November 20th, 2014

Jihad atau bunuh diri?

MENYEBUT syahid, pastinya setiap umat Islam yang beriman mengimpikan untuk menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang mulia demi memperjuangkan agama Allah SWT itu.

Selain dijanjikan ganjaran yang tidak terhingga di akhirat, golongan yang syahid juga turut dimuliakan di dunia berikutan sumbangannya yang dianggap tidak ternilai kerana mempertahankan agama sehingga sanggup menggadaikan nyawa.

Begitu pun, oleh sebab taksub untuk mengejar ‘makam tertinggi’ tersebut, dijadikan sandaran oleh segelintir umat Islam untuk menyalahertikan kalimah jihad yang menjadi laluan bagi mengecap syahid tersebut.

Tanpa mengambil kira pandangan dan usul periksa daripada pelbagai aspek, tidak kira di mana dan kumpulan siapa sahaja yang berperang dengan membawa erti kata jihad, golongan itu juga akan turut serta.

Terbukti berlaku apabila sekurang-kurangnya 30 rakyat di negara ini telah berlepas ke Syria untuk menyertai sebuah kumpulan yang digelar pelampau Islam iaitu, kumpulan Negara Islam (IS) menurut laporan sebuah perunding keselamatan antarabangsa.

Hal ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak berikutan kumpulan militan tersebut sering dikaitkan dengan keganasan, pembunuhan orang yang tidak berdosa dan juga tindakan-tindakan yang menyalahi akhlak Islam.

Penterjemah kitab Fiqh Jihad karangan ulama terkemuka dunia, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, kalimah jihad yang asalnya digunakan sebagai sandaran untuk memperjuangkan Islam dikhuatiri hanya sia-sia apabila bertentangan dengan konsep jihad sebenar.


Bukan hanya mengangkat senjata, jihad mempunyai konsep yang luas





Dr. Maszlee Malik


Ahmad Fauwaz Fadzil Noor


KUALA LUMPUR , 12 NOVEMBER 2014 - Temubual Ustaz Fawaz Fadhil mengenai isu Jihad di Bandar Seri Damansara.
JURUGAMBAR : WAHIDAH ZAINAL PEMBERITA : SHAH ( AGAMA )


ALAN HENNING (kiri) dalam satu sedutan video di satu lokasi di Syria, sebelum dia dibunuh oleh militan IS. Rakaman video ini dikatakan palsu


Puak Kurdish, Syria adalah antara mangsa keganasan IS.


Keganasan IS turut mengorbankan orang awam.


Kekuatan yang dimiliki IS terus diragui masyarakat dunia.


Berselindung di sebalik nama jihad, kumpulan IS cuba merekrut sebanyak mungkin ahli dari seluruh dunia.






Beliau berkata, ini melihat kepada slogan jihad yang diperjuangkan oleh kumpulan itu yang dilihat tertumpu kepada peperangan semata-mata tanpa mengambil kira pembahagian jihad yang lain.

“Walaupun memetik daripada ayat al-Quran yang membenarkan peperangan seperti dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 123 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa (dengan memberikan pertolongan-Nya), namun ayat tersebut ditafsirkan dalam makna yang sempit.

“Jihad dalam konteks yang ditunjukkan oleh kumpulan IS ini adalah dilihat meletakkan peperangan sebagai kaedah utama. Sedangkan di dalam Islam berperang adalah cara terakhir selepas tiada cara lain sebagai penyelesaian.

“Ia sebagaimana seorang doktor yang ingin merawat pesakit, pembedahan adalah jalan yang terakhir yang diambil setelah tiada ikhtiar selepas menjalani proses rawatan lain,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tidak boleh menghukum pelaku sebagai berdosa atau sesat, Fauwaz berkata, kaedah fikah hanya membincangkan sesuatu hukum, sama ada membolehkan atau tidak bersandarkan syarak.

Namun tambahnya, selepas disepakati oleh kebanyakan ulama memutuskan tidak sah, maka individu yang ingin menyertai kumpulan IS dinasihati mempelajari ilmu berhubung jihad bukan sekadar mengikut hawa nafsu.

“Seorang ulama sufi, Hassan al-Basri pernah menyebut ketika hayatnya iaitu kira-kira lebih 1,200 tahun lalu berkata, golongan yang kuat ibadah tidak mungkin akan mengangkat senjata ke atas golongan Muslim yang lain.

“Perkara ini dilihat dilakukan oleh IS yang bertindak bukan sahaja memerangi orang kafir tetapi golongan Muslim lain yang tidak mengikuti fahaman mereka serta golongan yang tidak berdosa seperti wartawan, orang awam dan sebagainya.

“Sedangkan jihad membawa maksud bersungguh-sungguh memerah keringat bukannya Qatala yang membawa maksud membunuh atau berperang. Konteks jihad juga sangat luas iaitu merangkumi jihad membangunkan ekonomi, sosial, politik, pendidikan kesihatan dan juga pembangunan,” jelasnya.

Fauwas berkata, perdamaian melalui dialog serta rundingan merupakan kaedah terbaik yang boleh diambil berbanding kaedah peperangan yang hanya mengakibatkan kemusnahan harta benda, kerugian dan juga kematian orang yang tidak berdosa.

MEMPUNYAI kekuatan ketenteraan dianggar hampir 100,000 ahli serta aset bernilai sekurang-kurangnyaAS$2 bilion, secara tidak langsung menjadikan kumpulan IS sebagai kumpulan yang penuh dengan teori konspirasi.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun dilihat mempunyai aktiviti sendiri bagi mengumpul dana dan ketenteraan, namun kemunculan kumpulan itu yang dianggap secara tiba-tiba agak mengelirukan.

Ini katanya, berikutan banyak fakta yang dilaporkan tidak konsisten dan mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan kegiatan dan kemunculan kumpulan militan itu.

“Melalui maklumat risikan Iraq, aset kumpulan IS bernilai AS$2 billion. Ini bermakna ia dilihat sebagai organisasi militan terkaya di dunia. Hampir tiga suku daripada jumlah itu dianggarkan diperoleh apabila IS menawan Mosul, Iraq pada Jun lalu.

“Ini termasuk kira-kira AS$429 juta yang dirampas dari bank pusat Mosul, bersama berjuta lagi dan emas yang dirampas daripada beberapa bank yang lain di Mosul. Namun semua maklumat ini masih dipersoalkan sama, ada ia benar-benar sah atau sebaliknya,” katanya.

BERSELINDUNG dengan istilah jihad demi menubuhkan Dawlah Islamiyah (negara Islam) dan menentang golongan kafir, IS cuba mengaburi mata masyarakat dunia, terutamanya umat Islam untuk mengikuti gerakan mereka dalam usaha memperluas lagi pengaruh di seluruh dunia.

Penganalisis Politik Timur Tengah dan gerakan Islam Kontemporari, Dr. Maszlee Malik bagaimanapun berkata, melihat kepada ideologi gerakan yang dibawa, istilah jihad yang digunakan oleh kumpulan pelampau Islam itu disifatkan sebagai propaganda dan kesesatan dalam memperdayakan umat Islam.

Perkara itu turut disepakati oleh kebanyakan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menerusi persepakatan pelbagai kesatuan ulama negara Islam yang terdiri daripada kalangan ulama-ulama terkemuka di seluruh dunia.

“Kira-kira 126 ulama Islam terkenal dari seluruh dunia juga telah menandatangani kenyataan bersama yang dibacakan oleh presiden Council on American Islamic Relations (CAIR), Nihad Awwad mengutuk IS dan juga menolak keganasan dan juga khalifah yang diisytiharkan oleh IS pada September lalu.



“Mereka juga menolak keganasan IS yang membunuh rakyat tidak berdosa termasuk golongan umat Islam yang tidak bersetuju dengan fahaman mereka serta menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman. Bahkan, ramai di antara mereka yang telah melabelkan IS atau Da’esh sebagai Khawarij di zaman moden.

“Para ulama dari seluruh dunia termasuk Kesatuan Umat Islam Sedunia juga telah menyatakan pendiriannya menolak pengisytiharan Dawlah Islamiyah dan pengisytiharan Khilafah oleh Abu Bakar al-Baghdadi disifatkan sebagai tidak sah dan hanya mewakili kumpulan pengganas yang kecil,” katanya.

Malah, tambahnya, ulama beraliran Salafi juga turut mengecam dan menjelaskan penyelewengan IS termasuk para pemimpin al-Qaeda yang merupakan pertubuhan yang bertanggungjawab melahirkan IS.

Oleh itu, jelas Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, bagi mereka yang mengikut konsep jihad IS dengan alasan ingin mendapatkan syahid memperjuangkan negara Islam itu secara tidak langsung menolak persepakatan keputusan ulama seluruh dunia.

Sementara itu, Maszlee berkata, konsep jihad IS adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana kumpulan militan itu memegang prinsip negara umat Islam selain IS adalah negara kafir dan wajib diperangi.

“IS menegaskan umat Islam pada zaman kini wajib melaksanakan ‘Jihad Global’ atau Jihad Hujumi (serangan ofensif). Bagi mereka keadaan umat Islam yang ditindas dan diperangi oleh kuasa barat menuntut umat Islam untuk melancarkan jihad di seluruh dunia.

“Golongan IS juga menyakini bahawa negara umat Islam yang mengamalkan sistem pemerintahan moden dianggap mengikuti syiar kekafiran dan didominasi oleh undang-undang buatan manusia dan bukannya hukum Islam, maka IS mengkategorikannya sebagai negara kafir.

“Bagi mereka, umat Islam yang tidak melaksanakan jihad ataupun mentafsirkan jihad dengan urusan selain peperangan telah melakukan dosa besar dan bukanlah Muslim yang sebenar,” ujarnya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, video yang tersebar yang dikatakan perbuatan IS juga diragui kerana dikenal pasti tidak kelihatan benar.

“Pada 2010, Washington Post ada menyiarkan artikel oleh bekas perisik tentera, Jeff Stein telah menulis secara terperinci bagaimana CIA mengaku membuat filem video Osama Bin Laden yang palsu ketika perang Iraq 2003 sedang dirancang.

“Agensi itu memang ada mengeluarkan video menunjukkan Osama dan rakan-rakan duduk mengelilingi unggun api sedang minum arak. Salah seorang bekas CIA mendedahkan mereka mengguna pelakon daripada kalangan staf CIA yang mempunyai kulit sedikit gelap.

“Jika ini benar, apa yang menghalang video IS juga melalui proses yang sama. Mungkin ini dianggap mustahil, tetapi masih boleh dibincangkan,” katanya.

Begitu juga tambahnya, pembunuhan David Haines dan Alan Henning oleh IS mungkin bukanlah petugas kemanusiaan sebagaimana yang dilaporkan.

“Mengikut sumber lain, berdasarkan profil, Haines bertugas di syarikat worked Astraea. Mengikut laman sesawang Astraea , program syarikat itu adalah untuk Sistem Pesawat Tanpa Pemandu, UAS (Unmanned Aircraft Systems) iaitu membina drones.

“Alan Henning pula mungkin tidak berada di Syria untuk mengelak laporan media. Mengikut laporan The Daily Mail, konvoi kemanusiaan yang dikatakan disertai oleh Alan Henning dan diculik IS, kini disiasat atas dakwaan ada kaitan dengan kumpulan militan.

Setengah teori konspirasi menyatakan mereka berdua adalah fixers iaitu agen yang menyamar sebagai jurugambar wartawan. Oleh itu, tidak mengejutkan jika berita dan visual melalui ubahsuai untuk menggambarkan keadaan di Syria, ujarnya.

Satu lagi persoalan besar mengenai banyak konspirasi IS kata Azmi ialah bagaimana warga Amerika direkrut oleh IS tanpa dapat dipantau oleh agensi seperti NSA yang bertugas sepanjang masa untuk mengesan apa yang digelar jaringan pengganas.

“Teori yang lebih kritikal mengatakan, NSA tidak mahu menyekat mereka keluar untuk terlibat menjadi pejuang di kawasan konflik seperti Syria kerana Amerika Syarikat perlu mewujudkan perang untuk kepentingan ekonominya,” jelasnya.

Azmi juga tidak menolak kemungkinan kumpulan militan IS adalah merupakan Operation Hornet’s Nest iaitu istilah yang diguna untuk memporak-perandakan kestabilan Asia Barat melalui kegiatan golongan ekstremis antarabangsa yang di bantu oleh CIA, MI6 dan Mossad.

“Bekas agen NSA dan CIA, Edward Snowden, mendakwa memiliki dokumen untuk membuktikan hal ini dalam artikel yang diterbit dalam Gulf News. Snowden menyatakan agen perisikan tiga negara mewujudkan organisasi pengganas (terrorist) yang boleh menarik golongan ekstremis dari seluruh dunia pada satu tempat , menggunakan strategi yang digelar The Hornet’s Nest.

“Pembocoran maklumat lagi yang didedahkan oleh Snowden memberitahu ketua kumpulan IS, Abu Bakar al-Baghdadi diberi latihan intensif ketenteraan selama setahun oleh Mossad.

“Dengan menarik ekstremis antarabangsa di Asia Barat, negara Yahudi akan mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya dan dengan itu mempunyai justifikasi menghapus gerakan Islam seluruhnya. Ini memang akan disenangi oleh kuasa barat,” katanya.

Nafsu songsang adalah 
kosmetik syaitan

IBLIS dan syaitan adalah makhluk perosak yang merosakkan fitrah suci ciptaan Allah SWT pada manusia. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mencipta hamba-hamba-Ku suci (baik) kesemuanya, kemudian syaitan datang menyesatkan (merosakkan) mereka daripada agama mereka, lalu syaitan (menghasut agar mereka) mengharamkan ke atas mereka apa yang sudah Aku halalkan, juga (syaitan) menyuruh mereka agar menyekutukan-Ku tanpa hujah yang Aku tidak pernah turunkan (kepada manusia). (Sahih Muslim)



BERTATU adalah salah satu contoh godaan daripada iblis yang merugikan manusia. - Gambar hiasan

Iblis dan syaitan yang sudah menandatangani akujanji untuk menyesatkan manusia berusaha mempelbagaikan “produk terlarang” untuk manusia. Produk terlarang tajaan iblis muncul dalam berbagai bentuk seperti agama, ideologi, fahaman, hobi dan nafsu songsang LGBT. Semua produk ini termasuk dalam rangkuman percubaan mengubah ciptaan Allah SWT dalam ayat berikut:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah) dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka; Yang telah dilaknat oleh Allah dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba-Mu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku); “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. (al-Nisa’: 117-120)

Godaan mengubah ciptaan Allah SWT yang dimaksudkan oleh ayat ini sangat luas ruangnya, antaranya:

1 Menanam angan-angan pada manusia bahawa mati masih jauh dan kiamat tidak akan berlaku.

2 Mencipta ajaran baru (bidaah) dalam agama. Bagi konteks musyrikin Quraysh mereka telah menamakan beberapa haiwan seperti Bahirah, Sa’ibah, Wasilah dan Ham sebagaimana yang disebut dalam surah al-Ma’idah ayat 103.

Setelah haiwan tersebut dinamakan sedemikian, musyrikin Qurasyh akan memotong telinganya sebagai penanda pengharamannya. Sikap bodoh mereka mengharamkan haiwan yang asalnya dihalalkan Alah SWT direkodkan dalam ayat lain:

Allah berfirman yang bermaksud: Dan mereka berkata lagi: Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki, - menurut anggapan mereka dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu. Dan mereka berkata lagi: Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. (al-An’am: 138-139).

3Mengubah ciptaan Allah SWT iaitu mengufuri agama-Nya, menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal (Tafsir al-Jalalayn), memakai tatu dan menyambung rambut (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Perlu dirawat

Bagi konteks zaman moden, mengubah ciptaan Allah SWT merangkumi pembedahan kosmetik (sebarang pembedahan mengubah bahagian tubuh yang langsung tiada kecacatan demi kecantikan), menukar jantina (tanpa sebab diharuskan syarak pada sesetengah kes khunsa) dan melayan nafsu buas LGBT yang berlawanan dengan fitrah berpasangan ciptaan Allah SWT. Dengan kata lainnya, lelaki atau wanita yang bercinta sesama jenis dalam gejala gay serta lesbian sebenarnya sudah termakan tipuan cinta songsang oleh syaitan.

Walau bagaimanapun, anggota masyarakat dan pendakwah tidak seharusnya menghukum mereka seperti penjenayah, sebaliknya mereka perlu dilihat sebagai “pesakit rohani dan fizikal” yang perlu dirawat dengan ilmu dan kasih sayang (rujuk al-Nahl: 125).

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Laut mana yang tidak bergelora? Pintu taubat serta jalan menjadi “normal” sesuai dengan ciptaan Allah SWT untuk mereka sentiasa terbuka luas sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Transgender bertentangan Islam

IPOH - Isu transgender dibimbangi menjadi titik tolak kepada penerimaan amalan-amalan hak asasi liberal Barat yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat negara ini selain bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Gopeng, Datuk Hamidah Osman berkata, apa yang berlaku kini amat mengelirukan malah larangan tersebut jelas jika dilihat dari aspek agama Islam.

“Bagaimana kita hendak mengaku Malaysia negara Islam sedangkan transgender iaitu perbuatan luar tabii dibenarkan dalam undang-undang negara,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, kerajaan perlu tegas dalam isu ini dan mengkaji semula perlembagaan serta undang-undang untuk diselaraskan kembali.

Hamidah berkata, umat Islam perlu bangun untuk mempertahankan undang-undang larangan kepada transgender ini.

Kelmarin, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan istilah transgender tidak wujud sebagai mewakili golongan tertentu sebaliknya ia hanya satu perasaan yang dibuat-buat.

Harussani berkata, hakikat tersebut turut diakui oleh pakar-pakar psikologi yang mengakui tidak wujud istilah sedemikian.



Datuk Hamidah Osman

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Perkembangan Wanita Gugusan Manjoi, Selamah Mohd Din secara peribadi berpendapat golongan ini perlu diberi peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Katanya, dia kurang pasti sama ada golongan ini berminat untuk menyertai persatuan-persatuan wanita yang ada namun sekiranya ada mungkin boleh dipertimbangkan.

“Mereka datang dengan cara baik, kita layan dengan baik. Cuba usahakan untuk bimbing mereka ke jalan yang benar. Jika dibiarkan mungkin mereka terus hanyut dan melakukan perkara yang tidak elok.

“Perkara-perkara ini mungkin sukar untuk diterima oleh ahli persatuan malah perbuatan mereka salah di sisi agama Islam. Apa yang penting doakan mereka agar dapat berubah dan bersyukur dengan apa yang ALLAH jadikan,” katanya.