October 22nd, 2014

Sekelumit cerminan syurga

Penerapan sifat-sifat syurga sebagaimana di dalam al-Quran diimplementasikan pada bangunan terindah di dunia



PEPOHON buah-buahan melengkapkan keindahan sebagaimana gambaran sifat syurga itu.


KESAN-kesan peninggalan pemerintahan Islam di Sepanyol pada awal kurun ke-8 banyak menarik perhatian kita. Contohnya beberapa bangunan yang masih utuh hingga sekarang seperti Alhambra yang terletak di Granada, Masjid Cordoba dan Taman Real Alcazar di Seville.

KESAN-kesan peninggalan pemerintahan Islam di Sepanyol pada awal kurun ke-8 banyak menarik perhatian kita. Contohnya beberapa bangunan yang masih utuh hingga sekarang seperti Alhambra yang terletak di Granada, Masjid Cordoba dan Taman Real Alcazar di Seville.
Taman Real Alcazar atau sering disebut The Royal Alcazar Palace adalah salah satu peninggalan sejarah kejayaan Islam di Sepanyol (Andalus). Bangunan ini didirikan pada awal kurun ke-10 zaman pemerintahan Abdul Rahman 111 iaitu pada tahun 913.
Pembangunan gedung-gedung dan juga taman-taman yang ada di sekitarnya pada masa itu bolehlah disebutkan tidak berlebihan sebagai daripada impian dan tamadun sebuah syurga yang dipotret atau digambarkan di dalam al-Quran.
Syurga ialah sebuah lokasi yang sangat indah yang menjadi impian bagi setiap penganut Islam setelah mengalami kematian. Di dalam hadis juga tempat ini disebutkan sebagai tempat indah yang belum pernah dilihat mata, didengar telinga serta terlintas di hati manusia.
Antara sifat-sifat syurga yang terdapat dalam beberapa surah iaitu;

1 Surah al-Hijr, ayat 45-48 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu dalam taman-taman syurga dan (dekat) mata air (yang mengalir). Dikatakan kepada mereka: Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera dan aman. Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang ada dalam hati mereka, Mereka merasa bersaudara, duduk berhadapan di atas tilam-tilam, mereka tidak merasa lelah di dalamnya dan mereka tidak akan dikeluarkan darinya.

2 Surah al-Kahfi, ayat 30-31 yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya dengan baik. Mereka itulah orang-orang yang mendapatkan syurga ‘Adn, sungai-sungai mengalir di bawahnya, dalam syurga itu mereka diberi perhiasan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan tebal dan mereka duduk sambil bersandar di atas tilam-tilam yang indah, itulah pahala yang sebaik-baiknya dan tempat istirehat yang indah.

3 Surah ad-Dukhan, ayat 51-57 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada pada tempat yang aman (iaitu) dalam taman-taman dan mata air. Mereka memakai sutera yang tebal, (duduk) berhadapan. Demikianlah, dan Kami berikan kepada mereka bidadari. Di dalamnya mereka meminta segala macam buah-buahan dengan aman (dari segala kekhuatiran), mereka tidak akan pernah merasakan mati di dalamnya, kecuali mati di dunia, dan Allah memelihara mereka dari seksa neraka sebagai kurniaan daripada Tuhanmu, yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar.

Dari beberapa surah al-Quran yang disebutkan di atas, dapat disimpulkan bahawa syurga mempunyai sifat-sifat yang memiliki taman-taman, buah-buahan, mata air yang mengalir, sungai yang mengalir dan pohon-pohon.
Walaupun telah disebutkan dalam hadis bahawa syurga belum pernah dilihat mata, didengar telinga, serta terlintas di hati manusia, namun sekurang-kurangnya sifat-sifat yang disebutkan di dalam al-Quran itu dapat diapresiasikan pada sebuah bangunan untuk dirasakan keindahannya di dunia.
Salah satu contoh penerapan sifat-sifat syurga yang dijelaskan dalam al-Quran diimplementasikan pada bangunan Taman Real Alcazar. Para arkitek telah cuba menerapkan dengan menghadirkan bangunan yang dikelilingi oleh taman, adanya air pancuran dan airnya yang mengalir serta pepohon yang boleh dipetik buahnya.
Sebagai ruang umum, kawasan dan juga ruang transisi menuju bangunan yang lebih relevan, dihadirkan taman-taman yang tumbuh pelbagai jenis pepohon tanaman lainnya. Kesan sejuk dan kehijauan dalam kawasan ini memberikan keserasian warna-warni dengan bangunan yang didominasikan warna merah bata. Komposisi dua warna ini sering kita jumpai pada tanaman dan tanah yang memberikan sumber makanannya.
Ruang terbuka menghijau ini akan sering dijumpai pada hampir semua bahagian depan bangunan. Beberapa taman-taman tersebut dihiasi dengan kolam air dan di antara kolam-kolam air itu mengalir air yang berasal daripada air pancuran. Para arkitek sengaja membuat adanya aliran air untuk menciptakan suasana aliran sungai yang digambarkan di dalam al-Quran.
Dalam Taman Real Alcazar ini juga, para penghuni dimanjakan juga untuk menikmati buah-buahan yang sengaja dihadirkan untuk memecah warna hijau daun yang mendominasi warna di dalam taman. Warna kuning buah, sangat anggun ketika terlihat muncul di antara daun-daun yang berusaha menutupinya.
Pada air pancurannya pula telah memberikan kesan air mengalir seperti aliran air pada sungai konsep syurga. Seni geometri dan kaligrafi yang merupakan warisan budaya Islam juga turut terpesona dalam mencantikkan bahagian luar dan dalam bangunan berkenaan.
Pujian atas nama Allah SWT dan kalimah-kalimah-Nya juga dituangkan dalam kesenian kaligrafi, iaitu kesenian berupa tulisan Arab pada bidang datar. Pada umumnya kaligrafi mengambil daripada ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran. Kesenian itu bermotif dengan kesenian geometri dan juga konsep hijau pada beberapa bahagian dinding bangunan ataupun pada bahagian fasa bangunan.
Ternyata bangunan warisan peninggalan peradaban Islam di Andalus, Sepanyol itu, merupakan potret bangunan yang indah seperti cerminan syurga yang digambarkan dalam  al-Quran. Wallahu’alam. Utusan Malaysia Rencana Agama 22 Oktober 2014 10:49 AM

Tidak siuman selepas balik haji

Suka memerintah suami



Banyak perkara yang berlaku di tanah suci Mekah yang boleh dijadikan pengajaran - Gambar hiasan
ROS (bukan nama sebenar) saya kenali semasa tugasan di sebuah spa tidak lama dahulu. Bertepatan dengan musim haji yang baru berlalu, saya teringat satu kisah yang pernah diceritakan oleh Ros mengenai apa yang pernah terjadi kepada ibu mentuanya.


Kisah ini pun telah lama berlalu, kira-kira 10 tahun yang lalu. Ibu mentuanya juga sudah meninggal dunia. Namun kisah ini boleh dijadikan pengajaran dan renungan kepada orang lain supaya jangan mencontohi apa yang dilakukan oleh arwah ibu mentuanya itu.


Menurut Ros, ibu mentuanya merupakan seorang yang cengil yang mempunyai enam orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Ros berkahwin dengan anak lelaki yang ketiga. Hasil perkahwinan tersebut, Ros dikurniakan seorang anak perempuan.


Sepanjang perkahwinannya, Ros melihat ibu mentuanya yang banyak membuat keputusan dalam segala soal. Bapa mentuanya pula banyak berdiam diri dan mengikut sahaja apa yang disuruh oleh ibu mentuanya itu.


Kata Ros, bukan sahaja bapa mentuanya yang patuh tetapi ketiga-tiga menantu lelakinya juga amat baik dan tidak banyak cakap. Apa sahaja yang disuruh oleh isteri-isteri mereka yakni ipar-ipar Ros akan dituruti.


Pendek kata, tambah Ros, mereka seperti kerbau yang dicucuk hidung.


Mengenai bapa mentuanya pula, ujar Ros, ibu mentuanya langsung tidak menghormati suaminya itu.


“Bukan saya hendak mereka-reka cerita. Saya melihat sendiri ibu mentua saya membaling pinggan ke arah bapa mentua yang baru balik bekerja. Bapa mentua bertanya jika ada apa-apa yang boleh dimakan kerana dia lapar.


“Namun pertanyaan tersebut membuatkan ibu mentua mengamuk. Dia yang sedang berada di dapur terus bangun dan mencapai pinggan yang ada di atas meja. Dengan secepat kilat dia terus membaling pinggan tersebut ke arah bapa mentua. Mujur bapa mentua saya cepat mengelak. Jika terkena, mungkin juga dahinya akan berdarah.


“Melihat ibu mentua saya yang sedang mengamuk, cepat-cepat bapa mentua beredar dan masuk ke bilik. Saya memang kasihan sangat melihat bapa mentua. Dia betul-betul bersabar dengan kerenah ibu mentua saya.


“Mengikut suami saya, anak-anaknya yang lain memang dari mereka kecil mereka telah biasa melihat ibu mereka memarahi, menengking dan mengherdik bapa mereka. Bagaimanapun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana ibu mereka garang. Daripada apa yang diberitahu oleh suami saya, ibu mereka itu ada mengamalkan ilmu bagi ‘menundukkan’ suaminya.


“Kata mereka, mereka pernah melihat ibu mereka menyepak pinggan makan bapa mereka semasa bapa mereka sedang menyuap nasi. Bertaburan nasi di atas lantai. Meleleh air mata bapa mentua tetapi bapa mentua masih tidak marah atau cuba memarahi ibu mentua,” ujar Ros yang baru sahaja kematian suami.


Tambahnya, balasan daripada perbuatan ibu mentuanya dapat dilihat semasa menunaikan haji. Menurut orang kampung yang pergi ke Mekah bersama-sama ibu dan bapa mentuanya, semasa di sana, ibu mentuanya langsung tidak dapat menunaikan ibadah haji. Dia asyik berkurung sahaja di dalam bilik hotel dan menangis. Satu hari pun dia tidak mempunyai kekuatan untuk melangkah keluar bersama-sama jemaah lain bagi menunaikan rukun haji.


Berbeza dengan bapa mentuanya pula, jelas Ros, dia nampak sihat dan gembira sepanjang di sana. Bapa mentua begitu bertenaga dan dapat melakukan semua ibadah dengan baik. Dia langsung tidak menghadapi sebarang masalah. Apabila sahaja ada masa terluang, dia akan ke masjid untuk bersolat.


Kata Ros, kawan-kawan ibu mentua yang tinggal sebilik menyuruh ibu mentua supaya meminta maaf daripada bapa mentua. Begitu juga dengan ustazah Tabung Haji yang datang menziarah. Namun ibu mentua mendiamkan diri dan enggan meminta maaf.


“Bagaimanapun setelah selesai ibadah haji dan semua bersiap-siap sebelum pulang ke Malaysia, bapa mentua meninggal dunia. Arwah telah dipilih oleh Allah untuk bersemadi di Tanah Suci. Ibu mentua pulang ke tanah air seorang diri.


“Setelah pulang, perangai ibu mentua tetap sama. Di rumah, dia asyik menangis sepanjang masa. Bila anak-anak bertanya, dia tidak mahu menjawab. Dia banyak berdiam diri.


“Kadang-kadang dia akan keluar rumah dan merayau-rayau satu kampung. Sambil merayau-rayau tu dia akan ketawa-ketawa pula. Bila dia hendak terkencing, dia akan kencing di mana-mana dia suka.


“Selama beberapa bulan juga ibu mentua macam itu. Dia mulai menyebut-nyebut nama bapa mentua dan bertanya kenapa suaminya itu tidak balik-balik. Walaupun telah dijelaskan beberapa kali namun kemudian dia akan bertanya lagi. Memang sedih melihat keadaan ibu mentua. Dia tidak sempat meminta maaf daripada bapa mentua.


“Tidak lama selepas itu ibu mentua menghembuskan nafas terakhir. Kami sebagai anak menantu hanya mampu berdoa agar arwah dimasukkan ke dalam golongan orang beriman dan Allah mengampunkan segala dosanya.


“Saya berharap agar anak-anak perempuannya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada ibu mereka dan bertaubat. Janganlah mencuba-cuba ilmu ke atas suami sendiri kerana sekarang ini balasan dibayar tunai oleh Allah,” kata Ros. Utusan Malaysia Rencana Agama 22 Oktober 2014

Isteri mengeluh, suami pening

Gagal merancang kewangan keluarga akan menggugat kebahagiaan rumah tangga




Lafaz akad nikah itu datang dengan tanggungjawab. - Gambar hiasan


SEUSAI perayaan Hari Raya Haji, majlis perkahwinan berlangsung umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Kadang-kadang sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi kesemua undangan.


Majlis perkahwinan juga mengikut kemampuan pasangan dan keluarga masing-masing. Walaupun kita baru mendengar pembentangan bajet yang mana orang ramai sibuk dengan pelbagai ramalan mengenai kenaikan harga barang berikutan penarikan subsidi minyak sebanyak 20 sen, namun jika kita perhatikan majlis perkahwinan sekarang, semua ramalan itu hanya ramalan sahaja.

Pergi lah ke majlis-majlis perkahwinan, sama ada di rumah atau di dewan. Orang berlumba-lumba mengadakan majlis besar-besaran, seolah-olah tiada kenaikan harga barang! Jumlah hantaran dan mahar (mas kahwin) juga sudah naik.

Jika anak gadis berkelulusan peringkat menengah pun, hantarannya sudah mencecah RM10,000, inikan pula memiliki ijazah, tidak kurang daripada RM15,000. Itu baharu hantaran. Tidak termasuk barangan iringan seperti tas tangan, kasut, baju, barang kemas dan sebagainya.

Itu belum masuk belanja kenduri. Jika di hotel atau di dewan, kos sewa dewan, kos tempahan makanan, hadiah untuk tetamu boleh menelan puluhan ribu ringgit.

Sebenarnya dalam perkahwinan, yang wajibnya ialah pasangan diakad nikah secara sah oleh wali atau berwakil wali. Suami membayar mas kahwin kepada isteri dan jumlah mahar di Malaysia telah ditetapkan kadarnya antara RM100 ke RM300.00, malah pasangan berhak menentukan mahar mereka sendiri.

Hantaran itu tidak wajib tetapi hanya satu adat kebiasaan bagi masyarakat Melayu. Hadiah iringan juga tidak wajib kecuali mampu dan tidak membebankan. Yang wajib ialah akad nikah yang membawa tanggungjawab kepada suami dan isteri.

Apakah kewajipan suami? Memberi isteri nafkah seperti makan minum, pakaian serta tempat tinggal mengikut kemampuan suami. Suami juga wajib menjaga atau melindungi isteri daripada segala bahaya dan hidup berkasih sayang dengannya.

Isteri pula wajib taat kepada suami kecuali dalam perkara yang bertentangan dengan syarak. Isteri wajib melayan suami dalam apa jua keadaan kecuali suami meminta perkara yang diharamkan syarak.

Ketika majlis akad nikah berlangsung, berapa ramaikah pasangan yang benar-benar mendengar dan menghayati khutbah nikah yang dibacakan imam? Jika di kampung, ramai imam yang agak telah berusia dan apabila membaca khutbah nikah, kadang-kadang tersilap dan tidak kurang juga yang tergagap-gagap. Ditambah emosi pengantin yang berdebar-debar menunggu saat bahagia, sedikit sebanyak menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan. Begitu juga dengan ibu bapa dan sanak saudara.

Kebanyakan imam sangat tertumpu kepada teks khutbah sedangkan teks tersebut boleh diubah menjadi ceramah perkahwinan yang sangat berguna. Malahan hari ini sebelum mana-mana pasangan dibenarkan berkahwin, mereka juga perlu menghadiri kursus pra-perkahwinan.

Tujuan utama kursus ini ialah untuk memberikan pedoman kehidupan perkahwinan kepada kedua mempelai. Mereka diberi kuliah mengenai hak dan tanggungjawab perkahwinan. Pada awal pengenalannya, kursus dijalankan selama dua atau tiga hari. Sekarang, khabarnya semakin pendek.

Sebenarnya kebaikan sesuatu kursus itu bukan bergantung kepada panjang pendek kursus itu tetapi impak pengisian kursus. Kursus juga tidak boleh hanya mengenai tanggungjawab tetapi mesti bercerita mengenai realiti kehidupan sebenar alam perkahwinan.

Kursus perkahwinan mesti mengandungi aspek kewangan rumah tangga. Apa dia kewangan rumah tangga? Ia melibatkan punca kewangan, iaitu dari mana sumber dan jumlahnya. Jika sumber utama kewangan datang daripada suami, maka pendapatannya sahaja dikira dalam pengurusan kewangan ini. Daripada sumber utama ini, pendapatan isteri boleh dimasukkan sebagai pendapatan bersama jika pendapatan suami tidak mencukupi.

Kesilapan kebanyakan pasangan hari ini ialah semasa bernikah, mereka telah mengumpul pendapatan suami isteri bersama, sedangkan wajib atas suami membiayai atau menanggung isterinya. Jika kewajipan ini tidak dilunaskan ia adalah berdosa.

Sebaiknya dari awal berkahwin, pasangan sudah menetapkan bahawa dengan pendapatan suami, akan tolak makan minum pasangan. Hari ini jika berdua dan pasangan bekerja dan hanya makan malam di rumah dan hujung minggu, RM250 untuk barangan asas seperti beras, gula, susu, teh dan kopi serta barangan kering yang lain.

Suami perlu menolak bayaran bulanan kereta atau motor, duit minyak motor atau kereta, makan tengah hari semasa bekerja untuk 20 hari dan jika isteri bekerja, untuk isterinya. Jika isteri juga menggunakan kereta, mereka perlu menolak minyak kereta dan tol.

Pasangan perlu menolak sewa rumah daripada pendapatan suami kerana itu tanggungjawab suami. Bayangkan suami berpendapatan RM1,500 sebulan. Daripada jumlah itu, RM250 adalah barang dapur, RM300 sewa rumah (luar Kuala Lumpur), RM300 untuk motor dan minyak, RMm100 belanja makan di pejabat (kecuali membawa bekal) dan jika isteri bekerja RM100 untuknya di pejabat.

Daripada RM1,500 - RM1,050 jumlah yang masih berbaki hanya RM450. Ini sahaja lebihan bagi pasangan muda yang baru berkahwin, mereka benar-benar berpegang kepada perancangan kewangan mereka. Namun ramai juga yang menggunakan kereta dan sudah tentu bayaran kereta paling minimum ialah RM450 sebulan. Kebanyakan pasangan muda semasa berkahwin secara automatik mengira pendapatan isteri atas persetujuan isteri.

Dengan mengira pendapatan isteri sekali sebagai pendapatan bersama, isteri tidak boleh di kemudian hari mengiranya sebagai hutang kerana suami tidak memberi nafkah. Kata orang, “besar periuk, besarlah keraknya” dan “ukurlah baju di badan sendiri.”

Bersama Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UKM serta Profesor 
Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, UKM & Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, (Yadim). Boleh dihubungi di naha61@gmail.com

SEBUAH rumah tangga mesti dibina atas asas kewangan yang betul untuk mengelak hutang. Tiada orang hari ini yang tidak berhutang, namun apabila jumlah hutang terlalu tinggi, pasangan akan menghadapi tekanan dan ini boleh menjejaskan kebahagiaan.

Mengambil senario sama di mana suami berpendapatan RM1,500 dan jika pasangan menggunakan kereta, bayaran kereta dan minyak kereta perlu ditolak daripada pendapatan suami. Ada pasangan memilih untuk menaiki bas ke tempat kerja dan membawa bekal untuk makan tengah hari atau minum pagi. Kereta hanya digunakan di hujung minggu bersama keluarga.

Apabila sudah mempunyai anak, pasangan perlu ingat bahawa perbelanjaan rumah tangga pasti akan meningkat. Jika isteri tidak bekerja, anak tidak perlu dihantar ke tempat jagaan atau pasangan terpaksa mencari orang gaji.

Dengan pendapatan RM1,500, pastinya pasangan muda tidak mampu mengaji orang gaji. Pilihan mereka ialah menghantar anak ke rumah orang untuk dijaga jika isteri bekerja. Mereka juga perlu ada wang untuk kos lampin pakai buang, susu formula untuk mengganti susu ibu.

Jika isteri bekerja dan pendapatannya digabungkan dengan pendapatan suami untuk membiayai keluarga, maka isteri tidak boleh kemudian hari menuntut nafkah tertunggak. Ini kerana isteri sebaik sahaja berkahwin bersetuju menggunakan wangnya untuk keluarga.

Bagi pasangan yang baru berkahwin, jika mereka tidak merancang kewangan keluarga dengan teliti mereka akan menghadapi masalah ketidakcukupan sepanjang perkahwinan. Isteri akan mengeluh dan suami pening kepala. Lebih menakutkan ialah pasangan muda hari ini mempunyai kadar hutang yang tinggi dan mereka tiada tabungan atau simpanan.

Jika pada bulan itu kereta rosak atau perlu memperbaharui cukai jalan dan sebagainya, apa lagi jika suami meninggal secara tiba-tiba, sudah tentu kewangan keluarga akan menerima akibatnya kerana isteri terpaksa memikul beban hutang suami. Akhirnya, isteri juga mendapat tekanan dan seluruh keluarga menderita.

Perkahwinan bukan sekadar menghalalkan hubungan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan mahram tetapi ia adalah tanggungjawab antara satu sama lain. Lafaz akad nikah itu datang dengan tanggungjawab dan ia boleh menjejas kesihatan dan kehidupan jika tidak diperhalusi dengan baik.

Hidup berumah tangga biar berpada-pada. Kurangkan atau hapuskan hutang dan hiduplah mengikut acuan sendiri. Selamat Pengantin Baru kepada semua pasangan yang melangsungkan perkahwinan mereka terutama kepada Habli Hijazi Fauzan Ahmad Fauzi dan pasangannya. Moga kekal bahagia ke akhir hayat. Utusan Rencana Keluarga 22/10/2014