August 29th, 2014

Apakah Islam benarkan keganasan?

ISU penglibatan umat Islam negara ini di dalam gerakan bersenjata di arena krisis politik di negara-negara Asia Barat adalah merupakan isu besar yang tidak harus dipandang ringan.



Kita perlu prihatin mengenai laporan-laporan dan berita-berita yang menyatakan bahawa beberapa orang rakyat kita yang telah turut serta berjuang di dalam kumpulan bersenjata di sana seperti di Iraq dan Syria.

Malah yang terbarunya ialah berita tentang kematian seorang rakyat kita di Syria yang menyertai golongan pemberontak Syria menentang kerajaan Basshar Al Asad, baru-baru.

Sungguh pun penglibatan mereka di dalam golongan tersebut merupakan penglibatan peribadi atas dasar ajaran agama atau fahaman politik yang mereka pegang, tetapi negara kita sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai pemerintahan berdasarkan Perlembagaan demokrasi, kekuatan Islam yang dilambangkan oleh kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempunyai perundangan yang amat jelas menentang keganasan.

Maka penulis rasa kita haruslah menjadikan isu penglibatan rakyat negara ini dalam krisis tersebut sebagai sesuatu yang seharusnya ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana, berlandaskan ajaran Islam yang suci.

Imej Islam di negara kita yang terkenal sebagai sebagai sebuah negara moderat, aman dan damai, mengamalkan konsep wasatiyyah, berperaturan dan menonjol sebagai sebuah negara yang berperadaban dan bertamadun, akan tercalar dengan penglibatan anak negara kita di dalam gerakan radikal di luar negara itu.

Refleksi yang negatif dalam hal ini akan menjatuhkan maruah dan amalan agama Islam itu sendiri pada pandangan mata dunia.

Penulis merasakan bahawa dalam hal ini kita berkewajipan mengkaji dan mencari sebab-sebab kenapakah rakyat negara kita terdorong untuk mencampuri perjuangan golongan bersenjata dan melakukan pertumpahan darah dan pembunuhan itu.

Besar kemungkinan bahawa mereka telah terpengaruh dengan fatwa-fatwa yang mereka yakini bahawa mereka adalah merupakan para pejuang yang mahu mempertahankan ajaran agama dan umat Islam dari musuh-musuh mereka yang menentang agama dan menentang Allah, oleh itu sekiranya mereka mati, maka mereka adalah mati syahid yang bakal mengambil jalan mudah memasuki syurga.

Mereka beriman kepada ajaran yang mengatakan bahawa mereka adalah berjihad kerana agama, dan sesiapa yang menentang mereka, termasuk para penentang yang beragama Islam sendiri, adalah merupakan musuh yang seharusnya dihapuskan, termasuk membunuh para musuh mereka itu.

Kewajipan kita sekarang ialah membetulkan tanggapan ini, iaitu menjawab persoalan: apakah sebenarnya perjuangan bersenjata dengan melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah, terutamanya di antara sesama umat Islam itu, merupakan jihad yang direstui oleh agama kita?

Persoalan lain yang ditimbulkan ialah: apakah makna dan takrif jihad di dalam ajaran agama Islam, dan bilakah tindakan mengangkat senjata menentang musuh kita itu seharusnya dilakukan oleh orang Islam dalam pengertian berjihad pada jalan Allah?

Konsep dan takrifan jihad dari syariah Islam adalah amanat penting difahami oleh orang Islam sebelum menentukan bahawa perjuangan mengangkat senjata itu dapat dilakukan sebagai satu perjuangan kerana agama dan kerana Allah.

Oleh itu, proses mendidik umat kita dengan pengajaran yang betul tentang Islam haruslah dilakukan dengan serius dan menyeluruh, terutamanya di dalam kes yang melibatkan keganasan dan pertumpahan darah yang dialami sekarang ini di dalam masyarakat dan negara-negara Islam sendiri, di bumi para anbiya' dan rasul itu.

Dorongan gerakan radikal dan perjuangan bersenjata di antara golongan-golongan yang bertentangan sekarang ini sebenarnya muncul di mana-mana saja.

Malah perjuangan bersenjata di antara golongan yang bertentangan ini bukanlah hanya didorong oleh fahaman agama seperti yang berlaku dalam kalangan penganut agama, malah pertelagahan bersenjata itu sering juga ditimbulkan oleh anasir-anasir politik yang bertentangan, seperti yang berlaku di Sri Langka, Sepanyol dan lain-lain lagi.

Oleh itu, dalam menangani krisis dan pertentangan ini, kita haruslah mengkaji dan menganalisis isu-isu agama dan politik yang bersifat melampau, fanatik dan hubungannya dengan sentimen manusia, polarisasi kaum, agama dan politik di antara masyarakat manusia sendiri, kemudian barulah kita mencari jawapan yang sebenarnya dalam mengatasi masalah kemanusiaan ini.

Kembali kepada masalah negara kita dalam isu ini, maka saya merasakan bahawa para intelektual, ahli agama, Majlis Fatwa, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dan badan-badan pendidikan lain haruslah menyusun agenda yang menyeluruh dalam mendidik masyarakat kita.

Ini amat penting agar rakyat di negara ini tidak terjebak di dalam krisis yang tidak pun mengundang kita mengambil bahagian di dalam gerakan keganasan seperti yang diceburi oleh beberapa orang rakyat kita itu.

Kita memerlukan penyebaran maklumat dan ilmu yang menyeluruh tentang hal ini secara meluas di dalam media rasmi dan media sosial, agar hal yang mengelirukan ini mendapat gambaran yang positif dalam kalangan segenap peringkat rakyat negara kita.

Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim ialah Timbalan Presiden 1, Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya. Utusan/Rencana/20140829

Ulamak tuntut kemerdekaan tidak dilupakan

Kemerdekaan tanah air tercinta ini banyak penyumbangnya. Ia bukan sahaja disumbangkan oleh para nasionalis tetapi juga oleh ulamak tanah air.


Sejarah tanah air merakamkan perjuangan ramai tokoh ulamak yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air bersama kelompok nasionalis pragmatis walaupun ada di antara mereka berlainan fahaman dalam perjuangan mulia itu.

Ada yang menuduh kerajaan menyembunyikan fakta dalam pendidikan sejarah tanah air dengan tidak menonjolkan perjuangan ulamak menentang penjajah. Tuduhan ini tidak benar kerana subjek sejarah di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi turut menonjolkan peranan perjuangan ulamak dalam menentang penjajah.

Bukalah buku-buku sejarah sekolah menengah dari tingkatan tiga hingga tingkatan enam ada didedahkan atau ditonjolkan perjuangan golongan agamawan dalam episod menentang penjajah dan kemerdekaan tanah air.

Ulamak ketika itu bukan sahaja mempertahankan akidah umat Islam tetapi turut memimpin umat Islam untuk berdepan dengan kezaliman penjajah Barat.

Pelajar-pelajar kita didedahkan dengan perjuangan Tuan Guru Hassan Munas (Tok Janggut) yang bangkit dengan perjuangan 'sabil' menentang kuasa British di Kelantan sehingga sanggup bermandi darah di Pasir Puteh pada 1915. Demikian juga perjuangan ulamak menentang British di Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Rahman Abdul Hamid atau terkenal dengan nama Abdul Rahman Limbong turut didedahkan kepada para pelajar kita.

Tokoh ulamak itu memimpin kebangkitan rakyat tempatan dengan penuh semangat patriotisme menentang kemaraan penjajah British di Terengganu. Pelajar diberikan kefahaman bahawa Abdul Rahman Limbong belajar dengan ramai tokoh agama termasuk Tok Ku Paloh. Selepas kematian gurunya itu, beliau mengajar di surau Sayyid Saggaf. Sebelum itu mengajar di suraunya di Jonggok Tong, Beladau, di samping mengajar di beberapa tempat lain.

Malah, tokoh ulamak ini bukan sekadar mendidik masyarakat Islam tetapi turut membangkitkan semangat jihad dalam kalangan umat Islam.

Ramai tokoh tempatan dari Kuala Berang menemuinya untuk mendapatkan nasihat serta memberikan sokongan kepadanya menentang kaum penjajah. Malah, beliau sendiri memimpin perjuangan jihad itu melalui kebangkitan atau pemberontakan 1922, 1925 dan pemberontakan 1928. Seperti juga tuduhan yang dikenakan British ke atas Tok Janggut di Kelantan sebagai penderhaka, Abdul Rahman Limbong juga dituduh sedemikian rupa. Setelah beliau ditewaskan dalam pemberontakan 1928, ulamak kesayangan rakyat itu dibuang negeri ke Mekah.

Selain tokoh-tokoh ulamak ini, pengajian sejarah peringkat menengah juga mendedahkan kepada pelajar mengenai perjuangan ulamak-ulamak muda yang mendapat pendidikan tinggi di Universiti Al-Azhar di Mesir seperti Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abas Mohd. Taha dan beberapa tokoh ulamak yang dikenali sebagai kaum muda itu.

Ulamak-ulamak itu muncul membawa obor perjuangan menyedarkan rakyat supaya berubah menuju kemajuan di samping menyedarkan mereka kewajipan membebaskan tanah air dari penjajahan. Perjuangan mereka ini dikenali sebagai 'Gerakan Islah dan Tajdid' yang muncul pada dekad 1920-an.

Mereka mengajak umat Islam melakukan pengislahan dengan menjauhi taklid buta dan khurafat serta kembali berpegang kepada ajaran Islam yang menuntut umatnya mengejar kemajuan. Gerakan golongan agama itu mendapat tentangan daripada penjajah British yang cuba menyekat arus kesedaran dan kebangkitan umat yang digerakkan oleh ulama-ulama muda yang progresif itu.

Selain itu, pelajar kita turut didedahkan dengan perjuangan tokoh-tokoh seperti Dr. Burhanuddin Al Helmi, Prof. Dr. Zulkifli Mohamad dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Tokoh-tokoh ini menyedarkan umat Islam bahawa wajib memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Walaupun mereka dikatakan berhaluan kiri kerana ketegasan menentang British, namun mereka tetap dianggap tokoh hebat dalam sejarah tanah air.

Kesimpulan, subjek sejarah yang diajarkan kepada anak-anak kita tidak sama sekali melupakan perjuangan para ulamak atau golongan agamawan. Justeru, tuduhan yang menyatakan mata pelajaran sejarah tanah air hanya menekankan tokoh nasionalis pragmatis adalah tidak benar sama sekali. Mereka yang menuduh ini mungkin tidak menyemak kandungan subjek itu dengan teliti.

Mohd. Ayop Abd. Razid ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia. Utusan/Rencana/20140829

Pembangunan 'luar kotak' demi umat

MADINAH Al Munawwarah sentiasa hidup. Lebih 'hidup' lagi di malam hari. Setiap malam gedung, premis dan restoran Arabnya ditutup sehingga pukul 12 tengah malam. Anak-anak kecil masih berlari-lari berpimpinan tangan di sebuah bulatan yang berdiri jam besar depan Masjid Nabawi.


Masjid Nabawi sendiri dibuka 24 jam untuk sesiapa beribadah.

Pembangunan Madinah ketika ini rancak - sama naik dengan Mekah. Kehidupan terus `berlari' di kota suci kedua ini. Masa bekerja, penduduknya bekerja. Gedung beli-belah Taibah berdekatan, urusannya sibuk sekali.

Tetapi bila azan Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak berkumandang, segala aktiviti jual beli ditinggalkan. Senyap sunyi. Tutup. Penduduk dan peniaganya berduyun-duyun melangkah masuk Masjid Nabawi. Pagi, masuk Subuh sekitar pukul 4.40, jemaah dari merata bergegas menunaikan solat di masjid yang menempatkan makam junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kelmarin, masuk solat Asar kelibat jemaah begitu ramai sekali dengan wajah-wajah yang cukup dekat dengan penulis di perkarangan masjid. Mereka, jemaah Melayu baru tiba di kota itu. Amat ketara raut muka keterujaan mereka. Melangkah dengan tumit terangkat di sebalik realiti 61 peratus daripada keseluruhan 22,320 jemaah haji negara berada dalam kelompok warga emas.

Sejak Raja Abdullah naik pada 2005, baginda telah memulakan langkah secara berperingkat dalam pembesaran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kerajaan Arab Saudi cukup maklum bahawa umat Islam yang berkeinginan menjejakkan kaki di tanah suci semakin bertambah bilangannya dari setahun ke setahun. Kalau tidak mengerjakan haji, umrahlah jawabnya. Untuk musim haji kali ini, lebih 1.4 juta jemaah asing dan 600,000 penduduk tempatan akan mengerjakannya, menjadikan lebih dua juta jemaah.

Niat kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Abdullah hanyalah semata-mata untuk memberi keselesaan kepada jemaah. Baginda cenderung mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Hasratnya hanya mahu melihat umat Islam dapat mengerjakan haji terbaik tanpa tergesa-gesa dan bersesak-sesak.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd. Khalid Abdul Razak memberitahu, petugas media Tabung Haji kelmarin, fasa penambahbaikan kerajaan Arab Saudi di Madinah dapat dilihat di Lapangan Terbang Prince Mohammad bin Abdulaziz lagi. Lapangan terbang itu menjadi terminal pendaratan jemaah haji. Balai ketibaan dan pelepasan dibesarkan dengan dilengkapi pendingin hawa.

"Bagi proses pembesaran Masjid Nabawi yang memakan masa tiga tahun, sasarannya adalah untuk menampung 1.2 juta jemaah tahun depan berbanding 800,000 orang tahun ini. Kos pembangunan Mekah dan Madinah mencapai SAR300 bilion (Saudi Riyal). Ini termasuk SAR100 bilion di Mekah.

Pembangunan seterusnya melibatkan persekitaran Madinah dengan jalan dibesarkan serta menyediakan sukarelawan di Masjid Nabawi untuk memandu arah jemaah. Kereta elektrik turut disediakan. Khutbah Jumaat boleh diikuti dalam 10 bahasa termasuklah bahasa Rusia, Urdu, Cina, Perancis dan Melayu/Indonesia. Naskhah al-Quran ditambah," kata Mohd. Khalid lagi.

Dari segi sistem pengangkutan, projek keretapi laju Haramain sedang diusahakan pembinaannya menghubungkan Mekah-Jeddah-Madinah. Dipercayai sederas 320 kilometer sejam lebih laju dari tren di Jepun. Jarak Jeddah-Mekah sejauh 80 kilometer, dipendekkan hanya 25 minit. Dan dari Mekah ke Madinah sejauh 410 kilometer mengambil masa empat jam sebelum ini, kelak cuma dua jam perjalanan sahaja apabila beroperasi kereta api laju.

Laman web Arab News Jun lalu melaporkan Gabenor Mekah, Putera Mishaal yang memantau perkembangan projek tersebut di Rusaifa berkata, usaha berterusan kerajaan Arab Saudi itu dilakukan bagi memudahkan jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadah umrah dan haji.

"Projek ini memainkan peranan penting bagi memperbaiki sistem pengangkutan untuk jemaah supaya mereka dapat tiba di satu-satu tempat dengan lebih cepat. Perkhidmatan kereta api yang mempunyai landasan sepanjang 450 kilometer itu apabila siap kelak akan melalui tiga kawasan utama iaitu Jeddah, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan bandar ekonomi, Rabigh," katanya.

Projek itu memiliki lima buah stesen dengan stesen utamanya terletak di Mekah yang turut dilengkapi dengan sebuah masjid yang boleh menampung 600 jemaah, kawasan pendaratan helikopter dan lebih 500 tempat letak kereta. Sistem pengangkutan berkenaan dijangka mampu membawa lebih 20 juta penumpang termasuk jemaah umrah dan haji setiap tahun.

"Dijangkakan juga sebuah bandar haji dalam perancangan, yang mana akan bertindak sebagai pusat sehenti untuk jemaah," kata Mohd. Khalid.

Untuk musim Haji 1435H ini, buat julung kalinya jemaah akan menggunakan mataf semasa bertawaf. Meskipun telah digunakan semasa umrah sebelum ini, kali ini ia diyakini memberi pengalaman baharu kepada jemaah. Projek pembesaran Masjidil Haram fasa kedua juga hampir selesai dengan aras pertama mataf dibuka kepada jemaah umrah sepanjang bulan Ramadan lalu.

Aras pertama dan tingkat bawah telah siap sepenuhnya dan boleh digunakan untuk solat selain dilengkapi dengan lif dan eskalator manakala kerja-kerja pembesaran di tingkat kedua pula sudah siap hampir 80 peratus. Fasa kedua melibatkan peluasan di bahagian timur mataf, di mana kerja-kerja pembesaran dijalankan di bawah pengawasan pegawai-pegawai kanan kontraktor projek, Kumpulan Saudi Binladin.

Kerja-kerja pembesaran fasa kedua itu melibatkan kawasan seluas 25,000 meter persegi, hampir dua kali ganda daripada kawasan fasa pertama.

Laluan lama telah dirobohkan dan dibina semula untuk memudahkan pergerakan jemaah di dalam mataf itu. Kapasiti kawasan mataf dijangka bertambah daripada 50,000 jemaah setiap jam kepada 130,000 jemaah apabila kerja-kerja pembesaran siap sepenuhnya.

Di Madinah, pembesaran Masjid Nabawi dijangka melibatkan sekurang-kurangnya 23 hotel di bahagian timurnya terpaksa dirobohkan untuk membesarkan ruang solat. Bagaimanapun ia akan digantikan dengan pembinaan 21 hotel baharu.

Walaupun musim haji dilaporkan memberi pulangan kira-kira $36 bilion Riyal kepada Arab Saudi namun secara makro, kerajaannya sedang membelanjakan beratus-ratus bilion Riyal lagi untuk pembesaran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ini semua untuk manfaat umat Islam seluruh dunia.   Zulkifli Jalil Utusan/Rencana/20140829

Haji menuntut kemantapan tenaga, fikiran

Alhamdulillah. Jutaan kesyukuran diucapkan bakal jemaah haji yang sudah menerima surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) dan membuat persediaan untuk menunaikan haji. Undangan Allah SWT sudah semestinya menitiskan air mata 22,320 jemaah haji yang mula berlepas ke Tanah Suci bermula semalam.

Tulisan ini sekadar berkongsi pengalaman ketika penulis dan isteri menunaikan Haji Tamatuk bersama kira-kira 400 jemaah haji dalam Kapal Terbang (KT) 44 tahun lalu. Dengan rahmat dan rahim Allah SWT, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Jeddah pada Subuh 24 September 2013.

Menjelang jam 2 petang, kami tiba di Hotel Burj Gandhura, iaitu Maktab 44 di Misfalah, di tengah Kota Makkah. Saya berkongsi bilik dengan empat jemaah lain sementara isteri saya berserta rakan sebilik ditempatkan di bilik bersebelahan bilik kami.


Jemaah melakukan saie dari Bukit Safa ke Marwah

Selepas solat Isyak, mutawif TH mengepalai kami melangkah ke Masjidilharam, kira-kira 1.3 kilometer (km) dari maktab. Ketika menjejakkan kaki di dataran luar Masjidilharam, air mata bagaikan tidak mahu berhenti mencurah menyaksikan keagungan Allah SWT.

Kami memasuki masjid melalui Pintu King Abdul Aziz. Hanya selepas melangkaui tangga ketiga, wajah Kaabah tersergam indah depan mata. Deraian air mata membuatkan kami tidak mampu menggambarkan isi hati masing-masing.

Selepas membaca doa menyaksikan Kaabah, kami mencari lampu hijau bertentangan Hajar Aswad untuk memulakan tawaf umrah. Lengan kiri saya dipaut kemas oleh isteri. Kalau pautan itu terlepas, sukar untuk saya mencarinya di celahan ribuan jemaah.

Berdoa setiap pusingan tawaf

Bukan semua jemaah bersabar. Jemaah, sama ada lelaki atau perempuan dari pelbagai negara gemar menolak orang di depan mereka. Pada setiap pusingan tawaf, kami tidak pernah alpa untuk membaca doa. Buku kecil doa yang kami pegang sentiasa kami tatap.

Dua jam selepas itu barulah kami selesai tawaf. Pengajarannya, ketika melalui penjuru Hajar Aswad, kita harus berada di laluan paling jauh dengan Kaabah kerana di situlah jemaah yang sudah selesai melakukan tujuh pusingan, berasak-asak untuk keluar dari laluan tawaf.

Selesai tawaf, kami berasak-asak dengan jemaah lain untuk menunaikan solat sunat tawaf di dataran bertentangan dengan Multazam. Setiap kali sujud, kepala saya asyik dilanggar kaki jemaah yang berebut-rebut menunaikan solat.

Kami lantas melakukan saie. Alat pendingin hawa menyebabkan laluan saie terasa dingin. Tekak yang kering kami basahkan dengan meneguk air zamzam disediakan di sepanjang laluan saie. Melangkah di laluan saie antara Bukit Safa ke Bukit Marwah sepanjang 800 meter memang memenatkan. Dua jam selepas itu barulah kami selesai melaksanakan saie.

Hari berikutnya, kami berulang alik dari maktab ke Masjidilharam. Dua jam sebelum azan, kami sudah berada dalam masjid. Jika lewat tiba, pastinya tidak mampu menunaikan solat di dalam masjid. Dataran di luar masjid yang dipenuhi dengan jemaah India dan Pakistan adalah tempat untuk mereka yang lewat hadir.

Sepuluh hari sebelum bermulanya musim haji, membolehkan saya, isteri dan rakan sebilik menunaikan umrah. Selepas solat Subuh, kami beramai-ramai menyewa teksi dari Masjidilharam ke Tanaeem untuk berniat ihram umrah dan mendirikan solat sunat ihram serta kembali ke Masjidilharam. Perjalanan dari Masjidilharam ke Tanaeem hanya setengah jam dengan tambang Riyal Saudi Arabia (RSA) 50 satu teksi.

Seminggu selepas menikmati makan tengah hari dan malam di maktab, kami mula membeli cili padi di pasar untuk digigit setiap kali mengunyah nasi dan lauk yang tidak lekang bersilih ganti antara ayam dengan daging. Jika hari ini makan tengah harinya ayam, maka malam sudah pasti daging dan begitulah bersilih ganti.

Bagi jemaah yang sakit, TH menyediakan klinik di maktab masing-masing. Untuk mereka yang ingin mengeluarkan dan menyimpan duit, TH turut menyediakan kaunter di maktab.

Padang pengampunan

Tiba tanggal 8 Zulhijjah, kami menaiki bas ke Padang Arafah yang dikenali sebagai padang pengampunan untuk berwukuf keesokannya. Saya ditempatkan dalam khemah besar bersama 200 jemaah lelaki. Sesungguhnya, keadaan ketika itu adalah gambaran ketika manusia berhimpun di Padang Mahsyar.

Bagi jemaah yang terlantar di hospital, Kingdom of Saudi Arabia (KSA) membawa mereka menaiki ambulans untuk hadir seketika di Arafah. Sesiapa yang tidak dapat hadir di Arafah, maka tiadalah haji untuk mereka.

Jangan impikan keselesaan ketika berada dalam khemah. Ketika berbaring atas tikar getah diberikan TH, kepala saya berada di hujung kaki jemaah dan di hujung kaki saya pula ada kepala jemaah. Panas terik di padang saujana mata memandang itu menuntut jemaah haji banyak bersabar.

Pada sebelah malam, mutawif memimpin qiamullail mulai jam 12 malam hingga selesai solat Subuh. Untuk makan dan minum, TH menyediakan makanan nasi bungkus dan air botol. Untuk memasuki tandas, jemaah terpaksa beratur panjang, ada kalanya terpaksa menunggu kira-kira setengah jam.

Pagi 9 Zulhijjah, jemaah beribadah dengan cara sendiri. Masuknya waktu Zohor atau gelincir matahari menandakan bermulanya wukuf. Selepas solat, Khatib menyampaikan khutbah wukuf yang mengingatkan jemaah supaya berdoa memohon keampunan Allah SWT.

Jemaah mendirikan solat Jamak Tammam Maghrib dan Isyak sebelum menaiki bas ke Padang Muzdalifah untuk mengutip 72 biji batu. Hanya pada jam 2 pagi 10 Zulhijjah, kami menaiki bas ke khemah di Mina yang jaraknya kira-kira setengah jam.

Di Mina jemaah menghadapi ujian kesabaran yang amat getir untuk ke tandas. Deretan tandas yang amat terhad menyebabkan jemaah haji terpaksa beratur panjang sambil menahan sabar.

Selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, kebanyakan jemaah Malaysia berada dalam khemah. Saya melihat ribuan jemaah haji negara lain melaungkan takbir Aidiladha sambil melangkah ke Jamrah untuk melontar di Jamratul Aqabah.


Melontar di Jamrah

Sempurnanya tugas melontar tujuh biji batu di Jamratul Aqabah dan melakukan tahalul awal, iaitu menggunting rambut yang pertama, menandakan kami sudah boleh membuka ihram. Ada jemaah yang kembali ke khemah dan tidak kurang yang terus berjalan kaki pulang ke Makkah.

Kelambu Kaabah diganti

Ketika itu, Kaabah sudah berubah wajah kerana kiswah atau kelambu Kaabah sudah diganti ketika jemaah wukuf di Arafah. Kami menunaikan tawaf, saie haji serta bertahalul. Kemudian kami kembali ke Mina sebelum jam 10 malam bagi mengelak dikenakan dam.


Berkhemah di Mina

Pada pagi 11 Zulhijjah kami melontar tujuh biji batu bagi setiap jamrah, iaitu Jamratul Wulla, Wusta dan Aqabah. Keesokannya, pada 12 Zulhijjah kami sekali lagi berjalan ke Jamrah dan melontar di ketiga-tiga Jamrah.

Seminggu selepas musim haji, Masjidilharam kembali lengang dan ia memberi peluang kepada jemaah yang masih tinggal untuk menunaikan umrah. Kami berada di Makkah selama 10 hari selepas musim haji berakhir sebelum berangkat ke Madinah untuk kembali ke tanah air.

Bagaimanapun, jemaah perlu berhati-hati apabila ingin menyewa teksi untuk bermiqat kerana ada pemandu yang suka mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang terlalu mahal.

Ibadah haji bukan setakat mendalami teori. Sebaliknya ia menuntut jemaah untuk memiliki tenaga dan kekuatan mental dalam menghadapi pelbagai dugaan sepanjang melakukan ibadah. Bagi jemaah yang sudah lanjut usia, mereka harus menyediakan wang untuk mengupah orang menolak kerusi roda terutama ketika melakukan tawaf dan saie.

Selalunya, kadar upah yang dikenakan oleh anak muda Arab melambung dua kali ganda pada musim haji. Bagaimanapun, segala dugaan, cabaran dan kesukaran menunaikan haji ianya menghiasi hati dan kehidupan selepas kembali ke tanah air.

Haji adalah pengalaman dan kenangan paling manis dalam hidup insan. Haji adalah penawar dan panduan bagi hidup hari ini dan yang akan datang sementara menunggu saat roh berpisah daripada jasad.

Info: Tips Mengerjakan Haji


  • Semasa berniat ihram di Tanaeem, jangan bayar tambang teksi. Bayar tambang selepas sampai ke Masjidilharam.


  • Berada di laluan paling luar ketika pusingan keenam tawaf bagi mengelak jemaah yang sudah selesai tawaf untuk keluar.


  • Elakkan bertembung dengan wanita berpurdah hitam di luar Masjidilharam kerana dibimbangi mereka adalah penyeluk saku.


  • Jika ingin bersedekah, sedekahlah kepada pekerja pembersihan di Masjidilharam.


  • Elakkan terlampau menawar barangan ketika berbelanja di kedai peniaga Arab kerana mereka tidak gemar berurusan dengan pelanggan sedemikian.


  • Jangan berada di depan deretan jemaah yang berjalan berpegang tangan ketika tawaf kerana mereka gemar merempuh.


  • Banyakkan bersabar, jangan bermulut celupar ketika berada dalam Masjidilharam


  • Anggaplah kesukaran sepanjang menunaikan haji sebagai dugaan Allah SWT dan jangan banyak merungut jika ada kekurangan kemudahan disediakan TH. Hassan Omar Berita Harian Agama JUMAAT, 29 OGOS 2014 @ 4:46 AM

Kedudukan zakat kanak-kanak

Saya masih keliru status zakat ke atas kanak-kanak. Bukankah ada hadis yang menyatakan, diangkat dosa ke atas kanak-kanak dan orang gila, yakni mereka tidak dikira berdosa andai meninggalkan ibadah yang wajib atau melakukan sesuatu perbuatan yang salah? Namun, ada pandangan yang menegaskan, kanak-kanak juga masih wajib mengeluarkan zakat. Mohon pencerahan, terima kasih.

Jawapan:   Semoga Allah SWT mempermudahkan saya dalam menyajikan jawapan ke atas persoalan yang telah saudara kemukakan ini. Sesungguhnya memang tidak dinafikan bahawa, kedudukan anak-anak kecil dan orang yang tidak siuman, tidak dibebankan dalam kewajipan agama. Dalam istilah fikah, tiada taklif ke atas mereka atau mereka bukanlah golongan mukallaf iaitu golongan yang dibebankan dengan tanggungjawab agama.

Sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ali r.a ada menyebutkan: “Diangkat kalam (tidak dikira berdosa) tiga golongan manusia, (iaitu) orang yang gila hingga dia sembuh daripada gilanya (menjadi siuman), orang yang tidur hingga dia terjaga (bangun daripada tidurnya), dan kanak-kanak hingga bermimpi (baligh)." (riwayat Ahmad dan Abu Daud dan at-Tirmizi)

Inilah yang menjadi dalil betapa kanak-kanak, dianggap tidak berdosa jika tidak melakukan sesuatu amal yang umumnya difardukan ke atas semua kaum muslimin. Begitu jugalah kepada orang yang gila dan orang yang terlupa dek kerana dia tertidur.

Walau bagaimanapun, hasil daripada penelitian penulis kepada pandangan para ulama, maka isu zakat ke atas kanak-kanak termasuklah orang yang sudah tidak siuman, maka ia mempunyai perbincangan yang cukup panjang. Hal ini misalnya boleh dirujuk di dalam kitab Hukum Zakat oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawy, iaitu dalam bab, ‘Siapakah yang wajib berzakat’, pada halaman 106 hingga 120.

Umumnya, disebutkan di dalam kitab berkenaan bahawa para fuqaha terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama menyatakan, kekayaan atau sebahagian kekayaan kanak-kanak tidak wajib dizakatkan. Pandangan ini antaranya dikemukakan di dalam kitab al-Amwal oleh Abu Ubaid yang dipetik daripada Ja’far Baqir dan Sya’bi, begitu juga oleh Ibnu Hazm daripada Nakhai dan Syarih.

Golongan kedua pula menyatakan, kekayaan mereka (kanak-kanak dan orang gila) wajib dizakatkan. Pandangan ini dikeluarkan pula oleh Atha’, Jabir bin Zaid, Thawus, Mujahid, Zuhri (dari kalangan tabi’in). Ulama generasi terkemudian yang menyokongnya ialah Rabi’ah, Malik, Syafie, Ahmad, Ishaq, Hassan, Salleh, Ibnu Abi Laila, Ibnu Uiyainah, Abu Ubaid, Tsaur dan ramai lagi.

Tidak sukar untuk kita fahami, alasan golongan pertama tidak mewajibkan zakat ke atas kanak-kanak dan orang gila, lantaran memang sudah jelas ia disebutkan di dalam hadis akan status mereka di sisi agama, yakni tidak berdosa. Maka, pastilah tiada kewajipannya ke atas mereka.

Pandangan berbeza

Sementara itu, bagi kalangan kedua mereka melihat daripada aspek yang berbeza terhadap ketentuan hadis berkenaan kepada orang-orang gila dan juga kanak-kanak yang masih di bawah usia baligh. Sudut pandang yang berbeza inilah yang melahirkan hukum yang berbeza. Namun, dalam diskusi ini kita hanya akan melihat kepada hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh para fuqaha dalam menjustifikasi kewajipan berkenaan kepada anak-anak dan orang gila.

Hujah pertama, kerana di dalam Islam terdapat begitu banyak dalil naqli mengenai keumuman mengambil zakat daripada harta kekayaan umat Islam, tanpa ditetapkan kedudukan orang berkenaan, kanak-kanak atau orang gila. Ambil sahaja surah at-Taubah ayat 103: Ambillah sebahagian daripada harta kekayaan mereka (semua umat Islam) sebagai sedekah (zakat). Bukankah ayat ini bersifat umum, tidak ada limitasi di dalamnya, yakni ia meliputi orang dewasa dan anak-anak dan orang gila.

Hujah kedua, terdapat beberapa hadis yang jelas menyentuh zakat ke atas harta kekayaan yang dimiliki oleh kanak-kanak. Misalnya Imam as-Syafie sendiri ada meriwayatkan sebuah hadis: “Terimalah oleh kalian zakat kekayaan anak-anak yatim." (riwayat Yusuf bin Mahak dan dianggap mursal).

Hadis di atas disokong lagi oleh sebuah hadis lain, iaitu: “Perniagakanlah harta kekayaan anak-anak yatim, agar ia tidak menjadi habis dimakan oleh zakat." (riwayat Imam Tabrani daripada Anas bin Malik dan turut diriwayatkan oleh Imam Tirmizi daripada Amru bin Syuaib, juga oleh Imam Baihaqi daripada Umar al-Khattab r.a dengan penggunaan kalimah sedekah.)

Fuqaha menjelaskan, maksud hadis di atas sangat jelas iaitu para penjaga anak-anak yatim tidak wajar hanya mengeluarkan zakat ke atas harta anak-anak yatim yang dipelihara oleh mereka, tanpa dikembangkannya dengan cara dilaburkan, sehingga akhirnya harta mereka habis dimakan zakat yang dikeluarkan saban tahun. Ertinya, para penjaga anak-anak yatim perlu menzakatkan harta anak-anak yatim yang dijaga oleh mereka.

Seperkara lagi yang wajar difahami, status anak-anak yatim di sisi Islam ialah mereka yang kematian ibu atau bapa dan usia mereka mestilah di bawah akil baligh, yakni belum cukup usia mukallaf. Jika usia sudah mencapai akil baligh, maka mereka sendirilah yang menguruskan harta kekayaan mereka.

Hujah ketiga, para fuqaha daripada kalangan tabi’it tabi’en seperti Abu Ubaid, Baihaqi dan Ibnu Hazm melaporkan bahawa, dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang terkemuka turut menunaikan zakat ke atas kekayaan kanak-kanak. Inilah yang dilakukan oleh Umar, Ali, Abdullah bin Umar, Aisyah dan Jabir bin Abdullah r.a.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.   Utusan/Bicara_Agama/20140829

Beri tumpuan khutbah Jumaat

Pada hari Jumaat, ada amalan mengutip derma dengan seseorang membawa karung lalu di hadapan jemaah. Ia dilakukan ketika khatib memulakan khutbah. Adakah ia tindakan yang wajar dan perlu?

Jawapan:  Dalam hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila engkau berkata kepada kawan kamu agar diam sedangkan imam berkhutbah pada hari Jumaat maka engkau telah sia-sia."

Dalam hadis ini, maksud utama hadis ialah perkara yang boleh mengganggu tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Dalam hadis ini, ucapan agar rakan kita diam pun sudah dikira sebagai satu perkara yang tidak wajar. Contohnya rakan kita berbual-bual ketika khutbah Jumaat. Perbualan itu adalah salah. Maka kita menegur rakan tersebut dan menyuruhnya diam.

Perbuatan kita menyuruhnya diam juga dikira sebagai salah. Adakah perbuatan rakan kita berbual tidak salah? Salah juga, bahkan ia kesalahan yang lebih utama. Jika menegur orang yang bising ketika khutbah pun sudah dikira sebagai salah, maka qiyas aulanya ialah lebih salah untuk bercakap ketika khutbah. Maka maksud hadis ini adalah agar tumpuan kepada khutbah Jumaat. Maka apa sahaja perbuatan yang tidak berkaitan dengan solat hendaklah dielakkan.

Berbalik kepada isu kutipan tabung, ada beberapa keadaan. Antaranya:

i. Kutipan sebelum khutbah Jumaat. Maka ini harus dan tiada masalah.

ii. Kutipan dengan meletakkan tabung di pintu-pintu masjid. Ini juga tiada masalah.

iii. Kutipan ketika khutbah. Jika seseorang bergerak ke sana sini mengutip derma, ini mengganggu khutbah. Ya, si pengutip tidak bercakap tetapi maksud hadis ialah tumpuan kepada khutbah Jumaat. Maka perbuatan itu mengganggu tumpuan. Pengutip derma tidak menghayati khutbah dan jemaah juga terganggu.

iv. Kutipan dengan tabung digerakkan mengikut saf solat. Ini pun kadang-kadang boleh juga memalingkan daripada tumpuan kepada khutbah. Mungkin harus jika tiada gangguan dan tidak harus jika mengganggu tumpuan kepada khutbah.

Berdasarkan empat keadaan tadi, pada hemat penulis bahawa kaedah yang lebih baik adalah dengan meletakkan tong-tong derma di pintu-pintu masjid. Para jemaah dapat memberi derma sebelum khutbah dan juga selepas khutbah. Maka ruang masa berderma pada hari Jumaat lebih luas sebenarnya. Utusan/Bicara_Agama/20140829

Tip menitip kejayaan

BUKAN mudah untuk menjadi susah dan bukan susah untuk menjadi senang. Ungkapan ini selalu kita dengar daripada mulut sebahagian kita. Akan tetapi ia memang ada asasnya. Setiap manusia yang mudah jalan hidupnya, manakala sebahagian lain terpaksa menempuh ranjau cabaran yang berterusan dan tiada sempadan.

Bagi diri penulis sendiri, beliau sendiri mungkin bukan terdiri daripada kelompok yang menghadapi cabaran yang terlalu besar. Ini membawa maksud cabaran memang ada tetapi ia dapat diharungi dengan tenang dan terkawal dengan izin Allah yang Maha Esa.

Oleh yang demikian, penulis terpanggil untuk berkongsi dengan semua pembaca pengalaman beliau dan yang paling utama rahsia kejayaan beliau dari peringkat rendah hingga ke puncak menara gading dengan menggenggam doktor falsafah (PhD), antaranya ialah menggunakan pelbagai tip dan strategi pembelajaran yang berkesan dalam proses pembelajaran.

Di samping itu, beliau cuba mengimbau kembali serba sedikit kisah peribadi hidup beliau yang ingin dikongsikan semenjak beliau berada di peringkat sekolah rendah lagi.

Mudah-mudahan dengan adanya perkongsian yang kecil ini, dapat menyuntik semangat para pembaca dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat, sama ada pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan sesiapa sahaja yang ada tertanam niat di hati sanubari mereka untuk melanjutkan pelajaran hingga ke tahap yang tertinggi.

Semoga dengan usaha yang serba sederhana ini, ia dikira sebagai amal jariah untuk memartabatkan umat Islam daripada aspek akademik serta menjadi umat yang berkualiti dan dipandang tinggi oleh masyarakat keseluruhannya. Utusan/Bicara_Agama/20140829