October 30th, 2014

Peguam Muslim Menulis: Wasatiyah penuhi tuntutan Islam

Kerajaan Persekutuan menerapkan dasar wasatiyah dalam pelaksanaan amalan Islam di Malaysia. Pengerusi Institut Wasatiyah Malaysia (IWM), Tan Sri Dr Abdullah Md Zin berkaitan, asas atau dalil pendekatan wasatiyah diambil daripada al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan demikianlah pula Kami jadikan Kamu (wahai umat Islam) "ummatan wasata" (satu umat yang pilihan cemerlang dan adil) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan (syahadah) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan Kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 143)

'Ummatan wassata' menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman ialah umat pilihan lagi adil dan umat yang pertengahan iaitu tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaan, demikian juga akhlak serta amalannya meliputi soal dunia dan akhirat.



Islam muncul mengimbangi Nasrani dan Yahudi dengan menitikberatkan hal ehwal agama di samping tidak mengetepikan - Gambar hiasan

Konsep penuh bijaksana

Konsep wasatiyah yang diperkenalkan menepati konsep maqasid syar'iyyah yang penuh kebijaksanaan serta tidak merugikan umat Islam. Ia dirangka secara menyeluruh dan lengkap dengan panduan yang jelas. Wasatiyah dalam perkara agama perlu jelas, tegas dan dikupas secara bijaksana untuk memberi kefahaman kepada masyarakat.

Dalam konteks ini, wasatiyah bukan bermaksud 50:50 (sama rata) tetapi pendekatan berteraskan kasih sayang, kesejahteraan dan perpaduan yang dikongsi bersama dengan penuh kecemerlangan.

Pendekatan wasatiyah boleh dikatakan sebagai pendekatan berimbang. Ia tidak semestinya moderat atau pertengahan semata-mata dalam erti kata memilih yang sederhana sahaja kerana pendekatan wastiyah perlu dipacu dengan kecemerlangan.

Jika diamati sepenuhnya, ayat itu menceritakan umat wasatiyah akan menjadi 'syuhada' atau saksi kepada manusia.

Syuhada jika ingin dikaitkan dalam sistem perundangan, ia sebahagian daripada kaedah pensabitan dakwaan melalui iqrar, syahadah, bayyinah, qarinah dan lain lain lagi. Pensabitan melalui iqrar atau pengakuan adalah mudah kerana orang yang didakwa mengaku dakwaan terhadapnya.

Jika tiada terdapat pengakuan, keterangan boleh diberikan melalui syahadah, bayyinah, qarinah dan lain-lain. Dalam kategori ini keterangan melalui syahadah adalah keterangan yang paling utama dan tuntas.

Pemberi syahadah atau dipanggil 'syahid' (untuk ramai dipanggil 'syuhada') perlu menjalani tapisan ketat bagi memastikan beliau memberi keterangan yang benar. Suatu proses dinamakan 'tazkiyah al syahid' atau siasatan terhadap pemberi keterangan boleh dilakukan oleh hakim.

Umat yang mengamalkan wasatiyah berdasarkan ayat al-Quran sudah pastinya umat cemerlang yang melepasi piawaian tinggi ditetapkan. Oleh itu, pendekatan wasatiyah menganjak paradigma umat ke arah ketinggian dan kesucian agama Islam.

Jika kita menelusuri sejarah, Islam hadir di tengah-tengah peradaban Nasrani dan Yahudi. Masyarakat Nasrani ketika itu amat menitikberatkan aspek kepadrian kerana pendeta mereka menggarap segala permasalahan ibadat dan menjadikan masyarakat Nasrani ketat dalam isu beragama.

Yahudi pentingkan kebendaan

Masyarakat Yahudi pula ketika itu terlalu mementingkan kebendaan sehingga mengawal aspek keduniaan seperti perdagangan dan perniagaan. Islam muncul mengimbangi kedua-dua agama ini dengan menitikberatkan hal ehwal agama di samping tidak mengetepikan aspek keduniaan.

Inilah keindahan Islam yang dijelmakan melalui pendekatan wasatiyah seperti terkandung dalam firman Allah SWT. Masyarakat Islam sepatutnya bukan sekadar berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat tetapi cemerlang menghadapi segala cubaan di dunia serta menikmati kecemerlangan di akhirat.

Tonggak wasatiyah adalah prinsip akidah, iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Konsep ini perlu membuktikan agama Islam berupaya menyusun dan mengatur masyarakat sehingga mewujudkan peradaban unggul dengan wujudnya konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Kehidupan berimbang yang menjurus kepada kecemerlangan ini perlu terus dipupuk dalam diri masyarakat Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya. Malaysia sudah diiktiraf sebagai negara Islam contoh dalam kalangan negara Islam dan bukan Islam.

Pendekatan wasatiyah akan terus memacu kejayaan negara dan melakar kecemerlangan sebagai sebuah negara Islam contoh. Pendekatan bersepadu ke arah kecemerlangan ini perlu diaplikasi oleh masyarakat Islam dengan teras maqasid al syariah bagi meletakkan Islam di tempat paling tinggi. Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Berita Harian Agama 30/10/2014

Wasatiyyah bukan alasan liberal

DEWASA ini ramai yang menggunakan alasan berpegang kepada prinsip wasatiyyah untuk mempromosikan idea-idea songsang dan menyimpang. Seolah-olah wasatiyyah yang difahami dengan maksud kesederhanaan adalah lesen besar bagi melakukan perbuatan yang memperlonggar prinsip agama sejati.

Lebih malang lagi apabila kecelaruan akan makna wasatiyyah juga lantas membawa umat kepada sikap mempermudah hukum ALLAH dengan cuba memberi pentafsiran baru yang bertentangan suluhan syariat hakiki.

Mungkin ada baiknya dijelaskan terlebih dahulu makna liberalisme yang dimaksudkan. Gagasan atau ideologi yang mula bertapak dalam agama Kristian sekitar kurun ke-18 ini hakikatnya cuba membawa suatu kefahaman bahawa manusia perlu diberikan kebebasan mutlak untuk menentukan garis pandu bagaimana untuk berinteraksi dengan Tuhan.

Manusia yang dikurniakan akal tidak wajar dikongkong oleh satu-satu aliran pemikiran apatah lagi kefahaman agama yang didominasi idea-idea mahupun prinsip-prinsip kuno yang dirasai tidak cocok dengan peredaran zaman.

Pendukung liberalisme juga berpendapat doktrin agama merupakan faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Sebab itulah bagi mereka untuk meruntuhkan segala tembok penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah dengan membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsiran yang sekian lama menjadi pegangan umat.

Dalam konteks agama Kristian, gerakan liberalisme jugalah yang telah berjaya menggulingkan kerajaan dan merobek institusi gereja Roman Katolik melalui siri-siri revolusi sehingga lahir fahaman-fahaman baharu yang lebih ekstrem seperti sekularisme iaitu memisahkan terus urusan agama daripada hal-ehwal pemerintahan dan urusan duniawi.

Hari ini gerakan yang sama turut mengakar dalam kalangan umat Islam. Kelemahan dan kemunduran umat Islam seantero dunia dijadikan alasan untuk membangunkan ideologi songsang yang didakwa mampu memecah kejumudan dan kebekuan umat dalam mentafsir dan mempraktikkan agama Islam.

Malangnya kejumudan yang dimaknakan adalah bersangkutan dengan aturan dan amalan agama yang sudah jelas dimaktubkan oleh syariat. Sebagai contoh ada yang berkefahaman bahawa solat yang difardukan tidak lagi relevan dengan zaman. Memadai untuk melakukan kerja-kerja kebajikan untuk manfaat ummah yang lebih besar kerana akhirnya Tuhan menilai niat kita yang baik bukan sangat soal pergerakan ritual yang tiada makna.

Di negara jiran Indonesia, seorang pensyarah syariah berstatus profesor malah secara berani mengeluarkan fatwa baharu mengatakan gay dan lesbian iaitu perkahwinan sejenis diharuskan masa kini lantaran bilangan umat yang terlalu ramai dan memudaratkan.

Bagi beliau, pengharaman gay dan lesbian asalnya bertitik-tolak daripada rasional bahawa manusia di permulaan zaman seperti Nabi Adam hatta Nabi Luth bilangannya kecil dan perlu diperamaikan.

Ini hanyalah sebahagian kecil daripada contoh-contoh kecelaruan pemikiran segelintir pendukung ideologi liberalisme agama yang mula mengakar dalam masyarakat Islam masa kini. Mereka kini tampil dengan gerakan yang lebih tersusun atas nama Islam liberal bukan sahaja dalam negara malah mempunyai jaringan meluas di peringkat antarabangsa.

Namun yang lebih membimbangkan apabila mereka mula menyerap masuk dalam masyarakat Islam di Malaysia atas nama perjuangan memartabatkan pendekatan wasatiyyah yang hari ini menjadi teras pembangunan Islam di Malaysia.

Hakikatnya manhaj atau pendekatan wasatiyyah yang dipopularkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masa kini tidak sesekali merestui mahupun menyetujui faham liberalisme yang meremehkan dan memperlonggar ajaran Islam yang benar.

Malah dalam ucaptama Perdana Menteri dalam majlis sambutan Maal Hijrah 1436 Sabtu lalu menegaskan maksud wasatiyyah tidak bererti kita mengambil pendekatan melampau hingga Islam tertampil bagaikan agama militan yang keras dan kasar.

Wasatiyyah juga tidak bermakna kita merelakan agama diperlonggar dan dipermudahkan sesuka hati hingga terpesong daripada ajaran syariat yang sahih. Sebaliknya pendekatan wasatiyyah sebagaimana yang diterangkan Perdana Menteri adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan syariat Islam.

Sememangnya maksud wasatiyyah dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan (pilihan terbaik), dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. * DR ASYRAF WAJDI DUSUKI ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Sinar Harian Kolumnis 29 Oktober 2014

Memahami Islam dengan tasawur

TASAWUR (pandangan semesta/ world-view) Islam adalah amat penting sebagai cerminan wajah Islam itu sendiri. Islam agama yang menyeluruh sifatnya. Tidak saja aspek rohaniah menjadi keutamaan, tetapi aspek amaliah juga menjadi tuntutan.

Tasawur Islam mendidik manusia akan kepentingan dunia yang baik (hasanah) sebagai jambatan ke akhirat yang baik juga. Pendekatan berimbang (wasat) menjadi pedoman terbaik bagaimana kehidupan dibentuk.

Islam sebagai cara hidup tidak saja menekankan kepentingan binaan dalam diri manusia tetapi juga luaran diri manusia supaya wujud keseimbangan yang membolehkan peranan yang makruf terjadi.

Sering kali terjadi binaan faktor luaran berlaku dengan baik, sayangnya ia tidak dipandu oleh faktor batiniah yang baik menyebabkan penyimpangan amal terjadi.

Titik-tolak tasawur Islam terhubung dengan keyakinan yang tinggi terhadap Pencipta, ALLAH. Asas tauhid ini menjadi landasan untuk bersifat ubudiah terhadap Pencipta. Sifat ubudiah ini apabila diterjemahkan secara menegak ia memberi pedoman kepada diri dan hubungan dengan manusia lain.

Tasawur Islam juga melihat proses Nubuwah (kenabian) sebagai pengukuh akidah tauhid. Nabi Muhammad diturunkan al-Quran sebagai sumber pertunjuk kepada manusia khususnya orang-orang yang bertakwa (hudan linnas, hudan lilmuttaqeen).

Ia menyebabkan manusia mempunyai sumber teladan dan jalur ikutan. Al-Quran memberikan batas syariah yang perlu dipatuhi supaya kehidupan terpedoman. Inilah gambaran akhlak yang menjadi matlamat membangun rijal atau insan supaya lahirnya tamadun.

Tamadun Islam terbina dengan ilmu dan amalan. Tasawur mengenai tamadun tidak saja bersifat ilmu dan karya, tetapi kecantikan diri yang terbina rasa amanah, adil, ikhlas, telus, tulus dan bijaksana dalam melakukan sesuatu.

Bila kualiti ilmu yang tinggi disantuni dengan kualiti diri yang makruf ia bakal menghasilkan amal soleh. Yang dikatakan ilmuwan Islam ialah apa yang dikatakan, itulah yang menjadi pedoman dalam hidupnya. Keindahan Islam tidak saja kepada faktor fikir dan zikir (tautan akal dan hati) tetapi juga terhadap pekerti mulia.

Sebab itu Islam amat mengutamakan ilmu dan amal sebagai asas binaan sesuatu tamadun. Umat yang bertamadun ialah umat yang mempunyai kualiti akliah yang tinggi, kualiti rohaniah yang subur dan diterjemahkan menjadi contoh amaliah sebagai sumber teladan dan ikutan.

Sifat emosional, reaktif terhadap isu, gopoh dalam perancangan dan tindakan, melampau dalam strategi dan tindakan bukanlah gambaran tasawur yang didukung oleh Islam.

Justeru umat Islam perlu menjadi contoh yang mendukung tasawur Islam yang betul dan sempurna. Umat Islam dan Rasulullah SAW menjadi saksi kepada umat manusia.

Yang ingin ditampilkan ialah Islam yang damai dan sejahtera, mengajak manusia kepada yang makruf dan menghindarkan kemungkaran, beriman kepada ALLAH supaya umat Islam menjadi umat terbaik (khairaummah – Al Imran 110).

Pengukuhan tasawur Islam yang sempurna amat penting menjadikan kita sebagai penganut Islam yang baik. Kesyumulan (kesempurnaan) Islam tidak dilihat kepada amalan rohaniah semata tetapi faktor rohaniah memberi kekuatan kepada faktor amaliah yang membawa manfaat dan barakah.

Inilah kekuatan Islam sepanjang zaman. Jika tasawur ini dihidupkan ia menjadi asas kepada binaan tamadun. Sesebuah tamadun tidak akan terbina tanpa kekuatan peribadi batin dan zahir, ilmu dan amalan. CIKGU SIDEK BABA Sinar Harian Kolumnis 30 Oktober 2014