October 16th, 2014

Ke arah Pemerkasaan Pendidikan Islam

Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Malaysia secara berterusan telah memberikan tumpuan terhadap pendidikan rakyat.

Perumusan peta mega pendidikan negara, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025), sebagai contoh, merupakan satu daripada sekian banyak usaha yang telah diambil oleh Kerajaan ke arah memperkasakan pendidikan warga Malaysia amnya.

Meskipun langkah-langkah serius seperti itu telah dimulakan oleh Kerajaan, maklum balas berasaskan penelitian yang adil daripada kalangan orang-orang Islam, khususnya yang berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan Pendidikan Islam (PI) dan masa depan mereka, bukan sahaja masih diperlukan tetapi wajar diusahakan secara berterusan demi membantu pihak-pihak berwajib menambah baik apa-apa yang telah, sedang dan akan dijalankan.

Berbalik kepada PPPM 2013-2025, sekiranya dokumen penting itu diamati, maka akan kelihatan sekurang-kurangnya 3 perkara pokok.

Pertama, keseimbangan (balance) dan kesepaduan menyeluruh (holism) yang mencirikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dijadikan semangat yang memandu PPPM 2013-2025.

Kedua, kualiti mendapat tumpuan utama dalam PPPM 2013-2025.

Ketiga, kegelisahan ketara perihal kemampuan modal insan kita dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perlu disedari bahawa kesepaduan yang hakiki bersifat sebati, terbit dari dalam, bukan dipaksa dari luar, serta tidak dibuat-buat.

Soalnya, adakah kesepaduan menyeluruh yang dimaksudkan ini utuh wujud, misalnya, antara kandungan PI dan mata-mata pelajaran yang lain, khasnya STEM?

Bagaimanakah STEM yang akan diusahakan agar lebih berorientasikan "kemahiran berfikir aras tinggi" (KBAT, atau lebih dikenali dalam akronim Inggerisnya sebagai HOTs, yang merujuk kepada Higher-Order Thinking Skills) akan dapat berpadu secara harmonis dengan PI sekiranya PI tidak atau kurang dipupuk dengan penekanan yang sama?

Sesungguhnya, guru mempunyai peranan yang sangat utama dalam pendidikan.

Justeru, kualiti guru menentukan kualiti pelajar.

Hakikat ini suatu yang jelas dalam Agama Islam dan turut diakui dalam PPPM 2013-2025.

Sebagaimana kualiti guru mempunyai dampak besar ke atas kualiti pelajar, begitulah juga kualiti mahaguru (yakni: para pensyarah di pelbagai pusat dan institusi pengajian tinggi) memberi kesan terhadap kualiti para guru.

Di sinilah sebenarnya letak-duduk keutamaan pendidikan dan pengajian tinggi, termasuklah Institut Pendidikan Guru (IPG).

Maka hasrat untuk meninggikan lagi syarat kelayakan para guru (termasuk pemilihan guru pelatih daripada lulusan 30% terbaik) dan menambah baik profesion perguruan, sebagaimana yang dilakarkan dalam PPPM 2013-2025, adalah suatu yang bertepatan dengan penegasan Baginda Rasulullah s.a.w.: "Bangsa manusia itu [laksana] bahan-bahan logam galian; yang terbaik dalam kalangan mereka dalam Jahiliyyah juga yang terbaik dalam Islam sekiranya mereka berkefahaman mantap dan mendalam."

Langkah ini turut perlu melibatkan usaha menyaring guru-guru PI dan seterusnya merangkum proses pemupukan pelapis mahaguru pada peringkat pengajian tinggi, khasnya dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang sedang disemak semula.

Jelas sekali dalam PPPM 2013-2025, peningkatan mutu pelajar dan mutu guru melibatkan pemupukan KBAT.

Namun, PPPM 2013-2025 tidak menyatakan secara jelas kedudukan dan peranan mata pelajaran PI dalam hubung-kaitnya dengan pemupukan KBAT.

Kekaburan ini seharusnya diusahakan oleh para peneraju PI menjadi peluang bagi mengolah secara strategis peranan dan kedudukan PI berkaitan KBAT dalam ruang-lingkup PPPM 2013-2025.

Pengolahan ini bukan sahaja perlu berpaksikan pemupukan dan pengukuhan kefahaman para mahaguru dan guru tetapi juga menuntut para peneraju PI betul-betul memahami Kerangka Aqal-Naqal sebagaimana yang telah dihuraikan dengan teliti, rapi dan tuntas oleh tokoh-tokoh ilmuwan utama Islam silam.

Sayugia diingatkan bahawa sejauh yang berkait dengan tokoh-tokoh ilmuwan Islam itu, kerangka tersebut hanya dapat benar-benar difahami dalam konteks perbahasan Ilmu Aqidah (juga dikenali sebagai Ilmu Usuluddin atau al-Fiqh al-Akbar atau Ilmu Kalam) yang merupakan asas dan tunjang Agama Islam.

Maka tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada dimensi akidah yang bukan sahaja merupakan asas kepada fiqh dan akhlak tetapi juga lebih bersifat aqliah dan memanfaatkan ilmu mantik semaksimanya, sebagaimana yang terakam dengan baik dalam kitab-kitab muktabar seperti: Tahafut al-Falasifah, Mi‛yarul ‛Ilm dan al-Iqtisad fil I‛tiqad oleh Imam Abu Hamid al-Ghazzali (w. 1111); al-Muhassal, al-Mabahith al-Mashriqiyyah, dan al-Matalib al-‛Aliyah oleh Imam Fakhruddin al-Razi (w. 1210); Abkar al-Afkar dan Ghayatul Maram oleh Imam Saifuddin al-Amidi (w. 1233); Tawali‛ al-Anwar oleh Imam al-Baydawi (w. 1286); al-Mawaqif oleh Adud al-Din al-Iji (w. 1355); al-Maqasid serta syarahnya oleh Imam Sa‛duddin al-Taftazani (w. 1390); dan yang lain-lain seumpamanya.

Malah sangat penting disedari bahawa hampir semua tokoh ilmuwan tersebut bukan sahaja bergiat di kawasan-kawasan yang lebih awal didiami oleh penganut-penganut agama dan warga-warga tamadun terdahulu tetapi juga dari segi mazhab akidahnya berpendirian Ashairah-Maturidiyyah (yang lebih cergas dari segi aqliah) manakala dalam amalan fiqhnya bermazhab Shafii, Hanafi, atau Maliki, berbanding Hanabilah (yang juga dikenali sebagai mazhab fiqh dan lebih bercorak naqal) yang cenderung tinggal menetap di Semenanjung Arab.

Justeru, banyak pengajaran yang dapat ditimba daripada pengalaman langsung para ilmuwan Islam itu yang telah lebih dahulu berinteraksi dengan tokoh-tokoh terkemuka pelbagai agama dan tamadun awal itu sambil meneraju Dialog Peradaban Tahap Tinggi dan merintis penerokaan cabang-cabang ilmu baharu. Dr. Mohd. Zaidi bin Ismai Sinar Harian 16 Otober 2014

Solat fardu berimam solat sunat

SAYA ingin bertanya apakah hukum bagi orang yang solat fardu berimamkan solat sunat? Contohnya, salah seorang rakan saya telah lambat untuk solat berjemaah dan kebetulan hanya saya seorang yang sedang solat di situ. Tetapi saya sedang solat sunat qabliyah, lalu dia menepuk bahu saya dan berimamkan saya. Adakah solat dia sah? Apakah yang perlu saya buat ketika dia menepuk bahu saya untuk berimamkan saya?

Penjelasan:  Menurut Imam al-Syafie, sah seseorang makmum yang mendirikan solat fardu berimamkan imam yang solat sunat. Berdasarkan hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Pernah suatu hari Muaz bersembahyang Isyak bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW. Kemudian selepas selesai, Muaz kembali ke rumahnya dan dia menjadi imam kepada ahli keluarganya.

Imam al-Syafie menjelaskan, solat yang didirikan oleh Muaz pada kali kedua itu adalah solat sunat, manakala solat ahli keluarganya yang menjadi makmum itu adalah solat fardu Isyak. Ini menjadi dalil bahawa dibenarkan orang yang bersolat fardu berimamkan imam solat sunat.

Namun, adalah lebih baik dielakkan bagi menghindar daripada perbezaan pendapat kerana ulama yang lain berpendapat tidak sah makmum solat fardu berimamkan imam solat sunat (al-Syarbini al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 503).

Jika seseorang yang solat sunat, kemudian ada orang menepuk bahunya untuk menjadikan dia imam, dia hanya perlu teruskan solatnya dan tidak disyaratkan dia berniat menjadi imam (al-Syarbini al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 503). Wallahu a’lam

Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Utusan/Bicara_Agama/20141016

Bantuan kecil tetapi bermakna

UMAT Islam di Nepal majoritinya adalah petani dan berniaga kecil-kecilan. Mereka menyara hidup daripada hasil pendapatan yang tidak seberapa. Malahan, tidak ramai juga yang mendapat peluang pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Faktor kemiskinan hidup komuniti Islam di Nepal itu menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha.

Justeru, santunan pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) menerusi penganjuran program Ziarah Korban diumpamakan kecil tapak tangan, nyiru mereka tadahkan.



KETUA Canseri di Kedutaan Malaysia, Mohd. Farriq Osman (dua dari kanan) turut menyampaikan daging korban kepada penduduk Islam di sekitar Kathmandu di Dewan Kalimati dalam program Ziarah Korban di Nepal, baru-baru ini.

Itulah gambaran Kaunselor Kedutaan Malaysia di Nepal, Fadli Adilah tentang reaksi positif umat Islam Nepal.

Fadli dalam pertemuan di kediamannya, baru-baru ini turut mengucapkan jutaan penghargaan kepada pihak IAM kerana memilih Nepal untuk julung kalinya bagi melaksanakan ibadah korban.

“Setakat ini, komuniti kecil rakyat Nepal yang beragama Islam adalah seramai empat juta orang daripada keseluruhan rakyatnya yang berjumlah 28 juta orang.

“Pastinya, ini akan membuahkan jalinan kerjasama baharu pada masa akan datang. Setakat ini, menerusi hubungan baik dengan beberapa orang imam, ustaz dan ketua-ketua kampung, saya dimaklumkan bahawa mereka sebenarnya teruja. Ini kerana ada beberapa buah kampung yang langsung tidak pernah melakukan ibadah korban disebabkan faktor kemiskinan," terang Fadli yang telah tiga tahun bermastautin di Nepal.

Tambahnya, IAM juga boleh menjadi contoh kepada mana-mana pertubuhan kebajikan di Malaysia untuk turut melaksanakan program-program kemanusiaan yang bersesuaian pada masa-masa akan datang.

“Kejayaan ini bukanlah mudah dan saya tahu ia memerlukan kesabaran dan kesungguhan dalam menghadapi pelbagai cabaran, peraturan malah bersama menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar umat Islam di Nepal selain turut serta turun padang menjayakan penganjuran program.

“Keberadaan rakyat Malaysia di Nepal, mereka turut berkunjung ke masjid, madrasah dan rumah kebajikan di sekitar Kathmandu, khasnya dan Nepal, amnya.

“Jadi daripada pengamatan kami, kita dapat lihat keterbukaan mereka menerima kunjungan dan bantuan daripada rakyat Malaysia.

“Malah, nama Malaysia sebagai penganut agama Islam yang bersederhana memangnya terkenal, apatah lagi sikap toleransi rakyat Malaysia yang berbilang bangsa amat mereka kagumi. Lantaran itu, kehadiran rakyat Malaysia di Nepal begitu disenangi orang Nepal," jelas Fadli.

Akuinya, di Nepal ini golongan yang miskin tegar terlalu banyak. Jadi apabila dibantu walaupun dengan jumlah yang kecil, sebenarnya ia terlalu besar manfaatnya.

Sedekah jariah

Contohnya sumbangan NPR2,000 yang bersamaan RM80, sebenarnya mampu membiayai persekolahan seorang kanak-kanak untuk tempoh sebulan. Begitulah mudahnya untuk rakyat Malaysia yang dermawan dan hartawan untuk memanjangkan sedekah jariah.

Terang Fadli, rakyat Nepal berjumlah lebih kurang sama banyak dengan rakyat Malaysia iaitu 28 juta orang dan dengan saiz keluasannya pula adalah separuh daripada keluasan Malaysia.

“Mengikut statistik terkini, dilaporkan hampir 46 peratus rakyat Nepal tidak bekerja. Jadi daripada jumlah keseluruhan populasi rakyat Nepal, lapan juta berada di luar negara. Ini tidak termasuk jumlah yang berada di India, memandangkan mereka bebas keluar masuk sempadan dua negara itu.

“Setiap tahun ada lebih kurang 400,000 anak muda Nepal yang tamat persekolahan dan akan menceburi dunia pekerjaan.

Oleh kerana ketiadaan peluang pekerjaan di negara mereka, tidak hairanlah ramai daripada mereka yang berusaha untuk mencari rezeki di Malaysia yang menjadi negara utama destinasi pilihan, selain Qatar, Arab Saudi, UAE dan Kuwait.

“Ditambah pula tahun lalu, kerajaan Malaysia menaikkan kadar gaji minimum kepada RM900 sebulan, iaitu jauh lebih tinggi serta faktor kos sara hidup di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara Asia Barat," jelasnya.

Mengikut statistik Bank Dunia kadar pendapatan perkapita di Nepal ialah USD724 (RM2,360) setahun. Ini amatlah kecil jika dibandingkan negara-negara lain. Malah Nepal masih menjadi ahli Pertubuhan Least Developed Countries (LDC) dan dalam usaha untuk keluar dan dikategorikan sebagai DC (Developing Countries).

Meskipun, mereka adalah kumpulan minoriti, agama Islam di Nepal diiktiraf oleh kerajaan Nepal di mana Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha adalah cuti umum di Nepal.

Selain itu, di Kathmandu sahaja terdapat tiga buah masjid besar untuk umat Islam beribadat.

Istimewanya lagi, biarpun kecil mereka mempunyai sebuah komuniti yang bersatu dan tidak pernah berselisih faham dengan penganut agama lain.



ZUARIDA MOHYIN Utusan/Bicara_Agama/20141016

Bukti kesatuan Islam

KALAU kita sedih melihat orang miskin di Malaysia, sebenarnya kemiskinan komuniti Islam di Nepal jauh lebih berlipat kali ganda, malah tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan serba kedaifan.

Miskin orang Malaysia masih terbela kerana kita mempunyai ramai dermawan yang tidak susut-susut menghulurkan pelbagai bentuk bantuan, namun santunan sebegitu, amat sukar atau tidak pernah dirasai oleh umat Islam di Nepal yang hidup dalam sebuah negara yang majoriti dihuni oleh penganut Hindu, Buddha, Sikh, Jai dan Kristian. Populasi Islam hanyalah empat peratus daripada keseluruhan penduduk Nepal yang seramai 28 juta orang.

Gambar Ehsan Islamic Aid Malaysia (IAM)
(Yang mengikuti rombongan media program Ziarah Korban di Nepal anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM), baru-baru ini)


PENANTIAN lebih dua jam setengah oleh para penerima manfaat ini berbaloi kerana akhirnya ia menjadi detik bermakna kepada semua pihak yang terlibat.

Melihat secara zahir sahaja sudah cukup menggambarkan kedaifan kehidupan umat Islam Nepal. Kaum wanita tinggal di rumah, sang suami membanting tulang dengan bertani atau bekerja sebagai buruh kasar dan paling menyedihkan melihat golongan kanak-kanak yang tidak memperoleh pendidikan formal, kekurangan khasiat, malah masa mereka banyak dihabiskan di jalanan, meminta belas ehsan orang ramai.

Lantas, tidak hairanlah kita lihat senario kebanjiran warga Nepal di Malaysia sebagai tenaga kerja asing demi mencari rezeki, sekali gus membantu ekonomi ahli keluarga yang terpaksa ditinggalkan.

Uniknya umat Islam di Nepal ini, sungguhpun mereka hidup dalam serba kekurangan, ia tidak sedikitpun mencacatkan budi pekerti mereka. Masyarakat Nepal terkenal dengan sikap mereka yang mesra, tidak suka meminta-minta serta bersyukur atau reda dengan apa yang ada.

Sifat mulia ini tergambar jelas sewaktu rombongan Malaysia yang mengikuti program Ziarah Korban di Nepal berkunjung ke Madrasah Islamiya Faizul Uloom di Benighat yang terletak lebih 400 kilometer dari Kathmandu, Nepal. Kami diraikan dalam suasana serba sederhana tetapi sarat keukhuwahnan Islam sebagaimana dianjurkan Islam.

Terdahulu sebanyak lapan ekor kerbau telah disembelih di Pusat Penyembelihan Islam yang berlokasi di Satunggal, Kathmandu, Nepal.

Rumah penyembelihan ini milik Atullah Khan, 45, yang memang berpengalaman luas dalam pengendalian serta agihan daging untuk tujuan korban. Daging korban tersebut inilah akan diberikan kepada seramai 250 orang penerima yang dibuat di Dewan Kalimati juga terletak di daerah Kathmandu.

Malah program yang berlangsung empat hari tiga malam itu, boleh disimpulkan telah mencapai sasaran, sekali gus menyempurnakan amanah rakyat Malaysia yang mengikuti program korban anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Radio IKIMfm dan sokongan Kedutaan Malaysia di Nepal serta penglibatan Islamic Youth Foundation Nepal. Turut serta memberikan sokongan ialah Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri.

Bohong jika dikatakan program korban di Nepal yang bermula pada 6 Oktober hingga 9 Oktober lalu tidak ada cacat celanya kerana resam kehidupan itu tidak lari daripada masalah dan cabaran, apatah lagi ini adalah program julung kali diadakan.

Begitu pun, tidaklah sehingga menjejaskan keseluruahan program, malah kekurangan itulah yang menjadi kenangan manis serta mengajar erti kesabaran.

Pengalaman baharu

Hal ini diakui Presiden IAM, Zawahir Abdullah malahan menambah antara cabaran lain yang terpaksa dihadapi ialah mendapatkan sumber kerbau dalam kuantiti yang banyak, perubahan harga memandangkan Hari Raya Aidiladha jatuh pada hari sama penganut Hindu meraikan perayaan keagamaan mereka, membina kepercayaan, mencari lokasi pusat penyembelihan kerana tidak dibenarkan dilakukan secara terbuka terutamanya di Kathmandu, tidak boleh melakukan agihan secara terbuka serta jarak lokasi agihan ke kawasan umat Islam yang terpencil adalah jauh, korban dalam tempoh tiga hari sahaja dan masalah bahasa.

Walau apapun kekangan dan cabarannya, tegas Zawahir, ia berjaya diharungi malah ia bukan halangan untuk terus menyantuni umat Islam di Nepal pada masa-masa akan datang.

“Sebenarnya penglibatan IAM dalam penganjuran ibadah korban tidak sahaja tertumpu di Malaysia, malah tahun-tahun sebelum ini, kita telah laksanakan di Belawan, Indonesia di bawah segmen antarabangsa kami.

“Sebaik mendapat persetujuan daripada pihak kedutaan untuk terlibat sama, kita sangat berkeyakinan, bersemangat dan pada masa sama teruja. Alhamdulillah, pada peringkat awal kita sanggup melakukan korban sebanyak 15 ekor kerbau tetapi tanpa disangka-sangka kita mendapat permintaan di luar jangkaan iaitu melebihi 80 ekor dan terpaksa menutup awal penyertaan," kata Zawahir dalam kunjungan ke kediaman Kaunselor Kedutaan Malaysia di Nepal, Fadli Adilah.

Jelas Zawahir, sambutan menggalakkan itu juga berkemungkinan atas faktor harga yang ditawarkan di mana ia jauh lebih murah daripada penganjuran korban di tempat-tempat lain.

“Program kami sebenarnya tidak tamat di sini sahaja. Ini kerana kami juga mempunyai satu lagi program yang dikenali sebagai Jejak Prihatin, yang mana menerusi program ini pihak IAM cuba menjejaki golongan yang perlu dibantu di Nepal ini. Insya-Allah, berkemungkinan pada bulan Disember ini," katanya.

Secara keseluruhannya, Zawahir menyimpulkan ia adalah satu pengalaman baharu untuk melihat bagaimana reaksi rakyat Nepal dan tidak disangka bahawa mereka sebenarnya, kenal Malaysia.

Malah mereka ini lebih bersopan sewaktu menerima daging korban, walapun terpaksa menunggu lebih dua jam setengah dengan sabar.

“Kita juga berterima kasih kepada pihak kedutaan kerana program julung kali ini telah mendapat sokongan, bantuan dan penglibatan terus, semenjak di awal pelaksanaan program Ziarah Korban ini sama ada di Kathmandu mahupun di daerah yang lebih jauh.

“Di samping itu, kita juga berharap kerjasama ini akan berterusan bukan sahaja untuk program korban tetapi program-program kemanusiaan yang lain, program bencana, kebajikan dan bantuan untuk madrasah, rumah anak yatim, serta pusat kebajikan," ujar Zawahir.   ZUARIDA MOHYIN Utusan/Bicara_Agama/20141016

Bajet 2015 dan perancangan Nabi Yusuf

APA yang tersurat dan tersirat dalam Bajet 2015 telah diketahui umum setelah pembentangannya dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu. Seusai pembentangan tersebut, banyak pihak termasuk pakar ekonomi, penganalisis, ahli akademik dan orang awam telah memberikan pandangan masing-masing.

Pelbagai perkara telah disentuh mengenai bajet ini. Ia meliputi isu perancangan untuk tempoh 12 bulan akan datang, peruntukan untuk pembangunan, pihak-pihak yang mendapat manfaat langsung dan tidak langsung, kesan makro dan mikro ekonomi dan banyak lagi.

Sebagai contoh, banyak pihak akan mendapat manfaat daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah dinaikkan kadarnya kepada RM950. Begitu juga dengan bonus kepada penjawat awam yang dibayar sebanyak setengah bulan gaji di samping bantuan-bantuan lain yang telah diumumkan.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah masyarakat harus memanfaatkan bantuan yang diterima ini agar kesannya dapat dinikmati sebaik mungkin? Adakah model pengurusan ekonomi yang boleh dijadikan panduan?

Bagi penulis, sedar atau tidak urusan bajet ini telah lama dibicarakan dan dilaksana sejak zaman dahulu. Masyarakat harus mencontohi dan mempelajari perancangan kewangan yang dicetuskan oleh Nabi Yusuf a.s. Hebatnya perancangan kewangan ini sehingga ia tercatat di dalam al-Quran Surah Yusuf ayat 47 hingga 49.

Intipati daripada ayat ini adalah sangat besar dan luas yang merangkumi pelbagai aspek seperti model ekonomi, perancangan jangka panjang, kemahiran, teknologi, penyelidikan dan pembangunan, tenaga kerja yang cekap, pengeluaran yang optimum dan lain-lain lagi. Setiap perancangan yang dibuat akan melalui dua fasa, iaitu fasa ekonomi sedang berkembang dan fasa kemelesetan ekonomi. Setiap fasa mengambil tempoh masa selama tujuh tahun.

Model ekonomi yang diasaskan oleh Nabi Yusuf ini adalah satu model yang terbaik dan sesuai diaplikasi pada setiap zaman termasuklah sekarang. Walaupun model ini lebih merujuk kepada perancangan ekonomi negara, namun ia juga sesuai untuk dipraktikkan dalam pengurusan ekonomi keluarga.

Bagi penerima BR1M misalnya, perancangan jangka panjang perlu dilakukan bagi tujuan pengurusan wang yang diterima. Bantuan BR1M tidak seharusnya dijadikan sebagai sumber pendapatan tetap walaupun ia diterima setiap tahun. Ia harus dianggap sebagai bonus atau wang tambahan.

Seharusnya perlu ada perancangan bagi manfaat wang tersebut. Para penerima wajar bertanya pada diri masing-masing apa yang telah dilakukan dengan wang BR1M yang diterima pada tahun lepas? Adakah manfaat daripada wang tersebut dapat dirasai sehingga sekarang atau dapat duit pada waktu pagi, sebelah petangnya sudah habis dibelanjakan?

Pemerhatian rambang penulis mendapati kebanyakan penerima menggunakan wang tersebut untuk membeli barang-barang yang kurang penting. Misalnya, ada yang menggunakan wang tersebut untuk menukar telefon bimbit yang baru. Ada yang menggunakannya untuk membeli pakaian dan sebagainya yang bukan merupakan keperluan asas harian.

Hal ini seharusnya wajar difikirkan semula. Fikirkan tentang bagaimana wang ini perlu dibelanja agar ia boleh memberi manfaat untuk tempoh masa yang lama. Setidak-tidaknya perlu ada perancangan masa hadapan terhadap wang tersebut. Jika dahulu sebelum BR1M diberikan masyarakat masih boleh berbelanja sebagaimana biasa. Apa kata jika pada masa BR1M diberikan ini perbelanjaan dilakukan sebagaimana sebelum mendapat BR1M ini.

Jika perkara ini boleh dilakukan maka wang BR1M tersebut boleh disimpan untuk digunakan pada hal-hal kecemasan dan situasi yang mendesak. Wang yang kecil ini jika kena perancangannya bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada diri sendiri malah boleh membantu orang lain.

Dalam kisah Nabi Yusuf misalnya, masyarakat dari negara-negara jiran memohon bantuan Mesir ketika berhadapan dengan masalah kemelesetan ekonomi pada waktu tersebut. Pada masa ekonomi meruncing sudah pasti golongan berpendapatan rendah dan orang miskin akan mendapat kesan yang paling besar. Namun, atas kebijaksanaan Nabi Yusuf A.S. golongan-golongan ini tidak berhadapan dengan masalah tersebut.

Inilah yang sewajarnya dilakukan oleh setiap ketua keluarga pada waktu sekarang. Wang bantuan dan bonus yang diterima boleh digunakan untuk manfaat masa kesusahan. Jangan terburu-buru berbelanja dan menghabiskannya dalam tempoh yang singkat. Simpan wang tersebut atau jadikannya sebagai modal permulaan perniagaan kecil-kecilan.

Nabi Yusuf juga mengajar tentang pentingnya penguasaan teknologi dan kemahiran tertentu oleh sesebuah masyarakat. Jangan hanya mengharap dan bergantung kepada orang lain selama-lamanya. Kecanggihan teknologi dan kemahiran ini merupakan perkara penting yang harus ada pada setiap masyarakat untuk sekurang-kurangnya boleh mengeluarkan makanan untuk kegunaan sendiri.

Sebagai contoh, masyarakat boleh cuba menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri dan mengelak kebergantungan kepada pihak lain. Sayuran ini mungkin boleh disimpan, dikongsi bersama jiran atau dijual bagi menambah pendapatan.

Teknologi tanaman terkini menjadikan proses penanaman sayur-sayuran kini lebih mudah dan tidak memerlukan ruang luas untuk bercucuk-tanam. Curahkan sedikit tenaga dan hasil yang besar tentu menanti kita.

Manfaat musim hujan pada masa sekarang juga boleh digunakan bagi tujuan penyimpanan air. Jika awal tahun lalu masyarakat sedih dengan kekurangan air sehingga menyebabkan catuan dilakukan, sekarang air hujan turun dengan banyak.

Mungkin satu perancangan besar boleh dirangka sama ada di peringkat keluarga mahupun negara. Tong-tong simpanan air yang dibeli pada waktu catuan air boleh digunakan untuk mengisi air hujan ini untuk manfaat pada bulan atau tahun hadapan.

Sebagai kesimpulannya penulis menyeru kepada semua ketua keluarga agar sama-sama menghayati prinsip-prinsip yang terdapat dalam model ekonomi Nabi Yusuf. Pemimpin-pemimpin negara juga wajar menjadikan model ini sebagai asas setiap kali bajet dirangka. Moga-moga setiap daripada kita mendapat manfaatnya.

Ram Al Jafri Saad ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia (UUM) Utusan/Rencana/20141016