September 13th, 2014

Agama: Kecerdasan emosi penentu peribadi

Kecerdasan emosi membawa pengertian keupayaan untuk mengawal perasaan dan emosi diri sendiri. Keadaan emosi stabil meletakkan makhluk bergelar manusia berada pada martabat termulia jika dibandingkan dengan kedudukan haiwan yang tidak dianugerahkan akal dan emosi.

Manusia yang memiliki kecerdasan emosi dapat memimpin diri dan orang lain dalam membuat tindakan atau pemikiran.

Pakar transformasi diri, Prof Dr Muhaya Muhammad, menerusi rancangan Tarbiah yang disiarkan setiap Jumaat, jam 10.15 pagi menyatakan bahawa individu yang memiliki kecerdasan emosi berupaya membina motivasi diri yang tinggi, dapat mengawal emosinya dengan baik dan menguruskan perasaan negatif yang menghalangnya untuk bertindak dengan betul.


muhaya

Prof Dr Muhaya beri petua bentuk kecerdasan emosi dalam mencapai matlamat hidup dalam rancangan Tarbiah

Malah, katanya, bagi individu yang memiliki emosi yang waras dapat memahami perasaan orang lain, membina semangat kerjasama dan begitu juga dalam aspek kepimpinan yang lebih menyerlah.

Empat elemen kecerdasan emosi

Mereka ini dapat menjalin perhubungan persahabatan secara lebih teguh selain setia terhadap perhubungan.

Dr Muhaya menyatakan bahawa kecerdasan emosi mempunyai empat elemen utama iaitu kesedaran mengenai diri, keupayaan untuk mengurus diri, kesedaran sosial dan kemahiran untuk bermasyarakat.

"Seseorang itu dapat memahami kecerdasan emosi diri mereka melalui beberapa petanda. Justeru, seseorang yang mahu membina kecerdasan emosi juga perlu menerapkan prinsip tertentu supaya dapat membina emosi yang boleh mengembangkan kebaikan dalam dirinya," katanya.

Emosi adalah satu komponen penting yang tidak boleh dipendam tetapi harus disalur ke dalam bentuk yang positif untuk menghasilkan tindakan yang lebih memberi manfaat.

Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai impian untuk membeli rumah, keinginan untuk mendapatkan rumah tidak boleh hanya menjadi satu mimpi saja sebaliknya keinginan itu hendaklah disertakan dengan niat, tujuan dan matlamat untuk memiliki rumah berkenaan.

Begitu juga dengan sesiapa yang mempunyai cita-cita, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mencapainya. Oleh itu, Dr Muhaya menyarankan orang ramai memulakan setiap hari dengan niat yang bakal membawa kita untuk fokus terhadap apa yang kita mahu capai dalam kehidupan ini.

Petanda seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi adalah apabila dirinya terarah kepada beberapa prinsip, antaranya nilai kasih sayang tinggi dalam dirinya.

Jiwa penyayang mudah sebar kebaikan

Ini kerana orang yang emosi paling cerdas adalah orang yang penuh dengan perasaan kasih sayang. Jiwa penyayang mudah untuk menebarkan kebaikan kepada orang lain kerana melalui kasih sayang akan membina perhubungan yang lebih positif dan terbina.

Selain itu kecerdasan emosi juga akan dapat membina perasaan hormat terhadap diri sendiri dan orang lain. Orang yang terbina kecerdasan emosinya bertindak dengan lebih banyak meletakkan kepentingan orang lain mendahului keinginan dirinya sendiri.

Ini kerana orang yang menghormati dirinya akan menghormati orang lain, malah orang yang tidak menghormati dirinya tidak akan menghormati orang lain. Justeru bagi seseorang yang mempunyai emosi yang stabil akan memiliki daya hormat yang begitu tinggi terhadap dirinya dan orang-orang di sekelilingnya tanpa mengira siapapun mereka.

Ketiga, kecerdasan emosi dapat dinilai melalui perasaan yang menghargai. Orang yang dalam hatinya penuh penghargaan terhadap orang lain lebih mudah mendapat penghargaan dirinya sendiri.

Penghargaan adalah satu aspek yang sangat penting kerana ia ada kaitan dengan sistem nilai terhadap diri sendiri. Orang yang mempunyai rasa menghargai lebih mudah untuk menerima apa saja yang menimpa dan mempunyai perasaan menerima lebih terbuka. Dengan kata lain mereka yang menghargai ini mempunyai jiwa kasih sayang yang amat tinggi.

Keempat, kecerdasan emosi murah hati sebagai satu nilai yang meletakkan diri seseorang ke tahap tinggi. Orang yang bermurah hati mempunyai jiwa yang tenang dan lapang. Ini kerana orang yang murah hati akan mudah senyum, mudah menerima teguran, mudah untuk memberi, sentiasa bersyukur, tidak kedekut, dan suka bersedekah.

Begitu juga orang yang murah hati akan cepat merasa belas kasihan terhadap orang lain dan hatinya mudah lembut dan cepat tersentuh.

Ciri-ciri yang dinyatakan itu tidak akan ada bagi mereka yang mempunyai emosi negatif, kerana orang yang selalu berfikiran salah dan mudah bersangka buruk tidak akan dapat menilai sesuatu kebaikan malah selalu melihat perbuatan yang betul dari kacamata yang serong.

Maka, orang ini selalu tidak akan dapat merasai nikmat kejayaan walaupun dirinya selalu menerima kebaikan.

Orang yang mempunyai kecerdasan emosi akan lebih bermotivasi menjalani kehidupan, kerana apa saja yang ada depan mata, digunakan sebagai satu peluang untuk meraih kejayaan. Bagi mereka, persekitaran itu adalah elemen penting untuk membina kejayaan dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk mencapai matlamat kehidupan dunia dan akhirat.

Hargai masa

Mereka yang mempunyai emosi baik selalu menghargai masa dan persekitaran kerana orang yang berjaya adalah yang menguasai waktunya dengan betul.

Begitu juga bagi orang yang sentiasa mengutip buah kejayaan sentiasa menamakan azam dalam dirinya untuk menggunakan waktu sekarang untuk membina buah kejayaan.

"Melalui emosi yang positif ini juga sebenarnya kita boleh mencipta diri sendiri seperti selalu memasang azam dan kata-kata motivasi seperti "saya adalah seorang yang solehah atau baik". "Saya seorang yang berakhlak terpuji", "saya seorang yang berjiwa kental dan tidak mudah mengalah".

"Jika kita fokus dan memasang magnet emosi yang positif, kita akan dapat hasil yang menggembirakan, berjaya, baik dan apa saja bentuk emosi positif yang kita mahukan," katanya.

Kekuatan emosi dengan diiringi keinginan yang tinggi akan membantu kita untuk mencapai kehendak kita dalam kehidupan ini.

Oleh sebab itu, kita hendaklah selalu memandu fikiran dan emosi untuk memilih elemen kebaikan supaya kita berjaya untuk menjadi orang yang bermanfaat untuk sesiapa saja.

Daya kecerdasan emosi juga mampu membawa kejayaan kepada seseorang dalam mencapai matlamat pekerjaannya.

"Apabila kita selalu positif dan berakhlak baik, kita akan melayani orang sekeliling dengan baik, bermotivasi dalam menjalankan tugasan akan meningkatkan produktiviti kerja dengan lebih tinggi," katanya.

Begitu juga dengan kecerdasan emosi akan menyerlahkan aspek kepimpinan diri seseorang. Orang yang mempunyai kematangan emosi dan fikiran yang positif lebih mudah mengawal situasi dan mengurus emosi orang lain.

Sebagai contoh seorang Ketua akan mewujudkan suasana kerja yang lebih harmonis dalam kalangan kakitangannya, dan dengan itu dapat membina sebuah organisasi yang lebih cemerlang.

Oleh yang demikian, jangan sesekali membiarkan perasaan negatif memakan diri kita yang akhirnya merugikan kehidupan kita sendiri. Sesungguhnya masa yang berlalu tidak akan datang kembali lagi. Hargailah waktu yang kita ada, insan yang kita miliki dan kehidupan yang sedang kita jalani.   Nik Hasnah Ismail Berita Harian Agama SABTU, 13 SEPTEMBER 2014 @ 5:28 AM

Apabila amanah sudah bocor

SETIAP kali menjelang musim peperiksaan besar terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ada saja cerita pasal soalan bocor. Calon yang sudah membuat persiapan rapi pun mengharap, yang tidak bersedia, apatah lagi.

Naskhah soalan yang didakwa `bocor' itu biasanya berlegar satu dua hari atau beberapa jam sebelum tiba tarikh peperiksaan satu-satu mata pelajaran. Dalam dunia Internet yang sungguh pantas ini, soalan bocor tidak perlu menunggu lama mengembara ke seluruh negara.

Maka guru-guru dan pusat-pusat tuisyen pun sibuklah menyediakan jawapan segera untuk pelajar masing-masing. Dengan bantuan `soalan bocor' harapnya pelajar itu akan memperoleh keputusan cemerlang.

Bagaimanapun kebanyakannya hampa. Soalan yang dikatakan bocor, tidak bocor. Adalah satu dua soalan yang hampir sama tetapi itu lebih bersifat soalan ramalan. Tidak sampai ke peringkat satu kertas mata pelajaran bocor.

Lain pula cerita Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Dua kertas soalan bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris betul-betul bocor. Soalan yang keluar pada hari peperiksaan `sebiji' macam soalan yang berlegar dalam WhatsApp beberapa hari sebelum itu. Bukan satu dua tetapi khabarnya lengkap satu set!

Ada guru, ibu bapa dan murid yang dapat soalan bocor tersebut bukan main gembira. Ada juga yang tidak tahu langsung ada soalan bocor. Sebahagian pula tak ambil peduli.

Guru-guru terlibat pun bertungkus lumus menyediakan jawapan kepada murid. Masing-masing tersenyum lebar. Tahun ini bertambah lagilah jumlah murid yang mendapat 5A! Peratusan pencapaian sekolah sudah pasti naik lagi.

Keputusan 5A dalam UPSR adalah 'simbol kejayaan besar' bagi sekolah, pusat tuisyen, segelintir guru dan ibu bapa, sebab itu ada yang mengharap kepada soalan bocor. Dosa dan salah ditolak ke tepi.

Sedangkan UPSR bukan menentukan hidup mati murid. Peperiksaan ini hanyalah satu ujian awal untuk menguji murid sebelum naik ke peringkat menengah. Tetapi kerana gejolak jiwa sesetengah ibu bapa dan guru yang berkobar-kobar mengharap kejayaan cemerlang anak masing-masing, ujian ini dipandang `sangat besar dan sangat penting.'

Ketaksuban kepada keputusan 5A menjadikan mereka ini gelap mata dan tidak lagi mampu membezakan antara yang betul dan yang salah. Sebenarnya dunia tidak berakhir kalau pun seseorang murid itu gagal memperoleh 5A. Mereka masih boleh naik ke tingkatan satu. Ruang untuk memperbaiki kelemahan masih terbentang luas, walaupun tanpa keputusan 5A dalam UPSR. Mereka masih boleh menebusnya semasa SPM dan STPM.

Ramai yang berjaya dalam SPM, universiti dan cemerlang dalam hidup walaupun tidak dapat 5A dalam UPSR!

Pada masa sama, kejadian ini sangat tidak adil kepada sebahagian besar daripada 473,000 calon UPSR. Hanya kerana sekumpulan kecil memperoleh soalan bocor, hampir kesemua calon menerima akibat. Walaupun hanya melibatkan dua mata pelajaran, kesannya sangat besar.

Semangat murid-murid sedikit sebanyak tetap merudum dengan kejadian ini.

Demi berlaku adil kepada ratusan ribu calon UPSR, dalang atau pelaku kepada kerja-kerja membocorkan soalan perlu dicari sehingga ke lubang cacing. Mereka tidak amanah dan pengkhianat. Perbuatan tidak bertanggungjawab mereka, menyusahkan banyak pihak.

Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan menjadi mangsa cemuhan. Manakala banyak perancangan sekolah dan ibu bapa tergendala bahkan terpaksa diubah gara-gara peperiksaan terpaksa ditangguhkan.

Bayangkanlah bagaimana sukarnya guru-guru yang bertugas di sekolah terpencil di pedalaman, di kawasan yang terpisah dengan kemudahan asas dan kampung-kampung Orang Asli berhadapan dengan situasi ini.

Mereka ini kebanyakannya tiada akses kepada maklumat yang berlegar di laman sosial namun turut menanggung akibatnya.

Ada sekolah di kawasan pedalaman terpaksa `mengurung' semula murid-murid di sekolah masing-masing. Sekurang-kurangnya sehingga akhir bulan ini. Jika mereka tidak diperlakukan sedemikian, tidak ada jaminan semua akan hadir pada hari peperiksaan ulangan itu. Perkara ini tidak mustahil, kerana kebanyakannya tinggal jauh dari sekolah tanpa kemudahan pengangkutan.

Kisahnya sama sebagaimana satu posting yang berlegar di media sosial. Coretan itu dipercayai ditulis oleh seorang guru besar yang bertugas di sebuah kampung Orang Asli. Beliau menceritakan bagaimana guru-guru di sekolah tersebut `berkampung, tidur makan sekali' dengan murid-murid setiap kali musim peperiksaan UPSR. Tujuannya bagi memastikan semua murid dapat mengambil peperiksaan itu. Apabila berlaku kes soalan bocor dan semua murid dikehendaki menduduki semula peperiksaan, mereka terpaksa `kepung' satu kampung. Tujuannya bagi memastikan semua calon hadir. Kalau mereka tidak berbuat demikian, alamatnya akan adalah calon yang tidak hadir kerana masing-masing tinggal jauh di ceruk hutan.

Satu hal lagi, kalau mereka tidak hadir, guru-guru terlibat perlu `menjawab' kepada pejabat pelajaran daerah atau jabatan pendidikan negeri.

Mereka berbuat demikian kerana menjunjung amanah dan integriti pendidikan yang diikrar sewaktu mula-mula menerima tanggungjawab ini. Semuanya dilakukan demi anak bangsa dan kecintaan kepada bidang pendidikan.

Dalam tempoh tidak sampai 20 hari lagi sebelum tarikh baharu peperiksaan tiba, guru-guru dan ibu bapa mempunyai tugas berat. Paling penting memulihkan semangat calon. Dalam usia yang begitu muda ini, mereka tidak sepatutnya berhadapan dengan situasi sedemikian.

Harapnya sebelum tiba tarikh 30 September ini juga, si pengkhianat itu sudah dibawa ke mahkamah, diadili dan menerima hukuman setimpal! Rozaman Ismail Utusan/Rencana/20140913