August 28th, 2014

Lambang kebenaran Islam

KEJADIAN ribut, gempa bumi, banjir dan banyak lagi musibah benar-benar menginsafkan kita. Kita wajib bersyukur apabila kita di Malaysia tidak mengalami ujian besar daripada Allah SWT itu.



Dalam situasi penderitaan yang dialami oleh seluruh mangsa akibat daripada bencana yang menimpa tersebut, kita rasa berbangga dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh segenap lapisan masyarakat untuk menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat melalui tabung derma yang dilancarkan.

Islam sendiri membawa kepada prinsip berbaik-baik sesama manusia. Al-Quran dan sunnah banyak menggariskan amalan-amalan yang boleh mendorong manusia berbuat baik sesama manusia. Tujuannya adalah untuk melahirkan individu insan yang sejahtera, keluarga yang bahagia, masyarakat yang penyayang, negara yang aman dan bersatu padu.

Bagi melaksanakan matlamat tersebut, Rasulullah SAW adalah sebagai qudwah hasanah telah melaksanakan konsep sedekah sebagai pelaksana pelbagai bentuk kebaikan yang dinyatakan itu. Baginda telah menganjurkan bahawa setiap pergerakan sendi manusia itu dikira sebagai sedekah dan sedekah itu dikira sebagai suatu kebaikan dan setiap satu kebaikan pula akan diberi nilai 10 hingga 70 atau 700.

Konsep setiap amar makruf adalah sedekah telah dinyatakan oleh baginda terhadap segala kebaikan dilakukan manusia. Justeru, ramailah dalam kalangan manusia yang berpeluang untuk memperoleh kelebihan pahala memandangkan ia terlalu mudah untuk dilaksanakan tetapi perlulah dengan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dengan sempurna, di samping ciri-ciri keikhlasan dan keinsafan dalam diri masing-masing.

Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari telah bersabda yang bermaksud: “Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang yang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan menaikkan barangannya ke atas binatang tunggangannya adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk pergi mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan adalah sedekah."

Setiap kebaikan yang dilakukan, sama ada dalam bentuk rohani dan fizikal sebenarnya adalah sedekah. Amalan sedekah juga adalah satu lambang kebenaran iman kerana makna sedekah itu sendiri bermaksud ‘benar’. Orang yang bersedekah adalah mereka yang benar dan mempercayai kebenaran ajaran Islam yang suci.

Setiap orang yang benar dan berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah SWT dengan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat. Orang yang bersedekah adalah dermawan, manakala yang bakhil adalah seteru Allah.

Dalam surah al-Lail, Allah telah menyatakan tentang sifat kedekut dan ego, di mana orang yang bersifat demikian kehidupannya akan dipenuhi dengan liku-liku yang sukar dan bermasalah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tuhan tidak akan merahmati sesiapa yang tidak berperikemanusiaan, iaitu tidak bersifat kasih sayang terhadap orang lain.

Pahala berganda

Daripada konsep sedekah itu sendiri al-Sunnah telah menggariskan suatu keterangan iaitu berkaitan ganjaran pahala berganda bagi penganjur amalan baik dan makruf, di samping dosa berganda pula bagi mereka yang menganjur amalan keji dan maksiat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim dan al-Nawawi, baginda bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memulakan satu amalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukan kebaikan itu selepas ia mati tidak dikurangkan walaupun sedikit. Dan sesiapa yang memulakan satu amalan buruk dan keji yang melakukan amalan itu selepas daripada kematiannya, maka tidak sedikit pun dosa amalan itu dikurangkan.

Terdapat sebuah hadis Nabi SAW yang turut berbicara berkaitan konsep sedekah iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, di mana beliau menceritakan tentang beberapa orang sahabat baginda: “Wahai Rasulullah, orang kaya mendapat banyak pahala. Mereka solat seperti mana kami bersolat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah dengan harta mereka yang lebih.

Rasulullah SAW pun bersabda: “Tidakkah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap satu tasbih adalah sedekah, setiap satu takbir adalah sedekah, setiap satu tahmid adalah sedekah, setiap satu tahlil adalah sedekah, setiap suruhan makruf adalah sedekah, setiap tegahan daripada kemungkaran adalah sedekah, jimak seorang dari kamu adalah sedekah.

Para sahabat berkata, ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi syahwatnya, dia diberikan pahala? Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah kamu ingat bahawa jika sekiranya dia melepaskannya pada yang haram, tidakkah dia akan berdosa? Maka demikianlah, jika dia melepaskan syahwatnya pada yang halal nescaya dia akan mendapat pahala."

Kedua daripada segi perolehan pahala berganda, Islam tidak pernah melihat kepada taraf kedudukan atau daripada aspek kaya dan miskin seseorang itu, kerana setiap insan mukmin sentiasa mempunyai peluang untuk memilikinya.

Galakkan berbuat kebaikan tidak akan memberatkan manusia, kerana Islam sendiri menjanjikan bahawa apa saja bentuk kebaikan yang dilakukan akan memperoleh pahala yang jelas daripada Allah SWT.

Sesungguhnya konsep bersedekah merupakan suatu motivasi yang cukup kuat kepada seseorang untuk menjadikan diri mereka lebih sempurna, sekali gus menjadi Muslim sejati yang mempunyai keperibadian unggul serta menjadi contoh ikutan umat yang lainnya. WAN MARZUKI WAN RAMLI Utusan/Bicara_Agama/20140827

Nasihat kepada bakal haji

IBADAT haji merupakan ibadat yang perlu dilaksanakan bagi setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa. Dalam mengerjakan ibadat yang merupakan rukun Islam yang kelima ini, suasana kepelbagaian budaya dan adat resam menuntut keimanan yang tinggi, kesabaran yang jitu dan sifat pengorbanan serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain lahir daripada ketakwaan seseorang Muslim itu.

Justeru, bakal-bakal haji perlulah membuat persediaan, sama ada daripada segi ilmu, mental, rohani dan jasmani. Bakal haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah melalui kursus dan bahan penerbitan Tabung Haji, memahami proses-proses urusan haji di Tanah Suci dan menyediakan keperluan sama ada dari segi pakaian, peralatan dan memperoleh maklumat berhubung keadaan di Mekah dan Madinah agar dapat melakukan ibadat haji dalam keadaan tenang serta mengharapkan keredaan Allah.

Sebelum memulakan perjalanan murni ini, betulkan niat dengan penuh ikhlas pergi ke Tanah Suci semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, memperbanyakkan taubat sebelum ke Tanah Suci, meninggalkan perkara-perkara maksiat dan melalaikan serta meminta maaf dan keredaan semua orang terutama ibu bapa, suami/ isteri dan sanak-saudara.

Di Tanah Suci, hampir tiga hingga empat juta jemaah haji berkumpul di satu tempat pada masa yang sama. Dalam keadaan yang telah ramai ini akan menimbulkan keadaan yang kurang selesa. Oleh itu, pengurusan diri (kendiri) amatlah penting semasa berada di tengah-tengah lautan manusia ini. Jemaah haji dinasihatkan untuk merancang dan mengatur aktiviti harian supaya ia berjalan lancar dan dapat menyempurnakan ibadat dengan baik.

Memandangkan keadaan cuaca di Tanah Suci pada tahun ini memasuki era musim panas adalah disarankan semua jemaah haji menjaga diri agar kesihatan tidak terjejas. Jemaah haji disarankan minum air dengan banyak supaya tidak mengalami gejala kekurangan air atau “heat stroke."

Penjagaan kesihatan ini penting supaya jemaah haji dapat menumpukan perhatian kepada amalan ibadat sepanjang berada di Tanah Suci. Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan nama baik negara kerana jemaah dari Malaysia sangat dipandang tinggi oleh kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji contoh.

Mereka hendaklah sentiasa mengikut peraturan dan nasihat daripada Tabung Haji serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik negara seperti demonstrasi dan melanggar peraturan kerajaan Arab Saudi. Berilah kerjasama kepada petugas Tabung Haji, tolong menolong dan bertolak ansur sesama jemaah haji.

Akhir kata, jemaah haji perlulah bersiap sedia dengan maklumat perjalanan, barang-barang keperluan dan buku-buku panduan sebagai persediaan menghadapi perjalanan haji ini. Jemaah haji diingatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang berada di Tanah Suci. Ingatlah perjalanan ini adalah perjalanan ibadat bukan perjalanan lawatan pelancongan. Satu perjalanan menuju Ilahi.

Pengharapan saya adalah semoga semua jemaah haji Malaysia dapat pergi dan balik dengan selamat, melalui satu proses perubahan ke arah yang lebih baik, menjadi seorang yang soleh wa musleh di mana berperanan dalam pembangunan ummah dan negara.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menunaikan haji. Semasa kembalinya tuan-tuan dan puan-puan nanti ke tanah air seolah-olah kembalinya itu seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya, suci bersih dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.   DATUK SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN ialah Pengurus Besar Kanan (Haji). Utusan/Bicara_Agama/20140827

Orang hebat tidak abai masa

Hidup dimanfaatkan dengan mencari pahala sebanyak mungkin

"Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dan akan terkejut bila kematian datang secara mendadak."

Titipan pesanan Saidina Ali Abi Talib ini, saya kongsikan sebagai mukadimah perkongsian inti pati Islam Itu Indah oleh Pahrol Mohd Juoi minggu lalu yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm.

Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati kelak, barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat 'melihat' hidup dengan jelas dan tepat.

Ironinya, saban hari bangun dari tidur, doa di panjangkan tanda syukur dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia bererti dikurnia peluang, kesempatan dan harapan. Bagi yang taat, hidup adalah peluang, kesempatan dan harapan untuk mencambah lebih banyak ketaatan. Meminjam semangat hukama "Buat baik sehingga letih buat maksiat". Sesungguhnya berbuat baik itu tiada penghujung.

Peluang bertaubat

Bagi mereka suka melakukan maksiat, kesempatan hidup sebagai peluang untuk mengaku kesalahan dan bertaubat. Allah terus beri hidup pada yang berdosa, bukan untuk menambah dosa, tapi hakikatnya itulah peluang untuk bertaubat dari dosa yang dilakukan.

Maha Suci Allah, usia yang Allah berikan pada kita sebenarnya satu rahmah bukan saja pada mereka yang taat, tetapi juga buat mereka yang dalam maksiat.

Al-Quran menerusi Surah Al-Hajj ayat 47 Allah berfirman mafhum-Nya "Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, pada hal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-Nya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung."

Sebagai perbandingan, satu hari di akhirat adalah bersamaan dengan 1000 tahun di dunia. Ini bermakna jika usia kita seperti junjungan mulia Nabi Muhammad SAW iaitu 63 tahun, maka ia bersamaan dengan satu jam setengah saja hidup di akhirat.

Dengan pengiraan ringkas itu terasa hidup ini terlalu singkat. Allah mengingatkan kita menerusi Surah Yunus ayat 45 mafhum-Nya "Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat saja dari siang hari.

Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya. Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia)."

Sungguh tepat seperti yang dinukilkan Imam as-Shafie mengenai keanehan melihat masa yang berlalu terlalu laju tetapi lebih aneh lagi melihat manusia yang lalai.

Melihat kepada kehidupan, ia umpama memasuki dewan peperiksaan. Segala macam perasaan hadir sebelum, semasa dan selepas peperiksaan berlangsung. Rasa gusar berbaur resah bercampur gentar menjadikan diri terus waspada, hati-hati dan sifat mencuba yang tidak pernah kenal erti kalah dan mengalah hadir dengan latih tubi yang jitu dan padu.

Dengan hanya berbekalkan satu jam setengah segala usaha dicurah untuk menjawab soalan yang datang daripada Allah berupa ujian kehidupan.

Hanya yang membezakan adalah kertas soalan peperiksaan di dewan peperiksaan adalah sama untuk semua calon peperiksaan dengan peruntukan masa yang sama dan ditetapkan.

Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya.

Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Kesal masa diisi dengan dosa

Imam Al-Ghazali menerusi Ihya' 'Ulumiddin menyatakan bahawa ada orang yang menyesal bukan saja kerana masa itu diisi dengan dosa, tetapi masa yang tidak diisi dengan apa-apa pun bakal menjadi penyesalan yang amat sangat.

Dibayangkan umpama kotak masa yang akan hadir ketika di Padang Mahsyar. Apabila kita membuka kotak masa yang pertama penuh dengan pahala.

Alhamdulillah, pastinya kita yang diidam dan didambakan membuat hati menjadi lapang. Akan menjadi dukacita, jika satu kotak yang hadir penuh dengan dosa kita. Nauzubilla, sudah pasti kita akan menyesal tidak terhingga.

Dan bayangkan, jika satu lagi kotak adalah kotak kosong, itu pun menurut Imam Al-Ghazali akan dikesalkan oleh kita.

"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu), "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (Surah as-Sajadah ayat 12). Penyesalan yang amat besar bagi penghuni akhirat sehinggakan jika di beri peluang dan ruang untuk kembali ke dunia mereka akan manfaatkannya walau berkesempatan untuk mengungkapkan Subhanallah.

Di akhirat kelak kita akan diperlihatkan kehebatan Subhanallah saja sudah sebesar Bukit Uhud. Dan jika kita mampu melihat kehebatan itu sekarang sudah pasti bibir kita tidak lekang dari bertasbih tanpa ada sesaat pun yang akan dibazirkan.

Orang tua berpesan, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Keyakinan pada waktu itu sudah terlambat dan tidak memberi apa-apa kesan kerana sesungguhnya nikmat hidup hanya akan dinikmati apabila kita mati kelak.

Jadi bersiaplah untuk akhirat kita ketika di dunia ini. Hidup di dunia untuk akhirat.

Hukama mengatakan perjalanan menuju kematian bermula sebaik saja kita dilahirkan. Hari ini dan hari seterusnya hanya sisa umur saja. Manfaatkan sisa umur kita bukan sekadar kerja keras tetapi kerja cerdas. Wujudkan kesedaran untuk kita manfaatkan masa yang bersisa dengan memanjangkan amal kita dari modal usia yang Allah berikan seoptimumnya.

Ingatlah, orang yang hebat dalam masa satu jam dia dapat menghasilkan banyak pahala, tetapi orang yang malang dalam kehidupan yang panjang sedikit pahala pun tidak diperoleh kerana sifat yang di namakan lalai. Moga kita semua terhindar dari sifat lalai ini. Insya-Allah.

Norhayati Paradi ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm Berita Harian Agama KHAMIS, 28 OGOS 2014 @ 6:10 AM bhagama@bh.com.my

Selami sejarah hijrah Nabi SAW

SETELAH 57 tahun mencapai kemerdekaan, sudah pasti agenda utama hari ini adalah soal pengisian kepada kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 itu.

Namun, pengisian itu tidak akan mampu dibuat tanpa nilai akhlak, ilmu dan kemahiran. Begitu pun, pengisian yang melupakan aspek kekuatan jiwa dan kerohanian akan membawa kepada pengisian yang cacat dan pincang.

Kepentingan kerohanian tersebut sejajar dengan era globalisasi hari ini. Budaya dan pemikiran yang terpesong daripada landasan Islam begitu mudah tersebar, sama ada kita sedari atau tidak.

Firman Allah dalam surah al-Jathiyyah ayat 23 yang bermaksud: Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya) dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar) dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?

Pakar psikologi Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham menyatakan bahawa aspek kekuatan jiwa dan kerohanian yang mantap akan menjadi benteng dalam menangani cabaran dan dugaan di era globalisasi.

Penjajahan pemikiran

“Cabaran utama kini lebih kepada penjajahan pemikiran yang boleh menggugat akidah seperti pluralisme, liberal atau wujud kelompok fahaman ajaran agama yang berbeza seperti syiah, wahabi, ajaran sesat dan lain-lain," katanya ketika ditemui di UKM, baru-baru ini.

Justeru, pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM itu menegaskan bahawa usaha pengisian tersebut seharusnya tidak menggambarkan bahawa akidah atau kepercayaan kita itu masih terkongkong.

Ini kerana, jelasnya, akidah yang berpaksikan kepada Rukun Iman dan Rukun Islam mesti diterjemahkan dalam perbuatan, akhlak dan tingkah laku.

Dengan kata lain, ia seharusnya berlandaskan kepada perintah Allah SWT iaitu melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

“Jika kita masih terkongkong dengan membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT, saya anggap kita masih belum merdeka. Lebih buruk lagi, kelalaian kita itu bukan hanya akan memberi kesan buruk kepada imej Islam di mata penganut agama lain tetapi bangsa dan negara sendiri," katanya.

Kalau menyingkap sejarah hijrah Rasulullah SAW ke Madinah adalah untuk mendapat kemerdekaan daripada cengkaman bangsa Quraisy. Ini supaya Nabi SAW dan para sahabat yang memeluk Islam dapat kebebasan untuk berpegang kepada akidah Islam, melaksanakan ajaran Islam dan yang paling utama mewujudkan sebuah negara Islam yang merdeka.

Ternyata aspek akidah dan ilmu itu dilihat menjadi pencetus kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Lagipun, ia selaras dengan tuntutan agama Islam sendiri.

Rasulullah SAW begitu bersungguh-sungguh mencari alternatif untuk ‘merdeka’ kan umat Islam. Bukan hanya untuk mengelak daripada terus menderita tetapi juga bagi menyelamatkan akidah mereka.

Kebebasan

Tidak hairanlah, Dr. Fariza menyifatkan sejarah hijrah itu sendiri menggambarkan keinginan baginda bagi mendapat kebebasan untuk agama Islam dan penganutnya.

“Di Madinah, mereka bukan hanya dapat mengerjakan suruhan agama tetapi dapat menyebarluaskan ajaran Islam, menuntut ilmu dan mewujudkan sebuah tamadun Islam yang disegani.

“Kalau di Mekah, mereka hidup dalam ketakutan, dihina dan didera, tetapi di Madinah mereka bebas sehingga berjaya mendirikan sebuah negara Islam," katanya.

Selain soal akidah, umat Islam perlu mengisi kekuatan akal melalui usaha menimba ilmu pengetahuan dan juga kemahiran untuk dunia mahupun akhirat. Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. (Mujadalah: 11)

Malah, Dr. Fariza turut menyeru supaya umat Islam mengambil semangat daripada surah tersebut supaya wujud keseimbangan antara tuntutan dunia dan juga akhirat dalam proses untuk mengisi kemerdekaan.

“Kalau tidak, kita akan dianggap merdeka dengan mementingkan keseronokan dunia tanpa ada bekalan untuk hari akhirat," katanya lagi. HASHNAN ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140828

Nikmat Allah tidak terhingga

ANTARA nikmat Allah SWT yang terbesar kepada umat manusia adalah kemerdekaan secara fizikal dan rohani. Tetapi tidak semua negara atau bangsa yang dapat menikmati kedua-duanya sekali.

Masih ada bangsa dan negara yang mendiami dunia ini semenjak dari dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti berjuang untuk menikmati kemerdekaan yang sebenar.

Kehidupan mereka bukan hanya terbelenggu daripada segi pembangunan material tetapi juga untuk beragama atau tunduk kepada Allah SWT dengan penuh ketenangan adalah sukar.

Atas sebab itulah, Islam memberi penekanan amat tinggi terhadap falsafah kemerdekaan yang tidak hanya memfokuskan kepada merdeka tanah air tetapi juga jiwa dan pemikiran umat Islam itu sendiri.

Jiwa dan pemikiran umat Islam yang merdeka seharusnya berteraskan akidah yang diajar oleh agama supaya mereka mampu menghadapi cabaran dan dugaan masa kini seperti murtad, ajaran sesat, liberal, budaya songsang dan lain-lain.

Malah, ia juga sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77)

Bagi penceramah bebas, Dr. Mohd Sukki Othman menyifatkan dalam konteks Malaysia sendiri, usaha pengisian sedemikian amat penting bagi memperkasakan jiwa dan pemikiran manusia agar lebih dekat dengan Allah SWT.

“Walaupun merdeka tanah air tetapi cara pemikiran dan jiwa bangsanya masih berteraskan penjajah, sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

“Dengan itu, kita masih belum dianggap merdeka kerana pemikiran dan jiwa sedemikian tidak akan membolehkan kita menikmati kebahagiaan di dunia serta di akhirat," katanya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Pensyarah kanan Bahasa Arab dan I’jaz al-Quran, UPM seterusnya menambah, keperkasaan jiwa dan pemikiran tersebut juga penting kerana faktor persekitaran seseorang itu mampu menggoncangkan pendirian dan akalnya.

Tekanan persekitaran itu boleh datang daripada pelbagai cara, seperti kawan-kawan, komuniti kediaman, kaum keluarga, pendidikan dan lain-lain.

“Tekanan dan pengaruh persekitaran sedemikian hanya mampu ditangani oleh individu yang kuat jiwa dan pemikirannya kerana keteguhan itu ada ketikanya boleh menyebabkan dia disisih atau dianggap keras kepala.

“Tetapi Islam memerlukan individu sedemikian bagi memastikan kedudukan Islam tidak dihina atau dicabar dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Namun, Dr. Mohd. Sukki menegaskan bahawa pengisian jiwa dan pemikiran manusia itu amat memerlukan kesungguhan dan komitmen semua pihak yang berkepentingan.

Ini kerana katanya, seorang penyair Mesir ada menyebut bahawa umat itu akan kekal, bila mana akhlaknya kekal tetapi umat itu hancur, bila mana akhlaknya hancur.

“Ia menunjukkan kepada kita bahawa walaupun hebat daripada segi teknologi tetapi kalau manusia itu tidak dibina kerohanian dan jiwa, akan berlaku gejala sosial, riba, jenayah, murtad, ajaran sesat dan lain-lain.

“Kalau macam itulah, maka hakikat kemerdekaan belum dicapai kerana jiwa kita masih tidak tenang dan bahagia," katanya. HASHNAN ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140828