September 15th, 2014

Tingkat bekalan taqwa sebelum jadi tetamu Allah

Haji adalah ibadat yang akan menguji kekuatan iman seorang hamba dalam mentaati Allah SWT.

Ia rukun kelima dalam Islam yang diletakkan selepas syahadah, solat, zakat dan puasa. Susunan terakhir yang diletakkan oleh Allah SWT bukanlah menunjukkan ia ibadat yang tidak penting. Sebenarnya, haji adalah kemuncak kepada ibadat lain bagi menentukan sejauh manakah ketaatan kita sebagai seorang hamba.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah rombongan Allah, jika mereka mendoakan sesuatu maka Allah akan memperkenankannya, dan jika mereka memohon ampun, akan diampunkan." (Riwayat Ibnu Majah, Tabarani dan al-Baihaqi)

Mereka yang layak menunaikan ibadat haji adalah tetamu kepada Allah SWT yang telah dijemput oleh Allah SWT ke tempat paling suci di samping membenarkan seruan Nabi Ibrahim seperti dirakamkan dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta, yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka mempersaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah sebahagian yang lain untuk makanan bagi mereka yang sengsara dan orang fakir." (Surah al-Hajj, ayat 27-28)

Persiapan diri

Persiapan menjelang ibadah haji dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, melakukan amalan wajib dan sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menunjukkan mereka yang akan melaksanakan ibadah haji sudah bersedia dengan kebersihan diri, harta, zahir dan batin.

Persediaan inilah yang menggusarkan bakal haji kerana beranggapan mereka belum cukup bersedia untuk menjadi tetamu Allah SWT sedangkan agama itu sangatlah mudah untuk dilaksanakan. Sebenarnya persediaan itu lebih cenderung kepada usaha mendekatkan diri dengan Allah SWT sekadar yang termampu.

Ketahuilah, setiap ibadah yang kita lakukan, sempurna atau tidak ibadatitu banyak tergantung kepada persiapan dan perbekalan. Oleh itu, bagi yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah bermuhasabah diri dengan bekalan takwa sehingga dapat meraih haji yang mabrur di sisi Allah SWT.

Haji juga dianggap suatu perjalanan suci umat Islam untuk membersihkandiri daripada segala dosa dan kemaksiatan. Ibadah haji akanmelengkapkan lagi peraturan hidup yang sedang berjalan. Jemaah haji mendapat kelebihan berbanding mereka yang belum menunaikan haji.

Hidup mereka akan kelihatan lebih mulia dan sempurna atau dengan kata lain, mereka yang telah menunaikan haji sudah lengkap proses pendidikan ke arah menjadi Muslim sejati. Pelajaran hidup bagi yang belum dijemput menunaikan haji adalah hasil pendidikan daripada sembahyang, puasa dan zakat sahaja.

Masih ada ruang kosong yang hanya dapat dipenuhi dengan cara menunaikan haji. Oleh itu, ibadah haji adalah puncak proses pentarbiahan seseorang seterusnya melengkapkan rukun Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Hukum-hakam di dalamnya juga dapat dicerna sebagai pemangkin kepada proses pendidikan jiwa seorang Muslim. Ini tidak bererti mereka yang belum menunaikan haji tidak sempurna imannya dan tidak diredai kerana kekuatan dan kemampuan melakukan haji terbatas kepada mereka yang berkemampuan sahaja.

Ibadat bukan trend Sering berlaku dalam kalangan ummah menjadikan ibadat haji dan umrah sekadar trend semata-mata, terikut- ikut dengan pengaruh persekitaran, berlumba-lumba mendapatkan gelaran dalam masyarakat tanpa mengambil kira matlamat sebenar ibadah bakal dilaksanakan.

Tidak kurang yang masih mencaricari hidayah dan seruan walaupun kemampuan sudah melebihi keperluan untuk menunaikan haji. Mereka yang layak menunaikan haji dan mengabaikannya, telah diingatkan bahawa mereka menempah kemurkaan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mahu mengerjakan haji, maka bolehlah dia memilih untuk mati secara Yahudi atau Nasrani." (Riwayat Tirmizi)

Ibadah haji bukan hanya berkisar soal kekuatan dan kehebatan semata- mata, tetapi juga membabitkan soal disiplin serta kepatuhan. Kesukaran menjaga batas larangan Allah SWT menjadi sifat manusia. Maka ibadah haji bagi menunjukkan kepatuhan kepada Allah SWT serta kekuatan menjaga disiplin menunaikan ibadat.

Semangat yang dijelmakan dalam melakukan ibadah membabitkan fizikal melambangkan setiap kejayaan memerlukan usaha dan kerja keras untuk mencapainya. Konsep perpaduan memang menjadi agenda utama dalam haji kerana ia adalah asas kekuatan umat mendepani cabaran. Semua perilaku dalam haji dilakukan bersama sambil bertalbiah memuji kebesaran Allah SWT.

Umat Islam adalah umpama tubuh yang satu, maka perbezaan pendapat, kekayaan, kedudukan, tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka berpecah. Umat Islam yang kaya, miskin, alim, orang biasa, pemimpin dan rakyat semuanya bersatu dalam ibadat haji. Inilah nilai yang tersembunyi ketika berwukuf di Arafah setelah melakukan tawaf dan saie. Arafah juga ini akan menimbulkan sikap rahmah, kasih sayang sesama makhluk.

Ibadah haji umpama sebuah sekolah yang menebarkan jalan untuk mempelajari kaedah bagi menghadapi kehidupan dengan bekalan nilai tauhid, ibadah, usaha, silaturahim, siap menghadapi godaan dan kesiapan diri untuk berkorban.                   Zamanuddin Jusoh Berita Harian Rencana ISNIN, 15 SEPTEMBER 2014 @ 8:42 AM

Kepakaran rakyat Malaysia menyinar di tanah suci

TIDAK terfikir oleh penulis yang terjemahan khutbah solat Jumaat berbahasa Arab ke bahasa Melayu dari mimbar Masjidil Haram dua hari lalu (12 September 2014) datangnya dari kelunakan suara seorang anak muda Malaysia.

Waktu itu dengan fon kepala yang dibekalkan pihak masjid, penulis yang berada di pintu 73 mendengar bait demi bait kandungan terjemahan khutbah.

Terjemahan ke bahasa Melayu dari siaran radio berfrekuensi 90.5 itu begitu lancar melangkaui gelombangnya dari pintu 72 hingga 95 King Fahd, berserentak pula dengan suara khatib.

Antara yang sempat dicatatkan penulis: "Pada hari ini Masjidil Haram dan Mekah menerima tetamu Allah iaitu para jemaah haji untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Siapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan segala perbuatan yang boleh menyebabkan dosa padanya, maka diampunkan Allah sebagaimana dia dilahirkan oleh ibunya."

Mohamad Nurul Hafiz, 30, pelajar tahun empat Ilmu Dakwah, Universiti Umm Al-Qura, Mekah ialah rakyat Malaysia dan orang Melayu tunggal yang menjadi penterjemah khutbah di Masjidil Haram. Sudah 14 teks khutbah diterjemahkan termasuk khutbah solat Aidilfitri dan solat gerhana bulan.

Di kota suci kedua, Madinah di Masjid Nabawi pula, fungsi yang sama dilakukan oleh seorang warga Indonesia.

Cuma, penulis agak tersentuh dengan komen pemuda dari Besut, Terengganu itu apabila ditanya perasaan kali pertama dia menterjemah kandungan khutbah bahasa Arab di Masjidil Haram, 7 Jun lalu.

"Seakan-akan Allah membuka mimbar Masjidil Haram kepada rakyat Malaysia untuk membaca khutbah," kata beliau dalam pertemuan pada satu majlis usrah di Batah Al-Quraish, sebuah kawasan kejiranan di Mekah.

Mohamad Nurul rupa-rupanya tidak keseorangan dalam mencatatkan nama anak Malaysia yang menuai bakti di Masjidil Haram. Ada beberapa insan lagi yang kebetulan memang 'rezeki' penulis dipertemukan dengan mereka dalam usrah berkenaan.

Mohd. Rus Abbas, 36, perunding kos dengan sebuah firma Arab Saudi yang terlibat dalam projek pembesaran Masjidil Haram termasuk pembinaan mataf memberitahu, perasaannya sukar hendak digambarkan pada peringkat awal menggalas tanggungjawab itu.

"Selalunya sebelum ini saya terlibat dalam projek membina Pavillion, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh; Lynas dan sebuah projek penapisan minyak di Melaka.

"Tetapi kali ini Masjidil Haram. Nampaknya Kaabah terlalu dekat dengan saya sehingga nak buat silap pun takut sebab bos sebenar bukan manusia tapi di atas sana (Allah). Kejujuran dan ketelusan penting untuk menjayakan projek macam ini," katanya yang berada di Mekah sejak 2011.

Dalam hal ini, Mohd. Rus melihat ada prospek besar untuk direbut oleh profesional Islam dalam projek pembesaran kiblat umat Islam itu.

"Apatah lagi kita (Malaysia) antara negara yang berada di depan dalam industri pembinaan. Sepanjang empat tahun ini, jumlahnya (projek) semakin bertambah, kita boleh bersama-sama berkongsi ilmu," katanya sambil memberitahu projek pembesaran masjid itu bermula sejak 2009 tetapi dari segi fizikal akhir 2012.

Ditanya pandangannya mengenai projek pembesaran Masjidil Haram yang dikatakan menjejaskan tempat-tempat suci, kata bapa kepada dua orang anak ini:

"Ini untuk keselamatan jemaah itu sendiri. Apatah lagi dengan bangunan lama tidak lagi seiring pertambahan umat Islam. Kadangkala kita merungut kuota kurang, waktu menunggu lama… maka inilah sebab-musabab pembesaran ini," kata anak jati Sabak Bernam, Selangor itu.

Mohd. Rus sebelum dipanggil berkhidmat di Mekah ialah perunding projek gas di Muscat, Oman.

Penasihat teknikal Albalad Alameen, Roselan Salleh, 48, pula berkata, kerajaan Arab Saudi meletakkan kepercayaan tinggi kepada pekerja Malaysia dan mereka amat menghargainya.

Albalad Alameen adalah majlis perbandaran Mekah yang terlibat dalam projek-projek penswastaan di tanah suci termasuk pembangunan semula kawasan setinggan serta pembangunan perkhidmatan transit aliran ringan Metro Mekah.

"Orang Malaysia ini pergaulannya teratur, budi bicaranya tersusun. Sebab itu kerajaan Arab Saudi senang dengan kita. Sebagai seorang Islam apabila mendapat peluang bekerja di Mekah, ini bukan satu anugerah kecil tetapi peluang besar.

"Dalam ramai-ramai orang di dunia ini, kita yang terpilih," kata Roselan yang juga juruukur bahan.

Dalam pada itu, Mohd. Zahiri Maulud, 55, Pengurus Besar Nozoly, sebuah firma Arab Saudi yang mengendalikan anak syarikat memasang khemah-khemah pakej biasa dan mahal untuk jemaah semasa wukuf di Arafah, menyifatkan penglibatan dalam projek itu sebagai peluang untuk berbakti di tanah suci.

"Sekarang kami sudah mula memasang khemah-khemah berkenaan sekitar 50 peratus termasuk katil, membekalkan peralatan elektrik dan alat pendingin hawa untuk urusan dalam sehari (wukuf) tersebut," katanya sambil memberitahu jemaah dikendalikan ialah dari Indonesia, Singapura, Brunei selain Malaysia.

Nozoly turut menyediakan khemah mahal melibatkan kapasiti muatan 2,100 jemaah untuk pakej orang kenamaan (VIP).

"Tuan punya firma itu kenalan saya dan mengajak saya bekerja dengannya. Begitupun, hakikatnya bukan senang hendak mendapatkan kepercayaan daripada orang Arab," kata Mohd. Zahiri yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - UTUSAN  Khabar Dari Mekah Utusan/Rencana/20140915/