October 6th, 2014

Peraturan untuk dipatuhi, bukan bahan gurauan

PERNAHKAH  anda melihat pemandu sambil lewa melanggar lampu isyarat atau memandu di lorong kecemasan? Biasakah kita melihat orang membuang sampah merata-rata termasuklah membuang sampah keluar daripada kenderaan mereka? PERNAHKAH anda mengunjungi tempat awam yang sudah terpampang papan tanda larangan merokok tetapi, ada sahaja orang yang tanpa segan silu merokok di situ?


Semua ini adalah contoh pelanggaran peraturan yang biasa berlaku. Keadaan sebegini boleh dilihat di mana-mana. Mereka yang melakukannya pula bukan sahaja tidak menunjukkan rasa bersalah, tetapi turut tiada rasa malu terhadap perilaku tidak sopan tersebut. Ini menimbulkan persoalan sama ada melanggar peraturan itu satu perkara mudah atau adakah perbuatan itu menimbulkan rasa seronok?

Hakikatnya, kehidupan manusia penuh dengan peraturan. Keadaan ini telah membentuk sikap manusia yang berbeza-beza terhadap peraturan. Ada yang tekun mematuhi peraturan pada setiap masa. Orang sebegini kadangkala dipandang sinis dan dianggap sebagai "lurus bendul." Anggapan sebegini sebenarnya bukanlah anggapan positif tetapi lebih kepada anggapan berbentuk ejekan.

Ada pula yang bersikap acuh tak acuh atau sambil lewa terhadap peraturan. Insan sebegini mematuhi peraturan "mengikut mood" atau dengan kata lain, mematuhi peraturan bila perlu sahaja. Misalnya, jika ada polis, barulah dia mengikut peraturan. Jika tidak, semua peraturan akan dilanggar.

Tidak ketinggalan juga mereka yang "ketegar" terhadap peraturan. Bagi orang sebegini, peraturan tidak relevan atau tidak sesuai mengikut prinsip hidupnya. Oleh itu, asal sahaja ada peraturan, akan dilanggarnya. Bagi individu ini, melanggar peraturan adalah satu kemegahan.

Secara umumnya, ada peraturan yang bertulis dan ada juga yang tidak bertulis. Peraturan bertulis merujuk kepada peraturan-peraturan yang disepakati ahli masyarakat dan jika tidak dipatuhi, hukuman tertentu akan dikenakan. Contoh peraturan bertulis adalah berkaitan lalu lintas, peraturan kerja di pejabat, undang-undang dalam negara, hukum-hukum agama dan sebagainya.

Peraturan tidak bertulis pula lebih umum sifatnya. Peraturan jenis ini berkait rapat dengan adat tradisi atau budaya masyarakat setempat. Bagi peraturan jenis ini, jika berlaku ketidakpatuhan, hukumannya lebih berbentuk hukuman sosial. Peraturan tidak bertulis ini amat berkaitan dengan hal-hal adab seperti adab dalam hubungan kemasyarakatan seperti hubungan kejiranan, suami-isteri, pelajar-guru ataupun adab tingkahlaku seperti adab makan, adab menimba ilmu dan sebagainya.

Apakah pula tujuan peraturan? Matlamat peraturan ada kaitannya dengan konsep maslahah. Amnya, maslahah membawa maksud "mencari manfaat dan menolak kerosakan atau kebinasaan." Dalam pandangan hidup Islam, maslahah membawa makna yang lebih besar iaitu "mencari manfaat dan menolak kerosakan seperti yang ditentukan oleh Yang Maha Kuasa."

Ini bermakna kebaikan yang dicari dan keburukan yang cuba dielakkan hendaklah selari dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT. Konsep maslahah memberi keutamaan kepada masyarakat dengan kata lain, keutamaan diberikan kepada masyarakat dan bukannya individu.

Oleh itu, mematuhi peraturan bertujuan membawa manfaat dan mengelakkan kebinasaan. Sebagai contoh, orang yang tidak merokok akan memberi manfaat kesihatan kepada dirinya dan dapat pula menghindarikan diri daripada keburukan iaitu penyakit. Bukan sahaja kepada diri sendiri, kesihatan orang lain (ahli masyarakat) dapat dipelihara. Malah, udara turut terjamin kebersihannya.

Ini bermakna peraturan mempunyai matlamat yang murni. Malah sebenarnya manusia amat memerlukan peraturan. Al-Quran sendiri menunjukkan pelbagai bentuk peraturan (hukum) yang perlu dipatuhi oleh manusia misalnya berkaitan minum arak, zina, berhutang, solat dan sebagainya. Peraturan atau hukum ini dibentuk oleh Allah SWT bukan dengan matlamat yang sia-sia. Paling utama adalah untuk menyusun masyarakat agar menjadi masyarakat yang bertamadun dan hidup dalam keharmonian.

Dengan itu, ungkapan bahawa "pe­raturan dicipta untuk dilanggar" adalah tidak tepat sama sekali. Ungkapan ini amat sering disebut dan kadangkala dinyatakan dengan penuh bangga. Jika merujuk kepada segala peraturan yang dicipta Allah SWT itu, adakah ini bermakna Allah SWT mencipta segala peraturan tersebut semata-mata untuk manusia mengingkari atau melanggarnya?

Segala peraturan itu dicipta Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui bahawa manusia memerlukan peraturan tersebut. Tanpa peraturan, kehidupan manusia samalah dengan kehidupan di alam haiwan. Jadi, adakah kita mahu merendahkan diri sehingga ke tahap itu?

Oleh itu, peraturan sepatutnya dihormati dan tidak diingkari. Setiap seorang daripada kita mempunyai tanggungjawab terhadap peraturan itu.

Malah, mematuhi peraturan memerlukan pengorbanan tertentu. Dalam hal ini, kita perlu berkorban untuk tidak melakukan sesuatu yang mungkin amat kita se­nangi, demi kebaikan diri mahupun orang lain.

Sesuatu peraturan yang diwujudkan perlu dipantau dan dikuatkuasakan. Oleh itu, penguat kuasa amat diperlukan bagi memastikan peraturan dipatuhi.

Walau bagaimanapun, tugas penguat kuasa boleh diminimumkan jika ahli masyarakat dengan sendirinya mempunyai kekuatan dalaman atau kekuatan diri untuk mematuhi peraturan.

Kekuatan dalaman inilah yang nampaknya tidak melata dalam masyarakat sehinggakan segala peraturan yang ada dilanggar tanpa rasa gundah. Dalam hal ini, pendidikan, latihan diri, contoh teladan dan kata nasihat diperlukan untuk membentuk kekuatan dalaman atau kekuatan diri agar kita menjadi insan yang hormat dan patuh kepada peraturan. Pandangan IKIM Azrina Sobian ialah Pegawai Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Utusan/Rencana/20141006

Bisik-Bisik Awang Selamat

Aidiladha mengingatkan kita tentang pengorbanan Nabi Ibrahim as yang bersedia menyembelihkan anaknya, Nabi Ismail as demi kepatuhan kepada perintah Allah.

Peristiwa bersejarah ini dicatatkan Allah SWT dalam surah As-Saafaat ayat 103-107 yang bermaksud: "Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian."

Maka, Awang berharap pada Aidiladha ini umat Islam mengambil kesempatan bukan sahaja melaksanakan ibadah korban tetapi juga mengeratkan silaturahim. Cukup-cukuplah kita bertelagah sesama sendiri, buang yang keruh, ambillah yang jernih. Lebih-lebih lagi dalam menangani isu membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita bersatu tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang, ekonomi, berbeza latar belakang fahaman atau politik.

Ingatlah bahawa pengorbanan yang sebenarnya adalah yang berasaskan kesatuan dan perpaduan. Ini menuntut pengorbanan yang berlandaskan ketakwaan dan keikhlasan. Tanpa dua elemen ini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana dituntut Allah SWT.

Perkara itu ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37 bermaksud; " Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya." AWANG - Sedia berkorban. Utusan/Rencana/20141006

Kejayaan memerlukan pengorbanan

Konsep ibadah korban dan pengorbanan membawa maksud tersurat dan tersirat yang seharusnya difahami oleh umat Islam dengan sebenar-benarnya. Setiap kejayaan sama ada di dunia dan akhirat memerlukan pengorbanan sama ada harta dan nyawa. Dalam melaksanakan ibadah dalam kehidupan korban dan pengorbanan mempunyai maksud yang amat luas.

Dalam Islam antara hikmah korban mengingati peristiwa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s. Ini akan menimbulkan rasa kesyukuran atas nikmat Allah SWT. Memberi peluang kepada orang fakir dan miskin untuk merasai daging korban.

Hasil daripada ibadah korban memupuk sifat ikhlas dan menambah ketakwaan kepada Allah SWT, memupuk semangat sedia berkorban, dapat meningkatkan syiar Islam dan memupuk perasaan muhibah. Ia sekali gus dapat mencetuskan semangat mengeratkan silaturahim sesama Islam.

Tujuan asas manusia dijadikan oleh Allah SWT adalah untuk beribadat kepada-Nya. Ibadat adalah salah satu cara untuk mendapatkan keredaan Allah SWT supaya manusia sentiasa berada dalam kebaikan. Ibadat dapat melatih jiwa ke arah kebaikan.

Antara ciri-ciri mukmin yang berjaya sanggup berkorban masa dan tenaga untuk beribadat. Antaranya melalui ibadah solat dan puasa. Sementara itu, bagi mereka yang berzakat pula perlukan pengorbanan harta untuk mengeluarkan zakat.

Begitu juga ibadah haji memerlukan pengorbanan harta dan wang ringgit. Begitulah, juga dengan amalan dan ibadat lain.

Bagi kejayaan perpaduan dalam sebuah negara, rakyat juga perlukan pengorbanan iaitu mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain, saling bekerjasama ke arah kebaikan dalam masyarakat dan memupuk perasaan kasih sayang di antara anggota masyarakat.

Selain itu, pengorbanan juga perlu dilakukan untuk memelihara dan menjaga hak serta sensitiviti orang lain, menghormati agama, maruah dan budaya orang lain. Bertolak ansur dengan jiran dan ahli masyarakat.

Pengorbanan juga perlu dilakukan dengan prihatin terhadap masalah yang dihadapi masyarakat dan berusaha mengatasinya dengan mengamalkan budaya ziarah-menziarahi dan bertanya khabar. Bagi pengorbanan untuk negara, masyarakat perlu sentiasa bersikap positif dan menghindari gejala yang merosakkan negara.

Sebagai pengorbanan dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini, masyarakat harus menjaga perpaduan kerana isu perkauman cepat merebak jika tidak dijaga.

Kestabilan politik dan keamanan negara amat bergantung pada perpaduan masyarakat.

Kejayaan umat Islam dahulu kerana mereka sanggup berkorban. Sebagai golongan muda, perlu berkorban masa dan tenaga untuk belajar bagi menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi kejayaan pada masa datang sebagai pemimpin dan pewaris negara yang akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Menurut Imam al- Ghazali golongan yang sanggup berkorban iaitu golongan Ahlul Najat iaitu orang yang selamat. Mereka hanya menunaikan amalan-amalan yang wajib dan meninggalkan larangan-larangan Allah. Hanya itu yang mereka kerjakan, tidak lebih dan tidak pula kurang.

Bagi golongan dewasa mestilah sanggup berkorban masa dan tenaga mendidik anak-anak sehingga berjaya dengan mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang berbahaya dalam era globalisasi yang penuh dengan cabaran bagi menyumbang ke arah masyarakat yang aman dan harmoni. Ada pandangan mengatakan, jadilah seperti lilin berkorban diri sendiri untuk menerangi orang lain.

Memetik pandangan Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi, untuk menjadi masyarakat yang berjaya yang kita idamkan semua umat perlu berkorban demi menjaga akidah dan keimanan, syiar dan ibadat, pemikiran dan perasaan, akhlak dan kesopanan, adab dan budaya dengan nilai-nilai kemanusiaan dan kepentingan syariat dan perundangan.

Oleh itu, konsep korban dan pengorbanan ini perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian bagi mencapai kejayaan dalam semua bidang.

Tanpa memahami konsep korban dan pengorbanan bukan sahaja akan menyebabkan seseorang itu ketinggalan, malahan tidak akan berjaya di dunia dan akhirat. DR. AMINUDIN MANSOR Utusan/Rencana/20141006

Strategik licik lemahkan Islam

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Umat Islam diingatkan penggunaan laman sosial untuk melemahkan pegangan mereka merupakan strategi licik musuh Islam untuk menjatuhkan agama itu.

Sehubungan itu, Timbalan Imam Besar Masjid Negara, Mohamad Mohd. Zin menyeru umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala ancaman yang boleh membawa kepada kesesatan akidah dan kecelaruan pemikiran serta kelemahan umat Islam.

"Ia selari dengan tujuan agama Islam disyariatkan iaitu untuk memelihara kesucian ajaran Islam dan menyelamatkan umatnya daripada terpesong dan terpengaruh dengan ajaran atau akidah yang menyalahi syariat Islamiah," katanya ketika menyampaikan khutbah bertajuk 'Aidiladha: Pengorbanan Yang Sejati' di Masjid Negara, di sini hari ini.

Mohamad berkata, penyalahgunaan teknologi internet dan telekomunikasi adalah bertentangan dengan tuntutan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat.

"Hari ini sekali lagi kita melihat umat Islam diserang daripada segenap arah dan cara, daripada serangan berbentuk fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya.

"Isu menghina Allah SWT, menghina Rasulullah SAW, menghina ibadah orang Islam, menghina Islam dengan menulis ayat-ayat suci pada pakaian, kasut, selipar, beg, jubin rumah, tatu badan dan lain-lain, cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan institusi Raja secara viral disebarkan secara meluas di alam siber," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk menggunakan apa sahaja strategi yang munasabah termasuk media sosial bagi menangkis segala serangan, propaganda, tipu muslihat musuh Islam dan gerakan yang menggugat kedudukan Islam. Klik untuk melihat dan membaca Sedutan khutbah Aidiladha: Pengorbanan Yang Sejati. Utusan/Dalam_Negeri/20141006