September 10th, 2014

Agama: Jiwa Bani Israel tidak merdeka

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membawa pendengar IKIMfm menilai erti kemerdekaan dalam Ibrah

Ibrah siri ke-20 membuka lembaran baru kisah Nabi Musa dan kaum baginda, Bani Israel. Sempena negara menyambut kemerdekaan, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membawa pendengar merenung erti kemerdekaan yang sebenar.

Beliau mengambil contoh kisah Nabi Musa memerangi 'penjajahan' iaitu kaumnya sendiri, Bani Israel. Beliau memulakan dengan bagaimana Nabi Musa yang pernah tinggal di istana sebagai anak angkat Firaun akhirnya melarikan diri bersama Bani Israel meninggalkan tanah tumpah darahnya, Mesir ke Madyan.



Kekejaman Zionis meragut hak rakyat Palestin mengambarkan betapa rakusnyanafsu jahat yang diwarisi sejak dulu. - Gambar hiasan


Beliau juga membawa contoh bagaimana Rasulullah SAW yang begitu selesa tinggal di Makkah bersama bapa dan datuknya, bahkan pernah ditawarkan untuk menjadi memimpin Makkah juga meninggalkan tanah tumpah darah Baginda.

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa membawa keluar Bani Israel dari Mesir menuju ke Palestin dengan melalui laluan selatan Semenanjung Sinai. Di sinilah Allah SWT telah menunjukkan kepada Nabi Musa dan Bani Israel bagaimana dihancurkan Firaun dan tenteranya di Laut Merah.

Selepas Nabi Musa dan Bani Israel menyeberangi Laut Merah, Allah SWT mewahyukan Nabi Musa untuk tidak menuju ke Palestin tetapi ke satu lokasi yang paling hampir dengan tempat mereka diselamatkan daripada Firaun.

Sebelum ini, Firaun sudah lama menyeksa dan membunuh anak-anak Bani Israel di Mesir. Allah SWT telah memberi peluang kepada Bani Israel menyaksikan sendiri 12 mukjizat yang Allah SWT berikan kepada Nabi Musa termasuklah mukjizat terakhir iaitu tongkat Nabi Musa membelah lautan yang menyelamatkan mereka daripada Firaun buat selamanya.

Permulaan kisah Yahudi, Zionis

Sudah pastilah mereka akan sujud dan mensyukuri nikmat keselamatan yang Allah SWT berikan namun, sebaliknya diceritakan dalam al-Quran mengenai Bani Israel dan ini adalah permulaan kisah Yahudi dan Zionis yang kita kenali pada masa kini.

Beban berat perlu ditanggung oleh Nabi Musa untuk mengubah sikap, sekali gus memerangi jiwa penyakit jahiliah yang telah merosakkan satu bangsa yang pada asalnya dimuliakan Allah SWT.

Perjalanan merentasi Gurun Sinai menuju ke lokasi yang hendak dibawa oleh Nabi Musa mengambil masa selama dua hari. Semasa dalam perjalanan itu mereka berjumpa dengan satu kaum yang sedang menyembah berhala, lalu Bani Israel meminta dibuat berhala.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang laut (Merah) itu, lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang tunduk dan patuh menyembah berhala mereka. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata kepada Musa: Wahai Musa, buatlah untuk kami satu tuhan berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan. Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil." (Surah al-A'raaf, ayat 138)

Belum pun 48 jam Bani Israel menyaksikan Firaun dan tenteranya ditenggelami Laut Merah, mereka sedikitpun tidak merasa bersalah sebaliknya meminta Nabi Musa untuk membina berhala untuk mereka.

Menurut ulama, Sheikh Rusydi al-Badrawy dalam kitabnya Musa wa Harun, kenyataan Bani Israel ini menunjukkan mereka berada di bawah pengaruh kepercayaan pagan, iaitu kepercayaan terhadap penyembahan berhala.

Bani Israel sebelum ini terlalu lama dijajah oleh Firaun dan ia telah memberi kesan bukan sahaja kepada cara hidup bahkan keimanan mereka sehinggakan menyembah berhala dianggap tidak menyalahi syariat Islam. Bani Israel tidak beriman kepada Allah SWT dengan sepenuh hati mereka.

Cadangan bina berhala naikkan kemarahan Nabi Musa

Nabi Musa telah memerangi sifat jahiliah yang ada dalam jiwa Bani Israel sebelum ini dan akhirnya menyelamatkan mereka daripada Firaun tetapi cadangan mereka untuk membina berhala menaikkan kemarahan Nabi Musa.

Seperti diceritakan dalam al-Quran, "Nabi Musa berkata lagi: Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang seazam dengan kamu, dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu?)" (Surah al-A'raaf, ayat 140)

Tidak cukup kata-kata Nabi Musa menunjukkan kemarahan terhadap sikap Bani Israel ini, Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: "Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab dan seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya." (Surah al-A'raaf, ayat 141)

Muhammad Syaari berkata, peristiwa ini pernah diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat dalam Peperangan Hunain. Semasa dalam perjalanan menuju Peperangan Hunain, mereka telah melalui satu pokok yang besar dan pada dahannya disangkut senjata (pedang).

Sebelum Islam, masyarakat jahiliah percaya dengan melakukan demikian mereka akan diberikan kemenangan. Segelintir sahabat telah meminta kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah buatkanlah untuk kami Dzatu Anwath (tempat menggantungkan senjata) sebagaimana mereka memiliki Dzatu Anwath."

Rasulullah SAW menegur kata-kata sahabat ini dengan bersabda: "Allahu Akbar! Itulah tradisi (orang sebelum kalian) demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya, kalian benar-benar telah mengatakan suatu perkataan seperti yang dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa: Buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan." (Riwayat Tirmizi)

Betapa sukar Nabi Musa untuk memerdekakan jiwa Bani Israel yang telah lama dijajah oleh Firaun dari terus menyembah hawa nafsu mereka. Di akhirnya, Muhammad Syaari mengajak pendengar bermuhasabah dengan kehidupan manusia pada zaman kini.

Katanya, terdapat manusia yang mencari selain daripada Allah SWT, menyembah hiburan, maksiat, kehidupan melalaikan sehingga lupa kepada Allah SWT.

Beliau berkata, apakah manusia tidak berfikir dan merenung mengapa Allah SWT memelihara jasad Firaun (Ramses II) untuk kita mengambil iktibar daripadanya. Maslina Alias ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm Berita Harian Agama RABU, 10 SEPTEMBER 2014 @ 5:01 AM

Anas dan labu

SUATU hari seorang sahabat menjemput Rasulullah SAW untuk makan di rumahnya. Sahabat ini bukan tokoh terkenal. Bahkan, ia seorang hamba sahaya yang bekerja sebagai penjahit pakaian.

Rasulullah SAW berkenan menghadiri jemputan tersebut. Baginda datang ke rumahnya dengan ditemani oleh Anas bin Malik, pelayan Nabi SAW yang masih kecil.

Setibanya di rumah sahabat ini, tuan rumah menghidangkan untuk Rasulullah SAW sepotong roti, semangkuk sup labu dan daging dendeng.

Setelah mempersilakan baginda makan, tuan rumah meninggalkan baginda dan melanjutkan kembali pekerjaannya.

Hidangan ini sangat sederhana. Namun begitu, baginda SAW sangat menyukainya.

Anas bercerita: “Aku melihat Rasulullah mencari-cari labu di dalam pinggan. Sejak saat itu, aku turut menyukai labu." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Thabit berkata: Aku mendengar Anas berkata: “Selepas itu, setiap kali dimasakkan makanan untukku, aku meminta dicampurkan labu di dalamnya jika mampu." (riwayat Muslim)

Hakikat cinta Rasul

Hadis ini menunjukkan sifat tawaduk Rasulullah SAW. Baginda selalu bersedia menghadiri jemputan tanpa membeza-bezakan. Walaupun orang yang menjemputnya miskin dan hidangan yang disediakan sangat sederhana, namun baginda akan menghadiri jemputan itu jika berkesempatan.

Pada masa yang sama, kisah ini menunjukkan besarnya cinta sahabat Nabi kepada baginda. Sehingga apa-apa yang disukai baginda, turut mereka sukai. Dan apa-apa yang baginda benci, turut dibenci. Sikap ini bukan hanya berlaku dalam aspek ibadah, malah juga dalam bab pemakanan.

Lihatlah apa yang berlaku kepada Anas bin Malik. Apabila melihat Rasulullah SAW menyukai labu, Anas turut menyukai buah ini. Beliau terus menjadikan labu salah satu menu kesukaannya hingga meninggal dunia.

Sikap menyukai apa-apa yang disukai Rasulullah menjadi bukti kecintaan seseorang kepada baginda. Pada masa yang sama, cinta kepada baginda ialah bukti cinta kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah, jika engkau benar mencintai Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan mencintaimu. (Ali Imran: 31)

Kenalilah Rasulullah

Seorang ulama tasawuf dari Mesir, Zun Nun al-Misri, pernah berkata: “Tanda seseorang yang benar-benar mencintai Allah ialah mengikuti kekasih Allah (Rasulullah SAW) dalam setiap akhlak, perbuatan, perintah dan sunnahnya."

Dalam konteks hari ini, cinta kepada baginda SAW mesti bermula dengan membaca hadis. Sebab pada hari ini hadis merupakan satu-satunya penghubung antara kita dan Rasulullah SAW. Tanpa hadis, kita tidak dapat mengetahui adab, ajaran dan sunnah Rasulullah. Bahkan tanpa hadis kita tidak dapat mengenali sifat-sifat fizikal baginda SAW.

Justeru, kenalilah Rasulullah menerusi hadis. Ketahui apa yang disukai dan dibenci oleh baginda untuk dijadikan panduan dalam hidup kita. Dengan begitu, insya-Allah kita dapat meneladani Anas bin Malik yang sangat mencintai baginda. Wallahu a’lam. Utusan/Bicara_Agama/20140909

Keringat di kening

ANTARA tanda seseorang itu mati dalam keadaan husnul khatimah ialah keadaan keningnya berpeluh. Baridah bin al-Khathib berkata ketika Rasulullah SAW berada di Khurasan, saudaranya meninggal dunia dalam keadaan sakit dan keningnya berpeluh, maka kata Barida: “Allahuakbar (Allah Maha Besar), aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kematian seseorang Mukmin dengan keringat di kening." (riwayat Ahmad dan al Hakim)

Mati di malam Jumaat atau siang harinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat kecuali Allah melindunginya daripada fitnah kubur," (riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Mati syahid di medan perang. Firman Allah SWT yang bermaksud: Janganlah kamu mengira orang yang gugur di jalan Allah itu mati. Bahkan mereka hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka berada dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka. Dan mereka bergirang hati terhadap orang yang tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang besar daripada Allah dan bahawa Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang beriman. (Ali-Imran: 169-171)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi seorang yang mati syahid di sisi Allah itu ada tujuh perkara. Diampuni dosanya sejak mula pertama darahnya tumpah, ia menyaksikan tempat duduknya di syurga, dia mengenakan perhiasan iman, mempersuntingkan 72 bidadari, dihindarkan daripada azab kubur, diselamatkan saat kejutan yang dahsyat (kiamat), disematkan di atas kepalanya mahkota kebesaran daripada batu mulia lebih baik dari dunia dan isinya dan ia dapat memberi syafaat 70 ahli keluarganya." (riwayat Ahmad dan Tirmizi). - Sumber Ensiklopedia Kiamat. Utusan/Bicara_Agama/20140909

Berita gembira orang bersabar

KESUSAHAN merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan. Semua orang pernah merasai kesusahan kerana ia merupakan ujian daripada Allah SWT kepada seluruh manusia. Ujian Allah SWT hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, kekurangan pada diri, perbuatan buruk orang lain kepadanya, hati yang tidak tenang dan sebagainya. Apa jua perkara yang membuatkan manusia susah merupakan sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Tiada siapa yang terlepas daripada diuji oleh-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:155)

Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Muhammad ayat ke 31 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan mengujimu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan hingga kami dapat memastikan keadaan dirimu dengan sebenar-benarnya.

Semua contoh-contoh yang diberikan oleh Allah SWT itu antara sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah SWT akan memberikan pahala kepadanya. Sesiapa yang berputus asa disebabkan ujian itu, maka Allah akan menyeksanya. Kerana itulah Allah SWT berfirman di akhirnya: Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Disempurnakan pahala

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: …Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batasan. (az-Zumar: 10)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan membawakan ucapan Imam Al-Auza’i: “Mereka (orang-orang yang bersabar) diberikan pahala tanpa dikira banyaknya, mereka diberikan pahala secara melimpah (tidak terkira banyaknya)."

Ujian merupakan tanda bahawa seseorang itu dikehendaki baik oleh-Nya. Allah SWT sentiasa menguji hamba-hamba-Nya supaya ia menjadi bukti siapa yang sebenar-benarnya beriman dan bertawakal kepada Pencipta-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya Allah akan memberinya cubaan. (riwayat al-Bukhari)

Sabar daripada ujian Allah SWT merupakan tanda tingginya iman seorang Muslim. Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam sedangkan Mukmin ertinya orang Islam yang bertakwa. Sabar terhadap ujian Allah SWT antara tanda seseorang itu Mukmin di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW memuji sikap sabar mereka sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin itu, kerana semua urusannya bernilai baik baginya dan hal seperti itu tidak akan terjadi melainkan pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia akan bersyukur. Maka hal itu lebih baik baginya. Dan jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka hal itu juga lebih baik baginya. (riwayat Muslim). MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR kini sedang mengikuti Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah Gombak. Utusan/Bicara_Agama/20140909

Kekal sebagai medium dakwah

Memandangkan begitu banyak stesen radio yang lahir pada masa kini, stesen radio IKIM.fm turut memasang strategi bagi memastikan stesen radio mereka kekal di hati pendengar bagi jangka masa panjang.

Sebelum ini, radio IKIM.fm yang popular dengan cogan kata ‘Pilihan Utama Anda’ menyediakan kemudahan menerusi aplikasi atas talian (podcasting) menerusi telefon bimbit yang mempunyai talian internet.

Perubahan tahun demi tahun dan langkahan baharu IKIM.fm juga telah menempatkan IKIM.fm sebagai salah satu bahagian di dalam Pusat Media IKIM yang mula beroperasi sejak tahun 2013 dengan penstrukturan IKIM.fm di bawah Pusat Media IKIM yang diterajui oleh Dr. Nik Roskiman Abdul Samad selaku pengarah.

Katanya, pembangunan radio IKIM.fm telah meliputi pelbagai prospek bagi menjadikan lagu-lagu dan ilmu yang disampaikan terus kepada halwa telinga pendengar.

“Sebelum ini stesen radio kita telah melalui pelbagai fasa pembaharuan selain menyalurkan berita, stesen kami juga turut menyumbangkan kepada dakwah Islamiah secara meluas.

“Misi radio IKIM.fm ialah mahu memangkin sebagai stesen radio Islam terkemuka di Malaysia tetapi di semua pelosok di dunia.

“Walaupun di peringkat awal agak sukar kerana bukan mudah sebenarnya untuk menyampaikan dakwah melalui stesen radio kerana pendengar pada masa itu kurang memahami apa yang cuba disampaikan oleh pendengar.

“Tetapi selepas 13 tahun beroperasi, IKIM.fm sudah mampu membentuk kefahaman semua insan yang bukan sahaja tergolong dalam agama Islam, malah bukan agama Islam turut berminat mendengar radio kami," katanya.

Meskipun di awal penubuhan IKIM.fm, kebanyakan pendengar mengenali sebagai stesen yang memutarkan lagu-lagu berentak nasyid, tetapi pemilihan lagu antara penyumbang penting buat radio IKIM.fm.

“Dahulunya orang kenal IKIM.fm sebagai radio nasyid sahaja. Sebenarnya kami turut memainkan lagu-lagu yang berbentuk ketuhanan.

“Kami menapis terlebih dahulu lagu yang ingin diputarkan, jika ianya menepati piawaian dan syarat yang ditetapkan, baru kami keluarkan lagu tersebut.

“Pemilihan lagu turut merangkumi mesej positif, universal serta nilai-nilai murni yang diterapkan," jelasnya.

Radio IKIM.fm yang menggunakan pendekatan berteraskan 3M, iaitu mendidik, menghibur dan menyampaikan maklumat buat pendengar.

Konsep yang dihidupkan ini dilihat sudah mampu memberi manfaat buat pendengar setia IKIM.fm yang kini sudah mencapai lebih 800,000 pendengar dalam seminggu bagi satu-satu masa.

“IKIM.fm banyak berteraskan keilmuan di mana 75 peratus daripadanya pengisian yang ada lebih berbentuk kepada pendidikan, manakala 20 peratus pula program hiburan dan selebihnya pula untuk berita dan isu-isu semasa.

“Sebelum ini kami mahu menjadikan radio ini seperti radio pendidikan, tetapi selepas melihat kepada penerimaan pendengar dan kajian, stesen radio adalah tidak sesuai untuk hanya menumpukan kepada pendidikan sahaja kerana kita tidak mahu pendengar jelak dan jemu, sebab itu kita lebih senang dengan konsep seperti ‘edutainment’.

“Kita mahukan IKIM.fm dijadikan sumber rujukan dalam mendapatkan maklumat. IKIM.fm perlu pertahankan identitinya yang telah sedia ada agar terus menjadi contoh teladan untuk stesen radio lain dalam membentuk dan membangun masyarakat," tambahnya.

IKIM.fm yang 95 peratus programnya disampaikan dalam bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Bermula sebagai satu-satunya radio tanah air beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya, IKIM.fm mengorak langkah membina nama sebagai radio Islam tunggal negara bersiaran 24 jam dalam menyebarkan pemahaman Islam bukan sekadar di bumi Malaysia.

“Kejayaan membanggakan kerana IKIM.fm pernah mencatat jumlah pendengar melepasi sejuta dan saban tahun semakin meningkat menyaksikan dari lapan jam 41 minit pada awal tahun lalu, kini kepada sembilan jam 43 minit.

“Hasil kajian dari Nielsen turut mencatatkan IKIM.fm bukan sahaja didengari oleh pendengar yang beragama Islam, malah pendengar dari agama lain turut meminati dan mendengar stesen kami.

“Atas banyak cadangan yang diberikan, kami bercadang untuk menggunakan bahasa Cina untuk kapsul pendek dalam program kami. Ini sebagai permulaan dan akan dibincangkan dengan semua orang bagi menarik ramai lagi pendengar dari pelbagai agama dan bangsa.

“Penyebaran dakwah tidak mengira pangkat, usia dan agama. Jadi pendekatan dan cadangan yang dibuat sangat besar peranannya kerana kita tidak mahu timbul wasangka dan salah faham terhadap Islam," tuturnya ketika ditanya tentang perancangan masa depan IKIM.fm.

IKIM.fm turut dalam perancangan bagi mengembangkan stesen radio berkenaan menerusi slot saluran televisyen yang bakal beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.

Pendengar setia IKIM.fm bakal disajikan dengan satu lagi pembaharuan setelah stesen radio ini mendapat kata sepakat bersama dengan beberapa stesen televisyen yang bertujuan memancarkan studio radio IKIM.fm secara siaran langsung.

“HyppTV antara yang berminat untuk bekerjasama dengan kami bagi menyiarkan setiap program yang kami jalankan setiap hari secara langsung.

“Penonton boleh melihat semua program yang di dalam radio menerusi siaran televisyen dalam talian yang terdapat dalam perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi TM, UniFi.

“Permulaannya kami bercadang untuk beroperasi pada tahun hadapan dan untuk peringkat awal kami akan mulakan dengan segmen Warna Pagi yang ke udara pada pukul 6 pagi hingga 11 pagi.

“Tujuannya ialah untuk penonton melihat sendiri dengan deria penglihatan akan suasana dan gambaran sebenar yang berlaku di dalam konti ketika mengendalikan radio selain ianya dapat memberikan sedikit pengetahuan kepada pendengar setia IKIM.fm," tuturnya lagi. NURFARHANA MOHAMED Utusan/Bicara_Agama/20140909

Bertugas sambil menyebarkan dakwah

PERKARA pertama yang bermain di fikiran penulis tatkala memikirkan tugas menjadi seorang penyampai radio adalah satu tugasan yang agak mudah. Kenapa penulis berfikiran begitu?

Di mata penulis, tugas menjadi penyampai radio ini satu benda yang sangat ringkas kerana seseorang penyampai radio tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap sebelum tiba di konti.

Sebenarnya ada tugas yang cukup berat yang tidak terfikir dek akal fikiran penulis, iaitu bagaimana penyampai radio salurkan mesej dan pada masa yang sama menghiburkan pendengar agar tidaklah digelar sebagai stesen radio yang membosankan. Susah bukan?

Kerjaya sebagai penyampai radio bukanlah tugasan yang mudah kerana setiap penyampai perlu memastikan setiap maklumat atau berita yang disampaikan jelas kepada pendengar.

Lebih-lebih lagi jika stesen radio tersebut berbentuk Islamik seperti stesen radio IKIM.fm (91.5 fm) yang telah wujud sejak 2001 di negara kita di bawah kelolaan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Menyampaikan mesej berbentuk Islamik dan dalam masa yang sama cuba menjadikannya sesuatu yang santai serta menghiburkan bukanlah satu tugas mudah untuk dilaksanakan.

Mandat selaku penyampai di sebuah stesen radio yang berpaksikan Islam sebagai teras matlamatnya mungkin dilihat agak mencabar untuk melaksanakannya namun hakikat itulah yang harus dipikul oleh barisan penyampai atau deejay radio IKIM.fm yang wujud sejak 13 tahun lalu.

Suffian buat kajian

Begitu jugalah cabaran yang dialami bagi penyampai radio IKIM.fm berasal dari Parit Sulong,Muar, yang mengendalikan program Warna Pagi seawal pukul 6 pagi hingga 10 pagi bersama dengan rakan penyampai, Siti Rohani Surani.

Suffian yang juga ketua kumpulan nasyid Saujana agak terkejut apabila dilamar pihak IKIM.fm untuk menjadi penyampai biarpun hanyalah sambilan.

Tempoh berkhidmat selama empat tahun sudah cukup mematangkan diri Suffian, tetapi dia tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran juga.

“Waktu awal jadi penyampai radio, agak janggal sebab sebelum ini saya bangun dari tidur hanya selepas azan Subuh, tapi sekarang ini kena bangun seawal pukul 4.30 pagi.

“Tapi Alhamdullilah, lepas lapan hari ke udara, saya dapat rasakan badan semakin segar dan sudah biasa dengan suasana seperti ini. Selain dapat elakkan kesesakan lalu lintas pada waktu pagi," kata Suffian memulakan bicara.

Suffian turut mengakui agak sukar sebenarnya untuk menjadi penyampai radio yang berkaliber demi menepati kemahuan pendengar.

“Disebabkan itulah saya ambil pendekatan untuk buat sedikit kajian sebelum mula bersiaran. Kena tahu apa yang kita bualkan mesti ada hubung kait dengan kehidupan pendengar dan selitkan juga tentang isu-isu semasa yang berlaku setiap hari.

“Cara penyampaian saya lebih kepada santai dan mesra untuk difahami. Sebab kendalikan program pagi amat berat kerana kami perlu ceriakan semua pendengar yang sedang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas," katanya lagi yang akan berbincang bersama dengan pihak atasan tentang topik yang akan dikongsikan kepada pendengar setiap hari.

Selain itu dia turut mengendalikan Klinik Jawi yang bersiaran setiap hari Sabtu, pukul 10 pagi selama 20 minit bersama dengan Ustaz Azman dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Agak sukar sebenarnya mengajar melalui radio berbanding di televisyen sebab pendengar tidak boleh nampak bentuk sebenar yang kami lakukan, tetapi itulah satu cabaran yang berjaya kami lakukan," jelasnya.

Ceriakan pendengar

Sementara itu, Norhayati Paradi mengakui dia teruja mengemudi slot Warna Pagi bersama DJ Suffian. Sudah lima tahun dia mengabadikan diri dalam dunia penyiaran radio dan akui bukan kerja senang untuk menjadikan ia sebagai kerjaya tetap.

Menurut Norhayati, dia turut memastikan setiap susunan lagu yang dimainkan sesuai dengan situasi dan tidak terlalu membosankan.

“Sasaran pendengar untuk Warna Pagi antaranya mereka yang sedang sibuk dari awal pagi untuk menyiapkan anak ke sekolah dan juga mereka yang sibuk mahu ke pejabat.

“Dengan kesesakan lalu lintas yang tidak boleh kita bayangkan berapa lama, kadang-kadang boleh mengganggu emosi. Disebabkan itulah kita cuba terapkan elemen santai dan humor bagi menceriakan pagi pendengar setia kami," ujar Norhayati.

Suara Siti pikat pendengar

Bagi bekas graduan Akademi TV3, Siti Rohani Surani antara sudah lama berkhidmat bersama stesen radio IKIM.fm

Tempoh 10 tahun itu bagaimanapun tidak meletakkan DJ Siti di zon selesa kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaiki supaya tiap perubahan yang dilakukan itu berkesan dan membawa hasil kepada semua pihak.

“Sebelum ini saya pernah bergandingan bersama dengan Suffian untuk Warna Pagi. Namun demi memberi nafas baharu untuk stesen radio kami, saya ditukarkan untuk kendalikan program Destinasi.

“Berbanding dahulu, rutin harian saya akan bermula seawal pukul 4.30 pagi untuk ke konti. Tetapi kini berbeza kerana jadual tugas untuk saya mengambil alih konti adalah mulai pukul 2 petang hingga 6 petang," katanya.

Bagi slot program Destinasi, di dalamnya terkandung pelbagai program ilmiah antaranya, Guru dan Pendidikan, Ibrah, Inspirasi Usahawan, Islam Agamaku, Kompas Kesihatan, M-Tech, Peka Bahasa dan Usrati.

“Slot ini lebih cenderung kepada perkara yang sering berlaku di dalam kehidupan seharian. Saya akan mengundang tokoh-tokoh usahawan untuk berkongsi petua berjaya menjadi usahawan terulung.

“Ada juga segmen yang berkongsi tips pemanduan dan beberapa tips-tips lain untuk kemudahan kita dalam melakukan kerja-kerja seharian," tutur Siti lagi.

Jelas Siti lagi, antara yang sering menjadi pedoman ialah bagi segmen Islam Agamaku yang mengupas perkongsian saudara baharu yang memeluk Islam dan dari sudut pandangan mereka sendiri tentang agama Islam.

“Apa yang cuba ditonjolkan di sini ialah kita mahu memberikan contoh bahawa bukan hanya orang Islam sahaja yang mendengar malah ada juga saudara baharu yang turut menjadikan stesen radio IKIM.fm sebagai satu tempat bahan rujukan apabila keliru tentang hukum-hakam dan juga sebagainya," katanya.

Kendali segmen Ekspresi

Bagi anak muda berusia 27 tahun, Faiz Othman, dia ditugaskan untuk mengendalikan program Ekspresi, setiap hari Isnin hingga Selasa dari pukul 10 malam hingga 2 pagi.

Dikenali sebagai DJ Faiz, menguasai konti sepenuhnya pada sebelah malam dan sasaran pendengarnya sudah tentulah remaja yang seusia dirinya.

Dia diberi peranan itu sejak tahun 2012 dan terbukti hasil kajian mencatatkan program kendaliannya pernah mencatatkan sehingga 110,000 pendengar dari pelbagai lapisan usia dan terus kekal ke hari ini.

“Setiap hari akan ada slot berbeza antaranya, Maulid, Nukilan, Pengembara Muslim, Remaja dan Suara Siswa.

“Setiap hari kita akan mengundang tetamu dan akan berkongsi pengalaman mereka atau aktiviti yang dijalankan di universiti dan kolej mereka.

“Ini salah satu cara mudah buat siswa dan siswi yang mahu menyalurkan sebarang aktiviti yang dianjurkan kepada umum," ujar Faiz yang turut bertindak sebagai Penerbit bagi slot Suara Siswa.

Jelas Faiz lagi, antara yang mendapat tempat di hati pendengar ialah Maulid, slot yang disiarkan secara langsung.

“Kita akan undang beberapa orang penyanyi nasyid untuk mengalunkan qasidah kemudian diselang-selikan dengan penerangan oleh ustaz jemputan.

“Ini antara yang mendapat kedudukan tertinggi dan saya juga turut menggemari slot Maulid kerana di samping berhibur kita dapat mengagungkan ciptaan Tuhan," tuturnya lagi.

Tambah anak kelahiran Bachok, Kelantan dan dibesarkan di Hulu Langat, Selangor ini lagi, dia akan memastikan untuk membuat persediaan sebelum bersedia masuk ke konti selama lima jam.

“Setiap hari tak adalah kita bincangkan satu topik sampai lima jam, sebenarnya banyak lagi pengisian pada setiap hari yang berbeza. Kalau turut akan memainkan lagu-lagu yang berunsur dakwah dan ketuhanan.

“Kalau pada hari Jumaat pula, lebih kepada bebas. Ada segmen sampaikan salam dan terbuka kepada semua pendengar yang membuat permintaan untuk memainkan lagu kegemaran dan mengirimkan pesanan," katanya.

Faiz akui seronok berkecimpung di dalam bidang ini kerana dia bukan sahaja dapat berinteraksi sesama pendengar, malah dapat berkongsi pengalaman bersama mereka.

“Memang pihak atasan mahu saya tumpukan kepada sasaran umur seperti remaja, kerana untuk menyebarkan perkara yang baik perlu bermula dari usia muda," katanya.

Kongsi penghijrahan selebriti

MUNGKIN ada di kalangan pendengar setia IKIM.fm yang cukup mengenali suara DJ Maslina Alias yang dahulunya mengendalikan program kanak-kanak seperti Alam Ria Si Kecil yang berkisar kepada kisah Rasulullah dan kisah Nabi. Kini DJ Maslina ditugaskan untuk mengendalikan Usrah Nurani yang berkisar tentang penghijrahan selebriti yang dahulunya sering dipandang kosong dan berubah menjadi lebih baik.

“Saya akan mengupas topik usrah fitrah ini bersama dengan Ustaz Zulramli M. Razali kepada artis jemputan yang kita undang. Tujuannya hanya satu, iaitu memberi satu impak bagi melihat transformasi diri mereka yang sewaktu dahulu dan sekarang.

“Setiap minggu akan ada selebriti atau personaliti yang diundang bagi memberi sedikit bingkisan kepada para pendengar," kata Maslina yang bersiaran pada hari Jumaat, pukul 5.15 selama 45 minit.

Selain sebagai penyampai, Maslina turut sibuk dengan tugasan di belakang tabir sebagai Penerbit program Alam Ria Si Kecil dan juga Pengembara Muslim.

“Dahulu saya yang jadi penyampai untuk Alam Ria Si Kecil, kini penyampai radio sambilan sahaja yang mengendalinya pada setiap hari Sabtu, pukul 2 petang.

“Selain itu juga, saya turut menerbitkan program Pengembara Muslim yang dikendalikan oleh DJ Faiz di sebelah malam," tambah Maslina yang telah bertugas sejak awal penubuhan IKIM.fm

Meskipun ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini dilihat sibuk dengan tugasan hariannya sebagai penyampai dan penerbit, dia tetap mengutamakan keluarganya.

DJ Erwan terus belajar

Kalau sesiapa yang mengikuti slot programnya yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 2 petang, pasti kenal dengan suara DJ Erwan. Anak kelahiran Kuala Lumpur yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Jordan antara rakan seangkatan DJ Siti Rohani Surani yang telah menabur khidmat bakti selama 10 tahun di stesen radio IKIM.fm.

Pemilik nama penuh Erwan Johari, mengendalikan program Aspirasi setiap hari. Antara pengisian yang terkandung di dalam program Aspirasi itu termasuklah Persona D’Zahra, Islam dan Peradaban, Islam Itu Indah, dan Tahsinul Ibadah.

DJ Erwan yang diberi ‘lampu hijau’ oleh pihak atasan untuk mengendalikan program ini dari awal tahun ini, akan membincangkan pelbagai aspek-aspek Islam dari epistemologi, perbandingan agama dan lain-lain.

“Segmen kendalian saya ini lebih memberi tumpuan untuk suri rumah sepenuh masa. Jadi banyak perkongsian dan slot yang berkait rapat dengan suri rumah. Setiap hari akan ada topik yang berbeza dan sudah pasti menarik serta penuh ilmu.

“Setiap hari akan ada beberapa ustaz yang diundang untuk berinteraksi dengan pendengar dan menjawab persoalan yang mereka kurang pasti. Selalunya mereka akan bertanyakan tentang tajwid dan hukum-hakam yang dirasakan kurang pasti," ujarnya.

Selain menjadi penyampai radio setiap hari, Erwan turut menerbitkan rancangannya sendiri iaitu Carta Lagu IKIM.fm yang lahir dari hasil ideanya sendiri dan sepenuhnya di bawah kelolaan Erwan.

“Pendengar boleh mengundi lagu-lagu yang mereka rasa layak untuk berada di carta atas menerusi undian atas talian iaitu dalam laman sesawang rasmi milik IKIM.fm Saya buat program ini atas dasar minat dan mahu menambahkan lagi kepelbagaian program yang sudah tersedia ada di IKIM.fm

“Saya akan turut mengundang artis nasyid bagi menjadi tetamu jemputan dan pendengar berpeluang berinteraksi dengan mereka," tambah Erwan lagi yang sentiasa membetulkan apa sahaja kelemahan dia lakukan bagi memastikan stesen radio ini kekal komited. NURFARHANA MOHAMED Gambar ZAKARIA IDRIS Utusan/Bicara_Agama/20140909

Ucap innalillah kepada bukan Islam

KEBELAKANGAN ini saya lihat banyak perkara yang agak pelik berlaku dalam kalangan umat Islam Malaysia. Dengan terjadinya tragedi MH17 dan pulangnya jasad-jasad dan abu mayat mangsa, saya terlihat ramai orang Islam mengucapkan RIP atau rest in peace kepada jasad-jadad dan abu-abu mangsa bukan Islam. Malah ada yang ucapkan Innalillah... kepada mereka. Sedangkan dalam forum-forum Islam di televisyen dan masjid, ustaz-ustaz jemputan mengatakan perbuatan itu adalah salah dan haram. Demi menjaga akidah kita umat Islam, tolong berikan pandangan tuan.

Penjelasan: Ucapan Innalillah adalah salah satu bentuk doa yang dibacakan kepada orang Islam yang meninggal dunia atau apa-apa musibah kepada orang-orang Islam. Ia diambil daripada surah al-Baqarah ayat 156: Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan innalillah wa inna ilayhi raji’un. (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali)

Walaupun ada yang berpandangan bahawa kata-kata ini berbentuk umum dan tidak dikhususkan kepada orang Islam, namun dalam konteks kefahaman ayat al-Quran tersebut, penggunaannya lebih merujuk kepada musibah yang berlaku kepada orang Islam. Ayat di atas misalnya adalah penerusan daripada ayat-ayat yang merujuk kepada cabaran dan dugaan yang dihadapi mukmin.

Sementara dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, ketika api pelita Rasulullah terpadam, maka Rasulullah menyebut: Innalillah wa inna ilayhi raji’un. Maka Aisyah bertanya: “Adakah api terpadam pun satu musibah?" Jawab Nabi: “Setiap perkara yang memberi kesan buruk kepada orang mukmin adalah satu musibah."

Daripada dua asas di atas, jelas bahawa bacaan innalillah tidak ditujukan kepada mereka yang bukan Islam. Berkaitan ucapan Rest in Peace, sepertimana yang telah dihuraikan dalam Facebook Fatwa Malaysia sebelum ini, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Ia juga biasanya diukir di batu nisan dalam kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh ucapan itu berasal daripada bahasa Latin ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.’ Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat daripada Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut itu.

Sedangkan daripada sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan kerahmatan daripada Tuhan.

Ini berdasarkan ayat al-Quran surah al-Taubah ayat 113 yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.

Namun Islam tidak menghalang umatnya mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti ‘saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda’ atau ‘kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan daripada keluarga anda.’ Wallahu a’lam. Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Utusan/Bicara_Agama/20140910

Antara impian dan harapan

MINGGU lepas menyaksikan puluhan ribu pelajar dari seluruh pelosok tanah air mendaftar sebagai mahasiswa dan mahasiswi institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Semua ibu bapa sudah pasti sangat berbangga anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab mereka membesar dan mendidik anak-anak sehingga berjaya.

Pendidikan anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan pendidikan agama adalah kewajipan yang perlu didahulukan dan diutamakan.

Pendidikan agama yang paling penting kepada anak-anak ialah pendidikan akidah supaya anak kita mengenal Allah SWT sebagai Penciptanya.

Kekuatan akidah akan memastikan anak-anak membesar sebagai manusia yang tawaduk serta taat kepada semua perintah-Nya dan menjauhi segala kemurkaan-Nya.

Ini bukan perkara mudah kerana dalam proses kedewasaan, anak akan bergaul dengan pelbagai jenis manusia yang akan mempengaruhinya daripada segala sudut.

Anak yang terdidik dengan akidah yang kukuh tidak mudah melatah apabila didedahkan dengan pelbagai isu dan keadaan.

Anak yang kukuh akidahnya akan solat pada waktunya, berpuasa dan berjaya mengawal diri apabila hidup dalam kancah kehidupan sebenar.

Namun, hari ini, pendidikan agama seolah-oleh sesuatu yang tidak pernah dipersoalkan. Kita beranggapan semua anak mesti telah terdidik agamanya oleh ibu bapa mereka sejak dilahirkan.

Apabila anak pandai berjalan dan bercakap, ibu bapa moden sibuk membelikan anak buku dan gajet elektronik. Selain, berbincang mengenai pilihan kelas tuisyen terbaik.

Malah tidak kurang juga yang memanggil ustaz atau ustazah ke rumah untuk mengajarkan al-Quran. Akhirnya, anak-anak mampu menguasai al-Quran tetapi tidak mengetahui kepentingan penguasaan ilmu tersebut.

Di samping itu, mereka mungkin diajar tentang solat, tetapi tidak diterangkan kewajipan bersolat dan apakah hubung kait solat dalam kehidupannya seharian sebagai hamba Allah.

Hari ini, ibu bapa mengambil cuti menjelang hari peperiksaan anak-anak, tidak kurang yang berpuasa dan bersolat hajat untuk memastikan kejayaan anak-anak, namun tidak pula bercuti untuk memastikan anak solat Jumaat atau menghadiri majlis khatam al-Quran anak di sekolah agamanya.

Budaya francais

Budaya francais bukan sahaja dalam perniagaan, tetapi ibu bapa moden menggunakan kaedah ini untuk mendidik agama anak.

Anak dihantar ke sekolah biasa dan sekolah agama. Anak berada di sekolah dari pukul 7 pagi hingga 6.30 petang kerana bersekolah biasa dan sekolah agama.

Di sebelah malam pula, anak-anak dihantar ke kelas tuisyen untuk membolehkan dia lebih cemerlang dalam peperiksaannya.

Ada ibu bapa mengabaikan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di rumah kerana anak-anak ada kelas tuisyen. Begitu juga bagi anak-anak yang tidak bersekolah agama, ibu bapa mengabaikan solat Asar anak-anak kerana mempunyai kelas tuisyen pada sebelah petang.

Kebiasaannya, anak-anak dihantar ke kelas tuisyen pada umur tujuh hingga 12 tahun, sedangkan umur paling sukar bagi anak-anak ialah di antara 12-17 tahun di mana mereka melalui proses kedewasaan.

Daripada penyelidikan saya, inilah masa mereka mula meninggalkan solat, tidak berpuasa dan mula mencuba rokok, arak dan seks.

Pada peringkat umur ini, mereka dikerah ke kelas tuisyen. Di sekolah pula, mereka dibebankan dengan pelbagai mata pelajaran dan peperiksaan utama yang boleh menentu masa depan.

Ada juga dalam kalangan anak-anak ini berpisah dengan ibu bapa kerana berjaya memasuki sekolah berasrama penuh.

Ibu bapa gembira tidak terkata dengan kejayaan anak-anak terpilih ke sekolah berasrama penuh yang berprestij dan anak meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada rakan sebaya.

Ramai yang terpengaruh dengan tabiat buruk semasa di asrama, tetapi ibu bapa seolah-oleh tidak ambil kisah kerana yang utama ialah mendapat gred A.

Tentunya hari pendaftaran pelajar masuk IPT yang berlangsung pada minggu lalu ini adalah saat yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa.

Yang jauh telah datang sehari dua lebih awal. Ada juga pelajar yang datang sendiri terutama dari Sabah dan Sarawak.

Bagi saya pelajar Sabah dan Sarawak sama seperti pelajar yang terpilih ke luar negara. Ia mengingatkan saya apabila saya terpilih melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ibu bapa mana yang tidak berbangga dengan kejayaan anak-anak yang mendapat tajaan belajar ke luar negara.

Namun ibu saya tidak kering air mata memikirkan kehidupan saya di UK kerana faktor usia dan gender. Apatah lagi saya tidak pernah tinggal di asrama atau tinggal berjauhan dengan keluarga.

Namun berbekal doa dan didikan agama yang kukuh saya menyahut cabaran tersebut. Begitu pun, ia bukan sesuatu yang mudah terutama apabila tinggal dalam masyarakat bukan Islam yang tidak berpegang kepada agama.

Samalah juga dengan pelajar yang datang dari jauh. Cabaran masuk IPT sangat besar menunggu mereka. Sistem pembelajaran di IPT jauh berbeza daripada sistem di sekolah. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan tempat dan persekitaran baharu. Utusan/Bicara_Agama/20140910

Rahsia, hikmah sebalik angka 7

Dalam Islam, terdapat rahsia dan makna yang besar di sebalik angka tujuh. Allah SWT menciptakan tujuh lapis langit yang kukuh, kemudian dihiasi langit itu dengan tujuh gugusan bintang, tujuh lapisan bumi, yang dihiasi dengan tujuh lautan. Allah juga menjadikan tujuh hari dalam seminggu.

Allah juga menjadikan tujuh tingkatan neraka. Kemudian Allah menjadikan tiap-tiap lapisan neraka dengan tujuh pintu. Allah juga menciptakan tujuh lapisan syurga dan tujuh pintu syurga.


Allah menjadikan tujuh ayat dalam surah Al-Fatihah, tujuh surah yang panjang di dalam al-Quran iaitu surah al-Baqarah, al-Imran, al-Maaidah, An-Nissa’, al ‘Araaf, al An’aam dan al-Anfaal atau at-Taubah, tujuh anggota sujud di dalam solat iaitu dua hujung jari kaki, dua lutut, dua tapak tangan dan satu dahi, tujuh kali putaran tawaf mengelilingi kaabah, tujuh kali sa’i antara Bukit Safa dan Marwah, melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Al-Aqabah, masing-masing dengan tujuh biji batu.

Angka tujuh bagai sinonim dengan tahun 2014. Pelbagai peristiwa duka mengisi tahun ini, seolah-olah ia tahun duka negara.


Pada awal Sabtu, 8 Mac 2014, negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi. Pesawat yang membawa 239 penumpang, termasuk 2 bayi dan 12 anak kapal itu masih belum ditemui sehingga sekarang.


Pesawat berkenaan berengin PW4077, RR 877, GE90-77B, dan dikatakan model ini tidak pernah terbabit dalam sebarang kemalangan udara, kecuali penerbangan Asiana mendarat cemas di Lapangan Terbang San Francisco mengorbankan tiga remaja perempuan China pada Julai 2013.

Belum pun kehilangan dapat dirungkaikan, negara dikejutkan lagi pada Khamis 17 Julai 2014, dengan berita penerbangan pesawat Boeing 777 iaitu MH17 yang berlepas dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur dilaporkan terhempas di Ukraine (sempadan Rusia) dan didakwa ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu yang mampu mencapai ketinggian 72,000 kaki.


Tragedi pesawat yang dikatakan berada pada kedudukan ketinggian 33,000 kaki itu mengorbankan 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Kedua-dua peristiwa tragis terbabit tidak mematahkan semangat kita untuk menyambut ulang tahun sambutan kemerdekaan negara ke-57.


Mengimbau sejarah, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai merdeka secara rasmi pada 31 Ogos 1957. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang, termasuk Raja-Raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.


Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.


Upacara ini kemudian disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.


Hanya Allah yang mengetahui rahsia angka tujuh dan kaitannya dengan pelbagai peristiwa dan tragedi besar yang menyayat hati sepanjang tahun ini, sehingga negara terpaksa diisytiharkan berkabung.


Yang pastinya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia atau secara kebetulan melainkan di sebaliknya mengandungi suatu hikmah besar lagi tersembunyi di dalam pengetahuan dan rahsia Allah.


Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 191 bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Musa Awang Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) E-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com Berita Harian Setempat 2014/09/10

Kanun Syariah: Prosedur kahwini warga asing

Saya ingin berta­nya mengenai prosedur untuk berkahwin dengan warga asing.

Saya merancang bernikah dengan seorang lelaki warga Indonesia yang baru lima bulan bekerja di negara ini. Berdasarkan pembacaan, saya difahamkan jika calon suami masuk ke Malaysia dengan permit kerja, dia tidak layak memohon berkahwin di negara ini. Adakah ia benar?


Jika benar, apakah prosedur sepatutnya untuk kami memohon bernikah di sini? Ina Kuala Lumpur


Memang benar pekerja asing yang memasuki Malaysia de­ngan Pas Kerja tidak dibenarkan berkahwin dengan rakyat negara ini.
Seksyen 8(3) Akta Imigressen Malaysia 1959/1963 jelas menyebut bahawa pekerja asing tidak dibenarkan berkahwin dengan penduduk tempatan atau pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

Sekiranya pekerja asing berkahwin menggunakan permit kerja, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) akan ditamatkan dan individu terbabit perlu dihantar pulang ke negara asalnya.

Bagi mengatasi masalah ini, bakal suami puan hendaklah memohon surat keterangan menikah. Dokumen ini diwajibkan kepada warganegara Indonesia yang mahu bernikah de­ngan orang tempatan atau warga asing lainnya yang akan melangsungkan pernikahan di Malaysia.

Untuk pemohon warga Indonesia, lelaki yang belum berusia 19 tahun dan perempuan 16 tahun haruslah disertakan dengan surat kebenaran daripada Pengadilan Agama di Indonesia.

Surat kebenaran untuk bernikah dari Indonesia hanya laku dalam tempoh tiga bulan dari tarikh ia dikeluarkan.

Maklumat lanjut mengenai peraturan perkawinan Indonesia boleh dilihat dalam Undang-Undang Perkawinan Indonesia No 1 tahun 1974.

Sehubungan itu, saya menasihati saudari agar memastikan semua peraturan berkaitan dengan kebenaran untuk berkahwin dipatuhi oleh bakal suami bagi mengelak masalah perundangan pada masa depan.

Yang berminat untuk tahu lebih lanjut klik sini
http://hatimku.blogspot.com/2012/12/tips-dan-prosedur-berkahwin-dengan.htmlDatuk Zaidi Zain myMetro Nuansa 2014/08/29