October 14th, 2014

Kenapa payah sangat hendak mengucap syukur?

KALAU ada kajian tentang rakyat negara yang tidak tahu bersyukur, agak-agaknya mungkin Malaysia berada di tangga teratas!


Pembentangan Bajet 2015 pada Jumaat lepas menyerlahkan banyak wajah mereka yang tidak tahu bersyukur. Baik secara nyata menampakkan rupa paras, berselindung di sebalik status akaun laman sosial atau komen-komen berlapik - tidak sukar menelah individu atau kelompok terbabit.

Di celah-celah komen yang diluahkan oleh pelbagai lapisan rakyat, kenyataan yang dilontarkan oleh dua wakil rakyat masing-masing daripada parti pemerintah dan pembangkang berhubung pengumuman kenaikan elaun ahli Parlimen dalam Bajet 2015, sungguh tidak prihatin.

Komen seperti; "Apa sangatlah kenaikan RM500 untuk ahli Parlimen, hanya lekat celah gigi" dan "Gaji ahli Parlimen Malaysia adalah paling rendah di dunia", membuatkan rakyat terutama golongan marhaen seperti penulis, senak perut mendengarnya.

Cukup malang apabila komen sebegitu terpacul keluar dari mulut pemimpin yang sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada rakyat. Nampaknya mereka tidak memikirkan langsung kesan kata-kata itu kepada orang yang mendengar?

Sebagai pemimpin, mereka mempunyai pengikut - tidak kiralah yang menyokong mahupun yang membangkang - jadi sepatutnyalah lebih berwaspada dalam berkata-kata.

Pepatah lama menyebut, 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'. Dengan komen sebegitu, tidak mustahil yang menyokong pun menjadi benci, yang membangkang apatah lagi bertambah benci.

RM500 mungkin tidak ada nilai buat ahli Parlimen terbabit yang bergelar YB (Yang Berhormat) namun cukup besar ertinya bagi rakyat marhaen.

RM500 bagi YB, mungkin habis sekali makan di restoran mewah atau minum-minum kopi di lounge hotel namun ianya belanja dapur sebulan di rumah bagi orang seperti kami.

RM500 bagi YB, mungkin harga sehelai baju atau hanya tips membayar kedi di padang golf namun adalah nilai sebulan gaji orang seperti kami setelah ditolak sewa rumah, pinjaman kereta, air dan api,

Kita biasa mendengar kenyataan umum pemimpin negara, alim ulama dan pakar motivasi yang meminta serta menasihati rakyat negara ini agar mensyukuri nikmat kemakmuran dan keamanan yang dikecapi mereka selama ini.

Dalam hal ini, amatlah malang sekali jika golongan pemimpin yang memberi nasihat kepada rakyat agar mensyukuri nikmat itu sendiri yang tidak tahu bersyukur, tidak menunjukkan kepimpinan untuk diteladani.

Sama jugalah keadaannya dalam sesebuah organisasi apabila pekerja bawahan diarahkan berjimat cermat di saat-saat prestasi syarikat merudum bahkan dihadkan bayaran kerja lebih masa (OT) dan dikenakan pemotongan faedah di sana sini. Mereka diingatkan supaya reda dengan keadaan dan bersyukur kerana masih ada tempat mencari sesuap nasi namun pihak atasan menikmati gaji dan elaun seperti biasa dengan kenaikan tetap yang tidak terjejas sedikit pun.

Mendengar Bajet 2015 dibentangkan, mungkin ramai yang mengeluh dan tidak berpuas hati. Namun jika kita menghayati insentif yang diumumkan, mungkin sedikit sebanyak kita akan menghargai dan dapat mengucap syukur.

Memang bukan semua insentif dapat diukur dengan wang ringgit seperti bonus mahupun bayaran BR1M. Namun jika diteliti, nilainya mungkin lebih besar daripada bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan awam dan bayaran BR1M kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah. Apatah lagi nilai sisa makanan yang melekat di celah gigi ahli Parlimen yang tidak tahu bersyukur tadi.

Antaranya mulai tahun depan, 300,000 rakyat Malaysia yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi dikenakan cukai pendapatan. Maknanya kira-kira RM4,000 yang perlu dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setahun kini masuk ke poket mereka sendiri.

Penulis percaya, ramai dalam kalangan 300,000 rakyat Malaysia yang kini bebas daripada belenggu LHDN, bersyukur dengan pengumuman bajet kali ini.

Pembayar cukai yang menanggung perbelanjaan perubatan ahli keluarga terutama ibu bapa juga pasti bersyukur dengan kenaikan kos rawatan penyakit kronik seperti kanser, buah pinggang dan jantung sebanyak RM1,000 lagi kepada RM6,000. Cuma mungkin lebih baik dan ramai yang akan bersyukur jika skop penyakit berkenaan turut meliputi diabetes atau kencing manis yang umpama bom jangka kepada penyakit-penyakit kronik lain yang disenaraikan untuk pelepasan cukai itu.

Susulan penstrukturan semula cukai pendapatan individu yang menyaksikan LHDN menutup 300,000 fail pembayar cukai bergaji RM4,000 sebulan ke bawah, beban agensi itu sudah sedikit berkurang.

Tidak payahlah lagi LHDN berpenat lelah memburu pembayar cukai bertaraf bilis termasuk mempersoal dan menyiasat beria-ia pengisytiharan cukai pendapatan pekerja swasta yang memang setia membuat potongan cukai berjadual (PCB) daripada gaji ciput mereka setiap bulan.

Lagipun dapatlah LHDN menumpukan perhatian menjejaki individu dan syarikat bertaraf jerung yang licik mengelak daripada membayar cukai bahkan ada yang tidak kenal pun borang pengisytiharan cukai pendapatan selama ini.

Penulis percaya lebih ramai yang akan mengucap syukur jika kerajaan melalui LHDN memberi ganjaran kepada pembayar cukai yang setia misalnya dengan memberi pelepasan sebulan atau dua bulan gaji tanpa cukai. Tentu sahaja mereka sangat berterima kasih dan menghargai layanan baik tersebut.

Daripada memberi diskaun dan menawarkan pelbagai insentif menarik kepada golongan yang liat membayar cukai, lebih molek jika kerajaan melalui LHDN menghargai pembayar cukai yang setia dengan memberi ganjaran berpatutan kepada mereka. Penulis yakin golongan ini lebih pandai menghargai dan ikhlas mengucapkan terima kasih yang mungkin sahaja diterjemahkan dengan cara wajar apabila tiba masanya.

Mereka tidak akan bertindak seperti kera diberi bunga atau lebih teruk lagi menjadi golongan yang membalas madu dengan tuba. Coretan Marhaen
Utusan/Rencana/20141014

Haji mabrur tidak dicemari dosa

Setiap jemaah pasti berkeinginan mendapatkan haji yang mabrur apabila kembali ke tanah air. Keinginan ini menjadi agenda utama setiap jemaah kerana haji yang mabrur balasannya ialah syurga.

Amat wajar bagi mereka bercita-cita mendapatkan haji mabrur selepas berusaha meredah cabaran serta pengorbanan harta dan tenaga demi menyempurnakan Rukun Islam kelima.

Malang bagi mereka yang melaksanakan haji kerana ingin dilihat dan dipandang orang lain, sehingga mereka merasa berhak dipanggil haji atau hajah atau menunaikan haji kerana berbagai alasan keduniaan lainnya.

Sebenarnya, ibadah haji bukanlah sekadar melengkapkan Rukun Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Hakam ibadah haji proses pendidikan

Malah, hakam di dalamnya juga harus diterima sebagai sebahagian daripada proses pendidikan seseorang selepas mereka selesai menunaikannya.

Dengan ungkapan lain, bolehlah disebut bahawa haji mabrur adalah matlamat yang dijejaki setiap jemaah haji yang menyahut seruan Ilahi di Kota Suci Makkah.

Haji mabrur disebut oleh Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud : "Haji yang mabrur tidak ada ganjaran yang selayaknya melainkan syurga." (Hadis Riwayat Bukhari).

Demikianlah ketinggian kedudukan ibadah haji seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Hakikatnya pelaksanaan ibadah haji ini mengajar Muslim mengenai pelbagai perkara, contohnya erti persaudaraan Islam yang sebenar.

Muslim juga diajar aspek penumpuan dalam ibadahketika berada dalam ihram haji kerana Allah SWT tidak mengukur mereka dari segi fizikal tetapi dengan apa yang ada dalam hati.

Lantaran itu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kamu pada rupa paras, tetapi Dia menilai kamu berdasarkan sejauh mana keikhlasan." (Hadis Riwayat Muslim dan Ibnu Majah).

Semangat dalaman ini atau lebih tepat dinamakan sebagai iman ini memerlukan kepada empat perkara bagi memastikan kesinambungannya secara sihat iaitu ilmu, amal, zikir dan fikir atau muhasabah diri.

Sepatutnya setiap orang yang kembali daripada menunaikan ibadah haji bermuhasabah dengan sepenuh hati dengan mempersoalkan beberapa soalan yang boleh menilai ibadah yang baru dilakukan.

Adakah kita berjaya menghindarkan tiga perkara penting yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah di awal perbicaraan mengenai haji, iaitu ibadah haji dilakukan dengan tidak melakukan maksiat, tidak berbantah-bantah yang boleh membawa kepada pergaduhan dan tidak berkata kesat. Maka, setiap jemaah ada jawapannya.

Surah Hajj yang mengandungi 78 ayat, menggambarkan keadaan Hari Kiamat yang harus dirasakan oleh semua jemaah haji ketika berada di Tanah Suci.

Sesungguhnya seorang Muslim akan lebih memahami apakah yang dimaksudkan daripada surah tersebut dengan menunaikan ibadah haji.

Peranan ibadah dalam pembinaan ummah

Perlu difahami bahawa haji adalah ibadah yang mempunyai peranan yang asasi di dalam pembinaan ummah. Seakan-akan surah tersebut menggambarkan bahawa jemaah mestilah melaksanakan haji yang sahih seperti mana haji yang ditunaikan oleh Rasulullah SAW dalam usaha membina jati diri.

Perkataan mabrur adalah daripada perkataan barra bermaksud baik atau orang yang memiliki sifat baik, terpuji dan tergolong dalam kelompok al-Abrar iaitu golongan sentiasa berbuat kebaikan.

Amalan baik disebut dalam al-Quran sebagai al-Birr, yang hanya akan terhasil kerana ketaatan, kesolehan, kebenaran, belas kasihan dan dermawan.

Sabda Rasulullah SAW: "Amalan paling utama adalah beriman kepada Allah yang Maha Esa, kemudian berjihad pada jalan-Nya dan haji yang mabrur mengatasi segala amalan yang lain seumpama jarak tempat matahari naik hingga tempat terbenamnya." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad).

Berdasarkan pengertian hadis itu, Rasulullah SAW tidak terus menyatakan bahawa haji mabrur adalah amalan paling afdal, sebaliknya didahului oleh iman dan jihad.

Ini bermakna ketakwaan yang diredai Allah boleh dicapai dan diperoleh oleh sesiapa pun. Tidak perlu seseorang Muslim itu memaksa atau membebankan sesuatu kewajipan antara satu sama lain di luar daripada batas kemampuannya.

Seseorang yang memaksa dan membebankan dirinya melakukan sesuatu kewajipan di luar kemampuannya sama sekali tidak dianggap sebagai ketaatan atau ketakwaan yang diredai oleh Allah SWT.

Oleh itu, haji mabrur adalah haji yang terhimpun dalamnya tiga unsur yang akan terus mengiringi perjalanan hidupnya menuju keredaan Ilahi. Ketiga-tiga unsur itu ialah niat yang ikhlas, istiqamah dalam beramal dan kehidupannya sentiasa berada pada landasan keredaan Allah SWT.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah katanya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Siapa pun yang melaksanakan ibadah haji semata-mata kerana Allah dan tidak melakukan hubungan badan dengan isterinya dan tidak berbuat dosa (selama melaksanakan ibadah haji) maka ia akan kembali seperti orang yang dilahirkan kembali".

Namun kita dapati beberapa pendapat ulama berkaitan haji mabrur antaranya ialah Imam Syaukani yang bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa haji mabrur adalah haji yang diterima Allah SWT (makbul).

Haji tidak dicemari dosa

Imam Nawawi pula berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang tidak dicemari dosa. Oleh itu bolehlah disimpulkan bahawa haji mabrur adalah haji yang sempurna hukumnya sehingga dibuat secara sempurna syarat dan rukunnya seperti yang dilakukan oleh Baginda SAW.

Maka, seseorang yang berusaha keras mengikuti semua ketentuan dalam ibadah haji dengan menjalankan semua rukun, wajib, dan sunah haji serta menjauhi semua larangan, kemaksiatan, dan bidaah yang dilarang pada waktu melaksanakan haji.

Bagi mereka yang kembali ke tanah air, beberapa perkara boleh diperhatikan bagi melihat keberkesanan ibadah haji yang dilakukan. Antaranya ialah perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidupnya apabila ia kembali daripada menunaikan haji.

Amal ibadahnya bertambah baik dan ia rajin melakukannya berbanding sebelumnya. Dia tidak lalai dan cuai melakukan amal ibadah kepada Allah SWT. Dia terus meninggalkan apa-apa saja perkara maksiat dan dosa apa lagi perkara makruh dalam kehidupan sehariannya. Sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, sombong, takabur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya terus terhakis daripada dirinya.

Mereka menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, pemurah dan akhlak terpuji. Zamanuddin Jusoh Berita Harian Rencana SELASA, 14 OKTOBER 2014 @ 4:52 AM

Masjid As-Salam

TIDAK hanya tertumpu sebagai pusat ibadat khusus, institusi masjid yang juga rumah ibadah bagi umat Islam merupakan pusat pelbagai kegiatan masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika zaman pemerintahannya.

Memperkasa teras kebajikan

Mengambil contoh amalan tersebut, Masjid As-Salam, yang terletak di Puchong Perdana, Puchong memperluas fungsinya bukan sahaja mengimarah menerusi pengisian dalaman, malah memfokuskan kepada aktiviti kebajikan bersama masyarakat.



Masjid As-Salam dinobat sebagai penerima Anugerah Masjid Malaysia, baru-baru ini.

Nazir Masjid As-Salam, Yasim Mohamed berkata, langkah itu diambil bagi membuktikan peranan masjid yang menjadi simbolik bagi menggambarkan imej umat Islam sebagai penggerak masyarakat serta mampu menyumbang dalam semua aspek.

Tambah Yang Dipertua Persatuan Imam, Pegawai Masjid dan Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor (Pimpinan) itu, ia adalah menerusi pelbagai program kemasyarakatan yang dianjurkan Masjid As-Salam meliputi bidang pendidikan, ekonomi dan juga sosial.

“Institusi masjid bukanlah sekadar menjadi pusat untuk menunaikan solat dan ceramah sahaja, tetapi kita ingin menunjukkan bahawa ia juga mampu menyumbang kepada pelbagai kegiatan masyarakat, sekaligus menjadikan masjid sebagai salah satu medium yang dikatakan oleh Allah SWT Rahmatalilalamin (rahmat ke seluruh alam).

“Tidak hanya tertumpu kepada umat Islam, malah rahmat yang dirasai itu turut dapat dinikmati oleh orang bukan Islam yang berada di kawasan sekitar. Sebagaimana yang dilakukan di Masjid As-Salam, kita menjadikan aspek kebajikan sebagai salah satu teras utama dalam penubuhannya," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dirasmikan pada tahun Disember 2006 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Masjid As-Salam yang turut dikenali sebagai Masjid Terapung, baru-baru ini dinobatkan sebagai penerima anugerah Juara Masjid Kariah 2014 dalam Anugerah Masjid Malaysia.

Menerusi anugerah tersebut, sebanyak 42 masjid di seluruh negara dinilai menggunakan Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan empat kriteria iaitu pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran.

Yasim berkata, dalam bidang pendidikan, Masjid As-Salam menganjurkan kelas pembelajaran seperti Tadika As-Salam, Program Khas Kemasukan Institut Pengajian Tinggi bagi anak-anak golongan asnaf dan berpendapatan rendah, Kelas al-Quran, kursus perkahwinan dan banyak lagi.

“Manakala pihak masjid juga mengadakan bancian bagi mendapatkan maklumat penduduk sekitar kariah masjid untuk diberikan bantuan bagi mereka yang kurang berkemampuan menerusi kebajikan ekonomi Masjid As-Salam. Malah bantuan yang diberikan boleh diperoleh secara langsung mengikut keadaan pemohon.

“Masjid As-Salam juga menubuhkan pasukan Skuad Banjir As-Salam untuk dihantar bagi membantu mangsa banjir yang berlaku di lokasi terpilih seluruh negara. Selain membantu mencuci rumah, skuad juga akan menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada mangsa banjir terlibat.

“Sumbangan yang diberikan ini kesemuanya adalah diperoleh menerusi kutipan derma dan juga sumbangan berbentuk barangan yang diberikan oleh orang ramai untuk disumbangkan semula bagi manfaat golongan yang lebih memerlukan," jelasnya.

Bagi membolehkan orang ramai menderma secara terus, Masjid As-Salam turut menyediakan Tabung Infaq dan sumbangan khas di hadapan pintu utama masjid berupa barangan keperluan harian dan wang ringgit.

Bantu gelandangan

Tidak menghadkan bantuan kepada penduduk setempat, Yasim berkata, Masjid As-Salam turut memperluaskan bantuan dengan memberi sumbangan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Tidak pernah dilakukan oleh mana-mana masjid sebelum ini ia katanya, bagi melihat sendiri permasalahan yang berlaku di samping memberi pendedahan sebenar kepada ahli sukarelawan masjid mengenai gejala sosial tersebut.

“Prihatin terhadap permasalahan sosial yang berlaku, pihak Masjid As-Salam turut tidak ketinggalan untuk mengadakan program bagi memantau gelandangan dan juga golongan bermasalah di sekitar pusat bandar.

“Pada program itu, kita bersama ahli sukarelawan Masjid As-Salam akan memberikan sedikit sumbangan berupa makanan kepada mereka serta ceramah ringkas. Ia secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada sukarelawan mengenai realiti yang berlaku di negara ini," katanya.

Tidak ketinggalan dalam memberikan peluang kehidupan kepada banduan, Yasim berkata, Masjid As-Salam dalam proses menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas banduan terpilih untuk berkhidmat di institusi tersebut.

“Kita telah pun bekerjasama dengan pihak penjara yang terpilih untuk memilih bekas banduan yang berpotensi dan ingin berubah untuk bekerja di Masjid As-Salam.

“Usaha ini diambil berikutan masalah yang dihadapi oleh bekas banduan untuk mendapatkan pekerjaan selepas keluar daripada tahanan oleh kerana rekod buruk mereka. Sehinggakan keluarga sendiri ada yang tidak menerima mereka, apatah lagi holongan majikan untuk mengambil mereka bekerja.

“Selain itu, menerusi peluang ini sekurang-kurangnya kita dapat membentuk bekas banduan tersebut untuk sentiasa taat kepada perintah agama dan membawa mereka ke pangkal jalan," jelasnya. Mohd Shah Ahmad Utusan/Bicara_Agama/20141014

Kejayaan hakiki

APABILA kaum muslimin pertama kali tiba di Madinah, Rasulullah SAW mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Antara pasangan yang dipersaudarakan itu ialah Salman al-Farisi dan Abu Darda.

Setelah Nabi Muhammad SAW wafat, kedua-dua sahabat Nabi SAW itu berpisah negeri. Salman tinggal di Kufah, sementara Abu Darda duduk di Syam. Abu Darda memilih Syam kerana terdapat Baitulmaqdis yang merupakan tanah suci umat Islam.

Suatu hari Abu Darda mengirim surat kepada Salman. Beliau hendak mengkhabarkan keadaan dirinya dan berkongsi kegembiraan bersama saudara yang dikasihinya.

Abu Darda menulis: “Salam sejahtera ke atasmu. Amma ba’du, sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kepadaku harta dan anak-anak. Selain itu, aku pun tinggal di tanah suci Baitulmaqdis."

Beberapa masa kemudian, tiba surat balasan daripada Salman. Kandunganya sebagai berikut: “Ketahuilah, kejayaan bukan diukur dengan harta dan anak-anak. Akan tetapi kejayaan ialah apabila ketenangan memenuhi hatimu dan ilmumu bermanfaat untuk orang lain. Tanah negeri tidak menambah amal ibadah sesiapa. Justeru beramallah seolah-olah engkau melihat (akhirat), dan anggaplah dirimu telah mati." (siyar a’lam al-Nubala)

Kejayaan semua

Kata-kata Salman ini mengandungi pengajaran tentang makna sukses yang sebenar. Kejayaan hakiki ialah kejayaan yang berguna untuk kehidupan di dunia dan di akhirat sekaligus. Ia tidak diukur dengan banyaknya harta dan keluarga, namun diukur dengan kedamaian hati dan keluasan minda.

Itu kerana harta, jawatan dan keluarga bukan ukuran kejayaan di mata Allah. Semua ini hanyalah perhiasan dan kejayaan semua belaka. Nabi bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu, akan tetapi memandang kepada hati dan amalmu. (Muslim).

Justeru, orang yang berjaya ialah yang hatinya luas mesti rumahnya sempit. Yang selalu mampu memberi meski hartanya sedikit. Yang selalu menemukan masa untuk bersujud mensyukuri setiap butiran nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya.

Sementara itu, orang yang gagal ialah yang sempit hatinya meski memiliki rumah yang luas. Yang sangat sukar memberi walaupun berlimpah hartanya. Dan yang tidak pernah ada masa untuk bersenda gurau dengan anak dan isterinya, terlebih lagi untuk akhiratnya.

Rasulullah selalu mengingatkan agar jangan pernah tertipu dengan kejayaan. Sebab semua kejayaan duniawi ini pasti akan meninggalkan dirinya suatu hari nanti.

Baginda bersabda: Seorang mayat akan dihiringi oleh tiga perkara, iaitu keluarganya, hartany dan amalannya. Dua perkara lalu meninggalkannya dan satu perkara akan kekal bersamanya. Keluarga dan harta akan meninggalkannya, dan amalannya akan kekal bersamanya. (al-Bukhari dan Muslim)

Jom luruskan minda sebelum terlambat. Wallahu a’lam. Utusan/Bicara_Agama/20141014