September 26th, 2014

Man Laksa makin berjaya

“PENGALAMAN yang tidak akan mampu saya lupakan, ialah saat melihat anak saya menarik nafasnya satu demi satu, sehinggalah dia meninggalkan dunia ini. Selama menjaga dia, memang kami diulit kesusahan. Namun, dia amat dekat di hati. Semangatnya untuk terus bertahan, menular ke dalam diri ini. Bukan sedikit orang memandang sinis, malah mengejek dan mencaci, tetapi bagi saya sendiri, anak saya itu sangat istimewa," kongsi Rasman Nordin akan peristiwa paling terkesan dalam diari kehidupannya.

Berumur 45 tahun, Rasman adalah antara asnaf zakat yang berpotensi dan semakin meningkat maju dalam mengusahakan perniagaan. Namun, di sebalik kejayaan yang dikecapinya saat ini, tidak ramai orang yang tahu tentang kepayahan penuh kegetiran yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Saya dan isteri berasal dari Perak. Namun, kami sudah lama di Selangor, sejak kecil saya sudah tinggal di Selangor. Sebelum ini pun kami memang bukan orang senang. Kesusahan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Apatah lagi sejak lahirnya anak kedua kami yang sejak kecil menghidapi sejenis penyakit, maka kesusahan kian menghimpit. Namun, kami lalui seadanya," akuinya reda.

Rasman dan pasangannya, Saurinah Nazeri, 43 mempunyai empat orang anak. Mereka diuji apabila anak kedua, lahir dalam keadaan abnormal kerana menghadapi gangguan saraf otak. Akibatnya, anak kedua mereka tidak mampu berdikari seperti mana orang biasa. Segala-galanya perlu diuruskan oleh orang lain.

“Selama 13 tahun, sehinggalah dia meninggal dunia pada 2010, dia memerlukan jagaan rapi daripada saya dan ahli keluarga yang lain. Dia tidak mampu bercakap, tidak boleh berjalan, pendek kata semuanya serba terbatas. Namun dia juga amat rapat dengan saya. Waktu malam, selagi saya tidak peluk dia, maka dia tidak akan boleh tidur," cerita Rosman lagi.

Ternyata, menguruskan seorang anak yang sedemikian sifatnya amat menguji ketahanan diri. Malah, bukan sedikit masa dan tenaga yang direngut. Semuanya Rasman tempuhi dengan penuh kesabaran.

“Jika diikutkan, saya ini sejak dahulu pernah melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Sejak muda, saya pernah berniaga membantu nenek, bekerja di kilang selama lima tahun, bekerja di lapangan terbang pula bertahan selama empat tahun dan paling lama bekerja di tapak pembinaan iaitu selama lapan tahun. Sehinggalah pada 2007, saya telah memberanikan diri untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan," bicaranya.

Air kelapa muda

Rasman ternyata lebih dikenali dalam kalangan pelanggannya sebagai Man Laksa dan terbukti dia sudah mulai menjual laksa sejak 2007. Di samping laksa, Rasman turut menjual air kelapa muda. Antara kenangan pahit, Rasman tidak akan lupa sewaktu dia berniaga di Klang, dia pernah beberapa kali menghadapi tindakan pihak majlis perbandaran kerana berniaga di tapak yang tidak dibenarkan.

“Bukan sekejap, lebih kurang enam tahun lamanya saya bertungkus-lumus untuk menjayakan usaha perniagaan ini. Alhamdulillah, kini saya sudah pun mendapat tapak yang tetap di Kelana Jaya. Di sana, saya dan beberapa orang teman telah menginisiatifkan penubuhan persatuan peniaga dan kami mendapat kerjasama baik daripada pihak majlis tempatan," katanya.

Menyentuh mengenai Lembaga Zakat Selangor (LZS), Rasman akui dia tidak selesa untuk menjaja kesusahan dirinya. Sebab itulah, selama anak keduanya sakit, dia tetap segan untuk memohon bantuan. Sehinggalah ke satu hari, salah seorang temannya menggesa agar dia cuba mengadu kepada LZS.

“Ketika itu, kos penjagaan anak kedua saya yang sakit itu sangat tinggi. Saban bulan, saya perlu menyediakan kos lebih RM6,000, khususnya bagi membeli sejenis makanan yang khas buatnya. Setelah memohon, tahun yang sama itulah, iaitu pada 2010 saya pun diterima menjadi asnaf. Namun, tahun itu jugalah anak kedua saya meninggal dunia," terangnya.

Rasman masih ingat, antara bantuan terawal yang diterima olehnya termasuklah bantuan membuat persiapan Ramadan dan hari raya dan juga bantuan persekolahan anak-anak. Bantuan modal perniagaan pula diperoleh pada 2013, iaitu berupa modal pusingan sebanyak RM2,000 dan juga sebuah lori bergerak bernilai lebih RM30,000.

“Bantuan inilah yang benar-benar membantu saya untuk pergi lebih jauh," akui Rasman.

Kini, Rasman menjalankan perniagaan secara tetap setiap hari di Kelana Jaya, iaitu di Jalan SS 5D/2. Semasa penulis mengunjunginya, ternyata gerai makanannya memang menjadi tumpuan, di samping deretan gerai makan lain yang ada di situ. Malah, Rasman turut menyediakan menu lain yang menjadi kesukaan ramai, iaitu kuetiau goreng dan air kelapa muda berperisa limau.

“Syukur, perniagaan di sini memang baik dan semakin maju. Saya juga sudah mampu menggajikan empat orang pembantu untuk melicinkan perniagaan. Setiap hari perniagaan saya akan bermula pukul 11.30 pagi sehingga 7 malam. Sudah pasti, jika saya sendiri mengerjakannya, maka saya pasti tidak larat untuk mengerjakannya," akui Rasman. HAMIZUL ABDUL HAMID Eksekutif Dakwah di Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Utusan/Bicara_Agama/20140925

Peranan besar Raja-Raja Melayu

HAK keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam, sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang begitu besar sehinggakan ia diabsahkan di dalam Perlembagaan Persekutuan tatkala negara mencapai kemerdekaan. Keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain ataupun menindas mereka.

Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan. Inilah toleransi yang dicapai antara pimpinan kaum-kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka, seringkali dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Begitu juga kedudukan tinggi agama Islam tidak menindas masyarakat bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat yang tinggi sehinggakan peruntukan perlembagaan berhubung dengan perkara-perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Ini adalah disebabkan perkenan Majlis Raja-Raja adalah diperlukan terlebih dahulu sebelum sebarang usul pindaan dibentangkan di Parlimen. Malah sebahagian pakar perundangan berpandangan ia langsung tidak boleh diubah kerana akan menghakis struktur asas Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja- Raja. Oleh itu sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara-perkara tertentu, mestilah terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen.

Perkara 159 ini bukan sahaja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan ataupun melanggar peruntukan Perlembagaan tersebut.

Perizaban kuota

Antara perkara yang berkaitan adalah Perkara 153. Perkara 153 adalah peruntukan yang panjang mencakupi hal ehwal berkaitan perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya. Bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak, Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agong boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malahan di dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada Kerajaan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Kesemua hak yang dinyatakan di atas adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri dan sekiranya hak-hak tersebut termasuklah hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak mendapat biasiswa dan kemasukan ke menara gading hendak dipinda, persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh sebelum pindaan tersebut dibuat.

Sekiranya ia dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja maka pindaan tersebut akan menjadi tidak sah. Jika pindaan pun tidak dibenarkan tanpa perkenan Raja-Raja Melayu, apatah lagi tidak menghiraukan keistimewaan tersebut ataupun membuat perkara yang bertentangan dengan keistimewaan itu.   ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan/Bicara_Agama/20140925

Tunang tanpa sedar?

“LEPAS belajar nanti, awak kahwin dengan saya ya?

Okey, saya nak kahwin dengan awak."

Pernahkah kita dengar perbualan sebegini atau kita sendiri mengungkapkan kata-kata seperti di atas?

Situasi tersebut sering berlaku dalam kalangan penuntut universiti atau sesiapa sahaja yang sedang hangat bercinta.

Percaya atau tidak, ikatan janji itu, sama ada secara serius atau sekadar ‘main-main’, tanpa sedar boleh meletakkan diri sebagai tunangan orang.

Mungkin ramai beranggapan, keadaan itu hanya perkara biasa masa kini.

Mengikut perspektif dan hukum fikah, pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan setuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki tersebut.

Peminangan boleh berlaku sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa-apa rangkaian teknologi sedia ada dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini.

Apabila seseorang wanita itu memberikan jawapan sebagai tanda dia suka dan bersetuju kepada hasrat tersebut, wanita itu telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Dalam hal itu, mana-mana lelaki lain yang tahu akan perkara tersebut dan masuk meminang selepas berlaku ‘perjanjian’ itu, hukumnya adalah haram.

Ramai juga beranggapan dan mempertikaikan status tunang boleh berlaku dalam keadaan semudah itu kerana mereka berpendapat, selagi kedua-dua pasangan itu tidak dimaklumkan kepada kedua-dua ibu bapanya, maka pertunangan tidak boleh terjadi.

Pandangan sebegitu adalah tidak benar. Hal ini demikian kerana, walaupun tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapa wanita itu atau tidak ada sebarang ‘tanda ikatan’, seperti cincin dan sebagainya termasuk rombongan dan hantaran meminang, status pasangan tersebut sudah pun bertukar kepada tunangan orang.

Persepsi orang Melayu juga berpandangan, bertunang hanya dikira sah sekiranya berlaku dalam sebuah majlis, membawa hantaran sirih junjung dan sebentuk cincin.

Namun, Menurut Pensyarah Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal, keadaan sebegitu hanyalah satu adat dan bukannya hukum wajib mengikut Islam.

“Jika wujud ungkapan sebegitu, daripada segi Islam sudah dianggap bertunang," katanya ketika berucap pada Program Bicara Sakinah yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), baru-baru ini.

Menurut beliau, mana-mana perempuan yang sudah berjanji untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki, adalah perlu kepadanya untuk memaklumkan kepada ibu bapanya bahawa dia sudah ada pilihan hati dan sudah pun memeterai perjanjian ‘tidak rasmi’ kepada pasangannya.

Tindakan undang-undang

Dalam pada itu, Prof. Noor Aziah menambah, sekiranya perkahwinan yang dirancang tidak berlaku, maka sebelah pihak lelaki atau perempuan boleh mengenakan tindakan undang-undang di mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

“Jika sesiapa telah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, atau sama ada dengan sendirinya atau melalui seorang perantaraan, namun kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah.

“Sedangkan pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab untuk memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau bagi pihak yang satu lagi sebagai persediaan bagi perkahwinan itu sekalipun boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah,’’ ujarnya.

Jelas Noor Aziah, Sesungguhnya Allah menjadikan khitbah (tunang) sebagai salah satu daripada syariat yang memberi peluang kepada kita semua untuk berkenalan dengan pasangan daripada segi zahir dan batin sebelum bernikah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM itu berkata, zaman sekarang agak sukar mencari pasangan yang berkahwin atas pilihan keluarga, sedangkan cara sedemikian lebih diberkati demi melahirkan sebuah keluarga sakinah.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Tujuan berumah tangga atau berkeluarga adalah untuk mencari ketenangan dan ketenteraman atas dasar mawaddah dan rahmah, saling mencintai, dan penuh rasa kasih sayang antara suami isteri. (Ar-Rum: 21)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu meminang seseorang perempuan, maka dia dibolehkan untuk melihat perempuan tersebut sekiranya tujuannya adalah untuk meminangnya, sekalipun tanpa diketahui oleh perempuan itu.’’ MAISARAH SHEIKH RAHIM & SOFIAN BAHAROM Utusan/Bicara_Agama/20140925

Tanah Suci dulu, kini dan menjelang 2017

KATA seorang petugas Tabung Haji, dia mencari-cari deretan kedai di pekarangan 100 meter dari Maktab 83, Hotel Abraj Al-Janadariyyah - 900 meter dari Masjidil Haram - sebaik sahaja memasuki Kota Mekah awal bulan ini.

"Tiada… tidak ada kelihatan… lapang tempat itu," katanya sambil menyatakan kepada penulis; "...tahun depan kalau rakan anda dari Utusan Malaysia datang pula ke sini, dia tidak akan berkongsi panorama sama dengan anda."

Pembangunan kota Mekah dan Madinah ketika ini rancak. Giat dijalankan oleh pekerja-pekerja kontrak, sebahagian besar dari Asia Selatan, di sebalik ketekunan jemaah seluruh dunia yang semalam sahaja mencecah lebih sejuta mengisi ruang-ruang solat Masjidil Haram.

Kawasan Baitullah


Projek pembesaran Masjidil Haram ketika ini di peringkat perluasan bangunan menempatkan laluan Saie dari Bukit Safa ke Bukit Marwah (kelihatan bangunan menganjur di atas sebelah kiri dekat dataran Kaabah). Projek pembesaran baharu meliputi separuh paparan replika model gambaran artis seperti tertera yang dijadual siap sepenuhnya pada 2017.

Dijangkakan jemaah melepasi 2.5 juta menjelang beberapa hari wukuf di Arafah minggu depan.

Di Masjidil Haram, bukan sahaja jemaah haji Malaysia 'hilang seketika' empat hingga lima jam dalam mengesan laluan pulang ke hotel penginapan, jemaah negara lain pun sama senasib. Kalau tidak ditanda pintu mana laluan masuk, nescaya boleh tersasar.

Projek pembesaran Masjidil Haram yang turut melibatkan kerja-kerja perluasan mataf atau aras bertingkat tawaf termasuk dalam projek pembangunan tanah suci bernilai lebih SR300 bilion yang sedang dilaksanakan di Mekah.

Ini bertujuan memperbaiki perkhidmatan yang diberikan kepada berjuta-juta jemaah yang datang untuk haji dan umrah. Dan bukan bertujuan membuat sebarang keuntungan kewangan bagi negara itu.

Projek pembesaran Masjidil Haram yang terbesar dalam sejarah itu dijalankan di kawasan seluas 400,000 meter persegi. Ia akan menggandakan kapasiti masjid sehingga mampu menampung dua juta jemaah.

Projek Masjidil Haram ini mempunyai enam komponen utama iaitu perluasan di dalamnya, pembinaan jambatan dan laluan pejalan kaki, bangunan perkhidmatan yang baru, pusat-pusat kesihatan, pejabat pertahanan awam, stesen pendingin hawa pusat dan loji tenaga simpanan.

Terdapat rancangan untuk membina lebih banyak laluan dan terowong sekitar masjid sebagai sebahagian daripada projek ini. Kerja-kerja perluasan mataf di sekeliling Kaabah giat dilakukan dengan merobohkan struktur lama di sekitar Kaabah.

Penyiapan peringkat kedua akan meningkatkan kapasiti mataf untuk menampung sehingga 75,000 jemaah yang bertawaf setiap jam.

Kerja-kerja pembesaran di Al-Fahd Gate dan kawasan sekitarnya turut sibuk. Bahagian terbuka di utara pintu masjid meliputi Suaimaniya. Ini akan memudahkan pergerakan beribu-ribu jemaah memasuki Masjidil Haram dari pintu utara.

Ini kemudian dihubungkan untuk laluan bersaie manakala orang kurang upaya akan diberi kerusi roda bermotor untuk melakukan urusan haji dengan mudah.

Bukan setakat pembesaran Masjidil Haram, bahkan melibatkan projek pengangkutan awam di Mekah menelan kos SR69 bilion. Ini termasuk sistem metro yang akan memastikan aliran lancar lalu lintas di dalam bandar.

Raja Abdullah, penjaga dua kota suci positif mahu meningkatkan kapasiti semasa Mina dan menghubungkan tempat suci Mekah dengan sistem pengangkutan maju.

Perkembangan berterusan Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (Kaia) di Jeddah akan meningkatkan kapasitinya kepada 80 juta penumpang. Kaia adalah pintu masuk utama jemaah.

The Haramain kereta api pula akan mengurangkan masa menunggu jemaah di Kaia dan akan membawa lebih tiga juta penumpang setiap tahun.

Kereta api menghubungkan Mekah dan Madinah melalui Jeddah dikatakan sepanjang 480 kilometer.

Kerajaan Arab Saudi merancang menubuhkan sebuah bandar yang sepenuhnya didiami jemaah haji di Mekah dengan dilengkapi unit-unit perumahan, pejabat pembekal perkhidmatan haji dan pusat pameran.

Laluan antara Safa dan Marwah di dalam masjid, juga dijangka meningkatkan kapasitinya kepada 188,000 jemaah sejam.

Tiga tahun lagi, dijadualkan 2017 - Masjidil Haram tertera lengkap dengan artistik panorama sepenuhnya.  Khabar Dari Mekah Utusan/Rencana/20140926

Guna teknologi ke jalan akhirat

Kalau kita ditanya apakah musuh utama negara? Pasti kita akan menjawab dadah musuh utama negara. Kerana ia mengkhayalkan, merosakkan kesihatan dan akal fikiran manusia. Tetapi kita juga maklum bahawa ada sebahagian daripada kalangan dadah ini amat berguna sebagai penahan sakit. Contohnya morfin.

Sememangnya ia sebahagian daripada dadah yang kuat sifatnya. ‘Top five’. Namun amat berguna dalam dunia perubatan moden. Jadi, adakah kenyataan itu bersifat hakiki atau bersifat metafora? Adakah dadah yang menjadi musuh negara atau sifat pengguna dadah itu yang jadi persoalannya?

Salah guna media sosial Umum memberikan respon yang pelbagai tatkala Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan berhubung ura-ura kajian akan dilakukan di peringkat dasar kewajaran menutup laman sosial Facebook (FB) di Malaysia atau tidak. Ini berikutan pelbagai penyalahgunaan media sosial itu sejak kebelakangan ini. Sungguhpun kes salah guna yang dilaporkan dalam kitaran 2,000 kes sahaja, kekhuatiran suasana ini menjadi semakin parah sudah cukup untuk mewajarkan isu ini dilihat secara lebih serius.


Di antara keunikan ciri-ciri agama Islam yang tidak terdapat dalam mana-mana agama atau kepercayaan lain, disebut sebagai al-Thabat wa al-Murunah. Al-Thabat umumnya membawa erti ada perkara tertentu dalam Islam yang tidak boleh diubah atau dikompromi walaupun mungkin akal logik manusia mengatakan seolah-olahnya ada keperluan untuk diubah. Kekal selama-lamanya. Lazimnya konteks yang tidak dibenarkan ini apabila ia membabitkan persoalan dasar, prinsip, maruah serta imej yang berkaitan dengan ajaran serta umat Islam. Ringkasnya, dalam keadaan tertentu inilah Islam tidak mengikut zaman. Mesti ada beza dengan kepercayaan lain.

Al-Murunah pula umumnya membawa maksud ada perkara tertentu yang Islam berikan ruang pada manusia untuk menambah baik sistem kehidupan sedia ada. Selama mana perubahan atau pemerkasaan itu masih berada di dalam rangka dan prinsip Islam yang adil dan harmoni, ia dibenarkan. Dalam konteks ini, kita katakan Islam mengikut zaman. Di sinilah dapat kita perhatikan Islam itu bersifat rahmat dan relevan sepanjang zaman hingga dunia ini bertemu dengan kiamat.


Persoalan teknologi komunikasi satu persoalan medium bagi manusia untuk berinteraksi serta melakukan pelbagai urusan yang boleh mendatangkan manfaat. Ia termasuk dalam persoalan al-Murunah. Dengan kepantasan teknologi, perniagaan atas talian berkembang. Tautan silaturrahim berpadu. Penyebaran ilmu merata alam. Hinggakan kita dapat mengetahui segala insiden yang berlaku di sudut dunia lain secara langsung. Andai dilihat kepada Facebook sahaja, dilaporkan penggunanya di Malaysia sahaja dianggarkan berjumlah hampir 15.5 juta. Mewakili hampir 60 peratus rakyat Malaysia.


Tidak cukup dengan Facebook yang dipantau melalui komputer di rumah atau pejabat yang sifatnya statik, kita dilambakkan dengan pelbagai aplikasi media bersifat ‘mobile’. Ia menjalar masuk ke dalam ‘smartphone’ yang dimiliki oleh warga dunia.

Andai ditanya, siapakah yang mencipta semuanya ini? Secara realistik, ia tidak datang daripada kalangan Muslim. Datangnya daripada mereka yang tidak melihat nilai-nilai hidup sebagai asas dan dasar perkiraan dalam banyak perkara, apatah lagi dalam konteks teknologi. Persoalannya, adakah Islam menolak mentah-mentah kemajuan teknologi dan komunikasi ini? Kita tegaskan tidak. Manfaatkan ia pada jalan kebaikan untuk dunia dan akhirat. Larangan terhenti pada perkara buruk, keji serta segala yang boleh mendatangkan kemudaratan pada individu, masyarakat, negara dan khasnya agama.


Kemajuan seimbang Di sinilah perbezaan dasar yang amat ketara di antara ajaran Islam dan kemajuan yang ditonjolkan Barat. Kemajuan dan pembangunan teknologi mesti seimbang dengan kemajuan agama dan kejiwaan manusia. Hakikatnya seantero dunia hadapi masalah yang sama sebagaimana yang kita hadapi hari ini. Kalau tidak di Facebook, berlaku di aplikasi sosial lain. Wajarkah untuk tutup semuanya juga? Islam amat menegaskan kepentingan ilmu, nilai dan adab dalam setiap tindak-tanduk yang kita lakukan. Berfikir akan kesan tindakan. Rahsia mesti disimpan. Jangan bocorkan soalan peperiksaan. Sensitif dengan semua nilai perbezaan yang ada pada kaum dan agama. Jangan muat naik gambar berpelukan dengan haiwan mughallazah.

Atas dasar inilah umat Islam diwajibkan mencari dan memahami ilmu pengetahuan sebagaimana dalam hakikat yang dipancarkan oleh Allah SWT dalam wahyu-Nya yang pertama pada Rasulullah SAW: “Bacalah (dan fahamilah) dengan nama Tuhanmu Yang Maha Pencipta...”. Tidak semata-mata atas perasaan dan logik.


Perang Salib Selepas tamatnya Perang Salib yang memakan masa hampir 300 tahun, mereka membuat kesimpulan bahawa umat Islam tidak mudah diperangi secara fizikal. Amat payah untuk ditumbangkan. Mereka dapati umat Islam hanya boleh ditewaskan dengan menjauhkan mereka daripada nilai al-Quran dan nilai al-Sunah. Maka lahirlah ‘flat screen society’. Tidak mampu berenggang walau seketika. Andai tertinggal ‘handphone’ di rumah bagai hilang separuh nyawa keadaannya di tempat kerja. Longlai dan tak keruan. Kita disaji daripada sekecil-kecil skrin ‘smartphone’ hinggalah kepada selebar layar putih yang dipancari filem serta hiburan yang melalaikan. Hingga tercipta fesyen ‘jilboobs’ yang jelas bertentangan dengan nilai Islam. Kita kejar sistem canggih, tapi keciciran pada adab dan nilai.


Pemodenan dan kemajuan dari Barat hanya menyediakan platform dan pentas teknologi untuk kita beraksi. Tidak mendatangkan nilai dan etika bersamanya. Lihat pada negara yang mencipta dan mengeluarkan senjata. Tidak logik andai hanya cipta dan simpan dalam gudang. Mesti ada pembeli. Sengketa mesti dicipta. Baru datang kemajuan dalam bidang itu. Logik bukan? Dalam bidang kesihatan, sebahagian saintis mendapati bahawa masyarakat dunia hari ini kebanyakannya berada dalan mod ‘ON’. Sentiasa ‘alert’ dengan notis dan nada panggilan daripada aplikasi yang ada di ‘smartphone’. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sendiri dalam dapatan kajian mereka menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia menghabiskan masa selama sembilan jam sehari secara puratanya di alam maya. Kita tidak cukup tenang dan rehat sedangkan ia asas utama dalam capai kesihatan. Belum lagi kita berbicara mengenai kesan radiasi yang ada walaupun kadarnya mungkin sedikit. Mungkin antara persoalan dasar yang mesti diperkasakan sekarang ialah:

a) Subur dan fahamkan pengguna laman sosial dan media sosial ini berhubung nilai adab dan hidup sebagaimana yang diajarkan agama. Ini kerana medium dan aplikasi pasti berubah sedangkan penggunanya tetap sama, manusia. Ada kepentingan dan kehendak. Baiki sesempurnanya di sini. SKMM boleh menambah pelbagai iklan atau ‘pop-up’ yang berkaitan dengan nilai-nilai agama, kemanusiaan dan kenegaraan dalam setiap jaringan akses yang ada. Lambat-laun pasti ada kesan.

b) Kawal dan pantau secara lebih efektif terhadap laman yang boleh dilayari dengan menghadkan akses.. Baiki dan pelajari sistem sebagaimana yang dijalankan oleh sebahagian negara lain dalam menangani isu sebegini. Ahmad Fahim Robani pensyarah di Universiti Multimedia, Melaka. MyMetro Setempat Jumaat 26/09/2014

Bina impian untuk dicapai

Seorang guru kepada Thomas Alva Edison pernah mengatakan bahawa dia terlalu bodoh untuk mempelajari sesuatu perkara.

Bagaimanapun, dengan pendidikan formal hanya selama tiga bulan, dia diiktiraf sebagai seorang pencipta terulung sepanjang zaman.

Apabila meninggal dunia pada 1931, pencipta dan ahli perniagaan Amerika Syarikat itu memegang 1,300 hak paten di seluruh dunia.

Itu perihal orang bukan Islam. Bagaimana pula dengan kita? Ternyata ramai dalam kalangan kita apabila diberitahu sesuatu perkara tidak boleh dilakukan, kita akan berputus asa. Kita hilang minat untuk terus mencuba.

Manusia hari ini kebanyakannya adalah daripada golongan yang tidak bahagia dan berpuas hati dengan kehidupan mereka.

Mereka adalah daripada golongan yang tidak mempunyai pencapaian dan impian hebat dalam hidup. Hal berkenaan membuatkan mereka berasa kekurangan dan rendah diri.

Justeru, ada yang mencari jalan untuk membuatkan diri mereka berasa hebat dan salah satu jalan yang paling mudah adalah dengan merendah-rendahkan orang lain.

Kita mungkin bercita-cita untuk menjadi pelajar terbaik di sekolah, tetapi rakan memperkecilkan hasrat itu.

Mereka mengejek-ejek anda kononnya perkara itu hanya angan-angan. Mereka memberikan 1,001 alasan mengapa anda tidak mampu untuk melakukan perkara berkenaan.

Sebenarnya, mereka bertindak sedemikian kerana rasa rendah diri bimbang pencapaian anda melebihi pencapaian mereka.

Hakikatnya, orang yang berjaya tidak akan memperkecil-kecilkan pencapaian orang lain kerana mereka sibuk memikirkan pencapaian sendiri.


Dalam sebuah buku yang saya pernah baca, ada dua langkah utama yang perlu kita ambil dalam membuat keputusan:

1. Sebelum membuat sesuatu keputusan, pastikan keputusan yang akan kita ambil nanti adalah selaras dengan syariat Islam. Lakukan solat sunat istikharah untuk meminta petunjuk Allah.

Kesilapan biasa yang dilakukan oleh sesetengah orang adalah membuat keputusan mengikut cita rasa sendiri terlebih dulu dan kemudian barulah berdoa supaya sasaran itu berjaya dicapai.

Kita adalah manusia biasa yang mempunyai kemampuan akal terhad. Sesuatu yang kelihatan pilihan terbaik pada masa kini mungkin bukanlah pilihan bagus untuk masa hadapan, malahan mungkin mendatangkan masalah.

Sebagai contoh, seorang sahabat saya yang bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa sewaktu zaman bujangnya memperoleh pendapatan belasan ribu ringgit. Oleh sebab kecemerlangan dan dedikasi terhadap kerja, dia ditawarkan biasiswa untuk menjalani latihan profesional. Tetapi dia terikat dengan kontrak untuk bekerja sekurang-kurangnya lima tahun dengan syarikat itu.

Tidak lama selepas tamat pengajian, dia berkahwin dan mula berhadapan dengan konflik rumah tangga. Jadual kerjanya yang memerlukan dia berada di luar negara selama tiga bulan, bercuti sebulan dan pulang bekerja selama tiga bulan di luar negara. Namun, pada tahap itu gaji yang besar tidak lagi memberikan kebahagiaan kepadanya.

2. Rujuk dan cari maklumat secukupnya terlebih dulu. Internet hari ini menghidangkan pelbagai sumber maklumat dan kita perlu bijak menilai sumber berkredibiliti untuk dijadikan sebagai rujukan. Berjumpa juga dengan pihak yang berkelayakan seperti kaunselor dan individu yang berjaya dalam bidang diceburi. Minta nasihat dan pandangan mereka mengenai perancangan anda terutamanya risiko dan peluang. Kejayaan meninggalkan jejaknya. Dalam sistem peperiksaan kita, meniru adalah perbuatan yang dilarang sama sekali. Namun, dalam kehidupan sebenar, proses meniru adalah proses yang akan mempercepatkan kejayaan. Mengapa? Hal ini kerana terbukti cara yang digunakan sudah mendatangkan hasil. Cuma mungkin perlu diubah suai serba sedikit mengikut keperluan dan kesesuaian semasa.


Namun, harus diingat usaha yang kita lakukan itu hendaklah selari dengan syariat Islam. Bukan meniru perkara buruk atau haram, tetapi perkara baik dan terpuji. Hilmi Isa Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang boleh dihubungi melalui Facebook Hilmi Isa (Psikologi Bahasa) myMetro Addin Jumaat 26/09/2104