September 29th, 2014

Memiliki rumah, impian atau realiti golongan muda?

MEMILIKI rumah yang selesa adalah impian golongan muda. Pada usia ini pastinya mereka bersemangat untuk memperoleh sesuatu serta optimis terhadap cita-cita atau impian termasuklah memiliki rumah sebagai aset.


Bahkan jika diukur pada tahap umur golongan muda yang berusia antara 23 hingga 40 tahun, sepatutnya mereka sedang atau telah membina tapak yang kukuh untuk kehidupan masa depan terutama telah memasuki pasaran kerja yang tetap, berkeluarga dan mempunyai kualiti hidup yang baik. Kualiti hidup yang baik seringkali dihubungkait dengan memiliki rumah yang selesa. Namun begitu sejauh manakah golongan ini telah memiliki kediaman sendiri atau masih lagi menyewa?

Satu kajian menunjukkan bahawa negara kita menduduki tangga ke-15 dalam kalangan negara yang mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi pada suku tahun pertama 2014. Rentetan harga pasaran rumah yang terus melambung tinggi dan tidak selari dengan pendapatan mereka kemungkinan hasrat dan impian golongan muda ini untuk memiliki rumah sendiri mungkin terkubur.

Malah satu kajian yang diperoleh daripada Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati hampir 60 peratus kakitangan awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Kenaikan harga rumah ini pastinya me­nimbulkan keresahan dalam kalangan golongan muda. Malah kenaikan ini juga pastinya memberi kesan terutamanya golongan bumiputera untuk memiliki rumah sedangkan Islam meletakkan pemilikan rumah atau tempat tinggal adalah salah satu daripada keperluan al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak.

Menurut Imam as-Syatibi bahawa al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian besar. Dalam hal ini Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam.

Justeru, pandangan dalam situasi ini perlulah diberi perhatian secara serius oleh semua pihak. Walau bagaimanapun, hari ini rata-rata golongan muda apabila memasuki pasaran kerja lebih mengutamakan untuk memiliki kenderaan berbanding rumah. Dalam situasi ini kita tidak boleh sesekali menyalahkan mereka. Hal demikian kerana memiliki ken­deraan juga adalah salah satu keperluan hidup terutama yang tinggal di bandar-bandar besar memandangkan negara kita dianggap belum cukup baik dari segi kemudahan pengangkut­an awam dan infrastrukturnya.

Barangkali inilah sebabnya golongan muda yang memasuki alam pekerjaan memerlukan kenderaan mendahului memiliki rumah. Antaranya untuk memudahkan perjalanan berulang-alik ke tempat kerja.

Jika situasi ini terus berlaku, kita akan melihat aliran pendapatan bulanan pastinya akan diagihkan untuk pembiayaan kenderaan itu. Maka mampukah wang selebihnya itu digunakan sebagai membayar wang pendahuluan 10 peratus untuk memiliki rumah atau transaksi lain? Inilah persoalan besar yang sering menghantui golongan muda di bandar.

Oleh itu, apakah ada mekanisme yang boleh digunapakai untuk diperhalusi masalah anak muda terutama bumiputera memiliki kediaman sendiri?

Walaupun kerajaan mengambil pelbagai pendekatan holistik untuk meningkatkan pemilikan rumah di negara ini, misalnya melalui Skim Rumah Pertamaku (SRP), Program Rumah 1Malaysia (PR1MA) dan baru-baru ini memperkenalkan skim sewa beli bagi membantu pemohon PR1MA yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank, namun berapa ramai yang masih tidak tahu tentang skim ini? Atau apakah skim yang ditawarkan itu amat bermanfaat dalam membantu golongan muda yang belum memiliki rumah?

Sungguhpun begitu, melihat kepada harga pasaran rumah untuk membeli kediaman yang sederhana yang sesuai di peringkat bawah umur 30 tahun adalah hampir mustahil sekiranya harga rumah hari ini terus melambung tinggi. Dalam situasi ini dicadangkan agar pihak-pihak tertentu membuat kawalan harga ke atas semua bahan binaan termasuklah harga simen, pasir, besi dan sebagainya.

Di samping itu, kewujudan agen hartanah yang boleh dikatakan mengaut keuntungan atas angin walhal rumah tersebut bukanlah aset mereka perlulah dikurangkan. Kewujudan agen hartanah ini juga dikatakan menyumbang kepada punca harga rumah melambung dengan spekulasi yang dianjurkan. Hal sedemikian menjadikan golongan muda semakin sukar memiliki rumah.

Oleh itu, beberapa pendekatan lain perlu difikirkan akar umbi. Salah satunya adalah meningkatkan sikap kepedulian terhadapa pasaran hartanah dalam negara kita. Untuk memiliki sebuah rumah idaman misalnya setiap anak muda perlu turut meningkatkan ilmu, cara dan kemahiran tertentu untuk memudahkan mereka membeli rumah.

Pengetahuan ilmu mengenai jual-beli hartanah perlu ditingkatkan bukan selepas memasuki pasaran kerja sahaja tetapi diberi pendedahan pada peringkat awal di sekolah dan seterusnya di universiti.

Apabila mereka tahu cara bagaimana dan pentingnya untuk memiliki sebuah rumah atau ada garis panduan membeli rumah mungkin lebih memudahkan mereka untuk membuat pembelian dengan cepat.

Di samping itu, golongan muda perlu sedar dan peka dengan tawaran yang baik untuk membeli rumah. Profil sejarah syarikat pemaju hartanah yang baik boleh dijadikan panduan untuk membeli hartanah tersebut supaya dapat disiapkan dalam tempoh masa tertentu dan mereka tidak perlu menunggu terlalu lama atau bimbang rumah yang dibeli terbengkalai.

Dokumentasi yang ketat yang dikenakan dan prosedur yang rumit turut menyumbang kepada sukar dan tertangguhnya untuk golong­an ini memiliki rumah. Justeru, adalah lebih baik untuk meletakkan garis panduan dan senarai bank-bank terpilih untuk memudahkan mereka membeli rumah dan tidak mudah tertipu dengan agen tidak berdaftar yang menjadi orang tengah.

Pun begitu, syarat meletakkan orang yang berpendapatan tinggi tidak boleh membeli rumah kos rendah adalah satu tindakan yang baik kerajaan lakukan bagi membantu golongan muda ini memiliki rumah tersebut termasuk peranan kerajaan dalam mengetatkan lagi undang-undang penjualan dan pembelian hartanah kepada warga asing.

Mungkin ada lagi beberapa panduan atau indikator lain yang boleh membantu golongan muda hari ini untuk memiliki rumah. Rumah idaman ini juga perlu diukur dengan tahap kemampuan untuk membayar balik ansuran bulanan tersebut. Fikirlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan membeli rumah sendiri supaya pemilikan rumah itu bukan lagi sekadar memenuhi impian tapi dapat meningkatkan kualiti hidup.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan/Rencana/20140929

Memupuk rasa cinta kepada organisasi

Cinta kepada organisasi bukanlah mudah untuk disemai. Namun, ia ciri organisasi yang berjaya. Rasa cinta ini sebenarnya sangat penting untuk melahirkan kesetiaan, ketaatan dan disiplin yang cemerlang.

Pendek kata, rasa cinta dapat menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada pekerja untuk berdepan dengan susah senang bagi menjayakan segala matlamat, visi dan misi disasarkan organisasinya.

Perasaan cinta tidak dapat dilihat dan sukar dijelaskan, tetapi ia dapat dirasai kerana akan meninggalkan kesan melalui perbuatan. Kemuncaknya, seseorang itu apabila sampai kepada cinta sejati, dia akan sanggup berkorban demi mempertahankan cintanya itu.

Sebagaimana golongan sahabat yang sanggup mengorbankan harta, waktu dan tenaga, bahkan diri mereka demi mempertahankan cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Seterusnya, bagi menyemai rasa cinta kepada organisasi, perlu diwujudkan suasana ukhuwah dalam kalangan warga kerja. Ia boleh bermula di peringkat majikan atau pengurusan tertinggi terlebih dahulu. Sikap lemah-lembut, bertolak-ansur dan sayang-menyayangi adalah elemen paling penting agar hubungan kekeluargaan serta adik-beradik dapat diwujudkan.


Banyak organisasi pada hari ini menghadapi masalah kekurangan pekerja mahir dan berpengalaman. Ini disebabkan organisasi itu gagal mengekang budaya ‘cabut lari’ dalam kalangan tenaga kerja.


Akhirnya, pihak syarikat terpaksa mencari pengganti kurang berpengalaman atau sudah berpengalaman, tetapi dengan bayaran gaji lebih tinggi. Walaupun dinaikkan gaji dan pangkat, tetap gagal membendung sikap ‘cabut lari’ dalam kalangan pekerja.

Bahkan, ada segelintir pekerja lantang memburukkan organisasinya secara terbuka di Facebook, Twitter, blog dan medium lain. Ada sanggup dedahkan rahsia organisasi kepada pesaing dengan tujuan menjatuhkan organisasinya.

Semua ini berlaku bertitik-tolak daripada tandusnya rasa cinta kepada organisasi. Hakikatnya, menjaga sekumpulan pekerja agar cinta, setia dan taat bukanlah mudah sebagaimana disangka. Ia memerlukan penerapan yang mengambil masa agak lama.

Tidak cukup dengan cogan kata indah, namun gersang daripada sebarang erti. Justeru, beberapa langkah positif perlu diambil majikan bagi membina dan menyemai perasaan cinta dalam diri warga kerjanya.

Pertama, cinta kepada organisasi mestilah dibina atas asas yang betul iaitu cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada Rasul SAW. Ini kerana cinta kepada keduanya adalah paksi cinta kepada selainnya.

Diriwayatkan daripada Anas RA katanya, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Nasai)

Sekiranya cinta kepada Allah dan Rasul diletakkan pada tempat paling tinggi, pekerja tidak akan melakukan penyelewengan, pecah amanah dan khianat kepada organisasinya.

Oleh sebab itu, orang yang meletakkan cinta kepada dunia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul akan menerima kehancuran, sebagaimana diterangkan pada ayat 24, surah at-Taubah.

Seterusnya, bagi menyemai rasa cinta kepada organisasi, perlu diwujudkan suasana ukhuwah dalam kalangan warga kerja. Ia boleh bermula di peringkat majikan atau pengurusan tertinggi terlebih dahulu.

Sikap lemah-lembut, bertolak-ansur dan sayang-menyayangi adalah elemen paling penting agar hubungan kekeluargaan serta adik-beradik dapat diwujudkan.

Firman Allah bermaksud: “Nabi Muhammad itu Rasulullah; dan orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang kafir dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri...” (Surah al-Fath, ayat 29)

Bagi menjayakan agenda pemurnian kasih sayang ini, strategi berkesan perlu dilakukan, antaranya dengan mencipta slogan yang boleh melahirkan rasa kepunyaan dalam diri setiap warga kerja, sekali gus mewujudkan budaya kerja amanah dan dedikasi.

Majikan dan pekerja juga perlu menjaga tutur kata dan mengawal kemarahan. Gunakanlah perkataan sesuai pada tempatnya. Maaf juga adalah budaya patut disemai dalam organisasi khususnya apabila melakukan kesalahan.

Biasakanlah meminta maaf kerana ia tidak akan sekali-kali merendahkan martabat kita. Hanya orang yang ego tidak tahu meminta maaf.

Akhirnya, elemen yang tidak kurang penting untuk mewujudkan kesetiaan ialah ganjaran setimpal terhadap tanggungjawab diamanahkan.

Ia juga menjadi faktor kesetiaan seseorang kepada organisasinya. Wan Jemizan W Deraman dan Ahmad Termizi Mohamed Din dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn Bhd myMetro Ad Din 2013/06/03

Membina rasa cinta kepada organisasi

Antara ciri-ciri organisasi yang berjaya ialah apabila mempunyai warga kerja yang cinta kepada organisasi. Rasa cinta itu sebenarnya sangat penting untuk melahirkan kesetiaan, ketaatan dan disiplin yang cemerlang.

Pendek kata, rasa cinta dapat menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada pekerja untuk berdepan dengan susah atau senang bagi menjayakan segala matlamat, visi dan misi yang disasarkan oleh organisasinya.

Sekadar memetik sepotong dialog drama Melayu "Demi cinta, lautan api pun aku sanggup renangi". Demikianlah, betapa besarnya kesan dan implikasi cinta.

Cinta kepada organisasi bermaksud seseorang itu mempunyai rasa kasih dan sayang kepada organisasi yang menaunginya dengan menunjukkan kesetiaan, ketaatan dan ketekunan untuk membina kejayaan organisasinya.

Cinta adalah perasaan yang tidak dapat dilihat dan dijelaskan, tetapi ia dapat dirasai kerana akan terkesan melalui perbuatannya. Kemuncaknya, seseorang itu apabila telah sampai kepada cinta yang sejati, dia akan sanggup berkorban demi mempertahankan cintanya itu.

Sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang sanggup mengorbankan harta, masa, tenaga bahkan diri mereka demi mempertahankan cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Banyak organisasi pada hari ini menghadapi masalah kekurangan pekerja yang mahir dan berpengalaman. Ini disebabkan ia gagal mengekang budaya cabut lari di kalangan tenaga kerja.

Akhirnya, pihak syarikat terpaksa mencari pengganti yang kurang berpengalaman atau sudah berpengalaman tetapi dengan bayaran gaji yang lebih tinggi. Walaupun telah dinaikkan gaji dan pangkat, namun tetap gagal membendung sikap cabut lari di kalangan pekerja.

Bahkan, ada segelintir pekerja yang lantang memburukkan organisasinya secara terbuka di facebook, twitter, blog dan medium-medium yang lain.

Malahan, ada juga yang sanggup mendedahkan rahsia organisasi kepada pesaing-pesaing dengan tujuan menjatuhkan organisasinya. Semua itu berlaku sebenarnya bertitik-tolak daripada tandusnya rasa cinta kepada organisasi.

Hakikatnya, menjaga sekumpulan pekerja supaya cinta, setia dan taat kepada organisasi bukanlah mudah sebagaimana yang disangka.

Ia memerlukan penerapan yang mengambil masa yang agak lama. Tidak cukup dan tidak memadai dengan cogan kata yang indah namun gersang dari sebarang erti.

Cara semai cinta

Justeru, beberapa langkah positif perlu diambil oleh majikan bagi membina dan menyemai perasaan cinta dalam diri warga kerjanya kepada organisasi.

Pertama, cinta kepada organisasi mestilah dibina di atas asas cinta yang betul iaitu cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada Rasul SAW. Ini kerana cinta kepada kedua-duanya adalah paksi kepada cinta kepada selainnya.

Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi SAW bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka. (riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasaie)

Sekiranya cinta kepada Allah dan Rasul diletakkan pada tempat yang paling tinggi, maka pekerja tidak akan melakukan penyelewengan, pecah amanah dan khianat kepada organisasinya.

Sebab itu, orang yang meletakkan cinta kepada dunia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul akan menerima kehancuran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq". (at-Taubah: 24).

Seterusnya, bagi menyemai rasa cinta kepada organisasi, perlu diwujudkan suasana ukhuwah dan persaudaraan di kalangan warga kerja. Ia boleh bermula di peringkat majikan atau pengurusan tertinggi terlebih dahulu.

Sikap lemah-lembut, bertolak-ansur dan sayang-menyayangi adalah elemen paling penting agar hubungan kekeluargaan serta adik-beradik dapat diwujudkan.

Justeru, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ... Nabi Muhammad (SAW) adalah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)... (al-Fath: 29)

Bagi menjayakan agenda pemurnian kasih sayang ini, strategi yang berkesan perlu dilaksanakan.

Antaranya, dengan mencipta cogan kata atau slogan yang boleh melahirkan sense of belonging atau rasa kepunyaan dalam diri setiap warga kerja sekali gus dapat mewujudkan budaya kerja yang amanah dan berdedikasi.

Majikan dan pekerja juga perlu menjaga tutur kata dan mengawal kemarahan. Gunakanlah perkataan yang sesuai pada tempatnya.

Maaf juga adalah budaya yang patut disemai dalam organisasi khususnya apabila melakukan kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja.

Ia mungkin kesalahan kecil, namun dapat memberikan impak terutamanya kepada perasaan orang lain. Justeru, lazimilah meminta maaf kerana ia tidak akan sekali-kali merendahkan martabat kita. Hanya orang yang ego sahaja yang tidak tahu meminta maaf.

Akhirnya, elemen yang juga penting untuk mewujudkan kesetiaan adalah ganjaran yang setimpal terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Ia juga menjadi faktor kesetiaan seseorang kepada organisasinya. WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN  Utusan Malaysia Bicara Agama 23/11/2011