September 5th, 2014

'Kita bukan pemilik, cuma peminjam'


Hidup yang punyai segala kebendaan, hari dilalui tiada masalah, sentiasa gembira, apa juga impian mudah saja tercapai, itulah kehidupan yang menjadi dambaan semua orang. Tiada orang yang memiliki kehidupan sempurna kerana yang sempurna hanyalah Allah SWT.

Mungkin kita hanya boleh merasai dan memiliki beberapa perkara sahaja yang kita mahukan kerana itulah fitrah kehidupan di dunia. Walaupun sedikit atau separuh saja kemahuan diperoleh, namun ia boleh membentuk hidup yang sejahtera.

Segmen Usrati yang bersiaran Khamis minggu lalu, jam 5.15 petang di IKIMfm bersama Ustazah Norhafizah Musa membincangkan mengenai hakikat kehidupan yang mungkin tidak seperti kita harapkan.

Ada yang nampak luarnya lengkap segala-galanya, kereta bersusun, rumah ibarat istana, beroleh untung perniagaan berjuta ringgit, namun tidur malamnya tidak lena, hati sering dirundung gelisah. Ada pula kurang dari segi pakaian, makan pun ala kadar, namun hati kaya, selalu gembira dan urusan sering dipermudahkan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap kamu akan diuji dari segi kehilangan nyawa, harta benda, hati yang gelisah, kesakitan dan penderitaan untuk menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran kamu."

Jangan takut hilang apa dimiliki

Setiap yang dimiliki akan hilang, yang disayangi ditinggalkan. Jangan pernah di antara kita ada dalam hati istilah takut hilang segala-galanya kerana hakikatnya memang kita akan hilang semuanya, apa yang menjadi milik kekal hanyalah amalan yang ikhlas.

Rasulullah SAW sanggup memberi dan berkongsi sebahagian besar apa yang dimilikinya. Rasulullah SAW sanggup memberi kain baharu dibelinya untuk dibuat jubah baharu menggantikan jubahnya yang lusuh dan koyak kepada orang lain.

Konsep hidup sebenarnya, kita bukan pemilik, tetapi peminjam. Kita meminjam hak Allah SWT. Semuanya kita pinjam dan tidak ada satu pun yang menjadi milik kita. Rezeki umpamanya, selalu saja ada hak orang lain dalam harta kita miliki.

Konsep pinjam, kita kena pulangkan semula. Sampai masa ia akan hilang daripada kita sama ada harta benda atau orang yang disayangi. Jadi, apa yang berlaku dalam hidup ini jangan terlalu dikenangkan kerana ia ada fitrah yang perlu diterima dengan fikiran terbuka.

Nabi SAW mengajar bagaimana seharusnya kita bersederhana dalam apa juga keadaan. Islam menyarankan sebaik-baik perkara diletakkan pada batas pertengahan iaitu bersederhana. Jika kita terlalu menuntut apa yang sepatutnya kita dapat, maka kita akan sering gelisah, tidak puas hati serta terlalu berkira-kira.

Hidup seperti itu memang memenatkan. Justeru, sebaiknya kita berlapang dada dengan takdir yang berlaku dalam hidup supaya dapat memiliki hidup yang sejahtera. Berikanlah diri ruang untuk bernafas dengan tenang dengan memahami konsep hidup secara tepat.

Renung ujian Tuhan

Sekali sekala kita renungkan kisah mereka yang pernah diuji oleh Allah SWT, menghadapi kehidupan memeritkan supaya daripada pengalaman itu kita dapat mengambil semangat, membina keyakinan dan memperkuatkan pertahanan diri.

Cara itu, kita mampu memperkasa jiwa dan fikiran untuk kekal positif serta menjadi sekuat besi. Andainya putus asa menjengah, itu lumrah kerana kita hanya manusia biasa. Tetapi kita boleh menjadi manusia luar biasa andai meneladani jiwa yang ada pada Rasulullah SAW iaitu jiwa tenang.

Belajar bertenang, apabila berdepan masalah, tarik nafas terlebih dulu dan cuba menenangkan diri. Jangan bertindak gopoh atau cepat panik sebaliknya berusaha bertenang. Apabila bertenang otak akan berfungsi dengan baik.

Mari kita mencontohi golongan salafusoleh. Jika ada perkara yang membuatkan mereka tidak puas hati dan bersedih, tidak ada tempat sebaik-baiknya untuk mengadu selain Allah SWT. Ini kerana sifat Allah SWT, tidak pernah menghampakan hamba-Nya.

Allah SWT tidak pernah jemu mendengar aduan dan keluhan hamba-Nya walaupun untuk perkara yang sama berjuta kali pun, berbanding manusia yang apabila mendengar perkara yang sama akan cepat marah dan memberi maklum balas mengecewakan.

Kita harus bersabar untuk mengharapkan reda Allah SWT dan sifat sabar itu juga boleh memberi ketenangan kepada jiwa. Orang yang jiwanya damai, hatinya sentiasa tenang. Jangan putus asa walaupun kita dalam proses untuk bertenang.

Biasakan diri berfikir

Biasakan diri berfikir seminit dua sebelum bercakap atau memberi maklum balas. Barulah apa yang bakal keluar daripada mulut dan fikiran kita itu betul. Binalah kekuatan diri, fahami konsep hidup dan hakikat tiada yang kekal dalam dunia ini.

Setiap ujian ada hikmah di sebaliknya, kita perlu yakin dan berdoa supaya Allah SWT menggantikan kesusahan dengan kesenangan dan penderitaan dengan kebahagiaan. Jangan gopoh meniti hari dalam kehidupan ini.

* Siti Rohani Surani ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm . Berita Harian JUMAAT, 5 SEPTEMBER 2014 @ 5:20 AM









Ustazah Norhafizah membincangkan hakikat hidup tidak seperti diharapkan dalam Usrati

Raih syurga dengan sedekah

SEDEKAH merupakan pemberian yang diberikan oleh seseorang kepada insan yang memerlukan. Ia dilakukan untuk meraih keredaan dan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah ta’ala. Sedekah juga menjadi salah satu amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana amalan-amalan sunat yang lainnya.

Islam bukan sahaja mengajar kita mendekatkan diri dengan-Nya melalui amal ibadah yang khusus seperti solat dan berpuasa. Islam juga mendidik kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal kebaikan kepada sesama manusia antaranya dengan bersedekah. Allah SWT menyeru hamba-hamba-Nya untuk bersedekah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk menginfakkan sebahagian daripada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada jalan kebaikan. Ini tidak lain agar ia menjadi pahala sedekah itu tersimpan di sisi Allah SWT. Ini kerana apabila tibanya hari akhirat kelak, semua harta yang melimpah ruah tidak ada nilainya lagi. Seseorang tidak mungkin dapat menebus kesalahan dirinya ketika hidup di dunia meskipun dengan harta yang memenuhi bumi.

Nilai pemberian

Sedekah tampak remeh di mata sebahagian masyarakat namun di sisi Allah ia amalan yang begitu besar ganjarannya. Mungkin sahaja nilai pemberian kita itu kelihatan kecil di mata, namun ia mampu membuahkan pahala yang tak terhitung banyaknya. Allah SWT menyebutkan secara ringkas gambaran pahala mengeluarkan harta di jalannya dengan firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

Kadang-kala keengganan untuk bersedekah atau mengeluarkan harta di jalan Allah bukan disebabkan kerana tidak punya harta tetapi disebabkan perasaan takut harta yang dimiliki berkurang, rugi dan pelbagai sangkaan buruk yang dibisikkan oleh syaitan. Gambaran ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268).   MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR sedang mengikuti Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah, Gombak.   Utusan/Bicara_Agama/20140903

Ketegasan ibu jadi azimat

APAKAH perasaan sepasang ibu dan ayah jika anak-anak yang ditatang penuh kasih-sayang, akhirnya seorang demi seorang mencipta kejayaan. Pastilah hati akan berbunga penuh keindahan, bak kata orang tua-tua, sejuk perut ibu yang mengandungkan. Namun, kini kejayaan itu hanya mampu dikongsi bersama seorang ayah, lantaran seorang wanita bernama ibu telah lama kembali ke rahmatullah. Mari kita semak kisah anak-anak Abdul Rahman Kunchi Muhammad, 52 yang mampu membangkitkan motivasi ini.

“Isteri saya meninggal dunia pada 2007, setelah disahkan oleh doktor yang isteri mengidap kanser payudara Tahap 3. Semuanya, terlalu laju berlaku. Dek kerana menjaga isteri yang terlantar sakit jugalah, saya kehilangan pekerjaan. Namun, dari situlah yang akhirnya saya dapat berkenalan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS)," ceritanya.

Abdul Rahman berasal dari Kajang dan dan mendirikan rumah tangga dengan Zainab Idris, yang kemudiannya diserikan dengan kehadiran lima orang anak. Pertama Sakinah, 24 diikuti Syahidah, 23; Zainal Arifin, 21; Abdul Rahim, 20 dan si bongsu Masyitah, 10.

Kehidupan Abdul Rahman awalnya berjalan baik. Dia membantu perniagaan ayahnya di Jalan Bangsar, sehinggalah tahun 1989. Pada 1986 dia berkahwin. Selepas tidak lagi membantu ayahnya berniaga, Abdul Rahman cuba menjalankan perniagaan kecil-kecilan di hadapan rumahnya. Ketika itu dia tinggal di Kampung Medan, Petaling Jaya.

“Pada 1991, kami berpindah ke Syeksen 25, Shah Alam. Untuk menampung kehidupan, saya mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu kedai runcit. Sehinggalah ke tahun 2002, apabila isteri saya mulai uzur akibat diserang kanser tersebut, pekerjaan saya mulai terganggu. Saya tidak mampu untuk meninggalkan isteri menguruskan keluarga dalam keadaan uzur. Akhirnya, saya terpaksa berhenti kerja," katanya.

Sepanjang beberapa tahun menemani isteri, Abdul Rahman hidup dalam kesempitan. Tanpa pekerjaan bermakna tiada pendapatan. Demi menampung keperluan diri dan keluarga, dia sanggup bergolok- bergadai apa sahaja. Setelah kekeringan wang simpanan, banyak kelengkapan rumahnya dijual, demi meneruskan kehidupan. Mujurlah adik-beradiknya juga tidak lokek menghulurkan bantuan, walaupun sekadar pinjaman.

“Kala itu, dua tahun rumah ini tidak terbayar kepada pihak bank, sehinggalah pada tahun isteri saya meninggal dunia, iaitu tahun 2007, saya mendapat surat amaran daripada peguam untuk dilelong. Saat itu saya merayu kepada pihak bank agar ditangguhkan. Dalam kesedihan, saya menggagahi diri mencari kerja. Alhamdulillah, salah seorang adik saya menawarkan kerja. Saya perlu membuat kerja pemasaran, iaitu mencari kedai-kedai jahit yang menerima tempahan pakaian dan membawanya kepada adik saya untuk dijahit. Dapatlah dalam sebulan RM1,600."

Menurut Abdul Rahman, selama bertahun isterinya sakit, dia tidak mendapat maklumat mengenai bantuan yang disediakan oleh LZS. Sehinggalah selepas itu, yakni pada tahun 2008 barulah dia menerima khabar mengenai LZS dan mengunjungi kaunter di Masjid Negeri Shah Alam untuk bertanya mengenainya.

“Sewaktu mula-mula mendapat bantuan, saya hanya diberikan bantuan pendidikan anak-anak berjumlah RM1,000. Pada 2010, baru saya mengisi borang asnaf dan kemudiannya mendapat bantuan lebih sempurna, iaitu bantuan pendidikan bagi setiap orang anak, bantuan raya dan bantuan pendidikan tinggi."

Ternyata Abdul Rahman beruntung kerana mendapat zuriat yang cerdik dan bijak. Anaknya yang pertama dan kedua merupakan lulusan institusi pengajian tempatan. Kini, dua anak lelakinya yang ketiga dan keempat pula mendapat peluang melanjutkan pendidikan di luar negara.

“Saya belajar di Virginia Polytechnic Institute and State University (Virgina Tech) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik sejak kemasukan Ogos 2012. Alhamdulillah, pihak Yayasan TNB telah memberikan biasiswa kepada saya," jelasnya.

Demikianlah Zainal Arifin, 23 berkongsi kisahnya. Malah dia tidak lupa, betapa peranan ibunya dahulu yang amat memberi kesan kepada dirinya.

“Emak dulu sangat tegas. Setiap hari, emak pastikan kami mesti membaca buku atau mengulang kaji pelajaran tidak kurang dari empat jam. Jika tidak, jangan haraplah hendak keluar bermain. Jika sudah keluar, mesti balik sebelum Maghrib. Emak juga sanggup habiskan duit membeli sebanyak-banyaknya buku latihan tambahan," katanya.

Di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) , Zainal mendapat 7A1B dan dapat melanjurkan ke Maktab Rendah Sains Mara di Pangkalan Hulu, Perak dan dia mendapat 8A1B di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum kemudiannya membuat persediaan ke luar negara di Universiti Tenaga Nasional sebelum ke Amerika Syarikat pada tahun 2012.

“Masa emak meninggal saya baru berusia 13 tahun. Saya masih ingat, sebelum itu saya dapat tawaran ke Sekolah menengah Sains Kuala Selangor; namun emak tidak izinkan. Kemudian selepas PMR, dengan pencapaian 8A saya dapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam dan dalam SPM saya mendapat 9A+. Saya membuat persiapan di sebuah kolej swasta dan kini sudah pun mendapat tawaran ke University of Whales, United Kingdom dalam bidang psikologi," katanya.

Abdul Rahim Abdul Rahman, 21 pula berkongsi cerita. Dia juga tidak lupa betapa tegasnya ibu mereka dalam pendidikan. Jika dapat tawaran masuk ke asrama sekali pun, emaknya akan terus memantau. Jika dilihat pencapaian akademik merosot, maka emaknya sanggup mengeluarkannya dari asrama dan memantau langsung di rumah di bawah matanya.   HAMIZUL ABDUL HAMIDialah Eksekutif Dakwah di Lembaga Zakat Selangor (MAIS).   Utusan/Bicara_Agama/20140904

Memaknai keberkatan

Secara umumnya keberkatan dapat didefinisikan sebagai “sesuatu yang dapat membawa kebaikan."

Definisi ini memang sangat umum dan belum dapat menjelaskan pengertian berkat dengan sepenuhnya. Konsep keberkatan lebih mudah dijelaskan dengan melihat sejarah awal kehidupan Nabi Muhammad SAW. Setelah dilahirkan Nabi SAW disusui oleh seorang ibu daripada Bani Sa’ad bernama, Halimah al Sa’diyah.

Bani Sa’ ad adalah salah satu kelompok daripada suku Quraish di Mekah. Sebelum kehadiran Nabi Muhammad SAW, keadaan kehidupan Bani Sa’ad adalah dalam keadaan kesukaran makanan yang tergambarkan pada kurusnya binatang ternakan, keringnya susu ternakan, ketidaksuburan tanah dan sedikitnya hasil tanaman.

Namun, semenjak baginda Rasulullah SAW dibawa oleh Halimah ke kampung Bani Sa’ad, ternakan mereka beransur gemuk, malah kantung susu turut menjadi penuh,dan tanah berubah menjadi subur. Kehidupan keluarga Halimah pula mula menjadi sejahtera.

Perubahan keadaan yang terjadi ini diakui asbab kepada kehadiran Nabi Muhammad SAW yang telah membawa barokah kepada Bani Sa’ad.

Secara logik akal, tidak mungkin Nabi Muhammad SAW yang masih bayi, belum mampu untuk duduk dan berdiri, malah masih memerlukan bantuan orang lain untuk makan dan minum, dapat membawa perubahan kepada Bani Sa’ad.

Namun secara logik tauhid, perubahan pada Bani Sa’ad ini dapat terjadi atas dasar kehendak Allah SWT yang ditandai dan diawali dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW yang masih bayi. Untuk itulah, kehadiran baginda disebut sebagai barokah.

Al-Quran menegaskan bahawa Allah SWT merupakan sumber keberkatan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci (Maha Barakah) Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

(al-Mulk: 1)

Di dalam al-Quran banyak contoh makhluk-makhluk-Nya yang dianugerahi keberkatan. Di antaranya: tempat (negeri, kota, kampung), manusia (keluarga, orang perseorangan), waktu, benda (pohon, rezeki, air) dan lain-lain.

“Keberkatan kepada tempat" digambarkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami anugerahkan keberkatan pada negeri/tempat sekeliling-nya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada landa-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Isra’: 1)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang dianugerahi barokah dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. (Ali Imran: 96)

“Keberkatan kepada manusia" digambarkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dia menjadikan aku (Nabi Isa a.s) seorang yang dianugerahi keberkatan di mana sahaja aku berada dan Dia memerintahkan kepadaku untuk (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup. (Maryam: 31)

Keistimewaan

Anugerah keberkatan yang diterima Nabi Isa a.s menyebabkan sebuah keistimewaan. Ke mana pun dia pergj, maka tempat yang ia singgah dan sesiapa pun yang bertemu dengannya mendapat manfaat keberkatan daripadanya, seperti orang yang sakit akan menjadi sembuh, yang susah menjadi mudah urusannya dan seterusnya.

“Keberkatan kepada keluarga" pula digambarkan dengan firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah: Ya Tuhanku, Tinggalkanlah saya di negeri yang berkat. Engkau sebaik-baik yang memberi tempat. (al-Mu’minun: 29)

“Keberkatan kepada waktu" pula digambarkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang dianugerahi keberkatan dan sesunggguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. (ad-Dukhan: 3)

“Keberkatan kepada air" digambarkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami turunkan dari langit, air yang telah dianugerahi keberkatan. Lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon dan biji-bijian. (Qaf: 9)

Mengenai “Keberkatan kepada rezeki," Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk selalu berdoa, memohon kepada Allah SWT agar diberi rezeki yang berkat. Salah satu daripada doa tersebut ialah yang bermaksud: Ya Allah, anugerahkan lah keberkatan kepada rezeki kami dan jagalah diri kami daripada api neraka.

“Keberkatan dalam kehidupan" digambarkan Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud: Jikalau sekiranya penduduk desa / negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami anugerahkan kepada (kehidupan) mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (aI-A’raf: 96)

Allah SWT dan al-Quran adalah merupakan sumber keberkatan. Apabila nilai-nilai al-Quran diamalkan dalam kehidupan, maka secara automatik kehidupan di negeri, kota, desa, kelompok dan orang perseorangan yang menerapkan nilai-nilai tersebut menjadi objek sasaran keberkatan.

Apabila keberkatan dianugerahkan kepada kehidupan di negeri, kota, desa dan seterusnya, maka segala sesuatu yang diusahakan bakal mencapai hasil yang luar biasa atau di luar dugaan akal manusia, sesuai dengan sifat keberkatan itu sendiri yang melebihi perhitungan akal manusia. HASHIM AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140904

Bandingan Undang-undang keluarga Islam dan sivil

DI Malaysia terdapat dua set undang-undang keluarga Islam yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Undang-Undang Keluarga Islam yang digubal dan diluluskan di negeri-negeri di dalam Malaysia merupakan undang-undang yang bertujuan untuk menyatukan peruntukan-peruntukan Undang-Undang keluarga Islam mengenai perkahwinan, nafkah, penjagaan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga. Undang-Undang tersebut hanya terpakai bagi semua orang Islam yang bermastautin di dalam sesuatu negeri itu.

Sementara itu, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pula adalah suatu akta bagi membuat peruntukan berkenaan dengan perkahwinan monogami dan pengupacaraan dan pendaftaran perkahwinan itu dan menyatukan undang-undang berhubungan dengan perceraian. Akta ini hanya terpakai kepada orang bukan Islam mengikut syarat-syarat yang tertentu. Ia juga tidak boleh dipakai bagi seseorang Islam atau seseorang yang berkahwin mengikut hukum syarak. Perkahwinan di bawah akta ini juga tidak boleh diupacarakan, sekiranya salah satu pihak kepada perkahwinan tersebut beragama Islam.

Walaupun kedua-dua undang-undang ini berkisar di dalam tajuk kekeluargaan ataupun hubungan di dalam institusi kekeluargaan, namun pada pandangan penulis terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua undang-undang ini. Antara perbezaan yang amat ketara ialah:-

1. Perkahwinan sivil mengiktiraf kedudukan anak tak sah taraf dan anak angkat. Anak tak sah taraf atau anak angkat ini akan menikmati faedah yang sama dengan anak kandung. Berbeza dengan undang-undang Islam yang mementingkan keluarga yang teguh iaitu hanya mengiktiraf anak yang dilahirkan selepas enam bulan qamariah sahaja sebagai anak yang sah. Anak angkat tidak menikmati faedah yang sama seperti yang dinikmati oleh anak kandung, umpamanya daripada segi pewarisan harta pusaka.

2. Seksyen 50 Akta tersebut juga menyekat sebarang permohonan perceraian bagi orang bukan Islam. Tiada suatu petisyen untuk perceraian boleh diserahkan kepada Mahkamah sebelum tamat tempoh dua tahun dari tarikh perkahwinan mereka, melainkan terdapat keadaan atau kesusahan yang terkecuali yang dideritai oleh pihak itu ataupun untuk menjaga kepentingan anak. Undang-Undang Islam tidak membuat perincian atau sekatan seperti ini di mana suami ataupun isteri boleh memfailkan permohonan perceraian pada bila-bila masa selepas perkahwinan.

3. Seksyen 53 Akta tersebut juga memerlukan pihak yang memohon perceraian itu menyatakan alasan permohonan tersebut. Piawaian atau tahap alasan yang diterima ialah bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dengan tidak dapat dipulihkan lagi. Mahkamah boleh menyiasat kepecahbelahan perkahwinan tersebut dan pihak yang memohon perceraian itu mestilah mengemukakan bukti salah satu daripada berikut:-

Penentang telah melakukan zina dan pemohon dapati tidak tertahan lagi untuk tinggal bersama penentang;

Penentang telah bertingkah laku yang menyebabkan pemohon tidak boleh dijangka dengan munasabah tinggal bersama penentang;

Penentang telah meninggal langsung pemohon sekurang-kurangnya dua tahun; atau

mereka telah tinggal berasingan selama tidak kurang dari dua tahun.

Membubarkan perkahwinan

4. Undang-Undang Islam tidak memerlukan sebarang alasan untuk membubarkan perkahwinan umpamanya talak. Umat Islam bagaimanapun diingatkan bahawa perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah SWT. Oleh hal yang demikian, jika terdapat penyalahgunaan talak ini, maka pihak suami boleh menanggung akibat lain seperti membayar saguhati perkahwinan (mutaah) yang tinggi. Ini menunjukkan keadilan dan keanjalan undang-undang Islam agar ia dapat disesuaikan dengan suasana dan kehendak masyarakat.

5. Bagi tuntutan harta sepencarian pula, sumbangan dalam bentuk wang, harta atau kerja perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum sesuatu aset itu boleh dikategorikan sebagai aset perkahwinan ataupun harta sepencarian. Hutang pihak-pihak dan keperluan anak juga perlu diambil kira di dalam membuat perintah pembahagian di Mahkamah Sivil. Bagi wanita Islam pula pembahagian sebanyak 1/3 adalah pembahagian yang hampir automatik. Sekiranya isteri tidak bekerja dan tidak menyumbang secara langsung, pihak isteri masih layak mendapat sehingga 1/3 daripada harta sepencarian mereka. Pembahagian automatik ini tidak berlaku di Mahkamah Sivil kerana isteri masih lagi menanggung beban untuk membuktikan sumbangannya.

6. Sesuatu perintah nafkah kepada isteri pula akan sah sehinggalah suami atau isteri itu mati jika harta tidak bercagar dan terhenti apabila mati suami atau isteri yang untuknya perintah itu dibuat jika harta yang ditinggalkan itu harta bercagar ataupun apabila suami atau isteri itu berkahwin semula atau hidup dalam perzinaan dengan orang lain. Di dalam Islam hak isteri untuk mendapat nafkah adalah hanya untuk tempoh tiga kali suci sahaja ataupun jika isteri tersebut mengandung sepanjang tempoh mengandung itu mengikut yang mana lebih panjang ataupun sekiranya isteri telah putus haid selama empat bulan sahaja nafkah wajib diberikan oleh suami.

7. Terdapat juga perbezaan yang ketara di sudut penjagaan dan nafkah anak. Di dalam Undang-Undang Sivil bapa hanya perlu menanggung nafkah anaknya sehingga anak tersebut berusia 18 tahun sahaja. Jika anak tersebut telah hilang upaya maka nafkah wajib diberikan sehingga anak tersebut tidak lagi berada di dalam keadaan hilang upaya itu.

Masalah akan timbul apabila anak hasil perkahwinan tersebut memasuki menara gading. Tentulah ketika ini anak-anak tersebut berusia lebih dari 18 tahun. Oleh yang demikian, bapa tersebut tidak lagi bertanggungjawab untuk menyara anak ini. Anak ini akan terabai kebajikannya dan tidak akan dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran. Situasi ini tidak pula berlaku bagi keluarga Islam kerana tanggungjawab memberi nafkah yang dibebankan ke atas ayah ini akan berlanjutan selagi anak tersebut tidak bekerja ataupun mempunyai pendapatannya sendiri.

Oleh itu, kebajikan anak di dalam Undang-Undang Keluarga Islam adalah lebih terjamin berbanding dengan kebajikan anak sebagaimana yang termaktub mengikut Undang-Undang Sivil.

Berdasarkan contoh-contoh yang dikemukakan di atas, jelaslah bahawa memang terdapat perbezaan antara peruntukan di dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dengan Undang-Undang Keluarga Islam. Undang-Undang Keluarga Islam adalah lebih anjal, pragmatik dan adil berbanding dengan undang-undang lain. ZIANUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Utusan/Bicara_Agama/20140904

Antara perjuangan negara Islam tulen dan ISIS

DALAM kekecohan dan krisis besar dunia Arab yang melibatkan pertentangan di antara rakyat dan pemerintah, di antara rakyat dan rakyat yang berbeza pegangan mazhab agama, maka timbul pula satu kumpulan lain yang mendakwa bahawa mereka ingin menubuhkan negara pemerintahan Khalifah yang merangkumi Syria dan Iraq, dan akan menjalankan pemerintahan Islam yang tidak mempunyai sempadan.


Mereka menamakan diri kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) tetapi dalam proses membentuk kerajaan itu mereka telah menggunakan kekerasan dan pertumpahan darah seperti tentera biasa yang bertindak untuk menakluki sebuah negara musuh, malah memaksa umat Islam di sekeliling mereka supaya menerima mereka sebagai pemerintah, jika tidak maka umat sesama Islam itu akan dibunuh serta-merta.

Kejadian ini disedari oleh seluruh penduduk dunia yang menyaksikan keganasan ini melalui kaca televisyen dan gambar dalam media cetak serta media baru.

Semuanya menggambarkan kekerasan dan kekejaman yang dilakukan oleh golongan ini dalam proses menegakkan negara Khalifah dan negara yang mereka namakan negara Islam.

Oleh itu, slogan dan nama-nama simbolik yang digunakan oleh kumpulan tertentu dalam percubaan menggambarkan agenda perjuangan mereka sebagai perjuangan tulen Islam itu tidaklah seharusnya mengaburi mata orang Islam dalam menentukan apakah betul perjuangan kumpulan atau satu golongan itu sebagai perjuangan Islam, apatah lagi apabila dikaitkan dengan agenda menegakkan kerajaan Islam dan sebagainya.

Perjuangan Arab sendiri sebenarnya telah melalui sejarah yang panjang dalam menegakkan identiti kebangsaan dan keagamaan mereka. Sejarah Arab dalam kebangkitannya telah muncul dalam kepelbagaian agenda kebangsaan dan semangat bangsa Arab yang telah menyeleweng.

Walaupun negara Arab merupakan negara yang kaya dengan hasil petrol, tetapi mereka tidak dapat membangunkan kestabilan negara mereka kerana krisis kepimpinan, integriti, perpecahan ideologi mazhab dan semangat kebangsaan, malah penentangan sesetengah daripadanya terhadap Barat secara melulu, maka hal ini semua telah menjadikan negara mereka menghadapi pertumbuhan golongan radikal dan ekstrem dalam kalangan rakyat mereka sendiri.

Dalam proses ketegangan dan krisis politik dan ekonomi, di antara semangat kebangsaan dan tekanan Israel serta kuasa Barat yang ingin merebut kekayaan mereka, maka telah timbul golongan agama dan kumpulan-kumpulan yang menggunakan agama dalam perjuangan mereka untuk merebut kuasa politik di dalam negara mereka sendiri.

Maka dalam kebangkitan semangat Islam dalam perjuangan inilah, ternyata bahawa perjuangan itu pada umumnya berselindung di sebalik simbol dan nama agama untuk tujuan merebut kuasa politik dan pemerintahan negara.

Ketika inilah mereka menggunakan nama-nama simbolik Islam seperti jihad dan lain-lainnya untuk menarik perhatian para belia dan orang muda untuk menyertai mereka bagi melakukan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Allah, dan berperang menentang musuh Allah ini adalah perjuangan suci, yang sekiranya ada yang gugur maka mereka gugur sebagai pejuang yang mati syahid.

Hal ini perlu dikaji dan dipelajari dengan mendalam untuk kita memahami agenda perjuangan mereka yang terlalu kusut dan rumit itu.

Malah bagi kita di Malaysia, yang telah pun menyaksikan penglibatan para tenaga muda Islam untuk turut serta berjuang di dalam medan peperangan yang berlaku di sana atas nama jihad dan syahid, maka kita hendaklah berusaha untuk memahami situasi ini dan bersungguh-sungguh memahami hakikat perjuangan ini dari perspektif Islam itu sendiri.

Penjelasan yang mendalam tentang perjuangan dan kekerasan yang menyeleweng ini hendaklah diterangkan dengan menyeluruh di negara kita, terutamanya kepada anak muda dan para belia yang sedang bersemangat dalam menghayati erti kebangkitan Islam dan perjuangan suci untuk menegakkan agama dan negara Islam menurut kefahaman yang mereka fahami daripada anasir-anasir luar yang amat berpengaruh itu.

Tanpa keyakinan mereka terhadap propaganda luar tentang perjuangan 'jihad' itu, mana mungkin mereka akan sanggup mengharungi medan peperangan yang amat berbahaya di negara luar yang jauh itu.

Malah pengaruh ini telah menjadi luas sehingga terhadap para wanita Islam yang sanggup 'berkorban' bersama-sama tentera agama ini dengan menyediakan khidmat seks kepada para pejuang itu.

Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam yang maha suci dan amat jelas menyeleweng daripada nilai akhlak, malah akidah dan syariah umat Islam sendiri.

Sekali lagi penulis ingin menekankan di sini bahawa pengaruh negatif yang berselindung di sebalik kesucian agama ini hendaklah didedahkan dengan meluas dalam kalangan masyarakat kita, malah diterapkan pendidikan Islam yang sebenarnya untuk memahamkan anak-anak dan umat Islam di Malaysia, agar mereka tidak akan terjebak di dalam perangkap radikal dan ekstrem itu. Dr. Ismail Ibrahim ialah Timbalan Presiden 1, Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya. Utusan/Rencana/20140905

Isteri pikul tanggungjawab sara keluarga?

MEMBACA satu rencana akbar ini, baru-baru ini menunjukkan betapa penulis itu begitu teruja melihat kaum wanita mengatasi kaum lelaki dalam sektor pekerjaan tempatan.

Sungguhpun statistik yang dipetik, beliau dalam membandingkan jumlah kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta itu adalah satu fakta.

Bagaimanapun, tulisannya itu sama sekali gagal mengaitkan kerelevanan data itu dengan maksud kejayaan kerjaya bagi seseorang individu.

Jumlah kemasukan pelajar ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) sama sekali tidak boleh dikaitkan atau diukur dengan kejayaan kerjaya mereka pada masa hadapan.

Senario graduan manganggur hari ini jelas membuktikan realiti ini, bahkan kesannya telah wujud sejak dahulu lagi.

Oleh itu, beliau silap untuk secara mudah merumuskan kononnya wanita yang melanjutkan pengajian ke IPT telah berjaya mengatasi lelaki dalam sektor pekerjaan hanya dengan menggunakan alasan itu semata-mata.

Umum mengetahui betapa sistem pengajian yang diamalkan di peringkat sekolah mahupun IPT kita hari ini lebih cenderung atau mesra kepada kaum wanita.

Mungkin disebabkan itulah statistik di atas diperoleh.

Sedangkan sistem pengajian yang dilihat mesra kaum lelaki pula adalah lebih bersifat praktikal atau berbentuk vokasional.

Justeru dapat dilihat hari ini, institusi-institusi yang menawarkan program-program berbentuk kemahiran seperti kejuruteraan, hospitaliti bahkan kulinari akan lebih didominasi oleh kaum lelaki berbanding kaum wanita.

Walaupun kebanyakan pelajar lelaki ini akan menamatkan pengajian mereka sekadar di peringkat sijil atau paling tinggi pun diploma sahaja, tetapi mereka sebenarnya dapat mempraktikkan ilmu itu dalam dunia pekerjaan yang sebenar, bahkan tidak kurang juga yang mampu membuka perniagaan mereka sendiri dengan memanfaatkan kemahiran itu.

Mahasiswi mahupun mahasiswa di IPT yang banyak menawarkan program berbentuk akademik pula hari ini dilihat lebih cenderung menyalin nota, meringkaskan ayat, menghafal dan seterusnya mencari kata kunci dalam usaha mereka mengejar gred terbaik bagi kursus yang diambil.

Walaupun ia tidaklah salah dan boleh dianggap sebagai satu teknik belajar, namun timbul persoalan, adakah mesej sebenar daripada ilmu itu berjaya diserap oleh mereka juga dengan teknik sebegitu?

Hakikat inilah sebenarnya yang menyebabkan berlakunya lambakan graduan IPT di pasaran kerja hari ini ekoran terlalu mengejar gred berbanding mengutamakan pemahaman dan pengisian dalam pendidikan itu sendiri.

Sebagai memperkukuhkan lagi hujah beliau, penulis rencana itu turut memetik kenyataan seorang profesor daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mendakwa akan kemungkinan berlakunya fenomena house husband atau suri rumah lelaki pada masa hadapan.

Walaupun beliau melihat trend itu dari sudut yang positif, namun ia tidak dapat menyembunyikan pandangan sebenar beliau yang cenderung menilai secara negatif apabila melibatkan jantina yang berlainan.

Tanpa menafikan realiti dakwaan-dakwaan negatif yang dikemukakan itu, ia bagaimanapun sewajarnya dibaca dan dinilai secara holistik berpandukan realiti semasa juga!

Berapakah peratus lelaki atau suami yang dikatakan suka mengambil kesempatan ke atas pendapatan isteri mereka itu hari ini?

Pernahkah kajian terperinci berhubung perkara itu dibuat, atau ia sekadar salah tanggap oleh kaum wanita terhadap pasangan mereka sahaja?

Realiti yang berlaku hari ini adalah, kebanyakan lelaki atau suami itu mampu dan mahu bekerja, cuma mereka sekadar memperoleh gaji yang rendah berbanding isteri mereka dan ia sama sekali tiada kaitan dengan sikap malas, mengambil kesempatan atau tidak bertanggungjawab.

Cuma, satu perkara yang agak menghairankan apabila bercakap soal status jawatan suri rumah sebagai satu kerjaya, ialah apabila dikaitkan dengan manfaat harta sepencarian setelah berlaku penceraian.

Tugas seorang isteri di rumah sebagai suri rumah itu akan dikira sebagai satu kerja atau sumbangan yang sah sehingga memungkinkan bekas isteri memperoleh manfaat dan ganjaran tertentu daripada harta atau wang gaji milik suami.

Sebaliknya, apabila melibatkan pihak lelaki atau suami sebagai suri rumah, keadaan sebaliknya pula berlaku.

Ia tidak lagi dianggap sebagai sumbangan atau pekerjaan yang sah!

Bahkan mereka dituduh pula sebagai tidak bertanggungjawab atau pemalas. PENGEMIS SOH Bangsar, Kuala Lumpur   Utusan/Forum/20140903