November 11th, 2014

Kewajipan patuh kepada fatwa

SATU fatwa di Selangor yang diwartakan pada 31 Julai 2014 menganggap bahawa Sis Forum (Malaysia) atau lebih dikenali dengan Sisters in Islam berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama dianggap sesat dan menyeleweng daripada agama Islam. Di samping menyebut dengan jelas pertubuhan SIS Forum, fatwa itu juga meliputi mana-mana individu, pertubuhan dan institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme.


WAKIL 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pahang mengangkat sepanduk mendesak Sisters in Islam (SiS) dan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) menarik balik kenyataan yang menyifatkan hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor sebagai kejam di Kuantan, Pahang pada 2009. – BERNAMA

SIS Forum dalam reaksi marah akan memfailkan semakan kehakiman ke atas fatwa yang dikeluarkan, antara lain ia mencabar fatwa itu yang dianggap mencabuli hak kebebasan memberi pendapat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan yang sering ditanya apakah kedudukan sesuatu fatwa di sisi undang-undang? Apakah sesuatu fatwa wajib dipatuhi? Apakah sesuatu fatwa boleh dicabar di mahkamah? Dan apakah kedudukan seseorang Islam yang mencabar fatwa yang dikeluarkan?

Perlu dijelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara memberi kuasa kepada negeri-negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) untuk mengurus dan mentadbir hal ehwal agama Islam (Jadual Kesembilan, Senarai I (Butiran 4k) dan Senarai II Senarai Negeri (Butiran 1). Ini sesuai dengan kedudukan Sultan-sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang beraja, dan Yang di-pertuan Agong (YDPA) bagi negeri-negeri yang tidak beraja (Perkara 42 (10)).

Hakikatnya, YDPA bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan mempunyai kuasa tertinggi dalam hal ehwal agama Islam dalam negeri masing-masing. Justeru, Majlis Agama Islam ditubuhkan di setiap negeri bagi membantu dan menasihati YDPA dan Sultan-sultan dalam semua perkara berkaitan agama Islam. Bagi memastikan institusi ini berfungsi dengan baik, kerajaan negeri mengasingkan pentadbiran Majlis Agama Islam/Jabatan Agama Islam/Mahkamah Syariah/Jabatan Mufti.

Bagi maksud ini, setiap enakmen negeri memperuntukkan satu peruntukan khusus bagi jawatan Mufti dan Timbalan Mufti (tidak semua negeri) menguruskan hal ehwal fatwa di negeri-negeri (Sebagai contohnya Seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003).

Penubuhan Jawatankuasa Fatwa

Undang-undang yang digubal di negeri-negeri memberi kuasa kepada kerajaan negeri masing-masing menubuhkan sebuah jawatankuasa yang membantu Jabatan Mufti mengeluarkan sesuatu fatwa bagi pihak kerajaan negeri. Bagaimanapun, pelantikan ahli jawatankuasa ini dilantik dan diperkenankan oleh Sultan/Raja dan YDPA bagi Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Secara umumnya Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Fatwa Negeri meskipun pelbagai nama lain diberi seperti Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’, Jawatankuasa Syariah, Jamaah Ulama dan lain-lain.

Keanggotaan Jawatankuasa terdiri dari para ulama dan profesional. Adalah silap tanggapan yang mengatakan hanya golongan ulama dilantik dalam Jawatankuasa ini. Sesuatu fatwa yang dikeluarkan memerlukan kajian yang mendalam kerana ia melibatkan hukum, kepentingan dan kemaslahatan umum.

Fungsi Mufti dan 
Jawatankuasa Fatwa

Jawatankuasa Fatwa Negeri membantu dan menasihati Sultan-sultan bagi menyelesaikan persoalan semasa mengenai hukum syarak. Jawatankuasa Fatwa Negeri pula boleh atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan hukum syarak (Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003).

Pendapat Mufti menjadi rujukan Mahkamah. Mufti boleh mengeluarkan fatwa atau memperakukan pendapatnya atau keterangan yang berhubung dengan hukum syarak jika diminta oleh Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah. Meskipun begitu, Mufti tidak boleh disaman untuk hadir ke mahkamah bagi memberi pendapatnya.

Pengeluaran Dan 
Pewartaan Fatwa

Dari segi undang-undang, hanya fatwa yang diwartakan yang dianggap mengikat. Manakala pandangan atau kenyataan bertulis oleh Mufti tidak mengikat dari segi undang-undang walaupun dibuat di mahkamah. Walau bagaimanapun, bagi Pulau Pinang, pernyataan yang diwartakan dan kenyataan bertulis oleh Mufti boleh dianggap sebagai fatwa bagi mahkamah yang memerlukankanya.

Proses pengeluaran fatwa bermula dengan persoalan yang dikemukakan kepada Majlis Agama Islam. Ia seterusnya dimajukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Fatwa yang juga merupakan Mufti. Kadang-kadang, ia dimajukan terus kepada Mufti. Mufti yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri seterusnya menyediakan kertas perbincangan. Sekiranya perlu, satu kajian terhadap persoalan itu dibuat oleh satu jawatankuasa. Hasil perbincangan akan dimajukan ke persidangan/mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Seterusnya, pejabat Jabatan Mufti menyediakan draf fatwa dan merujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri untuk diteliti. Draf tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Undang-undang Negeri dan seterusnya di bincang dalam persidangan/mesyuarat Majlis Agama Islam yang di pengerusi oleh Pengerusi Majlis.

Kelazimannya sesuatu fatwa yang diputuskan itu akan disembah pula kepada Sultan/YDPA untuk perkenan dan seterusnya diwartakan. Apabila fatwa tersebut diwartakan ia mengikat setiap orang Islam di negeri berkenaan dan hendaklah diiktiraf oleh Mahkamah di negeri tersebut. Kuasa membuat fatwa sehingga diwartakan diperuntukkan dalam setiap Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Sebagai contoh, di Selangor, Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 memperuntukkan Tatacara Pembuatan Fatwa:

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, mengemukakan fatwa yang disediakan itu kepada Majlis.

(4) Majlis boleh, selepas menimbang teliti fatwa itu, membuat syor kepada Sultan untuk mendapatkan perkenan bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(5) Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan itu perlu.

(6) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Sultan, Majlis hendaklah memaklumkan kepada kerajaan negeri tentang fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam warta.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(8) Semua fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.

(9) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam warta menurut subseksyen

Kedudukan Fatwa Kebangsaan

Di peringkat kebangsaan pula, sesuatu fatwa yang akan diputuskan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau Muzakarah Jawatankuasa Kebangsaan yang terletak di bawah Majlis Fatwa Kebangsaan yang diketuai oleh seorang Pengerusi. Kelazimannya, Muzakarah Jawatankuasa Kebangsaan kerap bersidang kerana ia tidak memerlukan perintah dari Majlis Raja-raja. Semua Mufti negeri hendaklah menjadi ahli dengan beberapa ahli lain termasuk dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang atau dari profesion undang-undang yang dilantik oleh Majlis Raja-raja.

Sekretariat Majlis Fatwa Kebangsaan diletakkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sesuatu fatwa yang diputuskan boleh dibuat sama ada secara sebulat suara atau mengikut majoriti undi dua pertiga dari kalangan Mufti atau wakil dan ahli lain kecuali pengerusi dan ahli dari perkhidmatan kehakiman dan undang-undang atau dari profesion undang-undang.

Malangnya, sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat dari segi undang-undang. Malah ia hanya mengikat di peringkat negeri sekiranya negeri berkenaan menerima pakai fatwa itu dan menguatkuasakannya. Lazimnya, fatwa yang diputuskan di peringkat kebangsaan akan dimaju semula ke Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk penerimaan. Sekiranya diterima, ia akan di majukan ke peringkat seterusnya untuk pewartaan

Nampaknya, Majlis Fatwa Kebangsaan hanyalah satu badan diskusi bagi menentukan satu-satu fatwa yang melibatkan kepentingan negara. Ia tidak mengikat negeri-negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Kenyataan Sis Forum bahawa mereka tidak dipanggil sebelum fatwa itu dikeluarkan adalah tidak tepat. Buktinya, satu pertemuan antara Sis Forum dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 12 Januari 2012. Ini adalah rentetan daripada laporan rasmi dan tidak rasmi oleh orang ramai dan pertubuhan Islam supaya pihak berkuasa agama mengambil tindakan ke atas Sis Forum yang dikatakan mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme.

Perlu ditekankan, Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa. Ia diberi kuasa sama ada mengambil tindakan sendiri atau menerima pertanyaan dan laporan oleh orang awam. Kuasa untuk membuat fatwa diperuntukkan dalam Undang-undang Pentadbiran Agama Islam yang diluluskan oleh DUN/Parlimen. Jawatankuasa Fatwa bukanlah badan membuat undang-undang. DUN dan Parlimen adalah badan pembuat undang-undang termasuk undang-undang Islam. Mufti yang mempengerusikan Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak akan mengeluarkan fatwa tanpa sebarang kajian yang mendalam.

Sebagai seorang rakyat Malaysia dan menjunjung Rukun Negara, ”kesetiaan kepada Raja dan negara; dan keluhuran Perlembagaan” hendaklah sentiasa disematkan dalam sanubari setiap warganegara Malaysia terutama bagi orang Melayu-Islam yang meletakkan agama Islam sebagai agama anutan dengan lafaz dua kalimah syahadah sebagai rukun warga Islam.

Sejarawan Muslim terkenal

AL-MAS’UDI merupakan ahli geografi, sejarah, geologi, zoologi, tokoh ensiklopedia sains Islam dan dikenal sebagai seorang pengembara dunia. Beliau juga mempelajari ilmu kalam, akhlak, politik, dan bahasa.


AL-Mas’udi dikenal sebagai seorang pengembara dunia. - Gambar hiasan

Nama lengkapnya ialah Abu Hasan Ali bin Husein bin Ali al-Mas’udi. Beliau mendapat gelaran Imam al-Mu’arrikhin (pemimpin para sejarawan) oleh Ibnu Khalikan (608 Hijrah / 1211 M-681 Hijrah / 1282 Masihi), seorang sejarawan Muslim yang terkenal. Selain itu ia juga dikenali sebagai “Herodotus” (ahli sejarah Yunani).

Setelah menyelesaikan pendidikan pertama yang diterima daripada ayahnya, al-Mas’udi segera merancang untuk mendalami sejarah, adat istiadat, dan cara hidup setiap negeri. Beliau juga banyak mempelajari ajaran Kristian dan Yahudi, serta sejarah Barat dan Timur yang berlatar belakang Kristian dan Yahudi.

Ia menulis banyak karangan, namun sebahagian besar tidak ditemui lagi. Dan yang sampai ke tangan generasi sekarang ini pun ada yang hanya berupa ringkasan. Antara karyanya yang termasyhur adalah Zakha’ir al-Ulum wa Ma Kana fi Sa’ir ad- Duhur (Khazanah Ilmu Pada Setiap Kurun) dan al-Istizkar Lima Marra fi Salif al-A’mar, tentang peristiwa-peristiwa masa lalu.

Kedua-dua buku tersebut telah diterbitkan kembali di Najaf pada 1955. Selain itu, banyak lagi buku beliau yang berkaitan dengan sejarah telah diterbitkan. Ia merangkumi sejarah umat masa lampau dan bangsa-bangsa sekarang serta kerajaan-kerajaan mereka.

Buku yang terdiri daripada 30 jilid ini tidak seluruhnya sampai ke tangan generasi sekarang. Yang ada hanyalah dalam bentuk ringkasan, namun tidak diketahui pengarangnya. Beberapa manuskrip menyebutkan bahawa ringkasan itu merupakan jilid pertama daripada kitab ini.




LAKARAN peta dunia daripada al-Mas’udi.

Kitab ini terdiri daripada dua bahagian besar. Pertama, berisi sejarah penciptaan alam dan manusia, sifat-sifat bumi, laut, peristiwa-peristiwa luar biasa, riwayat nabi-nabi, sejarah bangsa-bangsa kuno dengan agama dan alirannya, serta adat istiadat dan tradisi.

Al-Mas’udi banyak mengutip karya para sejarawan sebelumnya. Kedua, berisi sejarah Islam, mulai akhir masa Khulafa’ ar-Rasyidin (empat khalifah besar) sampai awal masa pemerintahan Khalifah al-Muti daripada Dinasti Abbasiyah.

Selain itu, al-Mas’udi juga memaparkan pembahagian bumi ke dalam beberapa wilayah. Menurutnya, bentuk daratan dan lautan menyerupai segmen sebuah/sebiji bola. Kitab yang sekarang dianggap sebagai kitab turas (khazanah Islam klasik) ini diterbitkan kembali pada 1866 di Bulaq dan 1895 di Kaherah.

Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh C.B de Meynard dan P. de Courteille, menjadi 9 jilid (Paris, 1861-1877). Sebelumnya, jilid satu daripada kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh A. Sprenger (London, 1841).

Selain kitab-kitab tersebut, beberapa karya al-Mas’udi yang tidak sampai kepada generasi sekarang adalah al-Istinsar (Kebangkitan), az-Zahi (Masa kecemerlangan), al-Qadaya wa at-Tajarib (Peristiwa dan Pengalaman).

Dalam penulisan sejarah, berbeza dengan sejarawan lainnya yang kebanyakan pada masa itu menggunakan pendekatan al-hauliyyat (penulisan berdasarkan tahun), al-Mas’udi menggunakan pendekatan at-tasnif al-maudu’i (tematik).

Tema-temanya meliputi bangsa, raja dan dinasti. Dalam pemaparan sejarah, beliau menyajikan bahan dengan menarik, diramu bersama peristiwa politik, peperangan dan informasi tentang masyarakat dan adat-istiadatnya, di samping pembahasan geografi. Dalam hal ini banyak diikuti oleh sejarawan terkemudian, termasuk Ibnu Khaldun.

Secara keseluruhan, karya al-Mas’udi dapat dipakai sebagai sumber untuk memahami pandangan umum Muslim mengenai dunia dan juga sebagai bahan penyelidikan pengetahuan tentang geografi dan sejarah alam. Informasi dalam karyanya tentang negeri yang dikunjunginya diperoleh daripada sumber primer, terutama wilayah-wilayah Islam.

Mesin masa minda

JUNJUNGAN Nabi Muhammad SAW adalah Rasul utusan Allah SWT. Walau tidak pernah menelaah atau talaqqi kitab umat terdahulu, baginda mengetahui sejarah lampau yang mencecah ribuan tahun usianya secara terperinci seolah-olah baginda hadir di situ.

Apabila ditanya kepada Ahli Kitab yang soleh, mereka mengakui kebenaran kisah yang dibawa baginda. Sesetengah mereka langsung bersaksi akan kebenaran baginda dan beriman kerana hanya seorang rasul yang mendapat wahyu mampu mengetahuinya.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “Engkau bukanlah seorang Rasul daripada Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah. (al-Ra’d [13:43]).

“Umpamanya anda baru bertemu seorang lelaki yang kelihatan berkarisma, lalu lelaki tersebut mampu menceritakan kisah lampau anda secara terperinci. Lelaki itu tersebut, pada tarikh sekian, anda terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan kereta sekian. Nombor kenderaan anda dan kenderaan yang melanggar anda juga dinyatakan secara terperinci.




Beruntunglah orang yang berdamping dengan al-Quran. - Gambar hiasan

“Bukan setakat itu, disebut juga semasa kemalangan berlaku, anda memakai baju, seluar dan kasut sekian. Disebut juga nama dan no IC orang yang melanggar juga pegawai polis yang bertugas di tempat kejadian.

“Dinyatakan juga semasa kejadian terdapat berapa ramai pemerhati dan perincian mengenai identiti setiap yang hadir bersama warna pakaiannya. Kemudian disebut juga kos rawatan yang anda lalui di hospital sekian oleh doktor sekian. Disebut juga berapa lama anda mendapat cuti sakit dan kesan kemalangan yang anda rasai sehingga sekarang.”

Setelah mendengar penjelasan terperinci lelaki tersebut, anda pasti terus beriman dengan Kewalainnya.

Begitulah juga perihalnya Rasulullah SAW yang mendapat bimbingan wahyu. Lihat beberapa contoh dalam ayat berikut yang membuktikan dengan nyata bahawa baginda bukan manusia biasa tetapi seorang Rasul yang dibimbing Allah SWT.

1Firman Allah pada perincian kisah Musa a.s menerima wahyu dan lokasinya.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan engkau (wahai Muhammad) tidak ada di sebelah barat (tempat Nabi Musa menerima wahyu) ketika Kami sempurnakan penyerahan Kitab Taurat kepadanya, dan engkau juga tidak termasuk dalam golongan yang menyaksikan peristiwa itu. Akan tetapi (engkau hanya mengetahui kisah itu dengan jalan Kami memberi wahyu kenabian kepadamu disebabkan) Kami telah mengadakan beberapa umat (dari zaman Nabi Musa hingga ke zamanmu) sampai berlanjutanlah masa yang mereka lalui (serta kucar-kacirlah ugama yang mereka anuti). Dan engkau pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri Madyan membaca dan mempelajari dari mereka ayat-ayat keterangan Kami (tentang hal Nabi Musa di sana), tetapi Kamilah yang mengutusmu (menjadi Rasul dan memberi wahyu kepadamu mengenai hal itu). Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (al-Quran) daripada Tuhanmu (menerangkan kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya). (al-Qasas:44-46)

2Perincian perancangan 10 adik-beradik Yusuf ketika mereka merancang menzalimi Yusuf, seakan baginda SAW ada bersama mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: (Kisah Nabi Yusuf) yang demikian ialah daripada berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya). (Yusuf: 102)

3Perincian perselisihan para pendeta Bayt al-Maqdis dan Nabi Zakariyya a.s ketika mereka membuat undian tentang siapakah selayaknya mendapat hak jagaan Maryam, seakan baginda SAW juga ada bersama mereka.

Firman-Nya yang bermaksud: Peristiwa yang demikian ialah sebahagian daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam). (Ali Imran:44)

4 Perincian kisah Nabi Nuh a.s dan kaumnya yang ditenggelami air.

Ertinya: (Kisah Nabi Nuh) itu adalah daripada perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Hud: 49)

Kesimpulannya, membaca dan menghayati al-Quran seumpama menaiki “mesin masa minda” yang pulang ke zaman lampau melihat keajaiban kisah manusia pilihan. “Mesin masa minda” ini pula dipandu oleh Rasulullah SAW. Beruntunglah orang yang berdamping dengan al-Quran.