September 25th, 2014

Korban bersama Muslim Aid

PENGAGIHAN daging korban yang telah ditinkan bukan hanya dibenarkan oleh Islam tetapi ia juga lebih mudah dilakukan, khususnya di negara yang daif daripada segi kemudahan infrastrukturnya, seperti bekalan elektrik dan logistik.

Sudah pastinya, kemiskinan akibat daripada peperangan atau bencana alam, sedikit sebanyak akan mengurangkan penghayatan falsafah ibadat korban itu sendiri iaitu untuk membina akhlak umat Islam yang sanggup berkorban demi kebajikan orang lain.

"Mengetin daging korban untuk diagihkan kepada umat Islam di negara lain bukan perkara baharu. Ia menjadi satu keperluan bagi memastikan daging itu sampai kepada mereka yang memerlukan.

Gapo gak ...



HASHNAN ABDULLAH Gambar FARIZ RUSADIO

"Malahan, pada 2003, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyatakan bahawa pendekatan itu diharuskan," kata Pengerusi Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid (Muslim Aid) Malaysia, Habsah Marjuni ketika ditemui di ibu pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Muslim Aid merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.

Walaupun merupakan sebuah organisasi Islam, bantuan Muslim Aid Malaysia tidak mengira sempadan, tidak membezakan warna kulit penerima bantuan.

Dalam pada itu, Habsah berkata, pendekatan tersebut juga dapat memastikan bekalan makanan ini sentiasa ada dan boleh dinikmati pada bila-bila masa memandangkan daging korban yang ditinkan telah diproses dan dimasak sebelum diagih-agihkan.

Selain itu, daging korban yang ditinkan tersebut juga lebih tahan lama iaitu antara dua hingga tiga tahun dan dapat mengelak daripada pembaziran daging mentah.

"Ada negara yang bukan hanya senang mendapat haiwan tetapi boleh disembelih dan diagihkan pada hari yang sama. Tetapi ada negara yang susah untuk memperoleh haiwan ternakan dan sekiranya ada pun, harganya amat mahal," ujarnya.

Justeru, ternyata melalui pendekatan yang dilakukan itu, Muslim Aid Malaysia telah berjaya mengagihkan daging korban kepada berpuluh-puluh negara yang dilanda konflik peperangan dan bencana sejak 10 tahun lalu.

Selain Malaysia, antara negara lain yang terbabit ialah Iran, Iraq, Gaza, Tebing Barat (West Bank) dan khemah-khemah pelarian di Syria, Lubnan, Bosnia, Bangladesh, Indonesia dan lain-lain lagi.

Bagi memastikan daging lembu atau kambing itu berkualiti, Muslim Aid Malaysia telah menjadikan negara Australia sebagai pembekal sumber daging utama mereka setakat ini.

Selain itu, pengetinan daging korban telah diperakui sah oleh Jakim, pusat penyembelihan itu turut menepati ciri-ciri keselamatan kesihatan yang ditetapkan oleh Muslim Aid Malaysia sendiri.

"Cuma proses pengetinannya, kami lakukan di Kuala Terengganu. Bukan hanya kerana kosnya yang berpatutan tetapi juga sebagai satu usaha untuk membantu industri tempatan," jelas Habsah lagi.

Sempena sambutan perayaan Aidiladha tahun ini, Muslim Aid Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan umat Islam dalam ibadah korban anjuran yayasan kemanusiaan itu dengan hanya RM400 untuk seekor kambing atau satu bahagian lembu. Penyertaan ini termasuk kos haiwan, penyembelihan, pengetinan, penghantaran dan pengagihan serta diberikan sijil penyertaan.

Penyembelihan akan dijalankan pada 10 hingga 13 Zulhijah di lokasi yang dipilih oleh Muslim Aid Malaysia dan dijamin mengikut spesifikasi yang sah daripada segi syarak.

Selain mengagihkan daging mentah, daging korban itu juga akan turut ditinkan sebelum dihantar ke negara yang memerlukan.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 03-2288 1996, 03-2282 1996 atau layari laman web www.muslimaid.org.my. Anda juga boleh datang sendiri ke Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia di 8-1-2 Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku, Kuala Lumpur atau deposit langsung di akaun CIMB Bank: 8600 11 0850 (Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia) serta menerusi akaun Hong Leong Islamic Bank 3310 1000 717 (Muslim Aid Asia Sdn. Bhd.) Utusan/Bicara_Agama/20140924

Cabaran hidup berkeluarga

INI adalah dua contoh yang ekstrim. Dalam kebanyakan masa, kita semua dibesarkan dalam sebuah kehidupan yang sederhana. Dalam kehidupan yang serba sederhana, kita tidak pernah terlupa bersyukur kepada Allah SWT dengan apa yang telah dikurniakan dan kita tidak pernah berhenti berdoa kepada-Nya supaya Dia terus memberkati kehidupan kita dengan anugerah kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sebenarnya, apa yang kita impikan ialah sebuah kehidupan yang mawaddah warahmah dan sakinah. Sebagai manusia, sikap suka membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain adalah perkara biasa. Namun, perbandingan hanya bertujuan untuk menyerlahkan sikap suka bersaing dan keinginan kepada yang lebih baik tanpa melupakan hakikat bahawa segala sesuatu yang diingini atau dihajati itu hanya boleh menjadi kenyataan dengan izin-Nya. Jika Allah SWT tidak mengizinkan ia tidak akan berlaku.

Cabaran Hidup Berkeluarga ...



Opocot ....

Dalam kebahagiaan yang kita kecapi ini, hanya Allah SWT yang tahu apakah dugaan yang bakal tiba kepada kita. Seorang sahabat saya kehilangan dua daripada empat orang anaknya serentak dalam satu kemalangan jalan raya. Ketika kejadian itu, saya percaya sebagai manusia biasa, dia juga tertanya apakah hikmah di sebalik dugaan itu?

Apabila anak sulungnya berkahwin, Allah SWT takdirkan dia mendapat sepasang cucu kembar seiras. Siapalah yang akan dapat menjangka, jika Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah SWT akan kembalikan dalam bentuk yang lain kerana daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Hidup ini penuh cabaran dan kekuatan seseorang itu ialah kekuatannya menerima dugaan Allah SWT dengan bersabar dan bersyukur kerana pada ketika kita diduga, kita tidak akan dapat merasa hikmahnya sehingga kita mendapat hikmah tersebut.

Lantaran itu, seorang Islam itu perlu yakin kepada ketentuan Allah SWT. Kita yakin dan beriman kepada Allah, Pencipta alam semesta, Allah yang Esa. Kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dan keluarga supaya berada di dalam keberkatan-Nya sentiasa. Tiada siapa yang boleh mengubah hidup kita selain diri kita sendiri berusaha mengubahnya dan berdoa kepada-Nya supaya usaha kita beroleh kejayaan. Jika sudah ada usaha selainnya adalah hak-Nya.

Kehidupan kita ini penuh dengan cabaran. Tiada seorang manusia pun yang dalam kehidupannya tidak diduga atau melalui cabaran dalam kehidupan, walau bagaimana kaya atau berilmu pun mereka. Dugaan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk. Tabiat manusia, apabila berada dalam kemewahan dan kesenangan, mereka jarang mengingati-Nya. Apabila jarang mengingati Allah SWT, maka hati akan keras. Ia akan sering melakukan kemungkaran kerana ia senang dihasut syaitan.

Mengingati Allah SWT bukan sahaja melalui solat, ia adalah tiang segala amalan. Mengingati-Nya melalui solat adalah kewajipan namun mengingati Allah dalam semua urusan kehidupan dan sentiasa mensyukuri segala anugerah-Nya.

Setiap orang tanpa mengira kedudukan akan melalui cabaran daripada Allah SWT dalam bentuk yang berbeza. Setiap dugaan Allah SWT datang dengan hikmahnya yang tersendiri dan kekuatan seseorang yang diduga ialah sejauh mana ia bersabar dan bersyukur dengan ketentuan-Nya.

Kes 1

A dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana mewah. Dari kecil dia sudah ada pembantu rumah mengurus dirinya dan keperluan asasnya kerana ibu bapanya sibuk bekerja. Begitu pun, ibu bapanya masih ada masa untuknya dan dia dimewahkan dengan kebendaan dunia. Allah menyayanginya kerana ibu bapa mencarikan guru agama untuk dia belajar agama di rumah. Apabila dia bersekolah dan mula bercampur dengan lebih ramai orang, dia mula terpengaruh terutama dengan rakan sebaya yang sama mewah dan kurang didikan agama. A mula berjinak dengan rokok, dadah dan arak serta berfoya-foya.

Daripada segi akademik, A tetap cemerlang kerana dia memang pandai, ditambah dengan kehadiran guru tuisyen di rumah setiap hari. Nasibnya lebih baik kerana dihantar belajar ke luar negara. Lantas di luar negara dia terus hanyut tetapi dia masih berjaya dalam pelajarannya. Ibu bapa masih merasa amat berbangga dengan A.

Dalam kes A pendidikan agama asas yang diterimanya daripada guru agama menyebabkan timbul rasa bersalah A apabila dia melakukan perkara keji yang dilarang Allah SWT. Namun, A tiada kekuatan keimanan kerana keimanan itu lahir daripada keupayaan A mengenal Allah serta dikuatkan dengan solat dan amalan-amalan wajib dan sunat sepanjang hari.

Naluri keislaman A akan sentiasa membuat dia rasa bersalah dan terganggu, namun hasutan syaitan tetap dapat melemahkan naluri Islamnya kerana A tidak memupuk keimanannya itu. A juga tidak pernah sujud bersyukur kepada-Nya setiap kali dia mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan dikelilingi kemewahan hidup.

Akhirnya, A pulang ke Malaysia, menjawat jawatan tinggi, bertemu jodoh dengan gadis pilihan yang sekufu. Di alam rumah tangga dan perkahwinan, A mula mendapat dugaan Allah SWT. Dia tahu akan tanggungjawab terhadap isteri dan anak. Dia mahu anaknya hidup bahagia, selamat dan tidak tersasar.

Dalam kes A, dugaan paling hebat ialah apabila isterinya ingin hidup bebas sama seperti sebelum berkahwin seperti, bertemu kawan-kawan, sesuka hati balik ke rumah ibu bapa tanpa meminta izin suami. A mula mencari pandangan, ingin tahu hukum tentang perkahwinan dan itulah cabaran hidup paling hebat yang pernah A alami. Dia tidak pernah menyangka wanita yang dicintai dan nikahi itu, mahu hidup bebas dan sebagai suami dia merasa cemburu isteri keluar dengan lelaki lain, sedangkan dia (A) adalah suaminya.

A tidak keharuan kerana selepas enam bulan berkahwin isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak betah hidup dibelenggu perkahwinan. Dugaan hebat ini menyebabkan A tidak dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan. Bagaimana A hendak menghadapi cabaran ini? Jika dia memilih hasutan syaitan, dia akan mengambil dadah dan minum arak. Namun jika dia ada kekuatan keimanan, dia akan bersolat hajat dan bermunajat memohon kepada Allah SWT petunjuk agar dapat membuat keputusan yang baik.

Kes 2

B datang daripada keluarga yang susah. Ibu bapanya petani dan dia mempunyai adik-beradik yang ramai. Sebagai anak sulung, dia hampir terpaksa berhenti sekolah kerana ingin memberi laluan kepada adik-adik. Dia anak yang pandai dan B juga sentiasa mendapat keputusan cemerlang.

Daripada sudut agama B diajar sendiri oleh ibu bapa di rumah. Dia sering menjadi imam di rumah, apabila ayahnya ke masjid. Dia bekerja sambilan di sebelah petang untuk menambah pendapatan keluarga. Akhirnya dia ke universiti. Di universiti, cabaran B ialah dia perlu bekerja untuk terus belajar, walaupun dia mendapat biasiswa kerana wang itu perlu dihantar ke kampung untuk bantu ibu bapa.

Dia telah mula bertanggungjawab walaupun dia belum bekerja. Dia sentiasa ingat bahawa Allah telah menentukan segalanya, namun dia bertekad menukar kehidupannya daripada susah kepada senang. Dia mahu ibu bapanya merasa hidup mewah. Dalam kesibukan belajar dan bekerja dia juga sering tertinggal solat kerana keletihan.

Hati kecilnya sering berbisik kenapa Allah SWT melahirkannya miskin dan susah. Jarang sekali dia bersyukur bahawa dengan takdir Allah lah dia dapat belajar dan berjaya dan masih boleh bekerja. Takdir Allah tidak berhenti di situ. Di IPT, B jatuh cinta dengan seorang gadis dari keturunan bangsawan. Tentulah pipit tidak layak terbang bersama helang. Cintanya tidak kesampaian kerana ibu bapa gadis itu menolaknya sebagai calon menantu sebelum dia masuk meminang pun.

B tambah tertekan. Rasa benci kepada orang berada sangat tinggi sedang dia juga berusaha mahu menjadi kaya dan senang. Kebencian itu adalah pemangkin untuk dia berusaha kuat sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dan kaya. Dia dihormati dan disanjung. Dia beri segala kemewahan itu kepada ibu bapa dan adik-beradiknya. Dia berkahwin dan apabila mendapat anak, dia tidak mahu anaknya merasa susah sedikit pun seperti yang pernah dilalui.

B membenci dan cemburu dengan orang yang lebih kaya daripadanya dan dia juga membenci kemiskinan. Akhirnya dia hidup serba tidak kena kerana dia terlupa bersyukur kepada Allah SWT. Utusan/Bicara_Agama/20140924

Kahwin cina buta

PERUNDANGAN Islam menjelaskan, jika suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, maka mereka tidak boleh kembali menjadi suami isteri kecuali memenuhi syarat yang ditetapkan. Talak tiga boleh berlaku dalam beberapa keadaan iaitu;

Pertama, suami menceraikan isteri pada kali yang ketiga.

Kedua, suami melafazkan ‘saya ceraikan kamu dengan talak tiga’.

Jika suami sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga, kemudian jika suami itu mahu kembali semula kepada isterinya, maka Islam meletakkan beberapa syarat:

1) Bekas isteri mestilah berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sempurna, selepas selesai tempoh iddahnya.

2) Bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baharunya.

3) Bekas isteri itu diceraikan oleh suami baharunya, sama ada suaminya itu meninggal dunia atau suaminya itu menceraikan wanita tersebut.

Apabila cukup tiga syarat tersebut dan sudah habis tempoh waktu iddah wanita itu, maka barulah suami pertamanya (yang menceraikan wanita itu dengan talak tiga) boleh bernikah semula dengan bekas isterinya itu. Dengan syarat wanita itu bersetuju untuk bernikah semula dengan bekas suami pertamanya itu.

Hukum ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 230 yang bermaksud: Sesudah (diceraikan dua kali) itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga perempuan itu berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

Aisyah melaporkan: Pada suatu hari, isteri Rifa’ah datang berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Isteri Rifa’ah berkata, ‘Rifa’ah telah menceraikan saya buat kali yang ketiga. Kemudian saya berkahwin dengan Abdul Rahman bin Zubair. Tetapi kemaluannya kecil sangat seperti besar hujung kain ini sahaja.’ Sambil dia menunjukkan hujung bajunya. Lalu Rasulullah tersenyum dan berkata, Adakah puan bermaksud mahu kembali semula berkahwin dengan Rifa’ah? Tidak, puan tidak boleh buat begitu kecuali puan sudah merasai madu Abdul Rahman dan Abdul Rahman sudah merasai madu puan. (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan, para ulama mentafsirkan maksud kata-kata Nabi SAW kepada bekas isteri Rifa’ah, ‘… kecuali puan sudah merasai madu Abdul Rahman dan Abdul Rahman sudah merasai madu puan,’ iaitu puan sudah bersetubuh dengan Abdul Rahman. Ini disebabkan, menurut orang Arab, keseronokan hubungan suami isteri itu, diistilahkan sebagai madu.

Timbul persoalan di sini, apabila bekas suami hendak merujuk semula kepada isteri yang sudah diceraikan dengan talak tiga, dengan berpakat dengan lelaki lain. Bekas suami berpakat dengan kawannya sebagai contoh, agar kawannya itu berkahwin dengan bekas isterinya dan selepas itu menceraikannya. Agar bekas suami itu dapat kembali semula berkahwin dengan bekas isterinya.

Nikah muhallil

Pakatan ini diistilahkan menurut perundangan Islam sebagai nikah muhallil. Dalam masyarakat kita ia dikenali sebagai ‘kahwin cina buta’. Perkataan muhallil daripada kata dasar ‘halal’, maksudnya bagi menghalalkan suami pertama berkahwin semula dengan bekas isteri yang sudah ditalak tiga.

Bagi sebahagian masyarakat kita, mereka mengatakan lelaki itu gila talak kerana sesudah menceraikan isterinya dengan talak tiga, lalu hendak kembali semula berkahwin dengan isterinya itu.

Adakah nikah seperti ini sah? Adakah ia sudah mencukupkan syarat bagi bekas suami berkahwin semula dengan bekas isterinya? Sebelum menjawab soalan-soalan ini, kita lihat apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW berkenaan nikah seperti ini.

Jabir dan Ali bin Abu Talib melaporkan, "Rasulullah melaknat suami baharu dan bekas suami dalam nikah muhallil." Direkodkan oleh Imam Tirmizi. Laporan ini menjelaskan bahawa pakatan antara lelaki yang sanggup berkahwin dan bekas suami, adalah ditegah oleh Nabi SAW. Malahan baginda melaknat perbuatan tersebut.

Imam Ibnu Taimiyah menjelaskan sebab Nabi Muhammad SAW melaknat perbuatan tersebut, kerana ia mempermainkan hukum Allah SWT. Jika pakatan seperti itu dibenarkan, maka tidak ada erti Allah SWT meletakkan syarat yang tegas dalam ayat 230 surah al-Baqarah.

Malahan para suami akan menjadi lebih bebas untuk mempermudahkan persoalan talak tiga. Oleh sebab itu, menurut majoriti para pakar perundangan Islam, nikah muhallil atau kahwin cina buta adalah haram dan tidak sah.

Para pakar perundangan Islam membahagikan kes kahwin cina buta ini kepada beberapa keadaan:

1) Jika dinyatakan dalam majlis akad nikah syarat ‘suami baharu kena menceraikan isterinya itu bagi membenarkan wanita itu dapat berkahwin semula dengan bekas suaminya yang sudah menceraikannya dengan talak tiga’, maka pernikahan tersebut adalah tidak sah dan pihak yang terlibat berdosa.

2) Jika syarat tersebut dinyatakan sebelum majlis akad, lalu ketika akad nikah itu suami baharu berniat ‘selepas berkahwin nanti dia akan menceraikan isterinya itu agar dia boleh kembali semula berkahwin dengan bekas suami pertamanya’, maka para pakar berbeza pendapat.

Atau syarat tersebut tidak ditetapkan, tetapi suami baharu itu dengan rela hati berniat begitu. Para pakar bermazhab Maliki dan Hanbali menjelaskan, nikah tersebut tidak sah. Manakala menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Syafii, nikah tersebut sah, kerana syarat itu tidak dinyatakan dalam majlis akad. Hujah mereka, niat suami baharu itu tidak menjejaskan kesahan akad nikah itu dengan syarat segala rukun dan syarat nikah dipenuhi.

3) Jika isteri atau walinya yang berniat agar suami baharu menceraikan si isteri itu bagi dia dapat kembali kepada suami pertamanya, maka akad nikah tersebut sah. Ini disebabkan, dalam hadis yang dilaporkan oleh Jabir dan Ali bin Abu Talib, Nabi hanya melaknat suami baharu dan suami lama yang berpakat. Malahan niat isteri atau wali itu tidak mempunyai apa-apa kesan, kerana hak menceraikan adalah berada di tangan suami baharu.

Datuk Said Alwe Tahir al-Hadad; Mantan Mufti Negeri Johor (1936-1961) menjelaskan dalam fatwanya, "Perbuatan demikian itu bukan niat nikah yang sebenar tetapi semata-mata helah supaya dapat rujuk perempuan kepada suaminya yang pertama setelah dikahwinkan dengan orang muhallal dan mewatinya tetapi telah berkata orang-orang Mazhab Shafie yang demikian itu sekali pun haram tetapi sah dan boleh bagi suami yang pertama mengahwinkannya setelah cukup iddahnya, dan ada sebutan dalam hadis, Allah SWT melaknat muhallal (suami yang kedua yang berkahwin dengan isteri yang diceraikan dengan talak tiga supaya halal isteri itu kembali kepada suami yang pertama) dan muhallal lahu (suami yang pertama) dan sebutan dinamakan cina buta itu dengan kambing jantan pinjaman."   DR. ARIEFF SALLEH ROSMANUtusan/Bicara_Agama/20140924

Enam amalan utama awal Zulhijah

Malam ini kita menyambut ketibaan bulan Zulhijah, bulan ke-12 dalam takwim Islam, insya-Allah. Begitu pantas masa berlalu. Antara amalan fardu yang utama dalam bulan ini adalah ibadat haji sebagai melengkapkan rukun Islam kelima bagi yang berkemampuan.

Kepada para tetamu Allah di Tanah Suci kita doakan mereka diberi kesihatan yang berkekalan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna seterusnya beroleh haji yang mabrur. Bagi kita di Malaysia, marilah kita mengambil kesempatan meningkatkan amalan sunat dalam 10 hari awal Zulhijah.

Orang mukmin sentiasa mencari dan menunggu masa-masa yang dijanjikan Allah mendapat pahala berganda untuk me-lakukan pelbagai ibadat. Sementelahan, kita menyedari bahawa hidup di dunia ini amatlah singkat berbanding kehidupan aba-di di akhirat.

Daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Usia umatku antara 60 hingga 70 tahun. Sedikit antara mereka yang melebihi usia tersebut". (riwayat at-Tirmidzi)

Mohd. Radzi Mohd. Zin  



JEMAAH haji dari seluruh dunia berada di Arafah untuk melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf yang bermula daripada gelincir matahari pada 9 Zulhijah iaitu apabila masuk waktu Zuhur hingga seketika sebelum terbit fajar 10 Zulhijah. - BERNAMA

Sebab itu, kita sewajarnya menyusun strategi supaya dapat memanfaatkan ganjaran pahala berlipat kali ganda. Kalau di dalam Ramadan, kita dijanjikan dengan ganjaran pahala lebih baik daripada 1,000 sebulan iaitu pada malam al-Qadr maka bulan haji ini juga menjanjikan beberapa ganjaran menarik dan lumayan yang tidak harus dilepaskan berlalu begitu sahaja.

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis yang membicarakan ke-lebihan beramal dalam bulan Zulhijah yang juga disebut bulan haji. Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Demi fajar dan malam yang sepuluh. (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir, yang dimaksudkan di sini adalah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lain-lain. (riwayat Imam Bukhari).

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini." Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)". (riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi).

Sheikhul Islam, Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam membicarakan sebab istimewanya 10 hari Zulhijah adalah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Amalan-amalan yang utama

* Puasa - Disunatkan umat Islam memperbanyak puasa mulai 1 hingga 9 Zulhijah sebagaimana dicontohkan oleh Nabi SAW. Daripada Hunaidah bin Khalid, dari iste-rinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rasulul-lah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa'ei)

* Solat. Disunatkan keluar cepat me-nuju ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan. Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.

* Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (La-ilaha-illallah), bertakbir (Allahu Akbar) dan bertahmid (Alhamdulillah). (riwayat Imam Ahmad).

Perlu diketahui bahawa takbir hari raya itu ada dua macam iaitu takbir mursal dan takbir muqaiyad.

Takbir mursal tidak dikaitkan dengan waktu dan tempat tertentu. Jadi boleh dilakukan di pasar, masjid waima semasa berjalan. Takbir tersebut dilakukan dengan mengeraskan suara khusus bagi lelaki.

Sedangkan ada juga takbir yang sifatnya muqaiyad, iaitu dikaitkan dengan waktu tertentu dan dilakukan selepas solat fardu.

Takbir muqaiyad dilakukan mulai solat Subuh pada hari Arafah (9 Zulhijah) hingga waktu Asar pada hari ketiga tasyrik (13 Zulhijah). Cara bertakbir adalah dengan ucapan: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

* Puasa hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW. Baginda bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (riwayat Muslim).

Bagaimanapun, puasa ini hanya disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu baginda wukuf di Arafah.

* Berkorban. Hukum menyembelih binatang untuk korban adalah sunat muakkad dan juga sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAw.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang membesarkan syi-ar Allah (berkorban) maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati. (al-Hajj: 32)

Sementara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)..." (riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

* Hari Raya Korban (hari Nahr), 10 Zulhijah.

Kebanyakan umat Islam sudah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini adalah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga me-lebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar". (Hari Qar ialah hari yang para jemaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari ke-11 Zulhijah).

Bagi mereka yang ingin melakukan ibadat korban, ingatlah pesanan Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya. (riwayat Muslim).

Menurut Imam Nawawi: Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini. Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafie mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (ia-itu makruh yang tidak sampai kepada haram). (Syarah Sahih Muslim).

Yang terbaik, mereka yang berkenaan membuat persediaan awal iaitu memotong kuku, bulu dan sebagainya sebelum masuk 1 Zulhijah. Utusan/Rencana/20140925