November 18th, 2014

Kesederhanaan memang tidak sama dengan liberalisme

PENAFIAN Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blognya terhadap dakwaan segelintir pihak kononnya gerakan kesederhanaan atau wasatiyyah yang dibawa oleh kerajaan mempunyai kaitan dengan fahaman liberalisme adalah tidak benar.

Ianya mungkin berbangkit kerana Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Ketua Moderation dikaitkan dengan tokoh-tokoh liberal di Indonesia dan di Malaysia. Pemikiran Saifudin se­ring berbeza dengan pemikiran arus perdana malah bercanggah dengan pendirian Tuan Haji Yusof Din, Ketua Institut Wasatiyyah Malaysia.

Penjelasan Perdana Menteri terhadap isu ini amat baik sekali. Beliau memetik konsep kesederhanaan dengan merujuk hadis nabi menganjurkan berbuat baik dengan sederhana dan lurus.

Konsep wasatiyyah, sederhana atau berimbang terungkap dalam al-Quran dalam Surah al Baqarah: 143 yang menyebutkan umat Islam adalah ummatan wasata atau umat pertengahan, umat berimbang, memiliki kebijaksanaan lagi adil.

Ianya bercanggah dengan konsep gopoh, pelampau, tidak mengambil pertimbangan maslahah dan konsep wasat itu sendiri adalah manhaj atau pendekatan yang sederhana dan berimbang.

Faham liberal yang dikemukakan oleh Barat dan tokoh-tokoh liberal Islam tidak boleh disamakan dengan maksud wasatiyyah. Faham liberal Barat cuba mencabut akar agama dari pemikiran dan sistem. Liberalisasi bagi mereka meletakkan asas rasional sesuatu yang mutlak. Pendekatan pasca modenisme yang sedang berlangsung mendukung faham ini. Tokoh liberalis seperti Nietze menyebutkan ‘Tuhan Sudah Mati’. Michael Fouco dan Derrida meletakkan rasional sebagai asas kebenaran mutlak.

Tokoh Islam yang memperjuangkan faham liberal dalam beragama menganggap kembali kepada al-Quran dan hadis secara benar sebagai fundamentalis dan tradisionalis yang perlu disanggah. Lalu pendekatan tafsir dan takwil yang dilakukan bercanggah dengan nas yang qatie (putus) dan mengambil pendekatan rasional dan logik sebagai landasan berhujah.

Apa yang diperjuangkan oleh kerajaan, konsep wasatiyyah berlandaskan Islam. Kesederhanaan terhubung dengan cara dan metodologi bukannya daya usaha yang secukup hidup tidak yang terbaik dan mampu menghasilkan kualiti dan produktiviti.

Rasulullah SAW menjadi contoh manusia yang cukup sederhana dalam watak dan tingkah laku tetapi amat tegas de­ngan isu akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Kesederhanaan terkandung maslahah dan hikmah. Bila Rasulullah SAW diba­ling batu sehingga luka kakinya di Taif, baginda tidak mendoakan kebinasaan kepada pemuda jahiliah.

Bila menyantuni pelbagai anutan di Madinah, baginda membangunkan Sahifah Madinah meleraikan kepelbagai­an. Bila terhalang di Hudaibiyyah dalam misi Futul Makkah (kembali semula Mekah) baginda menerima dengan sabar walaupun dibantah oleh Saidina Omar. Ternyata strategi undur setapak ke belakang untuk lonjakan lima tapak ke hadapan berlaku dan akhirnya Islam berkembang di Jazirah Arabia. Ianya adalah strategi wasatiyyah.

Banyak negara umat Islam hari ini memilih jalan revolusi dan radikal sehingga mengakibatkan perpecahan sesama warga umat terjadi. Apa yang sedang berlaku di Syria, Iraq, Libya dan Mesir membuktikan hakikat ini.

Tidak mudah untuk meleraikan konflik yang terjadi akibat kegopohan dan tindakan melampau dan akhirnya umat Islam terjebak dalam adu domba pihak ketiga.

Malaysia mencapai kemerdekaan dengan pendekatan perundingan, muafakat dan cara persefahaman terutama dalam realiti masyarakat yang majmuk. Bayangkan sekiranya Malaysia mengambil pendekatan yang melampau dan meraikan ekstremis, Malaysia akan terjebak dengan perpecahan yang parah dan ia akan merintis jalan mundur, perpecahan dan tidak maju.

Dalam melaksanakan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam pendekatan wasatiyyah dijadikan pedoman. Sikap inklusif terhadap perbezaan yang ada, muafakat dalam menyelesaikan masalah, terbuka dalam meleraikan konflik menyebabkan persefahaman terjadi.

Pelaksanaan sistem muamalah, perbankan, takaful, industri halal, sukuk (bon) berasaskan patuh syariah diterima dengan baik malah melibatkan ramai kelompok bukan Islam. Malah kejayaan Malaysia menjadi model contoh negara-negara Islam yang lain. Inilah pendekatan wasatiyyah yang diambil bukannya liberalisme.

JENDELA TOK KI Utusan Malaysia Rencana 18 November 2014 1:31 AM