September 17th, 2014

Pengisian ilmu sambil melancong

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada." (Surah al- Hajj, ayat 46)

Melancong sebenarnya bukan sekadar berhibur, sebaliknya apabila dilakukan berlandaskan syariat agama, kelak memperoleh manfaat dan berkat Allah SWT sekali gus dianggap jihad kecil.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya keluar daripada kepompong mastautin dan bermusafir ke lokasi lain bagi menyelami 'permata tersembunyi' di tempat orang sambil menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT.

IntraTama Travel Consultant & Tours dengan kerjasama Pusat Pendidikan al Barakah buat julung kalinya menganjurkan pelancongan halal Pelayaran UKE 1.0 di atas kapal persiaran mewah StarCruise Libra bersama ikon dakwah, Ustaz Kazim Elias .

PESERTA solat berjemaah di atas dek kapal dalam pelayaran StarCruise Libra.

Pengisian tazkirah didik jiwa peserta

Pengisian utama program berkenaan iaitu sesi tazkirah bertujuan mendidik jiwa peserta kembali ke jalan diredai Allah SWT dan membimbing menuntut ilmu, perkongsian ibadat mengerjakan solat jamak (himpun) dan qasar (pendekkan) ketika melancong mengikut syariat agama berjaya mencapai matlamatnya.

Ustaz Kazim yang juga pengasas Pusat Pendidikan al Barakah berkata, melancong turut dikelaskan sebagai mencari ilmu dan melancong menerusi kapal mewah yang pertama kali seumpamanya dianjurkan mampu mendidik peserta memahami erti jihad serta menguruskan diri ketika melancong mengikut syariat agama.

"Islam menuntut umatnya mengembara bagi mengagumi kebesaran pencipta. Saya gembira kerana pelancongan halal mendapat sambutan ramai, bahkan ramai yang merungut tidak dapat mengikuti pelayaran berikutan tempat yang terhad.

"Dalam pelayaran ini contohnya, kebanyakan peserta sudah pandai menggunakan kompas menentukan arah kiblat. Keraguan utama pelancong Muslim membabitkan makanan halal ketika mengembara selesai apabila pengurusan kapal dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang menjalankan aktiviti samak satu kapal," katanya mengharapkan kerjasama sedemikian turut dipraktikkan ejen pelancongan lain yang menawarkan pelancongan halal.

Menurut Ustaz Kazim, peluang melancong dalam kelompok ramai iaitu kira-kira 768 peserta termasuk pelancong negara jiran Singapura, membuktikan masyarakat Islam sebenarnya menggemari pelancongan halal, namun, kekurangan sumber.

Katanya, pelancongan halal bermaksud ejen pelancongan menyediakan pakej pelancongan diyakini dalam aspek makanan, kemudahan bersolat, lokasi dilawati serta manfaat pelancongan mendidik jiwa pelancong. Buat pertama kalinya, dek terbuka kapal persiaran mewah, StarCruise Libra dibanjiri lautan manusia mendirikan solat pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak diiringi azan berkumandang membelah keheningan lautan.

Pengalaman menyertai tazkirah dan solat atas dek beramai-ramai, antara pengisian yang berjaya dicapai sepanjang pelayaran apabila peserta bukan saja menimba ilmu di tengah lautan bahkan, mengamati remang senja yang terbaik di tengah lautan samudera.

Aktiviti kekeluargaan

Di samping laungan azan membelah keheningan senja yang berupaya menggamit individu lain menyertai kembara sedemikian, aktiviti kekeluargaan seperti acara suami isteri, makan dalam talam besar dan makan bersama.

Apatah pula, penganjuran programberkenaan sebagai rentetan membuka mata masyarakat lain supaya Islam dipandang mulia dan tinggi darjatnya sekali gus memenuhi matlamat konsep Islam secara meluas.

Episod Pelayaran UKE 1.0 akan disiarkan di Astro Oasis sebanyak empat episod bermula 3 Oktober depan. Pelayaran seterusnya, UKE 2.0 bakal dianjurkan pada 25 hingga 28 Januari, depan. Penyertaan dibuka bermula pertengahan September dengan sasaran 1,000 peserta membabitkan pelayaran kapal mewah yang mengutamakan syariat 100 peratus halal bermula dari Pulau Pinang, diikuti Krabi dan Phuket, Thailand.

Ustaz yang popular dengan program Kalau Dah Jodoh di Astro Oasis itu berkata, beliau berharap pihak pengurusan menyediakan surau khas yang boleh memuatkan jemaah terutama ketika berlaku perubahan cuaca seperti hujan kerana ruang terbuka dek tidak mampu mengatasi masalah berkenaan.

Dakwah boleh

pelbagai cara Pencetus Ummah (PU) , Muhammad Fakhrul Islam Md Zarin, berpendapat penganjuran kembara ilmu adalah peluang keemasan membuka minda masyarakat, iaitu dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai cara, tidak bergantung pada kaedah konvensional saja.

Jelas Ikon Belia Negeri Melaka itu, setiap pendakwah memiliki kelebihan tersendiri seperti pendekatan Ustaz Kazim lebih lembut, santai dan menjurus kepada golongan berusia, manakala cara dakwah beliau adalah menawan orang muda.

Katanya, kaedah menawan orang muda mengikuti program keagamaan adalah menyelami kegiatan anak muda seperti melepak, melancong, meraih kepercayaan generasi Y dengan memakai persalinan moden sealiran zaman serta kemas bagi mengelakkan berlakunya jurang sosial.

"Perlukan masa membawa golongan sebegini ke pangkal jalan, gunakan cara lebih agresif seperti mereka. Ambil berat cara berkawan dengan mereka, ajak melakukan kebaikan secara halus dan jangan pernah mencari salah golongan sebegini, sebaliknya guna pendekatan menasihat. "Dalam pelayaran ini, saya juga masih menuntut ilmu dakwah daripada Ustaz Kazim, belajar pembentukan disiplin, pengisian melancong ke sesuatu tempat dan peluang memberi tazkirah," katanya.

Fokus utama berdakwah dalam kalangan generasi muda adalah mendekati ketua kumpulan orang muda, adakan program santai atau menyediakan bajet bagi golongan berkenaan menuntut ilmu agama. Kebanyakan golongan muda cenderung terikut akan tindakan dilakukan ketua kumpulan mereka, justeru pendakwah perlu terlebih dulu mengubah perangai serta persepsi ketua mereka terhadap Islam.

Salah seorang peserta program yang juga Pengerusi Sidma College, Prof Dr Morni Kambri, berkata lawatan ke satu-satunya sekolah agama di Phuket yang menempatkan kira-kira 2,000 murid sekolah rendah, menengah dan tinggi dalam satu kawasan nyata mengagumkan. "Sambutan pelajar dan pengurusan Muslim Wittaya School di luar jangkaan terhadap kehadiran rombongan peserta program ini.

Apabila ada peserta turut menderma, ia membuka mata dan keyakinan bahawa rezeki milik Allah boleh datang bila-bila masa, di mana saja. "Saya bercadang akan membawa lagi ahli keluarga termasuk isteri, anak, mentua dan ipar duai menyertai pelayaran UKE 2.0, Januari depan. Bahkan, kami lega perjalanan berjalan lancar," katanya bercadang mengadakan madrasah berkonsep seakan pusat pendidikan Al Barakah. Nadia Ahmad Berita Harian Rencana SELASA, 16 SEPTEMBER 2014 @ 10:48 AM

Bayaran Haji bagi yang pernah mengerjakan haji 1435

Pagi tadi saya pergi men-men ke TH Perdana, Maju Junction untuk semakan dan kehilangan buku akaun tabung haji bersama isteri. Dalam dan sambil menunggu giliran nama di panggil saya meninjau sekeliling untuk mendapat beberapa maklumat dan informasi yang patut. Maka terpandang lah akan saya notis ini. Mengikut petugas Tabung Haji yang saya temui kos harga bagi pakej Muasasah adalah kekal iaitu RM9,980  dan bagi yang ingin mengulang atau 'repeat' untuk mengerjakan haji (jika berpeluang dan di izinkan Allah) adalah seperti berikut:


Itu tidak di kira bagi pakej Tabung Haji, sebagai contoh jika dulu tuan haji/puan hajah pernah menunaikan haji dengan menggunakan pakej Tabung Haji bernilai lebih kurang RM23.000 (termurah lah dulu mengikut brosur Pakej Tabung Haji Travels) maka tentunya pakej 'repeat' (jika di izinkan Allah) adalah lebih kurang RMRM40,000 hingga RM46,000. Kepada yang ber'uang' tentu tidak ada masalah bagi yang memang tersangat berhajat maka tengok lah poket dan wallet anda.

Maka dengan itu, demi seruan agama, jangan lah berkira mengenai kos harga yang telah di tetapkan dan jangan lah sombong dan bangga jika anda berpeluang lagi menunaikan rukun Islam ke 5 ini.

Mulai lah usaha mengumpul wang pemergian menunaikan rukun ini. Moga cita-cita , niat dan hasrat tetuan di makbulkan Allah s.w.t. In sya Allah.

Prihatin terhadap rezeki

REZEKI dapat difahami sebagai sumber pendapatan, mata pencarian dan bahan keperluan untuk hidup seperti makanan sehari-hari, wang yang diperoleh untuk membeli makanan dan juga nafkah yang dapat menanggung diri dan keluarga.


Selain itu, rezeki yang berkat akan membawa kebaikan, keuntungan dan kemujuran dalam kehidupan seharian. Bagi petani rezekinya adalah hasil pertanian seperti buah-buahan yang lebat dan hasilnya dapat dijual kepada orang ramai. Bagi, nelayan rezekinya di sungai atau di lautan berupa ikan, udang dan sotong.

Sementara itu, bagi penjawat awam rezekinya terletak pada gaji atau bayaran yang diterima setiap bulan. Bagi peniaga, rezekinya terletak kepada hasil jualan barangan yang dipasarkan. Begitulah rezeki, tidak mengira siapa dan di mana akan diberikan oleh Allah SWT kepada pemilik dan haknya.

Memanfaatkan rezeki seperti hasil pendapatan dan mata pencarian mestilah kepada diri sendiri dan juga keluarga. Manakala, rezeki yang banyak boleh disedekahkan kepada golongan yang kurang bernasib baik atau kepada orang lain untuk mendapat ganjaran pahala.

Rezeki adalah mata pencarian dan hasil kerja yang dilakukan oleh seseorang bagi meneruskan kehidupan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)." (riwayat Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi)

Sebagai manusia dan umat Islam kita digalakkan bekerja, berusaha ke arah mencari rezeki yang halal di dunia. Pelbagai rezeki dihidangkan oleh Allah SWT dalam bentuk dan keadaan yang berbeza.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibril) membisikkan dalam benakku, bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah kamu memburunya dengan jalan bermaksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (riwayat Abu Dzar dan Al Hakim)

Keupayaan dan kekuatan manusia terletak kepada akal dan tenaga. Manusia boleh berusaha dengan akal dan tenaga untuk mencari rezeki yang halal. Manusia boleh berusaha dengan alam dan sekitarnya untuk mendapatkan rezeki yang halal.

Mensyukuri nikmat

Mensyukuri nikmat Allah SWT dengan rezeki yang diperoleh adalah bukti keimanan seseorang umat Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila dibukakan bagi seseorang pintu rezeki, maka hendaklah dia tetap (jangan suka berpindah-pindah ke pintu-pintu rezeki lain atau berpindah-pindah usaha)." (riwayat Al-Baihaqi)

Daripada rezeki yang baik dan halal akan memberikan keberkatan dan hubungan yang baik dengan makanan, minuman dan pakaian dengan ibadah. Ini disebabkan, ibadah yang kita laksanakan berkait rapat dengan sumber makanan dan minuman serta rezeki yang halal.

Umat Islam hendaklah prihatin terhadap rezeki terutama berkaitan makanan dan minuman untuk menjamin kesihatan tubuh badan dan mendapat keredaan Allah SWT. Faktor rezeki iaitu makanan dan minuman juga mempengaruhi penerimaan sesuatu ibadah dan doa, makan makanan haram iaitu daripada rezeki yang haram mengakibatkan doa tidak makbul dan ibadah ditolak.

Mencari rezeki yang halal diumpamakan sebagai jihad. Ini disebabkan seseorang itu terpaksa berusaha keras demi mencukupkan rezeki berupa makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal kepada ahli keluarganya.

Dalam berusaha dikatakan rezeki selalu mencari orang yang sabar, tabah berusaha, tahan ujian, gembira dan bersyukur apabila mendapat rezeki yang dikurniai oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Kemiskinan atau kekayaan dikatakan tidak penting, tetapi rezeki yang secukupnya dan berkat akan memberikan manfaat dan nikmat yang tidak ternilai.   DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan/Bicara_Agama/20140917

Membugarkan perkahwinan

FIRMAN Allah SWT bermaksud: Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya, diciptakan-Nya bagi kamu pasangan suami-isteri dari diri kamu untuk kamu merasa ketenteraman antara satu dengan lain, dan dijadikan-Nya kasih-sayang dan belas-kasihan antara kamu, sesungguhnya dalam hal itu menjadi keterangan bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Rum: 21)

Mengecapi rumah tangga yang harmoni dan bahagia bukanlah semudah yang disangka. Sebaliknya, ia memerlukan ilmu serta kemahiran yang perlu dipelajari bagi menangani segala permasalahan yang berlaku.

Sehubungan itu, bagi merungkai segala persoalan dan cabaran semasa dalam kekeluargaan, Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Bengkel Mahligai Kasih pada Sabtu ini di Dewan Besar IKIM, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bengkel sehari itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan suami dan isteri serta ibu bapa yang ingin memperkasakan ilmu kekeluargaan dalam mengharungi cabaran semasa.

Program yang akan menampilkan barisan penceramah berpengalaman itu turut membolehkan peserta yang hadir untuk berdialog secara terus kepada penceramah bagi berkongsi serta merungkai mengenai permasalahan yang dihadapi.

Peserta yang hadir turut diberikan tip-tip dalam membentuk rumah tangga Muslim yang dirahmati Allah SWT dengan nilai persefahaman yang menjadi asas kepada penguat ikatan suami dan isteri.

Bayaran RM200 bagi setiap penyertaan. Bagi pendaftaran tiga orang ke atas akan diberi potongan sebanyak lima peratus. Orang ramai yang berminat boleh menghubungi unit program IKIM di talian 03-6204 6200 atau 016-279 6410 atau melayari www.ikim.gov.my untuk maklumat lanjut. Utusan/Bicara_Agama/20140917