiliki apa-apa di rumah selain seekor kucing."

Al-Khazin berjaya mencipta suatu alat yang berfungsi untuk mengukur ketebalan udara dan gas (alat tersebut sejenis aerometer). Ketika nilai ketebalan tergantung kepada suhu udara, maka alat yang dia temukan merupakan langkah awal yang amat penting dalam mengukur suhu udara.

Penemuan Al-Khazin ini telah memberi jalan bagi ilmuwan Itali yang bernama Galileo Galilei (1564 -1642 Masihi) untuk menciptakan thermometer.

Dalam bidang ilmu astronomi, Al-Khazin melakukan pemantauan yang amat lengkap yang pada akhirnya menjadi rujukan dan acuan bagi ilmuwan astronomi dalam waktu yang cukup lama. Di antaranya pemantauan terhadap posisi beberapa bintang.

Buku Mizan Al-Hikmah merupakan salah satu buku ilmu pengetahuan alam terpenting yang ditulis oleh ilmuwan Muslim ini. Buku ini dianggap penting kerana mencakup banyak riset baharu dan pembahasannya yang banyak menghuraikan hal-hal baharu yang tidak dikenal dan diketahui sebelumnya.

Misalnya, perluasan ruang lingkup kaedah Archimedes sehingga kaedah tersebut juga mencakup prinsip tentang gas, riset tentang ketebalan udara dan riset-riset lain yang baru saja kita sebutkan dalam karya-karya ilmiah Al-Khazin.

Sementara itu, buku Az-Zaij Al-Mu’tabar As-Sanjari pula membicarakan tentang ilmu astronomi. Al-Khazin menamai bukunya ini dengan nama Sultan Sanjar.

Hal terpenting yang dimuat dalam buku ini adalah hasil pemantauan yang dilakukan oleh Al-Khazin terhadap posisi beberapa bintang pada tahun 509 Hijrah. Di samping itu, juga terdapat beberapa pemantauan penting yang dimuat dalam buku ini.   Utusan/Bicara_Agama/20140826

Waspada kumpulan Khawarij

SUATU hari Abdullah bin khabbab tengah bermusafir bersama isterinya. Di tengah perjalanan, mereka dihadang oleh sekumpulan Khawarij.

Kumpulan ini secara zahirnya sangat Islam. Dahi mereka hitam kerana sering bersujud. Mereka sangat tekun membaca al-Quran dan berzikir. Apabila salah seorang daripada mereka melukai seekor babi miliki bukan Islam, ia terus meminta maaf dan meminta dihalalkan.

Bagaimanapun, perlakuan mereka kepada kaum Muslimin sangat kejam. Setiap Muslim yang tidak sefahaman dengan mereka akan dihukumkan mereka sebagai kafir. Walaupun orang tersebut ialah tokoh-tokoh besar daripada kalangan sahabat Nabi SAW.

Abdullah bin Khabbab anak seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Khabbab bin al-Arat. Ayahnya ini termasuk dalam kalangan orang yang terawal memeluk agama Islam di Mekah.

Meskipun begitu, kumpulan Khawarij menyembelih Abdullah tanpa belas kasihan. Bahkan, mereka turut membunuh isteri Abdullah yang sedang hamil, lalu membelah perutnya.

Khalifah Ali bin Abi Talib segera membawa pasukan untuk memerangi kumpulan ini. Sepanjang pertempuran, kumpulan Khawarij melaungkan kalimat: “Tiada hukum melainkan hukum Allah. Mari sama-sama kita ke syurga!"

Dalam pertempuran itu, seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Ayub al-Ansari menikam salah seorang daripada kumpulan ini dengan tombaknya. Beliau berkata: “Bersiaplah ke neraka wahai musuh Allah!"

Orang itu menjawab: “Kita lihat nanti siapakah di antara kita berdua yang lebih patut masuk neraka!"

Ideologi menyimpang

Demikian sedikit kisah berkenaan kumpulan Khawarij sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

Menurut Ibnu Taymiah, pandangan yang dibawa oleh kumpulan Khawarij merupakan bidaah pertama dalam sejarah Islam. Mereka mengkafirkan setiap Muslim yang menyalahi pandangan mereka, bahkan mereka menghalalkan darah dan hartanya.

Walaupun secara zahirnya kumpulan ini sangat tekun beribadah, namun hakikat pemahaman mereka terhadap Islam menyalahi ajaran Nabi SAW dan amalan para sahabat.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Akan keluar di akhir zaman nanti sekumpulan pemuda yang berfikiran sempit, mereka membaca al-Quran, namun bacaan itu tidak melebihi kerongkongan mereka. Mereka mengucapkan kata-kata yang sangat baik, namun mereka telah keluar daripada agama sebagaimana anak panah meninggalkan busurnya." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sayidina Ali telah menumpaskan Khawarij. Namun sebagai sebuah pemikiran dan ideologi, Khawarij tidak dapat dibanteras dengan senjata. Ia hanya boleh dilawan dengan ilmu dan hujah.

Apabila Sayidina Ali selesai membanteras kumpulan Khawarij, orang ramai mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut. Namun beliau berkata: “Tidak, demi Allah, mereka masih ada dalam tulang sulbi ramai laki-laki dan rahim ramai perempuan."

Justeru, pelajarilah Islam menerusi para ulama dan tokoh ilmuwan yang berintegriti. Hindari daripada menerima maklumat daripada sumber yang majhul dan tidak bertanggungjawab.   Utusan/Bicara_Agama