November 5th, 2014

Gerakan pluralisme agama bentuk baru

ANTARA pendekatan mu­tak­hir yang didakwa ber­tujuan menjamin ke­­sejahteraan umat ma­nusia sejagat adalah sua­tu gagasan pluralisme etika yang dipopularkan oleh seorang aktivis Kristian dari Jerman, Profesor Hans Kung ber­judul ‘Etika Global’. Sekalipun ga­gasan etika global gagal men­cadangkan suatu mekanisme yang praktikal bagi merealisasikan ke­sejahteraan umat manusia sejagat, gagasan ini perlu diberi perhatian serius oleh para pengkaji, lantaran ia bertujuan menyejahterakan umat manusia melalui penghayatan prinsip-prin­sip sejagat yang didakwa sudah sedia terdapat dalam pelbagai ajaran agama di dunia termasuk agama Hindu, Buddha, Yahudi, Kristian dan Islam. Gagasan ini jelas suatu percubaan untuk mengajak umat manusia mengiktiraf gagasan pluralisme aga­ma bahawa kebenaran berada dalam semua agama, khususnya dari aspek etikanya.


Deklarasi Etika Global diisytihar dan diluluskan secara rasmi oleh Majlis Parlimen Agama-Agama Dunia pada 4 September 1993 di Chicago, Amerika Syarikat. Persidangan itu dihadiri 6,500 peserta dari seluruh dunia mewakili pelbagai latar agama di samping tokoh politik, ekonomi dan budaya. Antara sarjana Islam yang hadir Profesor Hasan Hanafi dari Universiti Kahe­rah, Profesor Muhammad Talbi (Universiti Tunis), Syaikh Muhammad al-Ghazali (Universiti al-Azhar) dan Putera Mahkota Hasan Talil dari Jordan.

Dari sudut terminologi, ekspresi global ethic ditunjangi perkataan penting iaitu global dan ethic. Global­ bermaksud seluruh dunia, sejagat, semesta manakala ethic merujuk kepada standard etika yang boleh diterima sebagai model ikutan oleh umat manusia daripada pelbagai latar agama, bangsa dan budaya.

Penggunaan istilah ethic merujuk kepada prinsip-prinsip asas moral yang sedia ada dan diamalkan oleh seseorang individu atau kumpulan etnik tertentu, sama ada yang bersumberkan ajaran agama atau berasal dari amalan tradisi, adat dan budaya hidup mereka. Perkataan ethics pula bermaksud falsafah moral atau teori-teori teologi tentang norma dan sikap manusia yang terkeluar dari skop perbincang­an etika global (Hans Kung, A Global Ethics for Global Politics and Economics, 1997).

Deklarasi Etika Global mengajak umat manusia mengamal dan mempertahankan nilai-nilai baik dan sejagat yang terdapat dalam keba­nyakan agama dan budaya. Sebab itulah, dekla­rasi itu antara lain menegaskan bahawa bumi yang kita huni ini sangat mende­rita kerana sedang dimusnahkan oleh pelbagai penyakit kronik seperti jenayah, kemiskinan, ketidakadilan, kemusnahan institusi keluarga, kerosakan ekosistem bumi, keganasan dan kebencian atas nama agama. Masalah-masalah tersebut tidak sepatutnya berlaku jika prinsip-prinsip etika sejagat yang dianjurkan oleh pelbagai agama atau etika global dilaksanakan oleh setiap daripada kita.

Hans Kung me­negaskan bahawa ia bukanlah suatu ideo­logi global yang baru; bukan juga percubaan untuk menyatukan semua agama menjadi satu; atau suatu bentuk dominasi agama ter­tentu ke atas agama lain. Etika glo­bal juga bukan mahu menggantikan prinsip-prinsip etika tertinggi yang sedia terdapat dalam sesuatu agama dengan yang baru; bukan juga untuk mengambil alih peranan kitab Taurat, Injil, al-Quran, Bhagavad­gita dan lain-lain. Objektif sebenarnya, tegas Hans Kung, adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa semua agama di dunia menganjurkan nilai-nilai moral umum yang boleh diterima oleh semua bagi menjamin keharmonian, keadilan, keselamatan dan kelangsungan hidup mereka. Justeru, etika global tidak berhasrat menentang sesiapapun tetapi mempelawa semua manusia, baik yang beragama atau tidak, supaya berpegang teguh kepada nilai-nilai etika umum tersebut serta mereali­sasikannya dalam segenap ruang hidup mereka.

Antara nilai etika standard pa­ling asas yang disyorkan untuk diamalkan oleh setiap individu oleh etika global adalah setiap manusia wajib diperlakukan sebagai manusia; setiap manusia juga perlu komited terhadap budaya tanpa keganasan dan menghormati kehidupan; dan komited terhadap budaya persamaan hak dan perkongsian sama rata antara lelaki dan wanita.

Sekiranya prinsip-prinsip etika yang paling asas tersebut dapat direali­sasikan oleh setiap manusia, maka sudah tentu bumi ini akan menjadi aman sejahtera serta kelangsungan hidup manusia akan terjamin.

Pada hemat saya, etika global boleh disamakan de­ngan gerakan pluralisme agama yang diperjuangkan oleh pemikir-pemikir liberal pada masa kini. Bagaimanapun, gagasan etika glo­bal lebih fokus kepada isu-isu persamaan dasar etika yang terdapat dalam agama-agama di dunia, bukan persamaan antara agama tersebut. Pluralisme agama pula merujuk kepada aliran teologi liberal yang mendakwa bahawa semua agama adalah benar dan sah belaka, masing-masing menuju suatu tujuan atau tuhan yang sama, iaitu Allah, sekalipun menggunakan pendekatan berbeza-beza. (Mun’in A. Sirry, Fiqih Lintas Agama: Membangun Masyarakat Inklusif-Pluralis, 2005; Charles Kurzman, Liberal Islam: A Sourcebook, 1998).

Oleh itu, gagasan etika global lebih tertumpu kepada persamaan dasar etika dalam pelbagai agama dan budaya, manakala gerakan pluralisme agama menekankan skop lebih luas iaitu ke arah penyatuan dan persamaan antara agama. Bagaimanapun, pengiktirafan gagasan etika global bahawa dasar-dasar etika sejagat yang boleh diterima oleh semua manusia sudah terdapat dalam semua ajaran agama di dunia terutama Kristian, Islam, Yahudi dan Hindu, mungkin juga satu lagi bentuk pluralisme baru, iaitu pluralisme etika.

Bagaimanapun, beberapa prinsip etika standard yang disyorkan oleh gagasan etika global seperti, what you do not wish done to yourself, do not do to others! (Apa yang kamu tidak mahu orang lain perbuat kepada diri kamu, jangan kamu perbuat kepada orang lain); you shall not kill (kamu tidak boleh membunuh); you shall not steal (kamu tidak boleh mencuri); you shall not lie (kamu tidak boleh berbohong); dan you shall not commit sexual immorality (kamu tidak boleh melakukan hubungan seksual yang tidak bermoral), adalah antara usaha menyuntik wawasan Barat yang berpaksikan ajaran Taurat dan Ten Commandments.

Dasar-dasar etika umum lebih komprehensif seperti yang terdapat dalam agama lain terutama Islam, nampaknya tidak menarik minat Hans Kung untuk dijadikan nilai ikutan yang asasi. Malah nilai-nilai sejagat dalam agama Buddha dan Hindu juga sangat perlu untuk diketengahkan secara perban­dingan bagi membuktikan bahawa nilai-nilai sepunya juga terdapat dalam agama-agama lain.

Saya berpendapat gagasan etika global lebih bersifat retorik tanpa disokong oleh suatu kerangka kerja atau program yang konkrit untuk dilaksanakan, sedangkan objektif­ yang ingin dicapai oleh etika global adalah sangat besar iaitu bagi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan umat manusia di muka bumi ini. Kaedah yang dicadangkan pula sekadar menyeru dan menyedarkan setiap individu supaya mempraktikkan nilai-nilai kebaikan yang boleh diterima oleh umum bagi mewujudkan dunia yang aman, makmur serta bebas jenayah, keganasan, kemiskinan, ketidakadilan, keruntuhan institusi keluarga, kemusnahan ekosistem alam, kebencian dan keganasan atas nama agama. Persoalan pen­ting tentang bagaimanakah cara untuk menyedarkan setiap individu supaya melaksanakan nilai-nilai kebaikan sejagat tersebut tidak diberi perhatian oleh etika global.

Barangkali tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa, gagasan etika global adalah satu lagi produk diplomasi Barat untuk mengkristiankan penganut agama lain dengan cara menggesa mereka berpegang kepada prinsip-prinsip etika sejagat yang terdapat dalam ajaran agama masing-ma­sing, tetapi terhad kepada nilai-nilai sepunya yang dianjurkan oleh agama Kristian sahaja.

Hans Kung sendiri mungkin sudah menyedari bahawa agama Kristian hanya mempunyai nilai-nilai etika sejagat yang sangat terhad, maka beliau cuba menutup hakikat ini dengan menyarankan supaya nilai-nilai sejagat yang terdapat dalam agama lain juga diiktiraf dan diamalkan, tetapi gagal mengete­ngahkan apakah nilai-nilai sejagat yang dimaksudkan itu.

Dalam bidang ekonomi um­pamanya, Hans Kung cuba meuniversalkan nilai agama Kristian tentang ‘tidak boleh mencuri’ sebagai suatu prinsip yang boleh mewujudkan kesejahteraan umat manusia di samping membentuk sistem ekonomi yang adil. Adalah terlalu janggal untuk mendakwa bahawa suatu prinsip etika sahaja dapat menjamin pembangunan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks ini, Hans Kung jelas gagal menelaah prinsip asas agama lain yang lebih pen­ting dalam bidang tersebut seperti terdapat dalam ajaran Islam (Mushtaq Ahmad, Business Ethics in Islam, 1995).

Prinsip-prinsip etika ekonomi Islam yang cukup komprehensif sudah tentu akan dapat menjamin kesejahteraan umat serta pemba­ngunan ekonomi yang adil seperti, kewajipan bekerja, kebebasan untuk menjalankan bisnes, keharusan untuk memiliki harta kekayaan, pengharaman riba, judi, curi, rompak, rasuah, monopoli, sorok dan pembaziran, kewajipan mengagih­kan harta kekayaan melalui pelbagai institusi seperti zakat, cukai, nafkah dan kifarah serta saranan Syariat Islam supaya umat manusia mengagihkan harta kekayaan kepada orang lain yang memerlukan melalui sedekah, memberi pinjaman, wakaf dan wasiat.

Prinsip-prinsip etika Islam yang sangat mendasar dan universal dalam bidang ekonomi ini jika dilaksanakan, sudah tentu akan dapat menjamin pertumbuhan ekonomi yang sihat dan adil, di samping dapat memelihara kelangsungan dan ke­sejahteraan umat manusia di muka bumi ini.

Prof Mohd Nasir Omar ialah Profesor Pemikiran Islam dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan. Utusan Malaysia Online Rencana Agama 05/11/2014

Selamatkan Madrasah Al-Mashoor; Selamatkan Bukit Tugu Kuala Lumpur

Selamatkan pusaka 
Syed Syeikh Al-Hadi

SIAPA Syed Syeikh Al-Hadi? Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau.

Beliau ialah tokoh yang berjasa pada zaman Tanah Melayu.

Beliaulah pendiri Madrasah Al-Mashoor yang termasyhur itu di Pulau Pinang. Beliaulah tokoh kewar­tawanan, penggerak Kaum Muda, reformis Muslim dan seorang guru.

Beliau juga penulis novel, tuan punya syarikat percetakan yang mencetak dan menerbit akhbar, majalah dan kitab-kitab agama.

Jasanya wajar diperkenalkan kepada generasi muda Malaysia. Namun ketokohan beliau semakin dilupakan daripada rakaman sejarah malah mungkin dilupakan terus.

Hari ini, iaitu sejak bertahun lalu, bangunan Madrasah Al-Mashoor di sisi Masjid Jamek Melayu Lebuh Acheh terbiar kusam, menunggu masa roboh atau akan dirobohkan.

Menurut seorang rakan saya, bekas wartawan Utusan, pemuisi dan pelakon Pyan Habib yang kebetulan menjelajahi ke lokasi sejarah itu; “Lu kena tulis pasal hal ini. Kita kena selamatkan sisa sejarah ini.” Lu dan gua adalah sebutan lazim beliau kepada kami semua.

Menurut Pyan, di pintu hadapan madrasah yang telah pun disita, ada notis tertampal menyebut bangunan madrasah akan dijual jika waris pemiliknya - yang mungkin tidak dapat dihubungi atau tidak diketahui berada di mana - gagal membayar tunggakan cukai pintu kepada pihak berkuasa tempatan berjumlah RM8,574.90.

Berapakah harga cukai pintu bagi satu tahun di Pulau Pinang?

Berdasarkan jumlah cukai pintu yang tertunggak itu sudah berapa puluh tahunkah bangunan Madrasah Al-Mashoor itu terbiar?

Begitu juga banglo milik Syed Sheikh Al-Hadi di Jelutong. Bangunan yang kukuh tersergam itu kini diberitakan menjadi tempat upacara ritual agama bukan Muslim. Aduh!

Di mana pemimpin dan korporat Melayu Pulau Pinang yang kaya-raya?

Di mana pejuang Melayu yang selama ini mengangkat penumbuk dan keris apabila bercakap tentang hak-hak Melayu? Jika Presiden UMNO bertanyakan masih wujudkah UMNO Selangor, maka soalan yang sama wajar diajukan kepada UMNO Pulau Pinang.

Tidakkah mereka berasa akan kehilangan jejak sejarah asal-usul keturunan mereka yang hebat itu?

Tidakkah mereka berasa terhutang budi dan jasa terhadap tokoh masa lampau mereka? Mereka sepatutnya berbangga untuk mengambil peluang membayar cukai pintu Madrasah Al-Mashoor yang tertunggak seterusnya membaik pulih bangunan tersebut.

Inilah peluang mereka, peluang Melayu kaya-raya yang berasal-usul dari Pulau Pinang - itupun jika tidak lupa diri - untuk membalas jasa.

Jangan hanya megah bercakap sebagai pejuang Melayu.

Jangan salahkan kerajaan negeri jika bangunan madrasah yang termasyhur itu terjual kepada bukan Melayu.

Diulang: Mana pergi Melayu kaya-raya di Pulau Pinang atau di luar Pulau Pinang?

Kalau saya seorang yang kaya, seorang yang berduit, saya akan membayar cukai pintu yang tertunggak itu malah membeli rumah banglo peninggalan tokoh ini.

Jika bangunan lama sekitar Georgetown boleh disenarai sebagai Warisan Dunia, tidak adakah usaha untuk menjadikan bangunan Madrasah Al-Mashoor di pekarangan Masjid Jamek Melayu Lebuh Acheh dan rumah banglo peninggalan Syed Sheikh Al-Hadi di Jelutong sebagai Warisan Pulau Pinang kalaupun tidak sebagai warisan Malaysia?

Diberitakan dahulunya terdapat seorang menteri Melayu berbuat janji untuk berbuat sesuatu akan rumah peninggalan Almarhum Syed Sheikh Al-Hadi itu tetapi itu hanya janji seorang Melayu semasa berjawatan menteri.

Hari ini rumah bersejarah itu, tempat di mana lahirnya pemikiran dan gagasan yang menyedarkan masyarakat Melayu Nusantara kini sudah pun tergadai.

Sekali lagi: Di mana Melayu kaya-raya dan para pejuangnya? - sergah Pyan Habib dalam suara sengaunya kepada saya.

Saya hanya mampu terhangguk-hangguk kepala. Tanpa jawapan.

Benarkah green belt 
Mahameru ini sudah 
dijual?

BARU-BARU ini saya melawat ke Wisma Peladang berhampiran dengan Wisma Tani di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur.

Dari atas Wisma Peladang itu saya melihat satu pemandangan yang cukup indah, saujana mata memandang.

Tidak sangka saya sepanjang melalui Jalan Mahameru dari Parlimen ke PWTC kita tidak perasan kawasan itu merupakan lingkaran hijau atau green belt KL yang cukup menakjubkan.

Pemandangan berbukit-bukit melengkapkan lagi suasana itu.

Saya menyapa kepada pemilik bilik yang menghadap suasana itu. Wah! cukup cantik pemandangan dari situ.

Saya difahamkan kawasan itu dikenali sebagai Bukit Tugu.

Di bawah kelihatan Wisma Tani - bekas bangunan yang menempatkan Kementerian Pertanian satu ketika dahulu yang kini sudah dikosongkan.

Lantas beliau berkata, “Semua itu sudah dijual.”

Saya tersentak. Sudah dijual?

Bukankah kesemua tanah dan bukit-bukit itu milik kerajaan? Mengapa harus dijual?

Kerajaan sudah tiada wangkah sehingga itu pun mahu dijual?

Saya kata kepada beliau. Bukankah itu adalah sebahagian daripada lingkaran Taman Parlimen, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana atau Lake Gardens yang diasaskan pada 1888, mengapa perlu dijual?

Ia sewajibnya perlu diwartakan sebagai milik kekal kerajaan dan tidak boleh dijual sampai bila-bila.

Jika mahu dibangunkan tidak apa. Tapi ia haruslah tidak mengganggu kehijauan dan muka bumi di situ.

Pemilik bilik itu tidak terkata apa-apa. Dia faham perasaan saya.

Setelah semua kawasan sudah ditarah di KL ini, apakah kehijauan itu pun mahu dimusnahkan?

Sahabat saya Datuk Bandar Kuala Lumpur harus menjawab persoalan besar ini.

Benarkah “ia sudah dijual”. Jika benar, kepada siapa ia dijual dan mengapa?

Apakah rancangan pemilik baharu tanah itu? Mahu dibina hotelkah, atau gedung-gedung niaga atau taman tema?

Datuk Seri Datuk Bandar kena jawab.

Bagi saya jika benar: Kita Wajib Selamatkan Lingkaran Hijau Bukit Tugu itu!

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/selamatkan-madrasah-al-mashoor-selamatkan-bukit-tugu-kuala-lumpur-1.20884#sthash.UjlW6z2M.dpuf

Tersenyum saat kematian

Orang yang berdamai dengan Allah, paling disukai-Nya



KEMATIAn memisahkan kita dengan orang yang kita cintai. Namun, suatu hari nanti kita akan dipertemukan dengan orang yang kita cintai di akhirat kelak. – Gambar hiasan

APABILA sakit Rasulullah SAW semakin berat, baginda memanggil puterinya Fatimah. Puteri kesayangan Nabi SAW ini segera mendatangi rumah baginda untuk memenuhi panggilan tersebut.

Apabila Fatimah tiba, baginda menyambutnya dengan mesra. Baginda lalu mempersilakannya duduk di sebelah baginda Nabi SAW.

Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW membisikkan sesuatu kepada Fatimah. Mendengar apa yang dibisikkan itu, Fatimah menangis. Melihat puterinya bersedih, Rasulullah SAW menjadi kasihan kepadanya. Baginda lalu berbisik kepadanya lagi. Kali ini, Fatimah tersenyum.

Siti Aisyah yang melihat perkara ini berasa hairan. Beliau ingin tahu apakah perkara yang dibisikan Rasulullah kepada Fatimah itu. Namun apabila Aisyah bertanyakan perkara itu, Fatimah menolak memberitahu. Beliau berkata: “Saya tidak dapat mendedahkan rahsia Rasulullah SAW selagi mana baginda masih hidup.”

Beberapa masa kemudian, Rasulullah wafat. Aisyah kembali bertanyakan perkara ini kepada Fatimah. Beliau berkata: “Saya meminta kepadamu, demi hak saya ke atasmu, beritahukanlah ucapan yang Rasulullah bisikan kepadamu ketika itu.”

Fatimah berkata: “Kerana engkau bertanya pada masa ini, maka aku akan memberitahunya.”

Fatimah bercerita: “Pada bisikan pertama, baginda memberitahu bahawa biasanya Jibril membacakan al-Quran kepada baginda satu kali sahaja setiap tahun. Namun pada tahun ini, Jibril membacakannya hingga dua kali. Aku merasa ini menjadi pertanda bahawa ajalku telah dekat. Maka bertakwalah kepada Allah SWT dan bersabarlah. Sesungguhnya aku akan mendahuluimu.”

“Itu sebabnya aku menangis sebagaimana yang engkau lihat.”

“Baginda menjadi kasihan kepadaku,” lanjut Fatimah. “Beliau lalu berbisik kali kedua dan berkata: Tidakkah engkau suka menjadi penghulu semua perempuan ahli syurga? Sesungguhnya engkau akan menjadi ahli keluargaku yang paling pertama menyusulku.”

Fatimah berkata: “Kerana ucapan ini aku lalu tersenyum.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdamai dengan-Nya

Kematian sangat menyedihkan, sekali gus sangat menggembirakan. Kematian memisahkan kita daripada orang yang kita cintai. Namun kematian juga pada satu hari mempertemukan kita dengan orang yang kita cintai. Justeru, berita kematian membuat Fatimah menangis juga tersenyum.

Menurut ramai ahli sejarah, Fatimah meninggal dunia enam bulan selepas hari mangkat baginda Rasulullah SAW. Menurut Abu Jaafar al-Baqir, usia beliau pada masa itu ialah 28 tahun. Semoga Allah meredai beliau dan seluruh ahli keluarga juga para sahabat Nabi SAW sekalian.

Siapa yang ingin tersenyum apabila menyambut kematian, berdamailah dengan Allah SWT daripada sekarang. Kembalilah kepada agama Allah SWT, tinggalkan maksiat dan mulalah mengumpulkan bekalan. Allah sangat suka kepada hamba yang kembali kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang mukmin akan meninggal dunia, malaikat menceritakan reda Allah SWT dan kemuliaan yang telah tersedia baginya. Justeru, tiada sesuatu yang lebih ia sukai berbanding apa yang tengah disaksikannya ini. Ia menjadi sangat suka berjumpa dengan Allah SWT dan Allah pun suka berjumpa dengannya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk dalam kalangan orang yang tersenyum apabila meninggal dunia nanti. Amin ya rabbal alamin.


Utusan Malaysia Rencanan Agama 05 November 2014 3:18 PM