September 11th, 2014

3 elemen pekerja terbaik

Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti." (Riwayat al-Baihaqi).

Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain, bukan sekadar mendapat laba, tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata-mata makan gaji, tetapi menghadam sebanyak-banyaknya kebaikan dan reda Ilahi.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita melihat pekerjaan daripada perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm, Rabu lalu.

Katanya, pegang kata kunci 'beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik' untuk membezakan pekerjaan manusia dengan makhluk Allah SWT yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.

Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di dunia, manusia diberi tanggungjawab bekerja sebagai cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk menang dalam menyahut ujian itu. Caranya dengan melaksanakan pekerjaan pada tahap terbaik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2).

Setiap pekerjaan datang dengan ujian, kecekapan, kesungguhan, keikhlasan dan akhlak semuanya diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang Mukmin.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." (Surah al-Qasas, ayat 26).

Gabungan sudut al-quwwah

Perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal, tetapi juga ilmu dan kemahiran. Mempunyai amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan.

Inilah sifat umat Islam dalam bekerja. Ada gabungan kepakaran juga keimanan, cantuman integriti dan kecekapan. Jika ada semuanya, dengan izin Allah SWT segala yang direncana menjadi dan diberkati.

Pekerja juga perlu melakukan kerja dengan acuan Allah SWT bukan terapan manusia jika ingin melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja tinggi.

Terdapat tiga elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama, capai kualiti dengan input yang sedikit menghasilkan output yang banyak. Kedua, kuantiti yang lebih baik dan ketiga ialah akhlak, etika serta adab terpuji yang membangun jati diri, sahsiah peribadi seorang Mukmin.

Imam Malik menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta' dan hasrat itu dipertikaikan kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta' yang ditulis oleh orang terdahulu, jadi apakah perbezaan hasil tangan Imam Malik?

Lalu Imam Malik menegaskan, perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itu akan berkekalan. Beliau menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring 3,000 daripada 10,000 hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta' karangannya.

Beliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta' hanya terbayang Kitab Muwatta' milik Imam Malik dan terpadam kitab muwatta' yang terdahulu sebelum beliau.

Hebatnya keikhlasan akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.

Tidak mudah lakukan kebaikan

Bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan dilakukan perlu kepada perlindungan daripada tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan, kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunahtullah.

Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.

Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha untuk menjadi orang yang baik.

Jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik,

tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan secara yang terbaik. Walau apa juga kekangan, lakukanlah kebaikan dengan sehabis baik, penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda Allah SWT.

Dr Yusof al-Qaradawi mengatakan, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran selain daripada iman. Ini akan melahirkan pekerja yang selari dengan falsafah Islam.

Etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasul-Nya mengatasi segala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya. Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang memperelokkan kerjanya.

Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan takwa, ketulusan hati, keluhuran budi serta kemuliaan akhlak yang semua sifat itu akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya.

Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita ketika melaksanakannya.

Jawatan, kerja, tugas atau apa juga profesion yang kita pegang bukan suatu kebanggaan untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah duniawi dan manfaat ukhrawi.

Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul, tapi laksanakan dengan betul-betul secara yang terbaik. * Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm   Berita Harian Agama KHAMIS, 11 SEPTEMBER 2014 @ 5:28 AM

Zakat adalah cahaya

TIADA istilah berhenti belajar bagi dirinya. Di sebalik keterbatasan diri sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dia masih berjaya meraih gelar seorang graduan Diploma Pendidikan. Dengan tongkat yang masih menyangga dirinya, dia terus berdiri menabur bakti. Di sebalik kesusahan, dia membina kekuatan. Mari kita telusuri bersama kekuatan azam dan keyakinan yang menjadi azimat lelaki gagah ini, Ustaz Mohd. Asari Hashim, lewat kolum Jejak Asnaf kali ini.



“Saya berasal dari Tanjung Karang, lahir 45 tahun lalu. Saya mendirikan rumaht angga bersama Aniza Azizan, 44 dan kini kami dikurniakan tujuh orang anak. Kehidupan kami sekeluarga memang diuji dengan pelbagai ranjau. Dahulu, saya sihat dan tidak bertongkat. Kemewahan pernah melimpahi diri dan keluarga. Namun, ujian Allah SWT tidak ada sesiapa pun mampu menduga."

Siapa menyangka, dia yang dahulunya pernah menjabat jawatan yang terhormat, dikenali dan disegani masyarakat, akhirnya perlu melalui getir kehidupan hanya kerana satu kesalahan yang sehingga kini masih belum dibuktikan.

“Berbelas tahun dahulu, saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat swasta. Terjadi insiden kehilangan wang dan saya dianggap orang yang melakukan kesalahan berkenaan. Namun sehingga kini kes itu masih berjalan. Saya bercadang mahu membawanya kembali ke muka pengadilan. Siapa tahu saya boleh membersihkan kembali nama saya," ujar Mohd. Asari.

Ekoran kejadian berkenaan, Asari akhirnya terpaksa menarik dirinya dan bersara daripada perjawatan lebih awal. Hatinya sedih, namun dia tiada ruang untuk memilih. Peristiwa itu juga berlaku terlalu cepat, sehinggakan dia tidak membuat sebarang persiapan untuk melaluinya. Lalu, dengan sedikit kemahiran dan kemampuan, dia mencuba beberapa jenis pekerjaan.

“Pada 2009 saya ditamatkan perkhidmatan. Selama dua bulan saya menganggur, justeru masih keliru memilih pekerjaan. Saya sudah sekian lama bekerja makan gaji, jadi penamatan jawatan itu memang mengejutkan. Kemudian, saya menerima tawaran menjadi pengawal keselamatan di sebuah syarikat dan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Itulah pengalaman yang getir bagi saya, kerana saya telah dipermainkan oleh pihak yang menawarkan pekerjaan berkenaan."

Menurut Asari, dia telah diminta mengambil para pekerja lain dan dijanjikan upah yang berpatutan. Ketika itu dia masih menggunakan sebuah kereta jenis MPV, maka tanpa berfikir panjang dan berbaik sangka, dia menggunakan kereta peribadinya untuk mengambil dan menghantar para pekerja berkenaan.

“Ternyata saya ditipu hidu-hidup olehnya. Upah membawa pekerja malah tidak dijelaskan hingga kini. Walhal, kos menggunakan kenderaan saya itu bukanlah sedikit. Saya terpaksa menanggung sendirian. Setelah kira-kira enam bulan melakukan kerja sebagai pengawal keselamatan dan mengangkut orang, akhirnya saya berhenti setelah mendapatkan pekerjaan lain yang lebih sesuai," sambungnya.

Pada tahun itu juga Asari telah ditawarkan jawatan sebagai guru di KAFA Intergrasi, Jenderam Hilir, Selangor. Dia betah menyarung jubah seorang guru, justeru jiwanya memang dekat dengan agama. Asari juga gemar dengan dunia pendidikan.

“Namun gaji saya sangat kecil, ketika itu hanya dibayar RM700 sebulan. Amat kecil dibandingkan dengan tanggungan. Namun saya sabar meneruskan kehidupan. Sehinggalah berlakunya insiden yang amat memberi kesan kepada saya, iaitu kemalangan jalan raya yang meragut kemampuan saya untuk terus bekerja seadanya," cerita Asari.

Kisahnya, pada 11 April 2011, Asari telah terlibat dengan sebuah kemalangan berdekatan perumahan kakitangan KLIA, Sepang.

“Saya membonceng sebuah motosikal yang dipandu oleh kawan dan kami berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat. Saya tidak menyedari apa-apa, tahu-tahu kami dilanggar dan segalanya berlaku terlalu pantas. Saya melambung dan sedar-sedar, sudah terlantar di hospital," katanya.

Menurut Asari, dia koma di hospital selama sebulan. Selama beberapa bulan seterusnya pula dia dimasukkan ke wad psikotik di Hospital Seremban. Malah dia pernah diikat kaki dan tangan di katil, lantaran gangguan jiwa yang telah dialaminya. Selama setahun selepas itu jugalah dia terlantar.

“Ustaz bayangkan, selama setahun jugalah saya perlu mengambil ubat penenang. Alhamdulillah, sekarang ini baru saya rasa sudah betul-betul pulih kembali. Jiwa saya juga semakin tenang dan tenteram," akui Asari.

Namun, pasca kemalangan menyaksikan Asari terus diserang beberapa jenis penyakit lain. Antaranya, kini dia mengalami gaut, osteoarthritis malah kedua-dua buah pinggangnya juga kian merosak akibat pengambilan ubat penahan sakit yang berterusan.

“Pihak hospital telah pun menjalankan pemeriksaan dalaman menerusi CT scan dan ultrabunyi (ultrasound). Namun kesakitan badan terus berlaku dan hanya ubat yang mampu menahannya," terangnya.

Mengenang ujian kesakitan yang dihadapinya, Asari hanya mampu memujuk hatinya bahawa itu mungkin salah satu cara bagi Allah SWT untuk membersihkan dirinya daripada segala dosa. Malah Asari sering memotivasikan dirinya, kesakitan yang pernah dihidapi oleh Nabi Ayub a.s itu jauh lebih mendekam diri. Maka, dengan itulah dia dapat terus memujuk dirinya untuk terus bersabar. HAMIZUL ABDUL HAMIDUtusan/Bicara_Agama/20140911

Ganti adat jadi ibadat

UMUM sedia mengetahui, untuk memperoleh pahala daripada Allah SWT memerlukan perbuatan amal ibadah. Oleh itu, bagi mendapat ganjaran tersebut pada setiap waktu perlulah melakukan pelbagai amalan baik secara berterusan.


Namun, kedengaran agak sukar untuk melakukan ibadah sepanjang hari kerana pastinya setiap individu terikat dengan tanggungjawab harian masing-masing. Bagaimanapun, bagi orang yang beriman pastinya mengimpikan tawaran tersebut sebagai bekalan dan persediaan untuk bertemu Allah SWT di akhirat kelak.

Mengulas perkara tersebut, pendakwah bebas, Ghazali Ibrahim berkata, hakikatnya tidak sukar dengan perlu melakukan ibadah berterusan, sebaliknya dengan hanya melafazkan nama Allah SWT ketika ingin melakukan sesuatu pekerjaan akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Beliau berkata, perkara yang selama ini dilakukan kerana adat iaitu untuk memenuhi tuntutan fitrah duniawi, boleh bertukar menjadi amal ibadat yang mendapat keberkatan daripada Allah SWT dengan kelebihan menyebut kalimah tersebut.

“Membaca kalimah Bismallah pada setiap kali di awal pekerjaan membezakan sesuatu perbuatan itu antara adat dan ibadat. Adat ialah perkara yang dilakukan berulang kali pada setiap hari seperti makan, mandi dan sebagainya.

“Perkara adat ini tidak mendatangkan apa-apa atau hanya sekadar memenuhi fitrah manusia jika tidak disertakan dengan membaca nama Allah SWT ketika ingin dilakukan. Namun, apabila dibacakan nama Allah SWT, setiap perbuatan ini akan menjadi ibadat.

Mendapat ganjaran pahala

“Dengan itu, sepanjang kita melakukan perkara itu akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan daripada Allah SWT selagi perbuatan itu tidak bertentangan atau menyalahi syarak," katanya.

Selain menjadi lebih berkat dan dipelihara oleh Allah SWT, Ghazali berkata, kalimah Bismallah turut diceritakan mempunyai pelbagai kelebihan yang tidak disangka-sangka boleh berlaku seperti yang telah dialami oleh para Nabi dan ulama terdahulu.

“Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan kalimah Bismillah dalam kehidupannya. Sehingga diceritakan Rasulullah mengajarkan anaknya sebelum makan dengan membaca nama Allah. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang berada dekatmu. (riwayat Bukhari)

“Begitu juga azimat kalimah Bismillah yang digunakan oleh Nabi Nuh a.s untuk menggerakkan bahtera dan menghentikannya sepanjang pelayaran ketika banjir besar yang melanda dan menenggelamkan seluruh kaumnya," jelasnya.

Bagaimanapun tegasnya, mengharapkan kelebihan daripada kalimah Bismillah bukanlah perkara yang perlu diutamakan, sebaliknya tuntutan kepada umat Islam sebagai tanda mengingati Allah SWT pada setiap waktu.

“Apabila melakukan sesuatu amalan, lazimnya kita selalu mengutamakan kepada kelebihan amalan tersebut. Perkara ini yang perlu diperbetulkan dalam mentaliti umat Islam. Amalan membaca Bismillah atau menyebut nama Allah SWT ini merupakan tuntutan sebagai umat Islam.

“Hakikatnya, ia adalah salah satu cabang ilmu Tauhid yang wajib menjadi pegangan umat Islam iaitu bersandarkan segala perbuatan hanya kepada Allah SWT.

“Ia bertepatan dengan makna kalimah Bismillah itu iaitu ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’ yang membezakan antara nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada orang Islam dan juga pemberian kepada orang kafir," katanya.

Ghazali berkata, hikmah daripada membaca kalimah itu juga lazimnya dapat menghalang seseorang individu daripada melakukan maksiat atau menyalahi syarak.

“Secara mudahnya mengapa kita dituntut untuk memulakan setiap pekerjaan dengan membaca Bismillah ialah supaya kita hanya melakukan benda kebaikan. Mana ada orang yang ingin melakukan maksiat membaca kalimah di atas terlebih dahulu.

“Namun, tidak dinafikan terdapat banyak kejadian penyalahgunaan kalimah Bismillah seperti yang digunakan oleh bomoh untuk menarik kepercayaan pesakit bahawa dia tidak menyeleweng daripada ajaran Islam," katanya. MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140911

Hakikat Bismillah

OLEH kerana telefon bimbit yang kebetulan terjatuh daripada poket seluar telah menyelamatkannya daripada berlaku kemalangan yang mungkin meragut nyawa.

Berkongsi pengalaman itu, Khairul Nizam Amat Zaini, 30, berkata, kejadian berlaku ketika beliau ingin memulakan perjalanan menaiki motosikal selepas berhenti di sebuah lampu isyarat untuk menuju ke tempat kerja.

Siapa sangka telefon bimbit tersebut menjadi penyebab yang menyelamatkan nyawa penulis buku itu daripada dilanggar oleh sebuah kereta dari arah bertentangan yang melanggar lampu isyarat merah dan dipandu laju.

“Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu yang hampir dilanggar kereta itu. Oleh kerana mengejar lampu isyarat kuning sebelum bertukar merah, kereta itu dipandu sangat laju.

“Mujur telefon bimbit yang saya letakkan di dalam poket seluar secara tiba-tiba terjatuh membuatkan saya terpaksa berhenti daripada terus berjalan setelah lampu isyarat bertukar hijau. Saya beristighfar panjang kerana mungkin kehilangan nyawa jika dilanggar kereta itu.

“Bila difikir-fikirkan, mungkin ia berlaku secara tidak sengaja, tetapi kejadian itu lebih meyakinkan saya bahawa Allah SWT ingin melindungi saya daripada kecelakaan tersebut melalui kelebihan amalan kalimah Bismillah yang saya amalkan," kongsinya kepada Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mempercayai tiada yang berlaku secara kebetulan, beliau berkata, segala perkara yang berlaku merupakan ketentuan daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, namun boleh diubah dengan meminta pertolongan dan ihsan daripada-Nya.

“Telah menjadi amalan saya sejak kira-kira dua tahun yang lalu, saya akan membaca kalimah Bismillah berserta surah tiga Qul apabila ingin keluar dari rumah atau melakukan apa sahaja dengan berharap perlindungan daripada Allah SWT.

“Alhamdulillah, walaupun kejadian kecil tetapi cukup bermakna dan membuatkan saya lebih yakin dengan kelebihan mengamalkan kalimah Bismillah sebagaimana yang diceritakan turut berlaku kepada pada ulama dan nabi terdahulu," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, bukan mengharapkan fadilat untuk melakukan amalan tersebut, sebaliknya menyakini amalan itu merupakan tuntutan untuk mencari keredaan daripada Allah SWT sebagai hamba-Nya.

Tiada yang mustahil

Kedengaran agak tidak masuk akal, namun pelbagai kisah dan keajaiban yang diceritakan berlaku terhadap individu terpilih yang mengamalkan kalimah Bismillah dalam kehidupan harian diakui benar berlaku dengan izin daripada Allah SWT.

Ahli Panel Majlis Tareqat Sufiyyah (Jalsah Turuq Suffiyyah), Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Dr. Jahid Sidek berkata, mungkin kebanyakan masyarakat umum menganggap perkara biasa, namun bagi golongan ulama dan sufi menyakini kalimah itu merupakan amalan yang penting dan istimewa.

Malah ia juga tambahnya, menjadi faktor utama yang membolehkan seseorang mencapai hakikat rukun Islam dan rukun iman sebenar dalam mencapai darjat insan sempurna yang mempunyai penuh sifat kehambaan.

“Kalimah Bismillah inilah yang pertama sekali diajarkan oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW pada pertemuan pertamanya ketika baginda sedang mengasingkan diri di gua Hira’ menerusi surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5.

“Jika difahami, konsep Bismillah yang bermaksud dengan nama Allah dengan merenungkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba berdoa di setiap pagi dan petang “Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi dan juga di langit dan Dia (Allah SWT) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" baca tiga kali, maka tidak akan ada yang memudaratkannya. (riwayat Tirmizi)

“Hadis ini menjelaskan, seseorang mukmin yang seluruh zahir dan batinnya berserta dengan nama Allah SWT akan sentiasa dipayungi keselamatan dan kesejahteraan, sehinggakan tiada makhluk di bumi atau di langit mampu memudaratkannya," katanya.

Jahid berkata, sekurang-kurangnya amalan menyebut nama Allah SWT dapat memberi ketenangan hati dan fikiran orang yang mengamalkannya, sekali gus memberikan keselesaan dan kesihatan kepada tubuh badan.

“Tahap merasai hakikat kalimah Bismillah itu berbeza mengikut amalan individu. Lebih banyak, yakin dan fokus dia bertafakur maka lebih tinggi tahapnya di sisi Allah SWT. Dan pada ketika itu, akan lahir perasaan dalam rohani bahawa semua kejadian turut berzikir menyebut nama Allah SWT.

“Kesannya, hati akan merasai mutmainnah (tenang), manakala seluruh tubuh pula akan menjadi lembut, sihat dan selesa. Begitulah kelebihan bertafakur dengan menyebut mana-mana sifat kesempurnaan Allah SWT," ujarnya.

Rawat penyakit

Dalam pada itu, Jahid yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah berkata, menggunakan kalimah Bismillah juga, beliau merawat pelbagai penyakit pesakit yang datang ke pusat rawatannya iaitu antaranya penyakit batu karang.

Ia kongsinya, dengan membacakan sebanyak 99 kali kalimah Bismillahirrahmanirrahim kepada 10 botol air mineral bersaiz 1.5 liter dan juga tiga biji tembikai yang dijadikan jus untuk diminum dengan kaedah dan dalam tempoh yang tertentu.

“Menyebut Bismillah adalah salah satu kalimah yang penting ketika ingin menjalani rawatan. Contohnya, dengan hanya membaca kalimah ini, ia dapat menyembuhkan penyakit batu karang secara semula jadi.

“Dalam kes terbaru, seorang yang menderita sakit batu karang sejak beberapa tahun lalu datang untuk mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Manarah. Alhamdulillah, setelah diberikan air penawar yang dibacakan nama Allah SWT, penyakit yang dihadapinya itu sembuh.

“Pesakit itu pada mulanya tidak percaya, tetapi setelah melakukan pemeriksaan doktor, terbukti penyakit batu karang yang dihadapi disahkan telah tiada," katanya.   MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140911

Khutbah UPSR Khamis 11 Sept.'14

Kecohnya UPSR kebocoran kertas sains, termasuk lain-lain kertas

1.Kita hendaklah jangan kecoh tentang hal seperti ini kerana ini semua duniawi belaka, malahan sebagai penjawat awam yang juga guru hendaknya 'tutup mulut' berdasarkan Peraturan Perintah Am Bab D Perkara 4(1) dan Perkara 4 (2) dan seharusnya tumpukan kepada sebanyak mungkin amalan semasa hidup didunia sebagai bekalan ke akhirat.
2.Mereka yang membocorkan rahsia kertas soalan termasuklah yang menghangatkan keadaan seperti berkongsikan gambar-gambar kertas soalan akan merasa cemas semasa membaca coretan ini dimana ketahuilah mereka turut bersubahat dalam menambah kekusutan dan ketika buku catatan mereka dibentangkan di akhirat kelak.
3.Ada kalangan kita yang terlalu mementingkan dunia dan mengabaikan tanggung jawab terhadap Allah.
4 .Ada kalangan kita yang menzalimi orang lain di dunia dan mereka ini akan mendapat kerugian di akhirat.
5.Golongan yang membuat kerosakan ini adalah mereka yang sebenarnya hendak memaklumkan bahawa mereka sebenarnya tidak bersalah tetapi orang atasan seperti Majlis Guru Besar, PPD, JPN dan KPM sendiri yang sebenarnya mendorong berlakunya kekusutan ini. Demi untuk memuaskan nafsu orang-orang atas ini lah yang inginkan KPI tercapai maka yang tidak tahan dengan desakan mereka-mereka ini terpaksa mengambil tindakan tidak popular ini. Biar pekung sebenar terserlah, biar pembohongan terbongkar, biar semua tahu akan kecurangan yang berlaku.
6.Kita hendaklah berani melakukan perkara yang benar, memaklumkan perkara yang mungkar, menyatakan yang telus dari mengangguk seperti belatuk, seperti cicak yang mengiyakan sahaja dari tunduk kepada kemahuan dan nafsu tamak dan jijik mereka yang diatas yang lebih mementingkan periuk nasi mereka walhal kumpulan pelaksana dibiarkan seperti lembu dicucuk hidung.
7. Cukup-cukup sudah lah dengan laungan transformasi dalam pendidikan, sudah-sudahlah menipu keadaan yang tak betul, tak payah lah lagi membohongi dan menipu dengan agenda yang ingin disembunyikan. Janganlah lupa bahawa anak-anak sendiri juga mungkin terlibat dalam kekusutan ini. Cari lah jalan yang benar, maklumkan yang baik itu baik, yang tidak baik itu tidak baik.
8. Hentikanlah 'Siakap gelama cenohong berduri, dok asyik membohong merugikan diri sendiri'.

9.Kesimpulan:

-Cintakan pembohongan dan pendustaan demi mengejar dan membesarkan tembolok sendiri menyebabkan kita lupa kepada Allah dan apa yang Allah memberi balasan.
-Pelihara diri daripada melanggar hak orang lain, pelihara lah sikap, tingkahlaku kearah kejujuran, ketulusan dan keihlasan.
-Pintu taubat sentiasa terbuka untuk mereka yang mahu bertaubat. Pintu ampun dan maaf terbuka untuk mereka yang sudi sedar dan memperbaiki diri.
-Mereka yang bertanggungjawab perlu ingat 'Fish rots from the head.' Bertanggungjawab dan mengakulah kelemahan dan lakukanlah perubahan sebenar demi kebaikan dan perkembangan generasi.
- Hentikan bersifat sombong, menipu, biadap terhadap anak bangsa.

Perkongsian dari Ustaz Hagimaru Gombak

Solat & kesihatan

Solat merupakan ibadah harian yang dilakukan sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari. Bagaimanapun banyak yang belum diketahui bukan saja tentang solat tetapi juga hikmah di sebalik keperluan mengambil air sembahyang atau wudhu.

Kesempatan menemu bual Dr. Azman Ibrahim, doktor gigi lulusan Universiti Baghdad, Iraq selepas ceramahnya tentang Solat dan Sains di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya merungkai pelbagai persoalan berkaitan solat dan kesihatan apabila dilakukan dengan sempurna dan tertib.

"Saya mula menjalankan kajian solat dan kesihatan semasa melanjutkan pelajaran di Baghdad memandangkan bandar berkenaan adalah gedung ilmu yang terkemuka suatu ketika dulu," katanya.

Menurut Dr. Azman, terlalu banyak hikmah mengenai wudhu dan solat yang boleh diketengahkan dan dikaji bukan saja oleh saintis Islam dahulu malah saintis bukan Islam di zaman ini.

"Misalnya pakar perubatan mendapati di bawah lapisan kulit manusia terdapat banyak mikroorganisma yang hidup secara komensalisme dan wudhu serta mandi ialah cara membersihkan badan daripada bakteria selepas melakukan pelbagai aktiviti harian," katanya.

Apabila bakteria terkena air ia akan mati dan tidak menjangkiti orang lain sekali gus menjadikan badan bebas daripada jangkitan dan wabak penyakit tetapi dalam keadaan tiada air, umat Islam dibolehkan bertayamum untuk bersuci.

"Apabila bakteria terkena air ia akan mati disebabkan oleh perbezaan tekanan osmosis di dalam badan sehingga air boleh menerap masuk ke dalam badan dan mati akibat terhidrasi.

"Tayamum pula ialah satu simbol bersuci yang dibolehkan kerana darurat dan boleh menggantikan mandi dan wudhu semasa ketiadaan air atau ketika sakit dan tidak boleh terkena air. Ini bermakna tayamum dan wudhu boleh mematikan kuman yang boleh memudaratkan tubuh badan manusia," tambah Dr. Azman.

Merujuk kepada buku tulisan Mukhtar Salam, Prayers: A Sport for the Soul and Body, berwudhu dengan sempurna ialah amalan yang mampu mencegah seseorang daripada kanser.

Dr. Azman berkata, anggota wudhu seperti muka, tangan hingga siku, kaki, kepala dan telinga ialah anggota yang terdedah semasa menjalani aktiviti harian dan dijadualkan untuk dibasuh sekurang-kurangnya lima kali sehari.

Sementara itu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan doktor dari Universiti Iskandariah, Mesir mendapati amalan memasukkan air ke dalam hidung semasa wudhu dapat mencuci rongga hidung daripada kuman yang melekat pada bulu hidung dan secara tidak langsung dapat mencegah penyakit seperti resdung dan sinus.

Titik

Dalam tradisi perubatan Cina pula, apa yang lebih memeranjatkan ialah anggota wudhu meliputi sebahagian besar kawasan titik akupuntur. Dalam ilmu akupuntur terdapat 700 kawasan aktif biologi di mana ia akan merangsang sistem saraf aktif yang terdapat pada bahagian bawah kulit.

Daripada sejumlah titik berkenaan 66 daripadanya ialah kawasan aktif yang sangat sensitif dan 61 berada di kawasan wudhu utama manakala bakinya di kawasan buku lali dan lutut.

"Kerana itu antara tertib semasa berwudhu ialah setiap anggota wudhu perlu digosok dengan teliti dan tidak memadai hanya sekadar disiram. Contohnya amalan membasuh muka dengan teliti akan merangsang sistem usus, perut pundi kencing dan sistem reproduksi wanita.

"Manakala membasuh dan menggosok kaki kanan dapat merangsang sistem tulang, hempedu dan kelenjar tiroid," katanya.

Dr. Azman menambah, ilmu wiring sistem saraf tubuh manusia telah dikuasai oleh pengamal perubatan Cina sejak beribu tahun lalu dan sebenarnya Islam telah lama sampai ke negara China sejak zaman sahabat Rasulullah sebelum ke Tanah Melayu," katanya.

Menyentuh tentang kewajipan solat lima kali sehari, Dr. Azman berkata, ia umpama jumlah kalori tenaga yang diperlukan oleh tubuh.

"Sebagaimana tubuh manusia yang kekurangan makanan, solat memberikan makanan rohani dan jasmani kepada tubuh," katanya.

Ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh pengarang buku The Return to Religious, Dr. Henry C. Link yang juga seorang pakar ujian psikologi membuat kesimpulan bahawa beliau menyedari kepentingan kepercayaan dan keimanan kepada agama dalam kehidupan manusia.

Keperibadian

Beliau mendapati mereka yang mempunyai pegangan agama dan menghadiri dan menjalankan upacara keagamaan memiliki keperibadian yang lebih kuat berbanding mereka yang tidak mempunyai pegangan agama.

Sementara itu Dr. Azman berkata, jadual solat dalam Islam ialah sesuatu yang unik kerana tidak terdapat dalam agama lain sembahyang dilakukan mengikut keadaan perubahan warna dan tenaga.

Tidur waktu malam menyebabkan jiwa berada dalam gelombang delta dengan frekuensi di bawah 4 Hertz dan seluruh tubuh akan berehat tetapi menjelang tengah malam atau sepertiga malam, alam mula bersinar dengan warna putih, merah jambu dan ungu yang selaras dengan frekuensi kelenjar pineal (otak kecil), kelenjar pituitari, talamus dan hipotalamus di mana waktu yang dituntut untuk beribadah.

"Manusia yang sedar akan kepentingan tenaga alam akan menjalani pelbagai jenis meditasi seperti taichi dan qi qong untuk menyerap tenaga alam ke dalam tubuh," katanya.

Dr. Azman berkata, dari segi perubatan, bangun sekitar pukul 3 pagi membolehkan kita menyedut oksigen yang wujud di atmofera bumi hingga masuk fajar dan hanya mereka yang bangun pada waktu itu merasai nikmat oksigen.

"Seorang ilmuwan Mesir, Fadhalla Haeri berkata, saat matahari mula terbenam kira-kira jam 6.30 petang kelenjar pineal mula bekerja mengeluarkan hormon melatonin dalam jumlah besar dan mencapai puncaknya pukul 2 hingga 3 pagi. Hormon ini membentuk kekebalan pada tubuh dan solat menjadi pemangkin untuk mengekalkan melatonin menjadi stabil," katanya.

Menurutnya, sekitar jam 3 pagi juga pengeluaran hormon adrenalin meningkat menyebabkan tekanan darah meningkat walaupun sedang tidur lena. Ketika itu bekalan oksigen ke otak berkurangan menyebabkan kita berat untuk bangun tidur dan menyebabkan gangguan kepada sistem peredaran darah manusia.

Penerima Anugeral Nobel, Furchgott dan Aignarro serta Murad telah menjalankan penyelidikan tentang nitrik oksida yang dapat melebarkan salur darah dan mengelakkan darah beku.

Dr. Azman menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyamakan gerakan solat sama seperti meditasi dan yoga.

"Pertama, solat ialah ibadah yang istimewa daripada wahyu Allah manakala yoga atau meditasi ciptaan manusia. Kedua, solat dilakukan dengan susunan masa khusus. Ketiga, solat hanya untuk orang Islam. Keempat solat harus suci daripada hadas kecil dan besar. Kelima solat perlu menutup aurat. Keenam solat berjemaah adalah fardhu kifayah. Ketujuh solat perlu ke arah kiblat dan kelapan solat berbeza dengan yoga dengan adanya azan," katanya yang juga penulis buku Solat dan Sains: Menyingkap Rahsia Solat dari Perspektif Sains.   KHAIRUNNISA SULAIMAN nisa.sulaiman@utusan.com.my Utusan/Kesihatan/20140907