October 8th, 2014

Antara syariah dan prinsip akal

KEWUJUDAN maqasid di sebalik syariah Islam menunjukkan bahawa secara umumnya, setiap undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai ‘illah dan matlamatnya tersendiri yang membawa kepada kebaikan insan. ‘Illah shar’iyyah ini dapat difahami oleh akal manusia berdasarkan kepada penelitian terhadap ajaran yang diturunkan oleh tuhan menerusi wahyu dan ajaran Nabi. Ia bukan turun tanpa tujuan, justeru bersifat tidak rasional atau seperti yang didakwa oleh sebahagian orientalis barat, bertentangan dengan kebaikan manusia.



Maqasid syariah secara ringkasnya bermaksud tujuan, natijah, atau maksud yang dikehendaki oleh syarak melaluli sumber dalil Al-Quran dan As-Sunnah.
Sumber: http://www.wasatiyyah.my/?p=965


Atas nama faham humanisme dan sekularisme, para orientalis sering memperkecilkan dan memburukkan undang-undang Islam dengan menuduhnya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ternyata tuduhan itu bertentangan sama sekali dengan maqasid diturunkan syariah.

Mana mungkin syariah yang diturunkan tuhan dengan matlamat utamanya untuk menjaga maslahah kemanusiaan tiba-tiba mendatangkan hukum-hukum yang akan merosakkan kemaslahatan manusia seperti yang ingin dicapai olehnya sendiri. Yang jelas, apabila mereka menuduh begitu mereka hanya melihat kemanusiaan daripada sudut jasmaniah dan haiwaniah dan gagal untuk memahami manusia sebagai satu kewujudan sejagat yang meliputi unsur jasmaniah dan rohaniah sekali gus.

Kepentingan maqasid syariah

1.Hubungan harmonis antara akhlak, undang-Undang dan akidah

Peranan maqasid syariah dalam memperkukuhkan akhlak akan lebih jelas sekiranya hubungan harmoni antara akhlak dan syariah difahami dengan baik. Akhlak, dalam ertikatanya yang sebenar dalam Islam, adalah matlamat kepada pelaksanaan hukum syariah.

Segala hukum-hakam yang diturunkan oleh tuhan adalah bermuarakan pembinaan akhlak yang mulia dalam diri insan. Al-Quran sendiri sering memberi peringatan terhadap matlamat akhlakiyah apabila mengenakan sesuatu bentuk taklif hukum atau amalan dalam agama.

Misalnya wuduk dikaitkan dengan tujuan kebersihan (al-Ma’idah: 7), solat dikaitkan dengan menjauhkan kemungkaran (al-‘Ankabut:45), zakat dikaitkan dengan pembersihan harta dan mengelakkan harta dibolot oleh orang kaya (al-Hasyr:7), jihad dikaitkan dengan melawan kezaliman (al-Hajj: 39), qisas dikaitkan dengan keadilan (al-Baqarah: 179).

Kesemua matlamat yang dikaitkan oleh al-Quran dengan hukuman dan pertanggungjawaban agama ini jelas berbentuk akhlakiyah. Ini juga bersesuaian dengan salah satu peranan utama pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada manusia iaitu untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Di samping akhlak, akidah yang merupakan landasan kepercayaan kepada keseluruhan kerangka agama juga menjadi asas yang kuat kepada aspek undang-undang di dalam Islam. Penghambaan yang tulus kepada tuhan sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran sebagai tujuan manusia dijadikan (Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk tunduk menghambakan diri kepada-Ku.) (al-Dhariyat: 56) merupakan asas kepada semua aspek ibadat, muamalah dan undang-undang dalam Islam.

Asas penghambaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa pengukuhan daripada aspek keimanan dan akidah. Hakikat ini terbukti dalam sirah Rasulullah SAW apabila wahyu yang diturunkan pada peringkat awal dakwah Rasulullah SAW selama 13 tahun banyak menekankan persoalan akidah dan keimanan sebelum turunnya ayat-ayat berkaitan dengan undang-undang ketika di Madinah.

Jelas di sini bahawa ketiga-tiga aspek akidah, undang-undang dan akhlak adalah merupakan tiga bahagian dalam satu jalinan utuh lagi mesra yang membina kerangka agama Islam secara keseluruhan. Gambaran jalinan erat antara tiga dimensi ini nyata dijelaskan oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang dikenali sebagai hadis Jibril yang menghuraikan agama Islam dengan tiga bahagian utama Islam, iman dan ihsan.

Dalam konteks maqasid syariah, matlamat syariah yang lebih tinggi yang bersifat akhlaqiyah dan aqidiyyah haruslah terus menerus dipertekankan dalam kefahaman terhadap aspek undang-undang Islam. Kegagalan memahami matlamat syariah yang lebih tinggi ini akan hanya menyebabkan syariah atau undang-undang Islam bersifat beku, membatas dan ritualistik.

Misalnya, sekiranya pengajaran solat hanya ditekan kepada rukun dan hukum solat tanpa mengaitkan dengan falsafah solat yang berkaitan dan akhlak menerusi penekanan terhadap keimanan yang kukuh, keperluan pembersihan hati dan khusyuk dan tawaduk kepada tuhan, maka amalan solat tidak akan dapat mencapai matlamatnya yang sebenar iaitu menghambakan diri kepada tuhan dan menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Begitu juga kewajipan ibadat haji, sekiranya seseorang jemaah haji tidak benar-benar memahami falsafah akhlakiyah di sebalik ritual yang dilakukan, maka ibadat hajinya mungkin tinggal seperti rangka yang tiada berisi atau yang lebih buruk akan menjadi fitnah kepada agama apabila tujuan-tujuan duniawi yang lain yang lebih diutamakan dalam ibadah tersebut.

Demikianlah penting maqasid syariah dalam memberikan matlamat yang lebih tinggi dalam pertanggungjawaban syariah, di samping memberikan ruh kepada ibadat dan hukum-hakam yang diturunkan oleh agama kepada seluruh manusia.

Kefahaman yang mendalam terhadap matlamat syariah ini terutama dalam sistem pendidikan agama secara formal atau informal akan bertindak sebagai mekanisme yang lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat.

2. Tindakan menepati matlamat dan tujuan

Seperti yang telah disentuh, maqasid syariah mengandaikan bahawa setiap hukum yang diturunkan mempunyai tujuan dan matlamat yang akhirnya membawa kepada kemaslahatan seseorang Muslim. Dalam menangani keruntuhan akhlak, sesuatu matlamat dan tujuan sesuatu hukum itu haruslah sentiasa menjadi keutamaan.

Kadangkala berlaku keadaan di mana penekanan yang keterlaluan diberikan kepada pelaksanaan hukum sehingga matlamat sebenar hukum itu tidak tercapai. Ibnu Qayyim Jauziyyah memetik kisah Saidina Umar yang tidak menghukumkan seorang perempuan sebagai diceraikan kerana ia menggunakan helah supaya dia diceraikan oleh suaminya.

Kisahnya berlaku apabila perempuan tersebut telah meminta kepada suaminya untuk memanggilnya dengan satu nama, maka si suamipun memanggilnya dengan nama ‘Wahai yang berhati mulia.’ Kemudian perempuan itu mengatakan “Bukan begitu." Suaminya menjawab “Apa yang hendak engkau mahu akau panggil engkau?" Si isteri menjawab, “Panggil aku dengan nama ‘yang Dicerai.’"

Suaminyapun memanggil dengan nama tersebut. Maka perempuan tersebut menemui Saidina Umar dan mengatakan bahawa suaminya telah menceraikannya. Umar memarahinya dan malah memanggil suaminya untuk memarahi juga isterinya sebagai yang dilakukan oleh Umar.

Kisah tersebut menunjukkan bahawa sesuatu hukum itu tidak akan terlaksana sekiranya ia bertentangan dengan tujuan di sebalik hukuman tersebut. Ini sesuai dengan kaedah fikah yang disusun oleh para fuqaha, “Setiap perkara adalah berdasarkan kepada tujuannya (al-umur bi maqasidiha)." Kaedah ini antara lain berasaskan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya segala amalan adalah berdasarkan kepada niat."

Dalam konteks penyelesaian isu keruntuhan akhlak, banyak bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang dilakukan dengan jenama yang kelihatan baik dan berakhlak. Penganjuran majlis-majlis hiburan atas nama ‘kutipan amal’ yang kadang-kala melangkaui batas-batas agama adalah satu contoh tindakan yang tidak menepati tujuan yang dinyatakan.

3.Penekanan terhadap kefahaman sebelum hukuman

Tidak dinafikan bahawa aspek hukum penting sebagai aspek pengawalan dan pemeliharaan. Namun dalam konteks pelaksanaannya, hukuman harus didahului dengan kefahaman yang mendalam terutama terhadap falsafah di sebalik hukuman tersebut.

Amat malang sekali apabila sebahagian masyarakat Islam bukan sahaja tidak mengetahui falsafah di sebalik hukum, malah tidak mengetahi hukum sesuatu perbuatan itu sendiri. Dengan kata lain, sistem pendidikan agama secara keseluruhan dalam masayarakat Islam tidak berjalan dengan baik dan harus diperkasakan.

Pendidikan agama, secara pedagogi harus mendahulukan aspek akidah dan yang menjadi landasan kepada agama sebelum menjelaskan mengenai persoalan hukum-hakam. Ini jelas apabila dilihat dalam tradisi keilmuan Islam, disiplin akidah itu dinamakan usul al-din yang bermaksud, landasan kepada agama sementara disiplin fikih dinamakan furu’ al-din yang merujuk kepada cabangan kepada agama. Imam Abu Hanifah walaupun terkenal sebagai ahli fikah menamakan kitab akidahnya sebagai Fiqh al-Akbar yang menggambarkan kepentingan akidah berbanding bidang-bidang lain.

Kenyataan di atas penting apabila dilihat daripada sudut permasalahan akhlak kerana sebahagian besar daripada kes keruntuhan akhlak adalah disebabkan kejahilan dan kedengkelan ilmu tentang persoalan akidah. Misalnya, kes murtad dalam kalangan generasi muda, apabila diteliti, bukan sekadar disebabkan mereka tidak mengetahui hukum halal dan haram, tetapi disebabkan kelemahan iman yang disebabkan kefahaman akidah yang amat rendah.

4. Keutamaan kepada perkara daruriyyat

Berdasarkan kepada pendekatan maqasid syariah, hal-hal berkaitan dengan daruriyyat mestilah diberi keutamaan. Seperti yang telah disentuh, lima perkara yang dipelihara dalam kategori daruriyyat ialah agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Dalam konteks keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, nampaknya kelima-lima aspek ini nampaknya berada dalam keadaan yang agak tergugat. Aspek agama masyarakat Islam amat membimbangkan apabila ramai dalam kalangan generasi mudah yang tidak mengendahkan suruhan agama disebabkan oleh pengaruh hiburan dan lepas bebas yang telah melanda mereka. Juga disebabkan akidah dan iman yang longgar ada yang akhirnya terjebak dalam gejala murtad. Sementara itu, aspek kedua iaitu jiwa, kejadian bunuh dan keganasan yang berlaku saban hari menunjukkan pemeliharaan aspek ini tidak berjalan dengan baik. Kes-kes dadah dan alkohol dalam kalangan remaja yang begitu banyak menunjukkan aspek ketiga iaitu pemeliharaan akal juga berada di tahap yang amat membimbangkan.

Sementara ancaman terhadap aspek keempat iaitu keturunan jelas besar apabila kes-kes zina dan anak luar nikah bertambah dari sehari ke sehari. Dan yang terakhir, kejadian kecurian, jenayah samun dan rasuah adalah bukti aspek terakhir iaitu harta memerlukan pemerhatian yang serius.

Kesemua ancaman terhadap lima perkara daruriyyat di atas adalah cerminan kepada keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, bersesuaian dengan tuntutan dan matlamat syariah diturunkan, perancangan dan tindakan yang lebih teliti dan serius haruslah diambil oleh semua pihak yang terlibat.

DR. MOHD. FARID MOHD. SHAHRAN Utusan/Bicara_Agama/20141008

Batasan suara wanita

SEORANG wanita ketika berinteraksi dengan kaum lelaki yang bukan muhrimnya, bolehkah dikatakan aurat? Interaksi tersebut boleh terjadi dalam lingkungan kerja, organisasi dakwah ataupun di tempat kuliah ataupun di forum-forum media. Ataupun aktiviti wanita dalam syarahan di tempat umum di mana pendengarnya bukan hanya wanita.

Bagaimana hukumnya suara wanita yang terdengar oleh lelaki. Adakah suara wanita itu aurat?

Seorang wanita yang menghadap Amirul Mukminin Umar bin Khattab r.a ketika beliau hendak membatasi mahar (mas kahwin) baginya, maka dibacakanlah oleh wanita itu firman Allah SWT yang bermaksud: Jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepadanya harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali kepadanya barang sedikitpun. (an-Nisaa: 20)

Seketika itu berkatalah Umar r.a: “Benarlah wanita dan Umar keliru."

Andainya suara wanita itu aurat, pastilah Amirul Mukminin Umar bin Khattab r.a mencegah wanita itu membaca sesuatu.

Dahulu kala, Ummul Mukminin Aisyah r.a, beliau dalam meriwayatkan hadis tidak menuliskannya dalam bentuk tulisan, namun menyampaikannya langsung secara lisan kepada para sahabat Rasulullah SAW.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiripun meluangkan satu hari khusus untuk mengajarkan secara langsung ilmu-ilmu agama Islam kepada para wanita muslimah ketika itu, tanpa perantaraan isteri-isteri baginda SAW. Nabi SAW secara langsung berdialog secara lisan dengan para wanita yang ingin belajar kepada Rasulullah SAW.

Imam Nawawi dalam kitabnya, Raudhatul Talibin menyatakan bahawa pada dasarnya suara wanita bukanlah aurat, akan tetapi hal tersebut boleh berubah hukumnya ketika dalam keadaan ditakuti atau dibimbangi adanya fitnah (sesuatu yang dapat mengganggu khusyuk dalam beribadah).

Adapun hadis yang berbunyi: Shautul mar’ah aurah (suara wanita adalah aurat) bukanlah hadis sahih, sebahagian berpendapat hadis ini daif (lemah) dan sebahagian yang lain, bahkan mengatakannya sebagai hadis maudhuk (palsu).

Dalam surah al-Ahzab, ayat 32, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.

Yang dimaksud dengan tunduk dalam berbicara di sini ialah berbicara dengan sikap yang dapat menimbulkan keberanian orang untuk bertindak yang tidak baik terhadap mereka. Manakala, yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah orang yang mempunyai niat berbuat tidak senonoh dengan wanita seperti zina.

Dengan demikian, wanita muslimah boleh berbicara dengan kaum lelaki asalkan masih dalam batas-batas wajar. Suara seorang wanita bukanlah aurat tetapi bicara atau percakapan yang boleh merangsang dan berlebihan memang itu yang dilarang. Wallahu’alam.

Hukum bersolek

Cantik, comel dan menarik. Kata-kata ini memang berkaitan erat dengan perempuan. Setiap perempuan tentunya ingin penampilan cantik di depan orang lain. Padahal, tinggi rendahnya nilai seorang perempuan tidaklah diukur daripada kecantikan paras wajah dan gayanya.

Bersolek adalah salah satu cara yang dilakukan oleh seorang perempuan agar dirinya terlihat cantik. Hal itu dengan menggunakan bermacam-macam caranya seperti pemerah bibir, pembayang mata dan sebagainya.

Terdapat dua golongan perempuan yang bersolek. Pertama, bersolek secara berlebihan (bertabarruj) dan kedua, bersolek yang dibenarkan.

1.Bertabarruj agar dianggap lebih. Muslimah di zaman kini memang pada kenyataannya sudah tidak dapat lagi membezakan antara bersolek yang dibolehkan dengan bersolek yang berlebihan. Sementara itu, bersolek yang dibolehkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa di antara kamu (para isteri dan ibu) ikhlas tinggal di rumah untuk mengasuh anak-anak dan melayan segala urusan suaminya, maka ia akan memperoleh pahala yang kadarnya sama dengan pahala para mujahidin di jalan Allah. (Rriwayat Bukhari dan Muslim)

Seorang muslimah hendaklah mampu merawat kecantikan wajahnya secara wajar sahaja dan hanya untuk suaminya. Kerana kecantikan dapat membangkitkan rasa memiliki, rasa rindu dan membangkitkan hasrat biologis. Sebab mempunyai isteri yang boleh merawat wajah untuk suaminya adalah suatu kebahagiaan dan kebanggaan tersendiri untuk para suami. IBRAHIM ABDULLAH ialah mantan Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu.: Utusan/Bicara_Agama/20141008

Cabaran hidup berkeluarga

ORANG tua-tua sering berkata, melayari hidup berumah tangga ini sangat bergantung kepada takdir dan nasib. Jika nasib seperti batu, jatuh ke air, ia tenggelam dan jika nasib seperti sabut, jatuh ke air terapunglah ia. Sama ada tenggelam atau terabung, ia tetap suatu takdir Allah SWT dan pasangan tersebut juga perlu ada ikhtiar dan usaha bagi memastikan perkahwinan mereka kekal bahagia sehingga ke akhir hayat dan mereka sekeluarga berada dalam keberkatan-Nya.

Mustahil ada manusia di dunia ini berkahwin tanpa inginkan zuriat dan keluarga yang berkembang. Mana mungkin ada pasangan berkahwin semata-mata ingin menyelesaikan isu desakan nafsu tanpa sebarang niat ingin beribadah. Perkahwinan itu satu sunnah dan melakukannya adalah ibadah.

Namun, di zaman serba moden ini, generasi muda nampaknya sangat terfokus kepada isu seks dan tuntutan hawa nafsu sehinggakan kanak-kanak semuda 12 tahun telah mula berjinak dengan seks.

Bukan itu sahaja, selain daripada hanya memuaskan tuntutan seks, mereka juga melihat isu zuriat sebagai perkara tidak penting. Akhirnya, apabila telah ramai melakukan seks sebelum berkahwin, kepentingan perkahwinan mula menurun.

Suatu masa dahulu hamil sebelum nikah adalah sesuatu yang sangat memalukan sehingga anak perempuan yang sedang mengadung dihalau dan terpaksa hidup melarat. Malah perbuatan zina itu dikeji dan dikutuk.

Masyarakat Melayu Islam menyembunyikan kejadian hamil luar nikah dengan menikahkan segera anak gadis dengan pasangannya yang berzina dan kebiasaannya, selepas bernikah mereka akan berpindah bagi memastikan kelahiran anak sulung itu tidak diketahui orang.

Hari ini, masyarakat Melayu-Islam masih memandang keji perbuatan berzina atau mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin tetapi cara penyelesaiannya sudah berbeza. Jarang benar anak dihalau keluar dari rumah dan mereka juga tidak dinikahkan kerana faktor usia yang terlalu muda.

Ramai ibu bapa yang akan menghantar anak gadis mereka yang telah mengandung ke rumah persinggahan untuk melahirkan anak dan menyerahkan anak tersebut sebagai anak angkat, ibu anak yang masih muda meneruskan pengajian dan ada yang tamat hingga peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Ada juga yang menikahkan anak mereka demi menjaga nama baik keluarga dan selepas kelahiran pasangan itu bercerai. Dalam kes seperti ini, anak juga diserahkan sebagai anak angkat atau dipelihara saudara terdekat.

Kita tetap memandang serius kejadian hamil luar nikah tetapi ia semakin menjadi-jadi dan kita tidak mencari jalan untuk menyelesaikannya. Kita tidak pernah terfikir bagaimana kita boleh menghalang zina daripada terus berlaku? Bagaimana seharusnya kita bertindak sekiranya berlaku hamil luar nikah pada umur 13 tahun.

Apa yang berlaku, kita asyik menunding jari menyalah antara satu sama lain. Kita menuduh ibu bapa tidak pandai mendidik anak sehingga anak tidak takut untuk berzina dan tidak mampu mengawal nafsu. Kita salahkan kerajaan kerana tidak memantau penjualan secara haram DVD lucah, program televisyen yang memberangsangkan atau bahan-bahan lucah di internet.

Tidak kurang juga segelintir pihak yang menyalahkan media, guru dan pemimpin kerana kita adalah pakar dalam mencari kesalahan orang daripada bermuhasabah diri bahawa ia semua berlaku kerana kita yang cuai tentang tanggungjawab kita.

Didikan agama

Sebagai ibu bapa kita berkewajipan mendidik anak-anak dengan didikan agama yang kuat dan mencukupi. Cara mendidik anak mengenai agama hari ini berbeza dengan ibu bapa dahulu. Zaman saya dibesarkan tiada televisyen, telefon dan internet. Yang ada hanya sebuah radio kecil yang usang dan buku-buku.

Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga besar yang mana ayah adalah imam dan guru agama. Saya mula bersolat dengan mengikut atau meniru ayah dan ibu solat dan masjid adalah rumah kedua saya kerana dibawa ke masjid setiap malam kerana ayah bertugas kecuali selepas baligh.

Sirah Nabi atau cerita waktu hendak tidur yang ayah ceritakan setiap malam sebelum kami tidur, saya percaya diceritakan oleh guru ayah kepadanya dan ayah menceritakannya semula kepada kami adik-beradik. Cerita itu lekat dalam kepada seperti lekatnya cerita bedtime stories yang generasi hari ini bacakan kepada anak-anak mereka. Saya hanya kenal Snow White, Sleeping Beauty apabila saya bersekolah di sekolah Inggeris melalui pembacaan.

Anak-anak saya juga beruntung kerana mereka sempat mendengar kisah-kisah Nabi daripada arwah ayah (datuk mereka) dan cerita itu sebati sebagai pengajaran. Penceritaan itu dibuat seolah-olah kami dapat merasai apa yang dilalui.

Cerita Nabi yang paling saya suka ialah cerita Nabi Yusof, Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW. Apabila dewasa dan boleh membaca, saya membaca semula kisah-kisah ini dalam bentuk ayat al-Quran dan dapat merasakan ketepatan cerita yang arwah ayah sampaikan dahulu.

Daripada sirah Nabi itu, lahirlah cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Timbul rasa ingin menziarahi makam baginda di Madinah. Malah semasa pertama kali menunaikan umrah pada 1995 dan berada di Raudhah di Makam Rasulullah SAW, perasaan itu datang dengan sendiri, terasa seperti menemui baginda dan mengingati kisah yang Nabi SAW lalui.

Dua anak saya bertuah kerana mereka sempat mendengar sendiri cerita Nabi SAW dari mulut ayah saya. Mereka membesar di zaman yang maklumat berada di hujung jari, namun cabarannya ialah hendak menentukan kesahihan maklumat tersebut.

Hari ini terdapat pelbagai blog yang mengandungi maklumat mengenai agama, malah al Quran pun boleh dimuat turun di atas talian. Malahan, tidak perlu membawa kitab al-Quran hanya membawa ipad yang mana al-Quran boleh dibaca dengan membuka gajet bersebut.

Di samping itu, kita juga boleh belajar membaca al-Quran melalui telefon pintar kerana semuanya boleh dimuat turun. Banyak juga penulisan mengenai agama dalam internet, namun persoalannya bagaimanakah kita hendak memastikan kesahihan sumber itu? Dengan wujudnya aneka ajaran sesat, maka kerunsingan kita semakin meningkat terdapat bahan dalam talian ini.   Utusan/Bicara_Agama/20141008

Nikmat musafir jernihkan jiwa

Segmen Ibrah minggu ini bersama Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman yang ke udara setiap hari Isnin, jam 5.15 petang di stesen radio IKIMfm memasuki episod ke-24.

Beliau menyambung kisah Nabi Musa AS yang diakhiri dengan Baginda menjatuhkan hukuman bunuh diri terhadap kaumnya, Bani Israel yang ingin bertaubat lantaran kesalahan besar mereka melakukan syirik kepada Allah SWT dengan menyembah patung anak lembu.

Selepas itu, Nabi Musa AS meneruskan perjalanan ke Palestin bersama kaumnya yang berada bersama Baginda yang masih lagi beriman. Dalam episod kali ini, Ustaz Syaari mengaitkan sikap Bani Israel yang tidak beradab dan tidak sabar sewaktu bermusafir di padang pasir. Juga diceritakan berkenaan Rukun Haji yang berkait rapat dengan bermusafir.

Ustaz Syaari mengaitkan kisah Bani Israel yang tidak tenang dan tidak beradab sewaktu bermusafir menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu ibadat haji.

Inilah keistimewaannya Rukun Haji bagi setiap Muslim yang menunaikannya. Bagi menyempurnakan Rukun Haji, kita bukan saja perlu berada di dalam bulan haji, yang lebih penting perlu bermusafir untuk berada di lokasi (Makkah), sama ada dengan menaiki kenderaan ataupun berjalan kaki.

Jalan kaki tunai haji

Ustaz Syaari mengambil contoh bagaimana seorang Muslim warga Bosnia-Herzegovina, Senad Hadzic, berumur 45 tahun, berbekalkan semangat kental berjalan kaki menunaikan haji. Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau merentasi tujuh negara untuk sampai ke Makkah yang mengambil masa 314 hari.

Beliau mula bermusafir pada tahun 2012. Diceritakan juga bagaimana beliau memasuki negara yang berada di dalam zon perang dan ada ketikanya berjalan di kawasan yang suhunya terlampau sejuk dan panas, iaitu mencecah negatif 15 darjah Celsius dan melebihi 45 darjah Celsius.

Allah SWT memelihara beliau dan selamat sampai ke Makkah untuk menunaikan haji.

Senad Hadzic merasai kemanisan bermusafir seperti para Nabi bermusafir termasuklah Nabi Musa AS yang bermusafir dari Mesir menuju Madyan dan dari Madyan kembali ke Mesir.

Namun, bagi kita yang pada masa ini berada di dunia serba moden, untuk bermusafir tidak lagi perlu bersusah payah. Hanya dengan menaiki kenderaan, sama ada darat, laut atau udara sudah dapat memenuhi hasrat bermusafir walaupun merentasi benua beribu kilometer jauhnya.

Ustaz Syaari mengajak pendengar berfikir adakah dengan kemudahan dikecapi hari ini menyebabkan kita tidak merasai kemanisan bermusafir seperti apa dialami para Nabi?

Imam Syafi'e berpesan di dalam syairnya berkenaan musafir yang berbunyi: "Bagi orang yang berakal mereka tidak akan berdiam diri, mereka akan sentiasa bermusafir dan berpisah kerana sesungguhnya air yang bertakung akan rosak."

Orang yang tidak bermusafir dikatakan sebagai tidak meluaskan pengetahuan dan pandangannya dan akhirnya akan tinggal sebagai sia-sia sahaja.

Bagaimanapun, kemanisan bermusafir ini tidak dirasai Bani Israel walaupun perjalanan mereka dinaungi awan di tengah-tengah padang pasir seperti dirakamkan di dalam al-Quran: "Dan Kami menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir), dan Kami turunkan kepada kamu 'manna' dan 'salwa', serta Kami berfirman: Makanlah dari makanan yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu. Dan tidaklah mereka menganiayai Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiayai diri mereka sendiri." (Surah Al-Baqarah, ayat 57).

Di akhirnya, Ustaz Syaari mengajak pendengar untuk sama-sama merenung mengapa Rasulullah SAW berniaga lebih lama tempohnya berbanding Baginda SAW menjadi rasul. Baginda berniaga selama 28 tahun dan dengan perniagaan itulah membawa Baginda SAW ke seluruh Tanah Arab.

Pengetahuan geografi Baginda SAW begitu meluas sehinggakan Gabenor Bahrain sendiri terkejut dengan pengetahuan Baginda berkenaan kota besar di Bahrain, lebih hebat pengetahuannya daripada Maharaja Bahrain pada masa berkenaan.

Peristiwa Zulkarnain

Persoalan kedua ditinggalkan Ustaz Syaari ialah apakah sebab di sebalik Surah Al Kahfi merakamkan Nabi Musa AS yang bermusafir dan hanya berhenti selepas berjumpa dengan Nabi Khidir AS.

Surah ini juga diakhiri dengan kisah bermusafir, iaitu peristiwa Zulkarnain menuju ke tempat terbit dan terbenamnya matahari serta ke utara dunia.

Persoalan ketiga yang ditinggalkan oleh Ustaz Syaari ialah mengapa di dalam syariat Islam terdapat rukun yang berkaitan dengan musafir iaitu Rukun Haji.

Ustaz Syaari merumuskan bahawa sesungguhnya kemanisan musafir itu terletak kepada kesusahan dan kepayahan di dalam bermusafir itu sendiri.

Kematangan seseorang terletak kepada kemampuannya menguruskan emosinya ketika berdepan pelbagai masalah dan perkara yang bukan merupakan perkara yang biasa bagi mereka.

Bagaimanakah cara terbaik untuk menguruskannya dan pada masa sama menjaga adab di dalam bermusafir.

Inilah permasalahan sebenar dihadapi Bani Israel yang akhirnya mereka menunjukkan kerenah sebenar mereka ketika bermusafir menuju ke Palestin bersama Nabi Musa AS.

Bermusafir juga akan mendedahkan hakikat perilaku seseorang yang sebenarnya. Kita tidak akan mengenali seseorang dengan sebenar-benarnya sehinggalah kita bermusafir bersama mereka.


Oleh kerana itulah Islam juga menggariskan pelbagai adab apabila bermusafir termasuk melantik seorang ketua apabila kita memulakan musafir.Maslina Alias Berita Harian Rencana RABU, 8 OKTOBER 2014 @ 7:45 AM

Hukuman paling besar bagi kesalahan seksual

Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah 1995 mengandungi tujuh bahagian jenis kesalahan adat dan peruntukan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah.

Ia berkaitan kesalahan serangan, hentaman dan kelakuan mengancam; seksual; perkahwinan, pertunangan dan pikatan; tanah perkuburan dan kematian; perangai buruk melampau, kelucahan dan khianat; mungkir janji serta kelahiran dan pantang adat.

Secara keseluruhan, ia mengandungi 50 pecahan jenis kesalahan dan hukuman dengan yang tertinggi iaitu sebanyak 20 pecahan berkaitan perangai buruk melampau, kelucahan dan khianat.

Kesalahan berkaitan seksual memperuntukkan hukuman paling besar dengan yang tertinggi bagi kesalahan sumbang mahram (sumbang kadim) iaitu hukuman tidak lebih tiga ternakan dan denda sehingga RM5,000 atau penjara 24 bulan atau penjara dan denda.


Sumbang kadim

Sumbang kadim adalah perbuatan sumbang mahram membabitkan datuk, bapa, bapa saudara, abang dan adik lelaki dengan adik perempuan, kakak, anak, ibu, ibu saudara atau cucu perempuan.

Hukuman kedua tertinggi diperuntukkan dalam undang-undang itu ialah kesalahan persetubuhan haram membabitkan pasangan mempunyai pertalian keluarga dengan sogit dua ternakan dan denda RM3,000 atau penjara tidak lebih 18 bulan atau denda dan penjara serentak.

Bagi kesalahan persetubuhan haram pasangan tiada pertalian keluarga, ia dipanggil mianu-anu atau zina dengan sogit maksimum dua ternakan, bayaran 'kepanasan' kampung dan denda tidak lebih RM1,500 atau penjara maksimum enam bulan atau denda dan penjara.

Dalam setiap kes ini, sogit haiwan ternakan dan bayaran 'kepanasan' kampung biasanya adalah kerbau. Ia bertujuan 'menyucikan' kampung dan diserahkan kepada ketua kampung untuk diagihkan kepada penduduk.

Hukuman bukan sahaja atas kesalahan dilakukan, malah merangkumi peruntukan yang boleh dituntut pemilik tanah, ladang atau sawah yang mana perlakuan sumbang, mianu-anu atau zina dilakukan iaitu sogit seekor ternakan atau barang yang senilai mengikut denda adat.

Kesalahan lari anak dara orang

Undang-Undang Adat Anak Negeri 1995 turut memperuntukkan hukuman maksimum dua ternakan atau denda RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan melarikan anak dara orang.

Turut digariskan ialah kesalahan berkaitan mencabul kehormatan boleh dihukum sogit seekor ternakan atau denda RM500 atau penjara sebulan atau kedua-duanya jika ingkar.

Kesalahan kecil seperti menyumpah dan mengutuk orang lain juga dianggap kesalahan dan pelakunya boleh dikenakan sogit maksimum dua ternakan atau denda RM100 atau penjara seminggu.

Begitu juga dalam aspek penjagaan haiwan ternakan, seseorang boleh menuntut sogit atau ganti rugi jika harta benda seperti pagar dan tanaman dirosakkan ternakan orang lain.

Bagi kes ini, undang-undang adat memperuntukkan hukuman seekor unggas atau barang yang senilai dengannya selain pemilik haiwan diarah membaiki kerosakan atau membayar kos pembaikan atau mengganti harta yang rosak dan jika ingkar, boleh didenda RM1,000 atau penjara sebulan atau kedua-duanya.

Jika seseorang mungkir janji, individu terbabit dianggap melakukan perlanggaran undang-undang adat dipanggil 'koimanan' dan boleh diminta membayar pampasan atau ganti rugi tidak lebih 20 peratus daripada nilai perkara yang dijanjikan.

Setiap kesalahan dan hukuman termaktub dalam undang-undang ini adalah berdasarkan amalan turun-temurun.

Secara umum, bidang kuasa MAN terhad kepada pendengaran kes pelanggaran undang-undang atau adat anak negeri dan hal ehwal yang berkaitan aspek pertunangan, perkahwinan, perceraian (untuk bukan Islam), pengambilan anak angkat dan pewarisan harta. Berita Harian Rencana RABU, 8 OKTOBER 2014 @ 7:43 AM