October 24th, 2014

Akta Hasutan sedia ruang perbetul masyarakat

Sama ada kritikan atau protes menentang sistem politik feudal atau juga sistem demokrasi, ia sentiasa berlaku di seluruh dunia; daripada peringkat paling rendah sehinggalah pada peringkat paling tinggi. Dalam pentadbiran, perkara ini sudah menjadi asam garam.

Jelas, keadaan ini berlaku kerana bukan mudah untuk pemimpin memuaskan hati atau memenuhi permintaan setiap lapisan, kelompok dan kumpulan dalam kepemimpinannya. Justeru, setiap pemimpin, secara peribadi atau dalam kapasiti jawatannya, sentiasa berdepan khalayak dan pemerhatian awam. Khalayak ada hak, bahkan tanggungjawab untuk membuat penilaian serta membentuk pendapat sendiri dan seterusnya membuat kritikan kepada pemimpin.

Kita perlu sedar selagi pemimpin itu manusia, tidak mungkin dia maksum atau bebas daripada melakukan kekhilafan. Manusia itu tidak mutlak kebijaksanaannya. Bahkan manusia dalam golongan ulama atau ilmuwan juga begitu.

Justeru, dalam kerangka sistem demokrasi atau apa juga sistem pentadbiran, undang-undang tidak boleh melarang atau menghalang khalayak untuk menasihati atau menegur pemimpin dan kepemimpinannya.


Undang-undang hendaklah menyediakan ruang untuk menasihati pemimpin. Hak pemimpin ke atas yang dipimpin ialah mendapat nasihat, manakala tanggungjawab yang dipimpin kepada pemimpin pula ialah memberi nasihat yang baik, betul dan benar.

Bukan benci membenci

Namun, undang-undang tidak boleh membenarkan sesiapapun membenci atau menghasut orang lain untuk benci membenci antara satu sama lain, termasuk membenci pemerintah. Sebarang kekhilafan hendaklah dinasihati.

Sikap benci membenci dalam apa juga keadaan, kepada sesiapa juga, tidak boleh dibenarkan. Hadis ketujuh dalam kumpulan hadis 40 Imam al-Nawawi menjelaskan peri penting nasihat. Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie ra. bahawa Nabi SAW bersabda: "Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul- Nya, untuk imam Muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya" (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis ini, benarlah hak pemimpin ialah untuk dinasihati dan tanggungjawab yang dipimpin ialah untuk menasihati menerusi tatacara dan tatasusila tertentu. Al-Quran pula mengisahkan mengenai kezaliman dan kekufuran Firaun.

Pada masa sama al-Quran menyediakan tatacara kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menasihati Firaun dengan 'qawlan layyinan', yakni kata-kata yang lembut supaya Firaun beringat dan berasa takut akan azab Allah jika masih berdegil. Pembaca boleh merujuk Ayat 44 Surah Taha sebagai contoh, yang mana maksudnya: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata lemah lembut, semoga ia beringat atau takut."

Menegur atau memberi nasihat kepada pemimpin bukan kerana bencikan mereka, tetapi kerana mahukan mereka kembali kepada cara kepemimpinan yang dapat mendekatkan kepemimpinannya kepada keimanan dan kembali kepada tujuan kepemimpinan yang benar dan diredai Allah.

Perkara 43(3) Perlembagaan meletakkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin. Mereka bertanggungjawab atas segala bentuk atau tindakan dalam kepemimpinannya. Perlembagaan juga meletakkan prosedur tertentu bagi membolehkan nasihat disampaikan kepada pemimpin.

Ruang dalam Akta Hasutan

Sementara itu dalam undang-undang yang menjadi perhatian berkaitan kepentingannya ketika ini, iaitu Akta Hasutan, kita masih mendapat ruang untuk menasihati pemimpin. Tidak semua yang diperkatakan mengenai raja dan kerajaan, sebagai pimpinan tertinggi negara, mempunyai kecenderungan menghasut.

Akta Hasutan, walaupun memberikan kuasa kepada pendakwaan segala bentuk kecenderungan menghasut, tetapi akta ini masih menyediakan ruang kepada khalayak untuk menasihati pemimpin.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam seksyen 3(2) Akta Hasutan. Fasal 3(2)(a) membenarkan khalayak untuk menunjukkan mana-mana raja telah dikelirukan. Fasal 392)(b) juga memberi ruang kepada khalayak untuk menunjukkan kesilapan atau kecacatan dalam manamana kerajaan dalam pelaksanaan peruntukan berkaitan kewarganegaraan, Bahasa Melayu, keistimewaan Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu. Justeru menegur raja atau kerajaan dalam fasal ini boleh dikategorikan sebagai ruang untuk khalayak menasihati pemimpin, bukan menghasut untuk membenci mereka.  Shamrahayu A Aziz Berita Harian Rencana  KHAMIS, 23 OKTOBER 2014 @ 8:26 AM

Mengarus Perdanakan Keluarga Sakinah


Dasar Keluarga Negara (DKN) yang diluluskan pada empat tahun yang lalu merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap institusi kekeluargaan di negara ini. Ia bukanlah cetusan yang terhasil hanya daripada saranan atau desakan suara-suara antarabangsa, tetapi hasil dapatan daripada sumbang saran pelbagai agensi dan wakil-wakil masyarakat negara ini sejak tahun 2001 lagi. Bermakna, tanpa pengaruh luar kita sememangnya bangsa yang prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan negara sendiri dari sudut kekeluargaan. DKN mengiktiraf dan melihat betapa pentingnya setiap unit keluarga yang membentuk masyarakat dan seterusnya bagi pembinaan sebuah peradaban bangsa Malaysia.

Di bawah lembayung DKN, negara mengiktiraf kekuatan institusi kekeluargaan dalam bentuk yang tersendiri. Penghayatan nilai-nilai murni juga merupakan prinsip utama yang perlu tersuntik pada setiap tubuh keluarga di Malaysia. Penghayatan akan berlaku apabila nilai-nilai murni itu dipupuk sejurus setiap insan dilahirkan, dan ia suatu proses yang berlaku secara berterusan. DKN juga merupakan dasar yang bersifat lentur, dan kelenturan itulah yang menerima kepelbagaian struktur keluarga yang ada di negara ini. Inilah sebahagian daripada lapan prinsip DKN  termasuklah hak asasi kemanusiaan dan komitmen daripada majikan yang memberi daya sokong kepada institusi keluarga.

Pelbagai perubahan yang berlaku dari berbagai-bagai sudut kehidupan, memberi kesan kepada keluarga bukan sahaja di negara ini, malahan juga di seluruh pelusuk dunia. Penderaan, keruntuhan akhlak, kecurangan dalam perhubungan, kesihatan, beban kerja yang berat, kemiskinan, pengaruh media sosial dan kelewatan dalam mendirikan perkahwinan adalah impak daripada perubahan yang berlaku, dan semua itu merupakan sebahagian daripada permasalahan sosial yang mempunyai hubungan langsung dengan institusi kekeluargaan. Perubahan-perubahan inilah yang menjadi faktor kepada wujudnya kepelbagaian bentuk keluarga pada era pascamoden ini.

Jika pada dua dekad yang lalu, kebanyakan keluarga di Malaysia adalah dengan bentuknya yang lebih tradisi dan seragam, tetapi hari ini ia lebih pelbagai keadaannya. Seperti keluarga komuter, “sandwich”, “touch n go” dan sebagainya. Jika permasalahan dan situasi ini tidak diambil peduli, tentunya ia akan memberi kesan kepada kestabilan negara, dan keutuhan peradaban bangsa. Sudah pasti juga, kekuatan agama Islam akan terkesan.

Bagi memastikan kekuatan agama Islam terus berlangsung, sudah tentu unit-unit keluarga Islam perlu diberi perhatian secara yang serius. Kepelbagaian keadaan dan bentuk yang berlaku terhadap unit-unit keluarga di Malaysia yang disebabkan perubahan masa, sosial, ekonomi, sains dan teknologi juga aspek-aspek lain, tidak terkecuali berlaku terhadap keluarga Islam. Malah, terdapat isu-isu seperti gejala pembuangan bayi, budaya rempit dan penyalahgunaan dadah dengan keluarga Islam lebih banyak terlibat berbanding keluarga-keluarga yang lain.

Atas keprihatinan inilah, maka Dasar Keluarga Sakinah Negara (DKSN) dibina bagi menentukan hala tuju pembangunan keluarga seterusnya umat Islam di Malaysia. Hala tuju pembangunan tidak akan tercapai walau di mana destinasinya, walau setinggi mana indahnya, jika unit keluarga Islam di Malaysia bukanlah unit-unit keluarga yang tinggi kualitinya dan tinggi potensinya.

Konsep “sakinah” dipilih dan diambil daripada pengajaran ayat 21 Surah ar-Rum yang memberi maksud “ketenangan” dan “ketenteraman”. Keluarga bukanlah semata-mata bangunan rumah yang terdapat bilik, ruang tamu, dapur dan perabot serta perkakasan. Malahan di situlah berkumpulnya jiwa-jiwa yang perlu bertautan antara satu sama lain, yang diikat dengan perasaan kasih sayang dan hormat-menghormati sebagai tanda ketakwaan kepada Allah SWT.

Rumah Baginda Rasulullah SAW sangat ringkas bentuk fizikalnya. Kebanyakan rumah kita kelihatan jauh lebih mewah jika hendak dibandingkan dengan kediaman Baginda. Walau bagaimanapun, teratak Baginda kaya dengan kasih sayang, ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan. Kekurangan dari sudut material tidak sedikit pun mampu menjadi pencetus konflik, malah semua jiwa yang ada di dalamnya terus berkasih sayang dan berlumba-lumba untuk mencapai ketakwaan dan keredaan Allah SWT.

         Melahirkan generasi Islam yang berkualiti dari segi akhlak, rohani dan jasmani, serta memiliki status sosioekonomi yang mapan merupakan aspirasi DKSN. Ini kerana isi peradaban ialah umat yang sihat, kuat ekonominya dan mempunyai silaturrahim yang kukuh. Selanjutnya, peradaban dilindungi oleh akhlak, selain semangat keperwiraan dan daya juang mempertahankan agama dan negara.

DKSN yang mempunyai objektif, misi dan visi yang jelas merupakan suatu dasar yang komprehensif sebagai landasan untuk membina khaira ummah. Terdapat enam teras strategi yang disusun supaya dasar ini boleh terus diguna dan dirujuk sampai bila-bila. Teras strategi ini termasuklah pengukuhan pengurusan kekeluargaan, dilaksanakan menerusi bidang penyelidikan dan pembangunan.  Dengan maksud, penyelidikan akan dilaksanakan (secara berterusan) bagi membangunkan aktiviti serta program yang boleh menjana kesejahteraan keluarga Islam. Selain itu, hasil-hasil penyelidikan yang dibuat akan dikongsi secara bersama kepada masyarakat umum, dan ia bersedia untuk dibincangkan atau diberi pandangan secara  membina demi kesejahteraan keluarga Islam di Malaysia.

Walau bagaimanapun, dasar yang sempurna sebenarnya tidak menjamin ia boleh berperanan dengan berkesan. Apa yang difahami ialah DKSN merupakan sebahagian daripada DKN, dan negara mempunyai barisan dasarnya bagi melengkapkan struktur batu asas pembangunan dan kesejahteraan negara. Dalam hal ini semua pihak perlu menerima DKN/DKSN sebagai dasar pertama atau penaung, yang disusuli oleh dasar-dasar negara yang lain. Ini kerana, sebagaimana yang disebut sebelum ini bahawa setiap perubahan yang berlaku akan memberi kesan langsung kepada unit keluarga. Maka, dasar-dasar yang berikutnya perlu tidak menyanggah matlamat DKN.

Ada baiknya dasar-dasar yang sedia ada disemak semula, supaya ia menjadi penyokong dan pendukung DKN. Atau sekurang-kurangnya menjadi dasar yang mesra kepada semua dasar yang ada.

Setiap dasar pastinya mempunyai matlamat yang tersendiri, tetapi pulangannya perlu dipertimbangkan dalam keadaan unit keluarga akan menjadi subjek dan penerima kesan secara langsung. Alangkah ironinya jika dasar-dasar yang diwujudkan mengalami pertembungan matlamat, dan yang menjadi mangsa tentunya unit keluarga.

Siti Shamsiah Binti Md Supi. Utusan Malaysia Rencana 23 Oktober 2014

“Maal Hijrah: Pengorbanan Muhajirin dan Ansar”

Alhamdulillah, kita telah memasuki tahun baru 1436 Hijrah. Hijrah sebenarnya telah mengingatkan kita kepada peristiwa bersejarah yang berlaku kepada Rasulullah SAW. dan para sahabat RA. Perlu kita ingat bahawa berjayanya hijrah menjadi asas kepada tertegaknya daulah Islamiah yang merupakan matlamat utama penghijrahan Rasulullah SAW. Sesungguhnya orang yang berhijrah mendapat kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT. malah mereka juga disebut sebagai golongan yang mendapat kejayaan.


Inilah yang telah ditegaskan oleh Allah SٍWT. menerusi firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 20: “(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya disisi Allah. (daripada orang yang hanya memberi minum orang yang mengerjakan haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya”.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,Penyatuan dua tonggak utama iaitu golongan Muhajirin dan golongan Ansar semasa hijrah dengan berpandukan wahyu daripada Allah menjadi penyebab utama kejayaan hijraturrasul SAW. pada ketika itu. Golongan Muhajirin ialah penduduk asal kota Makkah dan dikenali sebagai orang Quraisy. Mereka merupakan pengikut Rasulullah SAW. yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Manakala golongan Ansar pula ialah penduduk asal
Madinah yang telah memeluk Islam, terdiri dari kaum Aus dan Khazraj. Mereka adalah golongan yang membantu perjuangan Rasulullah SAW. di Madinah. Pelbagai bentuk pengorbanan telah dilakukan oleh golongan Muhajirin dan Ansar semasa peristiwa hijraturrasul SAW. Lihatlah pengorbanan tanpa berbelah bagi yang dilakukan oleh orang Muhajirin seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Uthman ibn Affan, Abdul Rahman bin Auf, Suhaib Ar Rumi, Mus'ab bin Umair, Abu Salamah bin Abdul Asad, Amir bin Rabiah dan isterinya yang sanggup meninggalkan kampung halaman, keluarga, harta kekayaan, pangkat, kedudukan dan sebagainya demi cintakan Allah dan Rasulnya. Tidak dilupakan keberanian Sayidina Ali ketika menggantikan Rasulullah SAW. di tempat tidur Baginda. Sifat murah hati Ummu Ma’bad yang merelakan kambingnya diperah susu untuk dibuat minuman semasa penghijrahan Rasulullah SAW. dan Sayidina Abu Bakaras-Siddiq. Ternyata kesemuanya itu merupakan pengorbanan yang amat besar nilainya terhadap peristiwa hijrah.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Golongan Ansar turut mempersembahkan pengorbanan yang amat mulia dalam peristiwa hijraturrasul SAW. Saksikanlah kesediaan Abu Ayyub al-Ansari RA. yang telah menjadikan rumahnya sebagai tempat untuk Rasulullah SAW. bermalam. Sehinggalah terbinanya Masjid Quba’ dan Masjid an-Nabawi, orang-orang Ansar pernah mencadangkan kepada Rasulullah agar membahagikan pokok kurma mereka kepada golongan Muhajirin. Namun Nabi Muhammad SAW. menyarankan agar pokok kurma itu diusahakan oleh golongan Ansar dan mereka boleh membahagikan hasilnya kepada golongan Muhajirin dengan alasan bahawa tenaga golongan Muhajirin lebih diperlukan untuk dakwah dan jihad. Seterusnya sirah juga turut memaparkan betapa besarnya pengorbanan yang ditunjukkan oleh Sa’d bin al-Rabi’ dari golongan Ansar yang sanggup menawarkan salah seorang isterinya kepada Abd Rahman bin’Auf dari golongan Muhajirin. Hubungan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar yang telah dipertautkan oleh Rasulullah SAW. atas dasar keimanan telah menyebabkan orang-orang Ansar sanggup berkorban apa sahaja demi membuktikan kecintaan , merekakepada Allah dan Rasul-Nya.


Hubungan sesama mereka seolah-olah
diibaratkan sebatang tubuh apabila satu anggota merasa sakit menyebabkan anggota lain juga turut sama menderita. Hadis daripada Nu’man Bin Basyir bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Perumpamaan orang yang beriman pada kasih sayang, belas kasihan dan sikap lemah lembut mereka seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota terasa sakit maka seluruh tubuh turut merasa sakit disebabkan berjaga malam dan demam”. (Riwayat Muslim).

Allah SWT. telah juga turut menyatakan bahawa golongan yang terlibat dalam memainkan peranan yang penting demi memastikan kejayaan hijrah adalah merupakan mukmin yang sebenar-benarnya. Firman Allah SWT. dalam surah an-Anfal ayat 74: “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada Muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka beroleh keampunan dan rezeki yang mulia”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hijrah membawa pengertian yang amat luas, iaitu keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas, ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta sentiasa berada dalam redha Ilahi. Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada akhlak yang buruk kepada yang baik. Ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam.

Mutakhir ini kita melihat ramai dikalangan artis samada daripada kalangan pelakon, penyanyi, pelawak, model-model, bahkan dilkalangan mat-mat rempit juga mula berminat untuk melakukan penghijrahan dalam hidup mereka kearah kehidupan yang lebih bermakna atau dengan kata ingin kembali ke pangkal jalan. Malah sampai kepada tahap ramai dikalangan orang bukan Islam sudah mula berminat untuk memeluk Islam. Disamping saudara saudara baru yang telah memeluk Islam (muallaf) yang masih terabai nasib mereka, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai anggota masyarakat memberikan bantuan, bimbingan serta dorongan kepada mereka dan janganlah pula kita memandang serong, bersangka buruk dan mencemuh mereka kerana hasrat dan hajat suci perubahan yang ingin mereka lakukan. Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT adalah merupakan orang yang berhijrah.

Hadis daripada Ibnu Juraij RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda : “Seorang muslim ialah orang yang membuatkan orang lain terselamat daripada angkara kejahatan lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa sahaja yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya”. (Riwayat al-Bukhari).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara pengajaran dan iktibar yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah:

1. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha untuk mewujudkan sebuah Daulah Islamiah yang memastikan agar perlaksanaan Islam siterima secara menyeluruh sesuai dengan semangat hijrah Rasulullah SAW.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara perpaduan antara kaum dan bangsa dalam negara.

3. Kita hendaklah memperkasakan Islam agar umat Islam menjadi bangsa yang berdaulat dan menjadi contoh ikutan.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha untuk berhijrah menjadi yang terbaik.

5. Umat Islam hendaklah sedar bahawa tertegaknya Islam adalah bergantung kepada perpaduan yang kukuh dikalangan umat Islam sendiri dan hendaklah menjauhi perpecahan yang merugikan.


“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”. (at-Taubah : 100). Khutbah Jumaat JAIS 24/10/2014

Pencerahan isu anjing

Ia adalah isu fikah yang terdedah kepada ijtihad dalam kalangan para ulama




Jika wujud keperluan untuk memegang anjing maka ia diharuskan. - Gambar hiasan

Adakah anjing itu dikira sebagai najis?

Dalam al-Quran, ada disebutkan anjing di beberapa tempat. Antaranya kisah Ashab al-Kahfi bersama anjing mereka. Dinyatakan dalam surah al-Kahfi ayat ke-22 tentang perbezaan bilangan ashab al-kahfi, namun seekor anjing yang bersama mereka disebutkan seiring bersama.

Sementara itu, dalam riwayat hadis, disebut tentang hukum jilatan anjing. Dalam hadis ini, pedoman nabawi ialah agar dibasuh bejana atau sesuatu yang dijilat oleh anjing. Basuhannya adalah dengan tujuh kali basuhan di mana basuhan yang pertama adalah dengan air tanah.

Daripada hadis-hadis ini, terdapat perbezaan pendapat daripada kalangan para ulama tentang hukum anjing, sama ada ia najis atau tidak. Dalam mazhab Imam Syafie, anjing dihukum sebagai najis mughallazah (berat). Namun, mazhab Imam Malik menyatakan bahawa anjing tidak najis. Ini kerana perintah di dalam hadis ialah sekadar jilatan anjing sahaja.




ANJING guna diperlukan untuk menjaga keselamatan. - Gambar hiasan -

Maka dalam khazanah fikah, terdapat dua pendapat yang berbeza tentang hukum anjing, sama ada najis atau tidak. Satu mazhab menyatakan anjing adalah najis. Ini adalah pendapat majoriti para ulama. Manakala satu lagi mazhab menyatakan tidak najis. Ini adalah pendapat Imam Malik.

Bolehkah kita individu Muslim memegang anjing?

Setakat kajian, tiada ditemui setakat ini satu nas syarak al-Quran dan hadis yang mengharamkan Muslim untuk memegang anjing. Maksud memegang di sini adalah memegang anjing dengan tangan.

Maka dalam hal ini, kita mengambil jalan tengah. Jika wujud keperluan untuk memegang anjing maka ia adalah baik. Contohnya merawat anjing yang sakit, membantu anjing yang tersepit, mengeluarkan anjing yang terperangkap di dalam lubang yang agak dalam dan sebagainya.

Bagi doktor veterinar, anggota polis yang menjaga anjing dan sebagainya maka ada keperluan untuk golongan ini memegang anjing. Namun jika tiada keperluan, maka tidaklah perlu untuk individu Muslim memegang anjing.

Pada masa yang sama, kita juga belum menemui satu catatan hadis bahawa Nabi SAW memeluk anjing dan mencium anjing. Kita juga belum menemui amalan dalam kalangan para sahabat dan para ulama silam untuk memeluk dan mencium anjing. Maka tiada kewajaran untuk bermesra dengan anjing sehingga memeluk dan mencium anjing.

Ini kerana beberapa perkara. Antaranya kerana anjing adalah najis berdasarkan pendapat majoriti ulama dan amalan di Malaysia. Selain itu, ia juga bertentangan dengan kefahaman dan amalan masyarakat Islam di Malaysia. Maka agak pelik jika ada Muslim yang memeluk dan mencium anjing.

Adakah Islam menganjurkan umat Islam membenci anjing?

Islam tidak menganjurkan perkara demikian. Anjing adalah makhluk Allah. Anjing wajar dilayan dengan baik. Contohnya tidak ditendang, dibaling batu, dilastik dan sebagainya jika anjing tidak memberi bahaya kepada manusia. Namun, jika anjing memberi bahaya seperti anjing liar yang ganas atau anjing gila, maka insan wajar mengambil tindakan yang perlu untuk memelihara keselamatan dirinya.

Berbuat baik kepada makhluk Allah mendapat pahala yang besar. Dalam hadis Nabi SAW diceritakan tentang seorang insan yang membantu seekor anjing yang dalam keadaan dahaga, kerana tindakan tersebut, maka dosa insan tersebut diampunkan Allah SWT.


Rin Tin Tin


KEBELAKANGAN ini umat Islam dikelirukan dengan persoalan menyentuh anjing. - Gambar hiasan

Hadis ini memberi gambaran bahawa berbuat ihsan terhadap haiwan walaupun ia seekor anjing. Maka Islam tetap menuntut agar anjing dilayan dengan baik. Maka anjing yang wujud dalam masyarakat kita tidak perlu diganggu kecuali jika wujud mudarat.

Adakah memegang anjing merosakkan iman sehingga menjadi kafir?

Isu memegang anjing tidaklah termasuk dalam isu akidah yang menjadi pembeza antara iman dan kufur. Ia adalah isu fikah. Isu fikah ini terdedah kepada ijtihad dalam kalangan para ulama.

Contohnya seseorang yang memegang pendapat bahawa anjing tidak najis. Pendapat ini bertentangan dengan pendapat majoriti para ulama. Namun ia tidak merosakkan akidah sehingga menjadi fasik atau kafir.

Bagi golongan mualaf yang baru menganut Islam, tidak sewajarnya kita sebagai Muslim baru membenci anjing sehingga kita tidak mahu balik ke rumah ibu bapa atau adik-beradik kita yang masih belum menerima Islam. Keluarga kita yang bukan Muslim memelihara anjing kerana keperluan dan kebiasaan mereka.

Hukum anjing adalah isu fikah yang wajar diimbangi dengan toleransi. Jika ia najis, maka Islam memberi ruang untuk pembersihan dengan kaedah sertu. Apa yang penting, hubungan kekeluargaan tetap utuh.

Bersama AL-SYAIKH DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (al-Jarumi) 
Pensyarah, Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kemusykilan boleh diajukan ke nidiium@yahoo.com dan agama@utusan.com.my

Utusan Malaysia Rencana Agama 23 Oktober 2014 8:38 PM

Kondisi pemilikan harta

SAYA ingin mengetahui, kondisi bagaimanakah seseorang itu sudah wajib mengeluarkan zakat? Adakah perlu berstatus kaya terlebih dahulu? Kemudian, kekayaan atau harta bagaimanakah yang wajib dizakatkan? Ada orang sering merasakan dirinya tidak layak, hanya kerana pendapatannya dianggap kecil. Boleh jelaskan?

Kewajipan zakat terpikul ke atas mereka yang telah memenuhi lima syarat asas wajib zakat


MEMINTA pihak amil zakat menaksirkan zakat pendapatan, itulah cara terbaik. - Gambar hiasan

JAWAPAN Alhamdulillah, semoga jawapan yang disuguhkan ini mampu menghuraikan serba sedikit kekusutan saudara mengenai kondisi diri dan harta atau kekayaan yang diwajibkan zakat di sisi Islam. Tidak dinafikan, memang ramai di luar sana yang berfikiran sedemikian. Dengan andaian yang bukan-bukan, misalnya pendapatan mereka kecil maka mereka langsung mengambil keputusan untuk tidak menaksirkan zakatnya.

Maka, Allah SWT mengingatkan kita dalam hal ini: Maka bertanyalah kamu kepada ahlinya (orang yang alim atau berpengetahuan dalam sesuatu bidang) andai kamu tidak mengetahui (akan keadaan sesuatu perkara itu). (al-Anbiya: 7)

Baiklah, pertamanya kondisi bagaimanakah seseorang itu wajib mengeluarkan zakatnya. Maka dalam hal ini, seseorang itu dikira wajib mengeluarkan zakat sekiranya dia adalah seorang Muslim dan merdeka dan harta yang dimilikinya adalah sempurna miliknya, serta harta itu melebihi syarat nisab dan juga menggenapi haul.

Sebenarnya, lima perkara yang disebutkan di atas, adalah lima syarat asas wajib zakat yang apabila ia ada pada diri seseorang manusia itu, maka wajiblah zakat ke atas dirinya. Tanpa mengira, sama ada dia lelaki atau wanita, masih kecil atau sudah tua, gila atau berakal waras.

Kedua, harta bagaimanakah yang wajib dizakatkan? Di sini, seseorang yang mempunyai harta dan harta itu dimiliki secara sempurna milik, maka sewajarnya dia berhati-hati. Bimbang jika dia sebenarnya sudah pun mempunyai cukup syarat wajib zakat ke atasnya.




DUNIA moden hari ini menyaksikan perkembangan harta dan kekayaan yang terlalu pantas. - Gambar hiasan

Ini kerana, definisi kekayaan dalam Islam adalah apabila harta yang kita miliki itu sempurna milik dan ia berada di atas paras nisab. Apakah nisab? Nisab bermakna, paras minimum harta wajib zakat yang disandarkan kepada nilai 85 gram emas pada harga semasa. Nilai nisab zakat boleh turun dan naik, tergantung kepada harga emas di pasaran.

Maka, seseorang yang harta miliknya (harta zakat seperti wang pendapatan) sudah pun melebihi paras nisab, maka wajarlah dia berhati-hati. Ini kerana, nilai 85 gram emas itu bukanlah terlalu tinggi, julatnya buat masa ini dalam lingkungan RM13 ribu hingga RM16 ribu sahaja. Jika kita mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM16 ribu misalnya, dibimbangi kita mungkin sudah wajib mengeluarkan zakat pendapatan kita.

Maka, jalan yang terbaik ialah dengan meminta pihak amil zakat menaksirkan zakat pendapatan kita. Ini kerana, dalam menaksirkannya maka ada kaedah pengiraan yang kita sendiri mungkin kurang mahir. Maka, jika ditakdirkan selepas ditolak penggunaan dan harta kita masih di atas paras nisab, maka kita wajib mengeluarkan zakatnya, walaupun sebesar RM1.00.

Ketiga, wajar juga kita ketahui bahawa Islam telah menggariskan hanya harta tertentu yang wajib dikeluarkan zakat, dan harta-harta yang tidak termasuk dalam senarai harta zakat, ia tidaklah wajib dizakatkan. Namun, jika ia diniatkan dengan sesuatu niat tertentu, maka harta yang asalnya tidak wajib zakat akan menjadi wajib zakat.

Mari saya kemukakan satu contoh mudah. Apabila dikatakan zakat ternakan, maka hanya haiwan ternakan yang disebut sebagai al-an’am sahaja yang wajib dizakatkan. Apa makna al-an’am itu? Iaitu, umumnya ia ada tiga ciri utama, pertama ia sudah diternak orang sejak zaman dulu sebagai haiwan ternak, kedua haiwan yang bersifat jinak dan ketiga, yang berkaki empat.

Maka, lembu, kambing, kerbau, biri-biri, domba dan kibas ataupun jika di tanah Arab unta, adalah dikira sebagai haiwan al-an’am ini. Selain daripadanya tidak dikira haiwan ternakan al-an’am. Misalnya rusa, kijang, seladang dan begitu juga ayam, itik, angsa, arnab dan sebagainya.

BAGAIMANA halnya jika ada yang bertanya, bukankah burung unta juga mendatangkan hasil yang lumayan, begitu juga rusa dan sebagainya? Kenapakah ia tidak dikenakan zakat seperti unta?

Hakikatnya, rusa dan burung unta itu bukanlah haiwan ternak al-an’am. Memang ia mahal, tetapi kakinya dua dan ia tidak diternak secara jinak sejak zaman dahulu. Maka, biarpun ia diternak ribuan ekor, ia tidak dikenakan zakat ternakan. Namun, sudah terlepaskah kewajipan zakatnya?

Di sini kita perlu melihat kondisinya terlebih dahulu. Sekiranya rusa atau burung unta itu diternak secara komersial, maka ia wajib dizakatkan atas nama zakat perniagaan kerana pemiliknya meniatkan untuk menjualnya sebagai ‘barangan’ atau komoditi.

Jika ia diternak suka-suka, dan jika ada permintaan misalnya disewa untuk tujuan pameran, persembahan atau dijual kepada orang yang berminat, maka ia masih wajib dikenakan zakat pendapatan kepada pemiliknya.

Maknanya, dalam konteks dunia moden hari ini perkembangan harta dan kekayaan sebenarnya terlalu pantas. Maka, kita wajib menyesuaikan diri dengan segala macam kekayaan bentuk baharu itu, biarpun zahirnya ia seakan-akan tidak dikenakan zakat.

Kesimpulannya, jika kita serius memikirkan soal zakat maka kita akan lebih berhati-hati dalam isu pemilikan harta. Keseriusan kita itulah kelak, yang akan menjadikan kita lebih komited dengan ibadah zakat dan insya-Allah, dari sanalah kelak akan melahirkan nilai-nilai keberkatan yang dijanjikan Allah SWT kepada kita.

Wallahua’lam. Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan sila e-melkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, Utusan Malaysia Rencana Agama 23/10/2014

Hijrah si penagih

SEBUT apa sahaja jenis kesalahan, semuanya pernah dilakukan. Begitulah gambaran sikap Amin (bukan nama sebenar) yang tidak pernah terlepas untuk cuba melakukan sesuatu perkara baharu termasuk bertentangan dengan syariat.

Ketika rakan sebaya sedang belajar mengenal dunia, namun berbeza dengan anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang telah mula bergaul bersama rakan jauh lebih berusia semata-mata mendapatkan keseronokan hidup pada seawal umurnya 12 tahun.

Berhenti daripada ketagihan bukan mudah, namun tiada yang mustahil




AL-QURAN beri kekuatan dalaman kepada Amin.

Bermula dengan mencuba-cuba untuk merokok, pemuda yang kini berusia 25 tahun itu kemudiannya mula berjinak-jinak dengan mencuri, menyertai kumpulan rempit, meminum arak, berzina dan akhirnya menghisap dadah. Malah, Amin juga merupakan pembekal dadah yang pernah mengikuti cubaan untuk membunuh.

Lebih menyedihkan, anak kesembilan daripada 10 orang adik-beradik itu juga merupakan bekas pelajar yang pernah dihantar ke sekolah beraliran agama Islam sejak kecil.

Harapan keluarga untuk memberikan bekalan ilmu agama dan menjadi individu yang soleh dengan menghantar ke pusat pendidikan berstatus institusi hafalan al-Quran itu menjadi sebaliknya apabila Amin mula terjebak dalam pelbagai masalah sosial akibat tersalah memilih rakan.

“Oleh kerana ingin memprotes disebabkan tidak mahu dimasukkan ke sekolah beraliran agama, saya mula melakukan semua perkara itu. Di situlah jugalah tempat di mana saya mula berjinak-jinak melakukan dosa dan pelbagai kesalahan disebabkan terpengaruh daripada rakan.

“Mula untuk cuba-cuba merokok, saya kemudian menjadi ketagih dan melakukan perbuatan itu di luar. Sehinggalah pada usia 14 tahun saya mula bergaul dengan kumpulan kongsi gelap yang kebanyakannya adalah penghisap dan pengedar dadah, di situlah saya mula mencuba dadah, minum arak, main perempuan dan sebagainya.

“Sehinggakan saya bertindak lari dari pusat pengajian dan juga pernah dibuang sekolah atas kesalahan melakukan kesalahan berat,” katanya ketika ditemui, di pusat Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim) baru-baru ini.

Biarpun menyedari perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam, namun berkongsi kisah gelapnya, Amin yang kini merupakan penyelaras pusat pemulihan dadah itu berkata, apa yang penting adalah dapat menjadi sebagai individu terhebat serta disanjung oleh orang yang mengenali dirinya. “Satu prinsip yang saya masih pegang dari dahulu sehingga kini ialah apabila ingin melakukan sesuatu perkara itu mesti menjadi ‘seseorang’ dan bukan seperti orang kebanyakan.

“Selepas beberapa tahun bergiat dalam kongsi gelap, saya mendapat kepercayaan ketua sehingga diberi peluang mengedar dadah. Bukan kepada individu, tetapi dadah yang saya jual adalah kepada pengedar yang mengedar kepada pengedar bawahan.

“Saya berasa sangat bangga pada masa itu kerana hidup dalam serba mewah, dikenali dan dihormati rakan-rakan kongsi lain sehingga disanjung dan juga digeruni,” ujarnya yang merupakan salah seorang berpengaruh dalam ahli kumpulannya pada ketika itu.

KETAGIHAN Zaid, (bukan nama sebenar) yang suatu ketika dahulu hampir menghancurkan masa depannya akibat najis dadah menjadi pengajaran yang tidak dapat dilupakan buat anak kelahiran Sungai Buloh, Selangor itu.

Akibat ibu bapa yang terlalu sibuk dengan tugasan demi mencari kesenangan kepada keluarga, membuatkan anak ke tujuh daripada 12 adik-beradik itu akhirnya hanyut dalam kemewahan tanpa panduan dan kasih sayang daripada ibu bapa.

Namun, siapa sangka, kesalahan yang dilakukan sehingga terpaksa dihantar ke pusat pemulihan merupakan laluan hidayah kepada remaja itu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Setelah merasa betapa seksanya hidup di pusat pemulihan, menyedarkan saya bahawa betapa bebasnya di luar dan hakikatnya kita sendiri yang menentukan masa depan hidup ini mengikut jalan yang dipilih.

“Pertama kali dimasukkan ke pusat pemulihan di sebuah di negeri Pantai Timur pada usia 16 tahun cukup menginsafkan saya apabila bergaul dengan teman yang sama latar belakang serta berperangai buruk mengenai kehidupan dalam tahanan.

“Tetapi setiap yang berlaku ada hikmahnya. Di situlah juga saya mula belajar berdikari dan menetapkan cita-cita memulakan hidup baru untuk berubah. Alhamdulillah, Allah SWT menggerakkan hati saya mempelajari ilmu agama,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

SIDIM memberi peluang kedua kepada penagih untuk membina hidup baharu yang lebih diredai-Nya.


Gambar Rushdi Salleh 
Rekabentuk Mastika Mohamed

Zaid berkata, walaupun hanya mampu membaca tulisan Jawi biarpun tidak lancar, penghijrahan Zaid ke pusat pemulihan Sidim sejak Mac lalu menunjukkan perkembangan positif apabila dia mampu menghafal sebanyak 25 juzuk al-Quran sehingga kini dalam tempoh kurang 10 bulan.

“Setiap hari penghuni Sidim akan diarahkan untuk menghafal al-Quran selain diberikan dengan pelbagai pengisian agama yang lain. Walaupun secara paksa, namun sedikit demi sedikit saya menghafal al-Quran sehingga saya dapat mengingati ke tahap ini,” katanya.

Berkongsi kisah hitamnya, remaja berusia 25 tahun itu berkata, kerana terpengaruh dengan rakan sebaya yang menjanjikan untuk memberi keseronokan, membuatkan Zaid mula mencuba-cuba dengan najis dadah pada usia seawal 13 tahun.

Bukan bertindak untuk berhenti, sebaliknya ketagihan Zaid menjadi lebih serius apabila kesalahan yang dilakukan mula diketahui oleh ibu bapanya sekali gus menjadi penyebab kepada berlakunya krisis di dalam institusi keluarga tersebut.

“Hidup saya pada masa itu mewah, apa yang saya inginkan pasti dapat. Oleh kerana itu saya mula bergaul dengan rakan-rakan yang bermasalah di sekolah dan merekalah yang memperkenalkan saya untuk mencuba dadah.

“Benarlah dikatakan, perkara buruk walau disembunyikan bagaimanapun akhirnya pasti terbongkar juga.

Setelah beberapa lama menghisap dadah, perubahan sikap dan fizikal saya yang mula berubah membuatkan emak dan ayah mula curiga dengan tabiat saya dan akhirnya terbongkar.

“Namun, itu tidak menghalang saya daripada menghisap dadah, sebaliknya menambah ketagihan saya kerana krisis keluarga yang berlaku disebabkan saya. Apabila tidak ada duit untuk mendapatkan dadah, saya akan mencuri duit simpanan ayah di rumah,” ujarnya.

Zaid berkata, dia merasa sangat bertuah kerana diberi kesempatan untuk kembali ke pangkal jalan dengan dikurniakan petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT pada usia muda.

Ia katanya, kerana penghijrahan yang dilakukan memberikan ketenangan dan ketenteraman hidup yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

“Walaupun hidup dulu dalam kemewahan dan keseronokan, tetapi saya tidak pernah tenteram dan hanya merasai kucar kacir hidup. Sehinggakan, sekejap pun saya tidak boleh duduk di rumah kerana berasa sangat bosan dan tertekan.

“Tetapi setelah mengamalkan hidup cara Islam sedikit sebanyak membentuk hati saya untuk mengenal diri sendiri. Saya juga sedar wang tidak dapat membeli ketenangan dan kebahagiaan, sebaliknya mempelajari dan mengamalkan agama dan al-Quran mampu memberikan semua itu.

“Di Sidim ini banyak menginsafkan saya dan mengajar saya erti hidup. Di sini juga saya lebih memahami konsep ketuhanan sebenar,” jelasnya.

Bagaimanapun, zaman kegemilangan Amin tidak lama apabila jenayah yang dilakukan akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa dan akhirnya dimasukkan ke pusat pemulihan.

“Sejak yang pertama pada usia 15 tahun, sehingga kini sebanyak tujuh pusat pemulihan di seluruh negara telah saya masuk. Kebanyakannya juga saya telah melarikan diri dari pusat tersebut kerana tidak boleh menerima kaedah yang diterapkan disebabkan tidak kena dengan jiwa saya pada masa itu. “Sehinggalah saya dihantar oleh keluarga ke pusat pemulihan Sidim ini pada 2005 memberikan saya sesuatu perasaan yang baharu. Berbeza dengan pusat pemulihan lain, kaedah penekanan agama yang ditekankan di sini membuatkan saya boleh menerima walaupun secara paksa.

“Pihak pusat mewajibkan kepada penghuni untuk solat berjemaah, sentiasa berzikir dan menghafal al-Quran. Sehinggakan saya terpaksa menulis surah Yasin dalam bahasa Melayu untuk menghafal kerana tidak tahu membaca al-Quran ketika itu,” ujarnya.

Namun, siapa sangka dengan kaedah itu mampu meleburkan ego anak muda yang sedang memberontak dalam mencari keseronokan dan kemewahan dunia itu bersama rakan lain.

“Kaedah pemulihan yang diterapkan boleh dikatakan agak ketat. Kami akan didenda jika tidak solat, tidak dapat menghafal al-Quran atau melanggar peraturan pusat. Namun, bila difikirkan inilah yang dikatakan kaedah secara berhikmah.

“Walaupun tidak lembut atau terlalu kasar, tetapi kaedah itulah yang sesuai dan perlu digunakan untuk memberi kesedaran kepada golongan seperti saya pada ketika itu,” katanya.

Amin berkata, keajaiban al-Quran yang selama ini hanya didengari mempunyai mukjizat yang mampu merubah dan melembutkan hati akhirnya disedari apabila terbukti kepada dirinya sendiri.

“Alhamdulillah, setelah berada di pusat ini beberapa bulan, lama-kelamaan saya mula rasa untuk berubah. Bertekad meninggalkan kesilapan silam dan memperbanyakkan membaca al-Quran membuatkan hati saya semakin tenang dan gembira.

“Lebih-lebih lagi apabila berjaya menghafal ayat al-Quran saya akan merasa seronok dan membuatkan saya semakin berminat untuk terus menghafal dan juga mempelajari agama. Dalam tempoh tiga tahun, syukur saya berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Meneruskan pengajian agama di Indonesia selama hampir lima tahun, Amin bernekad untuk menubuhkan pusat pemulihan dadah sendiri dengan memfokuskan kaedah agama seperti yang dilakukan di Sidim.

“Berbekalkan pengalaman yang ada sepanjang proses untuk berubah, dapat saya manfaatkan bagi melatih golongan yang telah tersalah langkah seperti saya untuk kembali ke pangkal jalan.

“Ini kerana saya percaya, seteruk atau besar mana pun kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu, pasti masih boleh berubah asalkan ada sedikit keinginan dalam diri,” jelasnya. MOHD. SHAH CHE AHMAD (AGAMA@UTUSAN.COM.MY) Utusan Rencana Agama 23/10/2014

Hijrah orang kampung




Seramai 4,500 peserta dari jabatan kerajaan, berkanun dan swasta menghadiri majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), tahun lalu.

ESOK umat Islam di negara kita akan menyambut Maal Hijrah. Hijrah bermakna perpindahan dari­ satu tempat ke satu tempat lain bagi tujuan yang baik.

Sejarah hebat hijrah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Ia merupakan hijrah yang memberi kesan paling besar dan hebat di dunia dan akhirat. Peristiwa hijrah tersebut telah membantu proses dakwah Islam ke satu peringkat yang tersusun dan pantas. Bilangan orang Islam yang menjadi ahli syurga juga meningkat berban­ding sebelum berlakunya hijrah.

Peristiwa hijrah ini mempunyai banyak cerita dan pengajaran yang boleh dipelajari oleh kita semua. Walaupun tiada lagi hijrah selepas peristiwa tersebut, namun umat Islam boleh terus menerus berhijrah dalam konteks yang lebih luas sama ada melibatkan fizikal, emosi, jas­mani atau intelektual.

Penulis ingin membawakan beberapa kisah hijrah yang berlaku kepada orang kampung penulis di Te­laga Mas, Alor Setar, Kedah. Seingat penulis, sekitar tahun 80-an, ramai orang kampung hanya melakukan kerja-kerja kampung akibat tidak ada peluang kerja yang lebih baik di sekitar kampung pada ketika itu.

Ramai anak muda melakukan kerja-kerja sawah dan menoreh sebagai pekerjaan tetap mereka. Ada juga yang cuba-cuba membuka bengkel motosikal sendiri dan kebanyakan mereka tidak bekerja.

Bagaimanapun keadaan ini tidak berlarutan apabila berlaku pembangunan pesat perindustrian sekitar lewat 80-an di negeri jiran, iaitu Pulau Pinang dan bandar raya Kuala Lumpur. Ledakan pembangu­nan ini telah membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada mereka untuk berhijrah ke sana.

Masih terbayang bagaimana pengilang-pengilang sanggup datang sehingga ke kampung penulis bagi mencari orang kampung yang sanggup bekerja di kilang-kilang mereka. Pelbagai kemudahan disediakan termasuklah pengangkutan van pekerja.

Respon daripada anak-anak muda kampung pada waktu itu tentulah pelbagai. Namun akhirnya ada yang menyahut cabaran untuk berpindah ke Pulau Pinang, bekerja di sana dan ada juga yang mengambil keputusan untuk terus melakukan kerja-kerja kampung.

Dalam tempoh beberapa tahun kemudian, anak-anak muda yang berhijrah ini pulang ke kampung dalam keadaan yang sangat berbeza sekali. Mereka pulang dengan motosikal, berkereta dan dengan pakaian-pakaian yang hebat. Ada juga yang telah memiliki rumah sendiri.

Mereka ini disambut sebagai wira oleh ahli keluarga mereka. Orang kampung juga terpegun dengan perubahan diri mereka daripada pekerja biasa kepada orang yang sedikit berduit. Masing-masing me­rasa teruja dengan perubahan diri mereka setelah berhijrah ke bandar-bandar besar.

Orang kampung melihat mereka sebagai agen perubahan dan mendesak anak-anak muda yang masih menetap di kampung untuk berhijrah bersama-sama mereka. Akibatnya, ramai anak muda lain menurut jejak langkah mereka. Kejayaan hebat tersebut telah mengubah landskap masyarakat kampung pada ketika itu sehinggalah sekarang.

Satu lagi kisah hijrah berlaku kepada rakan baik penulis. Dia seorang yang berkerjaya dan mempunyai pekerjaan dengan gaji yang agak besar. Boleh dikatakan dia sudah berada dalam zon kehidupan yang selesa di sini.

Namun, apa yang mengejutkan ialah dia meletakkan jawatan sebagai seorang kakitangan awam untuk berhijrah ke luar negara. Bayangkan langkah yang diambilnya adalah penuh berisiko sedangkan jika terus menetap di sini, dia tidak perlu lagi bersusah payah.

Apa yang menghairankan dia mengambil keputusan berhijrah ke Eropah dan keluar dari zon selesa kepada zon yang berisiko. Keadaan tempat barunya berhijrah tentulah tidak sebaik di negara sendiri.

Setelah agak lama bekerja di luar negara, akhirnya dia pulang juga ke kampung. Kepulangannya telah mengejutkan banyak pihak. Orang kampung sekali lagi ditonjolkan dengan seorang model atau ikon anak muda kampung yang berjaya setelah berhijrah.

Dia bukan sahaja pulang dengan membawa kereta besar dan duit yang banyak, namun cara hidup dan tingkah laku yang dibawa juga me­nunjukkan perubahan yang ketara. Dia sanggup keluar dari zon selesa untuk mengecapi kehidupan dalam zon yang lebih selesa.

Setelah puas berkelana di negara orang, dia mengambil keputusan untuk berbakti semula di negara sendiri. Dia mengambil anak-anak muda sekitar kawasan kampung untuk bekerja dengannya.

Kisah-kisah hijrah di atas memberi kesan dalam kehidupan penulis dan orang kampung. Kisah-kisah ini telah mencetuskan inspirasi kepada anak-anak muda yang lain untuk terus menuruti jejak langkah mereka yang telah berjaya.

Jika dahulu, anak-anak muda ini merasa berat meninggalkan kampung untuk belajar ke sekolah berasrama penuh atau institusi pengajian tinggi, namun keadaan itu telah berubah. Begitu juga dengan orang muda yang telah tamat pengajian sekolah menengah.

Jika dahulu mereka ini akan tinggal sahaja di kampung, namun sekarang tamat sahaja sekolah, mereka terus berhijrah ke tempat yang menawarkan pekerjaan buat mereka.

Inilah kisah-kisah hijrah yang penuh inspirasi daripada anak-anak muda di kampung penulis. Penulis percaya kisah-kisah ini juga berlaku kepada anak-anak muda di kampung-kampung lain juga.

Jika pada hari ini kita berhadapan dengan pelbagai kesukaran seperti sakit, tekanan di tempat kerja, dikelilingi oleh orang yang mempunyai niat jahat, maka langkah yang paling tepat ialah berhijrah. Yakin dan percayalah dengan berhijrah kita akan mencapai sesuatu hasil yang lebih baik daripada sekarang.

Hayati dan pelajarilah daripada kisah-kisah hijrah ini. Kutiplah semangat hijrah Rasulullah SAW. Semoga pengorbanan yang dilakukan pada hari ini akan menjadi sejarah gemilang dalam lipatan sejarah hidup kita. Utusan Malaysia Rencana Agama 24/10/2014

Agama tempat untuk berubah

FIRMAN Allah SWT bermaksud, Katakanlah (Muhammad SAW): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia adalah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Az-Zumar: 53)

Tersalah langkah bukan pengakhiran, mendekati agama merupakan langkah terbaik untuk pulang ke pangkal jalan



Memanfaatkan kelebihan dalam bidang suara, Cikgu Erin menganjurkan kelas bacaan al-Quran.

Bergelumang dalam dosa kemaksiatan akibat tersalah langkah bukanlah alasan untuk terus terjerumus ke lembah kebinasaan tersebut, sebaliknya Allah SWT berfirman menerusi ayat di atas, walaupun sebesar mana kesalahan yang dilakukan, selagi masih bernafas, pintu taubat terus terbuka luas.



Wajah cikgu Erin ketika menjadi maknyah.

Malah, tidak kira sebanyak mana atau sebesar mana dosa dilakukan, dengan rahmat Allah SWT kepada mereka yang nekad ingin berubah, segala kejahatan silam yang dilakukan akan digantikan dengan amal kebajikan.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan. (al-Furqan: 70)

Sehubungan itu, pengasas dan perunding motivasi Persatuan Kebajikan Darul Modahish (PKDM), Mohd. Khariri Mohd. Ramli berkata, mendekati dan mempelajari agama merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi mereka yang telah tersasar memilih cara hidup untuk pulang ke pangkal jalan.

Tidak seperti kaedah lain tambahnya, mempelajari mampu membentuk keinsafan seseorang secara semula jadi tanpa paksaan dan boleh menjadikan ia lebih baik daripada individu yang tidak pernah melalui kesalahan lain.

“Pintu taubat sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin berubah. Bagi mereka yang keliru membuat keputusan untuk mencari ‘jalan pulang’, carilah agama sebagai penyelesaian. Ini kerana agama tidak pernah sesekali menyisihkan orang yang tersasar untuk kembali ke pangkal jalan.

“Dengan mempelajari agama, insya-Allah akan membuatkan jiwa kita akan tenang apabila mengetahui segala yang berlaku itu merupakan ujian daripada Allah SWT kepada hambanya. Bagaimana langkah yang kita sendiri pilih untuk melalui ujian tersebut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Khariri yang juga dikenali sebagai Cikgu Erin berkata, selain perlu menganggap setiap yang berlaku ada hikmahnya, individu yang tersalah langkah juga boleh memanfaatkan kelebihan diri yang diperoleh daripada perbuatan silam dengan berguna.

“Allah SWT tidak menjadikan atau menurunkan sesuatu tanpa sebab. Begitu juga pelbagai ujian sehingga membuatkan kita tersalah langkah memilih masa depan hidup, kerana saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya, malah boleh dimanfaatkan kepada kebaikan.

“Sebagai contoh, seorang ‘mak nyah’ yang ingin berubah boleh menggunakan kemahiran seperti menjahit, menyanyi dan menyolek sebagainya ke arah kebaikan,” katanya yang kini mengajar pelajaran Muzik dan Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman, Pelabuhan Klang Selangor.

Berkongsi kisah hidupnya, Cikgu Erin yang juga merupakan bekas seorang mak nyah mengakui, tertekan dengan kritikan masyarakat serta keliru mengenai personaliti diri akibat kurang panduan, membuatkan dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke ibu kota.

Mulanya sekadar berseronok, anak kelahiran negeri Perak itu akhirnya terpengaruh sesama rakan sehingga sanggup menukar rupa dan jantina dan bergelumang dalam dosa songsang selama lebih 10 tahun.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dengan apa yang berlaku, tetapi berdasarkan pengajaran yang berlaku terhadap diri saya, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk masa depan anak-anak sejak kecil.

“Mereka perlu memantau setiap tindak tanduk anak-anak dan cuba meluangkan masa walau sekejap. Ia bagi membolehkan ibu bapa mengenali anak masing-masing.

“Jika dikesan ada yang tidak kena, ibu bapa boleh bertindak awal atau mendapatkan nasihat pakar,” katanya yang giat memberi khidmat nasihat kepada pelaku salah dan membimbing ibu bapa yang berhadapan masalah itu menerusi PKDM.

Akibat diserang sakit teruk selama hampir setahun kerana sering bertukar pasangan ketika bergelar mak nyah, telah mengetuk pintu hati Cikgu Erin untuk berubah, sekali gus bertekad untuk memulakan hidup baharu.

Berkat penghijrahan itu, Cikgu Erin ditawarkan menjadi jurucakap kepada tiga produk kecantikan halal bumiputera, Safah Herbs Beuty Recipe, DNA Global dan Butik Dreams. Beliau turut dilantik sebagai duta umrah kepada syarikat Suffah Travel & Tour.

“Kelainan bagi pakej umrah yang ditawarkan ini, kembara ibadah diselangi dengan tazkirah serta bimbingan sepanjang perjalanan. Ia memberi peluang kepada ibu bapa atau peserta untuk sama-sama saya memanjatkan doa, apatah lagi doa tersebut di tanah suci.

“Malahan peserta turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat mengenai masalah sosial secara terus,” ujar Cikgu Erin.

Berminat boleh menghubungi Suffah Travel & Tour di talian 012-642 5636 untuk mendaftar. Pakej dijadualkan akan berangkat pada 13 sehingga 23 Disember ini.

Utusan Malaysia Rencana Agama 23/10/2014

Azam menjadi 
muslim mukmin

Esok, kita akan menyambut tahun baharu 1436 Hijrah, insya-Allah. Alhamdulillah, sambutannya bakal diraikan dalam suasana negara yang aman dan makmur. Tema sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan kali ini adalah ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’.

Seperti biasa, sambutan tahun baharu akan disertai azam yang baharu. Apa pun azamnya, marilah kita memastikan ia selari dengan semangat hijrah. Berhijrah daripada kurang baik kepada yang lebih baik, barulah kita berjaya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penggunaan Takwim Hijrah sekarang telah bermula pada tahun ke-17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriah ini diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW yang bermula pada 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba’ pada 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi iaitu hari Isnin.

Bulan Muharam adalah satu daripada bulan ‘ha­ram’ di dalam Islam. (lihat at-Taubah: 9) Jika dihitung kembali, maka 1 Muharam bagi tahun pertama Hijrah jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah.

Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut awal Muharam. Ia penting untuk dijadikan pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan baginda SAW dan para sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia melalui perjuangan gigih dan pengorbanan yang tinggi.

Paling utama, kita perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan kontemporari agar Islam terus berada di puncak. Penguasaan ilmu pengetahuan yang ukhrawi atau duniawi adalah kunci kejayaan tamadun di dunia ini. Allah SWT turut menjelaskan kelebihan golongan berilmu sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) dengan beberapa darjat...(al-Mujadalah: 11)

Di Malaysia, amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut bulan Muharam adalah bacaan doa akhir tahun dan awal tahun. Walaupun ada kekhilafan tentang bacaan doa ini, selagi ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah, maka ia baik untuk umat Islam. Persoalan yang lebih besar apakah sekadar berdoa sahaja yang perlu dilakukan untuk mengiringi kedatangan Muharam?

Sepatutnya, kita menanam azam untuk menjadi insan muslim mukmin, iaitu insan yang meletakkan pengabdian dirinya hanya kepada Allah SWT. Insan begini akan sentiasa memastikan dirinya mematuhi segala pe­rintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Untuk mencapai ke tahap itu, hendaklah seseorang itu berilmu kerana hanya mereka yang alim atau berilmu, takut kepada Allah. Firman Allah bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu...(al-Faathir: 28)

Berbekalkan ilmu, umat Islam tidak akan goyah biar apa pun cubaan dan ancaman yang datang. Datanglah ancaman pluralisme, liberalisme waima usaha campur ta­ngan ibadat orang Islam sebagai mana cubaan kumpulan peguam Lawyer of Liberty di Kelantan, tidak akan menjejaskan kepercayaan dan amalan Islam kita. Sebabnya, ujian itulah yang mengesahkan tahap dan kualiti iman kita sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? (al-Ankabut: 2)

Utusan Malaysia Rencana Agama 24/10/2014