September 4th, 2014

Memahami konsep umum al-balwa

ISLAM merupakan agama rahmat kepada sekalian alam. Hukum-hakam yang ditetapkan dalam Islam adalah bertujuan untuk memenuhi kepentingan hidup manusia dan menjauhkan kemudaratan, termasuk menghilangkan kesulitan dan kesusahan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (al-Haj: 78)


Berdasarkan ayat tersebut, para pakar perundangan Islam menggariskan satu kaedah perundangan iaitu “Apabila berlaku kesulitan, maka perlu diberikan kemudahan atau keringanan". Antara konsep yang berkaitan dengan kaedah tersebut ialah Umum al-Balwa.

Kaedah umum al-balwa mempunyai peranan yang besar dalam proses mengeluarkan ijtihad. Ia merupakan salah satu justifikasi dalam menjelaskan sesuatu hukum syarak berkaitan isu semasa.

Kaedah ini sering digunakan oleh para ulama, sama ada dalam disiplin ilmu usul fikah atau fikah. Ia dibincangkan dalam kerangka rukhsah dan keringanan yang dibenarkan dalam hukum syarak. Kebanyakan aplikasi Kaedah Umum al-Balwa dalam kitab fikah dibincangkan berkaitan jenis-jenis najis yang dimaafkan. Ia biasanya dikaitkan dengan ciri sukar dikawal, sukar diasingkan, sukar dijauhi, kebanyakan orang mukallaf sukar mengelakkannya. Manakala illah (sebab) keringanan diberikan, sama ada berkaitan dengan kesulitan, kesusahan, kerumitan dan sebagainya (lihat: Ibnu Hazm, al-Muhalla, 1/221, 254; al-Sarakhsi, al-Mabsut, 1/60, 61, 79, 80; Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/21, 22, 23, 62; al-Nawawi, al-Majmu’, 3/134, 135; al-Dusuqi, Hasyiah al-Dusuqi, 1/71, 73, 75).

Begitu pun, dalam bahagian fikah yang lain juga dibincangkan Kaedah Umum al-Balwa (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, 164-167). Kaedah umum al-balwa sangat berkait rapat dengan perkembangan semasa pada sesuatu zaman dan tempat. Kepentingan memahami konsep umum al-balwa dan aplikasinya dalam kehidupan seharian menjadi semakin penting dalam dunia sains dan teknologi serba canggih dewasa ini.

Oleh itu, kaedah ini perlu difahami dengan sebaiknya, kerana perubahan hukum sesuatu boleh berlaku kesan daripada wujudnya umum al-balwa.

Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, umum al-balwa bermaksud, “Berleluasanya sesuatu sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya." (rujuk Nazariyah al-darurah al-Syar’iyah, 123).

Dr. ‘Amir al-Zibari turut mengemukakan definisi yang sama (rujuk al-Tahrir fi qa’idah al-masyaqqah tajlib al-taysir, 82). Manakala menurut Salih Yusuf, umum al-balwa bermaksud, “Apa-apa yang diperlukan pada keadaan yang umum, di mana berlakunya perkara tersebut sehingga sukar untuk dielakkan serta susah untuk dikawal dan jika dihalang ia akan menimbulkan kesulitan yang lebih." (rujuk al-Masyaqqah tajlib al-taysir, 232).

Dr. Salih bin ‘Abd Allah bin Humayd menjelaskan, “Umum al-balwa itu merujuk kepada dua ciri:

1) Keperluan untuk sesuatu itu diberikan keringanan dalam keadaan umum, iaitu sukar untuk mengelakkannya dan jika tidak diberi keringanan akan menimbulkan kesulitan yang lebih besar.

2) Sesuatu itu sudah tersebar, iaitu seseorang mukallaf sukar untuk mengelakkan diri daripadanya, atau menghilangkannya serta jika tidak diberi keringanan akan menimbulkan kesulitan yang lebih besar.

Bagi ciri pertama, keringanan perlu diberikan kerana untuk memenuhi keperluan orang mukallaf dan bagi ciri kedua, keringanan perlu diberikan kerana ia sukar untuk dihilangkan." (rujuk Raf’ al-haraj, 262).

Menurut Muslim bin Muhammad bin Majid al-Dusari, Umum al-Balwa bermaksud, “Isu yang berlaku secara menyeluruh ke atas orang mukallaf atau keadaan orang mukallaf yang berkaitan dengan pertanggungjawaban tertentu berkenaan isu tersebut serta wujud kesukaran menghindarinya atau tidak mampu menghilangkannya melainkan dengan bertambah kesulitan yang memerlukan kemudahan dan keringanan." (Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 61)

Contoh

berubah hukum

1) Air liur kucing hukum asalnya ia adalah najis kerana kucing berkemungkinan makan benda najis. Namun, atas dasar umum al-balwa, iaitu kucing adalah binatang peliharaan yang hidup di persekitaran hidup manusia, jika dihukumkan bekas jilatan kucing pada bekas air adalah najis, maka ia akan menimbulkan kesulitan kepada hidup masyarakat.

Maka hukum air daripada bekas jilatan kucing tidak menjadi najis (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, 164)

2) Hukum asal menerima upah daripada amal soleh adalah haram. Contohnya, haram guru yang mengajar al-Quran daripada menerima gaji, juga gaji imam, bilal dan sebagainya. Namun atas alasan umum al-balwa, iaitu jika hukum itu kekal ia akan menjadikan tugas tersebut diabaikan serta guru al-Quran, imam, bilal dan seumpamanya akan terjejas keperluan hidup mereka, maka berubah hukum kepada harus menerima upah atau gaji (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 8/136)

3) Isu wanita menjadi orang gaji di rumah. Menurut hukum asal, seorang wanita diharamkan keluar rumah melainkan ditemani oleh mahramnya. Begitu juga seorang wanita diharamkan tinggal di rumah yang tiada mahramnya. Namun, pada zaman kini, atas dasar umum al-balwa, maka diharuskan seorang wanita menjadi orang gaji di rumah orang lain tanpa ditemani oleh mahramnya, dengan syarat terhindar daripada fitnah (al-Dusari, Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 446)

Islam telah menetapkan satu dasar hukum yang mudah untuk diamalkan sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ 4:28 yang bermaksud: Allah hendak memberikan keringanan kepada kamu kerana manusia dijadikan bersifat lemah.

Ayat ini menjelaskan bahawa dengan setiap perkara yang diwajibkan atau diperintahkan Allah, ia turun dengan kelonggaran sesuai dengan keupayaan seseorang individu itu, sehingga apabila munculnya masyaqqah (kesulitan) dalam menjalankan syariat, Allah SWT memberi keringanan bagi perkara yang diperintahkan tadi.

Kemunculan masyaqqah dalam melaksanakan tuntutan agama, maka agama sendiri memberi rukhsah iaitu jalan keluar daripada kesulitan tersebut. Maka diizinkan berbuka puasa bagi mereka yang uzur, begitu juga dibenarkan memakan benda yang haram ketika darurat.

Fenomena ini menunjukkan bahawa al-Quran sendiri mengakui kesukaran dan kesempitan yang bakal dialami oleh umat Islam dalam menegakkan syariat Islam.   DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN Utusan/Bicara_Agama/20140903

Tentera Islam disegani dunia

SEORANG mujahid adalah seorang pejuang kemerdekaan untuk kebebasan. Mujahid akhirnya menjadi mujahidin. Mujahin tercatat sejak 1958 dan dalam penggunaan moden untuk ‘gerilawan Muslim.’ Pada akhir kurun ke-20 dan awal kurun ke-21 istilah ‘mujahidin’ menjadi nama berbagai-bagai pejuang bersenjata yang menganut ideologi Islam dan mengidentifikasikan diri mereka sebagai mujahidin.


Mujahidin Afghanistan

Pada awalnya, kaum mujahidin berperang melawan pemerintah Afghanistan yang disokong oleh Soviet Union pada akhir 1970-an. Akhirnya, Soviet Union keluar dari Afghanistan pada akhir 1980-an kerana tidak kuat melawan para mujahidin.

Ramai Muslim dan negara-negara lain menawarkan diri untuk membantu kelompok mujahidin Afghanistan dan memperoleh pengalaman yang signifikan dalam perang gerila. Pada tempoh itu mujahidin yang paling terkenal adalah Abdullah bin Azzam.

Mujahidin Bosnia-Herzegovina

Mujahidin lahir di Bosnia selama berlangsung perang Bosnia dari 1992-1995 setelah pembantaian yang dilakukan oleh tentera Serbia terhadap Muslim awam di Bosnia. Jumlah kaum mujahidin ketika itu mencapai 4,000 orang. Mereka datang dari Arab Saudi, Pakistan, Afghanistan, Jordan, Mesir, Iraq dan Palestin. Bukti menunjukkan bahawa relawan asing datang di Bosnia pada 1992 dengan tujuan untuk membantu saudara-saudara Muslim mereka melawan penjajah Serbia.

Mujahidin Chechnya

Kaum mujahidin memainkan peranan penting dalam perang kedua Chechnya. Selepas runtuhnya Soviet Union dan kemudian deklarasi kemerdekaan Chechnya, pejuang mulai memasuki pelbagai kawasan. Ramai daripada mereka merupakan veteran perang Soviet-Afghanistan dan sebelum penyerbuan Rusia, mereka menggunakan keahlian mereka untuk merekrut para pejuang Chechnya. Ketika perang Chechnya pertama mereka disegani kerana taktik gerila yang dipakai, menimbulkan korban dahsyat kepada pasukan Rusia.

Mujahidin Kosovo

Menurut Serbia dan negara Eropah lainnya, sebahagian besar pejuang mujahidin dari Asia Barat dan bahagian lain di dunia bergabung dengan tentera pembebasan Kosovo melawan pasukan Serbia pada perang 1999. Sebahagian daripada mereka membentuk unit mereka sendiri dengan pemimpin yang fasih berbahasa Arab. Selepas perang sebahagian besar relawan asing itu kembali ke tanah air mereka dan sebahagian mereka tetap tinggal di Kosovo di mana mereka menjadi warganegaranya.

Sesungguhnya masih ramai lagi kaum mujahidin lainnya di seluruh dunia, namun para mujahidin Afghanistan, Chechnya, Bosnia-Herzegovina dan Kosovo selalu dikenang kerana kegigihan mereka dalam melawan para penjajah.

Janisari

Janisari berasal daripada bahasa Turki Uthmaniyah yang bererti ‘pasukan baru’ dan adalah pasukan infantri yang dibentuk oleh Sultan Murad 1 daripada khalifah Bani Seljuk pada kurun ke-14. Pasukan ini berasal dari bangsa-bangsa Eropah Timur yang wilayahnya berhasil dikuasai oleh Turki Uthmaniyah. Tentera ini dibentuk tidak lama selepas maharaja Byzantium kalah oleh Turki Uthmaniyah.

Pada masa itu pasukan Janisari ini adalah pasukan terkuat di dunia dan merupakan pasukan pertama sekali menggunakan senapang yang kemudian ditiru oleh orang Eropah. Pasukan ini adalah pasukan kedua setelah Mongol yang berjaya menjajah Eropah. Janisari adalah briged atau pasukan tentera terpisah daripada pasukan Turki yang bertugas mengawal Sultan Dinasti Uthmaniyah (Ottoman Empire).

Hizbullah

Hizbullah dalam bahasa Arab bererti ‘Parti Tuhan’ adalah kelompok Islam Lubnan yang terdiri daripada sayap tentera dan awam. Kelompok ini didirikan pada 1982 untuk memerangi pendudukan Israel di selatan Lubnan. Bersama Gerakan Amal, Hizbullah adalah parti politik utama yang mewakili komuniti Syiah, kelompok terbesar di Lubnan. Hizbullah dipimpin oleh Hassan Nasrallah.

Menurut data, kekuatan Hizbullah mencapai 5,000 hingga dengan 10,000 pasukan. Pasukan ini terdiri daripada 300-400 pasukan, tetapi ketika konflik berkecamuk, jumlahnya dapat segera meningkat secara signifikan mencapai ribuan pasukan. Hal ini disebabkan oleh ramainya simpatisan (orang yang menaruh simpati) Hizbullah yang juga sudah terlatih secara tentera yang berasal daripada pelbagai kalangan seperti pedagang, pendidik, pegawai swasta dan profesional seperti doktor, pengacara dan berbagai latar belakang pekerjaan

lainnya.

Ketika ini Hizbullah mempunyai senjata andalan iaitu Roket Katyusha buatan Rusia untuk menghadapi kekuatan Israel di selatan wilayah Lubnan. Kehebatan roket ini sudah terbukti ketika berjaya memusnahkan ratusan senjata canggih Israel yang terkenal iaitu Merkava.

Mamluk

Mamluk atau Mameluk dalam bahasa Arab bererti tentera hamba yang telah memeluk Islam dan bertugas untuk khalifah Islam dan kesultanan Ayyubi pada kurun pertengahan. Mereka akhirnya menjadi tentera yang paling berkuasa dan juga pernah mendirikan kesultanan Mamluk di Mesir.

Pasukan Mamluk pertama dikerahkan pada zaman Abbasiyah kurun kesembilan. Bani Abbasiyah merekrut tentera ini dari kawasan Kaukasus dan Laut Hitam serta mereka ini pada mulanya bukanlah orang Islam. Dari Laut Hitam direkrut bangsa Turki dan kebanyakan daripada suku Kipchak.

Tentera Mamluk ini selalu setia kepada syeikh, suku dan juga bangsawan mereka. Oleh itu tentera Mamluk adalah aset terpenting dalam bidang ketenteraan. (sumber militerislam.com) .   IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas pegawai agama seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kelantan. Utusan/Bicara_Agama/20140903

Raih syurga dengan sedekah

SEDEKAH merupakan pemberian yang diberikan oleh seseorang kepada insan yang memerlukan. Ia dilakukan untuk meraih keredaan dan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah ta’ala. Sedekah juga menjadi salah satu amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana amalan-amalan sunat yang lainnya.


Islam bukan sahaja mengajar kita mendekatkan diri dengan-Nya melalui amal ibadah yang khusus seperti solat dan berpuasa. Islam juga mendidik kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal kebaikan kepada sesama manusia antaranya dengan bersedekah. Allah SWT menyeru hamba-hamba-Nya untuk bersedekah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk menginfakkan sebahagian daripada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada jalan kebaikan. Ini tidak lain agar ia menjadi pahala sedekah itu tersimpan di sisi Allah SWT. Ini kerana apabila tibanya hari akhirat kelak, semua harta yang melimpah ruah tidak ada nilainya lagi. Seseorang tidak mungkin dapat menebus kesalahan dirinya ketika hidup di dunia meskipun dengan harta yang memenuhi bumi.

Nilai pemberian

Sedekah tampak remeh di mata sebahagian masyarakat namun di sisi Allah ia amalan yang begitu besar ganjarannya. Mungkin sahaja nilai pemberian kita itu kelihatan kecil di mata, namun ia mampu membuahkan pahala yang tak terhitung banyaknya. Allah SWT menyebutkan secara ringkas gambaran pahala mengeluarkan harta di jalannya dengan firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

Kadang-kala keengganan untuk bersedekah atau mengeluarkan harta di jalan Allah bukan disebabkan kerana tidak punya harta tetapi disebabkan perasaan takut harta yang dimiliki berkurang, rugi dan pelbagai sangkaan buruk yang dibisikkan oleh syaitan. Gambaran ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268).   MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR sedang mengikuti Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah, Gombak. Utusan/Bicara_Agama/20140903

Mekah, jemaah Malaysia dan fadhilatnya

HARI ini Khamis 4 September, sejumlah 932 jemaah haji Malaysia akan menjadi kumpulan pertama memasuki kota Mekah Al-Mukarramah.


Mekah adalah tanah haram, negeri yang paling dicintai Allah dan juga Rasul-Nya - kiblat orang Islam. Hadis-hadis yang menjelaskan keutamaan Mekah dan kedudukannya di sisi Allah dan Rasul-Nya, sangat banyak. Tidak terhitung jumlahnya.

Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Adi bin Al Hamra'. Dia mendengar Rasulullah bersabda di Mekah (baginda sedang berada di atas untanya di Hazwarah).

"Demi Allah, sesungguhnya engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling baik dan tanah yang paling dicintai Allah. Andaikan aku tidak diusir darimu, nescaya aku tidak akan meninggalkanmu."

Hadis di atas adalah hadis paling sahih yang diriwayatkan daripada Nabi tentang hal ini dan menjadi dalil bagi pendapat yang mengatakan bahawasanya Mekah adalah negeri yang paling utama dari seluruh negeri di permukaan bumi.

Cukuplah sebagai bukti yang menunjukkan tentang keutamaan Mekah, bahawa solat di Masjidil Haram pahalanya dilipatgandakan. Diriwayatkan Jabir bin Abdullah bahawasanya Rasulullah bersabda:

"Satu solat di masjidku ini lebih utama daripada 1,000 solat di tempat lain, kecuali Masjidil Haram dan solat di Masjidil Haram sekali lebih daripada 100,000 solat di tempat yang lain."

Apabila kita hitung keutamaan satu solat di Masjidil Haram berdasarkan petunjuk hadis ini dilipatgandakan menjadi 100,000 solat di tempat lain bererti satu solat di Masjidil Haram sama dengan solat selama 55 tahun enam bulan 20 hari. Dan solat sehari semalam (solat lima waktu) sama dengan 277 tahun sembilan 10 hari.

Teks hadis yang menjelaskan bahawa solat dilipatgandakan bererti amalan yang lain juga dilipatgandakan menjadi 100,000 kebajikan.

Al Muhib At Thabari berkata: "Hadis-hadis yang menjelaskan pahala solat dan puasa menunjukkan adanya pahala berlipat ganda pada setiap amalan, dikiaskan dengan solat dan puasa".

Hasan Al Bashri berkata: "Puasa sehari di Mekah sama dengan puasa 100,000 hari, sedekah satu dirham sama dengan 100,000 dirham dan setiap kebajikan digandakan menjadi 100,000 kali."

Akan tetapi ada dua syarat amalan digandakan pahalanya, iaitu ikhlas kerana Allah dan amalan tersebut sesuai dengan sunah Rasulullah.

Sebaliknya, dosa juga dilipatgandakan di sini, maka seharusnya seorang muslim menghindarkan diri daripada berbuat maksiat di Mekah.

Mujahid berkata: "Dosa berbuat kejahatan di Mekah dilipatgandakan seperti amal kebajikan yang dilipatgandakan."

Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya: "Apakah ada sebuah dosa yang ditulis lebih dari situ."

Ia menjawab: "Tidak ada kecuali bila ia dilakukan di Mekah, kerana agungnya negeri ini."

Ibnu Mas'ud juga mengatakan hal yang sama. "Jikalau seseorang berkeinginan membunuh seorang mukmin di Baitullah dan dia masih berada jauh di Aden nama kota di Yemen), Allah timpakan kepada orang tersebut azab yang pedih di dunia."

Allah menjadikan Baitul Al Atiq (Kaabah) sebagai tanah haram untuk memuliakan, sehinggakan terdapat rasa aman yang juga dirasakan oleh burung dan pepohonan. Pahala amalan di daerah ini diberikan oleh Allah lebih baik daripada daerah lainnya. Batas tanah haram tersebut mengitari kota Mekah Al Mukarramah dan sebahagian batasnya lebih dekat ke Kaabah.

Mekah - kota suci akan menerima jemaah Malaysia hari ini.   Zulkifli Jalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia dan kini berada di Mekah.   Utusan/Rencana/20140904

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bergerak ke Makkah hari ini


MAKKAH: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 413 orang akan mula bergerak dari Madinah ke Makkah dengan menaiki bas petang ini.

Mereka yang tiba di Madinah pada 27 Ogos lepas untuk melakukan ziarah dijangka bertolak selepas solat Zuhur dan dijangka tiba di Makkah kira-kira jam 7 petang waktu tempatan hari yang sama (12 tengah malam waktu Malaysia) .

Kumpulan jemaah haji itu digalakkan membuat ziarah wada atau ziarah selamat tinggal di Masjid Nabawi, sebelum mandi sunat dan berpakaian ihram bagi memasuki Makkah untuk melakukan umrah haji.

Mereka kemudian akan berhenti di Masjid Bir Ali, kira-kira tujuh kilometer dari kota Madinah, untuk solat sunat ihram dan memasang niat ihram.

Perjalanan dengan bas dari Madinah ke Makkah sejauh 447 kilometer itu dijangka mengambil masa antara lima hingga tujuh jam bergantung kepada keadaan lalu lintas dan akan diisi dengan bertalbiyah, iaitu kalimah kehadiran yang dilafazkan menandakan ikrar penerimaan mereka sebagai tetamu Allah.

Setibanya mereka di Makkah, mereka akan ditempatkan di Abraj Al Janadiriyyah di kawasan Shuib Amir, kira-kira 800 meter dari Masjidilharam, sebelum melakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan di Baitullah dan diikuti dengan saie antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali sebelum bertahallul, iaitu keluar dari ihram, dengan menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Ketibaan kumpulan pertama jemaah haji di Makkah akan diikuti oleh kumpulan kedua dan seterusnya secara berperingkat.

Tabung Haji telah menyediakan sebanyak sembilan maktab untuk menempatkan 22,320 jemaah haji tahun ini, termasuk di Qasr Al Janadiriyyah yang berhampiran dengan Abraj Al Janadiriyyah.

Selain Burj Al Haram 2 dan Hassan Khazindar di kawasan Al-Sud dan Bir Balilah serta lima bangunan di kawasan Misfalah dan Hafa'er iaitu Al Bisyarah Mawaddah, Rehab Al Janadiriyyah, Land Premium, Manar Al Shorouq dan Raudhat Al Shorouq.

Setakat ini, sebanyak 18 penerbangan membawa jemaah haji telah tiba di Madinah dengan yang terakhir tiba kelmarin iaitu penerbangan KT18 dengan seramai 267 jemaah haji.

Sehingga kini seramai 6,250 jemaah haji Malaysia sudah berada di Madinah. BERNAMA Berita Harian Khamis 4 September 2014






MASJID Nabawi di Madinah menjadi tumpuan ribuan jemaah yang melakukan ziarah sebelum berangkat ke Makkah bagi menunaikan ibadat haji. - Foto NSTP

Perbezaan kualiti umur berasaskan ibadah


"Andai ku tahu.
Kapan tiba ajalku,
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku..."

Lirik yang acap kali ke udara di tetuang suara IKIMfm menjadi tema perkongsian minggu lalu menerusi Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang membawa peringatan bahawa kematian itu pasti, tetapi waktunya masih misteri.

Menjentik hati cukupkah amal buat bekal di alam yang kekal? Sudahkah nikmat diguna untuk taat dalam mengecap hidup yang berkat? Ujian datang silih berganti selagi belum tiba yang bernama 'mati'. Seiring musibah, datangnya bersama hikmah.

Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah berserta hati yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi, hakikat sebenar musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT dan Allah SWT bawa kita kembali dekat dengan-Nya untuk meraih jannah.

Musibah juga adalah saluran untuk merintih dan munajat pada Allah SWT ketika kita leka mengingati-Nya. Suatu paksaan untuk dekat dengan-Nya. Dan hikmah terbaik di balik musibah adalah lahirnya manusia yang bijaksana dengan mengingati mati dan membuat persiapan untuk kehidupan selepas mati.

Ajal tidak ditangguh

Jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya." (Surah al-A'raf, ayat 34)

Bertuah bagi manusia yang terpilih untuk mengetahui waktu kematiannya seperti berpenyakit kronik, menerima hukuman mati dan sebagainya kerana mereka boleh membuat persiapan serta persediaan sebaiknya.

Berkemungkinan juga tempoh masa yang diperuntukkan lebih pendek di sisi ketetapan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Usia sememangnya ketentuan Tuhan yang dirahsiakan tetapi masih ada usaha daripada kita untuk memanjangkan usia.

Panjangkan usia dengan memanjangkan kuantiti masa pada usia, usahakan juga untuk memanjangkan kualiti usia dan panjangkan amal jariah dengan amalan yang terus hidup walaupun kita telah tiada.

Bermodalkan harta, ilmu, akhlak, keperibadian, agama, tenaga dan masa; usia mampu dipanjangkan. Panjang umur bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas kematian seseorang seolah-olah dia masih hidup.

Jika diperhatikan dalam beberapa keterangan Nabi SAW, umur boleh panjang dengan sebab doa, silaturahim, berbuat baik dengan ibu bapa, jiran tetangga dan semua jenis amal kebajikan.

Daripada Anas bin Malik, dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang suka dibentangkan baginya rezekinya dan dilewatkan ajalnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim." (Riwayat al-Bukhari).

Kualiti usia boleh diperoleh menerusi amalan solat berjemaah seperti sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Umar: "Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda."

Perbezaan kualiti umur

Itu yang membezakan kualiti umur hamba Allah berusia 40 tahun yang menghabiskan usianya dengan solat bersendirian dengan hamba Allah berusia 20 tahun yang istiqamah menunaikan solat secara berjemaah. Setiap langkah ke masjid untuk solat berjemaah meningkatkan darjat dan langkah pulang menghapuskan dosa.

Diriwayatkan daripada Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Riwayat Muslim)

Petua panjang usia juga dengan memanjangkan amal, ilmu, jasa di samping mengamalkan adab dalam Islam. Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi 'panjang' ilmu dan abadi jasanya. Imam Syafie, Imam Ghazali tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad.

Contoh lain, Umar ibn Aziz memerintah hanya kira-kira dua tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya. Itu pencen kubur, saham akhirat; walaupun jasad sudah tiada, namun amalan masih hidup dan berterusan.

Beruntunglah pada mereka yang bergelar guru, pendidik mahupun murabbi kerana mereka adalah legasi penyambung tugas Rasulullah SAW. Mereka memperoleh kebaikan ilmu yang dimanfaatkan, doa anak soleh dan amal jariah berpanjangan yang datang sebagai pakej bersama anak didik yang diberinya tunjuk ajar.

Selain itu, rahsia kejayaan orang yang panjang umur adalah dengan banyaknya bersedekah. Mereka tahu tujuan hidup dan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan. Sesungguhnya dunia akan sentiasa menyediakan jalan kepada orang seumpama ini.

Manfaat harta

Harta yang dimiliki usah disimpan, disalurkan ke jalan Allah SWT sebagai sedekah juga berupaya melipatgandakan usaha amalan. Harta yang menjadi milik sebenar kita adalah yang dikeluarkan di jalan Allah SWT dan harta yang disimpan itu milik orang lain selepas ketiadaan kita.

Rasulullah SAW menggalakkan umat Baginda bersedekah walaupun hanya sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda, daripada 'Adi bin Hatim: "Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). Bersedekahlah walau hanya sebelah kurma kerana ia lebih bernilai dari bergedung-gedung harta."

Umar Ibn Aziz pernah mengungkapkan, mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi iaitu alam akhirat. Manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki.

Sesungguhnya mati itu tidak diketahui tetapi pasti. Kematian akan melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap sedialah menghadapi kematian yang pasti akan hadir. Biarlah kematian itu hidup dalam diri kita kerana ingat mati akan 'menghidupkan' kita. Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat sebelum terlambat.

*Noorhayati Paradi ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm Berita Harian Agama 04/09/2014






Ustaz Pahrol Mohd Juoi beri peringatkan sediakan bekalan hadapi kematian dalam Islam Itu Indah